Aku belum mati!

Assalamualaikum...

Kalau ada orang yang perlu dipersalahkan, orang itu tiada lain tetapi aku. Sebelum 2015 beralih tahun, aku pernah menanam janji pada diri sendiri untuk sentiasa mengemaskini blog Fantasi Itu Duniaku. Nah, apa yang kau dapat lihat? Entri terakhir aku You just can't... pada 7 April 2015 dan itupun sekadar ambilan dari imej GIF dari akaun Google Plus. Mengelat!

Berita baik untuk mereka yang mungkin masih dan sudi mengikuti blog ini...alhamdulillah, aku masih hidup. Berita buruk kepada mereka yang sentiasa mendoakan dunia aku terbalik dan hidup dalam kucar-kacir, maaf kerana mengecewakan kalian kerana AKU BELUM MATI. Selagi belum habis misi yang dipegang diri dan menyempurnakan janji, aku akan kekal di sini dengan izin Allah. Kalian harus belajar terima hakikat yang kita berpijak di bumi dan menghirup udara yang sama. Sekali lagi, maaf kerana membuat kalian hampa dengan baki hayat yang masih dipinjamkan Allah.

Sepanjang tempoh senyap (April 2015 - November 2016) ini, terlalu banyak yang berlaku dalam hidup aku, sepertimana juga yang berlaku ke atas kehidupan kalian. Percayalah, terlalu banyak yang ingin dikongsikan di sini terutama sekali tentang isu kesihatan yang boleh memberi manfaat kepada semua. Tidak kurang juga destinasi pelancongan kerana sepanjang tempoh ini, banyak juga lokasi yang sempat aku lawat seperti Singapura, Thailand dan beberapa lokasi dalam Malaysia. Bukan itu sahaja, aku juga ingin berkongsi tentang perkara yang lebih santai seperti hiburan. Mungkin juga, hal yang lebih bersangkutan dengan hati. Eh, bukan tentang pasangan hidup. Aku masih lagi bujang dan selesa sendiri. Allah pun tahu aku sudah beberapa kali mencuba dan ternyata, hanya aku boleh hidup dengan diri aku. Ha ha ha!

Seperti yang kalian tahu (kalau baca blog ini dari mula) aku sangat menghargai hubungan persahabatan tetapi tiada hubungan yang tidak dilanda dugaan untuk melihat, sejauh mana kejujuran masing-masing. Namun, aku bersyukur kerana yang benar-benar jujur masih berada bersama sehingga saat ini. Satu sahaja nasihat yang boleh aku beri, jangan terlalu bergantung dan yakin dengan sesuatu hubungan. Jika ditakdirkan persahabatan itu putus juga, jalan terus dan jangan sesekali mengaibkan. Ingatlah, suatu masa dahulu mereka pernah menjadi sebahagian hidup kalian dan tidak kira apa juga kesudahannya, simpan kenangan itu dan jangan dicemari rasa benci.

Oh ya, sebelum mengakhiri entri baru setelah sekian lama, izinkan aku untuk maklumkan yang aku telah kembali ke dunia penulisan yang sentiasa dirindu. Terimalah kelahiran Shahaini Zahar menerusi naskah novel ringan remaja Magic Bean terbitan Gempakstarz... Sayang Kita Sampai Bila-Bila. Ini percubaan pertama aku menulis karya ringan dan santai. Mungkin agak janggal tetapi ia satu pengalaman yang sangat luar biasa. Bukan mudah untuk terjun semula dan masuk ke roh anak-anak remaja yang lama ditinggalkan. Harap kalian sudi membacanya. In sha allah, karya seterusnya di bawah nama Shahaini Zahar akan menyusul satu demi satu. Apa pula cerita dengan Romibaiduri Zahar? Biarlah 'dia' berehat dahulu. He he he.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku