Naan Ee & Howling

Agak lama juga aku nak kongsi cerita tentang beberapa filem yang aku tonton. Oh tidak, ini sekadar perkongsian. Bukan ulasan. Walaupun pernah mendalami ilmu mengulas filem, tapi aku tak rasa wajar untuk berbuat demikian sekarang. Sepertimana aku suka baca ulasan dari mereka yang 'bertauliah' dan berpengalaman, sudah tentu tidak ada orang mahu membaca ulasan sampah dari aku!(Sedar diri dan harap orang yang berkenaan juga sedar-sedarkan diri!)

Sijil, diploma atau ijazah, waima Master dan PHD sekalipun bukan menandakan seseorang memiliki lesen mengkritik, mengulas dan menilai sesebuah karya melainkan pengalaman. Betul tak? Jadi, adalah lebih 'afdal' serahkan pada yang pakar. Terkadang, kecut perut aku baca ulasan dari orang yang dianugerahkan PHD tetapi hasil tulisannya sangat berat sebelah tanpa disokong fakta dan ilmu. Hmm. Apa nak jadi gamaknya tu?

Tidak adil aku membuat ulasan secara terbuka. Namun tidak bermakna aku sudah melupakan segala ilmu yang penat-penat dituntut dahulu. Cuma, aku lebih suka simpan untuk diri sendiri.

Aku memang kurang berkesempatan menonton wayang di pawagam. Satu sebabnya, kerana tugas dan tanggungjawab. Kali terakhir aku menonton di pawagam, bulan Ogos lalu bersama sahabat karib, Fatimah Sri. Ya, tentu sekali filem Hindi; Ek Tha Tiger! Hahaha. Kenapa bukan filem Melayu? Hmm. Belum ada yang menyentuh kalbu membuat aku terpanggil untuk menonton. Kali terakhir filem Melayu yang aku tonton di pawagam, Bunohan. Selepas itu? Belum ada lagi.

Namun, aku tidak melepaskan peluang sekiranya ada tayangan filem-filem hebat di rangkaian kabel berbayar bulanan yang dilanggan. Maksud aku di sini, ASTRO. Lebih tepat lagi, Astro Tayangan Hebat. Aku dan keluarga, tak melayan sangat saluran dari Hollywood. Rosak mata dibuatnya. (Faham-fahamlah maksudnya ya!)

Baru-baru ini, aku menonton 2 filem yang cukup hebat. Hebat untuk aku, tidak semestinya bagus untuk orang lain. Betul tak?

Filem yang dimaksudkan, Naan Ee dan Howling. Satu naskah dari Tamil dan satu lagi dari Korea. Satu persamaan yang mencuit minat aku adalah, kedua-dua filem ini mengangkat haiwan sebagai protagonis. Naan Ee mengangkat lalat, manakala Howling pula mengenengahkan tentang anjing serigala.

Naan Ee
Howling
Naan Ee mempunyai tema yang sangat menarik. Reincarnation (kelahiran semula). Kalau filem-filem lain, tema ini menumpukan kepada kehidupan lampau sebagai manusia dan dihidupkan semula sebagai manusia (imej dan penampilan yang sama : Being Human, Dangerous Ishq, Om Shanti Om, Karan Arjun, Magadheera, Suryavanshi dan banyak lagi), lain pula kisahnya dengan filem tamil arahan S.S Rajamouli (pengarah yang sama mengarahkan filem Magadheera) yang mana protagonis dilahirkan semula sebagai lalat!

Kedengaran lucu bukan? Tetapi itulah filem, making the unbelievable, believable!

Apa yang lebih menarik dalam filem Naan Ee, apabila di permulaan filem, ia dimulakan dengan suara anak meminta ayah bercerita sebelum masuk tidur. Secara tidak langsung, penonton dibawa untuk mendengar cerita si ayah yang mahu menidurkan si anak. Jadi, apa juga yang diceritakan menerusi visual telah tertanam di minda (atau harus ditanam), ia hanyalah sebuah cerita yang tidak semestinya benar-benar berlaku.

Lalat; Fly, Ee, Eega, Makkhi!
Rasanya, tidak perlulah aku cerita panjang lebar tentang isi filem Naan Ee. Tetapi sekiranya berkesempatan dan berminat untuk mengetahui filem ini secara keseluruhan, tak salah kalau cuba menonton di youtube. Pandai-pandailah cari yang ada sarikata! Di sini, aku kongsikan trailer Naan Ee sebagai rujukan. Hahaha.


Aku boleh tonton Naan Ee berulang kali sebab jiwa dan roh filem itu sendiri. Kekuatan yang disuntik kepada Nani (protagonis) ketika hidup sebagai manusia dan setelah dilahirkan semula sebagai lalat. Objektifnya hanyalah satu; melindungi Bindu, kekasih hatinya. Lebih 'jiwang' lagi apabila si Bindu tetap mencintai Nani walaupun hakikatnya mereka tidak boleh bersama kerana dia hanyalah seekor lalat. Bersama-sama, mereka bersatu untuk membalas dendam terhadap Sudeep, manusia yang memisahkan mereka dan pembunuh Nani. Hmmm. Berminat? Cari sendiri. Filem ini bukan sahaja dapat menarik perhatian aku, malah kedua-dua anak buahku, Miqhail dan Mierza. Hari-hari lagu Bindu dinyanyikan. Ah, comel!


Ini lagu yang Miqhail dan Mierza suka ikut... 
Bindu, Bindu... nenje paare!

Beralih pula kepada filem Howling, buah tangan dari Korea. Melihatkan tajuk sahaja, pasti semua dah dapat mengagak filem ini tentu tentang serigala. Ya. Tepat sekali. Namun, apa yang menarik dalam filem ini, anjing-serigala ini dilatih untuk melakukan siri pembunuhan. Hebat?

Sama juga seperti anjing yang dilatih untuk mengesan benda-benda terlarang dan juga penjenayah (atau dalam erti kata yang lain, manusia terlarang? Hahaha) Didalangi oleh dua pelakon handal Korea seperti Lee Na-Young (pernah berlakon dalam satu lagi filem Korea yang aku suka, Lady Daddy) dan Song Kang-Ho. 

Pertembungan 2 watak; Jo Sang-gi, seorang detektif yang terdesak untuk mendapatkan kes berprofil tinggi semata-mata ingin naik pangkat, manakala Cha Eun-young, seorang wanita yang merupakan junior detektif. Jo Sang-Gi yang sentiasa diperlekehkan dengan kes-kes kecil, rasa tertekan kerana diberikan rakan kongsi junior yang juga seorang wanita. 

Kes yang dianggap mudah pada awalnya merupakan detik permulaan kepada satu siri pembunuhan. Dek kerana mengetahui ia merupakan batu loncatan untuk naik pangkat, Jo Sang-Gi mula membuat strategi agar kes itu kekal di tangannya. Walaupun diingatkan berulang kali oleh Cha Eun-young, Jo-Sang tetap enggan memberikan maklumat tentang kes tersebut kepada ahli pasukan yang lain. Lebih menggemparkan apabila mereka mendapat tahu, dalang di sebalik siri pembunuhan bukanlah manusia sebaliknya seekor anjing-serigala!


Kalau nak diceritakan dengan lebih lanjut, mahu tak habis entri hari ini. Jadi, cukuplah perkongsian cerita setakat di sini tentang Howling.

Sepertimana lalat dalam filem Naan Ee tadi, anjing-serigala dalam Howling juga mempunyai sejarahnya tersendiri! Dipelihara sejak dari kecil oleh tuannya dengan tujuan, membunuh kesemua lima orang penjenayah yang memperdagangkan anak gadisnya. Dalam tidak sedar, hubungan antara tuan, anak dan juga anjing-serigala tadi menjadi sangat akrab. Sehinggakan tuannya menganggap si anjing-serigala itu adalah anak kandungnya sendiri. 

Sebagaimana Nani melindungi Bindu, begitu juga anjing-serigala ini melindungi anak perempuan kepada tuannya seperti seorang abang. Dia tidak akan berhenti selagi tidak dapat membunuh kesemua lima orang yang terlibat dalam jenayah memperdagangkan anak perempuan tuannya. 

Pandangan mata anjing-serigala!
Detektif Cha Eun-yong...
Apa yang membuatkan aku menonton filem ini berulang-ulang kali adalah emosi yang terlahir dari anjing-serigala itu sendiri. Emosi yang lahir menerusi matanya. Malah, interaksi haiwan ini bersama manusia terutama sekali tuan, anak perempuan dan juga detektif Cha Eun-yong sangat memberi kesan. Jadi, tidak melampau kalau aku katakan, hero untuk filem ini adalah anjing-serigala itu sendiri dan pembantunya adalah Cha Eun-Yong. Setiap kali sampai ke scene klimaks, mata aku dah dipenuhi dengan air. Sangat menyentuh. Tak percaya? Tengoklah sendiri! Tapi, puas aku cari capaian di youtube. Maaf, tak ada!

* filem Malaysia pun ada yang mengangkat haiwan, Cinta Kura-kura. Kalian dah tonton? Aku dah. Tapi, sekali sahaja. Komen? Lalalalala....

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku