Lakaran Aku, Aku dan Lakaran?
"Hidup dalam lukisan, di mana warna dan coraknya telah aku pilih" - Aku
Satu perkara yang sudah agak lama aku pahatkan dalam hati dan tidak perlu rasanya untuk orang lain tahu, apakah satu perkara itu. Mungkin, akan tiba juga di satu hari nanti di mana aku dedahkan juga ia. Cuma, ia masih belum sesuai. Aku masih mampu menahan amarah. Dijentik tetapi tidak melatah. Ya, aku sudah banyak belajar dari pengalaman hidup. Allah maha mengasihani. Maka, Dia pinjamkan sedikit lagi kesabaran. Biar diam, tetapi aku tidak mengalah. Aku berjuang, setiap saat dan setiap minit. Yang kalian fikir itu sia-sia, sungguh bermakna untuk aku. Ya, seperti yang aku katakan di awal tadi. Hanya aku yang tahu. Belum. Belum tiba masa untuk aku muntahkan rasa ini.
Dalam kekusutan rasa, masih ada yang berdiri teguh disisi. Tentunya mereka keluargaku. Satu-satunya yang tidak akan melatah apabila dihentak kiri dan kanan. Mereka tahu, siapa aku. Itu sudah cukup. Aku tidak perlu risau untuk berusaha agar manusia manusia lainnya tidak mengerti. Itu aku yang dahulu, takut kehilangan. Aku yang sekarang, tidak takut kehilangan orang yang memang tidak pernah ditakdirkan untuk berada lama dalam perjalanan hidup yang singkat ini.
Abah selalu berpesan, agar aku cari jalan untuk membahagiakan diri. Aku perlu memberi masa untuk diri sendiri. Begitu juga pesan Umi pada aku. Ya, pesan mereka aku patuhi (mungkin kerana itulah nama aku Izan - kepatuhan) dan entah bagaimana, terpanggil untuk meluahkan rasa. Kali ini, bukan lagi dari sudut banjiran perkataan tetapi contengan rasa. Sesekali, aku selangkan ia dengan minat yang dulunya mekar; bermain gitar. Alhamdulillah, sudah boleh memetik beberapa not. Umi sentiasa sudi mendengar petikan gitar yang aku tahu masih sumbang.
"Berlatihlah, jangan berhenti. Kalau selalu main, barulah fasih" Itu kata-kata umi. Permaisuri hati yang tiada ganti.
Abah dan umi tidak pernah lelah menemani. Setiap kali lakaran aku siap, umi dan abah akan cuba mentafsirkan erti disebaliknya. Hahaha.
Bagi aku sendiri, entahlah apa yang harus aku anggap lakaran ini tetapi ia datang seluruhnya dari hati. Setiap kali aku mengabdikan diri melakar rasa di atas helaian putih, hati jadi tenteram dan seolah-olah berangkat ke satu alam yang lain. Begitu juga bila aku menghamba diri seketika menjadi penghibur diri sendiri. Indahnya, tiada siapa dapat beri!