Polisi Baru dan Anak Panah Terlepas Dari Busur

Kadang-kadang, orang anggap mudah terhadap diri kita. Bukannya minta dipuja, sebaliknya hormatilah sebagai umat manusia. Sebenarnya, aku cukup letih. Letih bertegang urat, bertikam lidah. Bukan sekadar letih (proses penghasilan air liur) tapi, aku sudah muak dan bosan untuk melibatkan diri dalam mana-mana perdebatan. Lagipun aku sudah dinasihatkan doktor, jangan terlalu banyak berfikir. Oh ya, mungkin aku lupa hendak kongsikan kisah ini di blog. Aku cuma sempat meletakkan nukilan pendek di Mukabuku dan Twitter.

Hari Rabu lepas, aku cuti. Ya, aku tidak sepatutnya bercuti pada hari itu sedangkan hari Isnin dalam minggu yang sama, baru sahaja cuti umum Hari Pekerja (jatuh pada hari Sabtu tapi ditolak ke hari Isnin). Apa, ingat senang-senang aku nak ambil cuti macam itu saja? Tak. Sudah tentunya aku ada alasan. Sehari sebelum aku bercuti (tanpa menyediakan Sijil Sakit) ada peristiwa besar dan tergempar telah berlaku. Aku tak rasa, perlu diceritakan secara terperinci kerana takut (meluatnya guna perkataan ini) atau lebih tepat lagi menghormati orang-orang yang terlibat.

Sebelum itu, aku pernah diserang heart anxiety (kegelisahan jantung). Aku pernah catatkan sebagai status. Jantung berdebar laju seperti mahu tertanggal, dan kemudian berdegup sangat perlahan. Kerap berlaku dalam satu hari sehinggakan, aku terpaksa bercuti untuk berjumpa doktor. Memanglah semasa aku bertemu dengan doktor, tidak ada pun kejadian serupa berlaku tapi aku tetap menceritakannya. Selesai mengadu masalahku itu, doktor kata yang itu cuma tanda tekanan. Tekanan yang dialami oleh jantung. Disebabkan itu ada masanya jantung akan berdegup kencang dan kemudian, menjadi perlahan sebelum kembali normal. Aku pelik, jadi satu soalan diajukan,

“Saya tak tertekan pun, macam mana pula boleh dapat serangan heart anxiety?”

Doktor yang selalu aku rujuk itu hanya tersenyum.

“Itu cara awak berfikir. Berfikir secara positif. Otak yang mengatakan tidak ada masalah. Adakalanya, walaupun berfikir secara positif tetapi secara fizikal, ia akan menolak. Jadi, ketidaksamaan itu akan menyebabkan kejadian ini berlaku. Tentu awak banyak berfikir tentang hal kerja. Jangan fikirkan sangat tentang kerja. Habis waktu kerja, tamatkan saja di situ. Jangan terbawa-bawa masalah pejabat ke rumah,” pesannya, panjang dan lebar.

Masalahnya, aku sendiri tidak tahu apa yang buatkan hati aku kegelisahan sehingga boleh terjadinya serangan itu. Namun begitu, doktor kata keadaan itu tidak merbahaya kerana setiap manusia pun mengalaminya. Antara sedar dan tidak. Katanya lagi, aku perlu ambil kiraan degupan jantung jika keadaan itu berlaku lagi supaya dia mudah untuk mengenalpasti apa yang aku alami. Jadi, kembali kepada kisah awal tadi. Aku sengaja cuti kerana fikiran aku terganggu. Aku tak mahu nanti dengan kehadiran aku di pejabat akan mengundang masalah lain. Kalau aku pengsan, siapa nak bertanggungjawab? Aku pun tak mahu orang lain sentuh-sentuh aku. Jadi, lebih baik aku istirehat sehari di rumah sebelum kembali bertugas.

Bezanya, kali ini aku cuti tanpa pergi ke klinik dan berjumpa doktor. Apa guna kalau aku jumpa doktor sedangkan aku tahu, bukan ubat yang aku perlukan sebaliknya satu hari yang tenang. Doktor pun akan kata aku buang masa saja datang bertemu dia semata-mata sekeping MC. Jadi, memang aku tak jumpa doktor. Itu juga yang aku beritahu pada majikan. Terserah apa tindakan yang mahu diambilnya. Yang aku tahu, keadaan lagi bertambah teruk kalau aku datang. Sama ada untuk aku atau pun untuk pihak pengurusan syarikat.

Pasti kalian mahu tahu, kenapa sampai begitu sekali aku perlu tinggalkan pejabat untuk sehari. Macam yang aku kata tadi, kalau boleh dikongsi pasti aku ceritakan tetapi maaflah, memang aku tidak akan menyentuh langsung tentang hal ini di sini.


Polisi Baru

Bagi mengelak segala kecelaruan dan kegelisahan yang menimpa jantung, aku telah mengamalkan satu polisi baru. Masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan. Aku dah beritahu hal ini kepada majikan aku. Aku tak mahu masuk campur atau ambil tahu hal-hal yang tidak penting dan tidak ada kaitan dengan aku. Biarlah apa juga yang terjadi, selagi ianya tidak mengaitkan aku, tak ingin aku ambil tahu. Aku tak mahu diserang heart anxiety sekali lagi. Bukan sekadar menyakitkan (tak sakitkah kalau jantung kalian berdegup kencang macam nak putus? Kemudian diikuti degupan amat perlahan sebelum kembali normal?) malah agak menakutkan. Memang mati itu pasti, kalau dah ditakdirkan mati, sihat-sihat pun mati juga. Dah ajal, betul tak?

Aku tidak mahu jadi orang tengah. Aku juga tidak mahu menjadi ‘kaunter aduan’. Aku selesa dengan ruang yang dikhususkan untuk aku bekerja. Selain dari ruang itu, aku tak ingin tahu. Biarlah dunia nak cakap apa, aku tak kisah. Yang penting, polisi ini buatkan aku selamat. Selamat dengan diriku sendiri.


Anak Panah Terlepas Dari Busur

Mungkin orang kata jiwa aku ini sensitif (bak dikatakan seseorang yang pernah amat aku sayang) lembut, mudah sangat mencair setiap kali melihat atau mendengar masalah orang lain. Mungkin itu dulu. Sekarang, tidak lagi. Semenjak setahun kebelakangan ini, aku bukan lagi seorang Shahaini yang sama. Banyak perkara telah mengajar aku. Aku perlu kuat dan membutakan perasaan. Apa jenis perasaan pun. Itu untuk diriku sendiri yang sentiasa dianggap mudah oleh orang lain. Dulu, aku boleh memaafkan dan melupakan kesalahan orang lain. Dalam masa yang sama berharap agar kejadian sama tidak akan berulang.

Ya, itu yang aku pegang. Tetapi, apabila soal kepercayaan telah dipermainkan, aku tak rasa ada manusia bodoh yang boleh melupakan kesalahan seseorang dengan begitu mudah. Maaf dan lupa, 2 perkara yang berlainan. Mungkin aku memaafkan seseorang, tetapi tidak bermakna aku lupa dengan apa yang telah dilakukan atau kata-kata yang pernah dilontarkan kepada aku. Ramai yang mengatakan, cara aku itu adalah sebuah dendam yang disimpan. Dendam? Ah, suka hatilah apa yang kalian mahu cakapkan. Aku tak berdendam. Aku cuma memendam. Kalau berdendam, aku balas balik perkara yang sama orang itu lakukan kepada aku.

Baiklah, aku malas nak melalut lebih panjang. Jadi aku ringkaskan saja apa yang mahu aku katakan di sini. Mungkin aku mudah memaafkan seseorang, tetapi tidak ada jaminan aku melupakan kesalahan itu. Disebabkan aku tidak boleh melupakan, jadi secara tidak langsung, aku telah meninggalkan peringatan untuk diri sendiri. Peringatan yang juga amaran untuk aku supaya lebih berhati-hati. Macam yang aku selalu katakan, untuk memenangi kepercayaan orang bukan sesuatu yang mudah tetapi untuk buat orang hilang kepercayaan kepada kita tidaklah susah.

Ada satu tabiat aku (yang aku sendiri takuti), ingat setiap peristiwa dengan jelas. Malah ia kerap bermain di layar mataku berulang kali. Bukan itu sahaja, kata-kata yang diluahkan orang, aku ingat satu per satu. Memang hal ini sangat menakutkan kerana apa yang aku ingat, orang lain tak ingat. Senang-senang mereka tuduh aku buat cerita. Tak apa. Aku tak kisah sebab, saksi kejadian semua yang terjadi di muka bumi ini adalah Allah dan para malaikatnya. Mungkin di sini mereka (orang-orang berkenaan) terlepas tetapi di akhirat setiap perkara ada saksi dan hisabnya.

Satu sahaja aku pesan, mungkin bukan aku seorang sahaja yang mempunyai tabiat ini. Jadi kepada kalian yang membaca entri ini, satu nasihat percuma aku mahu berikan. Sebelum berkata apa-apa, berfikirlah terlebih dahulu. Jangan jadikan alasan amarah menguasai jiwa yang membuatkan kalian berbicara yang bukan-bukan. Kalau marah bagaimana sekalipun, lihat pada Iman. Jika benar-benar kalian masih ada iman, amarah tidak akan dapat menguasai diri sepenuhnya. Ingat kepada Allah. Jaga pertuturan kerana, anak panah yang terlepas dari busur tidak akan berpusing kembali. Wallahualam.

Abah pernah berkata...

“Izan, orang yang marah didekati para syaitan. Kalau berdepan dengan orang yang marah-marah, kau ingat pada Allah. Allah sentiasa dekat dengan kau. Orang yang mengingati Allah akan sentiasa dilindungi ”.

Teringat juga aku kepada satu ayat yang pernah meniti di bibir salah seorang insan yang aku kagumi.

"Seorang manusia punyai 1001 cara pergaulan dengan orang disekelilingnya."

Aku setuju dengan kata-kata itu. Aku tidak suka mengambil contoh orang lain. Biarlah aku menjadikan diri sendiri sebagai contoh.

Aku memang bercakap kasar tetapi untuk orang yang benar-benar rapat. Dengan mereka, aku lepas perangai dan tidak berselindung. Namun, aku juga bersikap kasar kepada orang lain (orang yang aku tak mahu terlibat dan tahu tentang dirinya). Kenapa? Sebabnya, orang begini sama ada membuang masa dan menyakitkan hati saja mengenali mereka.

Aku akan bersopan, untuk orang yang pertama kali aku kenal dan tidak akan sesekali rapat. Sekadar teman biasa. Aku bersopan juga untuk orang-orang yang amat aku sayang dan memang duduknya terlalu istimewa dalam hidupku.

Jadi, kalian di kategori yang mana satu ya?

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku