Malaysia, kalian tidak lagi RELEVAN?


Ya, sudah lama aku tidak mengisi ruang blog ini dan pastinya kalian lelah membaca alasan yang sama setiap kali entri baru dimulakan. Namun, itulah hakikatnya. Aku boleh sahaja mencuri waktu yang semakin menyesak di Twitter, Facebook dan juga Google+ tetapi bukan di ruangan ini. Tambahan pula sejak tugasan semakin bertambah di pejabat. Kalau dahulu aku sibuk menjadi editor untuk satu majalah, sekarang aku bertanggungjawab untuk mengelolakan untuk sebuah lagi majalah. Percayalah, tugasan menyunting dua majalah dalam satu masa yang sama, bukan satu kerja yang mudah!

Namun begitu, aku terpaksa 'turun padang' untuk menyampaikan rasa kurang selesa dan kekecewaan terhadap sesetengah golongan manusia di Malaysia ini. Tidak dinafikan, Malaysia hari ini bukan lagi satu tempat yang selamat walaupun sesetengah pihak beria-ia mengatakan sebaliknya. Mungkin golongan ini mempunyai agenda tersendiri khususnya menjelang tahun melawat Malaysia tahun hadapan. Entahlah. Jika dipersoalkan tentang isu ini, masing-masing memberi jawapan bahawa kejadian rompakan, rogol, bunuh dan lain-lain jenayah sudah berlaku sejak berzaman-zaman lagi, cuma tiada sebaran seperti yang dapat kita lihat hari ini. Baiklah. Aku serahkan kepada kalian untuk menilai sendiri tanpa perlu disogok pendirian orang lain.

Jujurnya, adakah kalian berasa selamat setiap kali keluar dari rumah untuk mencari rezeki di setiap permulaan hari? Semestinya setiap kali keluar dari rumah, doa menjadi pengiring semoga kita dilindungi Allah. Dan sekiranya maut tiba, tiada yang dapat menahan. Persoalannya, adakah kita terlalu naif untuk menyalahkan segala-galanya kepada takdir? Baiklah. Aku biarkan siri persoalan ini tamat di sini. Fikirlah dengan akal sendiri tanpa perlu menjaga hati 'orang' lain!

Baru sahaja beberapa minggu lepas, aku terlibat dalam kemalangan dan entri ini bukanlah ruang untuk aku mengambil kesempatan menyalahkan orang lain. Pemandu itu melarikan diri tanpa sempat aku ambil nombor pendaftaran. Kalau aku buat laporan, tidak akan membawa apa-apa makna dan terpaksalah aku menanggung sendiri segala-galanya. Hmm. Tidak mengapalah. Syukurlah nyawa masih enggan meninggalkan tubuhku ini dan syukur juga, Malaysia masih aman. Aman untuk golongan seperti ini melakukan kerosakan? 

Dalam minggu ini sahaja, pelbagai kejadian jenayah yang berlaku dan rasanya tidak perlulah aku sisipkan berita-berita itu di sini bersertakan dengan gambar-gambar yang berkaitan. Kenapa? Bukankah ianya sudah tersebar luas? Kau, kau dan juga kau telah menyebarkannya hampir di semua tempat. Kes remaja mati dibunuh dan disimpan dalam beg, kes rompakan bank yang mengakibatkan seorang pegawai bank terkorban dan tidak kurang juga dengan kejadian membunuh secara rambang oleh pengikut ajaran sesat. Kalian sudah tahu semuanya, bukan? Jadi, adakah relevan untuk aku mengikut blog-blog lain dengan memaparkan kesemuanya di sini. Assalamualaikum... aku bukan jenis yang suka menarik orang ke ruang ini dengan perkara sebegini. Tetapi, tidak pula bermaksud aku tidak ambil peduli!

Terus terang, aku sangat kecewa dengan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar-gambar atau video-video yang berkaitan. Di manakah sensitiviti kalian sebagai seorang manusia? Apakah yang sebenarnya kalian dapat dengan menyebarkan semua ini? Pernah atau tidak kalian terfikir tengan perasaan mangsa atau keluarganya?

Apa dah jadi dengan rakyat Malaysia? Adakah kerana anda taksub dan celik IT membuatkan anda hilang rasa hormat sesama manusia dan hak peribadi orang lain? Contoh terdekat, kes rompakan yang mengorbankan seorang pegawai bank; Norazita Abu Talib. Bukan sahaja gambar, malah video yang dirakam CCTV tersebar luas. Adakah relevan kalian melakukan itu? Baiklah. Kalau alasannya untuk mengetahui wajah perompak agar dapat membantu pihak polis, kenapa perlu ditayangkan video kepada umum? Bukankah ia sepatutnya kekal di dalam simpanan polis untuk siasatan? 

Malaysia, sekurang-kurangnya hormatilah keluarga arwah. Tolong hentikan sebaran video dan gambar-gambar (kejadian) yang boleh mendatangkan aib. Cuba tempatkan kalian, keluarga atau kawan-kawan yang dikenali di tempat arwah. Mahukah kalian dijadikan 'tayangan' percuma ditonton khalayak? Sanggupkah kita dijadikan topik perbualan di setiap penjuru? Biarlah ia kekal dalam simpanan polis.

 Malaysia, sesungguhnya kalian terlalu ghairah menyebarkan sesuatu tanpa berfikir baik dan buruk atau relevankah penyebaran dan perkongsian itu. Mohon berfikir sejenak! Terima kasih.

Wahai bangsa manusia, perlukah dirayu begini?

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku