Tentang Seth Tan dan Nora Elena
Aku bukannya jenis suka melayan drama Melayu. Ironi? Ya, memang ironi. Aku masih teringat pesan salah seorang pensyarahku, Puan Sujiah Salleh.
"Kalau mahu jadi seorang penulis skrip yang bagus, awak haruslah sentiasa menonton drama Melayu. Tidak kiralah, sama ada drama itu baik mahupun buruk kerana melalui drama-drama inilah yang akan memberikan pedoman kepada awak."
Bukan aku menyombong, tidak mahu menonton tetapi ada sesetengah drama yang aku tonton (separuh jalan) tidak menarik. Kisah percintaan remaja (memanglah tak cocok dengan jiwa aku, bukankah aku sudah dewasa?), perebutan harta, sumbang mahram dan lain-lain. Buat jiwa dan emosi aku kacau. Namun, tidak semuanya begitu. Ada juga drama yang aku layan. Antaranya, drama Juvana.
Baru-baru ini, aku terserempak dengan sebuah lagi drama yang diadaptasi dari sebuah novel, Kasih Yang Suci atau tajuk dramanya Nora Elena. Kebetulan aku sempat menonton. Sejak diberi kebenaran keluar awal (sebelum ini keluar 6.30 petang dan sampai ke rumah lewat 8 malam) itu pun disebabkan ada kes rompakan dan kecurian yang berlaku di kawasan rumahku.
Layan lagu ni...
Hah, aku masih ingat lagi, semasa memohon dibenarkan pulang awal, ada pihak yang tidak berpuas hati. Majikan aku pernah memberitahu aku, ada pihak yang tidak suka melihat aku dibenarkan pulang awal. Jujurnya, aku tidak kisah pun tentang pendapat pihak itu. Yang penting, aku datang lebih awal dan waktu aku bertugas masih lagi sama seperti biasa. Lagipun, pendapat pihak itu tidak penting sebab, bukan dia yang bagi aku gaji! Tugas dia hanya memerhatikan kesalahan orang lain tanpa memandang diri sendiri. Lalalala...
Berbalik kepada kisah drama tadi, aku mula terpikat bukan kerana barisan para pelakonnya tetapi pembinaan dan cara penulis mencorak watak. Watak yang paling aku suka, tentulah Seth Tan lakonan Aaron Aziz. Kenapa aku boleh suka dengan watak itu? Jawapannya mudah. Sebab aku masih belum berkahwin. Jadi, amatlah jelas... lelaki seperti Seth Tan itulah yang diidamkan para gadis seperti aku. Seorang lelaki yang menghormati dan menyayangi diri ini seadanya. Tidak mendesak dan memberi ruang untuk isteri bernafas.
Ya, aku tahu. Itu sekadar hiasan untuk mempercantikan satu-satu skrip. Namun begitu, tidak salah rasanya kalau aku 'jatuh cinta' dengan Seth Tan. Hahaha. Sejak kebelakangan ini juga, aku tak lepas mencatat tentang Nora Elena mahupun Seth Tan dalam statusku di Muka Buku.
Sepertimana biasa, bukan semua orang boleh terima atau setuju dengan apa yang kita suka. Sama jugalah keadaannya dengan Seth Tan ini. Ada yang mengatakan, itu mainan dan gurauan drama sahaja. Tidak wujud pun seorang lelaki seperti Seth Tan yang sanggup menerima penolakan si isteri dari menunaikan tanggungjawab. Tidak ada seorang lelaki pun yang redha terima apa sahaja layanan buruk si isteri. Hmmm.
Antara adegan yang aku suka... cute betul telatah Seth Tan!
Entahlah, mungkin benarlah apa yang mereka semua suarakan. Iya, memang betul pun. Kalau itulah perangai para suami zaman sekarang. Namun, aku kira tidak salah kalau aku atau penonton yang sependapat dengan aku, menyukai watak Seth Tan ini. Tak salah, bukan? Biarlah, pendapat orang lain-lain dan pasti ada sahaja perkara yang boleh diperdebatkan. Tapi, aku tak kisah. Aku tetap suka. Suka watak Seth Tan. Aku tahu, pasti ada seseorang lelaki seperti Seth Tan di luar sana, bak kata seorang teman di Muka Buku.
"Orang itu ada, tapi kau yang belum jumpa."
* Satu ayat yang amat aku suka, tetapi pastinya bukan dialog yang digunakan dalam Nora Elena tetapi satu filem yang pernah aku tonton satu ketika dulu. Aku lupa tajuk filemnya, tapi dialognya agak mekar dalam ingatan.
-