Jika Aku Mampu...

Umi nasihatkan aku jangan senyum watt maksima, nanti tak nampak mata. 
Smiley mewakili diri aku yang sangat HAPPY!

Pertama sekali, alhamdulillah. 

Keduanya, terima kasih. 

Ketiga, insya-allah.

Pertama, alhamdulillah di atas tempoh ujian yang Allah luangkan untukku. Beberapa bulan ini, aku boleh kategorikan sebagai musim dugaan. Sebagaimana, musim bunga, musim mengundi, musim perang dan musim durian (wah, kegemaran aku!)... ha ha ha. Dah mula melalut. Aku percaya, Allah tidak akan menurunkan dugaan tanpa ada alasan di sebaliknya. Alhamdulillah, aku berjaya menjalaninya dengan sabar. Itupun dengan bantuan dan sokongan mereka yang ternyata sentiasa menyayangi aku kerana aku. Bukan ada agenda tersembunyi seperti Maxis, Astro atau apa juga yang pernah memutar-belitkan situasi! Eh... melalut lagi.

Sebenarnya, mahu sahaja aku kongsikan segala pengalaman yang aku tempuh dalam beberapa bulan ini. Namun, ianya lebih elok disimpan rapi. Terpulanglah sama ada ianya membusuk atau kekal dalam belaian angin lembut dan berlalu. Aku kira, ia membuatkan diri bertambah kuat dan semakin rapat dengan Allah subhanawataala. Bulatkan segala-gala dan kembali kepada-Nya. Jangan pernah berpaling dan merujuk manusia lain kerana mereka juga sama seperti kita. Sekali lagi, Alhamdulillah. Musim dugaan itu berlalu juga tetapi diikuti dengan ganjaran kemanisan sebuah kesabaran dan boleh juga aku katakan, ketabahan. 

Hadiah kesabaran diberikan bermula dengan bertambahnya permata di hati; Firzudeen Aqasha dan Mysarah. Subhanallah. Di mataku, Firzudeen Aqasha adalah pejuang. Aku akan berkisah tentang pejuang comel ini di masa akan datang ya. Insya-allah. Mysarah pula penyinar kegelapan. Sekarang, semuanya kembali bersinar dan aku melangkah meninggalkan semuanya tercicir dalam perjalanan masa. Ini diikuti  dengan ganjaran yang diterima ekoran "Arah Lain Ke Syurga" tersenarai antara tele-movie yang berjaya memperoleh merit tertinggi di siaran RTM. Terima kasih kepada mentor aku, Shaharuddin Thamby dan produksinya, Ardwerk. Bermula dari saat itu sehingga ke hari ini, semuanya semakin cerah. Alhamdulillah. Allah tidak pernah lupa akan hamba-Nya yang satu ini. Bak kata abah, selagi kita rapat dengan-Nya, maka Dia sentiasa dalam diri kita.

Mysarah & Firzudeen Aqasha
Keduanya, terima kasih kepada keluargaku yang sentiasa 'memegang' aku dan enggan melepaskan aku hanyut dalam suatu emosi yang ku namakan, kelemahan. Umi, abah, along, ayuz, abang zamri dan juga Firdaus, penampan yang setia. Syukur aku kepada Allah kerana dikelilingi mereka yang menghargai aku. Terima kasih ya. Tidak terbalas dan terucap dengan kata-kata betapa bermaknanya kalian dalam hidupku. Buat permata hati, Miqhail, Mierza, Firzudeen Aqasha dan Mysarah, kalian adalah manisan yang tiada bandingannya untuk angah dalam dunia ini. Sayang semuanya... muah muah muah. 

Mierza... Tiger!!!
Miqhail... The Angry Bird

Terima kasih juga kepada sahabat; Norayshah, Fatimah, Harvinder, Azwa, Roydy, Mardhiah, Jiha, Roshaida, Rose, Debhri dan ramai lagi. Sejujurnya, aku bertuah mengenali kalian dalam hidupku. 

Ketiga, insya-allah, Romibaiduri Zahar akan kembali menulis novel dan alhamdulillah sedang rancak menulis beberapa manuskrip. Shahaini Aizan juga tidak ketinggalan mewarnakan dunia hiburan dengan beberapa lagi naskah drama; tele-movie dan bersiri. Insya-allah juga, aku sedang menapak setapak lagi cuma ianya masih kabur. Sekiranya sudah jelas, akan aku khabarkan perkembangannya.

Inilah aku. Terkini dan terbaru. Semakin gebu, kan? Hahaha
* Jika aku mampu membeli waktu, ingin aku luangkan semuanya demi-Mu ya Allah dan mereka yang sentiasa menghargai dan memerlukan diriku ini. Semoga ketabahan dan imanku kekal, sujud dan terus bersyukur kepada-Mu. Amin.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku