Tuesday, June 5, 2012

Sesuatu yang tersembunyi...

Sedang aku membelek isi-isi dan data dalam Romi Jr (komputer ribaku), aku terserempak dengan gambar yang sudah lama berada dalam simpanan. Kebetulan ketika itu, aku berada di bilik umi dan abah. Umi terpandang gambar itu. Aku cepat-cepat menekan butang seterusnya pada dada Romi Jr. Malangnya, tak sempat. 

"Gambar apa tu?" soal umi.

"Izan buat dulu, saja-saja" ujarku.

"Buka, umi nak tengok," pinta umi.

Tak ada pilihan lain buatku. Aku membukanya. Tiba-tiba rasa malu. Seakan tertangkap selepas membuat kesalahan, menyimpan gambar Salman Khan! Wah, hahaha!

"Bila kau buat?" soal umi.

"Dah lama, lepas abah keluar dari wad dulu," jawabku.

"Kenapa tak tunjuk kat umi dan abah?" tak henti menyoal.

"Malu...," ujarku ringkas.

"Amboi, yang ini kau malu. Kalau gambar mamat Hindi tu tak pulak ya?" perli umi.

Tak pasal-pasal kena. Aduhai, nasib.

"Apa yang kau tulis dalam gambar tu. Baca sikit, umi tak nampak," sambung umi.

Alamak. Semakin berat permintaan umi. Nak tak nak, aku kena baca. 

"Umi dan abah...
Tiada kata tanpa bahasa...
Tiada irama tanpa lagu...
Tanpa kamu...
Tiadalah aku...

Kamulah kata dalam bahasaku...
Kamulah irama dalam laguku...
Hanya kamu...
Nyawa dan duniaku."

Aku terdiam. Umi juga begitu. Abah yang duduk di atas katil turut terdiam.

"Print gambar tu, umi suka...," kata umi. 

Aku pandang umi dan abah. Sesungguhnya, itu bukan sekadar ayat. Itu rasa yang ada. Dan kalaulah rasa itu boleh digambarkan dalam kata-kata. Yang terluah, masih belum bisa menggambarkan rasa ini.