Solek(an) atau Soleh(ah)?
Mari berlaku jujur sejenak. Sekejap sahaja. Tak lama. Tanpa perlu kehadiran sesiapapun di sisi. Hanya diri sendiri. Baiklah. Setiap kali keluar dari rumah, perkara pertama yang terlintas difikiran pastinya satu soalan;
"Dah cantik ke aku macam ni?"
Hah, betul bukan? Biasalah. Memang sudah menjadi lumrah. Siapa yang mahu keluar bertemu masyarakat dalam keadaan selekeh dengan penampilan kurang menarik? Sekurang-kurangnya, kita tak mahu jadi buah mulut orang. Terpulang. Ada yang tidak mahu dilabelkan sebagai kuno dan ketinggalan zaman. Ada pula yang tidak mahu dikatakan sengaja mahu cari perhatian. Namun, adakah kata-kata yang datang dari manusia itu PENTING?
Sebenarnya, perkara ini buat aku terfikir tentang manusia yang boleh dikategorikan kepada dua; golongan pertama, takut dengan manusia dan kedua, takut kemurkaan Allah. Pada pendapat kalian, yang mana harus menjadi kepentingan? Manusia atau Allah?
Sepakat jawapan di bibir tetapi adakah ia seiring dengan hati?
Disebabkan aku seorang wanita, jadi lebih afdal kiranya aku berkongsi pandangan dari sudut wanita. Benar. Wanita sangat cerewet. Tak dapat dinafikan. Ada dua golongan wanita yang ambil masa terlalu lama untuk bersiap-siap sebelum melangkah keluar pintu rumah; kaki solek dan solehah.
Aku boleh faham, sekiranya seorang wanita menghabiskan masa yang lama di depan cermin untuk memastikan penampilannya diredai Allah; menjaga aurat, tidak mengghairahkan, bersederhana, kemas, bersih dan terpelihara.
Juga tidak dapat dinafikan, aku lemas setiap kali menunggu seseorang yang tidak cukup-cukup menyapu kulit muka dengan pelbagai warna. Pernah di satu ketika, aku terpaksa makan hati kerana menunggu teman yang tidak sampai-sampai dengan alasan, tidak boleh keluar rumah kerana tidak lengkap.
"Kotak solek aku hilang. Kena cari dulu!"
Bagus sungguh dapat teman sebegini. Sanggup membiarkan temujanji berlalu semata-mata kotak solek hilang entah ke mana. Haish. Teman, ketahuilah. Aku bukan nak tengok muka 'tampalan', cukuplah kau datang dengan diri yang seadanya. Lebih bermakna. Lagipun, aku bukan sesiapa untuk menilai penampilan orang lain kerana yang berhak memberikan penilaian adalah Allah.
Segala-galanya pada batang tubuh kita adalah milik Allah. Tanggungjawab yang diberikan oleh-Nya, menjaga pinjaman itu sebaik mungkin. Adakah itu yang kita semua lakukan?
Syaitan dengan tanggungjawabnya. Kita, bagaimana?
Bagi aku, tidak salah untuk bersolek. Itu terpulang kepada niat masing-masing. Namun, aku lebih suka tampil dengan diri sendiri. Pernah dahulu beberapa individu memberi nasihat, meminta aku berubah. Aku perlu berubah dengan memberikan sedikit layangan warna ke atas kulit wajah agar tidak nampak muram dan sugul. Supaya boleh disedari kewujudan dalam keramaian.
Maaf tetapi aku enggan mengikut nasihat. Biarlah dikatakan kuno dan tidak mengikut peredaran masa tetapi aku sangat selesa begini. Tidak perlu menghabiskan masa berjam-jam lama menatap wajah sendiri. Bukan tiada keyakinan menatap wajah sendiri sebaliknya tiada keraguan dalam hati terhadap kurniaan Illahi. Pemberian Allah yang terindah. Aku bersyukur seadanya. Ada mata yang boleh melihat, ada mulut yang boleh berkata-kata dan ada hidung untuk bernafas.
Begini akhirnya nanti... insya-allah. |
Jika ada yang mengeji diri, hidung aku sebesar peti, mata sepet macam cina kepet, aku hanya tersenyum dan kalimah Alhamdulillah terucap dalam hati. Kejian itu bukan untuk diri sebaliknya ciptaan Allah. Bukan tangan aku yang membentuk lubang hidung atau mata sepet ini. Itu kerja Allah. Berhati-hatilah dengan percakapan sehari-hari. Tanpa sedar, dosa diperolehi.
Kepada mereka yang mengutuk aku gemuk, Alhamdulillah. Tak. Aku tidak kata ia pemberian Allah. Mungkin, memang salah aku. Insha-allah, akan aku cuba mengecilkan saiznya. Tetapi bukan kerana takut dikutuk kalian sebaliknya, supaya aku mudah melakukan ibadat.
Kembali kepada persoalan, "dah cantik ke aku macam ni?" Apa kata, kita ubah soalan itu kepada, "Dah tertutup ke aurat aku ni?" Sama-samalah kita memperbaiki kelemahan diri untuk menjadi wanita solehah. Sebagai muslimah, haruslah kita sentiasa terus mengingatkan diri sendiri dan saudara seIslam yang lain. Jaga penampilan dan aurat. Bukan membalut aurat ya! Hahaha.
Bertudung atau... |
Bersolek? |
* ramai yang takut dengan kedatangan 21 Disember tidak lama lagi kerana percaya dunia akan kiamat. Peliknya, mereka juga terlibat sama dalam kempen 'pendedahan aurat'. Bertanya pada diri sendiri, adakah kita takut kiamat atau kemurkaan Allah? Sama-sama kita fikir.
Ingat tu! |