Sarawak; Berakhirnya sebuah kembara!

Kalau ikutikan perancangan awal, sememangnya episod pengembaraan di Sarawak tempoh hari ingin aku bahagikan kepada 4 entri berasingan mengikut hari. Namun, memandangkan terlalu banyak dan panjang tempoh antara satu entri dengan yang lain, jadi aku mengambil keputusan untuk menggabungkan pengembaraan hari ketiga dan keempat di dalam satu entri. Kenapa? 

Sebenarnya, aku perlu menyudahkan episod pengembaraan di Sarawak ini lebih awal untuk memberi laluan kepada entri-entri lain yang bakal diisi di sini. Ya, kebetulan pula terlalu banyak perkara yang ingin aku kongsikan sejak akhir-akhir ini. Semuanya terbantut kerana entri Sarawak masih belum aku sudahkan. Baiklah, rasanya cukup aku membebel tentang hal yang tidak berkaitan dan teruskan sahaja dengan kisah di Sarawak yang masih berbaki.

Hari Ketiga; Pasar Serikin, Taman Buaya & Kek Lapis

Sepertimana yang telah dijadualkan, percutian hari ketiga di Kuching diteruskan lagi dan kali ini perjalanan kami dipanjangkan sehingga ke Serikin iaitu sempadan Malaysia dan Indonesia. Sebelum berangkat ke sana, kami diberitahu tentang beberapa maklumat yang sangat penting untuk diketahui. Selain kedudukannya yang menghubungkan antara Malaysia dan negara jiran Indonesia, ia juga dikenali dengan Pasar Serikin yang menjadi tumpuan peniaga-peniaga dari seberang. Malah, kami juga diingatkan bahawa, cuaca di sini lebih panas (paling panas) berbanding kawasan-kawasan lain di Malaysia!

Pasar Serikin, Kuching, Sarawak
Sangat panas cuaca di sini...
Sesiapa belum sarapan? Bolehlah singgah membeli di sini dahulu!
Perkara yang sama turut diberitahu oleh sahabat Ayuz dan dia sempat lagi berpesan agar kami menyediakan bekalan air yang banyak. Ternyata kata-kata sahabat Ayuz itu benar, belum pun sempat kami mencecah tapak kaki di bumi Serikin ini, bahang kepanasannya sudah terasa. Apa yang peliknya, keadaan cuaca yang panas ini tidak sedikit pun menjejaskan jumlah pengunjung yang datang khususnya para pelancong. Malah, ramai antara mereka yang teruja dengan barang-barang yang dijual di sini. Ya, termasuklah keluarga aku sendiri. Lebih menarik lagi apabila melihat proses tawar menawar antara pembeli dan peniaga. Ada barang yang ditawarkan pada harga yang sangat rendah!

Antara makanan ringan yang dijual di sini...
Warna-warni Pasar Serikin
Panas tetapi tetap dikunjungi
proses tawar menawar sedang berlangsung
Disebabkan tidak tahan dengan cuaca yang panas, kami berkesempatan membeli beberapa barang itu pun setelah berjaya menurunkan harga seperti yang diinginkan. Ya, antara yang dibeli adalah beberapa helai telekung yang dijual pada harga beratus ringgit di semenanjung tetapi dapat dibeli pada harga yang sangat murah di sini selepas proses tawar menawar dan yang penting, kualiti tetap sama. Hahaha. 

Baiklah, kepanasan dan kehangatan Pasar Serikin kami tinggalkan dan bergerak menuju ke Jong's Crocodile Farm berdekatan Jalan Serian, Kuching tetapi kami telah singgah sebentar di Tasik Biru yang berhampiran di Pasar Serikin ini. Apabila terbaca nama Tasik Biru di papan tanda, ingatan terus melayang ke Kundang di mana di situ juga ada sebuah tasik yang dinamakan Tasik Biru. Memang sangat dikenali oleh orang-orang sekitar Rawang, khususnya Bandar Tasik Puteri. Akulah tu, sebab hari-hari berulang-alik ke tempat kerja akan menempuh tasik ini. Tasik Biru Serikin ini juga tidak kurang hebatnya, boleh dikatakan memang cantik dan damai mata yang memandang. Subhanallah. 

Tasik Biru, Serikin, Kuching
Umi dan abah, tak lepaskan peluang!
Sedang menyabarkan Aqasha yang ditinggalkan...
...bonda dan baba!!!
Aku pun tak nak lepaskan peluang ya!
nak ikut sama?
Taman Buaya Jong's Crocodile Farm yang menjadi destinasi seterusnya ini boleh dikatakan sebagai mini-zoo kerana turut menempatkan beberapa haiwan lain seperti burung helang, memerang, monyet, itik, angsa, ayam, merak dan banyak lagi. Manakala bayaran masuk yang dikenakan pula adalah RM16 untuk orang dewasa dan RM8. Oh ya, harga ini mungkin akan bertambah atau berkurangan di masa akan datang. Aku cuma berkongsi harga bayaran yang dikenakan ke atas kami. Okey?

Salah satu replika, telur buaya menetas
Helang yang tidak bebas terbang!
Telur buaya menetas...
Buaya tiada ekor!
Ini kesukaan aku!
Cuba cari yang tersembunyi...
Landskap yang cantik
Buaya dari Indonesia yang dipanggil Pak Indon!
Percayalah, buaya ni sangat besar!!!
Bersesuaian dengan namanya, buaya merupakan tarikan utama Jong's Crocodile Farm ini. Namun, binatang-binatang lain yang menghuni taman ini turut menjadi perhatian. Khususnya merak yang pada pendapat aku, binatang paling bongkak pernah aku temu! Apa tidaknya, agak lama juga aku menanti agar dia mengembangkan ekornya. Maklumlah, merak ini memang salah satu binatang yang kita semua tahu, cantik. Jadi, menunggulah aku waktu dan ketika untuk melihat merak ini menayangkan keindahannya. 

Merak yang bongkak!
 "Dia tu sombong, takkan layan kalau angah seorang. Bila dah ramai nanti, dikembangkanlah ekornya!" Beritahu adik iparku, si Firdaus.

Kesombongan merak membuatkan aku terleka dan lupa tentang kewujudan binatang yang lain. Okey, memang aku agak nakal kerana mengganggu seekor monyet yang sedang syok melayan dunianya. Terfikir juga aku, apa yang ada dalam mindanya? Asyik sungguh sehingga kehadiran aku di hadapannya tidak dihiraukan, membuatkan tangan mengetuk sangkar lantas mengamuklah si monyet itu. Maaf ya, jika aku buat kau terkejut wahai si monyet!

Elok aje dia diam, sampailah aku ketuk sangkar!!! Hahaha...
Aku juga hampir terlepas untuk melihat persembahan memberikan makanan kepada buaya. Kalau difikir-fikirkan, apalah yang menarik sangat dengan memberikan makan kepada buaya? Lainlah kalau penonton dipanggil masuk dan memberikan sendiri daging-daging kepada buaya-buaya yang memang lapar ini, mungkin boleh juga diterima pakai. Menarik atau tidak, istimewa atau biasa, aktiviti ini tetap berjaya menjadi daya tarik kerana ramai sungguh penonton yang memenuhi kawasan khas ini. 

buaya-buaya yang menanti berhampiran pondok makanan
menanti masa sebelum daging-daging 'diturunkan'
Jenis malas; tunggu makanan 'disuapkan'
Jika difikir-fikirkan semula, yang membuatkan ramai orang mahu melihat buaya diberi makan ini kerana tiada siapa pun yang mati, betul tak? Yalah, yang diberikan sebagai makanan adalah ayam yang digantung dan juga daging-daging yang dipotong dadu serta diagih-agihkan. Dalam masa yang sama, dapat juga melihat gelagat buaya-buaya ini beraksi untuk mengisi perut! Melompat, berebut-rebut dan berenang-renang mengikut daging yang dijadikan umpan. Hmm. Ini bukanlah bujang senang yang berjuang untuk mendapatkan makanan tetapi bujang senang yang diberi makan. Faham? 

Nampak mudah...
...tapi susah dan ini entah berapa kali si buaya cuba...
...untuk mengisi perut dan...
asyik terlepas!
terpaksa pula merebut satu umpan...
Agak lama juga buaya-buaya ini diberi makan, jemu juga dibuatnya. Sudahnya, kami angkat kaki dan mula mengatur langkah meninggalkan persembahan buaya-buaya ini. Agak letih juga berjalan-jalan sekitar taman buaya ini tapi tidak terasa sangat kerana dihiburkan dengan binatang-binatang lain dan juga replika yang dibina khas sebagai hiasan. Antara replika yang menjadi tumpuan kami sekeluarga adalah burung kenyalang di dalam taman ini. Haih, macam tak puas-puas bergambar dengan replika burung kenyalang, rasanya sudah banyak dalam koleksi sepanjang di Sarawak ini. Hehehe.

Minat sungguh aku dengan burung-burung kenyalang
Gambar dalam gambar. Faham tak?
Aku tak tahan tengok gelagat Aqasha! Letih sangat mungkin!!
Masa untuk bergambar, yihaa!!!
Kami dah sedia...eh, Miqhail mana?
Oh, dia nak bergambar sorang-sorang...
...dan bersama wan! Haih...
Satu-satunya perkara yang membuatkan aku gembira tidak terhingga, sebelum meninggalkan taman ini dan dalam perjalanan keluar semula ke tempat letak kereta, merak yang tadinya bongkak dan sombong tidak mahu memperlihatkan keindahannya, telah mengembangkan ekor dengan bangga sekali. Aku tidak melepaskan peluang merakam saat-saat yang boleh dikatakan sangat hebat ini. Alhamdulillah, diizinkan juga oleh Allah untuk aku melihat salah satu ciptaan-Nya.

Megah si merak!
Amboi, bergaya betul budak ni...
Itu maksudnya, pistol. Ya, Mierza dah rindu pistol mainannya.
Apa yang lebih mencuit hati, apabila melihat gelagat anak-anak buah aku yang bersungguh-sungguh bergambar dengan replika buaya gergasi yang ada di pintu masuk taman ini. Bukan setakat anak-anak buah aku sahaja, malah kebanyakan dari para pengunjung yang datang tidak ketinggalan merakamkan kenangan bersama replika bujang senang ini. Cuma keluarga aku sahaja yang kurang berminat. Kenapa agak-agaknya ya? Oh, tentu tidak ada kaitan dengan bomoh yang menggegarkan dunia dengan kehebatannya menampar mati buaya seperti digembar-gemburkan. Tambahan pula, semasa kami melancong ke Sarawak, tok bomoh ini masih belum dikenali. Hahaha.

double M dah mula beraksi!!!
adik memang sentiasa bersedia
Adik dah mula 'confused', abang 'maintain' dengan imaginasinya!
My love... I love you till the end and of course, jannah!
Dari sini, kami bergerak pula ke kilang atau lebih tepat lagi kedai kek lapis yang berada di tengah-tengah kepesatan bandaraya Kuching. Kami difahamkan, Kedai Kek Zaharah ini merupakan salah satu pengeluar kek lapis yang sangat terkenal dan menghasilkan bermacam-macam pilihan. Dikesempatan ini juga, kami masing-masing diberikan kesempatan merasa terlebih dahulu sebelum membuat tempahan. Memang sedap terutamanya resepi khusus kedai ini sendiri dengan campuran Oreo dan Kit Kat. Syok dan terangkat!


Hari Keempat; Lawatan Terakhir sebelum Berangkat Pulang

Singkat sungguh rasanya kami bernafas di bumi Sarawak ini dan hari keempat pun menjelma, sekaligus menandakan percutian berakhir hari ini. Namun sebelum berlepas pulang semula ke Kuala Lumpur, Olin selaku pemandu pelancongan membawa kami ke beberapa lagi destinasi yang menarik. Yang menariknya dengan destinasi hari ini ialah, semuanya muzium. Bagi pengetahuan anda, di Kuching ini ada beberapa buah muzium. Macam-macam muzium di sini. Selain muzium, kami juga berkesempatan menziarah Akuarium Bandaraya.

Mari kita berpoco-poco...
Alahai, geramnya nak cubit-cubit budak 2 orang ini...
Maaf ya, Mysarah tak larat!
Banyak ikan...
Boleh teka, ini ikan apa?
Ikan keli albino, pernah tengok?
Dia dah jumpa...
...benda yang dia suka
Setibanya kami di akuarium ini, Miqhail telah mengesan satu tempat yang sangat menakjubkan. Sedang kami leka dengan ikan-ikan yang dipamerkan dalam akuarium, Miqhail berlari keluar ke taman. Aku memang tidak larat untuk mengikut kehendaknya. Mujur Along dan abang Zamri sempat mengejar dan mengikut sahaja arah yang dibawa anak buah sulungku ini. Entah macam mana, rupa-rupanya ada tugu memperingati pahlawan Sarawak di tengah-tengah taman ini. Sempat jugalah Along dan familinya merakam kenangan di sini. Wah, kuat betul gerak hati Miqhail, ya kan?

Miqhail, pandai menilai keindahan dalam sesuatu yang pelik
Along dan anak-anaknya...
Comel sungguh...
Apa agaknya yang cuba disampaikan Mysarah!
Don't talk to me!
Miqhail sayang...
Si comel Aqasha...
Sangat memahami!!!
Berhampiran dengan akuarium tadi, terdapat beberapa buah muzium. Antara yang sempat aku lawat adalah Muzium Kesenian dan Kebudayaan serta Muzium Etnologi. Aku melawat di muzium itu tidak lama kerana memandangkan aku sendirian, tidak mahu pula menyusahkan yang lain sekiranya mereka ingin bergerak ke kawasan yang lain pula. 

Ini meriam buta, tak berpeluru
Atuk dan cucunya, menyambut anda!
Alahai, nak pergi mana lagi ni?
Setelah selesai melawat beberapa muzium, kami dibawa pula untuk melihat pameran dinosaur kebetulan diadakan di sini. Awalnya aku enggan turun. Maklumlah, agak jemu juga untuk melihat benda yang telah dilihat berulangkali. Entah berapa kali aku telah melawat tempat pameran dinosaur tetapi terpaksa juga turun untuk menghormati Olin. Hah, sebaik sahaja turun ternganga juga sebab ada pula program istimewa. Tak tahu pula apa nama programnya, yang aku tahu ada macam-macam permainan disediakan. Hahaha. Kami tak masuk pun untuk melihat pameran dinosaur, sebaliknya leka mengikuti setiap permainan yang disediakan. Lebih bagus lagi, ada ganjaran diberikan kepada mereka yang berjaya mengumpul token. Banyak juga yang kami kumpul sehingga berjaya membawa balik beberapa hadiah! Yiihaaa!!!

Dapat banyak token di sini!
Mencongak dalam masa seminit, kau boleh?
Masa untuk menuntut hadiah!!!
Alahai, sampai tertidur Aqasha!
We are the champion, my friend!!!
Buat untuk kali terakhir, kami dibawa berjalan-jalan sekali lagi di bandaraya Kuching dan singgah di beberapa lagi buah pasar untuk membeli barang-barang cenderamata sebagai tanda kenangan dibawa pulang. Oh ya, kami juga kembali semula ke kedai Kek Lapis Zaharah untuk mengambil tempahan yang telah dibuat semalam. Wah, harum sungguh baunya. Tak sabar pula untuk makan dan memberikan kepada kawan-kawan di semenanjung.

Kalau nak cuba, inilah nombor untuk dihubungi!
tak lekang dengan hadiah dimenangi tadi!
Macam-macam pilihan!
Hanya tinggal batang, belon dah pecah!
Cukup ke, tidak kek-kek ni?
Kubah Ria; tempat aku membeli rumpai laut. Mmmm, sedap!
kedai-kedai cenderamata...
Antara yang sibuk membeli-belah!!

Tak cukup dengan itu, kami dibawa ke kedai makanan yang lain pula untuk merasa mee kolok. Sayangnya, restoran kali ini kualiti mee koloknya tidak setanding dengan mee kolok yang pertama kali kami makan di sini. Entah mana silapnya. Apa-apa pun, mee kolok sudah menjadi salah satu menu makanan yang telah menjadi kegemaran. 

Kopi O Corner, tahu di mana?
Olin dan abah...
Setelah menjamu makan tengah hari, kami pun bergerak pulang ke homestay dan kali ini kepulangan terakhir kami sekeluarga di sini. Entah bila lagi akan bertamu di sini. Mungkin ya atau tidak, tiada siapa yang tahu. Tidak dinafikan, percutian kali ini antara yang paling seronok kerana aktiviti-aktiviti yang disediakan. Namun, secara peribadinya hati lebih memilih Sabah sebagai destinasi percutian sekiranya aku mahukan ketenangan. Jujurnya, antara Kuala Lumpur dan Kuching, tiada banyak beza. Kenapa aku katakan demikian?

Kepesatan yang melanda Kuching tidak jauh bezanya dengan Kuala Lumpur. Kepesatan yang sama juga menjadi tanda aras pembudayaan budi dan bahasa. Hmm. Di sini aku dapat lihat mereka yang mementingkan diri sendiri yang biasa aku temu di Kuala Lumpur, Di sini juga aku membaca kesombongan pada riak wajah mereka, seperti keangkuhan warga Kuala Lumpur. Disebabkan hal inilah yang membuatkan aku lebih memilih Sabah kerana ia masih hijau. Manusiawinya membuatkan aku bahagia dan keharmonian serta kedamaiannya membuat aku berada di dunia yang lain. 

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak
Mierza : Abang, adik nak bawa rafflesia ni balik!
Miqhail : Ok, rafflesia ni cantik. Aqasha, tolong jaga 'line'
Aqasha : Copy that abang Miqhail. Line clear!!!
Aqasha : Alamak abang-abangku, kantoi sudah!!!
Miqhail : Eh, kami tak bawak balik. Kami duduk aje ni!
Mierza : Eh, mana abang hilang ni? Tadi dia ada kat sini je!
Aqasha : Saya tidak ada kena mengena dengan konspirasi rafflesia tadi!
Aqasha : Bonda adalah bukti saya!!! Hahaha...
Selamat tinggal Kuching, Sarawak!
Penerbangan pulang kami dijadualkan dari Kuching ke Kuala Lumpur adalah sekitar 9 malam. Kami telah dihantar ke lapangan terbang oleh Olin seawal 7 petang tetapi penerbangan tersebut telah ditunda beberapa kali sehinggalah membawa ke pukul 12 tengah malam. Mulanya aku nak marah juga tetapi pasti ada sesuatu yang membuatkan pihak Air Asia menangguhkan penerbangan. Maklumlah, ia berkaitan dengan nyawa serta dalam masa yang sama, prestasi juga reputasi Air Asia sendiri. Lebih elok ditunda sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diinginkan, betul tak?

Namun begitu, ada sesuatu yang sedikit tidak berkenan di hati. Bukan kerana cara Air Asia mengendalikan penerbangan yang ditunda ini, sebaliknya sikap segelintir para penumpang yang aku kira sangat tidak relevan. Baiklah, aku mengerti mungkin mereka sudah jemu menunggu tetapi ia bukan tiket untuk mereka membuat bising dan dalam masa yang sama mengganggu ketenteraman para penumpang yang lain. Rasa-rasa, kulit muka aku pula yang menipis kerana rasa segan melihat mata-mata yang tidak habis memandang ke arah mereka. Mereka ini pula, tanpa segan silu bergelak-tawa dan meriuhkan keadaan. 

* Diharapkan, para penumpang lebih sensitif dengan perasaan orang lain. Sesiapa juga, tidak kira di mana. Tolonglah hormati orang disekeliling. Terima kasih!

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku