Hujung Minggu...

Penat bekerja 5 hari seminggu (tapi tidak minggu ini, sebab tolak cuti umum Hari Pekerja dan cuti ambil sendiri!), pastinya hujung minggu seumpama saat-saat yang diidamkan. Terutamanya aku. Apa taknya? Selain menghabiskan masa lebih banyak bersama famili, masa inilah dapat mencuci mata. Bak kat orang, 'bebas' dari lapangan kerja. Tak begitu? Alamak, sama pula ayat dengan bahasa dalam majalah yang selalu aku guna buat artikel. Memang betul, lenggok dan gaya bahasa aku semakin kematian. Ya, aku perlu terus menulis, menulis dan menulis. Tidak kiralah walau hanya untuk sebaris. Itu pesan guru-guruku, Tuan Haji Mohd Ghazali Abdullah dan encik Ridzuan Harun.

Sambutan Hari Ibu : Relevankah?
Kebetulan minggu ini ada sambutan Hari Ibu. Hmm. Dulu, masa zaman sekolah, zaman kecil-kecil, zaman pemikiran yang dipimpin orang dewasa, Hari Ibu merupakan hari yang amat ditunggu-tunggu, Salah satunya sebab, guru-guru di sekolah 'cenderung' membuat sesuatu tugasan dengan tema. Hari Guru (semestinya!) Hari Kanak-Kanak Sedunia, Hari Ibu, Hari Bapa dan macam-macam jenis sambutan hari lagi. Aku, seperti pelajar-pelajar yang lain, sangatlah beria-ia menghasilkan sesuatu untuk dihadiahkan kepada ibu masing-masing dan kemudiannya digantung dan dihiaskan dalam bilik darjah. Sejak dari kecil, minda dan otak anak-anak telah dipimpin sebegini rupa, menjadikan hari ibu seakan satu sambutan WAJIB.

Berbeza dahulu dan sekarang. Kalau dahulu, tindakan dan akal dipimpin, sekarang tugasan itu terletak seratus peratus kepada pimpinan OTAK sendiri. Hmm. Nanti, aku cakap (taip di sini) lebih-lebih, orang kata aku kolotlah, berfikiran dalam tempurunglah, tak mengikut aruslah dan itu ini. Satu aku mahu tanyakan, kepada kalian semua, siapa yang mulakan sambutan hari ibu? Maksud aku, ada tak tercatat dalam Al-Quran? Atau, adakah ia termaktub sebagai salah satu perkara sunat dilakukan? Dituntut oleh Allah, meraikan hari ibu? Ha. Aku dah cakap, baru tanya soalan-soalan begini, mulalah masing-masing buat muka muncung sedepa. Kalau diukur, boleh sampai ke tiang bangunan KLCC. Lagipun, bukankah itu mercu tanda 'ibu' negara Malaysia? Kuala Lumpur. Ha, kalau macam itu, Kuala Lumpur juga perlu diraikan dalam sambutan hari ibu. Hari Ibu negara!

Aku bertanya lagi, bukankah hari-hari itu adalah hari ibu?
Hari-hari, sayangilah ibu.
Kenapa perlu adakan satu hari khas untuk sambutan hari ibu?
Kerajaan nak beri cuti umum?
Atau nak beri bonus kepada ibu pada sambutan ini? Tak bukan!
Kenapa perlu ucap sayang pada hari ibu sahaja?
Hari-hari lain, tak nak pula bersayang-sayang?
Kenapa hari ibu baru nak buat itu dan ini?
Hari-hari lain, lambak segala kerja pada ibu?
Macam itukah?
Syabas! Memang anak yang MULIA!

Apa sejarah di sebalik terwujudnya Hari Ibu? Baiklah, sebelum aku meneruskan dengan lebih lanjut, aku tak mahulah orang kata aku ini puak pelampau! Sampai ada gerakan nak menggulingkan aku. Ala-ala terpengaruh dengan propaganda AMERIKA! Eh, Amerika lagi? Hmm. Tidak. Aku bukan ekstremis. Aku juga bukan puak yang akan menghukum orang lain dan menghumban orang ke dalam lokap dengan kesalahan-kesalahan begini. Masing-masing mempunyai pendapat sendiri. Begitu juga aku. Kalau pendapat aku tidak mampu membeli pendapat kalian, begitu jugalah kalian tidak mampu membuat aku terbeli dengan propaganda yang diwujudkan oleh kuasa-kuasa tertentu.

Alah, jangan nak bohong. Takkanlah tak tahu, siapa yang mula-mula mewujudkan sambutan Hari Ibu. Nak tahu sejarah? Google ada. Guna bukan untuk menggodek fesyen, lagu-lagu atau gosip semata. Perkara-perkara sebegini yang perlu dikaji. Tapi, bukan membabi buta mempercayainya tanpa ada kajian susulan dan semestinya, diikuti pertimbangan akal dan fikiran. Ingat. Akal dan fikiran, diberikan untuk membuat keputusan berdasarkan, apa yang betul dan yang salah. Kalau itu pun tak boleh nak fikir, fikir-fikirkanlah sendiri, mana duduknya akal yang diberikan Penciptamu, Allah subhanawataala.

Jadi, adakah perlu aku kongsikan di sini sejarah Hari Ibu? Ada banyak laman sesawang yang boleh disinggahi. Tapi, untuk kemudahan semua, aku berikan alamat ini, salah satunya di Wikipedia. Oh, ketawa ya? Memanglah sesawang wikipedia ini diragui kesahihannya. Macam yang aku katakan tadi, baca dan fahami. Kemudian adakan kajian susulan. Ingat, jangan senang-senang 'terbeli' dan menjunjung kebudayaan orang luar. Apa? Kita sudah tidak ada pendiriankah mahu terus mengikut 'kebudayaan' yang diperkenalkan mereka?

Menurut laman sesawang wikipedia, hari ibu yang disambut saban tahun pada hari Ahad minggu kedua. Ia merupakan hari yang didedikasikan oleh Anna Jarvis kepada ibunya, Ann Maria Reeves Jarvis yang merupakan seorang aktivis sosial ketika Perang Sivil Amerika. Anna Jarvis merupakan pengasas untuk Mothers' Day Work Club. Hmm. Menarik bukan? Jika ianya dikhususkan untuk sambutan Hari Ibu untuk memperingati perjuangan Ann Jarvis, yang memperjuangkan hak wanita, adakah kita sebagai umat Islam harus meraikannya bersama? Mungkin, di satu hari nanti akan terciptanya satu hari memperingati Mother Teresa, adakah perlu kita umat Islam turut sama meraikannya?

Kalau masih ada yang belum tahu, sudah ada beberapa negara Islam yang mengeluarkan fatwa menentang sambutan Hari Ibu ini. Jadi, fikir-fikirkanlah, kenapa sampai ada fatwa tentang sambutan hari ibu? Kalau pengetahuan ilmu Islam itu dangkal, rujuk pada yang tahu dan jangan buat-buat tahu! Lagipun, fatwa dikeluarkan bukan kerana 'suka-suka'.

Ini petikan fatwa dari;
Shaykh Mashhoor Bin Hasan Al-Salmaan الشيخ مشهور بن حسن آل سلمان dan diterjemahkan oleh Talib Tayson.
The ruling on this is that such acts are forbidden innovation (Bida). Such acts are not legislated by Allah the Exalted, or from our religion and actually is from the non-Muslims so practising it is imitating them.
In Islam brothers and sisters mothers day is every day, even though we don’t call it that, but good treatment to ones mother is something encouraged daily by this religion and not just once a year on a specific day which is what our enemies practise and with Allah success lays.
Ia merupakan tindakan yang dilarang (Bida). Ia tidak ditetapkan oleh Allah Ta'ala, atau dari agama kita (Islam) sebaliknya ia adalah sambutan yang diraikan golongan bukan-Islam dan jika kita turut sama meraikannya adalah sama dengan meniru perbuatan mereka.Dalam Islam saudara dan saudari, hari ibu adalah setiap hari. Walaupun kita tidak menyebutnya dengan nama sebegitu, tetapi layanan baik untuk ibu setiap hari adalah sesuatu yang didorong oleh agama ini dan tidak hanya sekali setahun pada hari tertentu yang diraikan musuh kita.
Renung-renungkan dan fikir-fikirkanlah ya. Masing-masing ada akal dan otak untuk berfikir.
* Hari-hari salam dan cium umi, bukankah lebih afdal dan mesra?


Hari Pertama : Misi Menghantar Kad Jemputan
Masih ingat dengan kad kahwin Ayuz hari itu? Dah siap. Sekarang dalam misi menghantar kad-kad jemputan kepada para tetamu yang semestinya saudara-mara, sahabat handai dan juga kenalan (siapa pula nak ajak orang asing? lagipun, Ayuz dan famili kami bukannya artis. Hahaha). Walaupun kad jemputan ini mengambil masa yang terlalu lama untuk siap cetak, tetapi hasilnya memuaskan (walau ada kesalahan beberapa perkataan, masih boleh dimaafkan).
Sebenarnya proses menghantar kad jemputan ini sudah pun bermula dari minggu lepas, aku cuma dapat turut sama-sama ikut rombongan pada minggu ini. Itu pun sebab ada waktu terluang. Kami ke Selayang, Gombak dan patah balik ke Sungai Cincin. Di mana kawasan ini dipenuhi dengan sanak saudara kami. Seronok juga. Terasa macam sambut hari raya. Bezanya tidak ada kuih raya dan tak duduk lama di satu-satu persinggahan. Maklumlah, kalau lama-lama nanti, tak berhantar pula kad-kad jemputan nanti. Kesian Ayuz, tak ada pula tetamu yang hadir nanti. Hahaha.
Destinasi pertama di Selayang. Wah, satu soalan yang amat aku suka dengar, (soalan yang bukan ditujukan untuk Ayuz)
"bila Ijan nak kahwin?"
Aku pandang umi dan abah. Malas nak menjawab. Aku senyum saja. Jawab dalam hati, kalau tak ada aral, bulan Disember. Hahaha. Berani cakap dalam hati. Yang keluarnya bunyi lain...
"Belum ada jodoh, dia nak tumpukan pada kerjaya dulu," jawab umi.
Puas meronda di Selayang, destinasi seterusnya di kampung halamanku. Lebih kurang mengambil masa tak sampai 1 jam. Hihihi. Mana lagi kalau bukan di Kampung Puah. Tempat permainan dan jatuhnya aku (sehingga berlubang lutut dan bertanda parut di dahi, jelas kelihatan sampai sekarang!). Memang aku rindukan kampung aku ini. Lebih rindu lagi pada penghuninya yang sudah tidak ada lagi. Arwah atuk. Arwah atuk, Haji Zainal dan wan, Hajah Halimah.
Disebabkan kami singgah di kampung halaman, maka agak lama jugalah kami berehat. Sambil abah berborak dengan adiknya, Mak Ngah, Ayuz dan umi mengatur langkah menyelesaikan misi. Menghantar kad jemputan kepada orang-orang kampung. Siapa kata aku tak ada kampung? Kampung Puah, tetap kampung tau walaupun lokasinya di dalam bandar. Aku pula ambil kesempatan meluangkan masa dengan sepupu-sepupu yang ada, Syazwan, Aida dan Achum. Comel-comel sepupu aku. Sampai ada yang hafal jalan cerita novel yang pernah aku tulis. Hahaha. Terima kasihlah Syazwan dan Aida yang tak henti-henti beri sokongan moral kepada akakmu ini. Insya-allah, ada rezeki akan menyusul lagi novel-novel di masa akan datang.
Namun apa yang lebih menarik, bukan perbincangan aku dan mereka, sebaliknya Syazwan sudi mengajarku cara menggesek biola. Ha! Jangan tak percaya (sebab aku sendiri pun tak percaya ni), Syazwan ada masuk kelas muzik dan instrumennya pula adalah biola. Kalau sebelum ini aku sentiasa terkesima melihat Vannesa Mae, serta beberapa pelakon yang berlakon mahir bermain biola termasuklah Shahrukh Khan opppss... Dato' Shahrukh Khan dan Salman Khan. Dalam filem, semua orang pandai main. Tak begitu? Jadi, hari itu Syazwan mengajar aku cara yang betul memegang biola. Tak lama. Sekejap saja. Tempoh masa yang sekejap itu pun mampu membuatkan aku terlupa seketika dan terasa-rasa ingin memiliki sebuah biola sendiri. Apabila difikirkan semula, baik lupakan saja. Gitar yang setia menjadi penunggu dalam bilik pun masih belum lulus lagi, inikan pula nak melompat main biola. Aduh!

Selesai misi di Kampung Puah, kami bergerak pula ke Kampung Chubadak. Yang ini barulah betul-betul penempatan awal kami sekeluarga. Ya. Keluarga yang membuka penempatan Kampung Chubadak, Haji Ahmad. Bukan Kampung Chubadak yang setinggan itu ya. Jangan salah faham pula! Ini Kampung Chubadak yang tanahnya diambil kerajaan untuk membina lebuhraya DUKE! Habis, tinggal serpihan sahaja sejarah penempatan keluarga kami. Ternyata kedatangan kami ke Kampung Chubadak turut diraikan dengan berita gembira. Makcik saudaraku, yang juga merupakan sepupu abah sudah sihat dari koma. Alhamdulillah, Akhirnya, dia kembali sihat. Hari ini juga kami telah berpeluang melihat foto kenangan nenek moyang kami yang diketuai Haji Ahmad dan Hajah Aminah (ayah dan emak kepada moyang aku). Ketika gambar itu diambil, arwah wan masih belum lahir. Yang kelihatan hanyalah kedua-dua arwah moyangku, Mohamad Kundur dan Umi Kalthum. Aku sempat bermanja dengan arwah moyang, Umi Kalthum sehinggalah dia kembali ke rahmatullah pada usia melewati 100 tahun.

tak payah teka, aku memang tak ada dalam ini gambar

Setelah selesai menghabiskan masa yang agak lama di Kampung Chubadak, maka kami satu famili pulanglah ke rumah tercinta. Walaupun semakin ramai perompak dan macam-macam belaan, rumah itu tetap syurga kami. Mungkin tidak ada yang tahu, tapi kawasan rumah di sini, sudah melahirkan sekumpulan perompak. Balik ke rumah, perut masing-masing amat cenderung mengeluarkan bunyi. Yalah, sepanjang hari ke sana ke mari tapi, tak menjamah. Bukan sombong tapi, masa di rumah-rumah yang disinggahi, tak pula perut meminta diisi. Memandangkan masing-masing berat punggung nak mengasapkan dapur, maka keluarlah kami satu famili mencari makan. Destinasi kali ini, pizza hut.

hmmm... tekun betul baca menu

 
 Indah katalog...

dari rupa?

Daisy Duck? Muncungnya...bukan rupa!

bakal pengantin menahan lapar...

Serang!

ada sesiapa tahu,mana boleh dapat gelas macam ni?

Oh ya, kebetulan saja kami makan di sini. Secara kebetulan juga kami memesan hidangan istimewa. Hidangan promosi untuk hari ibu, tapi tidak bermaksud kami meraikan. Alah, setakat makan beramai-ramai di luar, memang dah selalu. Kebetulan saja kali ini makan pada hari ibu. Keadaan di pizza hut memang sesak. Apataknya? Bertembung dengan majlis sambutan hari lahir. Kami hanya datang untuk mengisi perut yang lapar. Tidak lebih dari itu. Keadaan yang sesak, panas (penghawa dingin rosak) dan juga perkhidmatan yang lembab, membuatkan perut yang lapar seakan mengganas. Mujurlah ada kamera. Hahaha. Depan kamera, tak ada siapa nak tunjuk muka ganas. Semuanya nak nampak 'cute'. Lagipun, bila lagi boleh situasi ini kamu kecapi. Yalah, sementara Ayuz masih solo, seronok juga keluar makan beramai-ramai. Bila dia dah kahwin nanti, mungkin jarang pula berjumpa. Jadi, sebelum itu terjadi, habiskanlah masa bersama sepuas-puasnya!


Hari Kedua : Misi Menghantar Kad Jemputan
Hari ini, ada perancangan. Pergi dan balik. Maksudnya, tak macam semalam. Harus menjaga masa kerana banyak lagi rumah yang perlu dikunjungi. Tetapi, sebelum itu, aku dan Ayuz buat kejutan untuk umi dan abah. Tapi kejutan itu memang tak dilayan abah sebab, dia tak boleh sarapan lewat. Jadi, bertungkus-lumuslah kami dua beradik menyediakan makanan sarapan pagi. Sarapan pagi ala-ala barat. Oit, bukan orang Amerika saja makan macam ini ya. Amerika tak makan dengan nasi goreng. Ya, inilah resepi aku (sejak dari zaman remaja). Nasi goreng + hot dog + telur mata + sayur campur bersos + kentang goreng = sarapan pagi ala-ala Ijan! Hahaha. Ayuz turut membantu. Bantu memastikan kentang tidak digoreng hangus. Hahaha. Okaylah tu, ada juga buat kerja. Ya tak? Kemudian, diserikan lagi dengan minuman segar air oren. Bukan diperah dari ladang tapi dituang dari muncung botol Sunquick. Hahaha

sesekali merasa air tangan sendiri...

sudut pandangan sisi...


deko...idea Ayuz bukan Eric Leong!


jemput makan... (dah selamat pun proses penghadaman)

Kembali ke misi yang bersambung dari siri misi semalam yang tertangguh. Wah, memang seronok. Kali ini lebih ramai rumah sanak saudara yang kami singgah. Sebelum ini yang tak pernah kenal, jadi kenal. Tak ubah macam calon pilihanraya turun mengundi. Itu yang aku cakap pada Ayuz. Mulanya dia tak faham. Lepas tu aku terangkan.

Calon pilihanraya turun jumpa rakyat masa ada pilihanraya, masa itulah baru kenal rakyat dan masalah rakyat, Samalah macam kita, masa ada majlis perkahwinanlah baru ada peluang bertemu semua sanak saudara. Baru tahu, ada berapa anak, tinggal di mana. Hahaha. Bolehkah dua perkara ini dibuat persamaan? Aku bercanda sahaja. Maklumlah, saudara ramai. Tak terimbau nak lawat satu-satu. Masing-masing sibuk, ada kerja. Tapi, kalau calon pilihanraya, macam mana pula? Tak ada komen lanjutan ya. TITIK!
Seperti semalam, hari ini juga misi selesai sehingga lewat malam. Perut berkeroncong. Mulanya mahu sahaja berhenti di Sungai Buloh. Tapi, rasa macam tak seronok pula. Jadi, kami ikutlah jalan lama, Kundang dan nanti akan tembus ke Bandar Tasik Puteri. Kebetulan ada satu kedai makan. D'VILLA. Tempatnya sedikit unik. Selesa dan tidak ramai orang, Tak ramai bukan bermaksud tak ada. Ada, cuma bilangannya tidak sesak seperti di Pizza Hut semalam. Aku memesan nasi goreng Amerika. Amerika lagi? Kenapa aku pilih nasi goreng ini? Bukan sebab namanya nasi goreng Amerika, tetapi lauk hidangan yang ada dalam masakan itu. Telur mata dan daging masak merah. Memang kegemaran aku. Bukan telur, tapi daging masak merah. DAGING. Hihihi.

keletihan...


nampak sangat... letih!

Ayuz seperti biasa tidak akan melepaskan peluang mematrikan kenangan melalui lensa kamera Nikonnya. Bagus sangat. Dengan adanya sesi makan malam ini, sekaligus menandakan tamatlah sesi misi menghantar kad jemputan pada minggu ini. Aku tak fikir panjang, mungkin disebabkan aku pernah dinasihatkan doktor agar jangan membebankan otak dengan berfikir banyak. Jadi, aku memang tak kisah, yang penting rezeki sudah di depan mata. Bismillahirahmanirahim. Amin.... 

hidangan untuk Ayuz...nasi Pattaya

hidangan sampingan... tom yam

Paprik... untuk umi

hidangan aku dan abah nasi goreng USA

Itu dia... gaya makan bakal pengantin!

* Hmm. Aku kira entri kali ini dah macam rancangan Jalan Jalan Cari Makan pula. Hihihi.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku