Monday, March 26, 2012

Kemanusiaan = Kesatuan

Pernah tak kalian bertemu dengan satu soalan pelik sebegini...

"Agaknya apa yang ada dalam kepala otak kau? Aku teringin sangat nak tengok!"

Takkanlah kau tak seram dengar soalan macam tu? Aku pandang juga muka orang yang tanya soalan ini, dua tiga kali. Katanya lagi, apa yang aku fikirkan tak tergambar pun pada raut wajah aku. Boleh terima? Entahlah. Suka-suka hati nak tengok otak orang. Ish ish ish. Buat pengetahuan anda (tahu dia sedang membaca ini), kalau dibedah, dibelah, dikeluarkan otak saya sekalipun, tidak akan ada apa-apa untuk dibaca melainkan urat-urat merah, berdaging putih, merah jambu lembut yang sangat menggelikan akan kelihatan. Berani?


Otak siapakah? Pastinya bukan milik aku!

Hei saudara, jangan kecil hati ya! Hahaha.

Hari ini, aku mahu bercerita tentang satu kisah benar. Benar-benar berlaku kepada aku dan teman sekerja. Kisah yang sangat indah kalau dilihat lapisan demi lapisan. Tengah hari itu, kali pertama kami berdua nak menjamu selera di kedai mamak. Bukan sebab ketagih bau haruman mamak, tetapi nak melarikan diri dari suasana pejabat untuk sementara. Biasalah, berhari-hari di pejabat, ada masanya nak mencuci mata juga. Hehehe.

Nak dijadikan cerita, semasa menuruni anak tangga sebelum melintasi jalan, kami terdengar bunyi suara kucing. Aku mencari-cari juga dari mana datangnya bunyi itu. Teman sekerja aku menunjukkan kucing yang sudah pun ada dalam longkang besar. Katanya lagi, pagi tadi kucing itu dilihatnya berada di tebing longkang. Mungkin kucing putih itu terjatuh. Aku dan dia cuba mencari jalan untuk membawa kucing itu naik. Malangnya, jarak antara longkang dan tebing sangatlah dalam.


sekadar gambar hiasan (tapi lebih kurang beginilah longkangnya!)

Kami mencari sesuatu yang boleh mengaut kucing malang itu. Kayu yang ditemui di kiri kanan jalan, tidak cukup panjang. Aku dan dia berjalan sedikit ke hadapan dan ternampak palong yang melintang di antara tebing longkang di sebelah sana dan juga di sebelah tempat kami berdiri. Palong itu boleh digunakan untuk terjun ke dalam longkang yang dalam tetapi kering itu dan dipenuhi dedaunan.

Aku cuba melihat jarak kedalaman longkang itu. Hmm. Memang aku tak mampu. Aku mampu untuk turun tapi pasti tidak mampu untuk naik kembali. Sedang kami sibuk berkira-kira untuk menyelamatkan kucing putih yang masih merintih dalam longkang, datanglah pengawal keselamatan yang kebetulan memang ramah dengan aku. Jadi, aku ambil kesempatan ini dan meminta dia selamatkan kucing itu. Mulanya dia menolak dengan mengatakan, dia pasti tidak boleh naik ke atas semula.

Dalam masa yang sama, seorang pemuda datang. Tanpa berfikir panjang dan menolak perasaan segan jauh-jauh, aku minta dia berhenti dan selamatkan kucing itu. Tidak seperti pengawal tadi, pemuda ini hanya menjenguk sedikit dan terus berlalu. Hmm. Hampa? Sangat kecewa aku dibuatnya. Melihatkan itu, pengawal tadi tekad untuk turun dan meminta aku pegang topinya. Belum sempat melangkah ke palong, datang seorang budak dan seorang pakcik tua. Budak itu bertanya, apa yang terjadi dan aku katakan padanya, seekor kucing bunting terjatuh ke dalam longkang dan tak dapat naik.


sekadar gambar hiasan (beginilah rupa kucing putih bunting itu)

Mendengar kata-kataku itu, budak lelaki tadi terus meluru menghampiri dan berjalan ke palong lalu melompat terus ke dalam longkang. Aku perlu katakan di sini, budak itu sangat pantas. Dia berlari mendapatkan kucing bunting yang ketakutan dan menyerahkannya kepada pakcik tua yang sedia menunggu di tebing. Kucing berjaya diselamatkan tetapi budak lelaki tadi tidak dapat naik memandangkan longkang yang sangat dalam dan dia tidaklah begitu tinggi. Maklumlah, dia masih budak. Pakcik tua menghulurkan tangan supaya dia dapat berpaut. Memandangkan kekuatan pakcik tua itu pun tidak membantu, aku mencapai tangannya. Dia berpaut kuat pada tanganku dan akhirnya, berjaya keluar dari longkang tersebut.

Misi menyelamatkan kucing putih bunting selesai. Kami berlima bertukar-tukar ucapan terima kasih kerana kesanggupan masing-masing membantu misi ini. Aku tepuk bahu budak lelaki itu dan berterima kasih. Dia tertunduk malu. Kucing putih bunting yang diselamatkan tadi menggesel ke kakiku. Tiba-tiba rasa geli pula. Bukan sebab apa, aku ni tak berapa 'rapat' dengan kucing. Jangan salah faham. Aku memang suka kucing tapi tak pernah bermanja atau nak main pegang-pegang. Takut. Takut kena cakar! Hahaha.


Sekadar gambar hiasan (mata kucing yang sebenar, matanya lebih cantik)

Kucing putih yang bunting itu terus menggesel kakiku dari kanan ke kiri, aku pandang ke dalam matanya. Seperti berkata sesuatu dan dia terus menggesel lagi. Baiklah. Aku faham. Mungkin, itu caranya untuk dia ucapkan terima kasih kepada kami. Kalau ikutkan hati, mahu saja aku pegang dan dukung kucing itu, tetapi memandangkan aku masih tidak berkeyakinan untuk memegang kucing, aku meminta pengawal keselamatan itu untuk mendukung dan membawanya ke tempat yang lebih selamat. Alhamdulillah. Bukan satu nyawa diselamatkan, malah beberapa nyawa lagi.


Harap dia sentiasa selamat

* Pengajaran yang dapat diperolehi dari kejadian ini, kemanusiaan yang menyatukan manusia, bukanlah kefahaman politik mahupun konsep 1Malaysia! Selagi ada sifat kemanusiaan, di situ akan ada kesatuan. Kalau sifat kemanusiaan dihinjak dan kepentingan manusia diutamakan, maka perkara tadi tidak akan terjadi, tak begitu? Dan mereka yang terlibat tadi, terdiri dari pelbagai kaum; Melayu (aku dan teman sekerja), Cina (pengawal keselamatan dan pakcik tua) dan India (budak lelaki). Tahniah!