Biar Ia Berlalu...

Ingat lagi dengan Imaan? Pasti kalian ingat. Satu nama yang sentiasa disebut-sebut dalam blog ini. Namun semenjak Imaan mendirikan rumahtangga, agak lama juga aku tak bercerita tentang dia di sini. Maklumlah, dia jarang menghubungi aku. Aku pula tidak berani mengganggu kebahagiaan keluarganya. Aku perlu menghormati perasaan isterinya.

Sebentar tadi, aku terima panggilan dari dia. Terkejut? Tentulah. Mulanya dia SMS. Katanya dia sudah bergelar bapa. Alhamdulillah. Putera sulungnya dinamakan sebagai Iberahim. Disebabkan agak lama tidak bertukar-tukar cerita, dia bertanya tentang khabar aku. Soalan yang ditanya masih sama, adakah aku masih sendiri atau sudah berpunya? Hahahaha.

Aku tidak pernah bersembunyi padanya. Kukatakan, bukan senang untuk orang menerima kepala anginku. Berkawan pun susah, inikan pula bercinta? Dia diam. Sempat juga dia menasihati aku agar jangan terlalu keras kepala. Nasihat. Aku sekadar mendengar, tak semestinya aku terima bulat-bulat.

Pelbagai kisah yang kami kongsi bersama. Di bibirnya hanya ada satu nama, Iberahim. Ya, perasaan itu memang indah. Sedangkan ketika Miqhail lahir dulu pun aku rasa teramat indah, inikan pula dia... bergelar ayah dan menerima kedatangan orang baru dari benihnya sendiri.
Imaan tidak pernah berubah. Dalam perbualan itu, dia sempat menjolok perasaanku. Katanya, dia dapat membaca dari nada suaraku. Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena. Mulanya aku mahu sahaja mengalihkan topik perbualan. Malangnya, aku terpaksa akur. Dia bijak memujuk aku untuk bercerita.

Seperti biasa aku tidak suka cakap terang-terangan, tetapi aku mengajukan satu soalan padanya...

"Kenapa selepas sesuatu hubungan tidak berjaya, seseorang perlu mengungkit dan menjaja perihal pihak yang satu lagi?"

Aku tahu, yang aku bertanyakan soalan yang membuatkan Imaan tidak selesa. Maklumlah, dia sendiri sudah dipermainkan lima gadis sebelum bertemu cinta hatinya.

Imaan tidak terus menjawab soalanku, cuma menasihati. Katanya, biarlah orang itu yang terus melakukan kesalahan. Orang yang tidak berhenti menjaja cerita orang lain adalah orang yang masih menyimpan rasa. Sama ada bersalah atau terkilan. Apa yang penting, diri sendiri. Jika sudah memilih untuk melupakan, tiada guna diungkit. Jadi, cara penyelesaiannya mudah. Jangan dikenang dan jangan sesekali bercerita tentang orang itu. Biarlah si dia terus mengeluh. Hidup ini tidak akan berhenti kerana seseorang. Cuma hentikan hidup seseorang itu dalam kehidupan kita.

Aku akui, kata-kata Imaan itu benar dan akan cuba meneladani nasihatnya. Insya-allah. Kepada 'mereka-mereka' yang masih belum lelah menceritakan tentang hal aku, teruskanlah, Secara tidak langsung, aku tahu perasaan terkilan yang sedang kalian alami. Bagi aku, yang pergi akan kubiarkan pergi. Tiada gunanya mengutip apa yang sudah tercicir. Assalamualaikum...

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku