Sunday, February 20, 2011

Hari Istimewa 26 - 29 Januari

Saban tahun, bulan Januari sentiasa memberi erti untuk kami sekeluarga. Satu, ia merupakan tarikh penyatuan umi dan abah. Ya, hari bersejarah yang menyaksikan ikatan pernikahan yang termeterai pada 29 Januari, 1978. Lima tahun kemudian, pada tarikh yang sama, lahirlah aku. 29 Januari 1983. Bulan Januari juga menyaksikan kelahiran adikku, yang juga anak bongsu Md Zahar dan Shaharum Bariah, Shahyuzana Akmam pada 27 Januari 1987. Peristiwa bersejarah terus diukir lagi, pada 26 Januari 2008, pernikahan kakak sulungku, Shahaizah Azlin dan suaminya, Zamri. Tahun ini, untuk menambah lagi kemanisan bulan Januari, berlangsung pula majlis cukur jambul Mierza, anak buah keduaku dan majlis pertunangan Ayuz yang dilakukan pada hari yang sama, 29 Januari 2011.

29 Januari, 1978
Kisah Md Zahar & Shaharum Bariah (Abah dan Umi)

Sepertimana biasa, setiap kali majlis diadakan di rumah, aku dipertanggungjawabkan menyediakan hiburan untuk para tetamu yang hadir. Dalam santai dan sedang sibuk berbual, boleh juga selingan ini memberikan hiburan di samping mengenal serba sedikit tentang kisah famili kami. Kisah tersendiri. Aku hanya ada masa seminggu untuk menyediakan enam video. Jujur aku katakan, setiap kali tiba proses menyediakan video, membuat aku teruja. Kembali melihat rentetan sejarah, kadang tidak tersangka airmata menitis. Bukan sedih, tetapi terharu.

Kisah yang paling aku suka sejak kecil sehinggalah sekarang, pastinya pertemuan klasik abah dan umi. Abah gemar menceritakan kisah cintanya kepada kami tiga beradik. Mungkin, akulah yang paling suka kerana mirip kisah hero-heroin hindustan. Kata abah, masa kecil dulu, dia gemar mengikut arwah nyang (moyang) ke kampung bertemu sanak saudara di sana. Abah dan umi, sudah kenal mengenali sejak dari kecil kerana ada kaitan persaudaraan. Hmmm. Kalau aku ceritakan, agak berbelit dan terbelit. Cukuplah, sekadar aku sahaja yang tahu.

Menjelang dewasa (masih muda remaja), abah masih mengikut rombongan arwah nyang dan arwah Wan. Kali ini, (menurut cerita abah dan disahkan oleh umi!) abah tidak berpeluang bertemu dengan umi secara bersemuka. Ketika itu, umi baru pulang dari sekolah. Abah serta arwah Nyang dan Wan duduk di ruang rumah bahagian bawah (dapur). Sesekali abah menjeling memandang umi yang berada di rumah atas, bahagian ruang tamu. Perkara yang paling abah jelas ingat ialah, bunyi gemerincing dari gelang kaki umi. Bunyi itu juga membuatkan abah tertarik memandang ke tingkat atas. Malangnya, abah hanya dapat melihat kaki umi yang berlari-lari anak.

Abah... macam hero hindustan!

heroin abah... umi, ala-ala Bobby!

Bermula dari situ, abah seringkali mencari alasan untuk datang lagi ke kampung semata-mata mahu bertemu umi. Hebat sungguh cinta abah kepada umi, bukan? Dalam masa yang sama, umi sedikit sebanyak terpikat dengan cara abah itu. Aduhai... sungguh indah. Seindah kisah romantik hindustan! Dan setiap kali ceritaMaine Pyar Kiya ditayangkan di televisyen, ataupun aku sendiri mainkan, pasti abah akan kata....

"Macam inilah abah dan umi dulu...," sambil tersenyum memandang umi.

Kisah pertemuan dan percintaan umi-abah, aku jadikan sebagai bingkisan video. Harap mereka akan terus bahagia hingga ke akhir hayat. Aku? Kalau ada kisah untuk aku, kisah beginilah yang aku mahukan. Tetapi, masihkah ada cinta semurni dan semulia ini? Wallahualam.

Umi dan abah... sayang sampai hujung nafas. Insya-allah.

Kalau mengikutkan urutan tahun dan tarikh, sepatutnya ini giliran aku. Kisah aku tidaklah menarik pun, Jadi, aku berikan laluan kepada yang lain-lain dahulu. Peristiwa seterusnya, hari kelahiran adikku.

27 Januari 1987
Kisah Shahyuzana Akmam (Ayuz/Shana)

Lahir dua hari lebih awal dariku. 27 Januari. Bukan tahun yang sama, tetapi 4 tahun selepasku. Orang tua-tua dulu selalu berkata, kalau berkongsi tarikh dan bulan yang sama, maka selalu bergaduh. Bergaduh? Biasalah. Asam garam kehidupan. Tetapi, taklah bermaksud bermasam muka berbulan-bulan. Bergaduh itu sebahagian dari gurau senda. Kadang-kadang terlebih gurau yang menjadi punca pergaduhan. Hihihi. Masa dia budak-budak dulu, tak sah kalau tak berpegang tangan ke mana pun dia pergi. Sekarang? Sudah besar. Sudah pandai buat keputusan sendiri. Alhamdulillah. Akhirnya dia ditemukan jodoh dengan seseorang yang sememangnya memahami kerenah dan anginnya.

ini Ayuz...
sejak dari kecil, orang 'kena' dengar cakap dia. Hahaha

Majlis 29 Januari lalu, agenda utamanya adalah majlis pertunangan Ayuz dan Firdaus di samping majlis cukur jambul si kecil, Mierza yang sudahpun genap 3 bulan. Sejak kecil lagi, aku dah menjangka yang Ayuz akan berkahwin lebih awal dari aku. Salahkah? Tidak bukan? Cuma ada mulut-mulut yang kurang iman mempersoalkan itu dan ini. Entahlah. Kenapalah boleh timbul persoalan sumbang dari mulut-mulut mereka. Aku juga tahu, untuk menutup mulut mereka, bukan senang. Bila ditegur, masam muka. Hmm.

Detikku dalam hati, "Dalam usianya yang sudahpun 24 tahun, memang seharusnya Ayuz berkahwin. Jodoh pun sudah ada, buat apa perlu Ayuz tunggu lama-lama?"

Kepada mereka yang tidak puashati dengan jawapan aku tempoh hari, amat lapang didadaku untuk bertanyakan mereka tentang rukun iman. Ya. Rukun iman bukan sekadar dihafal, tetapi dihayati dan jadikan pegangan. Anda (mereka yang terus bertanya dan marah aku membiarkan aku 'dilangkah bendul) benar-benar tahu rukun iman?

Apa-apa pun, hati jadi tenang hati melihat majlis berjalan dengan lancar sekali. Lebih lancar dengan kehadiran teman-teman persekolahan Ayuz. Malah, jiran-jiran tetangga mengisi kekurangan dan kecacatan yang diciptakan oleh mereka yang hanya pandai bercakap tetapi tidak pernah ada bila diperlukan. Siapa? Faham-fahamlah sendiri. Cukup aku katakan, "lebih kuah dari sudu".

Alhamdulillah. Majlis berjalan dengan tenang dan lancar. Semuanya terserah pada mata yang melihat dan hati yang merasa. Kalau putih hati, maka eloklah apa yang dipandangnya. Jika busuk hati, maka semuanya dikatakan cela. Lumrah manusia.

Kepada Firdaus dan adikku, Ayuz. Selamat melangkah ke alam pertunangan. Alam yang banyak menguji kesabaran dan juga mengundang pelbagai dugaan. Harap kalian sentiasa tabah bersama. Insya-allah.

Video untuk Ayuz dan Firdaus sempena menempuh alam pertunangan...

* Aku ambil peluang ini untuk berterima kasih kepada Pak Lang dan Mak Lang, kata-kata motivasi dari mereka buat aku tenang. Bukan seperti sesetengah orang yang bermulut manis bertanya khabarku tapi...hahaha. Renung-renungkan.

26 Januari, 2008
Kisah Shahaizah Azlin dan Zamri (Along dan Abang Zamri)

Along. Kakak sulungku, Shahaizah Azlin. Salah seorang idolaku. Mempunyai pengaruh terbesar dalam keputusanku. Sentiasa ada. Menegur, menasihati dan menyokong dalam benar mahu pun tindakan kurang bijak yang pernah aku ambil. Sejak bergelar seorang isteri dan dinaikkan pangkat sebagai ibu, Along masih sama. Tanggungjawab, perkara utama. Itu pesan abah untuk kami bertiga.

Sudah tiga tahun, Along berumahtangga. Aku pasti, dia sudah pun menjalankan tanggungjawab sebagai anak, kakak, isteri dan ibu yang paling baik. Bersama-sama dengan teman pilihannya, abang Zamri, mereka melengkapi antara satu dengan yang lain. Tidak banyak yang boleh aku ceritakan untuk ulangtahun perkahwinan mereka. Hak peribadi. Aku tidak boleh melanggari batasan itu.

Along dan famili bahagianya...

Dalam tempoh 3 tahun, Along sudah dikurniakan dengan kehadiran 2 cahaya mata, Miqhail dan Mierza. Aku amat berharap, akan menyusul seorang atau lebih lagi cahaya mata dari along. Malah, aku sudah pun memberitahunya bahawa dua tahun lagi, seorang puteri akan muncul untuk bersama abang-abangnya.

"Senang-senang suruh orang beranak. Kau beranaklah sendiri!" Balasnya padaku setiap kali aku mahukan kehadiran seorang puteri kecil. Hehehe.

Jadi, sebagai mengenang ulangtahun perkahwinannya, aku menghadiahkan video ini. Awalnya Along enggan terima, tetapi bila dah tengok... dia enggan berhenti. Tahniah Along dan abang Zamri. Semoga terus bertahan dan berkekalan selamanya. Amin.

* Mengenangkan kembali, bingkisan kisah yang berlaku pada 26 Januari 2008, hati jadi sayu. Maklumlah, ketika itu aku masih giat belajar dan dikelilingi rakan-rakan. Sekarang keadaannya berbeza. Masing-masing sudah ada kerjaya sendiri.

29 Januari 2011
Majlis Cukur Jambul Mierza dan Pertunangan Firdaus-Shana (Firsha)

Disebabkan tadi, aku sudah bercerita tentang Ayuz, bahagian ini aku khaskan untuk ahli terbaru dalam famili Zahar. Mierza Zamri. Dilahirkan pada 24 Oktober 2010. Seorang bayi lelaki, comel dan mirip aku. Hehehe. Matanya sepet, badannya tembam dan kulitnya ala-ala aku. Tapi, wajahnya iras Ayuz. Mierza, bayi yang tidak banyak kerenah. Tidak cepat menangis dan suka tersenyum.

Miqhail buli Mierza... atau sebaliknya.Hmmm.

Kehadiran Mierza menambah keceriaan. Miqhail, tidak pernah aku lupakan. Masa aku banyak diluangkan bersama dua cilik ini. Sayang aku pada mereka, Allah sahaja yang tahu. Aku tidak mahu membelakangkan sesiapa pun antara keduanya. Disebabkan itu, aku buat video ini untuk kedua-dua mereka.

Miqhail tetap manja mengalahkan si kecil Mierza yang lebih banyak mengalah. Walaupun baru berumur 3 tahun, Miqhail amat menyayangi Mierza. Comel sungguh melihat telatah mereka. Mierza pula, aku selalu katakan kepada teman-teman sebagai, bayi 3 bulan yang terperangkap dalam badan 8 bulan. Hehehe. Ikut Angahnya.

*Tak lengkap rasa hariku tanpa memeluk dan mencium mereka terlebih dahulu.

29 Januari 1983
Kisah aku... klasik! Hahaha.

Sebelum menjelang detik 12 tengah malam, sengaja aku nyah-aktifkan akaun FB dan Twitter. Malah, aku juga mematikan telefon bimbit. Kenapa? Alasannya, senang saja. Aku tak mahu dihanyut emosi. Maklumlah. Luaran saja nampak keras, hati pula cepat merapuh dan luluh.

Apa yang boleh aku bicarakan tentang diri sendiri? Kisah aku tidak menarik. Abah selalu kata, setiap orang akan cakap benda yang sama. Tetapi, bagi orang yang hidup di sekeliling sahaja tahu, betapa menariknya hidup aku. Hmm. Mungkin. Itu, abah yang cakap. Bukan aku. Lalalalaaaa...

Aku... kini dan selamanya

Sepertimana video-video sebelum ini, aku yang buat. Video ulangtahun aku... aku juga yang buat. Bila aku sendiri yang buat, maka tidak ada tembok yang bernama hipokrasi dibenarkan menyelit masuk di dalamnya.

Sebagaimana ramai yang telah mengenali aku, itulah yang aku sampaikan di dalam video. Kalau tidak setuju, mungkin aku belum kalian benar-benar kenali. Hehehe.

Ubah angin? Yalah! Lalalalaaa...

* Aku budak minang. Hidup dengan apa yang aku katakan. Bila aku buat keputusan, maka anggap sahaja itulah yang terakhir. Tidak akan berubah. Insya-allah. Kalau suka, persahabatan aku hulurkan. Kalau tidak, terima kasih kerana sudi berkenalan. Yang pasti, kalian tidak akan dapat sesekali mengubah aku.