Cinta Hati...

Satu ketika dulu, aku pernah berjanji tidak mahu 'bercinta' lagi.
Sakitnya hati apabila ditinggalkan cinta hati amatlah pedih tidak terperi.
Namun sebagai manusia,
siapa yang mampu menolak sekiranya ia datang mengetuk kembali?

Setelah pemergian beberapa cinta hati membuatkan aku berpatah arang untuk memulakan semuanya dari awal. Silky, CJ dan Kokoi. Pergi dengan keadaan penuh tragik, malah aku sempat berbengkak mata menangisi pemergian mereka. Kura-kura dan ikan koi kesayanganku.

Dulu aku pernah bercerita betapa hati ini kepingin untuk memiliki seekor kura-kura bintang sebagai haiwan peliharaan. Bila orang bertanya, kenapa kura-kura? Kenapa bukan kucing, arnab dan hamster? Aku cuma jawab, "kura-kura sangat comel!"



Jawapan aku itu sering dibalas dengan ketawa. Eleh, kalian yang tidak faham keunikan kura-kura, sebab itulah ketawa! Kura-kura sangat comel, terutama sekali bila menyembunyikan diri dalam cengkerangnya. Bila makan, congok! Tak sempat aku hulurkan kepingan makanan, dia dah menerpa keluar. Comel, bukan? Bila nak bermanja, dia suka dicium di atas kepalanya yang licin. Hahaha. Ada yang geli baca bahagian ini?

Baiklah, sudah cukup sesi mengenang cinta hati yang sudah pun berkubur. Kali ini, aku mahu menceritakan tentang cinta hati yang datang tanpa disengajakan. Ya. Kehadiran satu lagi cinta hati ini tidak pernah aku sangka atau rancang tetapi ia datang dalam rupa bentuk pemberian. Seekor ikan patin hasil tangkapan jiran aku yang mulanya diberikan kepada abah sebagai hidangan. Aku masih ingat lagi, ikan patin ini datang dalam bungkusan, waktu itu sudah agak lewat malam. Abah tidak terus masuk ke dalam rumah, sebaliknya berbual mesra terlebih dulu.

Aku leka melayan Miqhail dengan I-Pad nya. Umi pula sudah merencana, masakan apa yang bakal dibuat dengan ikan patin itu nanti. Apabila abah masuk, abah serahkan ikan patin dalam bungkusan plastik putih kepada aku dan kata,

"Buatlah apa yang kau nak."

Aku terkejut.

"Kita bela?"

"Pergilah isi air dalam akuarium tu," kata abah, tidak menolak permintaan aku.


Hari pertama TinTin ... matanya merah, cedera barangkali!

Tanpa berkata apa-apa, aku terus meluru ke luar rumah dan mula mengisi air dalam akuarium yang baru sahaja aku alih dan bersihkan beberapa hari sebelum itu. Dalam aku sibuk mengisi air, abah sempat juga kata yang ikan patin itu tak mungkin hidup sebab dah lemah sangat. Tambah pula, dah lama ditangkap dan terperuk dalam beg plastik tadi.

"Kalau tak boleh, tak apalah Izan," pujuk abah.

Seperti biasa, aku ini manusia degil dan tak hatinya tak kurang keras dari batu! Jadi, aku terus menggosok badan ikan patin. Sekejap dia mula bergerak dan beberapa minit kemudian, dia menyendeng. Tidak bergerak. Aku masukan tangan ke dalam akuarium dan terus mengusap badannya tanpa henti. Dia bergerak dan berhenti. Bergerak dan berhenti.

"Dahlah Izan. Tengah malam dah pun, pergilah masuk tidur. Bawa si Miqhail. Abah nak berjaga malam ni," kata abah yang bertugas berkawal kawasan rumah malam itu. Kebetulan, abah dengan beberapa penduduk lain bertugas menjaga KESELAMATAN Park Avenue malam itu!

"Izan tak rasa dia akan mati, abah," kataku lagi, mengharap.

"Kita biarkan dia dulu dalam akuarium tu, nanti bila abah balik, abah tengoklah. Kalau dia dah tak bergerak, abah buang aje. Kalau dia bergerak, baguslah." Pujuk umi.

Aku tak cepat mengalah dengan pujukan umi. Aku terus menggosok badan TinTin. Hahaha. Ya, belum apa-apa lagi aku dah beri nama dia TinTin. Sambil badannya aku gosok, aku katakan ini kepadanya... (maaflah, terguna bahasa penjajah pula masa bercakap dengan TinTin)

"You're strong TinTin, fight for your life and breathe!"

Selepas itu sahaja, barulah aku tinggalkan TinTin dengan harapan, aku akan jumpa lagi dengan TinTin esok. Bukan jumpa untuk dibuang ke dalam sungai atau longkang tetapi, jumpa untuk beri makan dan bermain-main dengannya.


TinTin... fight for your life!

Keesokan paginya, sebaik bangun dari tidur seawal pukul 5 pagi (tanpa sedar waktu itu masih gelap), aku berlari ke rumah bawah dan menyelak langsir untuk melihat akuarium. Tak puas hati, aku keluar... TinTin, bergerak. Alhamdulillah. Panjang umur si TinTin. Tak sia-sia aku memberi sentuhan dengan mengusap-ngusapnya. Sangat gembira tidak terhingga sehinggakan aku tweet kisah TinTin di Twitter. Ada yang ketawa, ada yang turut gembira!

Apa-apa pun, aku bersyukur kerana dapat seekor lagi teman baru dan cinta hatiku. TinTin. Sekarang, TinTin dah garang. Aku tak boleh nak belai macam mula-mula dia datang ke rumah ini. Silap haribulan, boleh disengatnya. Nak lihat, macam mana rupa TinTin? Ikan Patin paling kacak pernah aku lihat. Kenapa pula? Sebab, ikan patin lain aku nampak masa dah mati dan bersedia untuk dimasak! Lalalaaa...


Miqhail kata... " Angah, cat-fish!"

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku