Sarawak; Kembara diteruskan di hari ke-dua!

Agak lama juga jarak antara entri hari pertama di Sarawak dan kisah kesinambungannya untuk hari kedua dan seterusnya. Maklumlah, orang sibuk macam aku terpaksa mencuri baki masa yang ada. Bertolak awal ke pejabat dan pulang tak tentu lagi sempat menatap matahari terbenam di sepanjang jalan. Faham bukan apa yang ingin aku katakan? Itu belum termasuk lagi masa di rumah pula. Namun itulah dinamakan kehidupan. 24 jam sudah semakin suntuk dan seakan tidak relevan lagi untuk kehidupan masa ini.

Destinasi untuk hari kedua di Kuching
Baiklah, diteruskan dengan kisah entri kali ini, pengalaman hari kedua di Kuching, Sarawak. Memandangkan sewaktu sampai di sini, kami tidak berkesempatan menikmati makanan istimewa Sarawak, maka Olin membawa kami bersarapan pagi di salah sebuah kedai makan yang menghidangkan masakan tradisi penduduk di sini. Antara yang cukup terkenal di sini semestinya mee kolok dan laksa sarawak. Jadi, kami berpakat untuk merasa mee kolok dan.... memang lazat! Sehinggakan ada antara kami yang bertekad mahu kembali esok hari untuk makan hidangan yang sama! Nampak tak, penangan mee kolok? 

Baju istimewa sempena lawatan ke Kg Budaya Sarawak!
Mee kolok di sini, memang sedap!
Lebih kurang pukul 9.30 pagi, kami tiba di Kampung Budaya Sarawak yang berlokasi di Gunung Santubong yang mengambil masa kurang dari setengah jam dari Matang, kami sudah pun berada di pintu utama. Difahamkan, terdapat 7 buah rumah kebudayaan mengikut etnik utama Sarawak; Bidayuh, Iban, Penan, Orang Ulu, Melanau, Melayu dan Cina. Bayaran masuk yang dikenakan pula adalah RM60 untuk dewasa, RM30 untuk warga emas dan kanak-kanak berumur 6 tahun ke atas, untuk kanak-kanak 5 tahun ke bawah tidak dikenakan sebarang bayaran. Apa yang menariknya, setiap pembayaran akn disertakan dengan Passport! 

Passport disediakan untuk para pengunjung!
Passport yang berwarna hijau (dewasa) dan kuning (warga emas) ini bertujuan sebagai bukti yang pengunjung sudah pun meninggalkan jejak di setiap rumah yang ada di dalam Kampung Budaya Sarawak. Jangan tak percaya, disebabkan passport ini juga membuatkan ramai antara kami berkobar-kobar mengumpulkan ketujuh-tujuh setem. Ini termasuklah along dan aku.

titik permulaan...
Hmm, yakin boleh!
Wajah-wajah yakin...
Salah satu binaan rumah yang unik!
Peta seluruh Kg Budaya Sarawak!
Setiap rumah yang dibina mengikut kaum etnik di Sarawak ini, nyata menampilkan rekaan yang berbeza dan unik. Para pengunjung juga diberikan pilihan, sama ada untuk menggunakan jalan biasa atau jalan-jalan yang digunakan etnik di sini. Disebabkan sudah berada di sini, bila lagi waktunya untuk mencuba cara kehidupan mereka? Masing-masing bersemangat untuk meneruskan perjalanan dengan menggunakan laluan tradisional seperti jambatan yang diperbuat dari buluh.

Sempat pose sebelum menyeberang!
Aqasha pulak yang tak sabar tu!
We can do it mama - Mysarah
Lambat lagi ke???
Barulah dapat berjalan dengan tenang 
Ayuz tak sudah-sudah dengan pose nya!
Umi tak lepas peluang....
Ada nampak macam orang Penan tak? -Abah
Haih, penat menunggu!
Rasa seronok pula apabila kehadiran kami disambut dengan tarian oleh orang-orang (pasti mereka adalah pekerja Kebudayaan di Sarawak ini) yang mewakili kaum etnik di Sarawak. Etnik-etnik ini pula mempunyai baju kebudayaan yang berbeza antara satu dengan yang lain. Cukup unik dan sempat juga kami melihat kerja menenun dijalankan. Sangat tekun dan kemas hasil tenunannya. Oh ya, para pengunjung diberikan peluang untuk merasa sendiri pengalaman menjadi warga pribumi bumi kenyalang ini dengan menyewa aksesori yang disediakan. Kalau tidak salah (sebab aku tak sewa pun), harganya bermula dari RM10!

Batu Santubong
Ke Rumah Iban, yuk!
suasana dalam rumah
kostum yang dipakai etnik Iban
kanak-kanak Iban? Mierza lah!! Hahaha
Dua budak nakal!
Ibu budak yang nakal! Tumpang sekaki! Hehehe
Tarian etnik Iban...
Disebabkan kami sudah melepas rumah Bidayuh, perjalanan diteruskan dahulu ke rumah-rumah etnik yang lainnya dan bercadang untuk kembali ke rumah Bidayuh selepas menyaksikan persembahan kebudayaan yang dijadualkan pada pukul 11 pagi. Alang-alang sudah datang sejauh ini, pastilah satu pun tidak mahu dilepaskan. Tidak kiralah sama ada rumah, persembahan mahupun koleksi setem untuk memenuhkan passport yang dibekalkan di awal-awal tadi! Aku juga sudah berpesan pada Along sewaktu menjejak kaki ke Kampung Budaya ini,

"Tak kira, dia ajak atau tidak, aku nak juga menari. Lepaskan gian yang terpendam" - Aku

"Tak siapa halang pun!" - Along.

Entah apa yang merasuk aku, tetapi ada kekuatan yang lain. Semangat berkobar-kobar sehingga terlupa yang aku bukannya di tempat sendiri. Setiap kali tiba di rumah-rumah etnik ini, akulah yang jadi tukang cop setem. Bukan setakat aku punya, tapi untuk semua sehingga aku disakat adik ipar dengan menggelar aku "ketua wanita kaum Penan" hahaha. Nakal sungguh!

Giliran Rumah Penan pula...
Para pengunjung dibenarkan membuat cubaan...
...untuk menyumpit, tapi famili aku tak seorang pun nak!
Tukang cop atau ketua wanita Penan bak kata Daus! Hahaha
Dia tak penat!!! Aqasha
Sebab ada yang dukung!
Kami bergerak pula menuju ke sebuah lagi rumah etnik; Orang Ulu. Mulanya gusar juga sebab agak sunyi dan kedudukannya sangat tinggi. Jenuh juga aku menongkat leher memandang rumah ini. Ada pula pengunjung yang berbisik-bisik sesama sendiri mengandaikan, tiada orang yang menunggu di dalam rumah yang sememangnya agak menyeramkan. Entah macam mana, aku tinggalkan mereka dan bergerak memanjat anak-anak tangga diikuti beberapa yang lain dari belakang. Umi dan abah tertinggal di bawah. Ya, mereka tidak larat. Mereka turut ditinggalkan dengan Mysarah yang mana kemudiannya akan membuat onar di bawah ketika kami berseronok di atas. Onar? Tunggu!

Berbeza dengan suasana di bawah, rumah Orang Ulu ini ternyata menenangkan. Kami disambut para petugas yang sememangnya bersedia dengan kedatangan para pengunjung. Di sini juga ada dijual barang cenderamata yang dibuat dari hasil tangan. Memang kemas dan cantik tetapi aku kurang berminat mengeluarkan duit kerana tahu, tidak akan dipakai dan membazirkan sahaja. Betul tidak?

Sepertimana di rumah Iban tadi, di sini juga para pengunjung dihiburkan dengan tarian kebudayaan. Bezanya, di sini ada petikan gitar yang sangat indah. Terbuai sejenak dengan alunan muzik tradisi Orang Ulu ini. Apa yang membuatkan aku lebih terpaku dengan persembahan tarian ini adalah penarinya. Hoih, bukan minat tetapi wajahnya seakan seseorang yang pernah aku kenali ketika zaman belajar di ASK dahulu. Mungkin ya, mungkin juga tidak tetapi aku tidak lepaskan peluang bergambar bersama pemetik gitar dan penari ini. Niat untuk bersantai lebih lama terbantut apabila Mysarah berteriak di bawah! Ya Allah, bergegar dibuatnya sehinggakan semua pengunjung mencari suara tangisan budak yang sangat menakutkan itu. Aduhai Mysarah!

Seram tak? Tinggi kan?
Aku dah lama menghilang, laju betul! Lagak ketua wanita Penan!
Rehat dulu ya, nak!
Sesi membuli abang Mierza - Aqasha
Antara perkakas di rumah Orang Ulu
Tarian dan muzik, sangat damai
Kami sempat bergambar!
Tumpuan si jelita! Ah Aqasha
Malu-malu...
...tapi...
...mahu! Hahaha
Ada gaya macam orang Ulu? Tak? Ok
Ah, comel sungguh si Aqasha!
Pandangan sisi rumah Orang Ulu dan penghuninya! Hahaha
Dari jauh, nampak agak menyeramkan... betul tak?
Giliran aku menunjukkan kasih sayang! Kehkehkeh
Bangsal...
...membuat peralatan untuk kegunaan harian
Baiklah, meneruskan lagi perjalanan entri kali ini, kami bergerak meninggalkan rumah Orang Ulu dan menuju pula ke rumah Melanau. Sebelum itu, sempat juga kami merakam gambar famili. Jujurnya, tenaga masing-masing sudah mula berkurangan. Masa pula semakin suntuk. Dalam tidak sedar, sudah hampir mencecah pukul 11 pagi dan kami perlu segera menghabiskan baki rumah yang ada atau sambung kemudian. Aku dan Along tetap dengan pendirian untuk mengumpul ke semua setem. Degil! Itulah anak-anak Zahar dan Shaharum! Hehehe.

Miqhail dah mula tak selesa, Mysarah ok aje!
Masing-masing tunggu isyarat dari jurukamera dan...
Tadaaa!!! Inilah famili kami di tengah-tengah rumah Orang Ulu dan Melanau
Menurut petugas yang berada di rumah Melanau, rumah ini merupakan replika sahaja kerana ukuran ketinggian sebenar dan saiz keluasannya jauh lebih tinggi dan besar. Berbeza dengan rumah Orang Ulu tadi, rumah Melanau ini lebih banyak tingkat dan setiap tingkat mempunyai beberapa lagi buah bilik. Umi dan abah ditemankan Ayuz yang menghabiskan kembara ke rumah Melanau ini di tingkat satu. Aku, Along, Miqhail, Mysarah dan Mierza menggagahkan kaki ke tingkat kedua. Sementara itu, abang Zamri dan Firdaus berjaya menapak sehingga tingkat paling atas. Tahniah!

Serba sedikit info yang dikongsikan petugas, orang Melanau sekarang kebanyakkanya sudah beragama Islam dan mereka dikenali sebagai Melayu Melanau. Jika dilihat menerusi pemakaian kaum lelakinya, ada banyak persamaan dengan kaum Melayu di semenanjung. Sempat juga beberapa keping lagi gambar dirakam sebelum Miqhail mula meragam, menggantikan Mysarah. Apa tidaknya, dia kehausan. Apabila Miqhail dah haus, memang meragamlah budak sorang ni! Habis disondol-sondol wan dan atuknya. Apa lagi, berteriaklah Along memanggil abang Zamri yang leka mengambil gambar di tingkat atas. Hahaha. Memang tak puas kalau berjalan dengan macam-macam kerenah budak-budak. Mungkin lain kali, boleh datang sekali lagi apabila semuanya sudah besar dan tak perlu didukung apatah lagi, menyusu! Hehehe.

Nampak tak, nun di jendela?
Tinggi juga rumah Melanau ni
Inilah orang menjenguk di jendela tadi
Abah dan umi, terserlah keletihan
Gigih seorang ibu, mengawal anak-anak. Alongku!
Aku bukan tak nak. Naik boleh, turun belum tentu Along! - Aku
Suasana di tingkat paling atas. Cantik?
Gunung Santubong!!! SubhanAllah
Sesi mengisi tangki masing-masing!
Ya, tadi aku sudah katakan yang kami kesuntukan masa tetapi tetap juga berlengah-lengah dan sempat lagi menyinggah ke beberapa buah lagi rumah. Selesai berkunjung ke rumah Melanau, ada 2 buah lagi perlu disudahkan termasuklah rumah Bidayuh yang terlepas di awal-awal pengembaraan ini. Apa-apa pun, aku, abah, umi diikuti Miqhail terus menggagahkan kaki ke rumah Melayu dan juga Cina. Dek kerana sudah terbiasa dengan dua rumah ini, aku tidak menghabiskan masa yang lama dan mata tak lepas memandang ke arah jam di tangan.

Di rumah Melayu, Along tetap gagah dan Mysarah pula yang mula layu
Petugas mendendangkan dondang sayang...
Umi, bersidai di tangga...keletihan
Pose macho dari abah...dirosakkan Miqhail! Hahaha
Rumah Melayu, sangat dekat di hati!
Di hadapan rumah ladang Cina
Radio tu yang direbut along & umi, sebab itu gambar ini diambil!
Pada Miqhail, lampu-lampu tanglong ini lebih menarik perhatian
Sebaik sahaja selesai menziarah rumah ladang Cina ini dan semestinya telah mengumpul hampir kesemua setem, kami bergegas menuju ke dewan teater untuk menyaksikan persembahan kebudayaan yang menghimpunkan semua etnik yang telah dilawati tadi. Ya, masih ada satu lagi baki etnik yang masih belum dilawati. Aku dan Along tekad untuk pergi juga selepas selesai persembahan nanti.

Disebabkan sudah agak lewat, dewan telah pun dipenuhi dengan para pengunjung yang rata-ratanya tidak sabar untuk perkara yang sama. Melihatkan itu, aku mula mengambil alih tugas untuk memastikan kesemua famili aku dapat tempat duduk dan berada bersama-sama. Ya, itulah aku. Entah dari mana datangnya sikap yang satu ini tetapi selalunya terjadi tanpa disedari. Mata dan fikiran aku seakan bersatu dan mengimbas di mana kedudukan yang sesuai.

Sebenarnya, memang sudah tiada pilihan kerana para pengunjung yang datang awal telah memilih posisi paling sesuai. Mahu atau tidak, aku terpaksa berpuashati dengan tempat duduk yang berjaya juga diambil sebelum diduduki oleh pengunjung lain. Baiklah, misi 'menempatkan' semua famili aku di kawasan sama berjaya. Aku duduk dan mengamati persembahan.

Penuh dan sesak!!!
Ketua wanita mula bertugas!!! Hahaha...
Tugas selesai, semua berada dalam kedudukan selesa!
Ah, aku amat merindukan keadaan dan suasana begini. Sepanjang berada di dalam dewan ini, ingatan merewang dan merangkak mencari memori yang terbenam jauh. Ya, aku teringat setiap persembahan pentas rakan-rakan di ASK dahulu. Persembahan mereka sangat menarik dan pertukaran dan pengambil alihan persembahan dari satu etnik ke etnik yang lain cukup lancar. Sangat menghiburkan terutama sekali apabila tiba persembahan dari etnik Penan dan Melanau yang disuntik sedikit unsur humor!

Tarian etnik iban...
Pahlawan iban...
Melanau, kisah dalam tarian!
Hampir gugur jantung!

Tarian Melayu
Apabila tiba di kemuncak persembahan, para penari turun memanggil para penonton untuk berada bersama-sama di atas pentas dan menari. Jujurlah aku katakan, inilah saat-saat yang aku tunggu. Eh, tolong ya. Bukan gedik atau menggatal. Dalam diri aku ini ada naluri yang sangat mencintakan kesenian. Kesenian itu sangat tidak adil diklasifikasikan sebagai 'gedik' atau 'menggatal'. Perlu lihat juga, cara aku membawa diri di atas pentas.

"Eh Izan, tadi kau yang nak sangat, dia panggil tu, pergilah!"

Awalnya, segan juga sebab tiada orang yang naik. Sudahnya, aku gagahkan kaki melangkah tanpa menghiraukan orang di belakang apatah lagi mereka di kiri dan kanan. Apabila berada di atas pentas, kaki mula berentak sendiri dan sesekali menoleh ke arah pengunjung warga asing yang kelihatan terpinga-pinga. Terpanggil aku untuk mengajar dan memperlihatkan seni Malaysia.

Bila aku dah mula bergoyang....
Aqasha dan babanya pun turut serta!
Is that how you do it? - pelancong luar
"Ya, it so easy that you wanna keep dancing and moving" - aku
Malaysia Truly Asia!
Selesai sahaja segmen bersama para pengunjung, persembahan ditutup dengan tarian majmuk Malaysia Truly Asia. Bangga sekejap aku dibuatnya. Baiklah, aku dan Along tidak lupa dengan misi kami untuk menyudahkan kembara yang tertangguh. Bersama kami adalah umi dan juga Miqhail. Boleh dikatakan, rumah Bidayuh ini jauh lebih besar dan luas berbanding rumah-rumah sebelum ini. Sangat tepat sebagai penutup kembara kami di kampung budaya Santubong ini. Terima kasih kepada setiap warga kerja yang telah menyediakan perkhidmatan yang cukup baik! Anda memang BAGUS!!!

Medan cenderamata orang Bidayuh
Bertingkat-tingkat!
Sebelum bergerak pulang dan kembali ke Kuching, kami sempat singgah di Pantai Damai yang terletak berhadapan dengan Kampung Budaya ini. Menarik bukan? Di kaki gunung ada pula pantai. Pemandangan yang cukup indah. Malangnya, keganasan hempasan ombak, tidak mengizinkan pengunjungnya untuk bermandi-manda tetapi ada sebuah replika burung Kenyalang mirip tugu burung Helang di Langkawi, tentunya ramai yang ingin merakam gambar di sini.

Along tak lepas peluang bergambar dengan burung kenyalang
Kami juga sempat melepaskan lelah yang berbaki dan makan tengah hari di sini. Antara yang istimewa adalah air minumannya seperti yang aku minum; bandung sirap yang disediakan berlapis-lapis seperti teh 3 lapis di semenanjung. Ah, sedapnya dan menyegarkan.

Sedap...
Setelah masing-masing kenyang dan bersedia untuk ke destinasi seterusnya, sempat juga kami merakamkan sebuah lagi gambar famili. Kali ini di pintu masuk Kampung Kebudayaan Sarawak. Tidak dinafikan, seronok berada di sini, di setiap saat!

Terima kasih, sila datang lagi!
3 kenyalang melambai kepulangan kami

Destinasi seterusnya adalah kilang pembuatan pasu. Di sinilah tempat yang mana kalian boleh lihat masing-masing menggila membeli sakan. Mujur aku tak berapa minat dengan pasu-pasu. Aku cuma melihat sahaja dan ya, memang halus seni buatannya. Tidak hairanlah umi, along dan ayuz memborong sakan. Ya, kuasa membeli itu datangnya dari wanita! Hahaha.

Di sini juga para pengunjung diberikan kesempatan untuk membuat pasu sendiri. Kalau tidak silap, hanya RM5 atau RM10 aku pun dah lupa sebab, niat di hati memang nak buat sendiri kerana teringat kisah Rajo dan Chulbul Pandey tapi tak kesampaian. Kenapa? Entah. Lupa pula kenapa?

Deretan pasu yang baru siap dibentuk..
Tekun...
Oh ya, kebetulan sahabat Ayuz ada mengajar di sini bersama suami. Maka, kilang pasu ini juga menjadi lokasi untuk kedua-dua mereka bertemu. Waktu malamnya pula, sahabat Ayuz ada mempelawa kami untuk melawat bandar Kuching tetapi terpaksa ditolak sebab, masing-masing tak larat. Apa-apa pun, terima kasih ya! Kami perlu berehat dengan cukup untuk menjalani satu lagi aktiviti yang penuh mencabar keesokan harinya. Destinasinya; Sarikin dan juga Jong Crocodile Farm!

Ayuz dan sahabatnya...
Sempat merakam kenangan di Kuching!
Berminat untuk mengetahui perjalanan hari ke-tiga kami satu famili di Kuching? InsyaAllah, akan cuba dikemaskini di lain entri. Terima kasih kerana sudi membaca!

* entri ini pun mengambil masa untuk disiapkan. Hehehe...

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku