Memang Dah Dijangka!



Anugerah Juara Lagu, bukanlah sesuatu yang asing. Sejak pertama kali diperkenalkan sehinggalah ke hari ini, siri AJL ini sudah seakan sebati dengan rakyat Malaysia tak terkecuali, aku. Satu-satunya anugerah di Malaysia yang aku nantikan dan cuba pastikan tidak terlepas siarannya. Namun, itu dulu. Waktu zaman kegemilangan AJL di mana keunikannya bergantung kepada gabungan keseluruhan persembahan AJL itu sendiri. Dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bisa dan virus yang dibawa oleh AJL ini semakin hilang kuasanya.

Aku masih ingat lagi, rancangan Muzik-muzik merupakan salah satu segmen yang tidak akan aku lepaskan selain dari Melodi. Sekarang, kedua-duanya tidak lagi aku layan dan ambil peduli. Adakah kerana cara penyampaian yang kurang mantap atau rancangan ini sudah kehilangan X-faktornya? Entahlah. Aku pun tak dapat mengenalpasti kekurangan yang membuatkan aku jemu melihat dua rancangan ini. Kadang-kadang, aku masih layan juga Melodi. Tetapi Muzik-muzik, dah bertahun rasanya tidak aku ikuti.

Berbalik kepada AJL ke 24. Aku telah membuat ramalan sendiri sebaik saja mengetahui keputusan artis-artis yang bakal berentap di pentas akhir. Ramalanku yang tidak pernah berubah adalah lagu Kau Pergi dan Kau Aku dari Aizat. Selain itu aku juga mengharapkan kemenangan buat Yuna dan Black. Ya, aku pasti ketiga-tiga mereka akan berjaya membolot sesuatu pada malam AJL 24. Rata-rata peminat AJL yang aku jumpa tak setuju kerana masing-masing mahukan Faizal Tahir menang. Bukan aku tak suka lagu Bencinta, tetapi kekuatan lagu Kau Pergi bagiku terletak kepada lirik dan komposisi lagunya yang 'subtle'!

Pada mulanya, aku tidak mahu mengikuti siaran langsung AJL ke 24. Sejak dari mula aku tidak merasa kehangatannya, dan disebabkan itu aku mahu melepaskan saja waktu siarannya. Namun, aku seakan terpengaruh dengan perbincangan rakan-rakan lain di Facebook. Malah, sebelum berlangsungnya AJL 24, macam-macam berita telah disiarkan oleh pihak media yang mengatakan AJL 24 menjanjikan sesuatu yang lain dari lain. Lantas, aku perjudikan kepercayaanku dan menonton juga AJL 24 dari awal sehinggalah menutup tirai.

Sebaik saja selesai menonton, satu soalan yang bermain di kepala.

"Apa yang lainnya? Selain ketiadaan kategori-kategori yang pernah diadakan sebelum ini, apa yang menariknya AJL kali ini?"

Terus terang aku katakan, jangkaan AJL 24 terlalu tinggi. Namun, jangkaan itu tak tercapai dan aku cukup tak berpuas hati. Boleh dikatakan AJL kali ini cuba untuk membangunkan kumpulan India. Bagus, tak salah. Tapi agak berlebihan. Kali ini, AJL menampilkan kelainan dengan mengangkat Juara Lagu terdahulu dengan menyuntik nyanyian berbisa Dato' Siti Nurhaliza dan digandingkan pula dengan Lan, bekas penyanyi utama Meet Uncle Husin. Sekaligus memberi gambaran jelas...." Selamat Datang ke Era Indie," tapi kenapa adanya Dato' Siti di situ? Mungkin strategi AJL. Gimik. Ya, AJL 24 penuh dengan gimik. Gimik tak menjadi!

Tidak seperti tahun-tahun yang lepas, AJL dilihat sebagai platform kepada bukan sahaja barisan artis baru. Malah mengangkat darjat penulis dan komposer sesebuah lagu. Agak janggal apabila tahun ini, AJL 24 lebih menfokuskan kepada para artis sehingga mengaburi tujuan sebenar AJL diadakan. Di harapkan, tujuan sebenar mengiktiraf para pengkarya tidak berkubur begitu sahaja.



Aku tak mahu komen banyak tentang persembahan artis yang bertanding. Ada yang sama dan langsung tak menarik. Mengharapkan seratus peratus penggunaan props dan penari, tetapi kaku dari segi gerak badan sendiri. Aku cukup pelik bila ada penyanyi yang menyampaikan dengan emosi yang tak seiring dengan lagu. Mungkin, itulah kelainan yang dimaksudkan? Satu lagi sebab yang membuatkan aku kecewa adalah camera-work AJL ini kerana jika diperhatikan, lebih cenderung melakukan ekstrem close-up sehingga terlupa bahawa persembahan tarian juga perlu dipertontonkan kepada penonton di rumah.

Persembahan yang ingin sekali aku lihat secara keseluruhan (gerak di pentas!) adalah Stacey, untuk lagu Pakai Buang dan juga Bencinta dari Faizal Tahir. Alangkah bagusnya, kalau kamera dapat menfokuskan gerak tari Stacey yang lincah dan juga sudut yang tepat semasa Faizal Tahir buat gimik di mana dia bertukar dengan Shila. Malangnya, itu tak terjadi. Aku sebagai penonton di rumah, sedih sangat. Tambah pula dengan 'black-out'. Aduh, siaran langsung yang telah menjalani latihan berminggu-minggu pun boleh alami masalah ini? Tapi, tak mengapalah. Gangguan di luar kawalan!



Apa-apa pun, aku perlu nyatakan di sini yang aku terlalu berpuas hati dengan keputusan akhir AJL 24. Jangkaan aku tepat belaka. AJL kali ini antara yang terbaik dari segi keputusan dan kesemua pemenang memang layak menerima penganugerahan. Persembahan lagu Kau Pergi (semasa disampaikan Aizat) meneribitkan kesedihan dan kesayuan ditambah pula dengan kehadiran slide show yang mengiringi persembahan. Black memukau dengan kehebatan suaranya (sama dengan rakaman studio), Yuna yang santai dan Faizal Tahir. Persembahan yang paling aku suka sudah semestinya Kau Aku.



Aku juga mahu mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga pengacara yang berjaya menimbulkan suasana ceria. Kalau sebelum ini aku rasakan, kehadiran Ally tidak diperlukan tetapi pada malam AJL ini, Ally membuktikan dia pun boleh dan layak mengendali acara terbesar ini bersama-sama Faizal Ismail dan juga Cheryl Samad.



* Harap di tahun hadapan, TV3 meneliti fakta dengan lebih tepat. Persembahan finale memang hebat tetapi menghampakan apabila tanda aras tahun 90'-an diketepikan terus dan melompat ke tahun milennium. Tahun 90'-an menyaksikan kemunculan muzik genre rap dan hip hop dan kebanjiran artis sealiran itu tidak boleh diabaikan antaranya KRU, NICO, KOOL, FEMININ, RES'2, 4U2C, POETIC AMMO, TOO PHAT dan banyak lagi. Ingat, mereka ini juga pernah menggegarkan persada seni muzik tanah air dan mengangkat nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku