Tatapilah Wajah Mereka...


Aku bersyukur kerana berpeluang
dan dikurniakan kasih sayang Miqhail

Sebenarnya aku gagal menggambarkan dengan kata-kata perasaan ketika ini. Setiap kali menatap wajah mereka, lantas hati ini mengucap syukur kepada-Nya. Benar, anak-anak adalah sesuatu yang terlalu murni, bersih dan suci. Penghibur hati, penyejuk mata dan tak kurang juga pengukur iman. Ya. Melalui merekalah iman diuji, teruji dan adakalanya, iman manusia tersungkur.

Kalau dalam marah, dakaplah mereka. Insya-Allah, segala marah, duka, hampa, sedih dan lara akan hapus, perlahan-lahan. Mereka adalah ciptaan terindah. Tangis mereka adalah lagu paling merdu. Senyuman mereka adalah embun pagi dan bak mutiara yang tidak ternilai harganya. Mereka perlu dibelai, dilindungi, dikasihi dan disayangi. Bukan disakiti atau disepak terajang macam bola!

Bila aku lihat mereka yang sudah terkujur, terbungkus dalam kainkapan. Aku teringatkan Miqhail. Aku pandang padanya. Sumpah, aku takut. Takut untuk menyakiti si pari kecilku. Sekalipun menjentiknya. Kulit mereka bukanlah seperti kita. Tulangnya bukan sekeras kayu jati. Tubuh badannya bukan tempat untuk kita melukis lakaran hati, atau amukan jiwa dan amarah. Badan sekecil itu bukan kain kanvas untuk kita lakar kreativiti!

Aku ingat lagi kisah adik Nurin Jazlin. Tatkala melihat gambarnya, terusik rasa sayu dalam hati. Tidak tahu apa alasannya, tetapi aku lantas teringatkan Ayuz. Setiap kali menatap wajah adik Nurin, aku menangis. Kejamnya manusia. Sanggup dikorbankan anak sekecil itu. Menitis lagi air mata. Dalam hati sempat memanjat syukur alhamdulillah. Ayuz, aku syukur kau selamat selalu. Kau sudah besar. Tiba masa untuk kau melindungi anak-anak kecil pula.

Aku sentiasa berdoa agar 'anjing'
yang menjahanamkan adik Nurin ditimpa nasib serupa!

Ya, aku gagal berhenti menangis. Ditambah pula melihat kehilangan adik Sharlinie yang sehingga hari ini tiada khabar berita. Aku dapat bayangkan perasaan yang dialami keluarga adik Sharlinie. Sedangkan Miqhail hilang beberapa minit dari pandangan (dia suka sangat menyorok) pun naik berderau darah dibuatnya, inikan pula hilang tak balik-balik. Harap keluarga Sharlinie tabah menghadapi ujian.

Aku berharap adik manis ini dilindungi Allah,
di dunia mahupun di akhirat

Terbaru, kes adik Syafiah Humairah. Si kecil yang tua beberapa tahun saja dari Miqhail. Aku dapat bayangkan keletah anak sekecilnya. Seharusnya dia dibiarkan nakal dalam dunianya, bukan dijadikan mangsa deraan. Bukan juga dibiarkan hidup dalam ketakutan. Aku yakin, bukan mereka-mereka ini saja yang hidup menderita. Malah, ada juga yang tidak sempat melihat dunia dan menangis manja.

Tak terbayang dan enggan aku membayangkan keadaan tubuh si kecil ini
diperlakukan lelaki dayus, pengecut yang menjadikan anak kecil comel ini sebagai lawan...

Benar, bercakap lebih mudah. Senang untuk aku katakan, selamatkan nyawa bayi ini. Biarkan dia hidup. Tapi bagi si ibu yang melahirkan tanpa mengenal siapa ayah kandung anaknya, pasti tidak tertanggung aib yang bakal dipikulnya kelak? Kenapa tidak difikirkan hal itu semasa kau melakukan zina? Seronok bukan? Bersetubuh, melekat sampai tak boleh disekat. Bahananya, diri sendiri yang menanggung. Mana jantan jahanam yang seronok menikmati tubuh yang sepatutnya dijaga seperti tempat suci itu? Sudahnya kau menanggung sendiri! Dosa demi dosa kau lakukan. Dan dosa yang paling besar, kau membunuh nyawa. Nyawa yang tidak berdosa.

Apakah dosa bayi ini yang dirampas haknya untuk hidup?

Ya, Allah. Berbaloikah Kau wujudkan keampunan untuk orang begini?
Ya, Allah. Kau lindungilah anak-anak ini.
Ya, Allah. Kau lindungilah aku dari perkara-perkara ini.

Sesungguhnya, anak-anak ini akan bersemadi dan kekal di syurgawi. Tapi, haruskah ditamatkan nyawa mereka sebegini? Kenapa manusia ingin menjadi binatang? Sedangkan binatang tahu menyayangi anaknya, inikan pula manusia yang lebih kejam dari binatang. Manusia begini lebih celaka, sial dan terlalu bangsat! Menjadikan anak-anak sebagai pelepas kemarahan. Pengecut dan tidak layak berjalan megah di muka bumi ini. Sia-sia benihmu terpilih sebagai khalifah di dunia. Sudahnya engkau yang menghancurkan dan membinasa nyawa yang tidak pernah berdosa!

* Pelik dan aneh sekali ragam manusia. Ada yang tidak pernah berhenti sujud pada Allah memohon dikurniakan zuriat. Ada juga yang dikurniakan anugerah zuriat tanpa berdoa tapi senang-senang membuang dan menamatkan riwayatnya.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku