Semuanya kerana sayang

Aku selalu dengar orang tua-tua cakap, kalau anak perempuan muka sama macam ayah, sejuk orangnya. Kalau ikut muka mak, panas. Ya ker? Ada penjelasan saintifik yang logik tak berkenaan perkara ini? Hmm.

Sebenarnya, aku bukan nak bercerita tentang sejuk atau panas. Cuma sepotong kisah yang menyentuh hati. Kalau bukan hati kalian, semestinya hati dan emosi aku sendiri. Hahaha. Tiba-tiba melayan emosi dan nurani yang kelembutan. Salah? Tidak bukan. Sedar atau tidak, aku banyak mengikut perangai dan sikap abah. Sejak dari kecil. Aku mahu jadi seperti abah. Apa juga yang abah buat, aku akan cuba buat. Abah pegang penukul, aku pun nak pegang penukul. Abah melukis, aku pun nak melukis. Hmm. Pendek kata, apa yang abah buat aku pun nak buat. Tak percaya? Gambar ini sebagai buktinya.

Tengoklah gaya aku tu...


Kisah kali ini tak panjang. Pendek saja. Hari ini, kalau diikutkan perut yang asyik memulas, dan telinga yang terus berdenyut, memang berniat nak ambil cuti. Cuti sakit. Oh ya, sebelum itu. Ramai juga yang pelik, kenapa aku ini mudah sangat terkena jangkitan dalam telinga. Aku pun tak tahu tapi, Khamis yang lepas ada satu peristiwa yang amat dahsyat telah berlaku.

Hmm. Mungkin bagi kalian, ianya kisah lucu tapi untuk aku, tentu sekali tidak. Kisah berlaku hari Khamis yang lalu. Waktu malam. Aku sedang bersantaian di bilik tidur umi sambil menemankan Ayuz yang sedang tekun menyiapkan tugasannya. Al-maklumlah, kalau sudah disorongkan bantal, mata pun senang lelap. Lelap pun tak lama sebab aku terdengar bunyi yang amat pelik. Seakan bunyi runtuhan. Bingkas aku bangun. Aku pandang kiri dan kanan. Tak ada apa-apa. Aku angkat bantal dan tepuk berkali-kali. Tak ada apa-apa objek yang terjatuh.

Bunyi itu semakin kuat.

"Nak mati ke aku ni?" soalku sambil cuba menepuk cuping telinga berulang kali.

Bunyinya semakin kuat. Rasa macam ada makhluk yang menumpang dalam corong telinga dan merayap sehingga ke urat otak.

"Umi, kenapa Izan dengar bunyi pelik ni?" soalku lagi.

"Ada benda masuk dalam telinga Izan," kataku pula.

"Semut tu, pergi ambil pencungkil telinga," saran umi kepadaku.

Tanpa berfikir panjang, aku pun melompat ke meja solek dan mengeluarkan sebatang pencungkil telinga. Dan dengan segala kekuatan, aku merodok telinga sehingga menolak gegendang. Ya Allah.

"Shahaini, telinga awak sensitif. Tak boleh masukkan apa-apa objek termasuklah pencungkil telinga," suara Doktor yang pernah merawat aku dulu, terngiang-ngiang di telinga.

Aku terdiam. Gegendang dah mula sakit.

"Izan tak boleh guna benda ni, alergik," kataku pada umi.

"Pergi masukan air, nanti keluarlah semut tu," saran Ayuz pula.

Kenapalah aku tak terfikir tentang itu? Sepantas kilat aku meluru ke dalam bilik air dan segayung air kumasukkan dalam telinga. Kemudian, cepat-cepat aku keluarkan semula air itu.

"Ha, dah tak ada. Alhamdulillah," ujarku syukur.

Hmm. Beberapa hari kemudian, telinga aku baru menunjukkan natijah penggunaan pencungkil telinga. Sakit. Denyut yang amat denyut. Aku cerita tentang denyutan itu pada umi dan abah semalam. Macam biasa, tak ada siapa yang perlu dipersalahkan melainkan diri aku sendiri. Itu yang abah buat. Ya. Sudahlah telinga aku sakit. Bertambah sakit bila asyik dimarahi.

Aku tak cakap banyak. Kadang-kadang, dengan tak bercakap banyak, mulut kita secara semulajadi menjadi muncung. Bila muncung, senang sangat orang tahu, yang kita sedang memendam rasa atau dalam bahasa yang lebih mudah... melawan.

Pagi tadi, aku gagahkan juga kaki dan kuatkan regangan urat-urat di kelopak mata supaya terbuka luas. Abah masih belum balik sejak keluar bersolat subuh di surau. Lazimnya, sebelum pergi ke tempat kerja, rutin harianku, bersalaman dengan umi, abah dan mencium Miqhail dan Mierza. Adakalanya, rutin itu tidak lengkap kerana abah selalu pulang lewat dan aku perlu ke pejabat cepat. Kalau lambat nanti, tersekat dalam kesesakan lalulintas. Bila tersekat, alamatnya lambat sampai. Bila lambat sampai... faham-fahamlah sendiri. Bukannya kalian tidak tahu perangai orang di pejabat. Betul tak?

Sebelum sempat aku mengundur kereta dan keluar dari laman rumah, abah pun pulang. Aku tunggu kerana tidak mahu bertembung bumper belakang kereta abah. Tak pasal-pasal, masuk balai polis lagi. Hish. Trauma...

Sebaik saja abah keluar, dia beri isyarat tangan suruh aku turun dan masuk ke dalam rumah. Aku jeling ke arah jam kereta. 9;00 pagi. Hish. Sesat. Kalau aku ikut jam kereta ini, tak pasal-pasal aku pijak minyak dan pecut kereta macam Schumacher. Aku pandang pula ke arah jam tangan. 8:00 pagi. Sudah lambat. Hati rasa serba salah. Akhirnya, aku menurut perintah abah dan masuk semula ke dalam rumah.

"Nah, pilih mana yang kau nak. Kau nak makan apa? Nasi lemak, bihun, mee, nasi goreng. Meh makan dulu," ujar abah.

Tiba-tiba hati rasa sebak. Aku kuatkan juga, tak nak nampak sangat jiwa yang mudah melembut.

"Pilihlah cepat, tak pun ambik dua-dua sekali," kata abah lagi.

"Tengok, abah siap beli makanan untuk kau. Ada orang lain buat macam ni? Kau tahu tak orang sayang kat kau, tapi kau.... melawan aje," kata abah.

Aku diam. Kali ini aku diam bukan melawan tapi terharu. Mahu tak mahu, aku capai sudu dan suap sesudu setiap hidangan. Legakan hati abah dan juga dalam masa yang sama, hati aku sendiri.

"Izan pergi dulu," kataku dan tangannya kusalam.

Dalam kereta, fikiran aku tak habis mengenangkan kata-kata abah. Mana ada ayah orang lain buat begitu kepada anaknya? Aku teramat bertuah. Bertuah dilahirkan menjadi anak abah dan umi. Hmmm. Menangis. Bukan sebab sedih tetapi kesyukuran. Alhamdulillah, walaupun keluar lewat, aku tetap sampai awal. Berkat doa abah dan umi.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku