Thursday, January 27, 2011

Ikatan Hati

Penat aku taip panjang-panjang, hilang macam itu saja. Ada orang pantau blog? Sampai habis semua perkataan yang aku taip. Tak apa. Tak kisah. Benda percuma memang selalu macam ini. Komen banyak-banyak pun tak guna.

Aku mulakan sekali lagi, badan pemantau, tolonglah jangan pantau blog aku. Blog aku tidak ada kena mengena dengan politik, agama atau yang berkaitan dengannya. Ini tentang aku. Dunia aku. Dunia aku yang bergelar fantasi. Fantasi itu dunia aku. Jadi, tak payahlah pantau alam fantasi. Banyak lagi perkara korupsi di luar sana yang perlu kalian awasi.

Hari ini, hari penat aku. Berdiri penat. Duduk penat. Membebel? Tak penat sebab seharian tidak bercakap. Aman. Dunia aman tanpa pembaziran perkataan. Tidak ada pencemaran bunyi. Tidak ada penambahan dosa. Dosa kering atau basah? Bukan aku yang menentu.

Duduk sendirian, sambil mencampak pandangan jauh ke luar tingkap yang boleh kelihatan jelas bangunan KLCC. Oh, maaf. Tidaklah jelas sangat. Jerebu. KLCC nampak dalam bayang-bayang. Gunung-ganang yang menghijau pun dah nampak macam gunung batu. Mata aku yang kerabunan warna atau kita sedang kembali ke zaman filem hitam putih. Hmmm. Aku melalut lagi.

Waktu senggang, aku menziarah laman sesawang. Mana-mana lamanlah yang terlintas di hati. Singgah di jaringan so-sial Twitter. Penuh. Apa tidaknya, seorang personaliti menghantar tweet, berimbunlah manusia membalas. Tak pasal-pasal, laman aku pun penuh. Tumpang sekaki, melihat apa yang di tweet oleh insan ini. Wah, cukup bagus. Harga barang naik lagi. Sah. Kalau di sana naik, tentu harga bawang dunia pun naik. Malaysia sebahagian dari warga dunia, bukan? Jadi, tentunya harga bawang di sini pun akan naik. Tak pastilah berapa naiknya, tapi memang akan naik. Maklumlah, India pengeluar bawang termasyhur dunia, selain China (bawang yang sesuai buat masak tom yam. Yum yum).


Aku kongsikan tweet personaliti itu di sini ya....

"80 onion's n 120 daal happy republic day".

Sinis tweetnya, bukan? Hahaha. Samalah seperti orangnya. Selalu sinis dalam kata-kata. Aku juga sempat semak harga bawang besar di Malaysia. Ringgit Malaysia 6 sekilo. Kenaikan harga bawang pada hari republik India, Rupee 80 bersamaan Ringgit Malaysia 5.37115. Kalau sekarang harga dah mencecah Ringgit Malaysia 6 sekilo, agak-agaknya berapa kenaikan harga bawang selepas ini? Hmmm. Tak makan bawanglah jawabnya. Huih, mana boleh? Tak sedap tak ada bawang dalam makanan. Hahahaha. Tambah pula, sekarang ini aku gemar makan thosai bawang + telur. Hehehe.

Sebenarnya, hari ini aku tak berapa sihat. Kejung, kejang seluruh anggota badan. Masa tengah tak sihat inilah, teringat kata-kata orang yang pernah hinggap di telinga. Aku kira, tidak perlu diungkapkan sebiji-sebiji ayatnya, tetapi cukuplah sekadar aku mengatakan, itu hasutan mulut-mulut busuk. Sangat iblislah kalau aku katakan, kata-kata itu tak ubah bagai ayat yang dikeluarkan dari mulut jin dan puaka. Tapi, niat di sebalik ayat itu tidak menggambarkan ianya datang dari insan yang sepatutnya aku hormati sebagai manusia.


Kepada kalian yang cuba menusuk segunung jarum pada sekeping hati milik aku, tolonglah berhenti bermimpi. Cukup-cukuplah kalian cuba memesongkan hati aku. Nasihat aku secara ikhlasnya, jagalah keharmonian keluarga kalian sendiri. Sebagai seorang yang memimpin keluarga, adakah ini caranya kalian mendidik anak-anak? Menyimpan dendam dan irihati pada saudara yang lain? Aduh. Bertaubatlah. Jangan jadikan anak-anak itu mangsa hati busuk kalian. Didik dan jangan racuni keputihan hati mereka.

Terima kasih atas ingatan dan nasihat kalian yang aku simpan rapi dalam bakul sampah. Aku kira, dah selamat tertanam pun di tapak pelupusan di Jinjang. Suka juga untuk aku ingatkan, sudah cukup ajaran umi dan abah kepada kami tiga beradik. Ajaran mereka tidak akan pernah aku racuni dengan nasihat kalian. Tanggungjawab yang diberikan, akan aku galas sampai akhir. Insya-allah.

Kepada kalian, aku dedikasikan lagu ini. Harapannya, agar kalian mengerti dan hargai ikatan hati dalam keluarga. Aku tidak menafikan, kalian sudah besar panjang. Ada zuriat sendiri. Malangnya, kalian gagal mengerti apa itu famili, kekeluargaan. Ya. Aku menolak definisi saudara.

Aku tahu, kalian tahu siapa yang aku maksudkan. Aku juga sedar, kalian tidak akan faham lirik lagu yang mahu aku dedikasikan. Tidak. Bukan kerana lagu ini berbahasa Hindi. Kalau aku kirimkan lagu Inggeris dan bahasa Melayu sekalipun belum tentu kalian mengerti maksudnya. Kerana kalian bukannya buta seni tetapi buta hati. Jadi, aku mohon diri. Renung-renunglah diri, dan berhenti memberi racun kepada kehidupan orang lain yang lebih harmoni dari kalian. Wallahualam.

*Disebabkan youtube tidak mahu bekerjasama dengan aku, jadi kalau kalian benar-benar ingin tahu lagu apa yang didedikasikan khas untuk kalian, tekan saja di sini.