Tuesday, March 1, 2011

Dulu Prado, Sekarang Ria...

Masih aku ingat kejadian itu. Malah, sehingga hari ini, setiap kali ada kereta mengundur, aku akan jadi fobia. Laju saja tangan aku menekan hon. Mungkin, orang fikir aku gila. Tapi aku pasti, kalau mereka juga berada di tempatku, akan berbuat yang sama.

Kejadian yang berlaku itu, bertempat di sebuah pasar. Rasanya, tidak perlulah aku ceritakan secara terprinci tentang hal yang berlaku ketika Miqhail masih lagi berada dalam kandungan. Cukuplah aku katakan, kejadian itu membuatkan aku lebih berhati-hati dan pandai mengawal situasi.

Kalau dulu, kereta Prado yang menghentam kereta nasional Waja yang dipandu abah, kali ini kereta milikku, Myvi (atau nama manjanya yang aku gelar sebagai Lolly) dihentam orang. Bezanya, pemandunya seorang wanita berumur dan memandu kereta jenis MPV. Wanita. Seorang wanita berumur.


Dulu... Prado, musuh waja...

Saat Waja dihentam dulu, akulah orang pertama yang meluru keluar dan menghentam cermin tingkap Prado. Jelas diingatan, wajah pemandu Prado di mataku. Seorang lelaki, keturunan cina dengan muka pucat lesi. Aku hentam cermin berkali-kali. Satu sahaja yang aku tahu, hentaman itu sepatutnya hinggap di muka dan bukan cermin kereta.




Bumper belakang Prado dan lampu depan Waja...

Itu dulu. Darah panas. Mudah hilang pertimbangan. Berbeza dengan cara aku kendalikan kejadian yang menimpa Lolly.

Hari Isnin. Aku terpaksa cuti. Servis kereta. Kalau tak servis, isi dalamnya rosak. Kalau rosak, tentu akan makan belanja yang banyak. Pusat servis di Tasik Puteri ini pula beroperasi selepas pukul 10.30 pagi. Lazimnya, ada banyak kereta lain yang menunggu giliran. Lolly bukan yang pertama. Bukan juga dalam golongan 10 buah kereta yang pertama. Jadi, Lolly diservis lewat dan siap hampir menjelang tengah hari.

Pukul 12.30. Aku pulang ke rumah, hajat hati mahu pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara. Mahu bikin kad pengenalan baru. Ya. Sudah hampir enam tahun aku menetap di Bandar Tasik Puteri. Alamat di kad pengenalan masih di rumah lama. Bandar Baru Selayang. Walaupun pangkal namanya Bandar, tetapi ia tetap dua tempat yang berbeza. Apatah lagi, jaraknya yang jauh antara satu dengan yang lain. Alang-alang sudah cuti 'terpaksa' ini, aku ambil kesempatan untuk bikin kad pengenalan baru.

Tiba di JPN Rawang pukul 1. Ah, lupa. Itu waktu pejabat. Semua sedang 'muntah kedarah'. Jadi, aku bergerak pula ke Selayang. Langsaikan segala bil di pusat perkampungan bangsa Myanmar. Sesak. Teringat pula aku situasi di bandar-bandar sesak; Mumbai, Delhi dan Chennai. Hmmm. Itu semua bandar di India. Tapi, itulah yang aku rasa setiap kali datang ke sini.

Pukul 2 petang, selesai segala urusan di Selayang. Aku memandu semula ke Rawang. Jalan kurang sesak. Berhenti seketika di kedai makan. Abah makan, dan aku beri makan kepada Lolly. Kalau tidak, tak bergeraklah dibuatnya. Selesai abah dan Lolly makan, aku bergerak semula ke JPN. Sesak. Hmmm. Ramai betul penduduk Malaysia. Hampir semua tempat sesak. Tempat makan sesak. Tempat minyak sesak. Tempat membuang segala sisa dalam badan pun sesak.

Aku dapat nombor giliran 2129. Nombor yang sedang berurusan ketika itu pula, 2097. Aku tengok jam. Pukul 3:14. Aku pandang keliling. Ramai orang. Jadi, aku ambil keputusan, tunggu dalam kereta sambil melayan Mierza dan Miqhail yang memang mengikut aku. Yalah, sebab aku bawa umi bersama. Takkanlah nak tinggalkan dua permata hati ini sendirian di rumah. Bahaya!

Beberapa minit kemudian, aku pun angkat punggung dan mula bergerak menuju ke dalam perut bangunan JPN. Huih... gelap. Aku pandang keliling. Tempat duduk masih penuh. Kaunter juga penuh. Tapi gelap.

"Bekalan elektrik terputus, kami tak pasti pukul berapa akan pulih. Buat masa sekarang, sistem tergendala".

Cukuplah sampai setakat itu aku menunggu. Perut dah berbunyi berkali-kali. Maklumlah, aku belum makan. Jadi, aku mula mengundurkan Lolly, keluar dari kotak parkir. Hati panas. Kepala panas. Kaki pun, panas! Perut bukan setakat berkeroncong. Bunyi-bunyian drift pun ada. Sampai sahaja di simpang empat, aku lihat lampu trafik tak berfungsi.

"Tengok kiri kanan, baru jalan terus," pesan abah.

Ya. Itu yang aku buat. Alhamdulillah, ada sebuah kereta berwarna biru dari simpang kanan memperlahankan kereta kerana melihat Lolly yang sudah pun sampai ke petak kuning. Itu tandanya, dia tahu apa itu undang-undang. Jalan utama perlu didahulukan. Aku memandu Lolly dengan perlahan, khuatir ada kereta lain yang akan menerpa. Sehinggalah sebuah kereta yang meluru secara tiba-tiba dan menggesel Lolly. Tersenget. Bergegar Lolly dibuatnya. Umi menjerit nama aku. Aku terkejut tetapi bukan tergamam. Aku terus menekan minyak sambil membunyikan hon. Mahu dia berhenti.

Kereta yang aku panggil sebagai Ria itu enggan berhenti. Dia mungkin tidak tahu, aku bukan mudah mengalah. Aku pecut dan berjaya memintasnya. Oh. Pemandunya seorang makcik. Umi beri isyarat yang dia sudah langgar kereta aku. Dia mengangguk. Aku pecut dan mencelah untuk berada beberapa buah kereta di hadapannya. Kalau aku di belakang, pastinya dia berpeluang melarikan diri. Sampai di ruang yang lebih besar, aku berhenti. Sambil menghela nafas panjang, aku keluar dari kereta.


Sekarang... Ria yang mencederakan Lollyku

Ya Allah. Lolly telah cedera. Cedera teruk. Bumper tercabut dan mud guard kemek. Aku lupakan seketika cedera yang dialami Lolly dan berdiri betul-betul di bahu jalan. Mahu memberhentikan kereta yang menjahanamkan Lolly. Melihatkan aku yang berdiri dengan muka tanpa perasaan, makcik itu memberi isyarat ke kiri dan berhenti.

Perkataan pertama yang keluar dari mulutnya, "macam mana boleh kena?" dengan loghat Utaranya.

Soalan apakah? Aku diam. Abah mengajak dia pergi ke keretanya dan menunjuk muncung kereta yang tercalar. HANYA TERCALAR.


Hanya calar...

"Kita sama-sama kena. Tak payahlah nak besar-besarkan hal ni," katanya.

"Ya, betul. Tapi kenapa tadi tak nak berhenti?" soalku mendesak.

"Saya tak tahu pula terkena tadi. Lagipun, lampu trafik rosak,kan?" soalnya kembali padaku.

"Kalau rosak pun, takkanlah nak meluru tak tentu pasal? Pandai-pandailah kita tengok kiri kanan. Itu pun saya sempat perlahankan kereta, tiba-tiba makcik datang terus langgar," kataku tapi dengan suara yang masih terkawal.

Dia mula berbicara dengan abah. Yang aku tahu, aku perlu ambil nombor telefon. Masa nak ambil nombor telefon, dia banyak berdalih. Sekejap 017... 012 dan terakhir 016. Nombor seterusnya, dia tak beri. Hmmm. Tak apa. Aku masih diam. Biar dia berbicara dengan abah. Lagipun, dia panggil abah tu pakcik.

"Macam inilah, pergi bengkel mana-mana, baiki ... nanti saya bayar," usulnya kepada aku.

Mulanya, aku setuju dengan usulannya tetapi abah mencelah.

"Macam mana kalau nanti kamu tak mengaku?" soal abah membuatkan aku teringat tentang kisah Romi yang dilanggar dan orang yang melanggarnya enggan mengaku. Sudahnya, bayar sendiri.

"Jangan nampak saya macam ini, saya tak tahu apa-apa pakcik. Saya ni nak pergi Mekah. Takkanlah saya nak menipu," katanya lagi.

"Orang baik dengan jahat tak ada beza sekarang ini," balas abah.

Aku setuju. Nasib baik abah ada. Kalau tidak, mungkin aku akan setuju dengan usulan makcik itu.

"Kalau macam itu, ikut saya ke bengkel. Saya bayar," katanya.

"Sebelum itu makcik, nombor telefon tadi apa? Saya tunggu dari tadi tak dapat lagi ni," kataku.

Ya. Dia beri nombor. Aku masukkan dalam simpanan. Aku juga tahu, itu nombor telefon yang SALAH!


DI BENGKEL


Mula satu episod yang lain. Dia mula menunjuk rupanya yang sebenar. Awal-awal lagi dia suruh aku ke tepi. Cakap dalam bahasa Inggeris. Kononnya, aku tak faham.

"Let me deal, you dont... you dont deal," katanya padaku.

Kalau diikutkan aku yang dulu, mahu sahaja aku cakap.

"Speak proper English, if you have to deal it in English way,"

Masalahnya, aku masih menjaga maruah dia. Tidak mahu memperlihatkan, kurang ajar seorang gadis Melayu. Tambah pula di depan bangsa asing yang menjadi perantaranya dengan aku. Dia suruh aku ke tepi. Macamlah aku anjing, lapar daging dia. Aku cuma mahu hak aku. Baiki kereta aku macam sebelumnya. Duit bukan aku yang dapat. Mekanik itu yang dapat. Aku tak lapar duit. Aku makan nasi. Nasi yang halal. Bukan yang dibeli dari wang suapan.


Aku cuma mahu kau dibaiki...

Beberapa minit kemudian, perantaranya itu datang kepada aku. Nasihatnya, supaya aku pergi ke balai polis dan buat laporan. Oh, bijak. Bukankah tadi, dia sudah mengaku salah. Kalau buat laporan polis, senang-senang dia buat cerita. Mungkin, dibelitnya cerita dan aku yang dipersalahkan.

"Siapa yang nak bayar RM300 nanti?" soalku.

"Kita tengoklah siapa yang salah," katanya dengan penuh yakin. Sekaligus mahu membaling kesalahan yang dilakukannya itu kepada aku.

Aku diam. Bila aku diam, aku berfikir. Bila aku berfikir, aku buat keputusan. Bila aku sudah buat keputusan, jangan harap aku akan ubah.

"Kalau macam itu, bagi saya kad makcik. Senang saya nak hubungi kalau ada apa-apa hal," pintaku dengan suara yang masih lagi terkawal.

"Makcik tak ada kad," jawabnya.

Aku diam. Mengangguk perlahan.

"Suami makcik, yang Dr Hi**** ada kad, bukan? Bagilah kad dia," pintaku lagi.

"Kami orang profesional, tak boleh beri kad," katanya pula.

Aku pandang si pengantara yang berdiri di sebelahnya.

"Kak, tak payah pakai kad pun tak apa. Akak pergi sahaja ke balai polis, buat laporan," katanya padaku.

Belum sempat aku membalas, seorang mekanik datang dan minta aku mengalihkan kereta untuk memberi laluan kepada lori yang mahu keluar. Aku akur. Akur dalam kemarahan. Aku undur. Makcik itu turut mengalihkan kereta.

Aku keluar. Makcik itu pun keluar dari keretanya untuk berdiri di sebelah pengantaranya.

"Kita sama-sama pergi balai polis, buat laporan," katanya pada aku.

Aku pandang Mierza dan Miqhail. Kasihan aku melihat mereka. Sudahlah tadi, Mierza hampir terpelanting dari tempat duduknya. Mujur umi pegang Mierza dan abah pula memangku Miqhail. Tiada siapa yang cedera kecuali hati aku. Parah melihat keretaku remuk. Secara tiba-tiba, Mierza menangis. Aku pergi mendapatkan Mierza dan mendukungnya. Lalu, kembali ke sisi makcik itu.


Hatiku remuk... melihat kamu cedera Lolly

"Kalau macam tu, saya kena hantar budak-budak ini balik dulu. Panas. Kesianlah kat dorang," aku katakan begitu.

"Rumah kamu kat mana?" soalnya.

"Bandar Tasik Puteri," jawabku ringkas sambil menepuk-nepuk belakang Mierza, memujuknya agar berhenti menangis.

"Macam mana? Nak tunggu atau nak ikut?" soalku lagi padanya.

"Nanti saya tanya suami," katanya sambil mula mendail nombor di telefon bimbit.

Aku diam. Hati mula geram kerana dia tak boleh buat keputusan sendiri.

"Kalau susah sangat, makcik beri saya nombor kad pengenalan dan nama penuh. Tak pun sms pada saya, saya nak balik," kataku lagi.

Dia tak membalas. Aku kepanasan. Si pengantaranya mula minta kebenaran suami makcik itu.

"Kakak ini mahu hantar baby-baby dia balik dulu, sebab dalam kereta dia ada baby. Boleh akak tunggu atau pergi sahaja ke balai?" soalnya di muncung telefon.

Aku tidak mendengar balasan suami makcik itu.

"Macam inilah akak, biar ayah akak hantar baby-baby ini balik, akak dan kakak ini pergi buat laporan," usulnya padaku.

"Tak boleh," kataku ringkas sebab aku tahu, abah letih dan tak sihat. Dia tak boleh memandu.

"Kalau macam itu, kakak ini tunggu sini, akak balik dululah," usulnya lagi.

Aku mula mahu bersetuju. Tetapi, sebelum aku sempat mahu bercakap ya, makcik itu mencelah...

"Kami ada 4 buah kereta lagi kat rumah. Takkanlah nak lari pulak," katanya bangga sambil ketawa-ketawa.

Baiklah. Itu batasannya.

"Saya ada kisah kereta makcik 4-5 buah kat rumah? Ada saya hairan rumah makcik banglo? Sekarang ini, kereta yang terlibat... kereta makcik yang sebuah ni. Kereta saya Myvi ni. Yang berlanggar dua kereta ini saja. Saya ada cakap tentang kereta-kereta kat rumah saya? Ada saya cakap rumah saya apa? Tak. Dari tadi makcik berlagak. Cakap nak ke Mekah lah. Kalau betul nak ke Mekah tak macam ini perangainya. Tak kesian tengok budak-budak ni? Kalau apa-apa jadi kat budak-budak ini, macam mana?" kali ini memang suara aku meninggi.

Aku dapat lihat dia ke belakang. Tersandar di keretanya.

"Itu ketentuan Allah," balasnya.

"Accident tadi, memang ketentuan Allah. Settlement ni, bukan Allah yang tentukan... kita," kata aku. Memang, suara aku nyaring. Muka aku merah. Mierza dalam dukungan aku, tetap kujaga agar tidak terlucut dari dakapan.

"Akak, sabar ya. Saya tak sebelahkan sesiapa, saya cuma suruh akak pergi buat report," kata si pengantara itu.

Aku buka pintu dan meletakkan Mierza di bakulnya. Aku meluru masuk ke dalam kereta sambil menurunkan tingkap...

"Saya Islam, dia pun Islam. Saya tahu apa yang saya buat. Kalau dia nak tunggu, tunggu. Kalau tak nak, SUDAH!"

Aku balik ke rumah. Abah suruh aku bertenang. Ya. Aku makan. Abah solat. Selesai solat, aku dan abah pergi ke balai polis. Sedia untuk buat laporan.


DI BALAI POLIS

Sebaik tiba di balai polis, aku dapat lihat keretanya terletak elok di kotak parkir. Melihatkan itu, mahu sahaja aku bersemuka sekali lagi dengan makcik itu. Abah pesan, supaya aku bertenang, Bila tiba di kaunter, aku melihat dia sedang asyik merangka laporannya. Aku memasang telinga.

Aku pelik. Yang banyak bercakap bukan dia tetapi suaminya. Hmmm. Aku tak pasti itu suami atau siapa, tapi yang pasti dia seorang lelaki. Aku tekun mendengar dan yang membuatkan aku hampir hilang kawalan, bila dia mengatakan, aku yang melanggar keretanya.

Oh, inilah yang dikatakannya sebagai ketentuan Allah? Bercakap itu dan ini, mengaitkan diri tentang Islam dan Allah. Sudahnya? Dia menipu dalam laporan? Menipu untuk apa?

"Abah, dia tuduh Izan langgar kereta dia," bisikku ke telinga abah.

"Biarkan. Itu laporan dia. Laporan kau lain. Beritahu yang benar. Biarkan dia menipu. Allah ada. Lagi satu, jangan takut. Sebab, polis akan gertak kau dulu. Dia nak tengok sama ada kau cakap betul atau tak," pesan abah.

Aku tunduk. Cuba menenangkan hati.

Selesai sahaja dia buat laporan, dia keluar tanpa memandang ke arah kami. Begitu juga dengan suaminya yang berpangkat 'Doktor dari golongan profesional'. Oh. Doktor profesional, kalau editor? Adakah editor itu golongan cikai? Tak. Aku tak beritahu pun pada dia yang aku editor, mahupun seorang penulis. Buat apa berlagak dengan pangkat sebegitu kalau perangai menggambarkan sebaliknya?

Tiba giliran aku membuat laporan. Suara aku sedikitpun tidak bergetar. Dudukku tegak. Mataku pandang tepat ke arah pegawai yang mengambil laporan. Selesai buat laporan, aku diarahkan berjumpa dengan seorang Sarjan bagi melengkapkan siasatan. Aku akur.

"Kau jangan takut. Jawab dengan berani," pesan abah lagi.

Aku pergi bertemu dengan Sarjan itu. Mukanya bengis. Tiada senyum. Abah tidak menemaniku. Aku seorang sahaja di situ.

"Ikut saya ambil gambar," katanya kepadaku.

Aku ikut dan suruh abah menunggu sahaja aku di ruang menunggu.

Tiba sahaja di tempat parkir, di mana Lolly ditempatkan. Sarjan terus menuduh aku bersalah. Entah dari mana kekuatan dan keyakinan aku dapat, aku terus menegaskan yang aku tidak bersalah. Dia mula marah. Aku tak gentar. Aku tunjuk dan berceritakan cerita satu per satu. Tidak cukup dengan itu, aku ambil lakaran yang abah dan aku telah siapkan di rumah. Sebaik sahaja melihat lakaran itu, Sarjan ketawa dan mengajak aku masuk pejabat.

"Saya ingat, kereta awak bersebelah dengan kereta dia masa nak masuk simpang. Kalau macam itu, awaklah yang salah sebab perlu beri laluan kanan masuk simpang dulu," ujarnya.

"Saya di jalan utama, dia yang meluru masuk. Saya bukan jalan seiring dengan dia," kataku.

Alhamdulillah. Hal selanjutnya, tidak perlu aku kongsi di sini. Biarlah aku sahaja yang tahu. Yang pasti, aku tidak akan pernah takut untuk bercakap benar. Di akhirnya, kebenaran yang akan menang. Tidak rugi bercakap benar.

* Sekarang, aku terpaksa berfikir apa yang sepatutnya dibuat. Aku terpaksa cuti sehari lagi dan aku tahu, ramai yang tidak akan puas hati dengan ketiadaan aku di pejabat. Biarlah. Aku perlu selesaikan masalah ini dahulu. Kalau ada yang enggan faham, tak mengapa. Aku doakan, di satu hari nanti, kejadian yang sama akan menimpa kalian. Ketika itu, baru kalian faham apa ertinya, "DUGAAN!"