Selamat Pengantin Baru... FirSha

Tak sia-sia aku ambil cuti dua hari. Semua urusan dapat diselesaikan tepat pada waktunya, termasuklah urusan di saat-saat akhir. Tidak perlukan bilangan pembantu yang ramai, yang penting, bilangan yang sedikit tetapi tenaganya boleh menandingi tenaga sekampung. Terima kasih, (aku dahulukan) kepada barisan jiran-jiran (kak Sue dan kak Hariah berserta suami) yang tidak pernah lelah membantu dari awal sehingga akhir urusan perkahwinan adikku, Ayuz yang selamat dilangsungkan pada 11 Jun lalu.


Sebelum Majlis (9 - 10 Jun)

Tahun ini merupakan upacara kedua yang seumpamanya berlangsung dalam famili kecil Md Zahar-Shaharum Bariah. Upacara yang dimaksudkan, perkahwinan. Perkahwinan pertama yang berlangsung dalam famili ini berlaku 3 tahun lepas. Perkahwinan kakakku, Shahaizah Azlin bersama pasangannya. Bezanya kali ini, masing-masing sudah ada pengalaman. Pengalaman itu juga menjadi panduan setiap dari kami (ahli famili) lebih bersedia dari segala segi. Masing-masing pegang peranan sendiri. Sepertimana yang abah selalu katakan, kerja akan menjadi bagus kalau bilangan yang kecil melakukan tugas dengan bersungguh-sungguh. Benar kata-kata abah.

Sehari sebelum majlis nikah dan resepsi berlangsung, sempat lagi keluar membeli barang-barang yang diperlukan. Menjelang petang, aku menghantar Ayuz ke pusat kecantikan untuk dipakaikan inai hiasan pengantin. Inai yang sudah dipakai Ayuz semenjak seminggu lalu (dipakai dan ditambah setiap malam sehingga merah gelap, hitam pekat) perlu dihiasi sepertimana yang biasa dilakukan kebanyakan pengantin zaman sekarang. Semasa Along kahwin dulu, kami tak tahu pula ada perkhidmatan inai disediakan. Jadi, aku yang ditugaskan untuk menghias inai di tangan Along. Walaupun tidaklah secantik mana, tapi aku rasa berbaloi. Bukan apa, inai yang dipakai Ayuz, coraknya taklah sehebat duit yang Ayuz keluarkan. Hmm. Pandai betul orang cari duit sekarang.

Malam itu juga, teman Ayuz turun dari Johor untuk turut bersama-sama meraikan hari istimewa adikku itu. Sihin. Aku ditugaskan menjemput Sihin di stesen keretapi. Bukannya aku tak ingat muka Sihin, cuma... ingat-ingat lupa. Alhamdulillah, dapat juga aku bertemu si Sihin. Terima kasih telefon bimbitku, kerana berfungsi dengan baik dan dapat berhubung dengan Sihin dan Ayuz secara serentak. Tugas yang diamanahkan Ayuz kepadaku membawa pengapitnya dengan selamat, selesai dengan jayanya. Itupun kerana ada bantuan abah. Apa taknya? Dalam sibuk-sibuk begini, tukang perompak pun giat melaksanakan tugas mereka memecah masuk rumah orang. Abah terpaksa temankan aku menjemput Sihin untuk mengelak dari berlakunya sebarang kejadian rompak ditengah-tengah jalan masuk ke kawasan rumahku. Maklumlah, perumahan kami ini masih lagi seperti perkampungan bunian. Tiang elektrik terpacak, tetapi lampunya tidak berfungsi. Mungkin kerana, kesedaran dan keinsafan pihak pemaju yang tidak mahu kami (penduduk Bandar Tasik Puteri) 'mencuri' khazanah yang dipinjamkan oleh generasi masa depan. Benarkah begitu?



Ayuz dan pengapitnya... Sihin

Mujurlah sehari sebelum (Khamis) aku dan Along sempat bergotong-royong memasak telur rebus pengantin. 500 jumlah kesemua telur. Disebabkan tidak mahu kesilapan sama berulang (sewaktu majlis Along, ada telur tak direbus dibungkus dan diberikan kepada tetamu), aku pastikan kesemuanya masak mengikut masa yang ditetapkan. Aku mula merebus telur seawal 8 malam dan hanya berakhir pukul 4 pagi. Tak cukup dengan itu, kerja-kerja disambung lagi, membungkus 'goodies'. Tepat pukul 6. Barulah kami berpeluang tidur dan pengantin (Ayuz) tidur pukul 7 pagi. Pelik. Kenapa setiap pengantin tak dapat tidur masa sebelum majlis. Macam Along dulu pun sama. Agak-agaknya, kalau zaman aku kahwin nanti... sempat tak aku tidur? Hmmm.


Hari Pernikahan & Majlis Persandingan

Disebabkan semua kerja sudah selesai pada hari Khamis, jadi kami satu famili agak santai malam Sabtu. Sempat jugalah kami menonton Maharaja Lawak. Cuma tertinggal setengah jam episod Imam Muda Musim Kedua, sebab menjemput Ayuz yang selesai berinai dan Sihin yang baru sampai dari Johor. Sambil-sambil menonton, sempat juga kerja-kerja remeh aku dan yang lain selesaikan termasuklah mericih bunga rampai. Sehalus-halus yang mungkin. Barulah nampak cantik dan wangiannya lebih harum.

Benar. Selepas Maharaja Lawak, kami dapat menikmati tidur. Walaupun bukan untuk masa yang panjang tapi, cukup untuk menjana semula tenaga. Masing-masing bersedia untuk bertolak ke UIA, di mana majlis Ayuz berlangsung. Semua sudah sedia. Aku dan juga anak-anak buahku, Miqhail dan Mierza. Kemas dan segak berpakaian baju melayu. Malangnya, mak andam, tidak kelihatan. Agaknya, mak andam memang harus datang lambat macam 'superstar' Bollywood ya?


dah siap...


Along dan Mierza... tak sabar


salah satu bunting, sengaja dipasang di rumah!

Disebabkan sudah terlanggar masa yang ditetapkan, kami pun mula bertolak. Aku kira, kalau ditahan, tentu Polis keluarkan saman. ketiga-tiga kereta (yang dipandu aku, Sihin dan Zamri) melayang laju. Hahaha. Semua gara-gara mak andam datang lewat. Mujur, ketika sampai di masjid, Tok Kadi masih belum sampai. Aku pula, terpaksa berkejar ke dewan untuk mengambil bantal nikah.

Setibanya aku di dewan yang terletak di tingkat dua, amat takjubnya aku melihat, pintu dewan masih berkunci rapi. Kebetulan, abang Zamri pun tiba. Mungkin, dia juga ada barang yang perlu diambil. Sepantas kilat aku hubungi umi, bertanya kenapa pintu dewan yang sepatutnya dibuka pukul 7 pagi, masih lagi berkunci? Di manakah manusia yang telah kami amanahkan untuk membuka dan menjaga dewan ini pergi? Tak datang lagi? Apa pula keadaan dewan? Hish. Rosak. Tanpa melengah masa, aku tinggalkan dewan dan pergi menuju ke Masjid yang berada di seberang jalan saja. Aku tetap menggunakan kereta ke sana kerana ada membawa barang hantaran.

Alhamdulillah, aku sempat sampai. Sempat juga aku menjeling ke atas meja yang terhidang sarapan pagi. Tapi, aku sekadar menjeling sebab ada urusan yang lebih penting. Ya, apalagi kalau bukan menjadi jurukamera. Tok kadi dah sampai, pengantin lelaki, pengantin perempuan dan keluarga masing-masing sudah pun sedia. Aku pun 'terpaksa' bersedia. Yang tak ada ketika ini, bantal nikah alas pengantin dan jurugambar! Mana mereka pergi? Apa mereka tak tahu acara akad nikah ini diadakan pukul 9 pagi dan bukannya 12 tengah hari? Rosak.

Selepas beberapa minit acara akad nikah berlangsung, barulah aku nampak kelibat jurukamera dan juga bantal alas pengantin. CEPAT betul bantal itu tiba. Kenapa tak sampai lepas habis majlis bersanding?



saat-saat mendebarkan...


Debaran Firdaus...


Ayuz... berdebar


selamat sudah...

Apa-apalah, yang penting majlis berjalan lancar. Bagus juga ada plan B. Kalau tidak, pasti tidak terakamlah saat-saat bersejarah Ayuz menjatuhkan status bujangnya kepada seorang isteri yang sah kepada Firdaus. Hahaha. Tak sangka, dah jadi isteri orang adik bongsu aku.




Suami isteri yang sah...


Ayuz bersama rakan-rakan...

Selesai majlis nikah, aku, umi dan beberapa yang lain bergegas ke dewan. Majlis seterusnya harus dipastikan berjalan dengan lancar.









Tatkala, aku memikirkan semuanya berjalan dengan lancar, ada saja perkara yang timbul dan membuatkan hati panas. Salah satu perkara yang buat aku panas mata, bila gagal melihat bunting perkahwinan Ayuz yang dikatakan telah siap dipasang. Siap dipasang di mana? Di rumah? Satu lagi, hal 'goodies'. Kebanyakan kotak goodies rosak kerana terkena air. Alasannya, kotak-kotak itu terkena air hujan semasa proses penghantaran ke dewan. Hmm. Apa? Lori takda penutup ke? Apa boleh buat? Abah dah bayar penuh semuanya. Nak bising-bising pun macam tak guna. Sebab kalau belum bayar, takut juga mamat dengan minah ni nak buat kerja sambil lewa. Ini, duit sudah diterima. Buat apa teruk-teruk. Bukan itu saja, macam-macam benda yang dijanjikan tetapi tak tertunai. Apa yang aku pasti, semua itu termasuk dalam bil. Dibayar. Dibayar tetapi tidak kelihatan di majlis hari itu. Kalau nak saman, boleh saja ni. Boleh disabitkan dalam kes tipu. Penipuan dalam urusan. Kesalahan yang berat. Hmmm.








Senyuman si isteri...

Inilah masalahnya bila kita nak membantu perniagaan orang. Niat kita baik, tapi dengan niat kita yang baik itu pula kita diinjak-injak. Tak apalah. Allah itu ada. Sebanyak mana yang mereka buat tak betul, sebanyak itu jugalah perniagaan mereka tidak akan berjaya. Ini bukan sumpahan, tetapi doa. Pastinya Allah membalas setiap perbuatan yang dilakukan oleh manusia di muka bumi ini. Kau menipu, balasannya ada. Tunggu sajalah. Allah itu adil. Allah itu ada. Sabar saja ya. Balasannya, lambat atau cepat saja. Insya-allah. Janji Allah itu, pasti!

Baiklah, aku tinggalkan masalah itu ke belakang.

Apa-apa pun, kesemua kekurangan yang diciptakan pihak itu, tidak sedikitpun melumpuhkan keberlangsungan majlis pernikahan Ayuz-Firdaus. Aku amat terharu dengan kehadiran teman-teman lama dari ASK dan juga sahabat baikku, Norayshah Tahar. Lebih menggembirakan aku, dapat bertemu dengan kak Afna yang datang bersama suami dan putera, puteri tersayang. Zahra dan Raif. Aku juga berkesempatan bertemu Jiha yang nampak ceria bersama perutnya yang membesar. Juga Nurul Mardhiah dan Salwa. Kehadiran mereka membuat aku lupa keletihan dan juga.... kelaparan. Hahaha. Sehingga majlis berakhir dan sampailah menjelang waktu Maghrib, seulas nasi pun tak singgah ke mulutku. Tetapi, aku tetap kuat bertenaga demi menjalankan tugas sebagai seorang anak, adik dan juga kakak.


si ibu-ibu berjaya...


manis senyuman...


tak ketinggalan...


sahabatku... Norayshah

Secara keseluruhannya, aku boleh katakan dengan bangganya... satu lagi majlis terbesar famili kecil Md Zahar-Shaharum Bariah berlangsung dengan jayanya. Perkara yang paling aku suka, tema yang telah Ayuz pilih, Arabian, berjaya dihidupkan. Bacaan selawat yang mengiringi pengantin bagi menggantikan pukulan kompang juga buat aku rasa amat teruja. Apatah lagi, pengacara yang bertugas, saudara Ahadan berjaya menghidupkan suasana. Dihiasi dengan lagu-lagu Maher Zain, lupa sejenak kelemahan pihak pengurusan.

Kepada yang terlibat secara langsung atau secara tidak langsung, terima kasih diucapkan. Kepada yang tidak memegang amanah dengan sebaik-baiknya, menjawablah di sana nanti. Sekian, wassalam.


Selamat Pengantin Baru... FirSha

* Selamat datang kepada ahli famili terbaru kami, Firdaus. Semoga dengan sesi 'breaking the ice' yang telah dilaksanakan membawa hubungan yang lebih rapat antara kita. Terima kasih dan bimbinglah isterimu (adikku) sebaik-baiknya, insya-allah. Amin.


Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku