Tuesday, January 14, 2014

Ulangtahun Abah di D'Manggis

Kalau tidak makan angin, aktiviti keluarga kami semestinya makan-makan. Mungkin atau sememangnya disebabkan itulah, ramai diantara kami ini mengalami kesukaran untuk menurunkan berat badan. Khususnya, akulah!

Sepatutnya, entri ini sudah lama di isi tapi taklah lama sangat. Baru 2-3 minggu (sangat susah nak sudahkan blog bila ada yang memantau, khususnya sedap mengunyah belakang cuping telinga! Hah, yang aku maksudkan Along aku! Kehkehkeh). Baiklah, berbalik kepada tujuan entri ini ditulis (atau secara praktikalnya, ditaip) setiap kali menjelang hujung tahun, kami sekeluarga akan meraikan hari ulangtahun kelahiran abah. Untungnya mereka yang dilahirkan hujung tahun, tak merasa usia tua tak seperti mereka yang lahir bulan Januari. Akulah tu.

Kali ini, Along telah memilih destinasi baru sebagai tempat kami berkumpul dan temanya pula adalah makanan laut! Hahaha. Taklah. Tapi makanan steamboat! Apabila bercakap tentang steamboat, memang inilah yang menjadi pilihan kami. Yeah, bebas memilih makanan mengikut kehendak masing-masing. Oh ya, lupa pula nak beritahu, nama restoran pilihan kali ini. D'Manggis. Tak jauh dari rumah kami di Bandar Tasik Puteri; Kuang. Kuang ya, bukan Kluang!

Boleh dikatakan, sambutan kali ini agak santai. Bertepatan dengan orang yang diraikan. Abah. Seorang yang sangat santai. Jadi, tak perlulah bercerita banyak dan bolehlah lihat sendiri cara kami sekeluarga meraikan ulangtahun abah di D'Manggis ini.

* walaupun acara kami sekeluarga bergeser dengan sambutan Hari Keluarga PDRM, itu tidak menjadi masalah tetapi lebih meriah. Tambahan pula apabila tiba waktu menyanyikan lagu "Happy Birthday", ramai yang memberi respon dan bertepuk tangan bersama-sama. Ah, terima kasih semuanya. Khususnya untuk Miqhail, pemimpin 'okestra' nyanyian "Happy Birthday" untuk atuk kesayangannya! 




















Friday, January 3, 2014

Bersuara Tetapi Bukan Perderhaka!

Tidak, bukan tujuan aku mengisi entri hari ini demi memulakan pertukaran tahun. Hari bertukar, minggu bertukar dan hakikatnya masa terus bergerak jadi, apa yang perlu dihebohkan dengan pertukaran tahun? 2013 dan 2014, yang berubah hanya angka tetapi kehidupan masih seperti biasa, bukan? Atau, mungkin ada juga yang sudah terkandas sebelum sempat berada dalam tahun 2014. 

Kebelakangan ini, terlalu banyak perkara yang berlaku dan satu pun tidak pernah tercuit dalam hati agar aku meluahkan rasa di blog ini. Ya. Ketiadaan masa. Alhamdulillah, aku berkesempatan sekarang tetapi hanya sedikit. Bak kata orang, ini sekadar pemanas sebelum terpahat sebuah entri lengkap. Entri lengkap memerlukan masa bukan semata-mata emosi. Ya. Berjaya juga aku menaklukan kelemahan diri yang satu ini. Emosi tanpa dapat dikawal. Itulah aku! Terima kasih kepada mereka yang sudi memahami! 

Sebenarnya, ada sesuatu yang mengganggu fikiran. Sedang memandu di jalanraya pagi tadi, saat menghantar abah ke Tawakal untuk sesi terapi. Tiba-tiba menghinggap segalur benih fikir. Termenung tetapi kaki dan tangan masih terikat pada tugasan. Memandu kereta. Minda ligat memikirkan; 

"Allah mendengar dan menunaikan doa (permintaan) hamba ciptaan-Nya. Para pemimpin yang sama-sama diciptakan lain pula tabiatnya; angkuh dan sombong mendengar keluhan rakyat. Rakyat meminta, merayu, barisan pemimpin tetap sombong mendongak terus tanpa memandang dan merasakan kesusahan dialami rakyat. Bila rakyat bersuara digelar penderhaka".

Mungkin tiada bezanya harga naik 10sen bagi kau mahupun aku. Bagaimana pula mereka yang tidak berkemampuan? Kadang-kadang, pernah tidak engkau terfikir, keangkuhan kata-kata yang dilemparkan "alah, setakat naik 10sen pun nak berkira. Bukannya sepuluh ringgit?" Ya. Angkuh. Hidup kita tak lama, sesaat dari sekarang apa-apa pun boleh terjadi. Siapa tahu, di satu hari nanti, aku atau kau pula termasuk dalam golongan yang merasakan susahnya untuk mengeluarkan walaupun 5sen! Wallahualam! 

Sekali lagi harus diingatkan, rakyat seperti aku mempunyai (seharusnya) peluang untuk bercakap tetapi ia tidak pula bermaksud, dengan bersuara menjadikan golongan generasi baru sebagai penderhaka. Adakah dengan memberi cadangan serta meluahkan isi dendam menjadikan kami sebagai golongan pembangkang? 

Sinis?
Ya, aku mula percaya!!!
Aku tinggalkan entri ini dengan sebuah lagu yang sangat dekat di jiwa. Lagu protes jalanan yang mungkin tidak akan difahami kalian kerana ianya berbahasa Hindi. Aku terpikat dengan cara ianya ditulis dan hasilnya, sangat mirip dengan situasi yang berlaku di Malaysia!


Antara lirik yang berjaya membekas di dalam hati dan bertapak di dalam otak;

Apna kaam banta, bhaad mein jaaye janta
Teruskan kerja kita, pergi jahanam dengan rakyat
Goonge beharo ki nagri, kaun kisiki sunta
Di negeri bisu dan pekak ini, siapa yang mahu mendengar?

Yeh desh tha veer jawaanon ka
Negara ini pernah dimiliki sang perwira
Ab reh gaya beyimaanon ka
Kini tinggal sang pengkhianat 

Aam admi udaas hai,
Rakyat jelata menderita,
Baaki sab first class hain,
Baki yang lain hebat belaka!

* Jangan terlalu bongkak wahai teman-teman hanya kerana kalian punya kudrat untuk menaip di muka buku. Jangan!!!