Sunday, June 27, 2010

Hujung Minggu Famili Zahar Di I-City

Tinggalkan segala kekalutan semalam, hari ini kami sekeluarga telah menghabiskan masa kualiti bersama-sama di I-City. Ini kali kedua aku, abah, umi dan Ayuz menjejakkan kaki ke sini. Kali pertama minggu lepas. Tapi tak begitu seronok kerana tanpa kehadiran famili mini Along. Jadi bagi menebus kembali masa tanpa mereka, sekali lagi bumi I-City Shah Alam dijejaki. Tak aku nafikan, sudah terlalu banyak perubahan yang berlaku di bumi Shah Alam ini.







Sedikit berbeza dengan minggu lepas, kawasan ini seakan banjiran manusia. Malah hendak meletak kereta terpaksa menunggu giliran. Ramai betul pengunjung yang hadir ke tapak I-City ini. Mungkin kerana semuanya tidak sabar-sabar melihat kecantikan paduan lampu-lampu yang indah.











Sejak kecil aku memang gemar melihat lampu-lampu. Abah juga sering membawa kami sekeluarga berjalan malam sekitar kawasan Kuala Lumpur semata-mata untuk melihat mandian lampu-lampu ini.









Paling seronok tentulah Miqhail. Sampai tak senang duduk dibuatnya. Oleh kerana aku sahaja yang masih di tahap kebudak-budakkan, terpaksalah aku melayan kerenahnya. Berlari, berkejaran ke sana dan ke sini. Yang penting, si kecil ini seronok.











Namun, apa yang lebih penting adalah masa yang dihabiskan bersama-sama. Tidak ternilai harganya.









Saturday, June 26, 2010

Terperangkap!

Sepanjang perjalanan pulang menuju rumah, aku dihimpit satu persoalan. Satu persoalan yang mengundang pertumpahan pelbagai rasa. Kekeliruan, kecelaruan. Antara naluri dan juga kehendak. Aku seakan gagal melihat garis untuk dijadikan sempadan di antara keduanya.

Sebaik sampai dan selesai membereskan diri, aku menyertai Along, Ayuz dan Umi di meja makan. Kebetulan abah ketika itu masih belum pulang dari surau. Aku ajukan satu soalan pada mereka yang sedang tekun menghadap rezeki. Namun, gagal bertemu dengan jawapan.

Aku masih keliru dan bercelaru. Sehinggalah masuk ke bilik tidur. Masih tidak berjumpa dengan jawapan kepada soalan yang merasuk sejak dalam perjalanan pulang tadi. Apa yang aku tahu, soalan itu perlu ditemukan dengan jawapan. Adakah aku mampu bertemu dengan jawapannya? Wallahualam.

* Satu sahaja yang terkesan dalam minda, Along dan umi katakan padaku agar jangan terlalu menekan diri dengan berfikir yang bukan-bukan. Masalahnya, aku sudah cuba tidak memikirkannya tetapi ia tetap ada. Aduh, bagaimana harus aku menidakkan soalan kecelaruan ini?

Monday, June 14, 2010

Sebuah Coretan Rindu...

Dalam kesempitan, aku masih sempat meluangkan baki masa yang tertinggal untuk menyiapkan sebuah video klip. Pembikinan video klip ini adalah sesuatu yang paling dekat dengan jiwa aku. Namun begitu, video klip yang aku maksudkan bukanlah pada tahap yang serius dan boleh disenaraikan dalam mana-mana pertandingan. Ia lebih mirip kepada persembahan slide. Keping-kepingan gambar yang diiringi muzik dan beberapa bait ayat.

Sebelum menjejak tarikh ini, abah pernah memberi aku tugasan yang amat berat, buat satu video klip kronologi keluarganya untuk tatapan kenangan kami. Awalnya, sukar untuk aku laksanakan. Gambar-gambar dalam simpanan kami tidak banyak. Jika dikenangkan kembali puncanya, hanya menambah luka. Jadi aku buat acuh tidak acuh sahaja. Sehinggalah semalam, sewaktu pulang ke rumah sebaik pulang menonton wayang Karate Kid bersama sahabatku, Norayshah Tahar.

Sendirian di dalam kereta, sengaja aku menyumbat lubang telingaku dengan lagu nyanyian Gio, Bila Cinta. Lagu yang sama mengiringi perjalanan cerita Lagenda Budak Setan. Tanpa sedar, air mata aku menitis dan ingatanku segera melayang kepada arwah Atuk. Ya, Allah... betapa aku amat merindui insan itu. Sepanjang perjalananku ditemani basah air mata. Bait-bait ayat itu hanya dapatku kaitkan dengan arwah atuk. Demi Allah, dia sahaja yang sedang aku rindui pada saat ini. Senyum, gelak tawa dan juga kata-katanya masih jelas di telingaku.

Setibanya aku di rumah, minda aku tidak tenteram. Selesai membantu umi mengemas rumah, aku terus meluru ke bilik. Aku memasukkan lagu yang baru kuterima dari Ayshah itu ke dalam data komputer. Pantas semua gambar yang ada aku imbas dan menempatkannya dalam satu 'folder'. Percaya atau tidak? Aku membikin video ini sambil diiringi air mata. Aku tertidur. Hanya selepas solat subuh, aku bangun dan segala-galanya menjadi jelas. Kutumpahkan setiap rasa menjadi ayat, mengiringi perjalanan koleksi gambar-gambar arwah atuk dan wan. Jujur aku katakan, hati ini lebih memberat kepada arwah atuk. Mungkin kerana, sejak dari kecil aku sememangnya lebih rapat dengan atuk berbanding arwah wan.

Setelah selesai, aku bersiap-siap untuk mempertontonkannya di hadapan semua. Setiap ayat yang ada di dalam video itu adalah luahan rasa hatiku. Khas untuk Along dan Ayuz. Kebetulan ia juga bertepatan dengan situasi yang akan diadakan hari ini. Aku kira, hanya orang yang sengaja membutakan perasaan akan menutup segala emosi sebaik melihat video ini. Abah berpesan padaku, mainkan video ini kelak. Aku akur. Sepertimana yang abah pesan, aku mainkan tayangan video ini dihadapan ramai.

Malangnya, ada mata yang dibutakan dan ada juga rasa yang dimatikan. Aku akui, gambar-gambar ini tidak mampu menandingi kebersamaan mereka bersama arwah atuk dan wan. Namun aku pasti setiap kenangan, kasih sayang yang selama ini menghuni di dalam jiwa kami sekeluarga mengatasi itu semua. Biarpun masa memisahkan serta meminggirkan kehadiran kami dalam hidup mereka. Kasih sayang dan ingatan tidak pernah bisa dapat diukur melalui pertemuan. Ia dapat dirasa jelas nyata, melalui hati... perasaan. Hanya Allah tahu, betapa aku merindu. Dan kerana kasih itu sukar dizahirkan, gambar-gambar ini menjadi peneman. Di kala rindu yang menjelang.

Pintaku kepada sesiapa sahaja yang melintasi blogku ini, sedekahkanlah Al-fatihah kepada arwah Atuk dan Wan, Zainal Ahmad dan Halimah Kundor. Al-fatihah...

Sunday, June 13, 2010

Aku, Ayshah dan Karate Kid

Oleh kerana serik dipermainkan wayang Lagenda Budak Setan, sahabatku Ayshah menebus masa yang diluangkan selama hampir 2 jam menonton minggu lalu dengan sebuah filem aksi Karate Kid. Awalnya, dia mahu membawa aku menonton filem Nanny Mcphee. Sebelum sampai ke TGV Kepong ini, aku sempat juga menonton trailer Nanny Mcphee. Menarik, buatkan aku tidak sabar untuk menontonnya.

Ayat yang paling aku gemar dan digunakan dalam trailer Nanny Mcphee, "When you need me,but do not want me,then I will stay.When you want me,but do not need me,then I have to go."



Dengan perasaan berkobar-kobarnya, tibalah kami berdua di kaunter TGV. Lebih kurang dalam pukul 2 petang. Puas juga mata meliar mencari poster Nanny Mcphee. Yang ada pun hanya poster The Killer, Twilight dan Shrek! Sudahnya, kami berdua mengalah dan bertanya di kaunter. Malangnya, Nanny Mcphee tak ditayangkan di pawagam ini. Aduh! Alang-alang sudah datang, tiket pula dapat percuma. Jadi, kami sebulat suara memilih Karate Kid dan masa tayangan pula pada jam 3 petang. Tidak boleh lewat, maklumlah... takut orang di rumah risau.

Kalau hendak dicatatkan semua tentang Karate Kid ini, mungkin tidak akan cukup ruang. Cukuplah aku katakan, "PERGI TENGOK DI PAWAGAM! TAK RUGI 2 JAM!"



Gabungan lakonan Jackie Chan dan Jaden Smith memang memukau. Sebagai peminat siri filem ini, aku boleh katakan Karate Kid versi 2010 mempunyai kekuatan yang tersendiri. Unik dan bersahaja. Sama seperti siri-siri sebelum ini. Cuma, mungkin aku lebih memberat kepada Jaden kerana bakat yang ada padanya, lebih besar pada ukuran saiz ketinggiannya. Terlalu banyak scene menjadi kegemaran aku. Dan yang paling aku suka (semestinya semua penonton pun bersetuju), scene akhir di mana Dre mengaplikasikan teknik yang dipelajarinya sendiri melalui pemerhatian - Chi. Menarik sungguh! Cuma, kenapa ianya masih menggunakan tajuk Karate, sedangkan filem ini bersandarkan Kung Fu?



Sebelum balik Ayshah sempat berkata padaku, "berbaloi sungguh kalau nak dibandingkan dengan Lagenda Budak Setan."

Aku hanya gelak.

Tuesday, June 1, 2010

Biar Ia Berlalu...

Ingat lagi dengan Imaan? Pasti kalian ingat. Satu nama yang sentiasa disebut-sebut dalam blog ini. Namun semenjak Imaan mendirikan rumahtangga, agak lama juga aku tak bercerita tentang dia di sini. Maklumlah, dia jarang menghubungi aku. Aku pula tidak berani mengganggu kebahagiaan keluarganya. Aku perlu menghormati perasaan isterinya.

Sebentar tadi, aku terima panggilan dari dia. Terkejut? Tentulah. Mulanya dia SMS. Katanya dia sudah bergelar bapa. Alhamdulillah. Putera sulungnya dinamakan sebagai Iberahim. Disebabkan agak lama tidak bertukar-tukar cerita, dia bertanya tentang khabar aku. Soalan yang ditanya masih sama, adakah aku masih sendiri atau sudah berpunya? Hahahaha.

Aku tidak pernah bersembunyi padanya. Kukatakan, bukan senang untuk orang menerima kepala anginku. Berkawan pun susah, inikan pula bercinta? Dia diam. Sempat juga dia menasihati aku agar jangan terlalu keras kepala. Nasihat. Aku sekadar mendengar, tak semestinya aku terima bulat-bulat.

Pelbagai kisah yang kami kongsi bersama. Di bibirnya hanya ada satu nama, Iberahim. Ya, perasaan itu memang indah. Sedangkan ketika Miqhail lahir dulu pun aku rasa teramat indah, inikan pula dia... bergelar ayah dan menerima kedatangan orang baru dari benihnya sendiri.
Imaan tidak pernah berubah. Dalam perbualan itu, dia sempat menjolok perasaanku. Katanya, dia dapat membaca dari nada suaraku. Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena. Mulanya aku mahu sahaja mengalihkan topik perbualan. Malangnya, aku terpaksa akur. Dia bijak memujuk aku untuk bercerita.

Seperti biasa aku tidak suka cakap terang-terangan, tetapi aku mengajukan satu soalan padanya...

"Kenapa selepas sesuatu hubungan tidak berjaya, seseorang perlu mengungkit dan menjaja perihal pihak yang satu lagi?"

Aku tahu, yang aku bertanyakan soalan yang membuatkan Imaan tidak selesa. Maklumlah, dia sendiri sudah dipermainkan lima gadis sebelum bertemu cinta hatinya.

Imaan tidak terus menjawab soalanku, cuma menasihati. Katanya, biarlah orang itu yang terus melakukan kesalahan. Orang yang tidak berhenti menjaja cerita orang lain adalah orang yang masih menyimpan rasa. Sama ada bersalah atau terkilan. Apa yang penting, diri sendiri. Jika sudah memilih untuk melupakan, tiada guna diungkit. Jadi, cara penyelesaiannya mudah. Jangan dikenang dan jangan sesekali bercerita tentang orang itu. Biarlah si dia terus mengeluh. Hidup ini tidak akan berhenti kerana seseorang. Cuma hentikan hidup seseorang itu dalam kehidupan kita.

Aku akui, kata-kata Imaan itu benar dan akan cuba meneladani nasihatnya. Insya-allah. Kepada 'mereka-mereka' yang masih belum lelah menceritakan tentang hal aku, teruskanlah, Secara tidak langsung, aku tahu perasaan terkilan yang sedang kalian alami. Bagi aku, yang pergi akan kubiarkan pergi. Tiada gunanya mengutip apa yang sudah tercicir. Assalamualaikum...