Friday, March 28, 2014

Dia bukan pengganti!

Gambar dari DeviantART
Kadang-kadang, aku sendiri keliru dengan pemikiran manusia. Perkara mudah boleh dijadikan sangat kompleks. Ada pula ketikanya, perkara yang sukar dikatakan mudah. Bolehkah kiranya, sesiapa mengajar aku bagaimana cara kalian berfikir? Atau adakah aku sudah sangat terasing dari cara manusia sepatutnya berfikir? Menongkah arus?

Walaupun ada masanya aku lebih gemar dengan dunia 'khayalan' sendiri, itu tidak bermakna aku jauh memencilkan diri dari pembudayaan fikir manusia. Aku adalah sebahagian komuniti manusia yang terdiri dari pelbagai corak kehidupan. Mungkin cara berfikir tidak sama tetapi yang sangat jelas kita adalah makhluk ciptaan Allah. Semuanya sama. Faham?

Sebenarnya, sudah jemu dengan sindiran teman-teman hanya kerana pernah melihat aku ditemani seorang lelaki ketika bertugas di sebuah acara besar di Kuala Lumpur hujung tahun lalu. Malah, ada yang menyakat kerana pernah terlihat perbualan (mesra pada mata mereka) dengan orang sama di ruang sosial. Tidak kurang juga, ada teman yang marah kerana menganggap aku tidak sepatutnya terus berhubung dengan sipolan ini. Persoalannya, kenapa kalian yang paranoid? Bukankah itu hak aku?

Ayat paling lucu pernah sampai di telinga;

"Cepat dapat pengganti. He's handsome boy, lucky you"

Ya, aku sendiri tergelak panjang bila dengar ayat ini pada mulanya. Tapi bila dah berlarutan hanya kerana satu pertemuan itu, agak panas juga hati. Lebih memanaskan keadaan, bila teman-teman pun ada yang mula sangsi! 

Seperti yang dinyatakan awal-awal tadi, aku semakin keliru dengan cara manusia berfikir. Perbualan mesra? Apakah maksudnya itu? Berulang kali juga aku lihat semula segala perbualan sama ada di Twitter, Google + dan juga Facebook. Semuanya sama tiada beza kerana aku tidak memilih dalam berkawan. Aku juga tahu dalam menggunakan bahasa kerana bukankah "Budi Bahasa Budaya Kita". Jadi, di mana yang kalian klasifikasikan sebagai perbualan mesra dengan 'dia' sedangkan corak aku bertegur sapa di laman maya adalah SAMA?

Disebabkan ramai yang agak paranoid 'hubungan' dengan 'dia' yang dianggap sebagai pengganti, biarlah aku jelaskan di sini. Kami hanya kawan yang berkongsi minat dan sehingga hari ini tidak ada lagi 'siri' pertemuan dengannya. Masih berhubung atau sudah putus? Itu biar kekal dengan aku tetapi yang jelas dia bukan pengganti. Kalau ada yang bersangka buruk, suka untuk aku ingatkan; dia sangat baik orangnya. Cukup-cukuplah berprasangka negatif. 

Jelas? 

Kata orang kawan biar beribu, kasih biar satu. Tak salah aku berkawan dengan sesiapa pun kerana aku masih tahu batas-batas yang perlu dijaga. Aku mungkin naif tetapi bukan jahil. 

* aku tak terfikir tentang mencari atau menerima sesiapa sebagai pengganti kerana senang sendiri buat waktu ini. Harap kalian boleh hormati itu. Terima kasih. Doakan juga semoga, tidak mengambil masa yang lama untuk aku 'ditemukan' jodoh yang sudah tercatat di luh mahfuz. InsyaAllah. Amin.

Thursday, March 27, 2014

Hadapi dengan SABAR!

Gambar dari Mencintai Sederhana
Eh, macam dah selalu pula aku menumpahkan ratusan perkataan dalam blog sejak akhir-akhir ini. Kenapa ya? Entah. Mungkin sebab ini cara aku 'meludahkan' gumpalan rasa yang tidak perlu ada atau disimpan lama di dalam hati. Jika kalian baca dari entri pertama hingga yang sedang ditatapi ini, memang itulah intipatinya. Aku ingat pesan dan nasihat seorang sahabat; Fatimah Sri Anas Putri. Buang negativiti menerusi penulisan kerana kepuasan ada di setiap perkataan yang ditaip/ditulis. 

Ya, perkataan mewakili emosi dan itulah yang sangat akrab dengan seorang penulis biasa seperti aku yang nyatanya seorang manusia. Manusia yang perlu terus berusaha memenangi perhatian pencipta bukan manusia di sekeliling. Bukankah itu yang sepatutnya? 

Setuju atau tidak, kita lebih cenderung melakukan sesuatu untuk menang di mata manusia lain. Macam-macam yang dilakukan dan salah satu darinya, kepura-puraan. Namun kita lupa, tanpa melakukan apa-apa atau berpura-pura, kita sentiasa diperhatikan. Setiap saat dan ketika. Ya, Allah sentiasa memerhatikan setiap perlakuan dan gerak-geri ciptaan-Nya tanpa mengabaikan sesaat pun. Adilkah kita, wahai manusia melupakan Dia yang tidak pernah putus memberikan perhatian? Benar. Tidak adil dan ini bukan sekadar ditujukan kepada orang lain tetapi peringatan kuat untuk diri sendiri!

Berbicara tentang kepura-puraan tadi, ia sememangnya tidak pernah seiring dengan aku. Mungkin, tidak disuntik dalam darah atau menjadi sebahagian dari hati. Adakah ini masalah? Abah pun sering berkata, wajah aku jelas memperlihatkan emosi di dalam. Kalau profesion aku pilih sebagai pelakon, adegan pertama sudah pasti ditolak kerana tidak menepati kehendak skrip.

Kata orang, wajah boleh menipu tetapi bukan mata. Dalam kes aku, mungkin kedua-duanya adalah kegagalan besar. Bila sekali ada bahagian dalam hati yang tersalah 'usik' memang tidak ada peluang untuk aku melayan orang itu dengan cara yang sama. Mungkin dahulu, aku masih boleh bertolak ansur dalam soal hati tetapi dengan pengalaman hidup selama lebih 30 tahun membuatkan hati sangat kebal dan mungkin juga sudah lali. Sama ada aku berdiam atau kalian berundur. Itu sahaja!

Aku tidak akan menuntut dan kalian juga sudah pasti tidak akan meminta maaf. Ini bukan ego tetapi hakikat perhubungan di masa kini. Hubungan bukan sahaja dari sudut kawan kerana definisi hubungan itu juga terlalu luas. Hubungan antara pekerja dan pegawai sekuriti, penunggang motosikal dan pengguna jalanraya lain, pengguna dan pembeli, kenalan di pejabat, di komuter, teman maya dan macam-macam jenis komunikasi lain. Terserah bagaimana dan dari sudut apa yang kalian mahu pertimbangkan! Aku juga sangat jelas memberikan 'nama' di atas setiap perhubungan yang berada di sekeliling. Kenalan, kawan dan sahabat. 

Ada juga yang mempersoalkan, apa beza ketiga-tiga itu kerana kalau diterjemahkan di dalam bahasa lain maksudnya satu.

Sebagaimana yang dikatakan awal tadi, terserah kepada terjemahan masing-masing tetapi aku jelas tahu beza antara ketiga-tiganya. Jujurnya, kuota sahabat sudah lama penuh dan yang semakin bertambah bilangan adalah kenalan. Ada masanya ia berkurangan apabila mencapai satu tahap seperti aku katakan tadi. Jika itu terjadi, aku pun sudah tidak peduli kerana dah terbiasa dan lali. Kau datang dan pergi, aku tak peduli.

Baiklah, apa tujuan entri ini ditulis?

Luahan rasa menerusi kata-kata dan ia adalah khusus kepada golongan yang membuatkan hati rasa panas. Kalau bukan disebabkan berkongsi bumbung dan udara yang sama dari 9 pagi hingga 7 petang (hakikatnya dia jarang di pejabat), memang tidak akan aku layan. Mujur, aku masih profesional. Itu bukan jaminan yang aku akan kekal begini untuk selamanya.Ya, aku hadapi dengan sabar. Bila tiba waktunya, dua patah perkataan sudah cukup menoreh perasaan. Jadi, doakanlah aku terus bersabar supaya tiada hati yang parah. Sesungguhnya, lidah adalah lebih tajam dari mata pedang!


* abah pernah berkata lagi; "kau boleh sakitkan hati orang dengan sepatah kata, hati-hati nanti ada yang benci!"

Wednesday, March 26, 2014

Manusia; nyawa atau sekadar nombor?

Bernilaikah nyawa manusia atau ia sekadar bilangan nombor?
Sebelum memulakan hari yang panjang, ada sesuatu yang mendesak hati untuk diluahkan di sini. Adakah ia perlu? Entah. Cuma aku berasa ralat membekukan rasa itu dan membiarkan ia kaku di dalam. Rasa ini perlu dikeluarkan. Sekurang-kurangnya, aku bisa bernafas seperti selalu. Mungkin.

Sejak kebelakangan ini, sesuatu mengganggu ruang fikir. Siapa perlu aku pilih untuk menjadi mangsa mendengar luahan itu? Tidak. Aku tidak suka mencuri masa orang lain demi membicarakan hal itu. Habis? Apa perlunya dititip di ruang ini di mana lebih ramai yang membacanya? Bukankah itu dikatakan, merompak? Ya, boleh anggap ia sebagai merompak sekiranya bacaan sehingga ayat terakhir membuatkan kalian merasakan sia-sia. Kalau itu terjadi, maaf terlebih dahulu. Namun, semua itu di tangan kalian. Bila-bila masa sahaja kalian boleh hentikan bacaan dan singkirkan segala perkara yang dibaca di entri ini. Mudah bukan?

Sebaik bangun dari tidur, sebelum mengerjakan solat subuh, ada sesuatu yang bermain di ruang minda. Puas juga aku cuba mengingati kembali, apakah yang menjadi bahan mimpi aku tadi. Tidak. Sedikit pun menerpa dalam ingatan dan entah macam mana aku teringat kata-kata ini dari Along (pernah dikatakan suatu ketika dahulu)

"sebaik sahaja kita melangkah keluar rumah bersedialah terdedah untuk sejuta kegilaan. Dunia luar, ramai orang yang gila" 

Ya. Aku setuju dengan kata-kata Along itu. 

Sebagai hamba, tidak kira apa juga yang engkau lakukan, didik hati untuk akrab dengan Allah bukan makhluk ciptaan-Nya. Tiada jaminan yang dapat diberikan oleh seorang manusia kepada manusia yang lain. Inikan pula, sebuah sistem. Ya, kehidupan yang terbentuk di hadapan kita adalah satu sistem ciptaan sekumpulan manusia. Allah meminjamkan kita nyawa dan kita yang menggerakan kehidupan ini kerana itu, aku kurang gemar apabila orang cenderung menyalahkan takdir.

Sistem yang dibentuk manusia ini membuatkan semua di antara kita terdedah dan mempunyai peluang untuk menjadi mangsa kerakusan 'manusia binatang' di luar sana tidak kira untuk apa juga matlamatnya. Maka, ingatlah bahawa pelindung kita bukan manusia tetapi Allah. Ingat Allah sentiasa. Sistem dibentuk manusia tidak menilai manusia sebagai nyawa tetapi hanya nombor. Kau atau aku pasti jadi sebahagian nombor itu. Semoga kita terus berada dalam lindungan Allah dan terpelihara dari segala khianat manusia. InsyaAllah. Amin.

* sesuatu yang perlu aku luahkan dan gambar-gambar di bawah ini bukan hanya datang dari satu peristiwa. Ia sekadar bukti betapa nyawa manusia yang sudah hilang nilainya.



 


Sunday, March 23, 2014

Sarawak pelengkap destinasi dalam Malaysia

Replika kucing memang banyak di sini!
Sudah agak lama kami sekeluarga tidak bercuti bersama-sama ke destinasi yang jauh dari kesibukan rutin kehidupan masing-masing. Salah satu sebabnya, kelahiran Firzudeen Aqasha dan Mysarah serta tahap kesihatan ibu mereka. Sekarang, setelah anak-anak comel ini mencecah setahun juga keadaan ibu-ibu yang berjaya menjana semula tenaga barulah percutian keluarga diaturkan untuk sekian kalinya. Manakala destinasi yang jadi pilihan kali ini pula adalah Kuching, Sarawak bumi Kenyalang!

Kenapa Kuching? 

Replika kucing paling bergaya; tukar baju ikut perayaan!
Sebenarnya, Sarawak merupakan satu-satunya negeri di dalam Malaysia yang masih belum kami sekeluarga jejaki. Secara tidak langsung, ia menjadi pelengkap destinasi tempatan sebelum langkah kaki dipanjangkan ke luar negara pula. Jika anda sering mengikuti entri di blog ini, sudah pasti terbiasa dengan tradisi keluarga kami yang lebih gemar melancong bersama-sama. Tidak kiralah mana juga destinasinya, yang penting kebersamaan. Eh, dah macam filem Hum Saath Saath Hain! Hahaha.

Percutian ini telah dirangka lebih kurang enam bulan lalu dan mengambil masa selama empat hari bermula dari 20 hingga 23 Februari. Sebelum tarikh itu tiba, bermacam-macam persiapan dilakukan khususnya menyelesaikan segala tugas di pejabat. Itu perkara wajib. Maklumlah, kami mempunyai tanggungjawab berat di tempat kerja masing-masing. Nak bercuti sekalipun tugas harus dilaksanakan sebaik mungkin agar tidak ada masalah yang timbul. Setuju?

Awalnya agak gusar juga untuk meneruskan percutian kerana kebetulan Miqhail dan Mierza demam tetapi diteruskan juga apabila suhu badan mereka beransur kebah. Disebabkan jadual penerbangan ke Kuching pada 7 pagi, kami berkampung di rumah Ayuz di Serdang untuk memudahkan pergerakan dan bergerak seawal 4 pagi agar dapat tiba di lapangan terbang tepat pada waktunya. Ya, sempat tidur hanya 2-3 jam kerana kami tiba di rumah Ayuz pun sudah agak lewat!

Sebelum berlepas; sembab, baru bangun tidur! - Ehsan Instagram Ayuz
Hari Pertama di Sarawak

Alhamdulillah, penerbangan kami tiba dengan selamat di lapangan terbang antarabangsa Kuching walau ada ketikanya dilanggar kepulan awan tebal yang membuatkan kami bergegar. Cuaca yang kurang baik disebabkan hujan, membuatkan penerbangan agak 'menyeramkan' berbanding penerbangan lepas yang pernah dinaiki. Apa-apa pun, ia memberi peluang untuk kami menikmati pengalaman penerbangan yang tidak akan dilupakan.

Umi dan cucunya dalam pesawat 
Along pun sempat bagi pose dalam pesawat. Hek!
Sebaik tiba di lapangan terbang, kami dijemput wakil pakej pelancongan yang dilantik Along (selaku perancang percutian) saudara Olin dan dibawa ke 'homestay' sebelum meneruskan aktiviti seperti yang dijadualkan. Sempat juga kami membersihkan badan, melepaskan lelah dan mengantuk kerana bangun awal-awal pagi. Disebabkan masing-masing 'lemau' tidak bermaya, kami dibawa menambah tenaga ke restoran berhampiran. Ya, kami makan apa yang ada tanpa berfikir tentang menu istimewa Sarawak kerana yang penting, masing-masing lapar (walaupun dah bersarapan berat di atas kapal terbang. Hehehe)

Sempat bergambar di lobi lapangan terbang Kuching
Kembar tak seiras? Aqasha & Mysarah
Handsome boy!!!
Gelagat di homestay!
Gambar ini versi umur 14 tahun ke atas bakal ditapis ya Mysarah!
Homestay di Taman Yen Yen, Matang Jaya
Generasi pelapis, sedang berbincang!
dan Mysarah cuba memunah! Hahaha
Masih tidak sihat dari demam, Miqhail
Ketawa ada makna tu, mengidam mee kolok agaknya!
Kami lapar-lapar!!!!
Adik lapar jugak!!! 
Hari pertama di Kuching, saudara Olin membawa kami meninjau keindahan dan kepesatan bandar Kuching. Tidak jauh beza dengan Kuala Lumpur dan membuatkan kami tidaklah kekok berada di tengah-tengah kota ini walaupun baru pertama kali menjejak kaki di sini. Agak lama kami dibawa meronda-ronda dan puas juga Olin mempelawa agar singgah ke setiap lokasi dibawanya tetapi tiada respon. Maklumlah, masing-masing kepenatan. Keletihan berada dalam penerbangan dan tidur tidak mencukupi membuatkan kami layu!

Mysarah yang tertumpas!!!
Adik pun tertidur!!!
Aqasha, enggan mengalah tetap berjaga
Menyambut kedatangan kami
dari sudut pandang berbeza
Kucing lagi, kali ini 4 ekor pula!
Akhirnya satu lokasi membuatkan kami akur untuk turun dan bersiar-siar sebentar; Taman Sahabat. Di mana ia menempatkan replikasi dan tugu Laksamana Cheng Ho yang dibina untuk mengabadikan persahabatan antara China dan Malaysia. Taman ini menjadi pilihan penduduk sekitarnya sebagai destinasi rekreasi, berjogging dan macam-macam lagi. Beberapa keping gambar sempat dirakam di sini dan tidak dinafikan, ia mirip dengan suasana di negeri China. Oh ya, tiada sebarang bayaran dikenakan untuk memasuki taman ini.

Gaya macam rapper muslimah, kan?
Umi kata, aku dah macam mualaf di China! 
Lokasi tumpuan, tugu Laksamana Cheng Ho!
Ini dia laksamana Cheng Ho - Along
Warga negara Nepal atau China ni?
Kami pun nak juga!
Anak aku mula buat hal dah! - Abah
Imitasi Laksamana Cheng Ho. Sama?

Umi, abah dan Miqhail tak lepas peluang
Akhirnya, Aqasha terlena juga!
Airnya hijau...
Lagak fotografer amatur! 
Mangsa 'tembak' Along!
Ya, kami di Sarawak!
Cubaan meniru burung kenyalang! Gagal?
Pasangan emas, bukan peserta Kilauan Emas ya!
Rehat sebentar!
Jauh tetapi dekat!
Dua sejoli di Taman Sahabat!
Seterusnya, Olin mencadangkan agar kami menaiki 'cruise' dan membeli tiket lebih awal memandangkan ia menjadi tumpuan penduduk tempatan dan para pelancong yang turun ke bandar Kuching ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2014! Ah? Ya. Aku baru teringat yang tahun ini merupakan tahun melawat Malaysia. Patutlah ramai pelancong luar negara ketika kami menaiki pesawat tempoh hari! Hahaha. 

Teringat sekolah sendiri, St Mary KL
Antara institusi pendidikan terawal di Malaysia
Mysarah isi tangki!!!
Baiklah, sebagai informasi harga tiket untuk melayari cruise ini adalah RM60 dewasa, RM30 kanak-kanak (5 tahun ke atas) dan percuma untuk kanak-kanak 4 tahun ke bawah. Selain menikmati keindahan di sepanjang sungai ini, para penumpang diberikan kek lapis dan minuman percuma!

Tiket untuk orang dewasa!
Peta laluan
Sesak seperti di KL juga
Sementara menunggu waktu untuk cruise berlayar, kami dibawa pula ke Muzium Islam. Menarik juga koleksi yang dipamerkan di muzium ini. Jangan tak percaya, beberapa keping gambar lagi sempat dirakam secara tidak disengajakan. Mungkin kerana, masing-masing tidak peka dengan larangan mengambil gambar juga tiada pihak yang menghalang kami berbuat demikian. Hmm. 

pemakaian para jemaah haji di Mekah
replika kaabah
senjata-senjata pahlawan Islam
Koleksi parang di Muzium Islam
Antara perkongsian informasi
Sebelum jarum jam mencecah pukul 5 petang, kami berjaya sampai ke lokasi dan menaiki cruise. Termakbul juga impian yang tidak kesampaian untuk menaiki cruise ketika di Danga Bay tahun lalu! Kali terakhir menikmati pelayaran sebegini ketika aku berusia 10 tahun di Pangkor. Waktu itu, penumpang dibenarkan bersidai di atas feri tetapi sekarang tidak lagi. Berada di atas kapal, terasa damai dan tenang sekali. Menghirup udara segar, disendatkan informasi serta hiburan persembahan kebudayaan, menjadikan pelayaran ini sebagai aktiviti wajib dilakukan sekiranya anda melancong di Kuching!

Siapa yang teruja ni? Anak atau mama?
Bergerak dengan pasti! Aku dan si buah hati, Miqhail
Inilah kapalnya!!!
Pandangan hadapan
Giliran Aqasha dan baba menyapa kapal
Suasana mewah di dalam kapal, tingkat bawah
Aqasha keliru?
Aqasha ikut jejak Ayuz, bergaya sentiasa!
Pasangan comel, Ayuz dan Firdaus

Lebih dari 3 kali refill minuman sepanjang pelayaran! Hahaha!
Kau mesti minum! Hehehe...
Along dan famili!
Ini wajah Along bila dia tengah nak naik angin. Eh, ya ke?

Indahnya pemandangan...
Tahun Melawat Malaysia 2014!
Antara penumpang yang turut melawat Malaysia (Kalau tak salah dari Indonesia)




Perkampungan Nelayan
Tenang menunggu ikan...
Pengangkutan penduduk tempatan



sempat singgah di sini untuk solat
Tekun sungguh si Aqasha
Suasana di atas kapal...
Perkhidmatan teksi (bot angkut)
Pembangunan di sepanjang sungai
Warna-warni...
Kapal-kapal nelayan

Cuba teka, kediaman persendirian milik siapa?
Bekas Ketua Menteri Sarawak, siapa ya?
Persembahan tarian ringkas
Tarian Selamat Datang
Menjelang senja...
Sempat merakam ini!!! 
Ah, mabuk...mabuk. Pening sudah!
Pose penutup untuk entri ini dari Umi dan Abah
Pelayaran yang memakan masa lebih dari sejam dan membawa hingga waktu senja membuatkan kami berpeluang menyaksikan matahari terbenam, suatu pemandangan yang sangat menarik dan bermakna. Menjelang malam, kami dibawa pulang ke homestay selepas singgah sebentar ke kedai untuk membeli makanan untuk santapan malam. Oh, dah tak larat makan di luar. Letih sangat. Waktu begini juga memberi kesempatan bagi kami bersiap sedia untuk aktiviti hari ke dua seperti yang dijadualkan. Antaranya termasuklah melawati Kampung Kebudayaan Sarawak di Santubong! Aku pula? Bersiap sedia dengan pakaian yang sememangnya dijahit sendiri untuk disesuaikan di sini! Tentang pakaian itu, mungkin akan diceritakan di lain entri. 

Memandangkan entri hari pertama di Kuching ini sudah terlalu panjang, aku akan sambung pula aktiviti hari-hari seterusnya di entri yang lain. Barulah seronok dan mudah dibaca. Ok, kepada mereka yang sememangnya gemar membaca blog ini, diharap bersabar! Hehehe.