Monday, September 30, 2013

Di Kampung Pengantin... 30 Julai!

Wah, pasti ada yang agak terkejut apabila melihat tajuk entri kali ini. Apa pula si Minah seorang ini buat di Kampung Pengantin? Hai, kalau dah namanya pun 'Kampung Pengantin', sudah tentulah ia tentang majlis meraikan kemeriahan dan mendoakan perkara yang baik-baik sahaja. Bersesuaianlah dengan lokasinya, betul tak?

Laluan karpet merah, bagai Puteri Diana pula? Hahaha
Memang betullah tu. Sepatutnya inilah lokasi yang sangat sesuai untuk majlis resepsi perkahwinan diadakan. Kalau mengikutkan perancangan, ini jugalah antara lokasi yang pernah tersenarai untuk majlis resepsi perkahwinan aku! Hmm. Namun begitu, entri ini tidak ada kena mengena dengan majlis resepsi sesiapa melainkan inilah tempat di mana kami sekeluarga iftar bersama-sama. Hahaha... terkejut tak?

Pemandangan yang indah...
Isi dalam Kmpung Pengantin
Sangat luas...
Majlis berbuka puasa (iftar) ini diadakan pada bulan Ramadan yang lalu. Bukan aku sengaja mahu mengisikannya sekarang. Kalau diikutkan, aku memang tidak mahu mengisi gambar-gambar ketika ifter tempoh hari di sini. Satunya; aku dah pernah berjanji pada seseorang yang tidak akan muatnaik gambar aku di mana-mana dan keduanya; berat badan aku bertambah. Lihat sahaja pipi yang kian menggebu dalam gambar-gambar di bawah. (Sayangnya, tidak banyak gambar yang diambil kerana masing-masing lebih memberikan tumpuan terhadap hidangan makanan. Maklumlah, lapar!!! Hehehe)

Miqhail, sempat main-main mata! Along teruskan meneguk air...
Mierza, sentiasa tekun dengan makanannya...
Aik, pose aje? Tak makanke?
Dan dia tersedar....
"Edap" - Mierza!
Eh, tapi itu dulu. Sekarang alhamdulillah, sudah ada penurunan. Terima kasih kepada jurulatih persendirian yang berkongsi tips-tips untuk senaman yang sihat. Agak seksa juga, setiap hari perlu menjalani senaman berat; 160 kali crunches dan 50 push ups. Hehehe... percayalah, sangat berbaloi! Tambah dia lagi, agen turun berat badan di pasaran memang memberikan hasil yang pantas tetapi tidak selamat. Senang turun, senang juga naik semula. Lebih elok, amalkan diet seimbang dan senaman berat, walaupun lebih lama tetapi hasilnya insya-allah, berkekalan (selagi sentiasa mengamalkannya)

Tak percaya? Bulat sungguh pipi-pipi kami - Abah, umi, Mysarah & aku
Famili 'photogenic'
Antara tetamu yang hadir...
Baiklah, kembali semula kepada kisah iftar di Kampung Pengantin. Sebagaimana berbaloinya senaman berat tadi, Kampung Pengantin ini juga sangat berbaloi sebagai destinasi berbuka puasa. Pelbagai kemudahan disediakan termasuklah tempat parkir kereta, gerai-gerai makanan dan pakaian serta hidangan yang cukup menyelerakan. Apa-apapun, destinasi atau lokasi bukanlah perkara penting sebaliknya, menikmati suasana berbuka puasa bersama-sama keluarga adalah yang paling indah. Tidak kiralah di mana juga tempatnya. Setuju?

* kepada sesiapa yang berminat untuk menggunakan perkhidmatan Kampung Pengantin, sangat dialu-alukan. Secara jujurnya, ia memang sangat sesuai tetapi bagi aku pula, cukuplah sekadar tempat makan-makan kerana aku sudah ada pilihan sendiri untuk memgadakan majlis resepsi kelak. Nak tahu di mana? Tunggu... HAHAHAHA.

Monday, September 23, 2013

ALASAN

Mari belajar atau fahami erti perkataan ALASAN.

1. asas, dasar: kepentingan bersama adalah ~ utk menubuhkan suatu parti;
2. sesuatu (bukti, keterangan, dll) yg dijadikan asas atau dasar bagi sesuatu (tindakan, pen­dapat, dll), sebab: apa ~ ia bertindak demi­kian?; jawatankuasa itu mempunyai ~ utk membuat keputusan itu;
3. yg dijadikan sbg alas: jalankan jentera di tengah-tengah kayu ~;

Maksud di atas aku ambil dari Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka. Apa pula maksud lain kepada alasan yang sewaktu dibangku sekolah atau ketika menuntut di IPT dahulu, kita seringkali dimarah kerana memberi ALASAN. 

Aku pasti, ada ramai antara kalian yang pernah ditemukan ayat ini.

"Aku benci orang yang banyak alasan..."
"Jangan beri alasan!"
"Orang yang gagal adalah mereka yang sering memberikan pelbagai alasan"

Imej dari blog Komik Muslimah

Jadi, apabila aku merujuk perkataan 'dalih' ini pula yang aku jumpa.

dalih : alasan; helah: Jangan suka membuat ~ yg tidak munasabah. berdalih mencari alasan atau membuat helah (utk menyembunyikan sesuatu): Apabila ditanyai oleh emaknya mengapa ia balik lambat ia ~ bahawa gurunya menahan dia. mendalihkan mengemukakan (mengatakan) sesuatu sbg alasan atau helah: Dia ~ bahawa emaknya tidak pernah memberi dia wang belanja.

Sekarang, pasti ada yang tertanya-tanya. Apakah alasan aku untuk berbicara tentang ALASAN. Disebabkan kepala otak aku letih, jadi lebih baik kita terus kepada perkara yang sebenar. Di sini aku senaraikan dan kalian tafsirlah sendiri dengan ketajaman minda. Tak perlu minda yang tajam pun, kalian masih boleh berfikir ALASAN disebalik terbinanya entri hari ini.

Situasi
Harga minyak naik
Alasan
Kurangkan beban rakyat

Situasi
Harga gula naik
Alasan
Bantu kurangkan diabetes

Jadi, mereka hanya perlukan alasan untuk berbuat sesuatu. Benar bukan? Mungkin selepas ini...

Situasi
Tarif elektrik naik
Alasan
Kurangkan penggunaan elektrik

Situasi
Bil air naik
Alasan
Kurangkan pembaziran air

Situasi
Harga tol naik
Alasan
Menjana ekonomi?

* terfikir semula kepada mereka-mereka yang sering menggunakan ayat, "jangan beri alasan" kerana hakikatnya, mereka juga adalah sebahagian dari golongan yang lebih banyak memberikan alasan!

Friday, September 20, 2013

Potret Famili...Syawal 1434

Memang sudah terlewat untuk mengemaskini blog dengan memuatnaik gambar-gambar atau peristiwa yang berlaku di sepanjang Syawal yang lalu, tetapi ia bukanlah satu masalah yang besar. Satunya kerana, tiada pantauan pun yang dibuat atau ruang ini bukan dibeli oleh mana-mana pihak untuk membacanya saban hari, betul tak? Lainlah kalau blog ini ruang berbayar, jadi seharusnya aku membekalkan entri terbaru, mengikut tarikh terkini. Ya, aku tahu itu.

Bukan aku sengaja untuk melewat-lewatkan tetapi ada perkara lain yang harus diselesaikan. Tambahan pula, baru sahaja dua hari lepas berhadapan dengan masalah cubaan menggodam salah satu dari akaun laman sosial milik aku. Peliknya, kenapa akaun milik aku yang mahu digodam? Aku bukan sesiapa dan semestinya tidak pernah teringin pun hendak mencari publisiti dan terkenal dalam sekelip mata. 

Bayangkan kalau si penggodam berjaya menggodam akaun aku; kalau dibuatnya entah apa-apa yang dikemaskini di situ, nama aku juga yang terpalit sama ada baik mahupun buruk! Oh tidak, aku tak perlukan semua itu dan sangat selesa dengan apa juga keadaan sekarang ini. Kepada si penggodam, tolonglah godam akaun selebriti atau sesiapa sahaja tetapi bukan akaun milik aku. Terima kasih...

Syawal tahun ini adalah salah satu Syawal paling indah. Satu; inilah kali pertama sejak beberapa tahun lalu seluruh ahli keluarga berkumpul. Keduanya; kehadiran ahli-ahli baru (dua orang kesemuanya walaupun pada perancangan awal sepatutnya tiga; manusia merancang dan Allah yang menentukan). Ketiganya pula, kami sekeluarga menghabiskan cuti Aidilfitri dengan berlibur di Bukit Merah Lake Town Resort. Tentang percutian itu, akan aku kongsikan dalam entri yang lain. Kenapa? Panjang ceritanya! Hahaha...

Dimulakan kira-kira sejak lebih sepuluh tahun, sesi fotografi setiap aidilfitri sudah menjadi satu acara wajib untuk keluarga Zahar. Tidak kiralah bila waktu ianya diambil; sama ada satu syawal, seminggu syawal atau sebelum Syawal berganjak yang penting mesti ada satu! Tradisi ini diteruskan lagi, kali ini lebih meriah. Selesai sahaja solat sunat Aidilfitri dan menjamu makan pagi bersama-sama, berhimpunlah kami sekeluarga. Satu lagi tradisi yang telah diamalkan sejak arwah wan (Halimah) masih hidup dahulu. 

Berkat kemenangan syawal dan kesuciannya, sesi bermaafan-maafan inilah yang menggugurkan segala ego dan hanya haruman kasih sayang memenuhi segenap ruang. Kalau boleh, biarlah Syawal ini berterusan sampai bila-bila. 

Selesai sesi bermaaf-maafan, masing-masing bersedia mengemas barang ke dalam kereta untuk meninggalkan sementara mahligai tercinta dan mudik ke Perak. Seperti yang dikatakan tadi, destinasi kali ini di Bukit Merah tetapi Along dan keluarganya pulang ke Kampung di Taiping. Ya, perancangan bijak Along. Kami pun tidaklah berpisah di hari raya, malah dapat beristirehat lagi! Wah wah wah, perancangan yang sangat bijak mengalahkan agen OSO!

Sebelum meneruskan perjalanan ke Perak, kami sekeluarga singgah di Bandar Country Home untuk melaksanakan tanggungjawab dan tradisi keluarga; sesi fotografi untuk mengabadikan potret famili Syawal kali ini. Disebabkan kesuntukan masa, Oscar menjadi pilihan terakhir kerana lazimnya Mann's Photo House di Bandar Baru Selayang saban tahun. Mungkin, bukan kerana faktor masa sebaliknya ada isu tentang potret famili terakhir yang diambil di sana. Kualitinya tidak menepati kebiasaan. Jadi, Oscar diberikan peluang untuk menyerlah. Ewah!

Kebetulan sewaktu tiba di Oscar, masih ramai yang berkunjungan dan menziarahi ahli keluarga masing-masing yang telah menetap di tanah perkuburan berhampiran. Namun begitu, kami terpaksa menunggu giliran yang agak panjang apabila sudah ramai yang datang lebih awal untuk merakamkan gambar bersama keluarga tercinta. Ah, seronoknya.

Apabila tiba pula giliran keluarga kami, ia bukanlah sesuatu yang mudah. Maklumlah, dengan kehadiran anak-anak kecil yang punya kerenah tersendiri. Ambil masa yang agak lama juga, terutamanya untuk menarik perhatian Miqhail ke lensa kamera, memujuk Mierza yang cepat tersentuh dan menenangkan Aqasha yang tidak boleh berenggang dengan Baba dan Bondanya. Tampil tenang hanyalah Mysarah seorang, si bunga yang garang tapi sentiasa bersedia dirakam. Setelah beberapa kali percubaan, akhirnya berjaya juga si jurugambar merakam gambar kami sefamili.

Jadi, tidak perlulah aku bercerita panjang (eh, bukan dah panjang ke?) Inilah hasil dari sesi fotografi Aidilfitri 2013. Mungkin, hanya ada satu sahaja rungutan kepada pihak Oscar; tidak perlulah ditambah solekan ke wajah kami dan menghilangkan garis-garis tua. Potret famili ini untuk kami hayati sepanjang zaman, lebih bermakna jika ia dibiarkan asli seperti asal tanpa perlu dipercantikan!

Potret Famili Syawal 1434...terpampang di dinding rumah!

Gambar ini tak terpilih sebab, butang baju seseorang terbuka... hehehe
Miqhail, dalam agendanya merosakkan gambar...

Dah comel masing-masing, tapi Mierza... aduhai!
Ini pun dah kira ok, cuma muka masing-masing garang sangat kecuali Mysarah!
* wajah umi tampak seperti Delimawati (Hantu Kak Limah Balik Rumah) walhal yang sebenarnya, dia langsung tidak kelihatan seperti kak Limah. Kami dua beradik (Along dan aku), tidak mengenakan sebarang solekan tapi yang pastinya, bulu mata aku memang lentik. Kening aje yang tak tebal. Itu semua hasil kerja kreatif pihak OSCAR. Harap maklum.

Wednesday, September 4, 2013

Harga RON95 NAIK...

Ahad lepas, waktu aku ingin mengisi minyak di Petronas sekitar 10:45 malam setelah seharian berkampung dalam kereta pulang dari Teluk Danga Johor, sejumlah 8 pam untuk RON95 telah ditutup kerana kehabisan stok. Yang dibuka hanya satu pam; diesel dan RON97. Nak tak nak, aku terpaksa mengisi tangki Lolly yang dua hari kekeringan sebab direhatkan sepanjang kami sekeluarga ke Johor Bharu ber'rumba'! Oh ya, kisah rumba-rumba tu akan diisi kemudian. Kenapa? Tak ada cukup masa memilih dan edit gambar-gambar yang sangat indah. He he he...


Barisan pengguna yang ingin membayar di kaunter memanjang dan aku tertangkap sepotong ayat salah seorang penunggang motosikal.

A : Baru kejap tadi aku tengok semua pam kosong, takde pun kon tu! Takkan sekelip mata boleh habis?

B : Harga minyak nak naik kot...

Perkara yang sama aku tanya pada abah tapi, tak pula kami mendengar desas-desus tentang harga petrol bakal naik. Petang Isnin, aku ceritakan pada Ayshah, teman sejiwa. Dia pun tak cakap apa-apa tentang harga petrol nak naik. Cuma katanya, mungkin benar-benar stesen minyak tu dah kehabisan stok. Jawapan dari Ayshah sekaligus meyakinkan bahawa, aku masih belum ketinggalan apa-apa berita penting di Malaysia. Namun semuanya berubah apabila abang Zamri balik dan...

Zamri : Petrol semua habis kat stesen Petronas...orang pula ramai nak isi minyak sebab esok harga naik.

Umi : Hmm, betullah Izan umi jangkakan semalam. Stesen tu tutup pam awal sebab harga minyak nak naik. 

Aku: Naik??? 

Zamri : 20 sen...

Entah kenapa, aku yang sepatutnya keluar mengisi minyak malam itu enggan berbuat demikian. Walaupun tangki Lolly hanya ada sedikit petrol yang berbaki. Malas nak fikirkan keadaan di stesen minyak. Lebih baik aku isi, pagi esok. Aman dan memang dah tentu harga naik pun!

Pagi Selasa, sesak teruk sebaik Lolly tiba di persimpangan hospital Sg Buloh. Tiba seawal pukul 8.00 pagi, melarat hingga 8:30 bertemankan aras petrol yang nazak. Alhamdulillah, sempat tiba di stesen Petron. Sengaja aku isi RM30 untuk melihat, banyak mana yang terisi dalam tangki. RM30 = 14.85 liter. Setengah pun tak sampai. Haih, apa boleh buat. Senyum tak perlu kata apa-apa. Malam itu, setibanya Along yang baru pulang dari pejabatnya di Kota Damansara...

Along: Harga nasi lemak dah naik, nasi makin sikit.

Aku: Aku tunggu harga tol, gula, ikan, ayam naik...

Along: Tapi, rakyat dapat lebih duit untuk BR1M nanti.

Aku: Petrol semua orang guna, BR1M tu semua dapat?

Abah: Izan, jangan cakap ikut emosi sebab takkan ubah apa-apa. Dah tanggungjawab kita, ikutlah apa yang kerajaan buat. Yang penting, akhirat nanti. Menjawablah...

Aku dan Along : ...

* sebagai anak yang baik, aku akur pesan abah. Naiklah berapa banyak pun, waima RM20 seliter pun kami tidak akan persoalkan. Minyak, tol, makanan dan apa juga yang perlu dinaikkan. Kami akan berusaha lebih baik menderma untuk ekonomi dan langsaikan bebanan hutang kerajaan Malaysia. Itu tanggungjawab setiap warga Malaysia yang nak duduk lama di Malaysia. Malaysia Aman!