Sunday, May 29, 2011

Kasih yang tiada hujung...

Hati agak berat untuk meninggalkan rumah. Apa tidaknya? Selalu, aku akan bersama famili di hujung minggu. Berbeza dengan kali ini. Awal-awal lagi aku pergi ke rumah Ayshah (sahabat sejatiku) untuk melaksanakan rancangan yang telah dibuat. 29 Mei, haruslah istimewa sebagaimana tahun-tahun lepas. Ulangtahun umiku tersayang.

Sebelum keluar rumah, aku dapat lihat wajah umi. Aku tahu dia marah. Marah aku keluar tanpa mengikut mereka. Ayuz, membawa umi keluar dan motif utama kami bertiga beradik, mahu buat kejutan untuk umi. Ayuz bertugas untuk melalaikan umi. Manakala along, membeli makanan sampingan untuk kejutan malam ini.

Sepatutnya, aku dan Ayshah merancang untuk menonton Karak. Malangnya, filem Karak tidak ditayangkan di sini. Aduhai, sekali lagi filem Malaysia diketepikan. Aku kira, tidak kiralah di mana juga pawagam itu, filem Malaysia perlu diutamakan. Hmm. Jadi, aku dan Ayshah teruskan dengan perancangan seterusnya. Beli hadiah untuk umi.

Awal-awal lagi aku sudah merancang untuk membelikan umi dompet sebab, jujurnya... aku tak pandai memilih beg tangan. Takut nanti, umi tak suka. Kalau dompet, sedikit sebanyak aku boleh beli ikut citarasa aku. Puas membelek dari satu jenama ke satu jenama yang lain, akhirnya aku terpikat dengan satu dompet berwarna hitam. Sebelum pergi ke kaunter, aku berhenti sekejap di bahagian perhiasan. Aku masih ingat, minggu lepas umi membelek-belek gelang-gelang kristal ini. Jadi, tanpa membuang banyak masa, aku memilih gelang yang sama umi pegang minggu lepas. Hehehe... dah macam cerita hindi pula,kan?

Setelah puas menghabiskan masa bersama-sama Ayshah (banyak benda juga yang kami kongsi, termasuklah sesi meluahkan perasaan. Hehehe), pulanglah aku ke rumah. Kebetulan, umi masih belum balik. Along pun baru saja tiba. Cantik. Aku pun terus ke bilik dan menyembunyikan hadiah yang telah aku beli.

Sebaik tiba, umi mula sindir-sindir aku. Yalah, aku buat tak tahu saja dengan dia. Selalunya kalau aku keluar, pasti ada makanan aku bawa pulang tetapi kali ini tidak. Pedih juga hati, tapi aku tahu niat aku baik. Hehehe. Aku sengaja masuk ke bilik awal. Aku tunggu sampai umi naik ke bilik. Bila aku masuk ke bilik, umi sedang solat. Masa inilah paling sesuai untuk aku buat kejutan bersama Ayuz dan Along. Selesai saja umi solat, aku terus duduk berhadapan dengannya di atas sejadah lalu mengucapkan "Selamat Hari Lahir" dan mengucup pipinya sambil meletakkan hadiah di depan matanya.


tanda tangan kami bertiga, LinIzanAyuz!


masih di atas sejadah


Alhamdulillah, umi suka hadiah dompet yang aku berikan. Katanya, pertama kali dia lihat aku pandai memilih barang. Hehehe. Yalah, sebelum ini dompet atau baju-baju aku, umi dan Ayuz yang tolong pilihkan. Jadi, mungkin ini tandanya aku pun ada citarasa wanita. Hoih, memang aku wanita pun!


Carlo Rino






gelang kristal dan jed


makanan sampingan, 'Big Apple'





* Tak sangka umi menitiskan airmata. Aku tahu ianya bukan air mata kesedihan, sebaliknya terharu. Umi juga bercakap, dia tidak mengharapkan hadiah atau pemberian duit. Cukuplah kasih sayang kami kepada dia. Sudah tentu kasih sayang kami kepada tiada hujungnya. Insya-allah. Izan terlalu sayangkan umi. Sangat sayang.

Thursday, May 19, 2011

Par-pari kecilku... Miqhail Mierza

Merekalah penghibur nombor satu di hatiku. Lebih lawak berbanding Jozan. Lebih lucu berbanding Jambu. Siapa lagi kalau bukan anak-anak Along yang anak-anak buahku. Miqhail dan Mierza. Entri kali ini, aku sengaja khaskan untuk mereka berdua. Gelagat mereka cukup buatkan aku terhibur. Tangisan mereka pula mampu menggegarkan Park Avenue, Bandar Tasik Puteri. Namun, tanpa gelak dan tangis mereka, hari rasa sunyi. Hehehe. Biarlah mereka berlasak kerana itulah lumrah dunia kanak-kanak.


sayang... Miqhail cium adiknya
(hobi baru Miqhail...cium kepala Mierza)



isi minyak dulu...


Comel tak...?


entah apa-apalah yang dia buat tu?


budak lelaki, pandai-pandai sendiri memanjat...
(takde pokok, kerusi pun jadi!)



ini memang kepakaran Miqhail...
bermalas-malasan


kalau tak bergaya, tak sah!


marah sangatlah tu!


si adik...muka baik


sopan orangnya...



tak suka kacau orang...


tapi... seorang abang sahaja yang mengetahui


Mierza...lebih nakal. Hahaha.
(Tengoklah senyuman dia tu!)


* Seronok tengok gelagat budak-budak ni. Kalau ada orang cakap, aku tak berhajat nak anak sendiri... meh sini, aku bagi tinju percuma. Nak gaya Mike Tyson ke Mohamad Ali?



Wednesday, May 18, 2011

Cuti Sehari...

Hari ini Selasa. Cuti umum. Wesak. Aku pun tidak jelas dengan Wesak, tapi apa yang aku tahu ia berkaitan dengan penganut beragama Buddha. Jadi, sempat juga aku cari di google. Ini jawaban yang aku dapat.

Wikipedia ;

Hari Wesak merupakan hari terpenting bagi penganut agama Buddha kerana hari Wesak melambangkan Kelahiran, Pencerahan Agung, dan Kewafatan Gautama Buddha. Hari Wesak juga dikenali dengan nama Visakah Puja atau Buddha Purnima di India, Vesak di Singapura, Visakha Bucha di Thailand, dan Wesak di Sri Lanka.

Lazimnya,penganut ajaran Buddha akan mengunjungi kuil Buddha pada waktu pagi untuk memberikan penghormatan kepada Buddha,yang dilambangkan oleh simbol-simbol Buddha seperti Pagoda, patung Buddha, pokok Bodhi dan Sarikata (relik Buddha). Para penganut juga akan melafazkan semula Tisarana(Tiga Perlindungan: Buddha, Dhamma dan Sangha) untuk memperbaharui komitmen mereka kepada ajaran Buddha.
(kalau ingin tahu selanjutnya boleh klik di sini)

Aku tidak tahu sama ada penerangan Wesak ini benar atau salah, tetapi kalau salah sudah tentu ada pihak yang menyuarakannya dan meminta agar pihak Wikipedia betulkan (atau betulkan sendiri fakta, bukankah laman wikipedia ini boleh dibetulkan sesiapa pada bila-bila masa?)

Jadi, disebabkan itulah Wesak diberikan cuti umum. Hari keagamaan. Tentunya Maulidur Rasul tempoh hari pun bukan cuti umum pilihan bukan? Hmm. Harap selepas hari ini, pihak-pihak tertentu lebih peka dan sensitif ya?

Terlanjur diberikan cuti sehari oleh kerajaan (tanpa dipotong gaji...hahaha), sudah tentu tidak sempat untuk berlibur di destinasi pelancongan. Sebaliknya, aku ambil kesempatan ini membantu umi abah. Kemas-kemas rumah termasuklah membersihkan kipas penyedut wap masakan dari dapur. Wow, terlalu banyak habuk sampai tak terangkat kipasnya. Hahaha. Agak lama juga aku berkemas di belakang sambil dibantu (pandang) oleh Miqhail dan Mierza.

Kemudian, aku dapat idea gila. Kalau difikirkan kembali, bukan idea gila pun. Hahaha. Aku memasak hari ini. Masak lauk tengah hari dan juga minum petang. Macam biasa, makan tengah hari aku masa bersama-sama dengan umi. Along menjaga Miqhail dan Mierza (dua-dua berkawat tak henti!), Ayuz membaca buku dan abah pula bertugas menyediakan tempat baru untuk mesin basuh. Hehehe. Lebih luas lagi. (Boleh buat pentas dalam kamar mandi sekarang ni!)

Aku tak nak cakap banyak, cuma nak kongsikan resepi yang tak seberapa ini di blog (kesayangan aku!).

Tengah hari ;

Telor goreng masak kicap berkuah bebola dan kek ikan


* Masa masak ini, tak terlintas pun idea gila.

Minum Petang;

Macam aku katakan tadi, tiba-tiba saja dapat idea gila. Apa idea gila tu? Aku nak masak dan buat langkah demi langkah untuk aku isi entri hari ini. Tak ada kerja lain nak buat. Hahaha.

Hidangan minuman petang pula, cucur tepung (kalau dalam bahasa yang famili aku faham, cekodok!...lalalala)


Bahan-bahan : Tepung, bawang, telur, garam dan serbuk kunyit


Bawang (aku suka pakai banyak bawang... sedap!)


dipotong-potong,
kalau masuk bulat-bulat tu, siapa yang boleh makan?
hahahaha...



2 biji pun dah cukup, ini sekadar gambar hiasan...
lalalala...



Kalau tak ada tepung, takkan pakai beras kot! Ahak...


Tapis dulu, mana tau ada makhluk lain ke?


bancuh dengan air (bukan air panas!)


Kacau...
(inilah namanya air tangan...wakakaka)



pecahkan telur...


masuk bawang...


garam secukup rasa
(terlebih rasa, darah tinggi nanti)


pastikan sebati
(kalau berbutil, tak masak serata!)



tabur serbuk kunyit
(gambar selepas ditabur...)


panaskan minyak...
(kalau tak panas, melekat nanti!)



masuk dan goreng sampai garing
(ikut suka hati, nak bulat atau leper!)



toskan minyak...


Bahan-bahan untuk sos; sos dan air panas (mendidih tu..lalala)


Sos
(cili KFC, McD, atau apa-apa ajalah asalkan HALAL)



air panas


tengok 2 beranak ni (Along dan Miqhail)
tak sempat masak habis dorang dah bedal!



panaskan air dan sos tadi...


siap dihidang...


wah... umi makan tak ingat orang ya?


Along... ish ish ish


Ayuz... cuba sembunyikan jerawat pengantinnya


Aku...nak makanlah juga, takkan masak aje


hidangan untuk abah...
abah masih sibuk bertukang...


* Kenapa tiba-tiba aku nak kongsi resepi yang orang dah tahu? Saja, mungkin sebab syok tengok Man dalam Maharaja Lawak jadi Chef Wan... hehehehe.

Friday, May 13, 2011

Media Perdana : Penyumbang Informasi atau Penyumbangleweng?

Masih terngiang-ngiang di telinga, soalan yang ditanyakan seorang guru sejarah yang mengajarku di Sekolah St Mary. Ketika itu, aku baru berusia 16 tahun dan sejarah adalah subjek yang paling aku gemari. Bukan kerana gurunya, tetapi kerana subjek itu sendiri. Mencintai sesuatu haruslah dimulakan dengan pengenalan. Tak kenal maka tak cinta. Kalau tidak kenal akan sejarah negara, bagaimana pula mahu mencintai Malaysia?

Sebenarnya, kecintaan aku terhadap sejarah tidak disenangi rakan-rakan sekelas. Apa taknya? Ada saja soalan yang aku bangkitkan dan bermulalah satu episod debat yang panjang dengan cikgu. Sehinggakan ada masanya, hanya aku dan cikgu sahaja yang berdiskusi manakala pelajar lain sibuk membuat tugasan subjek lain. Terkadang diskusi aku dan cikgu akan membuatkan durasi subjek sejarah menjadi panjang dari yang sepatutnya.

Keadaan mula berubah apabila di satu ketika aku tidak mengikuti perkembangan semasa. Harus diingat, kita tidak boleh hanya merujuk kepada sejarah yang lepas-lepas dan mengabaikan peristiwa yang baru dicatatkan. Tetapi itulah yang berlaku di sekitar tahun lewat 90-an. Televisyen tidak lagi menjadi sumber maklumat yang dipilih abah. Begitu juga suratkhabar. Aku juga hairan, kenapakah berlakunya perubahan drastik terhadap abah?

Kebetulan, cikgu sejarah bertanyakan satu soalan tentang kata-kata yang diungkapkan seorang tokoh di dalam laporan berita yang disiarkan salah satu televisyen. Pertama kalinya aku tidak mampu menjawab. Kalau aku tonton berita, tentu mudah sahaja aku menjawab soalan cikgu. Aku berlaku jujur dan mengaku, aku tidak berpeluang menonton televisyen. Mulanya cikgu aku itu tidak percaya, memandangkan para remaja memang ‘hantu’ hiburan. Dia bertanya, kalau bukan hiburan, kenapa tak menonton berita.

“Ayah saya tutup tv setiap kali waktu berita,” jelasku jujur.

Cikgu Sejarahku itu hanya senyum. Mungkin lucu padanya, tetapi aku yakin, abah ada sebab tersendiri kenapa tidak mahu menonton berita. Abah tak suka seorang tokoh negara ketika itu, yang setiap kali kemunculannya pasti untuk menghentam parti pembangkang. Cuma aku yang tidak faham, kenapa ia menjadi isu besar untuk abah sehingga menutup tv setiap kali munculnya wajah tokoh itu mahu pun berita yang berkaitan dengan isu-isu yang bersangkutan dengan beliau.

Namun begitu, aku mula memahami tindakan abah. Itu pun setelah aku menginjak ke usia lebih dewasa dan matang. Malah, pergaulan aku dengan pelajar undang-undang dan juga para pensyarah serta pernah terlibat secara langsung dengan dunia perundangan, baru aku dapat membaca rasional di sebalik tindakan abah.

Ya. Aku pun sudah naik mual dengan paparan yang mengisi waktu berita selama 1 jam ini. Walaupun dibahagikan kepada beberapa segmen, aku berani mengatakan majoriti dikuasai berita politik. Berita tentang politik ini semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Memang aku akui, politik bukanlah makanan aku. Aku memang tak mahu ambil pusing dengan apa yang berlaku dalam dunia politik. Namun, aku juga mempunyai pendapat aku sendiri. Mungkin pendapat aku tidak akan sama dengan yang lain, tetapi itulah hakikatnya. Bukan semua orang akan menyukai atau membenci sesuatu perkara yang sama. Itulah yang dinamakan manusia. Tidak ada alat kawalan untuk menentukan apa yang disukainya.

Sebelum ini aku pernah menceritakan tentang sebuah filem Hindustan yang amat suka aku tonton. Filem tentang media massa. Bagaimana media massa mampu mengubah dan mencorak nasib sesebuah parti politik dan menggulingkan seorang individu, RANN. Bukan filem ini sahaja, malah beberapa filem yang turut mengetengahkan peranan media massa (dibaca sebagai televisyen) yang terlalu kuat mempengaruhi masyarakat, Peepli Live (karya orang media sendiri) dan No One Kills Jessica (kisah pembunuhan terbuka model Jessica Lal oleh seorang anak kepada tokoh politik India). Ketiga-tiga filem ini mempunyai kekuatan tersendiri. Bukan semuanya negatif. Rann, memperlihatkan permainan dunia media massa, Peepli Live pula lebih kepada sarkastik dan No One Kills Jessica pula tentang pengaruh yang digunakan media massa untuk mencari kebenaran.

Baiklah, berbalik kepada kisah media massa di Malaysia sendiri. Aku tahu, sebagai rakyat biasa (yang tidak ada duduk yang tinggi), keupayaan meluahkan sesuatu harus berada dalam satu garisan atau batasan yang selamat. Bukan aku takut tetapi 'menghormati'. Entri ini cuma ingin menegaskan tentang ketidakpuasan hati sebagai seorang rakyat yang jemu dipertontonkan lambakan berita 'perang politik' dan media massa dipilih sebagai salah satu alat senjata.

Sebelum terjun ke dunia kewartawanan, (aku pasti) aku dengan jelas mengetahui etika yang seharusnya dipegang dalam dunia penyiaran dan kewartawanan. Laporan berita adalah semata-mata untuk memberikan informasi dan bukannya 'membeli' pendapat para penonton, mahupun pendengar dan juga pembaca. Itulah tugas sebenar yang digalas media massa.

Sejak kebelakangan ini, sebuah saluran tv swasta (malas mahu aku sebut nama sebenar di sini), dengan berani melaporkan berita dengan ayatnya yang menjurus kepada 'pancingan' kepada penonton. Bukan sekali atau dua, malah berkali-kali dan membuatkan aku 'pening'. Kenapa senang-senang etika penyiaran dan kewartawanan dilanggar? Tak makan saman betul!

Lebih menyakitkan, saluran ini bertindak berat sebelah. Menghentam dan terus menghentam. Adakah aku yang tersalah tonton tv, atau memang itulah lumrah dunia yang dicipta untuk terjadi di Malaysia. Aku pernah menonton sebuah laporan berita (di saluran yang lain), di mana ianya tentang sekumpulan peniaga yang dipindahkan semenjak sepuluh tahun lalu ke kawasan sementara. Penempatan sementara (sepatutnya bukan sampai sepuluh tahun!) yang melibatkan majoriti peniaga Melayu. Laporan begini memang bagus, sekurang-kurangnya ada pihak yang boleh membantu golongan ini.

Namun, apa yang membuat aku kesal apabila komen yang diberikan oleh salah seorang makcik telah dipotong sebelum dia sempat menghabiskan ayat. Kenapakah begitu? Sebaliknya, di satu laporan berita yang lain, di saluran tv yang lain, komen seorang pakcik tentang isu yang diketengahkan dibiarkan berlarutan dan berpanjangan. Ke manakah editor yang sepatutnya menjaga isi kata-kata yang diluahkan pakcik itu? Kalau diteliti, isi yang diluahkan kedua-dua individu ini adalah sama (tak puas hati) tetapi ditujukan untuk pihak yang berlainan. Kenapa timbulnya sikap berat sebelah dalam penyiaran? Tolonglah, kita bukan di India. Kita di Malaysia yang mengamalkan demokrasi!

Tak cukup dengan itu, satu saluran tv ini (saluran yang sama aku sebutkan awal tadi) membawa salah seorang individu ke set untuk memberikan pandangan dan pendapatnya secara terbuka untuk menghentam seorang tokoh di Malaysia. Apa yang menjadi musykil, individu yang wajahnya dijamah lensa kamera, tidak jujur. Kenapa aku katakan sebagai tidak jujur? Kalau luahan pendapat (yang benar-benar datang dari hati dan akal sendiri), teks tidak diperlukan. Malah, dari kedudukan badannya cukup jelas menunjukkan dia tidak selesa. Susunan ayat yang tersekat-sekat, pertuturan ton suara yang kurang jelas dan juga keengganan memandang terus ke lensa kamera. Kalau alasan digunakan adalah gementar, itu sekadar alasan kosong. Gementar untuk apa yang dirasakan, tidak relevan. Tetapi gementar untuk menyuarakan sekeping helaian skrip, mungkin benar.

Aku bukan mahu menghentam, cuma sudah terlalu muak menonton sandiwara yang dilakonkan dalam siaran berita selama 1 jam. Seperti yang dinyatakan awal tadi, aku tidak menyebelahkan mana-mana pihak dan kerana itu, media massa (terutamanya elektronik' televisyen dan radio) seharusnya melakukan yang sama. Jangan berat sebelah.

* Kadang-kadang terfikir, tidak ada cara lainkah untuk bersaing secara sihat? Terlalu banyak berita negatif yang disumbatkan dan menjadi tajuk utama berita. Rasa malu juga apabila terbaca tajuk berita dunia di carian google dan yahoo. Apabila negara-negara lain diwakili dengan tajuk berita ekonomi, keagamaan, undang-undang, sukan tetapi Malaysia diwakili tajuk berita "Datuk T dan video seks"? Hmm.

Wednesday, May 11, 2011

Polisi Baru dan Anak Panah Terlepas Dari Busur

Kadang-kadang, orang anggap mudah terhadap diri kita. Bukannya minta dipuja, sebaliknya hormatilah sebagai umat manusia. Sebenarnya, aku cukup letih. Letih bertegang urat, bertikam lidah. Bukan sekadar letih (proses penghasilan air liur) tapi, aku sudah muak dan bosan untuk melibatkan diri dalam mana-mana perdebatan. Lagipun aku sudah dinasihatkan doktor, jangan terlalu banyak berfikir. Oh ya, mungkin aku lupa hendak kongsikan kisah ini di blog. Aku cuma sempat meletakkan nukilan pendek di Mukabuku dan Twitter.

Hari Rabu lepas, aku cuti. Ya, aku tidak sepatutnya bercuti pada hari itu sedangkan hari Isnin dalam minggu yang sama, baru sahaja cuti umum Hari Pekerja (jatuh pada hari Sabtu tapi ditolak ke hari Isnin). Apa, ingat senang-senang aku nak ambil cuti macam itu saja? Tak. Sudah tentunya aku ada alasan. Sehari sebelum aku bercuti (tanpa menyediakan Sijil Sakit) ada peristiwa besar dan tergempar telah berlaku. Aku tak rasa, perlu diceritakan secara terperinci kerana takut (meluatnya guna perkataan ini) atau lebih tepat lagi menghormati orang-orang yang terlibat.

Sebelum itu, aku pernah diserang heart anxiety (kegelisahan jantung). Aku pernah catatkan sebagai status. Jantung berdebar laju seperti mahu tertanggal, dan kemudian berdegup sangat perlahan. Kerap berlaku dalam satu hari sehinggakan, aku terpaksa bercuti untuk berjumpa doktor. Memanglah semasa aku bertemu dengan doktor, tidak ada pun kejadian serupa berlaku tapi aku tetap menceritakannya. Selesai mengadu masalahku itu, doktor kata yang itu cuma tanda tekanan. Tekanan yang dialami oleh jantung. Disebabkan itu ada masanya jantung akan berdegup kencang dan kemudian, menjadi perlahan sebelum kembali normal. Aku pelik, jadi satu soalan diajukan,

“Saya tak tertekan pun, macam mana pula boleh dapat serangan heart anxiety?”

Doktor yang selalu aku rujuk itu hanya tersenyum.

“Itu cara awak berfikir. Berfikir secara positif. Otak yang mengatakan tidak ada masalah. Adakalanya, walaupun berfikir secara positif tetapi secara fizikal, ia akan menolak. Jadi, ketidaksamaan itu akan menyebabkan kejadian ini berlaku. Tentu awak banyak berfikir tentang hal kerja. Jangan fikirkan sangat tentang kerja. Habis waktu kerja, tamatkan saja di situ. Jangan terbawa-bawa masalah pejabat ke rumah,” pesannya, panjang dan lebar.

Masalahnya, aku sendiri tidak tahu apa yang buatkan hati aku kegelisahan sehingga boleh terjadinya serangan itu. Namun begitu, doktor kata keadaan itu tidak merbahaya kerana setiap manusia pun mengalaminya. Antara sedar dan tidak. Katanya lagi, aku perlu ambil kiraan degupan jantung jika keadaan itu berlaku lagi supaya dia mudah untuk mengenalpasti apa yang aku alami. Jadi, kembali kepada kisah awal tadi. Aku sengaja cuti kerana fikiran aku terganggu. Aku tak mahu nanti dengan kehadiran aku di pejabat akan mengundang masalah lain. Kalau aku pengsan, siapa nak bertanggungjawab? Aku pun tak mahu orang lain sentuh-sentuh aku. Jadi, lebih baik aku istirehat sehari di rumah sebelum kembali bertugas.

Bezanya, kali ini aku cuti tanpa pergi ke klinik dan berjumpa doktor. Apa guna kalau aku jumpa doktor sedangkan aku tahu, bukan ubat yang aku perlukan sebaliknya satu hari yang tenang. Doktor pun akan kata aku buang masa saja datang bertemu dia semata-mata sekeping MC. Jadi, memang aku tak jumpa doktor. Itu juga yang aku beritahu pada majikan. Terserah apa tindakan yang mahu diambilnya. Yang aku tahu, keadaan lagi bertambah teruk kalau aku datang. Sama ada untuk aku atau pun untuk pihak pengurusan syarikat.

Pasti kalian mahu tahu, kenapa sampai begitu sekali aku perlu tinggalkan pejabat untuk sehari. Macam yang aku kata tadi, kalau boleh dikongsi pasti aku ceritakan tetapi maaflah, memang aku tidak akan menyentuh langsung tentang hal ini di sini.


Polisi Baru

Bagi mengelak segala kecelaruan dan kegelisahan yang menimpa jantung, aku telah mengamalkan satu polisi baru. Masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan. Aku dah beritahu hal ini kepada majikan aku. Aku tak mahu masuk campur atau ambil tahu hal-hal yang tidak penting dan tidak ada kaitan dengan aku. Biarlah apa juga yang terjadi, selagi ianya tidak mengaitkan aku, tak ingin aku ambil tahu. Aku tak mahu diserang heart anxiety sekali lagi. Bukan sekadar menyakitkan (tak sakitkah kalau jantung kalian berdegup kencang macam nak putus? Kemudian diikuti degupan amat perlahan sebelum kembali normal?) malah agak menakutkan. Memang mati itu pasti, kalau dah ditakdirkan mati, sihat-sihat pun mati juga. Dah ajal, betul tak?

Aku tidak mahu jadi orang tengah. Aku juga tidak mahu menjadi ‘kaunter aduan’. Aku selesa dengan ruang yang dikhususkan untuk aku bekerja. Selain dari ruang itu, aku tak ingin tahu. Biarlah dunia nak cakap apa, aku tak kisah. Yang penting, polisi ini buatkan aku selamat. Selamat dengan diriku sendiri.


Anak Panah Terlepas Dari Busur

Mungkin orang kata jiwa aku ini sensitif (bak dikatakan seseorang yang pernah amat aku sayang) lembut, mudah sangat mencair setiap kali melihat atau mendengar masalah orang lain. Mungkin itu dulu. Sekarang, tidak lagi. Semenjak setahun kebelakangan ini, aku bukan lagi seorang Shahaini yang sama. Banyak perkara telah mengajar aku. Aku perlu kuat dan membutakan perasaan. Apa jenis perasaan pun. Itu untuk diriku sendiri yang sentiasa dianggap mudah oleh orang lain. Dulu, aku boleh memaafkan dan melupakan kesalahan orang lain. Dalam masa yang sama berharap agar kejadian sama tidak akan berulang.

Ya, itu yang aku pegang. Tetapi, apabila soal kepercayaan telah dipermainkan, aku tak rasa ada manusia bodoh yang boleh melupakan kesalahan seseorang dengan begitu mudah. Maaf dan lupa, 2 perkara yang berlainan. Mungkin aku memaafkan seseorang, tetapi tidak bermakna aku lupa dengan apa yang telah dilakukan atau kata-kata yang pernah dilontarkan kepada aku. Ramai yang mengatakan, cara aku itu adalah sebuah dendam yang disimpan. Dendam? Ah, suka hatilah apa yang kalian mahu cakapkan. Aku tak berdendam. Aku cuma memendam. Kalau berdendam, aku balas balik perkara yang sama orang itu lakukan kepada aku.

Baiklah, aku malas nak melalut lebih panjang. Jadi aku ringkaskan saja apa yang mahu aku katakan di sini. Mungkin aku mudah memaafkan seseorang, tetapi tidak ada jaminan aku melupakan kesalahan itu. Disebabkan aku tidak boleh melupakan, jadi secara tidak langsung, aku telah meninggalkan peringatan untuk diri sendiri. Peringatan yang juga amaran untuk aku supaya lebih berhati-hati. Macam yang aku selalu katakan, untuk memenangi kepercayaan orang bukan sesuatu yang mudah tetapi untuk buat orang hilang kepercayaan kepada kita tidaklah susah.

Ada satu tabiat aku (yang aku sendiri takuti), ingat setiap peristiwa dengan jelas. Malah ia kerap bermain di layar mataku berulang kali. Bukan itu sahaja, kata-kata yang diluahkan orang, aku ingat satu per satu. Memang hal ini sangat menakutkan kerana apa yang aku ingat, orang lain tak ingat. Senang-senang mereka tuduh aku buat cerita. Tak apa. Aku tak kisah sebab, saksi kejadian semua yang terjadi di muka bumi ini adalah Allah dan para malaikatnya. Mungkin di sini mereka (orang-orang berkenaan) terlepas tetapi di akhirat setiap perkara ada saksi dan hisabnya.

Satu sahaja aku pesan, mungkin bukan aku seorang sahaja yang mempunyai tabiat ini. Jadi kepada kalian yang membaca entri ini, satu nasihat percuma aku mahu berikan. Sebelum berkata apa-apa, berfikirlah terlebih dahulu. Jangan jadikan alasan amarah menguasai jiwa yang membuatkan kalian berbicara yang bukan-bukan. Kalau marah bagaimana sekalipun, lihat pada Iman. Jika benar-benar kalian masih ada iman, amarah tidak akan dapat menguasai diri sepenuhnya. Ingat kepada Allah. Jaga pertuturan kerana, anak panah yang terlepas dari busur tidak akan berpusing kembali. Wallahualam.

Abah pernah berkata...

“Izan, orang yang marah didekati para syaitan. Kalau berdepan dengan orang yang marah-marah, kau ingat pada Allah. Allah sentiasa dekat dengan kau. Orang yang mengingati Allah akan sentiasa dilindungi ”.

Teringat juga aku kepada satu ayat yang pernah meniti di bibir salah seorang insan yang aku kagumi.

"Seorang manusia punyai 1001 cara pergaulan dengan orang disekelilingnya."

Aku setuju dengan kata-kata itu. Aku tidak suka mengambil contoh orang lain. Biarlah aku menjadikan diri sendiri sebagai contoh.

Aku memang bercakap kasar tetapi untuk orang yang benar-benar rapat. Dengan mereka, aku lepas perangai dan tidak berselindung. Namun, aku juga bersikap kasar kepada orang lain (orang yang aku tak mahu terlibat dan tahu tentang dirinya). Kenapa? Sebabnya, orang begini sama ada membuang masa dan menyakitkan hati saja mengenali mereka.

Aku akan bersopan, untuk orang yang pertama kali aku kenal dan tidak akan sesekali rapat. Sekadar teman biasa. Aku bersopan juga untuk orang-orang yang amat aku sayang dan memang duduknya terlalu istimewa dalam hidupku.

Jadi, kalian di kategori yang mana satu ya?

Tuesday, May 10, 2011

Ironi Isu Memartabatkan Penggunaan Bahasa Melayu

Aku tak mahu cakap banyak. Banyak bercakap, khusus untuk orang yang bebal. Apa itu bebal? Cari dalam Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, bukannya dalam Oxford Dictionary. Entri kali ini aku memilih untuk memperlihatkan dua senario tetapi bertunjangkan satu isu; Memartabatkan Penggunaan Bahasa Melayu (seperti yang aku jelaskan tadi, tak mahu membebel panjang).

(Rujuk : Perlembagaan Persekutuan)

BAHAGIAN 12
AM DAN PELBAGAI

152. Bahasa Kebangsaan.
(1) Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang oleh Parlimen:

Artikel/Perkara 152 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa bahasa kebangsaan merupakan bahasa Melayu. Walau bagimanapun, perlembagaan menjamin kebebasan pembelajaran dan penggunaan bahasa-bahasa lain, kecuali di atas tujuan-tujuan rasmi. Tujuan-tujuan Rasmi di sini bermakna apa-apa tujuan kerajaan, samada negara atau negeri, dan termasuklah apa-apa tujuan penguasaan awam. Untuk penguatkuasaan ini, semua prosiding mahkamah dan dokumen-dokumen parlimen serta mesyuarat-mesyuarat mesti dilakukan di dalam bahasa Melayu.

Tulisan rasmi bagi bahasa Melayu juga dinyatakan di dalam Artikel 152 sebagai rumi atau tulisan Latin. Walau bagaimanapun, penggunaan Jawi tidak dilarang.

Senario 1 : Dalam Malaysia
Sidang media ;
syarikat, perkhidmatan, laporan ekonomi secara majoritinya dalam Bahasa Inggeris. Kalau tidak percaya, setiap malam buka saluran televisyen (mana-mana siaran) jelas memperlihatkan penggunaan bahasa Inggeris yang menguasai di mana-mana juga sidang media. Bahasa Melayu hanya kedengaran ketika pembaca berita menghadap muka ke kamera sambil membaca skrip. Selebihnya, isi berita dipenuhi dengan wawancara yang dikuasai Bahasa Inggeris.

- Senario ini mengingatkan aku kepada berita-berita dari negara India (yang biasanya aku tonton di internet) yang paling teruk ditinggalkan kesan penjajahan. Aku boleh faham kenapa peninggalan penjajah masih kuat mencengkam India kerana, British menjadikan India sebagai tanah jajahan melebihi seratus tahun. Tapi, apa pula ceritanya dengan Malaysia? Hmm.

Perjuangan PPSMI;
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris diperkenalkan sekitar tahun 2003 dengan menggantikan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. Dikhabarkan bahawa PPSMI ini akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012.

- Alasan yang diberikan ketika PPSMI diperkenalkan, buku rujukan berbahasa Melayu kurang dan lebih banyak di dalam bahasa Inggeris. Bukankah masalah ini sepatutnya diatasi dengan mewujudkan lebih banyak buku rujukan berbahasa Melayu. Malaysia (Tanah Melayu) telah pun melewati zaman pendidikan yang dipraktik zaman jajahan British di mana sukatan pelajaran dalam bahasa Inggeris. Kemudian bahasa Melayu ambil alih. Sepanjang tempoh itu sehingga tahun 2003, ramai juga cendekiawan dalam sains. Alasan ketiadaan rujukan dalam bahasa Melayu tidak cukup kuat. Yang menjadi mangsa, para pelajar yang menjadi bahan eksperimen dengan perubahan dasar pendidikan yang tidak tetap. Pemansuhan PPSMI mengundang pelbagai reaksi dari ibu bapa (yang aku kenal). Majoritinya tak bersetuju kerana menganggap pembelajaran dalam bahasa Inggeris lebih efektif. Hmm. Sebagai orang yang mendengar keluhan sebegitu, aku amat kecewa. Kecewa kerana dengan sendirinya mereka meletakan bahasa Melayu sebagai bahasa yang lemah.

Senario 2 : Luar Malaysia
Sukatan pembelajaran bahasa Melayu;
Sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Copenhagen, Denmark baru-baru ini, beliau ada mengatakan Malaysia sedang mengkaji permintaan rakyat supaya sesuatu dapat dilakukan agar penguasaan Bahasa Melayu di kalangan rakyat Malaysia di perantauan tidak pupus ditelan bahasa lain. Menghadiri Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Eropah kali ke-3, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawab persoalan yang diajukan Pengerusi Persatuan Malaysia-Denmark, Poo Chu Chua.

- Senario ini mengingatkan aku semasa belajar di 2 buah sekolah yang mana pelajar melayu merupakan golongan minoriti; St Mary dan Convent Bukit Nanas. Semasa belajar di sekolah kebangsaan yang mana majoritinya terdiri dari orang Melayu dan Islam, aku acuh tak acuh tentang penglibatan yang dianjurkan Persatuan Pelajar Islam. Apabila berada di sini (2 sekolah tadi) barulah aku menghargai persatuan yang menghimpunkan pelajar-pelajar Islam. Bagaimana untuk maju dan bersaing dengan persatuan lain yang jauh lebih kuat (dari segi bilangan dan aktiviti). Jadi, aku amat faham situasi yang dihadapi rakyat Malaysia yang berada di perantauan. Nilai kecintaan terhadap bahasa ibunda lebih tinggi. Ditambah pula melihat masyarakat luar yang lebih menghargai bahasa ibunda masing-masing seperti Denmark dan Perancis.

Laporan Buletin Utama 9 Mei 2011; Pastikan Penguasaan Bahasa Melayu Di Perantauan Tidak Pupus

Ironi senario ini yang berlaku di luar dan dalam Malaysia amat jelas. Di Malaysia, penggunaan bahasa Melayu itu terus menjadi sandiwara. Diperlekehkan dan dijadikan sebagai bahasa kampungan. Manakala senario berbeza berlaku di luar negara sehingga ada usaha untuk meneruskan penguasaan bahasa Melayu agar tidak menjadi mangsa kepada bahasa-bahasa lain.

Thursday, May 5, 2011

Hujung Minggu...

Penat bekerja 5 hari seminggu (tapi tidak minggu ini, sebab tolak cuti umum Hari Pekerja dan cuti ambil sendiri!), pastinya hujung minggu seumpama saat-saat yang diidamkan. Terutamanya aku. Apa taknya? Selain menghabiskan masa lebih banyak bersama famili, masa inilah dapat mencuci mata. Bak kat orang, 'bebas' dari lapangan kerja. Tak begitu? Alamak, sama pula ayat dengan bahasa dalam majalah yang selalu aku guna buat artikel. Memang betul, lenggok dan gaya bahasa aku semakin kematian. Ya, aku perlu terus menulis, menulis dan menulis. Tidak kiralah walau hanya untuk sebaris. Itu pesan guru-guruku, Tuan Haji Mohd Ghazali Abdullah dan encik Ridzuan Harun.

Sambutan Hari Ibu : Relevankah?
Kebetulan minggu ini ada sambutan Hari Ibu. Hmm. Dulu, masa zaman sekolah, zaman kecil-kecil, zaman pemikiran yang dipimpin orang dewasa, Hari Ibu merupakan hari yang amat ditunggu-tunggu, Salah satunya sebab, guru-guru di sekolah 'cenderung' membuat sesuatu tugasan dengan tema. Hari Guru (semestinya!) Hari Kanak-Kanak Sedunia, Hari Ibu, Hari Bapa dan macam-macam jenis sambutan hari lagi. Aku, seperti pelajar-pelajar yang lain, sangatlah beria-ia menghasilkan sesuatu untuk dihadiahkan kepada ibu masing-masing dan kemudiannya digantung dan dihiaskan dalam bilik darjah. Sejak dari kecil, minda dan otak anak-anak telah dipimpin sebegini rupa, menjadikan hari ibu seakan satu sambutan WAJIB.

Berbeza dahulu dan sekarang. Kalau dahulu, tindakan dan akal dipimpin, sekarang tugasan itu terletak seratus peratus kepada pimpinan OTAK sendiri. Hmm. Nanti, aku cakap (taip di sini) lebih-lebih, orang kata aku kolotlah, berfikiran dalam tempurunglah, tak mengikut aruslah dan itu ini. Satu aku mahu tanyakan, kepada kalian semua, siapa yang mulakan sambutan hari ibu? Maksud aku, ada tak tercatat dalam Al-Quran? Atau, adakah ia termaktub sebagai salah satu perkara sunat dilakukan? Dituntut oleh Allah, meraikan hari ibu? Ha. Aku dah cakap, baru tanya soalan-soalan begini, mulalah masing-masing buat muka muncung sedepa. Kalau diukur, boleh sampai ke tiang bangunan KLCC. Lagipun, bukankah itu mercu tanda 'ibu' negara Malaysia? Kuala Lumpur. Ha, kalau macam itu, Kuala Lumpur juga perlu diraikan dalam sambutan hari ibu. Hari Ibu negara!

Aku bertanya lagi, bukankah hari-hari itu adalah hari ibu?
Hari-hari, sayangilah ibu.
Kenapa perlu adakan satu hari khas untuk sambutan hari ibu?
Kerajaan nak beri cuti umum?
Atau nak beri bonus kepada ibu pada sambutan ini? Tak bukan!
Kenapa perlu ucap sayang pada hari ibu sahaja?
Hari-hari lain, tak nak pula bersayang-sayang?
Kenapa hari ibu baru nak buat itu dan ini?
Hari-hari lain, lambak segala kerja pada ibu?
Macam itukah?
Syabas! Memang anak yang MULIA!

Apa sejarah di sebalik terwujudnya Hari Ibu? Baiklah, sebelum aku meneruskan dengan lebih lanjut, aku tak mahulah orang kata aku ini puak pelampau! Sampai ada gerakan nak menggulingkan aku. Ala-ala terpengaruh dengan propaganda AMERIKA! Eh, Amerika lagi? Hmm. Tidak. Aku bukan ekstremis. Aku juga bukan puak yang akan menghukum orang lain dan menghumban orang ke dalam lokap dengan kesalahan-kesalahan begini. Masing-masing mempunyai pendapat sendiri. Begitu juga aku. Kalau pendapat aku tidak mampu membeli pendapat kalian, begitu jugalah kalian tidak mampu membuat aku terbeli dengan propaganda yang diwujudkan oleh kuasa-kuasa tertentu.

Alah, jangan nak bohong. Takkanlah tak tahu, siapa yang mula-mula mewujudkan sambutan Hari Ibu. Nak tahu sejarah? Google ada. Guna bukan untuk menggodek fesyen, lagu-lagu atau gosip semata. Perkara-perkara sebegini yang perlu dikaji. Tapi, bukan membabi buta mempercayainya tanpa ada kajian susulan dan semestinya, diikuti pertimbangan akal dan fikiran. Ingat. Akal dan fikiran, diberikan untuk membuat keputusan berdasarkan, apa yang betul dan yang salah. Kalau itu pun tak boleh nak fikir, fikir-fikirkanlah sendiri, mana duduknya akal yang diberikan Penciptamu, Allah subhanawataala.

Jadi, adakah perlu aku kongsikan di sini sejarah Hari Ibu? Ada banyak laman sesawang yang boleh disinggahi. Tapi, untuk kemudahan semua, aku berikan alamat ini, salah satunya di Wikipedia. Oh, ketawa ya? Memanglah sesawang wikipedia ini diragui kesahihannya. Macam yang aku katakan tadi, baca dan fahami. Kemudian adakan kajian susulan. Ingat, jangan senang-senang 'terbeli' dan menjunjung kebudayaan orang luar. Apa? Kita sudah tidak ada pendiriankah mahu terus mengikut 'kebudayaan' yang diperkenalkan mereka?

Menurut laman sesawang wikipedia, hari ibu yang disambut saban tahun pada hari Ahad minggu kedua. Ia merupakan hari yang didedikasikan oleh Anna Jarvis kepada ibunya, Ann Maria Reeves Jarvis yang merupakan seorang aktivis sosial ketika Perang Sivil Amerika. Anna Jarvis merupakan pengasas untuk Mothers' Day Work Club. Hmm. Menarik bukan? Jika ianya dikhususkan untuk sambutan Hari Ibu untuk memperingati perjuangan Ann Jarvis, yang memperjuangkan hak wanita, adakah kita sebagai umat Islam harus meraikannya bersama? Mungkin, di satu hari nanti akan terciptanya satu hari memperingati Mother Teresa, adakah perlu kita umat Islam turut sama meraikannya?

Kalau masih ada yang belum tahu, sudah ada beberapa negara Islam yang mengeluarkan fatwa menentang sambutan Hari Ibu ini. Jadi, fikir-fikirkanlah, kenapa sampai ada fatwa tentang sambutan hari ibu? Kalau pengetahuan ilmu Islam itu dangkal, rujuk pada yang tahu dan jangan buat-buat tahu! Lagipun, fatwa dikeluarkan bukan kerana 'suka-suka'.

Ini petikan fatwa dari;
Shaykh Mashhoor Bin Hasan Al-Salmaan الشيخ مشهور بن حسن آل سلمان dan diterjemahkan oleh Talib Tayson.
The ruling on this is that such acts are forbidden innovation (Bida). Such acts are not legislated by Allah the Exalted, or from our religion and actually is from the non-Muslims so practising it is imitating them.
In Islam brothers and sisters mothers day is every day, even though we don’t call it that, but good treatment to ones mother is something encouraged daily by this religion and not just once a year on a specific day which is what our enemies practise and with Allah success lays.
Ia merupakan tindakan yang dilarang (Bida). Ia tidak ditetapkan oleh Allah Ta'ala, atau dari agama kita (Islam) sebaliknya ia adalah sambutan yang diraikan golongan bukan-Islam dan jika kita turut sama meraikannya adalah sama dengan meniru perbuatan mereka.Dalam Islam saudara dan saudari, hari ibu adalah setiap hari. Walaupun kita tidak menyebutnya dengan nama sebegitu, tetapi layanan baik untuk ibu setiap hari adalah sesuatu yang didorong oleh agama ini dan tidak hanya sekali setahun pada hari tertentu yang diraikan musuh kita.
Renung-renungkan dan fikir-fikirkanlah ya. Masing-masing ada akal dan otak untuk berfikir.
* Hari-hari salam dan cium umi, bukankah lebih afdal dan mesra?


Hari Pertama : Misi Menghantar Kad Jemputan
Masih ingat dengan kad kahwin Ayuz hari itu? Dah siap. Sekarang dalam misi menghantar kad-kad jemputan kepada para tetamu yang semestinya saudara-mara, sahabat handai dan juga kenalan (siapa pula nak ajak orang asing? lagipun, Ayuz dan famili kami bukannya artis. Hahaha). Walaupun kad jemputan ini mengambil masa yang terlalu lama untuk siap cetak, tetapi hasilnya memuaskan (walau ada kesalahan beberapa perkataan, masih boleh dimaafkan).
Sebenarnya proses menghantar kad jemputan ini sudah pun bermula dari minggu lepas, aku cuma dapat turut sama-sama ikut rombongan pada minggu ini. Itu pun sebab ada waktu terluang. Kami ke Selayang, Gombak dan patah balik ke Sungai Cincin. Di mana kawasan ini dipenuhi dengan sanak saudara kami. Seronok juga. Terasa macam sambut hari raya. Bezanya tidak ada kuih raya dan tak duduk lama di satu-satu persinggahan. Maklumlah, kalau lama-lama nanti, tak berhantar pula kad-kad jemputan nanti. Kesian Ayuz, tak ada pula tetamu yang hadir nanti. Hahaha.
Destinasi pertama di Selayang. Wah, satu soalan yang amat aku suka dengar, (soalan yang bukan ditujukan untuk Ayuz)
"bila Ijan nak kahwin?"
Aku pandang umi dan abah. Malas nak menjawab. Aku senyum saja. Jawab dalam hati, kalau tak ada aral, bulan Disember. Hahaha. Berani cakap dalam hati. Yang keluarnya bunyi lain...
"Belum ada jodoh, dia nak tumpukan pada kerjaya dulu," jawab umi.
Puas meronda di Selayang, destinasi seterusnya di kampung halamanku. Lebih kurang mengambil masa tak sampai 1 jam. Hihihi. Mana lagi kalau bukan di Kampung Puah. Tempat permainan dan jatuhnya aku (sehingga berlubang lutut dan bertanda parut di dahi, jelas kelihatan sampai sekarang!). Memang aku rindukan kampung aku ini. Lebih rindu lagi pada penghuninya yang sudah tidak ada lagi. Arwah atuk. Arwah atuk, Haji Zainal dan wan, Hajah Halimah.
Disebabkan kami singgah di kampung halaman, maka agak lama jugalah kami berehat. Sambil abah berborak dengan adiknya, Mak Ngah, Ayuz dan umi mengatur langkah menyelesaikan misi. Menghantar kad jemputan kepada orang-orang kampung. Siapa kata aku tak ada kampung? Kampung Puah, tetap kampung tau walaupun lokasinya di dalam bandar. Aku pula ambil kesempatan meluangkan masa dengan sepupu-sepupu yang ada, Syazwan, Aida dan Achum. Comel-comel sepupu aku. Sampai ada yang hafal jalan cerita novel yang pernah aku tulis. Hahaha. Terima kasihlah Syazwan dan Aida yang tak henti-henti beri sokongan moral kepada akakmu ini. Insya-allah, ada rezeki akan menyusul lagi novel-novel di masa akan datang.
Namun apa yang lebih menarik, bukan perbincangan aku dan mereka, sebaliknya Syazwan sudi mengajarku cara menggesek biola. Ha! Jangan tak percaya (sebab aku sendiri pun tak percaya ni), Syazwan ada masuk kelas muzik dan instrumennya pula adalah biola. Kalau sebelum ini aku sentiasa terkesima melihat Vannesa Mae, serta beberapa pelakon yang berlakon mahir bermain biola termasuklah Shahrukh Khan opppss... Dato' Shahrukh Khan dan Salman Khan. Dalam filem, semua orang pandai main. Tak begitu? Jadi, hari itu Syazwan mengajar aku cara yang betul memegang biola. Tak lama. Sekejap saja. Tempoh masa yang sekejap itu pun mampu membuatkan aku terlupa seketika dan terasa-rasa ingin memiliki sebuah biola sendiri. Apabila difikirkan semula, baik lupakan saja. Gitar yang setia menjadi penunggu dalam bilik pun masih belum lulus lagi, inikan pula nak melompat main biola. Aduh!

Selesai misi di Kampung Puah, kami bergerak pula ke Kampung Chubadak. Yang ini barulah betul-betul penempatan awal kami sekeluarga. Ya. Keluarga yang membuka penempatan Kampung Chubadak, Haji Ahmad. Bukan Kampung Chubadak yang setinggan itu ya. Jangan salah faham pula! Ini Kampung Chubadak yang tanahnya diambil kerajaan untuk membina lebuhraya DUKE! Habis, tinggal serpihan sahaja sejarah penempatan keluarga kami. Ternyata kedatangan kami ke Kampung Chubadak turut diraikan dengan berita gembira. Makcik saudaraku, yang juga merupakan sepupu abah sudah sihat dari koma. Alhamdulillah, Akhirnya, dia kembali sihat. Hari ini juga kami telah berpeluang melihat foto kenangan nenek moyang kami yang diketuai Haji Ahmad dan Hajah Aminah (ayah dan emak kepada moyang aku). Ketika gambar itu diambil, arwah wan masih belum lahir. Yang kelihatan hanyalah kedua-dua arwah moyangku, Mohamad Kundur dan Umi Kalthum. Aku sempat bermanja dengan arwah moyang, Umi Kalthum sehinggalah dia kembali ke rahmatullah pada usia melewati 100 tahun.

tak payah teka, aku memang tak ada dalam ini gambar

Setelah selesai menghabiskan masa yang agak lama di Kampung Chubadak, maka kami satu famili pulanglah ke rumah tercinta. Walaupun semakin ramai perompak dan macam-macam belaan, rumah itu tetap syurga kami. Mungkin tidak ada yang tahu, tapi kawasan rumah di sini, sudah melahirkan sekumpulan perompak. Balik ke rumah, perut masing-masing amat cenderung mengeluarkan bunyi. Yalah, sepanjang hari ke sana ke mari tapi, tak menjamah. Bukan sombong tapi, masa di rumah-rumah yang disinggahi, tak pula perut meminta diisi. Memandangkan masing-masing berat punggung nak mengasapkan dapur, maka keluarlah kami satu famili mencari makan. Destinasi kali ini, pizza hut.

hmmm... tekun betul baca menu

 
 Indah katalog...

dari rupa?

Daisy Duck? Muncungnya...bukan rupa!

bakal pengantin menahan lapar...

Serang!

ada sesiapa tahu,mana boleh dapat gelas macam ni?

Oh ya, kebetulan saja kami makan di sini. Secara kebetulan juga kami memesan hidangan istimewa. Hidangan promosi untuk hari ibu, tapi tidak bermaksud kami meraikan. Alah, setakat makan beramai-ramai di luar, memang dah selalu. Kebetulan saja kali ini makan pada hari ibu. Keadaan di pizza hut memang sesak. Apataknya? Bertembung dengan majlis sambutan hari lahir. Kami hanya datang untuk mengisi perut yang lapar. Tidak lebih dari itu. Keadaan yang sesak, panas (penghawa dingin rosak) dan juga perkhidmatan yang lembab, membuatkan perut yang lapar seakan mengganas. Mujurlah ada kamera. Hahaha. Depan kamera, tak ada siapa nak tunjuk muka ganas. Semuanya nak nampak 'cute'. Lagipun, bila lagi boleh situasi ini kamu kecapi. Yalah, sementara Ayuz masih solo, seronok juga keluar makan beramai-ramai. Bila dia dah kahwin nanti, mungkin jarang pula berjumpa. Jadi, sebelum itu terjadi, habiskanlah masa bersama sepuas-puasnya!


Hari Kedua : Misi Menghantar Kad Jemputan
Hari ini, ada perancangan. Pergi dan balik. Maksudnya, tak macam semalam. Harus menjaga masa kerana banyak lagi rumah yang perlu dikunjungi. Tetapi, sebelum itu, aku dan Ayuz buat kejutan untuk umi dan abah. Tapi kejutan itu memang tak dilayan abah sebab, dia tak boleh sarapan lewat. Jadi, bertungkus-lumuslah kami dua beradik menyediakan makanan sarapan pagi. Sarapan pagi ala-ala barat. Oit, bukan orang Amerika saja makan macam ini ya. Amerika tak makan dengan nasi goreng. Ya, inilah resepi aku (sejak dari zaman remaja). Nasi goreng + hot dog + telur mata + sayur campur bersos + kentang goreng = sarapan pagi ala-ala Ijan! Hahaha. Ayuz turut membantu. Bantu memastikan kentang tidak digoreng hangus. Hahaha. Okaylah tu, ada juga buat kerja. Ya tak? Kemudian, diserikan lagi dengan minuman segar air oren. Bukan diperah dari ladang tapi dituang dari muncung botol Sunquick. Hahaha

sesekali merasa air tangan sendiri...

sudut pandangan sisi...


deko...idea Ayuz bukan Eric Leong!


jemput makan... (dah selamat pun proses penghadaman)

Kembali ke misi yang bersambung dari siri misi semalam yang tertangguh. Wah, memang seronok. Kali ini lebih ramai rumah sanak saudara yang kami singgah. Sebelum ini yang tak pernah kenal, jadi kenal. Tak ubah macam calon pilihanraya turun mengundi. Itu yang aku cakap pada Ayuz. Mulanya dia tak faham. Lepas tu aku terangkan.

Calon pilihanraya turun jumpa rakyat masa ada pilihanraya, masa itulah baru kenal rakyat dan masalah rakyat, Samalah macam kita, masa ada majlis perkahwinanlah baru ada peluang bertemu semua sanak saudara. Baru tahu, ada berapa anak, tinggal di mana. Hahaha. Bolehkah dua perkara ini dibuat persamaan? Aku bercanda sahaja. Maklumlah, saudara ramai. Tak terimbau nak lawat satu-satu. Masing-masing sibuk, ada kerja. Tapi, kalau calon pilihanraya, macam mana pula? Tak ada komen lanjutan ya. TITIK!
Seperti semalam, hari ini juga misi selesai sehingga lewat malam. Perut berkeroncong. Mulanya mahu sahaja berhenti di Sungai Buloh. Tapi, rasa macam tak seronok pula. Jadi, kami ikutlah jalan lama, Kundang dan nanti akan tembus ke Bandar Tasik Puteri. Kebetulan ada satu kedai makan. D'VILLA. Tempatnya sedikit unik. Selesa dan tidak ramai orang, Tak ramai bukan bermaksud tak ada. Ada, cuma bilangannya tidak sesak seperti di Pizza Hut semalam. Aku memesan nasi goreng Amerika. Amerika lagi? Kenapa aku pilih nasi goreng ini? Bukan sebab namanya nasi goreng Amerika, tetapi lauk hidangan yang ada dalam masakan itu. Telur mata dan daging masak merah. Memang kegemaran aku. Bukan telur, tapi daging masak merah. DAGING. Hihihi.

keletihan...


nampak sangat... letih!

Ayuz seperti biasa tidak akan melepaskan peluang mematrikan kenangan melalui lensa kamera Nikonnya. Bagus sangat. Dengan adanya sesi makan malam ini, sekaligus menandakan tamatlah sesi misi menghantar kad jemputan pada minggu ini. Aku tak fikir panjang, mungkin disebabkan aku pernah dinasihatkan doktor agar jangan membebankan otak dengan berfikir banyak. Jadi, aku memang tak kisah, yang penting rezeki sudah di depan mata. Bismillahirahmanirahim. Amin.... 

hidangan untuk Ayuz...nasi Pattaya

hidangan sampingan... tom yam

Paprik... untuk umi

hidangan aku dan abah nasi goreng USA

Itu dia... gaya makan bakal pengantin!

* Hmm. Aku kira entri kali ini dah macam rancangan Jalan Jalan Cari Makan pula. Hihihi.