Masterchef Tasik Puteri

Dah agak lama aku tak selitkan aktiviti masak memasak dalam blog ini. Kebetulan, hari ini aku sangat lapang untuk jadi chef, memusnah dan menyepah ruang dapur kesayangan umi. Sebentar. Hmm, baru-baru ini, dapur comel dah bertukar tangan menjadi ruang kesukaan abah. Abah memang suka masak. Untung kami. Lebih untung lagi, umi! Wanita kesayangan abah, selamanya! Cewah...

Mula-mula sekali, aku ingin beri peringatan. Peringatan dan amaran mesra. JANGAN KETAWA!

Yalah, masakan yang bakal menghiasi entri ini sekadar hidangan basahan. Tak susah pun. Pejam mata pun boleh siap. Sedap atau tidak, terpulang pada lidah yang merasa. Aku kira, kalau hidangan dah habis licin. Cukup rasalah agak-agaknya. Kalau tak, mesti tak terusik. Betul tak? Sekadar andaian ya.

Maklumlah, hari ini Sabtu. Hari bermalas tahap satu. Sarapan terlebih dulu aku masak. Itu pun sekadar mihun goreng. Tak sempat aku ambil gambar, dah habis. Kalau dah lapar, batang kayu pun boleh telan. Hahaha. Harapnya, mihun goreng air tangan aku taklah keras macam batang kayu dan taklah masin macam air laut!

Tengah hari, masih tiada bayang-bayang chef jemputan luar yang sudi memasak. Waktu pun bukanlah tengah hari, sebaliknya hampir pukul 2. Dek kerana, perut dah mula berlagu Fevicol Se, berlarilah sepantas mungkin aku ke dapur. 

"Hari ini, biar Izan masak. Umi dan abah, rehat! Masak apa? Biasa-biasa aja. Yang penting, dapat dimakan."

Kalau aku dah ke dapur, susah sikit nak bertolak ansur dengan kehadiran chef-chef lain. Amboi, sejak ada rancangan Masterchef, semua orang aku nak panggil chef? Demam ke? Lalalala...

Buka pintu peti sejuk. Bahagian daging. Alur kening aku terangkat-angkat, dah dapat membau haruman ayam kejung! Maksud aku, ayam keras dek air batu. Aku selongkar dan bawa keluar. Menjalankan proses pelembutan daging, bukan tulang. 

Sambil menunggu daging ayam lembut, tangan mencapai sayur-sayuran hijau. Peka dengan kehadiran wanita yang sedang berpantang, aku elak penggunaan sos tiram. Gila! Gatal tak pasal budak tu nanti. Maksud aku, Ayuz. Bonda kepada Firzudeen Aqashah. Anak buah terbaru aku. Itu, aku cerita lain kali. Tunggu lagi sebulan. Tak boleh langgar pantang! Hahahaha.

Resepi yang menetap di kepala otak, sayur tumis dan ayam goreng masak merah tomato! Nak tahu resepi? Alamak. Maaflah sangat-sangat. Tak ada abang kamera yang nak rakam setiap pergerakan aku di dapur. Inipun, masa aku tengah sibuk memotong dan menggoreng, umi dah pelik tengok aku sibuk dengan BlackBerry! Menangkap gambar. 

"Kau kenapa?" sergah umi.

"Sempat tak Izan masak dalam 1 jam? Nak masuk Masterchef 3 ni."

"Mengarutlah kau. Masak ajelah, tak payah nak main-main,"

"Eh, mana tahu Izan menang. Musim pertama Ezani, kedua Izyan...ketiga tentu Izan!"

"Izan, masak buat cara nak masak..." tegur abah pula yang datang dari entah mana.

Laju tangan aku mericih bawang-bawang dan bahan-bahan lain. Tak berani nak berlakon lebih-lebih. Silap haribulan, papan pemotong hinggap di mulutku! Lalalala... sekadar gurauan. Keganasan tahap itu tidak pernah berlaku setakat ini di dapur rumah kami, Tasik Puteri. Hahahaha...

Potong-potong sayur, ikut suka hati nak buat bentuk apa pun!

Ini peringkat akhir, sebelum itu tumis bawang merah, putih dan lain-lain lagi

Goreng ayam, seberapa banyak kau nak, selama mana kau suka. Jangan hangit, sudah!

Masak kuah, berasingan (resepinya, kalau nak datang rumah; berguru! Hahaha)
Mandikan ayam goreng atau gaulkan. Mana-mana yang kalian suka! Bebas...
* Kalaulah masakan begini dihantar ke hadapan juri-juri Masterchef, memang tak dilayan. Play safe! Hahaha. Setakat makan di rumah untuk famili, ini pun dah kira bersyukur. Alhamdulillah!

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku