Rawang - Pantai Remis - Bagan Datoh - Teluk Intan - Rawang

Sesungguhnya, aku antara manusia paling bahagia di muka bumi di saat ini. Dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya, aku masih kekal tersenyum. Tersenyum walau dalam apa juga keadaan sekalipun kerana aku sentiasa dikelilingi mereka yang mengasihi aku. Penawar segala duka. 

Selagi aku ada bersama mereka atau mereka ada bersama aku, tiada kedukaan bisa mendakapku. Insya-allah. Umi dan abah, Along dan Ayuz, Miqhail dan Mierza, ipar-ipar, juga sahabat-sahabat sekalian. Walau sebesar mana ujian dan dugaan dari Allah, pasti dapat aku tempuh. Benar, masih ada yang berbaki di hati tetapi aku biarkan ia pergi dalam ketenangan diiringi sedekah terindah Al-fatihah.

Sejak dari kecil, aku tahu cara untuk menghiburkan hati. Aku juga tahu, betapa berdosanya meratap sebuah pemergian. Aku harus kuat untuk hari mendatang. Masih ramai di sini bersamaku. Mereka adalah alasan paling kuat untuk aku terus tersenyum. Senyum menghadapi masalah serta kesabaran mengharungi ujian pasti diberikan ganjaran. Kemanisan. Itu janji Allah.

Aku akui, dugaan ini adalah paling besar pernah terjadi dalam hidupku. Aku juga percaya, akan ada lagi ujian lebih besar dari ini di satu hari nanti. Aku bersedia. Insya-allah.

Sepanjang hujung minggu lalu, aku dibawa keluar dan membawa diri keluar! Hahaha.

Sejak awal lagi, si Azwa (sahabatku yang sedang rajin berBlog) 'menculik' aku dengan izin umi dan abah untuk tenangkan fikiran di Pantai Remis. Perancangan awal, mahu berjalan di tepian pantai sambil bermain-main manja dengan gigi ombak. Malangnya, sebaik tiba bukan itu yang berlaku. Air sedang surut. Tiada pasir putih sebaliknya kulit-kulit kerang (menurut umi, itu bukan kulit kerang tetapi Remis) yang mengalami proses pereputan di tepian pantai. Azwa nekad, dia tetap berjalan dengan kaki yang telanjang (berkaki ayam ya!) Aku? Tidak mahu mengikut jejaknya kerana, sakit kakiku! Hahaha. Manja? Anggap sahajalah begitu. Lama nak pakai kaki ni!!! 

Air surut di Pantai Remis
Senyuman pembunuh atau senyuman membunuh? Hmm
Agak lama juga di Pantai Remis ini. Sambil menunggu air laut pasang, Azwa pun memesan makanan. Haish. Begitulah rezeki aku pada hari Sabtu. Banyak makanan yang dipesan. Ada yang mampu aku telan dan ada yang hanya mampu aku ucapkan salam. Selesai menyentap, perjalanan disambung semula. Seronoknya. Hanya Allah sahaja yang tahu. Lebih seronok lagi, apabila kami singgah di masjid yang baru sahaja selesai dibina. Sungguh tenang. Allahu Akbar!

Kulit-kulit kerang dan remis
Mana satu kaki aku dan mana satu kaki Azwa?
Jadi, aku sangat berterima kasih dengan Azwa kerana meluangkan masa sepanjang hari untuk bersama. Segala gambar di Pantai Remis aku ambil dari blog Azwa. Selain bergambar dan berjalan sepanjang Pantai Remis kami turut berkongsi cerita dan macam-macam yang dibualkan. Oh ya, ada juga bungkusan dikembalikan. Bungkusan itu telah aku sedekahkan kepada salah satu kedai aksesori yang mana kebetulan kami singgah untuk membaiki 'skirt bumper' kereta Azwa yang longgar. Baki isi yang lain, sudah aku koyak-koyak dan buangkan ke dalam tong sampah. Hehehe.
sahabat sejak 1999, insya-allah sampai mati!
Hari berikutnya pula, teringin rasa di hati untuk memandu dengan jarak yang jauh. Aku ajak umi dan abah temankan. Bukan takut pergi sendirian, cuma khuatir tak nampak jalan kembali ke rumah semula. Hmm.

Awalnya, aku ingin memandu sehingga ke Sungai Besar. Berhenti berehat untuk makan soto atau ayam goreng mamak kegemaran umi dari Sri Kassim. Setelah selesai isi perut, aku beritahu abah yang aku mahu terus memandu hingga Teluk Intan. Abah tak benarkan sebab hari pun sudah mendung. Takut tersekat dalam banjir. Tetapi umi berikan kebenaran dan menyokong aku. Dalam keberatan, abah menurut sebab yang penting, aku pandu! Lalalala...

Lolly yang sangat cool!
Memang benar. Sepanjang perjalanan dari rumah aku di Bandar Tasik Puteri Rawang, sehinggalah ke Bagan Datoh. Tidak ada satu pun kawasan yang permukaan jalanraya kering. Basah dengan takungan air hujan. Oh ya, bagaimana pula boleh sampai ke Bagan Datoh sedangkan tujuan aku hendak ke Teluk Intan? 

Tatkala sampai di persimpangan Teluk Intan/Setiawan dan Bagan Datoh, tergerak di hati untuk pergi ke Bagan Datoh. Mungkin kerana aku seringkali mendengar namanya tetapi tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke sana. Hujan masih menimpa bumi dan aku teruskan memandu. Tidak laju kerana peka dengan kehadiran AES (ya, aku sedar ia hanyalah satu propaganda!) Lagi pun, aku memandu tanpa tujuan. Perlukah aku memandu laju? Tidak. Aku mahu meninggalkan bebanan dan bukan memikul bebanan!

Sebuah rumah tinggal di Pekan Bagan Datoh
Sampai di Bagan Datoh, rasa tenang terus mendakap. Cuma satu yang buat aku takut. Jeti di tepi kuala. Airnya sungguh deras dan bergelora. Aku tinggalkan gelora itu kerana hakikatnya, gelora dalam hati lebih hebat lagi! Tidak sempat enjin Lolly sejuk, aku kembali memandunya sehinggalah berhenti di Teluk Intan. Di Teluk Intan, aku berhenti seketika. Mencuci pandangan mata. Cuaca masih berduka. Biarkanlah sahaja. 

Lolly dan Menara Condong!
Menara Pisa Malaysia! Kau ada? Hahaha
Catatan sejarah?
Di sini, sempatlah aku merembat beberapa keping kenangan. Berehat setengah jam dan aku mulakan kembali pemanduan. Sebelum sampai ke Rawang, sempat berhenti di Tapah untuk membawa pulang buah tangan. Petai! Hahahaha. Abah memang sangat tahu kegemaranku. Makanan yang membuatkan mulut berbau tetapi bukan hati ya! Aku sangat suka petai. Pulang ke rumah, ada dua resepi sudah melekat di mindaku. Udang masak sambal petai dan juga jeruk petai! Wah wah wah.... bahagianya hidup!

Aku, umi dan apam balik atau apam balik aku dan umi? Lalala
Kacang rebus Teluk Intan...montel-montel!
Pasangan sejoli, sehati sejiwa!
Tepat waktu maghrib, akhirnya aku, abah dan umi tiba di Rawang. Rumah itu adalah syurga abadi duniaku. Mustahil untuk aku berpisah lama dengannya. Mustahil juga aku melupakannya. Selagi mereka dan rumah itu memerlukan aku, tidak akan lagi aku berfikir untuk meninggalkannya!

* Bersyukur dengan setiap ujian dan dugaan yang diturunkan Allah kerana ia membuatkan aku terus rapat dan berjalan dalam lindungan-Nya. Aku diuji untuk melihat tahap keimanan dan kasihku pada-Nya. Insya-allah, hati ini tabah dan iman ini terus kuat! Amin...

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku