Tuesday, December 28, 2010

Yang bermula akan berakhir.... pasti

Aku sudah berjanji, tahun ini yang terakhir. Kepada sahabat-sahabat (alam maya), harap kalian berpuashati. Semoga kalian menghormati keputusanku untuk mengundurkan diri.

Buah tangan terakhir...




Kisahnya...

Semua permulaan, ada pengakhirannya. Begitu juga dengan satu lagi kisah dalam perjalanan hidupku. Percaya atau tidak, sudah hampir 13 tahun aku menemankan diri dan duniaku dengan meminati insan ini. Ramai kata aku bodoh dan gila. Tidak kurang juga yang mengatakan, aku berani terang-terangan minat lelaki Hindustan. Muka macam cina tapi minat Hindi. Hmm. Terpulang. Aku hormati kata-kata mereka kerana yang sebetulnya, aku tak pernah kacau orang. Tahu kedudukan, sedar ruang dan masih berpijak di bumi nyata.

Aku ingat lagi kata-kata umi dulu, kegilaan dan kenakalan aku jauh berbeza dengan anak-anaknya yang lain. Suka habiskan masa depan pc/tv dan mencintai dunia hiburan. (Tak pula bermaksud aku lupa agama ya!) Jarang keluar bersosial (mungkin kerana itulah sehingga hari ini aku tiada teman istimewa). Teman-temanku pula, semua yang aku kenal dari zaman sekolah, universiti dan tempat kerja. Kawan-kawan alam maya pula, tidak seorang pun bertemu muka sehingga ke hari ini. Kegilaan aku tidak membahayakan diri atau pun orang lain. Cuma terkadangnya, melibatkan emosi. Percayalah, memang amat terlibat.

Namun begitu, Salman Khan bukanlah orang pertama yang aku minat. Sebelum itu, ramai lagi. Maklumlah, zaman budak-budak dulu, cepat sangat jatuh suka dengan orang yang boleh buat kita tersenyum dan gelak sorang-sorang.

Azhar Sulaiman


Kalau tidak salah, orang pertama yang buat aku tahu erti 'suka' kepada lelaki, pelakon kacak Azhar Sulaiman menerusi lakonan selambanya dalam filem Abang 92. Masa itu umur aku tak sampai pun 10 tahun. Tahun 92 tak seperti sekarang. Nak kumpul gambar pun susah. Nak beli majalah hiburan, takut umi dan abah marah.

Satu hari, gambar dan cerita tentang Azhar Sulaiman keluar dalam akhbar harian. Gambar yang bersaiz paspot itu aku gunting dan simpan. Kalau nak diceritakan, memang lucu juga. Apa taknya, pernah satu ketika gambar sekecil itu jatuh dalam longkang. Tekad aku terjun dalam longkang dan kebetulan ada jiran ternampak. Bila ditanyakan apa yang aku cari dalam longkang, laju tangan aku mencampak pembaris lalu menunjukkan pembaris itu kepadanya. Hahaha. Lucu sangat. Siapa sangka, pada tahun 2005 ketika aku sedang bertugas di majlis bacaan puisi kemerdekaan di Putrajaya aku bertemu 4 mata dengan pelakon yang aku sayang di zaman kanak-kanakku? Sempat juga aku bergambar bersamanya. Sayang sekali, gambar itu hilang tetapi cukup kuat dalam ingatan. Azhar Sulaiman memang 'comel' dan masih 'comel'.


Jet Li



Minat dan kesukaan aku perlahan-lahan berubah. Dari Azhar Sulaiman, berganjak kepada Jet Li, KRU dan Backstreet Boys. Jet Li, sehingga hari ini aku meminati lakonannya. Aku masih ingat, di hari istimewaku (hari lahir 23) aku keluar menonton filem Fearless di pawagam bersama sahabat baikku, Ayshah dan adikku Ayuz. Hari itu istimewa kerana kali pertama aku dapat meluangkan masa bersama dengan orang yang amat aku sayang (sayang sudah tiada lagi). Ya, kalau aku keluar tidak pernah sendirian. Tak elok. Kesopanan dan kesusilaan sebagai muslim perlu dijaga ya! Jangan dipandang remeh.


KRU



Kegilaan aku pada KRU dan Backstreet Boys, aku kira serentak. Hampir semua album KRU ada dalam simpananku. Album yang paling aku sayang, OH LA LA. Boleh histeria juga bila ada yang pinjam dan kulitnya terlipat! Pernah juga aku dan Ayuz, meredah stadium BBS untuk melihat KRU dengan lebih dekat. Seperti juga kisah Azhar Sulaiman tadi, Norman KRU turut aku temui. Lebih dekat jaraknya, dan lebih lama. Dia datang ke ASK untuk satu sesi ceramah (lupa pula sesi apa?). Yang pasti, aku sengaja duduk berdepan dengan dia. Seronok dapat mendengar pengalaman dan ilmu yang ada padanya. Sengaja aku tidak mengambil gambarnya, kerana ingatan sudah cukup menjadi kenangan. Ewah!



Backstreet Boys



Backstreet Boys pula salah satu band yang paling aku minati ketika zaman remaja. Biasalah, aku tak nafikan yang dunia hiburan paling mudah menyuntik virusnya ke dalam jiwa anak-anak muda. Setiap kali album terbaru kumpulan ini menjengah pasaran, aku tak akan ambil masa lama untuk beli. Hampir apa sahaja yang berkaitan dengan BSB akan aku miliki. Perkara yang paling menyedihkan (sekarang kalau difikir-fikirkan balik, lucu sangat) majalah yang dibeli dengan duit belanja yang aku kumpul, (majalah import) gara-gara seorang temanku cuai dan menyebabkan cikgu disiplin merampasnya. Kalau diikutkan hati, memang boleh jadi Hulk masa itu. Memandangkan, teman itu adalah orang yang aku sayang, aku diamkan saja. Minat aku pada BSB meluntur sendiri. Entah, aku pun tidak tahu macam mana ia larut. Pun begitu, aku masih seronok mendengar lagu-lagu nyanyian kumpulan ini. Gambar-gambar yang pernah aku lekat dalam sebuah buku, jadi kenangan. Penghibur di kala kesunyian dan buat aku senyum sendiri. "Gila betullah," itu yang selalu aku katakan seorang diri.



Salman Khan



Antara banyak-banyak artis yang aku minat, yang satu ini paling liat dan paling lama bertahan, bertakhta dalam hati (amboi!). Bagaimana cara aku mula minat pun, agak berbeza dari yang lain. Imbas kembali, Bollywood memang sudah lama mencengkam dunia hiburan Malaysia sejak dulu lagi. Zaman Sangam (Raj Kapoor) dan Bobby, lakonan Rishi Kapoor dan Dimple Kapadia. Umi pun selalu kata padaku, masa zaman itu ramai yang tergila-gilakan lelaki ala-ala hindi, terutamanya DJ Dave. Aku sudah lama terdedah dengan dunia Bollywood ini sejak kecil sekadar suka-suka. Pelakon yang aku tahu pula semuanya keturunan Kapoor. Umi minat Rishi, aku pula suka Shammi (dan Dharmendra yang bukan Kapoor). Filem lakonan dia yang paling aku minat, Andaz bersama-sama dengan Hema Malini. Ramai orang memuja Amitabh Bhachan, aku tak pula.

Setiap hari Jumaat dan Sabtu, pasti ada tayangan filem Hindi di tv. RTM dan TV3. Wajah yang selalu aku lihat, Govinda, Amitabh, Sunny Deol, Shammi Kapoor dan ramai lagi. Shahrukh Khan dan juga Aamir pun baru-baru nak dikenali. Sumpah, aku tak serius sangat menonton filem-filem Hindi. Aku juga minat lagu-lagunya termasuklah Zindegi Ek Safar dari filem Andaz dan juga Main Shair To Nahin, Bobby.

Aku masih ingat ketika kecil dulu, abah gemar bawa kami sekeluarga ronda-ronda KL pada waktu malam. Mungkin disebabkan itu, sehingga hari ini aku suka dengan lampu-lampu yang menghiasi kota KL. Setiap kali ke KL, pasti abah ikut jalan Chow Kit. Di situ ada sebuah kedai 7 Eleven yang mana di sebelahnya ada satu kedai gunting rambut. Macam biasa, kedai rambut pasti digantungkan gambar-gambar artis Bollywood. Dek selalu mengikuti jalan itu, aku terpikat pada sekeping poster. Sumpah. Aku tak tahu nama pemilik wajah itu. Aku juga sumpah, lelaki dalam gambar itu sangat comel. Aduhai!

Dipendekkan cerita, Bollywood mula kembali menguasai dunia hiburan (dunia!) sekitar tahun 1995 (Hum Apke Hain Kaun). Waktu itu generasi Khan menggantikan dinasti Kapoor. Penuh iklan Bollywood di kaca TV. Yang aku tahu, Shahrukh Khan. Hmm. Bolehlah. Yalah, aku tak berapa nak layan Bollywood masa tu jadi buat-buat tak tahu sajalah. Tetapi semuanya berubah, pada hujung tahun 1998. Sebaik aku selesai menduduki PMR. Aku masih ingat, jiranku, cik Tini mengajak kami menemaninya di rumah kerana suami bekerja malam. Aku dan Ayuz dengan sukarela menemankannya. Bosan juga menemani dia tanpa berbuat apa-apa. Jadi, cik Tini hidangkan kami dengan tayangan VCD Kuch Kuch Hota Hai. Ya. Setengah jam pertama, aku menguap tak henti-henti. Mungkin sebab aku tak berapa minat kisah tomboi yang diperbodoh-bodohkan dan lagak lelaki playboy yang sungguh tak 'cool'.

Semuanya berubah apabila masuk adegan pertunangan Anjali. Entah macam mana, aku teringin sangat nak tahu siapakah orangnya yang menjadi tunangan si Anjali. Hah! Watak itu diperkenalkan dari belakang kemudian bahagian tepi. Melihat lentik bulu matanya, aku dapat meneka dan bila dia berpusing....

"Salman Khan!"

Aku dan Ayuz sama-sama menjeritkan namanya.

"Itu nama dia ke?" soal aku pada Ayuz.

"Ya. Itulah Salman Khan," sampuk cik Tini.

Mula dari saat itu aku jadi peminat dia. Pelik? Memang pelik.

Pernah ada seseorang bertanya padaku, apa yang buatkan aku suka sangat pada Salman Khan. Hmm. Aku tiada jawapan. Terlalu banyak untuk diperhitung satu per satu. Salah satu darinya, semangat dia untuk kembali bangkit dari kejatuhan. Sikap positif dan manusiawi. Lebih utama, dia menjadi dia.

Sekarang...




Jujurnya, aku sudah menemui apa yang tiada padaku. Kini, aku perlu menghilangkan apa yang pernah ada dalam jiwaku. Cukuplah dunia hiburan ini. Bukan tidak boleh berhibur, tetapi berpada-pada. Aku tak kata, akan berhenti meminati insan bernama Salman Khan. Cuma, perbuatan itu aku kurangkan kerana manusia ini dilahirkan dengan tanggungjawab. Satu semangat dia yang sentiasa akan aku pinjam, percaya atas kemampuan sendiri dan sentiasa bersikap positif. Berusaha tidak akan bertemu dengan titik noktah dan sentiasa menjadi insani. Insya-allah. Bak kata orang, ikuti apa yang baik. Yang baik itulah akan aku ikuti. Pastinya sokongan aku sentiasa ada untuk dia dan perjuangannya dengan nama BEING HUMAN.



*Sepanjang 12 tahun ini (1998 - 2010) aku berpeluang berkenalan dengan ramai kawan, teman dan sahabat dari seluruh dunia. Aneh. Hubungan kami terbina hanya kerana meminati orang yang sama. Jadi, ruangan entri ini aku khaskan kepada kalian kenalan-kenalanku dari Kuwait, Iran, UAE, India, US, UK, Perancis, Rusia, Tobago n Trinidad, Singapura, Indonesia, Hong Kong, Jepun, Romania, Morocco, Jerman dan Malaysia. Banyak kenangan yang tercipta sepanjang perkenalan dengan kalian. Terima kasih. Semoga perkenalan kita berpanjangan. Insya-allah.

Aku tinggalkan hari ini dengan koleksi video hasil usaha gabungan para peminat Salman Khan.

Video pertama - 27/12/2008



Video Kedua - 27/12/2009





Friday, December 17, 2010

Hurul Ain dan Wildan...

Jika Hurul Ain (bidadari) itu untuk lelaki soleh di syurga, Wildan pula adalah bidadara buat wanita solehah di syurga. Wallahualam.

Allah Maha Adil menyediakan bidadari untuk para lelaki soleh. Begitu juga untuk wanita solehah (sudah bersuami atau tiada jodoh di dunia). Firman Allah s.w.t.,“Mereka dikelilingi pemuda-pemuda yang tetap muda, dengan membawa gelas, cerek dan piala berisi minuman yang diambil dari air yang mengalir.” Surah al-Waqiah: 17-18.

Niat di hati mahu berkongsi lagu nyanyian kumpulan Mestica, Hurul Ain. Mungkin bukan rezeki kerana link embed youtube tidak berfungsi dan tidak mahu bekerjasama dengan blog aku. Sesiapa yang mahu mendengar lagunya (dan aku yakin ramai sudah dengar) tekan sahaja di sini. Dek kerana terkesan dengan liriknya, aku pahatkan di dada blog ini untuk tatapan bersama.

Lagu : Hurul Ain
Nyanyian : Mestica


Sinar matamu Hurun Ain
Menerbitkan cinta
Adakah dapat bersama
Bahagia di syurga

Sinar cahaya matanya
Terbitkan rasa cinta
Tidak yang terhina
Berada di sampingnya

Layakkah diri ini
Bersama bersemadi
Menikmati alam syurga
Tanpa rasa duka

Telah taatkah jiwa
Yang berikrar setia
Menyempurnakan janji
Dimeterai di azali

Diumpama kejora
Cemerlangnya cahaya
Seluruh keindahan
Dilimpahkan Tuhan

Kaulah bidadari
Yang setia menanti
Hamba pilihan Ilahi
Di alam abadi

Saratnya khilaf diri
Rapuhnya hati ini
Mungkinkah akan tersisih
Dari yang terpilih

Layakkah diri ini
Bersama bersemadi
Nikmati alam syurga
Tanpa ada rasa duka


* Sesungguhnya, keindahan di syurga tiada tandingannya. Siapa yang tidak mendambakan syurga? Siapa pula yang idamkan neraka? Tidak salah mengimpikan syurga jika disusuli dengan usaha dan ibadat. Tanpa pernah menyimpan curiga terhadap kuasaNya, Yang Maha Adil, Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Allahu Akhbar!

Wednesday, December 15, 2010

Azam Tahun Baru?

gambar Era Muslim

Lazimnya, masuk sahaja bulan Disember ramai yang mula bertanya, "apa azam tahun baru?" Tanpa sedar, kita mengagungkan kalendar masihi dan membelakangkan kalendar Islam. Macam yang aku luahkan di entri yang lalu. Lebih ramai mengagungkan 1 Januari berbanding 1 Muharam.

Aku tak mahu bercerita tentang orang lain. Itu hal mereka. Sendiri buat, sendiri ingat. Masing-masing telah dikurniakan akal dan fikiran. Tahu dan jelas membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Tidak perlu nak menyalahkan pihak lain. Atau pendek kata, jangan salahkan dunia. Lihat dalam diri dan tanya, "kenapa mudah sangat aku tergoda?"

Berbicara tentang azam baru, apakah penting ianya diberitahu orang lain? Perlukah ia dikongsi? Mungkin ada baiknya dikongsi. Namun, bukan dihebohkan. Cukuplah sekadar keluarga dan teman rapat yang boleh dipercayai. Mudah-mudahan, bila semangat mulai luntur ada orang yang boleh mengingatkan tentang azam yang dibuat. Misalnya, nak berhenti hisap rokok. Mungkin dalam tempoh seminggu, bisa bertahan. Masuk sebulan, ada yang tak boleh tahan dan mula mencari candu (rokok) semula. Waktu inilah orang yang rapat memainkan peranan. Memberi dorongan untuk berhenti dan bukannya mengunjukkan rokok untuk disedut. Itu sekadar contoh.

Apa azam tahun baru aku? Seperti yang aku luahkan di entri lalu. Setiap manusia ada keburukan. Mungkin tidak dapat dihapuskan secara mutlak, tetapi tidak salah kalau kita cuba berubah menjadikan sesuatu yang buruk itu kepada perkara yang baik. Ya. Itulah azam aku. Alhamdulillah, setakat 7 hari (genap seminggu) ini aku tenang dengan hijrah yang aku lakukan. Aku harap, kalian pun tenang dengan hijrah yang telah dan sedang dilakukan. Di awalnya agak berat, tetapi ingatlah bahawa sesuatu yang baik itu memerlukan usaha. Tidak salah bersusah untuk sesuatu yang baik. Mungkin hasilnya bukan di sini, insya-allah di akhirat kelak. Allah tidak pernah menghampakan hambanya yang sentiasa percaya dan yakin padaNya. Wallahualam.

Wednesday, December 8, 2010

Muharam 1432...



Hakikatnya,
umat Islam hari ini lebih dihidangkan dengan dunia.
Hakikatnya,
umat Islam hari ini lebih mementingkan resolusi 2011.
Hakikatnya,
umat Islam hari ini lebih memikirkan 31/Disember.
Hakikatnya,
umat Islam hari ini lebih dahagakan hiburan.

Syukurlah,
masih ada umat Islam yang tahu apa itu Muharam.
Syukurlah,
masih ada umat Islam yang menghayati erti Hijrah.
Syukurlah,
masih ada umat Islam bercerita tentang perpindahan Rasulullah ke Madinah.
Syukurlah,
masih ada umat Islam yang mahu berubah.

Sempena perpindahan tahun baru ini, bersama-samalah kita berhijrah. Berhijrah dari buruk menjadi baik. Dan yang baik, menjadi lebih baik. Insya-allah...
*Bukan sajak tapi sekadar luahan.... kerna aku bukan penyajak.