Sebuah Coretan Rindu...

Dalam kesempitan, aku masih sempat meluangkan baki masa yang tertinggal untuk menyiapkan sebuah video klip. Pembikinan video klip ini adalah sesuatu yang paling dekat dengan jiwa aku. Namun begitu, video klip yang aku maksudkan bukanlah pada tahap yang serius dan boleh disenaraikan dalam mana-mana pertandingan. Ia lebih mirip kepada persembahan slide. Keping-kepingan gambar yang diiringi muzik dan beberapa bait ayat.

Sebelum menjejak tarikh ini, abah pernah memberi aku tugasan yang amat berat, buat satu video klip kronologi keluarganya untuk tatapan kenangan kami. Awalnya, sukar untuk aku laksanakan. Gambar-gambar dalam simpanan kami tidak banyak. Jika dikenangkan kembali puncanya, hanya menambah luka. Jadi aku buat acuh tidak acuh sahaja. Sehinggalah semalam, sewaktu pulang ke rumah sebaik pulang menonton wayang Karate Kid bersama sahabatku, Norayshah Tahar.

Sendirian di dalam kereta, sengaja aku menyumbat lubang telingaku dengan lagu nyanyian Gio, Bila Cinta. Lagu yang sama mengiringi perjalanan cerita Lagenda Budak Setan. Tanpa sedar, air mata aku menitis dan ingatanku segera melayang kepada arwah Atuk. Ya, Allah... betapa aku amat merindui insan itu. Sepanjang perjalananku ditemani basah air mata. Bait-bait ayat itu hanya dapatku kaitkan dengan arwah atuk. Demi Allah, dia sahaja yang sedang aku rindui pada saat ini. Senyum, gelak tawa dan juga kata-katanya masih jelas di telingaku.

Setibanya aku di rumah, minda aku tidak tenteram. Selesai membantu umi mengemas rumah, aku terus meluru ke bilik. Aku memasukkan lagu yang baru kuterima dari Ayshah itu ke dalam data komputer. Pantas semua gambar yang ada aku imbas dan menempatkannya dalam satu 'folder'. Percaya atau tidak? Aku membikin video ini sambil diiringi air mata. Aku tertidur. Hanya selepas solat subuh, aku bangun dan segala-galanya menjadi jelas. Kutumpahkan setiap rasa menjadi ayat, mengiringi perjalanan koleksi gambar-gambar arwah atuk dan wan. Jujur aku katakan, hati ini lebih memberat kepada arwah atuk. Mungkin kerana, sejak dari kecil aku sememangnya lebih rapat dengan atuk berbanding arwah wan.

Setelah selesai, aku bersiap-siap untuk mempertontonkannya di hadapan semua. Setiap ayat yang ada di dalam video itu adalah luahan rasa hatiku. Khas untuk Along dan Ayuz. Kebetulan ia juga bertepatan dengan situasi yang akan diadakan hari ini. Aku kira, hanya orang yang sengaja membutakan perasaan akan menutup segala emosi sebaik melihat video ini. Abah berpesan padaku, mainkan video ini kelak. Aku akur. Sepertimana yang abah pesan, aku mainkan tayangan video ini dihadapan ramai.

Malangnya, ada mata yang dibutakan dan ada juga rasa yang dimatikan. Aku akui, gambar-gambar ini tidak mampu menandingi kebersamaan mereka bersama arwah atuk dan wan. Namun aku pasti setiap kenangan, kasih sayang yang selama ini menghuni di dalam jiwa kami sekeluarga mengatasi itu semua. Biarpun masa memisahkan serta meminggirkan kehadiran kami dalam hidup mereka. Kasih sayang dan ingatan tidak pernah bisa dapat diukur melalui pertemuan. Ia dapat dirasa jelas nyata, melalui hati... perasaan. Hanya Allah tahu, betapa aku merindu. Dan kerana kasih itu sukar dizahirkan, gambar-gambar ini menjadi peneman. Di kala rindu yang menjelang.

Pintaku kepada sesiapa sahaja yang melintasi blogku ini, sedekahkanlah Al-fatihah kepada arwah Atuk dan Wan, Zainal Ahmad dan Halimah Kundor. Al-fatihah...

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku