RANN... permainan Politik dan Media?

Sejak beberapa bulan ini, sukar aku menemukan masa lapang untuk diri sendiri. Lebih banyak tugasan dan amanah yang perlu aku selesaikan. Disebabkan itu juga, sukar aku menemukan masa untuk mengatur dan menyusun ayat yang sempurna, seterusnya diisi ke ruangan blog ini. Alasan yang baik? Mungkin.

Masa untuk aku menonton filem atau drama pun agak terhad. Bukan sahaja kerana tugasan, tetapi juga terpaksa akur dengan kehendak anak buahku, si Raja Muda Miqhail! 24 jam dengan saluran Disney. Sehinggakan seisi rumah terpaksa mengalah. Termasuklah abah. Kalau dulu, abah yang 'berkuasa' memegang alat kawalan jauh. Sekarang, alat sekecil itu sudah beralih tangan. Ya! Si genit ini pandai menyembunyikan alat kawalan jauh, memastikan tiada siapa menukar saluran kegemarannya. Aduh!

Nak dijadikan cerita, kebetulan beberapa hari lepas, anak buahku ini seakan 'merajuk' hati dan tidak mempedulikan tv plasma yang selama hari ini menjadi teman karibnya. Dia memilih untuk bermain dengan koleksi patung-patung Disney. Di kesempatan inilah, aku dapat menonton saluran Tayangan Hebat yang sememangnya aku langgan setiap bulan. 3 saluran, termasuklah ABO Movies Thangathirai. Terkejut? Ramai juga yang pelik, kenapa aku sanggup bayar saluran ini sedangkan filem-filem yang ditayangkan semuanya berbahasa Tamil? Lupa pada kempen 1 Malaysia? Hahaha. Itu sekadar alasan sinikal.

Aku masih ingat pesan pensyarahku (guru sepanjang hayat), Tuan Haji Mohd Ghazali. Katanya, jangan sesekali membahagikan seni kerana budaya mahupun bangsa. Seni adalah seni. Lagipun, filem-filem Tamil tampil lebih berani, benar dan bersahaja! Ada sahaja perkara baru yang aku belajar, terutama sekali dari penyusunan dialog dan juga ekspresi pelakon. Dari emosi dan susunan plot, hinggalah pertembungan watak-watak semuanya disusun cantik! Sesuatu yang amat penting dalam proses memajukan penulisan skrip, terutamanya seseorang seperti aku. Masih belajar dan akan terus belajar memperkasakan teknik penulisan skrip. Insya-allah.

Melihatkan Miqhail yang rela melepaskan kuasanya, aku pun merebut peluang ini untuk menonton. Kebetulan waktu itu ada tayangan filem Hindi, Rann. Aku pernah melihat promo di youtube dan ianya didukung oleh Amitabh Bhachan dan Ritesh Deshmukh. Arahan Ram Gopal Varma. Hmmm. Satu ketika dahulu, aku pernah meminati sentuhan klasik pengarah ini. Namun, sejak dia taksub mengarahkan filem 'hantu' dan dirasuk pula membuat 'pembikinan semula' filem-filem terdahulu, aku jadi jemu. Filem terakhir arahannya yang sempat ku tonton pun Bhoot. Kecewa! Kemudian, muncul pula filem Sarkar (saduran The Godfather) dan Ram Gopal Varma Ki Aag (salinan semula Sholay). Hilang bisa? Entah.


Ram Gopal Varma

Saat awal aku menonton Rann, mataku terus terikat. Tidak pasti sama ada kerana dialog atau pesona peran filem ini. Aku tidak melihat dari awal, tetapi yang aku pasti masih awal kerana filem ini baru bertemu titik perubahan (turning point). Menarik. Interaksi mata, ekspresi dan juga dialog. Cukup untuk buat aku lupa pada yang lain. Bermula pada scene debat di jamuan itu, aku terus tenggelam dan hanyut bersama arus Rann. Sehingga ke detik akhir, aku mampu mengatakan. Ya, Ram Gopal Varma dah kembali.


Rann... kejujuran, pangkat atau duit?

Antara filem yang amat aku suka. Tolak tepi lagu atau apa sahaja yang ada untuk menyerikan perjalanan cerita ini. Yang penting, filem ini dihasilkan tepat pada waktunya. Cantiknya filem ini terletak pada kebenaran yang dibawanya. Oh, bukan kebenaran seperti Mat Rempit yang mahu menegakkan kebenaran mahupun hidup jalang seorang bohsia. Tetapi medium yang paling dipercayai oleh masyarakat umum. Televisyen. Lebih tepat lagi. Media. Khasnya elektronik! Kisah seorang wartawan yang patuh kepada etika (Ritesh) dan organisasi yang tamak gelaran (India 24/7) ! Kemenangan selalu berpihak kepada DUIT. Duit yang dibekalkan oleh ahli politik!

Secara tidak langsung Rann memperlihatkan kebenaran yang berlaku sebalik tabir terhasilnya sesuatu 'berita'. Salah satu medium yang paling mudah untuk menjulang atau menjatuhkan sesuatu. Tidak kiralah dari dunia politik, hiburan mahupun sukan. Media berkuasa mengawal pemikiran dan pemilihan rakyat. Rann menunjukkan betapa 'hebatnya' medium ini mencipta sesuatu yang palsu dan menjadikan ia sesuatu yang 'benar'. Bagaimana seorang yang mulia dicelakakan, manakala yang celaka dimuliakan.

Rann membuka mata. Apa yang dilihat dan ditonton dalam berita bukan selalunya benar. Hanya kerana satu reaksi (para politik, artis, ahli sukan dan sesiapa sahaja) atau jawapan yang diberikan akan dimanipulasi! Diputarbelitkan dengan pertanyaan yang tidak wujud semasa sesi interviu dan disunting sebelum ditayangkan untuk tontonan umum. Seminit interviu yang sebenar akan dijadikan kepada satu laporan penuh (1 jam) dan dimainkan berulang kali. Hebat! Media adalah sahabat karib kepada politik yang korup!



Baru-baru ini, aku ditemukan pula dengan satu laporan yang hampir serupa. Apa yang dikatakan oleh individu ini telah dimanipulasi. Lebih hebat lagi, kata-katanya dijadikan satu laporan penuh. Padahal ianya sekadar potongan dan cebisan interviu yang disunting. Sekali lagi, memang hebat media di India. Hal ini membuatkan aku menerima bahawa Rann memang cerminan media di India. Betapa mudahnya menjatuhkan seseorang hanya dengan mengubah sana dan sini. Sunting itu dan ini, laporkan di televisyen. Tayang berulang kali untuk mengaburi pandangan umum dan akhirnya, penonton terbeli. Apabila penonton mengiyakan kepalsuan ini, maka terciptalah kebenaran! Wah, memang media India hebat!

Rann membuat aku sedar, yang kejujuran dalam setiap tugasan dan amanah yang sepatutnya dipikul sudah tidak WUJUD! Sepatutnya, berita adalah sesuatu yang dilaporkan setelah terbukti kesahihan. Bukannya fiksi yang diarahkan oleh seseorang, duduk di kerusi penyunting dan menayangkannya ke umum. Aduh! Di mana kejujuran? Tiada. Semuanya mengejar gelaran NOMBOR 1! Saluran televisyen NO 1! Mengarut! Masing-masing mencederakan tanggungjawab yang diamanahkan!

Mujurlah, apa yang ditayangkan dalam Rann hanya berlaku sekitar India dan bukan di Malaysia. Mujur! Jika realiti Rann akan atau telah pun mula membiak di Malaysia...?

*Menunggu peluang untuk menonton Peepli LIVE terbitan Aamir Khan, tulisan Anushka Rizvi (seorang wartawan) yang membongkar kebenaran media! Pastinya menarik apabila wartawan sendiri yang menulisnya. Betul tak?

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku