Media Perdana : Penyumbang Informasi atau Penyumbangleweng?

Masih terngiang-ngiang di telinga, soalan yang ditanyakan seorang guru sejarah yang mengajarku di Sekolah St Mary. Ketika itu, aku baru berusia 16 tahun dan sejarah adalah subjek yang paling aku gemari. Bukan kerana gurunya, tetapi kerana subjek itu sendiri. Mencintai sesuatu haruslah dimulakan dengan pengenalan. Tak kenal maka tak cinta. Kalau tidak kenal akan sejarah negara, bagaimana pula mahu mencintai Malaysia?

Sebenarnya, kecintaan aku terhadap sejarah tidak disenangi rakan-rakan sekelas. Apa taknya? Ada saja soalan yang aku bangkitkan dan bermulalah satu episod debat yang panjang dengan cikgu. Sehinggakan ada masanya, hanya aku dan cikgu sahaja yang berdiskusi manakala pelajar lain sibuk membuat tugasan subjek lain. Terkadang diskusi aku dan cikgu akan membuatkan durasi subjek sejarah menjadi panjang dari yang sepatutnya.

Keadaan mula berubah apabila di satu ketika aku tidak mengikuti perkembangan semasa. Harus diingat, kita tidak boleh hanya merujuk kepada sejarah yang lepas-lepas dan mengabaikan peristiwa yang baru dicatatkan. Tetapi itulah yang berlaku di sekitar tahun lewat 90-an. Televisyen tidak lagi menjadi sumber maklumat yang dipilih abah. Begitu juga suratkhabar. Aku juga hairan, kenapakah berlakunya perubahan drastik terhadap abah?

Kebetulan, cikgu sejarah bertanyakan satu soalan tentang kata-kata yang diungkapkan seorang tokoh di dalam laporan berita yang disiarkan salah satu televisyen. Pertama kalinya aku tidak mampu menjawab. Kalau aku tonton berita, tentu mudah sahaja aku menjawab soalan cikgu. Aku berlaku jujur dan mengaku, aku tidak berpeluang menonton televisyen. Mulanya cikgu aku itu tidak percaya, memandangkan para remaja memang ‘hantu’ hiburan. Dia bertanya, kalau bukan hiburan, kenapa tak menonton berita.

“Ayah saya tutup tv setiap kali waktu berita,” jelasku jujur.

Cikgu Sejarahku itu hanya senyum. Mungkin lucu padanya, tetapi aku yakin, abah ada sebab tersendiri kenapa tidak mahu menonton berita. Abah tak suka seorang tokoh negara ketika itu, yang setiap kali kemunculannya pasti untuk menghentam parti pembangkang. Cuma aku yang tidak faham, kenapa ia menjadi isu besar untuk abah sehingga menutup tv setiap kali munculnya wajah tokoh itu mahu pun berita yang berkaitan dengan isu-isu yang bersangkutan dengan beliau.

Namun begitu, aku mula memahami tindakan abah. Itu pun setelah aku menginjak ke usia lebih dewasa dan matang. Malah, pergaulan aku dengan pelajar undang-undang dan juga para pensyarah serta pernah terlibat secara langsung dengan dunia perundangan, baru aku dapat membaca rasional di sebalik tindakan abah.

Ya. Aku pun sudah naik mual dengan paparan yang mengisi waktu berita selama 1 jam ini. Walaupun dibahagikan kepada beberapa segmen, aku berani mengatakan majoriti dikuasai berita politik. Berita tentang politik ini semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Memang aku akui, politik bukanlah makanan aku. Aku memang tak mahu ambil pusing dengan apa yang berlaku dalam dunia politik. Namun, aku juga mempunyai pendapat aku sendiri. Mungkin pendapat aku tidak akan sama dengan yang lain, tetapi itulah hakikatnya. Bukan semua orang akan menyukai atau membenci sesuatu perkara yang sama. Itulah yang dinamakan manusia. Tidak ada alat kawalan untuk menentukan apa yang disukainya.

Sebelum ini aku pernah menceritakan tentang sebuah filem Hindustan yang amat suka aku tonton. Filem tentang media massa. Bagaimana media massa mampu mengubah dan mencorak nasib sesebuah parti politik dan menggulingkan seorang individu, RANN. Bukan filem ini sahaja, malah beberapa filem yang turut mengetengahkan peranan media massa (dibaca sebagai televisyen) yang terlalu kuat mempengaruhi masyarakat, Peepli Live (karya orang media sendiri) dan No One Kills Jessica (kisah pembunuhan terbuka model Jessica Lal oleh seorang anak kepada tokoh politik India). Ketiga-tiga filem ini mempunyai kekuatan tersendiri. Bukan semuanya negatif. Rann, memperlihatkan permainan dunia media massa, Peepli Live pula lebih kepada sarkastik dan No One Kills Jessica pula tentang pengaruh yang digunakan media massa untuk mencari kebenaran.

Baiklah, berbalik kepada kisah media massa di Malaysia sendiri. Aku tahu, sebagai rakyat biasa (yang tidak ada duduk yang tinggi), keupayaan meluahkan sesuatu harus berada dalam satu garisan atau batasan yang selamat. Bukan aku takut tetapi 'menghormati'. Entri ini cuma ingin menegaskan tentang ketidakpuasan hati sebagai seorang rakyat yang jemu dipertontonkan lambakan berita 'perang politik' dan media massa dipilih sebagai salah satu alat senjata.

Sebelum terjun ke dunia kewartawanan, (aku pasti) aku dengan jelas mengetahui etika yang seharusnya dipegang dalam dunia penyiaran dan kewartawanan. Laporan berita adalah semata-mata untuk memberikan informasi dan bukannya 'membeli' pendapat para penonton, mahupun pendengar dan juga pembaca. Itulah tugas sebenar yang digalas media massa.

Sejak kebelakangan ini, sebuah saluran tv swasta (malas mahu aku sebut nama sebenar di sini), dengan berani melaporkan berita dengan ayatnya yang menjurus kepada 'pancingan' kepada penonton. Bukan sekali atau dua, malah berkali-kali dan membuatkan aku 'pening'. Kenapa senang-senang etika penyiaran dan kewartawanan dilanggar? Tak makan saman betul!

Lebih menyakitkan, saluran ini bertindak berat sebelah. Menghentam dan terus menghentam. Adakah aku yang tersalah tonton tv, atau memang itulah lumrah dunia yang dicipta untuk terjadi di Malaysia. Aku pernah menonton sebuah laporan berita (di saluran yang lain), di mana ianya tentang sekumpulan peniaga yang dipindahkan semenjak sepuluh tahun lalu ke kawasan sementara. Penempatan sementara (sepatutnya bukan sampai sepuluh tahun!) yang melibatkan majoriti peniaga Melayu. Laporan begini memang bagus, sekurang-kurangnya ada pihak yang boleh membantu golongan ini.

Namun, apa yang membuat aku kesal apabila komen yang diberikan oleh salah seorang makcik telah dipotong sebelum dia sempat menghabiskan ayat. Kenapakah begitu? Sebaliknya, di satu laporan berita yang lain, di saluran tv yang lain, komen seorang pakcik tentang isu yang diketengahkan dibiarkan berlarutan dan berpanjangan. Ke manakah editor yang sepatutnya menjaga isi kata-kata yang diluahkan pakcik itu? Kalau diteliti, isi yang diluahkan kedua-dua individu ini adalah sama (tak puas hati) tetapi ditujukan untuk pihak yang berlainan. Kenapa timbulnya sikap berat sebelah dalam penyiaran? Tolonglah, kita bukan di India. Kita di Malaysia yang mengamalkan demokrasi!

Tak cukup dengan itu, satu saluran tv ini (saluran yang sama aku sebutkan awal tadi) membawa salah seorang individu ke set untuk memberikan pandangan dan pendapatnya secara terbuka untuk menghentam seorang tokoh di Malaysia. Apa yang menjadi musykil, individu yang wajahnya dijamah lensa kamera, tidak jujur. Kenapa aku katakan sebagai tidak jujur? Kalau luahan pendapat (yang benar-benar datang dari hati dan akal sendiri), teks tidak diperlukan. Malah, dari kedudukan badannya cukup jelas menunjukkan dia tidak selesa. Susunan ayat yang tersekat-sekat, pertuturan ton suara yang kurang jelas dan juga keengganan memandang terus ke lensa kamera. Kalau alasan digunakan adalah gementar, itu sekadar alasan kosong. Gementar untuk apa yang dirasakan, tidak relevan. Tetapi gementar untuk menyuarakan sekeping helaian skrip, mungkin benar.

Aku bukan mahu menghentam, cuma sudah terlalu muak menonton sandiwara yang dilakonkan dalam siaran berita selama 1 jam. Seperti yang dinyatakan awal tadi, aku tidak menyebelahkan mana-mana pihak dan kerana itu, media massa (terutamanya elektronik' televisyen dan radio) seharusnya melakukan yang sama. Jangan berat sebelah.

* Kadang-kadang terfikir, tidak ada cara lainkah untuk bersaing secara sihat? Terlalu banyak berita negatif yang disumbatkan dan menjadi tajuk utama berita. Rasa malu juga apabila terbaca tajuk berita dunia di carian google dan yahoo. Apabila negara-negara lain diwakili dengan tajuk berita ekonomi, keagamaan, undang-undang, sukan tetapi Malaysia diwakili tajuk berita "Datuk T dan video seks"? Hmm.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku