Virus Oh Virus... lenyaplah!!!



Diam, ada dua tahap. Satu, boleh memaafkan dan dua, boleh membunuh. Jadi, aku dah melepasi zon boleh memaafkan. Sekarang aku rasa tak guna kalau asyik menyedekahkan kemaafan pada orang yang sengaja membunuh rasa kemanusiaan dalam hati aku. Dengan hati yang memberat aku perlu memuntahkan segala rasa yang menggunung. Kalau disimpan lama-lama, membarah. Sia-sia mati sebab orang yang . . . . . . Lantaklah. Aku tak suka diplomatik dan aku benci hipokrasi.

Satu, aku tak suka menuduh. Perkara yang paling aku benci pula mengaibkan orang. Apa juga yang jadi depan, belakang, tepi, kiri, kanan, akan aku biarkan sahaja. Sebabnya mudah, Allah ada. Wujud. Dia melihat. Aku? Aku melihat, tapi mata aku butakan. Aku mendengar, tapi telinga aku pekakkan. Aku boleh saja bersuara, tapi sengaja suara kubisukan. Sebab? Tak guna jadi orang yang ingin ambil tahu dan sibuk nak tahu!

Aku menyerahkan segala-galanya pada kuasa Allah. Di satu hari nanti, pasti Allah ada cara menelanjangkan segala pendustaan untuk orang atasan mengetahuinya. Persoalannya, adakah mereka 'mampu' mengambil tindakan jika kebenaran itu telah terbukti di depan mata? Hahahaha. Itu aku tak pasti. Harus tunggu saat itu tiba. Keyakinan aku pada Allah, dan Allah juga ada cara membongkarnya. Bukan aku.

Sejak kebelakangan ini, komputer yang dibekalkan majikan untuk aku sebagai editor majalah selalu dikunjungi masalah. Mungkin sudah terlalu banyak virus? Entah. Apa yang pasti banyak juga fail aku hilang. Yang lebih pelik, fail-fail yang disimpan dalam folder pejabat. Fail sama tetapi sengaja aku simpan dalam folder peribadi, tidak pula terusik. Hmmm. Kenapa virus tu hanya 'pandai' makan fail-fail pada folder pejabat tapi tak reti merayap ke folder peribadi aku? Mahu aku tunjuk bukti, siapa akan percaya? Aku diam. Fikirkan, memaafkan perbuatan virus itu lebih bagus dari berperang dengan diri sendiri. Tapi kawan-kawan, sanggupkah kalian memaafkan virus ini kalau setiap fail yang disimpan, dipunahkan macam itu saja?

Terbaru, aku mengalihkan satu folder berisi gambar. Sebaik saja terima arahan, aku terus melakukannya. DI HADAPAN MAJIKAN. Nasib baik, aku buat dua salinan (macam biasa!) Satu aku simpan dalam folder peribadi dan satu dalam folder kakitangan yang berkenaan. Menjelang petang, aku terdengar arahan terbaru majikanku. Pelik sebab folder yang aku alihkan pagi tadi lenyap? Aku periksa semula. Ya. Memang lenyap. Pergi ke mana? Majikan aku diam. Baiklah, aku faham. Tentu fail itu telah dibaham virus. Buat apa nak bising-bising kalau folder pendua ada. Jadi, untuk kali kedua aku mengalihkan semula fail tersebut. Kejadian ini buat aku berfikir yang virus ini tidak adil terhadap usahaku. Nampak semacam senang, Tekan 'copy' dan 'paste'. Tapi, kalau buat kerja yang sama dua kali, agak menjengkelkan!

Aku percaya setiap orang membuat tugasan yang diamanahkan dengan sehabis baik. Aku pun begitu. Setiap kali arahan diterima, akan aku belek habis-habisan. Tambahan pula ianya berkaitan dengan produk yang semestinya mengisi ruangan iklan. Tiada alasan untuk membuat sambil lewa. Malah, mustahil untuk aku mengatakan tidak. Itu tugas aku dan perlu aku laksanakan. Kadang-kadang ada produk yang terlalu berat. Senget jugalah badan dibuatnya. Pernah tangan aku terkehel dan terseliuh. Aku diamkan saja. Buat apa nak bising-bising? Balik rumah, urut. Biar bengkak manapun, itu salah aku. Lembik sangat! Setiap kotak aku belek. Bercinta betul aku dibuatnya. Kadang-kadang berulang lebih 5 kali bagi memastikan apa yang akan dicatatkan tepat. Apa salah aku kalau di kotak tercatat lain, atas badan produk lain. Tak cukup dengan itu, aku rujuk maklumat menerusi laman web. PENGESAHAN BERGANDA! Kalau salah juga, aku tak boleh nak buat apa-apa.

Paling menarik, pejabat aku baru sahaja melantik seorang editor pakar. Pakar bahasa. Ya, aku kagum dengan kepakaran yang ada dalam bahasanya. Sehingga kewujudan aku sebagai editor tak ada nilai. “Ayat apa ni?" itu ayatnya. Tapi kalau ditafsirkan secara halus dan lapisan demi lapisan, ini yang mahu editor baru itu sampaikan. "Kau tak buat kerja? Ayat apa yang kau pakai ini?” Bagi aku, ayat tidak perlu mati atau kaku. Ayat harus ada variasi. Selagi tidak mencederakan fungsi dan disampaikan dengan tepat, pasif mahupun aktif, ianya cara untuk mempelbagaikan ayat. Menghidupkan ayat. Mungkin ilmu aku tak cukup tinggi, pengalaman aku masih cetek. Tetapi kecintaan bahasa Melayu aku tebal.

Ya. Pasti ada yang mempersoalkannya kerana aku seringkali didengar menyanyikan lagu bahasa lain. Bukan kerana merendahkan keaslian lagu-lagu berbahasa Melayu, tetapi sebagai seorang yang mencintai bahasa, aku lebih suka mengamati lenggok ayat. Ayat? Ya. Maaf. Ayat dalam lirik lagu melayu hari ini tidak dapat mengembalikan kegemilangan indahnya lagu melayu seperti yang pernah dijulang oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramli. Tiada bait-bait indah seperti malam bulan dipagari bintang, sebaliknya mama papa jahat, ada aku kisah dan macam-macam contoh lagi. Kemandulan berbahasa? Bukan salah. Cuma kurang penghayatan.

Bak kata Tuan Haji Ghazali, jangan membezakan seni kerana bahasa. Hindi, Arab, Korea dan Tamil antara bahasa yang mengekalkan penggunaan keindahan bahasanya. Malah, penulisan dialog dalam filem-filem (dalam bahasa) ini juga lebih menarik dari filem melayu sendiri. Tapi tidak bermakna aku tidak menyayangi bahasaku. Disebabkan terlalu sayang, aku takut untuk mencederakan penggunaannya. Nampak macam mudah, tapi setiap artikel yang diberi, mencari kelainan pada lenggok bahasa dengan menjaga kualitinya sudah menjadi tanggungjawabku. Bukan sesuatu yang senang. JUSTERU ITU, TEKS SEBEGINI MUSTAHIL untuk aku buat dengan sambil lewa.

Bila kita lebih banyak mencari ruang untuk membuktikan kelemahan orang lain, kelemahan sendiri akan terbuka. Fikir-fikirkanlah. Hidup ini bukan medan perang, sebaliknya mencari kedamaian untuk menenangkan hati daripada terbeli hasad dengki, benci dan sebagainya. Aku? Kalau dulu aku tiada apa-apa rasa, tetapi setelah insiden yang sama berulang berkali-kali dan tak ubah bagaikan anjing menyalak, lama-kelamaan ia membantu aku menanamkan rasa benci.

Orang kata benci boleh berubah jadi sayang. Mungkin untuk orang lain, tapi bukan aku! Sesiapa yang mengenali aku tahu akan satu kebenaran ini. Bila aku sudah sayangkan orang, walau sesetan mana dia pernah lakukan, benci itu tidak akan hadir. Tetapi, kalau aku mula benci pada orang, biarpun semalaikat mana dia pernah lakukan, suka itu tidak akan ada. Ya. Itulah Shahaini yang sebenarnya. Aku pernah beri peluang untuk diri jangan membenci, dan sekarang peluang itu sudah mati. Ya. Memang salah kerana aku masih cuba menghormati.

* Kau mungkin bagus untuk hasil kerja kau, tapi tak bermakna kau bagus segala-galanya. Cerminlah diri sendiri. Adakah kau cukup bagus?

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku