Saturday, April 27, 2013

Genap 4 Tahun...


Wah, sudah 4 tahun!
Tanggal 27 April yang lalu, maka genaplah usia aku empat tahun berkhidmat di sebuah syarikat penerbitan sebagai seorang editor. Pelbagai kenangan berjaya aku kutip di sini. Pahit, manis, masam, masin dan tawar, semuanya ada. 

Kebetulan pula, ulangtahun ke-empat perkhidmatan di sini adalah beberapa hari awal sebelum sambutan Hari Buruh. Seronok juga, terasa-rasa diri diraikan. Sepanjang empat tahun ini, tidak aku nafikan yang ada beberapa kali percubaan untuk aku menukar angin. Mungkin, jodoh aku seakan kuat dan serasi di sini. Walaupun ada beberapa tawaran diterima tetapi aku masih belum sedia terbang meninggalkan kawasan Kepong ini.

Teks pertama suntingan aku (sebahagian)
Teks pertama nukilan aku (sebahagian)
Pernah ada badai melanda, menguji tahap kesabaran. Alhamdulillah, semua itu berlalu dan aku berjaya mengharunginya dengan tenang. Sebagaimana yang seringkali aku katakan, kesabaran itu pasti akan ada kemanisannya. Sekadar bergaduh, berbeza pendapat, tercabar keegoan itu perkara biasa yang berlaku di mana-mana sahaja. Takkanlah kerana semua itu membuatkan kita mudah melatah dan terus bertukar tempat kerja. Belum pasti lagi di tempat lain, perkara sama tidak akan terjadi. Betul tak? Bersabar sahajalah. Itu yang paling penting. Berharap hati, jiwa dan semangatku akan terus kekal di sini. 

Terbaru (sebahagian)
* Rakan sekerja sibuk bertanya, ganjaran apa yang aku mahukan dari majikan sekiranya sudah berkhidmat selama 5 tahun. Jawabku, "tunggu dulu, dalam setahun macam-macam boleh terjadi!" Hahahaha.

Friday, April 26, 2013

Youtube Talents?

Barangkali, ini entri terakhir untuk minggu ini dan mungkin juga yang terakhir untuk bulan April sebelum Hari Buruh dan Hari Pilihanraya. Kalau tak silap, lama juga aku tak isikan entri penuh dalam blog kesayangan hatiku. Satu sebabnya, masa tidak mencukupi khususnya ketika di pejabat. Di rumah pula, banyak tugasan.

Kalau diikutkan hati, terlalu banyak perkara yang mahu aku kongsikan. Terlalu banyak benda nak cerita tetapi terlalu sedikit masa. Aku percaya, semuanya pasti akan tertera juga di ruang ini, di suatu hari nanti. Insya-allah.

Hari ini aku nak menyentuh tentang penangan Youtube. Kalian ada akaun youtube? Pasti ramai antara pembaca dan yang merewang-rewang di laman internet ini mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun termasuklah aku. Cuma aku tak rasa ia perlu dikongsikan di sini kerana ia tidak ada kaitan atau sangkut-menyangkut pun. 


Aku adalah salah seorang penagih YOUTUBE!

Setakat hari ini, aku pernah mempunyai dua akaun youtube dalam satu masa. Akaun yang pertama, didaftarkan pada lewat 2005, manakala akaun yang kedua pada awal tahun 2009. Hah, jangan tak tahu, aku adalah antara orang yang terawal punya akaun youtube. Sebelum itu, kalian tahu tak sejak bila youtube mula dibangunkan di ruang internet?

Youtube mula dibangunkan pada Februari 2005. Sekitar 2005 aku masih lagi seorang pelajar dan sering menggunakan internet sebagai ruang melepaskan tekanan. Tekanan tugasan kuliah yang terlalu banyak. Dalam masa inilah, aku gunakan kesempatan membuat video, drama mini dan parodi antara aku dan kawan-kawan. Aku juga masih ingat, beberapa youtuber menganjurkan pertandingan membuat video. Aku ditawarkan menyertai pertandingan tersebut tetapi disebabkan kekangan masa, aku menolak. Lagipun, tujuan aku menyertai youtube sekadar suka-suka. Video, drama mini dan parodi kawan-kawan yang dibuat pun sekadar suka-suka. Akaun ini juga pernah digunakan untuk promosi novel pertama aku; Rindu Pada Matahari. Kalaulah ada yang masih ingat! Hahaha.

Akaun kedua pula dibangunkan lebih bersikap peribadi; tentang apa yang aku suka. Berbeza dengan akaun pertama, akaun kedua ini langsung tidak memaparkan aku, apatah lagi kawan-kawan. Ia lebih kepada, apa yang mahu aku perlihatkan kepada youtuber dan bukannya siapa di belakang video. Faham? Alhamdulillah, akaun kedua ini ada juga sambutan tetapi tidaklah semeriah yang pertama. Aku nyahaktifkan akaun pertama secara kekal pada tahun 2010 kerana mahu menumpukan hanya pada satu akaun; akaun kedua (masih enggan berkongsikan namanya! Hahaha)

Apabila melihat fenomena yang mampu dicetuskan Youtube, teringat kembali waktu 'sawan' aku dulu. Tak mungkin aku boleh ulangi kembali waktu itu semestinya kerana tugasan dan tanggungjawab yang semakin bertambah. Namun, bukanlah pula bermaksud aku tidak buat langsung. Ada, tetapi tidak lagi aktif seperti dahulu.

Tidak dinafikan, memang terlalu banyak youtuber/vlogger yang sangat berbakat boleh ditemui dengan pelbagai ragam dan tampil sangat kreatif. Ada antara mereka berjaya membuatkan aku 'ketagih' dan sentiasa menunggu aktiviti terkini mereka. Video-video inilah jadi peneman ketika aku di pejabat, membuat kerja! Jangan salah faham ya, aku tak menonton sebaliknya hanya mendengar dengan menggunakan fon-telinga.

Antara youtube (vlogger) yang berjaya membuatkan aku menjadi peminat mereka, semestinya Mat Luthfi (matluthfi90), Mr.Bie (vitaminbie), Adibah Awg (adibahwg), Yousef Erakat (fouseytube) dan S.R. Bros Entertainment (S.R.brosEntertainment)

Jujurnya, pada pendapat aku, mereka ada cara tersendiri untuk menyampaikan sesuatu. Walaupun penyampaian (secara keseluruhan) santai dan lucu tetapi apa yang diperkatakan mereka sangat tepat dengan apa yang sedang berlaku ketika ini.

Kepada sesiapa yang masih mencari hiburan (tetapi bermakna) aku mengesyorkan agar, cuba-cubalah jengok youtube/vlogger yang aku senaraikan tadi. Berhibur tak salah tetapi kena tahu juga yang mana boleh membawa kita ke arah lara! Bahaya tu. Cukup-cukuplah melayan parodi kosong setakat penuhkan gelak tetapi tiada apa-apa pengisian di sebaliknya. Boleh? Kalau tak boleh pun, tak jadi salah. Aku cuma menegur dan menasihati. Ok? Daaa....

Di sini disenaraikan antara video youtuber / vlogger tadi yang sangat aku minat!
 

1) Yousef Erakat - Fouseytube ; Blame The Terrorists



2) S.R. Bros Entertainment - S.R.brosEntertainment ; Lets go pray now(Look at me now parody)



3) Mr.Bie - Vitaminbie ; Sonata Seorang Kekasih | Sonata Muslim Salju (Cover)



4)  Mat Luthfi - Matluthfi90; Rokok dan Kopiah



5) Adibah Awang - Adibah Awg: To Advise, or Not To Advise.


 
* teringin nak buat satu akaun khas untuk perkara gila-gila yang bukan gila! Hahaha... 

Thursday, April 25, 2013

Biarlah ringkas tetapi...

Hari ini juga seperti semalam, tetap sibuk. Kejar, mengejar dan dikejar. Di tengah-tengah kesibukan, sempat juga aku membelek peti e-mel. Seronok juga melayan kerana boleh mengembara sedunia hanya dengan menggunakan hujung jari. 

Satu e-mel membuatkan aku teringin sangat untuk kongsikan bersama.

Agak-agak, kalian tahukah apakah ini? Ya, ianya adalah bendera. Bendera Mauritius. Kenapa aku teringin sangat nak letak dalam satu entri? Benderanya tampil ringkas berbanding bendera negara-negara lain. Betul tak?



* sekadar berkongsi dan menumpahkan rasa. Hehehe. Dalam sibuk melaksanakan tugas tu, elok-eloklah buat yang bersederhana mengikut kapasiti minda masing-masing. Jangan gah dek kerana sibuk meniru hasil kerja orang lain. Faham tak? Kalau tak faham, tak mengapa. Tak berdosa pun!

Wednesday, April 24, 2013

Try!

My song of the day!



Few days ago, I was watching The Voice Season 4 and instantly fall in love with this song! Just got to know, the original singer is Pink (my favorite). The strength lies in the lyrics (specially the highlighted verse) and  mixed well with the composition. What makes it even better; Pink's voice. She bring the perfect emotion to this flawless song. Salute! Anyway, Amber was good too!

I keep repeating this song and almost rapped the repeat button! Sorry Baby Boo (Blackberry) 

Here's the lyrics and the video, just in case if you wanna listen to the song! Enjoy...



Try...
(Busbee,Ben West)
Ever wonder about what he's doing
How it all turned to lies
Sometimes I think that it's better to never ask why

Where there is desire
There is gonna be a flame
Where there is a flame
Someone's bound to get burned
But just because it burns
Doesn't mean you're gonna die
You've gotta get up and try, and try, and try
Gotta get up and try, and try, and try
You gotta get up and try, and try, and try

Eh, eh, eh

Funny how the heart can be deceiving
More than just a couple times
Why do we fall in love so easy?
Even when it's not right

Where there is desire
There is gonna be a flame
Where there is a flame
Someone's bound to get burned
But just because it burns
Doesn't mean you're gonna die
You've gotta get up and try, and try, and try
Gotta get up and try, and try, and try
You gotta get up and try, and try, and try

Ever worry that it might be ruined
And does it make you wanna cry?
When you're out there doing what you're doing
Are you just getting by?
Tell me are you just getting by, by, by

Where there is desire
There is gonna be a flame
Where there is a flame
Someone's bound to get burned
But just because it burns
Doesn't mean you're gonna die
You've gotta get up and try, and try, and try
Gotta get up and try, and try, and try
You gotta get up and try, and try, and try
Gotta get up and try, and try, and try
Gotta get up and try, and try, and try
You gotta get up and try, and try, and try
Gotta get up and try, and try, and try

You gotta get up and try, and try, and try
Gotta get up and try, and try, and try

 * So little time, can't updated entree on new topic. Insya-allah, try to do so, later.

Monday, April 22, 2013

Sinis Isnin...

Sebagaimana kebiasaannya, Isnin hari paling 'moody'! Itu bukan aku yang cakap, orang terdahulu yang cakap. Sejak zaman sekolah, tak habis-habis ayat itu yang cikgu ucapkan di tapak perhimpunan tak kurang juga dalam kelas.

"Saya tahu, hari ini Isni... tapi kalau berdiri tu, tolonglah betul-betul!" - Di Tapak Perhimpunan

"Jangan buat muka sayu je, hantar kerja rumah sekarang! Buku laporan hujung minggu, dah isi? Hari ini kan hari Isnin, cepat hantar!" - Dalam Bilik Darjah.

Apa masalahnya dengan hari Isnin? Aku rasa biasa je. 

Disebabkan hari Isnin, pagi-pagi lagi aku dah keluar rumah. Tak nak sampai lewat ke tempat kerja. Kenapa keluar awal? Haih, ini kan hari Isnin. Orang ramai yang datang kerja. Masing-masing sibuk datang awal. Lainlah hari Jumaat. Ramai yang memonteng (cuti). Hehehe.

Memandangkan hari ini Isnin, sudah tentu jalan pun sesak. Sempatlah mata memandang ke kiri dan kanan. Asyik memandang, mata aku tertangkap pemandangan ini. Menarik sekali. Terlintas di minda tentang satu perkara. Hmm.

Kalian pula, bagaimana? Apa yang boleh kalian baca?

Terpenjara atau dipenjara? Hmm.
* adakalanya, gambar sudah mampu membikin cerita. Terpulang kepada mata yang memandang untuk menilai ke arah mana cerita bermula dan berakhir!

Thursday, April 18, 2013

Penyakit Saraf ; Satu Perkongsian

Akhir-akhir ini, ditemukan dengan beberapa artikel dan kejadian tentang penyakit yang tidak pernah aku tahu kewujudannya tetapi ia ada. Terkadang, tidak pernah terfikir pun boleh ada penyakit sebegitu. Mungkin ia kedengaran pelik dan membuatkan kita bertanya, kenapa perlu ada penyakit seperti itu? 

sakit saraf yang terpaksa ditanggung
Buat seketika kita terlupa, pertanyaan itu seolah-olah menafikan kebesaran Allah kerana apa juga yang terjadi adalah di atas kehendaknya. Dia Maha Kuasa dan punya sebab untuk menjadikan sesuatu apatah lagi, mewujudkan sesuatu penyakit. Maha suci Allah, setiap penyakit yang diwujudkan didatangkan pula dengan penyelesaian. 

Benar, ada penyakit yang masih belum ditemui penawarnya tetapi bukan bermaksud tiada. Secara tidak langsung, ia menunjukkan bahawa manusia (khususnya golongan pakar perubatan) perlu mendalami dan mencarinya sehingga bertemu penyelesaian. Insya-allah, ada.

Kali ini, aku ingin kongsikan tentang penyakit saraf. Kenapa penyakit saraf? Seperti yang aku sebut di awal entri tadi, artikel dan kejadian yang melibatkan saraf ini kerap kali aku temui sejak kebelakangan ini. Baiklah, mungkin ramai yang tidak ambil peduli kerana beranggapan, mustahil terdedah kepada penyakit yang melibatkan saraf dan merasakan mereka sudah cukup dengan pelbagai amalan kesihatan. 

Percayalah, kalau Allah mahu menguji hamba-Nya, sesiapa juga boleh menghidapinya. Tidak kiralah sudah cukup persediaan atau sentiasa mengamalkan hidup yang sihat. Hidup adalah ujian. Kalau bukan hari ini, esok lusa pasti ada!

Pertama kali aku mengetahui tentang sakit saraf ini, beberapa tahun lepas. Salah seorang ibu kepada kenalanku disahkan diserang penyakit saraf dan sehingga kini harus mengambil ubat untuk mengelakkan kejadian buruk berlaku. Kalau tak salah, ubat yang diambil pula dari jenis dadah steroid. Jangan pula terkejut, ia sejenis dadah yang mengubati kalau diambil mengikut dos yang ditetapkan. Kalau berlebihan, boleh membahayakan.

Dua tahun lalu pula, terserempak pula dengan sejenis lagi penyakit saraf tetapi jauh lebih komplek dari sebelum ini. Penyakit saraf yang dikenali sebagai 'Penyakit Bunuh Diri (Suicide Disease) atau dalam bahasa kedoktoran pula disebut sebagai Trigeminal Neuralgia (TN / TGN). Penyakit saraf TN aku ketahui ekoran liputan meluas setelah Salman Khan didiagnos dengan penyakit ini.

Tidak ramai yang tahu tetapi setiap kali kemunculannya di rancangan televisyen pasti akan dapat menyaksikan Salman kerap memegang sebelah bahagian wajah dan ada ketika, bermasalah untuk bertutur atau mengambil masa menghabiskan ayat.

Menurut hebahan maklumat di internet serta pengalaman yang dikongsikan Salman sendiri, pesakit akan menerima serangan seperti renjatan elektrik di sekitar bahagian mata, pipi dan juga bahagian dagu. Kebanyakan pesakit yang tidak dapat menahan serangan (45 - 60 saat sekali) cenderung untuk membunuh diri dengan menghempas bahagian muka (yang terlibat) ke dinding. 

Penyakit ini juga dikatakan, mengganggu kehidupan rutin pesakit ini termasuklah tidak boleh mencuci muka (menggalakan serangan berlaku), sukar mengunyah, minum, makan malah tidak boleh ketawa, bertutur dan senyum. 

Salah satu wawancara antara Rajeev Masand dan Salman Khan. Di mana boleh dilihat dengan jelas bagaimana TN menyerang pesakitnya (pertuturan tidak teratur dan memegang pipi serta mata). Paling ketara di minit 5:22.




Wawancara bersama Kareena Kapoor. (Serangan TGN berlaku pada minit ke 5:54!)
 
 

Serangan TGN
Menurut pembacaan aku di wikipedia, simptom awal penyakit TGN ini adalah renjatan seakan kejutan elektrik di sekitar bahagian muka. Seringkali berlaku ke atas golongan lelaki awal 50-an namun ada juga kes yang melibatkan serangan ini berlaku kepada kanak-kanak berusia seawal 3 tahun.

Selain dari penyakit TGN ini, aku turut bertemu dengan satu lagi penyakit yang melibatkan saraf. Mirip penyakit TGN kerana ia juga melibatkan sebahagian wajah pesakit. Penyakit yang dimaksudkan ialah Palsi Bell.

Sebagaimana aku mendapat input tentang penyakit TGN tadi, informasi tentang Palsi Bell turut aku perolehi dari carian di Google dan Wikipedia. Berikut adalah petikan artikel yang aku temui dari laman Sioloon.com.

Cuma perlu pastikan masalah kelumpuhan bukan disebabkan angin ahmar
(Oleh Hafizah Iszahanid)

BUKAN semua masalah kelumpuhan saraf muka (facial nerve paralysis) disebabkan serangan angin ahmar. Ada kalanya, ia disebabkan jangkitan penyakit (seperti masalah bell palsi) atau komplikasi pembedahan.

Ketua Jabatan Oral dan Pembedahan Maksilofasial, Universiti Malaya (UM), Prof Dr Zainal Ariff Abdul Rahman, berkata serangan angin ahmar adalah satu daripada punca kelumpuhan itu.

Dr Zainal Ariff berkata, kelumpuhan saraf muka bermaksud lumpuhnya struktur saraf pada muka kerana di bawah kulit, laluan saraf muka adalah panjang dan berbelit-belit. Justeru, ia sensitif dan banyak faktor yang boleh menyebabkan kelumpuhan saraf muka terjadi.

"Saraf pada muka membolehkan seseorang itu tersenyum, masam dan melahirkan ekspresi wajah. Namun, gangguan pada saraf muka menyebabkan saraf muka lumpuh. Perkara paling serius apabila berlakunya kelumpuhan saraf muka adalah penjagaan mata kerana ia tidak boleh ditutup sekali gus memudahkan kornea tercedera," katanya.

Bagaimanapun, katanya kelumpuhan saraf muka adalah masalah sementara kerana ia boleh dirawat. Namun, masalah itu masih boleh berulang. Kelumpuhan saraf muka bagaimanapun bukan satu penyakit sebaliknya gangguan yang disebabkan oleh banyak penyakit.

Antaranya gangguan pada saraf muka, serangan angin ahmar, kecederaan, bell palsi (masalah gangguan saraf yang disebabkan virus), ketumbuhan di otak, pembedahan membuang kelenjar air liur atau pembedahan laluan saraf yang terkena pada saraf.

"Kelumpuhan saraf muka lebih kerap terjadi pada lelaki dewasa manakala faktor yang paling biasa adalah bell palsi. Selalunya, bell palsi dikaitkan dengan jangkitan virus seperti herpes atau influenza," katanya.

Virus itu bagaimanapun virus yang biasa dan tindak balas individu yang mempengaruhi jangkitan. Misalnya pada sesetengah orang, sistem imun tubuhnya bertindak balas dengan jangkitan vitus yang menyebabkan keradangan pada saraf. Apabila ia bengkak, saraf sukar melepasi laluan yang kecil mencetuskan simptom bell palsi.

Selain bell palsi, faktor lain yang boleh menyebabkan kelumpuhan saraf muka adalah komplikasi ketika pembedahan pada muka kerana doktor tersalah potong saraf muka yang panjang dan berselirat.

Gejala kelumpuhan saraf muka




  • Mata yang tidak boleh ditutup
  • Muka yang herot
  • Mata kering
  • Lidah hadapan tiada sensasi (pada bahagian muka yang terjejas)

    Rawatan
    Rawatan biasanya adalah pemberian dos steroid yang tinggi dan menutup mata pesakit bagi melindungi kornea atau meletak pesakit di tempat yang gelap. Peluang untuk pulih semula tinggi kalau pesakit dirawat dengan segera. Namun, perlu dipastikan apakah ia masalah kelumpuhan saraf muka yang tidak disebabkan oleh angin ahmar.Mata yang tidak boleh tertutup ditangani dengan pembedahan kecil meletakkan emas dalam kelopak mata atas untuk memberatkannya dan membolehkan mata ditutup dan dibuka seperti biasa.  

  • * mungkin ada lebih banyak lagi penyakit yang melibatkan saraf. Aku juga pasti, penyakit saraf ini ada cara mencegah, ada penawar serta cara untuk merawatinya.

    Tuesday, April 16, 2013

    Tragedi Boston; Semua Jari Ke 1 Arah >>> ISLAM!

    Hari ini, awal-awal pagi lagi aku telah dikejutkan dengan bunyi Baby Boo (BlackBerry), memberitahu beberapa tweet masuk. Hmm. Berat juga untuk dibuka kelopak mata. Maklumlah, belum pun masuk waktu subuh. Kebetulan pula, semalam aku tidur lewat melayan karenah Miqhail. Ha ha ha.

    Dalam keadaan yang mamai, aku gagahkan juga untuk menyelak kelopak mata. Haih, terkejut juga dengan persoalan yang bertalu-talu ke laman Twitter. Masalahnya, kenapa harus aku yang ditanyakan soalan-soalan itu? Sedangkan aku sedikitpun tak terlibat atau tahu menahu.

    "Helo, kejadian itu di Boston. Aku menetap selesa di Malaysia. Apahal ni?"

    Satu persatu tweet aku teliti. Sah. Sekali lagi, tragedi pengeboman berlaku. Kali ini, destinasi yang terlibat adalah Boston. Perkara pertama yang bermain di minda tentu sekali penyerangnya berasal dari negara Timur Tengah atau tepat lagi, Arab dan Islam.

    Serangan di acara maraton, Boston!
    Timeline (TL) aku secara automatik dipenuhi dengan tweet pelbagai emosi. Paling menyakitkan apabila secara sewenang-wenangnya, Islam tertuduh. Soalan yang ditujukan kepada aku, antaranya berbunyi begini...

    "Such tragedies of loss of innocent people is unbearable"
    "What is gained by this monstrosity?"
    "Can anyone please explain these senseless acts to me?"

    Memang jelas, tidak ada sangkut menyangkut pun dengan tuduhan terhadap Islam, tetapi persoalannya, kenapakah aku ditujukan soalan-soalan ini?

    Dalam masa yang sama, ramai juga antara rakan Islamku yang lain di Twitter tampil menjelaskan tentang Islam. 

    Jujurnya aku bosan dengan tuduhan melulu puak 'itu'! Selagi belum ada bukti yang sahih yang menyatakan tentang keterlibatan umat Islam, aku tidak rasa ianya sesuatu yang wajar untuk mengecam umat dan agama Islam secara keseluruhannya!

    Ya, sepanjang hari aku tidak berada dalam mood yang bagus. Orang pertama yang mendengar celoteh panjang dari aku, sudah tentunya Harvinder. 

    Kenapa agama perlu disalahkan kalau seseorang itu buat sesuatu kejahatan. Agama (Islam) tak jahat, yang jahat orang yang melakukan kejahatan itu sendiri. Bukan orang Islam sahaja yang ada buat jahat. Ramai lagi manusia dari agama lain buat jahat setiap hari.

    Adakah kalian masih ingat tragedy Sandy Hook, isu tembakan rambang di sekolah sehingga mengakibatkan kematian anak-anak kecil. Kenapa tidak digelar sebagai TERRORIST (pengganas). Bukankah apa yang Adam Peter Lanza lakukan itu sesuatu yang ganas? Mencabut nyawa kanak-kanak sesuka hati? Tidak kiralah, jika dia melakukan itu dalam keadaan ketidakstabilan mental tetapi ianya masih sesuatu yang ganas! Kenapa tidak digelar sebagai pengganas?

    Aku berkongsi pendapat yang sama dengan Yousef Erakat!
    Aku bercakap dari sudut bahasa (GANAS). Apa yang pasti, Adam Peter Lanza adalah seorang pengganas!  Setuju atau tidak? Tidak, kerana kematiannya berjaya memancing simpati dunia. 

    "Kasihan, dia alami tekanan!"

    Masih ingat wajah ini >>> Adam Peter Lanza!
    Ekoran peristiwa 11 September 2001, Amerika menjadikan ia sebagai tiket untuk membelasah Afghanistan dengan alasan untuk membenteras keganasan (terrorist) sehingga ke hari ini. Kalaulah benar bagaikan dikata, membenteras keganasan di negara Islam, kenapa kanak-kanak, wanita dan orang tua menjadi kurban. Ia menjadi kisah terpinggir yang tidak dipedulikan dunia bukan? Ianya kerana, negara yang diserang adalah penempatan pengganas. Amerika pula adalah Polis Dunia yang bertanggungjawab menghapuskan pengganas. Negara-negara dunia lain, akur dengan tindakan mereka. 

    Saban hari, ada sahaja keganasan yang berlaku di Palestine, Myanmar dan semua yang terlibat adalah umat Islam. Dunia tidak peduli. Kenapa? Mereka adalah Islam. Nyawa mereka tidak bermakna. 

    Hari ini, Boston dibom dan sebelum ada pesalah ditangkap, satu jari sudah dituding tepat ke arah Islam. Pemikiran 'stereotype' ini pasti akan berterusan sehingga ke akhir zaman. Kita sekadar menyaksikan. 

    Pihak kepimpinan negara-negara Islam lebih menumpukan kepada gejolak politik tempatan. Teruskanlah dengan isu politik ungkit mengungkit!

    *  mereka kecam Islam dan jihad. Masalahnya, adakah mereka tahu apakah itu sebenarnya jihad? Kenapakah kita berjihad dan apakah tuntutan jihad? Dek kerana segelintir yang terpesong, semua umat Islam menjadi mangsa. Lebih mengharukan apabila, agama Islam yang dilabelkan sebagai agama pengganas. Adilkah?

    Monday, April 15, 2013

    Ms Kuch Kuch, Ada Apa Dengan Nama?

    Persoalan yang seringkali bertandang setiap kali berdepan dengan nama yang harus diberikan di ruang laman sosial di internet; nama aku yang perlu aku pilih? Ada apa dengan nama yang aku pilih? 

    Inilah Ms Kuch Kuch
    Ramai beranggapan, tidak penting untuk menggunakan nama yang tertera pada kad pengenalan. Disebabkan itulah, banyak sangat nama pelik bersepah-sepah di pelbagai ruang laman sosial seperti Facebook, Twitter dan macam-macam lagi. Jika diberi pilihan, aku juga tidak mahu menggunakan nama asal tetapi apabila difikirkan kembali, tujuan utama aku mendaftar ke ruangan tersebut untuk mencari kenalan lama, lebih afdal menggunakan nama asal. Setuju?

    Mengimbas kembali peristiwa beberapa tahun dahulu, kali pertama aku mendaftarkan diri ke ruang sosial adalah hasil dari dorongan rakan-rakan satu akademi. Laman sosial pertama yang aku sertai; Myspace diikuti Friendster dan Orkut. Waktu itu, memang nama asal yang aku guna tetapi, ruangan itu dibiarkan sepi kerana aku tidak berapa gemar berhabis masa dengan ruang-ruang sebegini. Bukanlah aku mahu menafikan penglibatan aku secara langsung, cuma tidak kerap mengemaskininya.

    Kemudian, aku terjebak pula dengan dunia blogger. Tujuan asal pembinaan ruangan blog ini, tiada lain adalah dari dorongan rakan-rakan penulis dan penerbit sendiri. Ia khusus untuk memberikan hebahan tentang aktiviti aku sebagai penulis dan juga informasi tentang karya-karya yang bakal dihasilkan. Seperti yang aku katakan tadi, "tujuan asal" tapi sekarang ia lebih kepada perkongsian pemikiran aku. Ya, aku akui. Aku jarang mengemaskini tentang karya aku. Kenapa tidak? Barangkali, ianya tidak penting dan... kalau ada karya, barulah boleh dikongsikan bukan? HA HA HA.

    Selepas kegilaan Blogger, aku beralih pula kepada Facebook atas dorongan seorang rakan; Nurjihadah. Terima kasih. Dia jugalah yang menolong aku memahami bagaimana untuk kendalikan Facebook ini. 

    Sepertimana Blogger, Facebook juga aku gunakan sebagai ruang interaksi dengan pembaca kerana itulah aku memilih nama 'Romibaiduri Zahar'. Nama itu, tidaklah sebesar mana tetapi alhamdulillah, masih ada juga yang kenal karya aku menerusi nama itu. He he he. 

    Selain tujuan mempromosikan nama sebagai novelis, Facebook juga berjaya menemukan aku dengan rakan-rakan yang sudah terpisah lama. Disebabkan itu, aku mengekalkan nama 'Shahaini Zahar' agar mudah orang membuat carian di Facebook. Dalam masa yang sama, mudah untuk bakal penerbit mencari aku di sana. Ha ha ha. 

    Berbeza dengan Blogger dan Facebook, tujuan aku menyertai satu lagi laman sosial Twitter adalah kerana untuk kepentingan diri sendiri. Bukan untuk menjual nama atau pemikiran, sebaliknya ia aku jadikan medan LEPAS PERANGAI! Tujuan aku sertai Twitter amat jelas; mengikuti 'orang-orang' yang aku suka secara peribadi. Satu; kerana bakat. Dua; kerana pemikiran. Orang yang paling kuat mempengaruhi aku terjebak dalam Twitter --- Salman Khan diikuti beberapa nama lain termasuklah Namron!

    Dek kerana inilah satu-satunya ruang untuk lepas perangai, sengaja aku memilih nama yang unik dan sangat dekat dengan diriku... Ms Kuch Kuch @ShahainiZahar. Eh, sudah pasti tidak akan ditinggalkan nama Shahaini Zahar itu kerana, aku bangga memakai nama itu! Penggunaan nama Ms Kuch Kuch menimbulkan pelbagai persoalan. Ramai yang bertanya, 

    Kenapa Ms Kuch Kuch?
    Apa itu Ms Kuch Kuch?
    Siapa Ms Kuch Kuch?

    Sebenarnya, Ms Kuch Kuch ini boleh ditemui dalam sebuah filem komedi klasik hindi, Andaz Apna Apna yang semestinya dibintangi; Salman Khan, Aamir Khan, Karisma Kapoor dan Raveena Tandon. Ms Kuch Kuch adalah nama yang diberikan kepada watak Karisma (dimainkan Karisma sendiri). Gelaran ini hanya muncul dalam satu adegan tetapi ianya cukup sinis. Kenapa? Adegan itu ditulis khas untuk mengutuk media di India (tetapi relevan untuk media seluruhnya)!


    "Puan tak cakap apa-apa bukan?" - Karisma
    "Tidak" - Raveena
    "Kamu tak dengar apa-apa bukan?" - Karisma
    "Kami tak dengar apa-apa pun," - Media
    "Aku tak cakap apa-apa. Adakah sesuatu akan terjadi kalau aku cakap apa-apa?" - Raveena
    "Ya Puan. Awak kata sesuatu, mereka faham sedikit. Faham sedikit tapi tulis panjang lebar. Mereka tulis di sana, di sini mereka cetak (cerita) lain dan apa yang telah dicetak ada perkara pelik terjadi. Perkara pelik itu pula akan mengundang perkara pelik yang lain. Benar bukan?" - Karisma

    Secara tidak langsung, adegan sependek ini menjadi inspirasi buat aku khususnya untuk tampil di Twitter. Mungkin ada yang tidak akan faham apa yang aku tweet di Twitter tapi ia sedikitpun tak jadi masalah untuk aku. Jadi, kalau rasa nak melihat sisi lain seorang aku, jemputlah ke Twitter Ms Kuch Kuch! Ha ha ha.
     
    * unik bukan nama Ms Kuch Kuch? Jangan salah faham, nama itu langsung tak ada kaitan dengan filem Kuch Kuch Hota Hai melainkan watak Karisma-Prem dalam Andaz Apna Apna. Lagipun, aku memang peminat Salman Khan & Karisma Kapoor! He he he.

    Pasangan paling serasi Sallu-Lolo

    Kisah Terpinggir; Annie dan anjingnya!

    Sudah genap seminggu, tiada lagi bayang-bayang makhluk 4 kaki menunggu di ruang legar bawah bangunan pejabat. Tiada juga sekutunya yang sering menjadi penjaga tanpa upah di lot meletak kereta. Apa dah jadi? Ke manakah menghilangnya makhluk-makhluk ini? Dek kerana hairan dengan situasi baru ini, aku bertemu dengan petugas pencuci bangunan.



    "Kak, ke mana pergi anjing-anjing semua? Selalunya ada melepak kat sini," soalku.

    Sempat juga aku menghayun-hayun sekaki payung berwarna kuning. Ya, hari masih cerah tetapi payung ini ada tugasan lain. Lagipun, bukankah elok, sediakan payung sebelum hujan?

    "Oh, anjing-anjing itu diberi ubat. Mati semuanya," balas kakak itu dalam loghat Jawa Indonesia.

    "Apa?" sumpah, aku terkejut mendengar perkhabaran yang satu ini.

    "Malah, anak-anak anjing 3 ekor baru lahir kelmarin juga diberi ubat. Saya kasian liat ibunya." Sambung wanita itu lagi berkisah.

    Astaghfirulllahalazim, detik dalam hati.

    Kenapa manusia begitu kejam?
    Bukankah anjing-anjing itu berhak hidup?
    Kenapa harus jalan itu diambil?
    Bukankah ada cara lain yang lebih berperikemanusiaan?
    Perikemanusiaan?

    Kalau dalam Islam, memang jelas anjing itu haram, tapi tak pula disuruh bunuh anjing! Sekarang, siapa lebih anjing? Kaum manusia sering melaungkan  tentang isu hak asasi dan perikemanusiaan. Hmm. 

    Bercerita tentang kisah anjing ini, teringat pula kepada seorang teman. Annie. Bukan sahabat atau rakan sekelas, cuma aku boleh katakan, kami rakan satu pusat siber! Ha ha ha. Berkenalan pun, taklah lama tapi cukuplah berkongsi cerita. 

    Beberapa bulan lalu, sekitar Disember, aku berjumpa dengan Annie. Itupun setelah beberapa tahun lamanya kami tidak bersua muka. Kali terakhir pun di sekitar tahun 2002. Waktu itu, aku memang galak menghabiskan masa di pusat siber. Kenapa? Haih, tentulah sebab menghabiskan masa untuk menyempurnakan tugasan sekolah. 

    Pertemuan kami pun bukanlah dirancang tetapi pertemuan yang tidak disengajakan. Alang-alang dah bertemu, agak berjam-jam juga masa dihabiskan bersama. Banyak kisah dikongsikan dalam beberapa jam itu. Yang menarik perhatian aku dan amat sesuai dengan cerita anjing tadi, kisah Annie dan anjing peliharaannya. Kebetulan, Annie memang penggemar anjing terutamanya baka Shepherd. Aku masih ingat, di telefon bimbitnya penuh dengan gambar dia bersama anjingnya. Kalau tidak silap, Toby namanya. 

    Ini Toby dari keluarga Shepherd! (Gambar sekadar hiasan)

    Beberapa tahun lalu, Toby telah pun meninggalkan (mati) Annie disebabkan sudah tua. Dek kerana sudah terbiasa menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan dan teman, Annie cepat mencari pengganti. Katanya, anjing pengganti ini merupakan anjing yang ingin dibuang pemiliknya. Tanpa fikir akibat di kemudian hari, Annie menerima anjing itu tanpa sebarang syarat. Kalau nak diikutkan, anjing itu bukanlah jenis yang disukai Annie. Tambah pula Annie dari golongan berada. Setakat anjing sebegitu, memang tidak pernah menjadi pilihannya. 

    "Kenapa kau terima?" soal aku, tidak percaya.

    "Nak berteman, lagipun aku percaya kawan aku, Windy tak akan beri anjing jenis jahat," kata Annie.

    "Kawan kau tu, dari mana?" soal aku lagi.

    "Kawasan Ampang," jawabnya acuh tak acuh.

    Awalnya, anjing yang diberikan nama Ashes (debu) itu memang sangat daif keadaannya. Tidak terurus dengan bulu-bulu yang sudah pun berguguran hingga boleh dikira helaiannya. Namun Annie tidak pernah jemu untuk memulihkan keadaan Ashes. Segala-galanya disediakan malah sanggup berulang-alik ke klinik haiwan. Hampir 3 bulan, hubungan Ashes dan Annie semakin rapat hinggalah di satu hari, Windy mahukan Ashes kembali.

    Ashes (lebih kurang beginilah rupanya)
     "Eh, kenapa pula?" pelik aku dengan permintaan Windy.

    "Katanya, pemilik sebenar anjing itu mahukannya kembali," jawab Annie.

    "Bukan dia pemilik sebenar anjing tu?" soal aku lagi semakin bertambah hairan.

    Kecelaruan berlaku disebabkan, pemilik sebenar anjing itu yang berpindah ke Kuantan, Pahang hanya menumpangkan Ashes sebentar sebelum mereka benar-benar stabil di kawasan perumahan baru. Annie enggan akur dengan permintaan itu kerana merasakan dia sudah pun rapat dengan Ashes. Perkara menjadi tegang apabila pemilik itu tetap berdegil dan mengatakan, anjing itu tetap miliknya. Haih, anjing-anjing punya hal, manusia pun boleh bergaduh?

    Annie turut menceritakan, pemilik itu sanggup turun dari Kuantan bertemu dengannya semata-mata mahukan anjing itu diserahkan semula. Dia berang kerana keputusan dibuat Windy seolah-olah membelakangkan dia sebagai orang yang lebih layak membuat keputusan. Annie menjadi keliru kerana dia sudah tidak boleh berenggang dengan Ashes. Ashes yang dilihat hari ini, sangat berbeza dengan Ashes yang dijumpainya dahulu.

    Alasan itu tidak diterima pemilik asal Ashes. Keadaan Ashes yang daif bukanlah kesalahannya sebaliknya, kesalahan Windy. Dia lalai dan tidak menjaga amanah diberikan. Bagi membuktikan kisahnya benar, pemilik itu siap membawa seekor lagi anjing yang ditinggalkan kepada seorang penjaga sementara lain. Anjing yang bernama Munnah itu diserahkan kepada seorang kaya di Keramat. Kononnya, keluarga penjaga itu pula duduk di sebuah rumah yang bernilai RM180K!

    Keputusan memberikan anjingnya kepada Windy merupakan satu-satunya perkara yang amat dikesali kerana tidak menyangka kekeliruan sebegini akan berlaku. 

    "Apa jadi lepas tu?" soalku ingin tahu lebih lanjut.

    "Sepatutnya, aku dan Ashes sertai pertandingan anjing cantik tahun lepas. Tapi tak jadi," keluh Annie.

    "Kenapa?" masih tidak berpuas hati.

    "Awalnya, memang aku tak mahu pulangkan Ashes. Tapi, lepas dia serang dan cederakan aku, aku serahkan balik dia pada tuannya." Jelas Annie dan menunjukkan pada aku kesan parut di tangan dan kakinya.

    "Ada baiknya kau serahkan pada tuannya semula," aku cuba memujuk Annie.

    "Dengar cerita, pemilik asalnya pun diserang. Dua-dua anjing, Ashes dan yang seekor lagi di Keramat tu. Betul kata nenek aku, anjing jalanan tetapi jalanan. Tidak kiralah kalau berhabis puluhan ribu atau tempatkan di rumah jutaan ringgit. Anjing tetap anjing,"  luah Annie sambil tersenyum sinis.

    "Eh, takkanlah sampai begitu sekali," ujarku, tidak percaya.

    "Mungkin sudah memang balasan tuannya. Dengar cerita lagi, anjing-anjing tu dah pun disuntik racun. Kedua-duanya mati." Kata Annie, menamatkan kisah.

    Ada satu kepuasan di wajahnya. Cuma aku tidak pasti apa yang membuatkan dia begitu. Adakah kerana dendam terhadap pemilik anjing itu masih berbaki? Atau kemarahan terhadap Ashes masih berapi? Hubungan Annie dan kawannya juga sudah renggang sejak peristiwa itu. Satu lagi kisah yang sempat dikongsi kepada aku, yang dia telah beralih arah dari menjaga anjing ke menjaga seekor arnab. Baguslah. Sekurang-kurangnya, jaga arnab tidak ada risiko!

    * banyak perkara yang aku belajar dari kisah Annie; jangan mudah percayakan sesiapapun dan tidak salah kalau bersikap memilih demi kebaikan. Contoh macam kata Annie tadi, kalau dah anjing jalanan, anjing jugalah. Mungkin ada persamaan dengan manusia, kalau dah namanya manusia, manusia jugalah! Pandai bermuka-muka, berbohong dan minta simpati. Nasihat aku, simpatilah pada diri sendiri sebelum bersimpati pada orang lain!

    Wednesday, April 10, 2013

    Pembuli SMK Tun Hussein Onn, apa dah jadi nak?

    Pagi-pagi dah dikejutkan dengan video yang tak sepatutnya berlaku, apatah lagi dikalangan anak-anak muda yang masih menghijau. Muda dan merupakan gambaran kepada wajah pemimpin akan datang. Memang benar, mereka adalah golongan minoriti tetapi alangkah hinanya perbuatan manusia yang bertamadun melakukan perbuatan seangkatan haiwan. Persoalannya, salah siapa? Tolong jangan tuding kepada ibu bapa kerana, mereka juga seperti anda... TERTIPU DENGAN PENIPUAN DAN PENYAMARAN YANG SEMPURNA! Mungkin!

    Aku tak suka akan keganasan, jadi mustahil video tak bertamadun itu aku muatnaik di sini. Kalau sesiapa yang masih belum tengok, boleh lihat di pautan ini, di sini juga di sini.

    Ketua samseng budak ni!
    Aku percaya, tidak seorang pun dari ibu bapa para pelajar yang terlibat dalam video buli ini membesarkan anak-anak sedemikian caranya. Mustahil. Aku tak fikir seorang ibu, mengasuh anak dengan bertomoi. Seorang ayah mengajar anak berkungfu. Buat salah sikit, penangan todak tak pun siku kepala anak-anak. Tidak bukan? Jadi, jangan salahkan ibu bapa. Anak-anak zaman sekarang, pandai memakai topeng yang sesuai apabila berhadapan dengan keluarga. Depan ibu bapa, mereka baik, naif dan polos.

    Bukan hendak mengeruhkan lagi keadaan, tapi di manakah silapnya? Pengaruh kawan-kawan? Kurangnya pendidikan agama? Atau mudah sangat tergoda dengan hasutan syaitan.

    "Oh, aku hebat?"

    Aku nak tanya sangat pada mereka yang sesuka hati membelasah rakan sekelas ni, 

    "Mak dan ayah suruh datang sekolah, belasah orang atau cari ilmu?"

    Segelintir anggota masyarakat tidak bersetuju dengan penyebaran video ini kerana ia menjatuhkan reputasi pelajar di Malaysia. Seharusnya ia terus dilaporkan kepada polis supaya disiasat dan tindakan diambil. Bagi aku pula, baguslah video ini disebarkan agar masyarakat khususnya ibu bapa peka tentang situasi pelajar sekolah hari ini. Dalam masa yang sama, para pelajar juga harus tahu bahawa, tindakan membuli atau memukul orang bukanlah perbuatan yang tepat. Tidak boleh mengambil tindakan sewenang-wenangnya. Kalau tidak berpuashati, berbincang! Bukan bertomoi macam orang tidak bertamadun! Bertomoi pula di sekolah, aduh! Parah!!!

    Berikut kaki-kaki pukul yang terlibat. Aku klasifikasikan mereka BACUL DAN PENGECUT ABADI!

    Takut dengan polis? Allah, macam mana?
    2 personaliti berbeza? Bahaya!  

    Bertindak awal? Bijaklah kau dik!
    Bangga sebagai kaki pukul? Hmm.
    Aku masih bingung, apakah tujuan kejadian ini dirakamkan? Ya, aku maklum dengan fenomena youtube hari ini yang cenderung memuatnaik video untuk popular atau trending tapi bukankah video sebegini seakan memerangkap diri sendiri. Hmmm. Adik-adik, akai ada? Piiiraah!

    Kalau terdesak nak popular sekalipun, cubalah guna landasan yang betul. Di sekolah banyak program ko-kurikulum yang berfaedah buat budak-budak ni. Sertailah silat, taekwando ke. Terpilih nanti, boleh masuk pertandingan, wakil sekolah, daerah, kebangsaan, negara. Ini setakat bertumbuk dalam bilik darjah, sangat PONDAN!


    Tuesday, April 9, 2013

    Wahai Pengguna Jalanraya!!!

    Beberapa hari lepas, ada teman di Facebook berkongsikan luahan seorang pengguna jalanraya yang aku percaya, seorang penunggang motosikal. Aku pasti, kalian sudah bertemu dengan kongsian ini dan membaca serta memahami apa yang ingin disampaikannya. Tidak dinafikan, aku bersetuju dengan beberapa perkara yang diketengahkannya, tetapi dalam masa yang sama, aku juga punya pandangan sendiri. 

    Gambar Hiasan semata...
    Sebelum membentangkan luahan aku pula sebagai pengguna jalanraya atau lebih tepat lagi, pemandu kereta, ia bukan bertujuan untuk menuding ke satu-satu pihak sebaliknya ambil jalan tengah supaya jalanraya di Malaysia ini selamat dan aman digunakan bersama. Di sini, dilampirkan sekali luahan penunggang motosikal yang dimaksudkan tadi.

    Penunggang Motosikal,
    Seluruh Negeri,
    Malaysia.
    _____________________________________________________
    Pemandu Kenderaan 4 tayar dan ke atas,
    Seluruh Negeri,
    Malaysia.

    Tuan/Puan

    Saya mewakili penunggang motorsikal
    seluruhnya ingin berpesan dan berkongsi
    kepada pemandu-pemandu kereta yang
    tidak pernah berpengalaman menjadi
    penunggang motorsikal atau yang tidak
    memahami perasaan menjadi penunggang
    motorsikal bahawa:
    Kami berhak menunggang motorsikal di
    dalam lorong utama. Bukan hanya
    menunggang di lorong kecemasan. Kerana
    kami juga bayar cukai JALAN. Bukan cukai
    LORONG KECEMASAN. Tidak perlu
    bunyikan hon atau nyalakan lampu tinggi
    kepada kami.

    2) Jika pemandu kereta ingin memotong
    kereta di hadapan, dan ada penunggang
    motor di laluan bertentangan, kami layak di
    hormati. Jangan memotong dengan
    tanggapan bahawa kami kecil dan boleh
    mengelak.

    3) Di kawasan sesak, tolong lihat belakang
    dan sisi terlebih dahulu sebelum menukar
    lorong, sebab yang parah bukan anda tapi
    kami.

    4) Penunggang motorsikal seperti kami
    BUKAN mat rempit. Kami layak dihormati
    sama seperti orang lain.

    5)Kepada pemandu kereta yang merokok,
    jangan sesuka hati mencampakkan puntung
    rokok ke luar tingkap. Perhatikan dahulu
    jika ada penunggang motorsikal atau
    pengguna jalanraya yang lain. Puntung
    rokok yang masih berbara itu
    berkemungkinan termasuk ke dalam
    pakaian penunggang motorsikal dan
    membahayakan kami.

    6) Jangan hina kami hanya kerana kami
    menunggang motorsikal. Allah dah
    turunkan rezeki masing-masing. Tak perlu
    berbangga dengan harta dunia.

    Sekian.

    Yang menunggang motorsikal...
    — at Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Petaling Jaya Selangor D.E.

    _____________________________________________________

    Baik, itu keluhan dan luahan seorang penunggang motosikal. Ya, aku setuju dengan apa juga yang diluahkan serta memahami permintaannya. Walaupun tidak pernah menunggang motosikal, tetapi aku sangat menghormati setiap mereka kerana abah adalah salah seorang dari penunggang motosikal yang mungkin ketika ini sedang berada di jalanraya. Setiap kali abah bermotosikal (skuter Elegan), aku berdoa agar dia sentiasa selamat. Semoga pengguna jalanraya lain menghormati seorang lelaki perwira di hati aku dan keluarga kami.

    Kalau dinilaikan semula, ia sangat berat sebelah dan menuding jari kepada pihak lain semata-mata. Percayalah, bukan semua pemandu kenderaan empat tayar dan keatas ini tidak berhemah atau tidak tahu menghormati pengguna jalanraya lain termasuklah penunggang motosikal, basikal, pejalan kaki dan sebagainya. Bagaimana pula dengan sikap (attitude) penunggang motosikal sendiri?

    Seperti yang aku katakan tadi, bukan semua pemandu tidak tahu menghormati penunggang motor, begitu jugalah hakikatnya, bukan semua penunggang yang bersikap kurang sopan di jalanraya. Segelintir inilah yang mengakibatkan pemandu lain boleh jadi huru-hara. Aku tak mahu menyentuh banyak, cukuplah beberapa sikap penunggang motor yang agak menjengkelkan. 

    1) Sebelum masuk simpang, perhatikan kiri dan kanan. Jangan anggap anda kecil, boleh masuk jalan sesuka hati dan kenderaan lain boleh mengelak. (Lorong jalan kecil, kalau motor masuk tiba-tiba membuatkan pemandu kenderaan sukar mengelak sebab harus jaga agar tidak menceroboh lorong bertentangan). Adakalanya, si motor terlepas, kereta sebelah menyebelah terbabas kerana nak mengelak motor tadi.

    2) Apabila kenderaan lain sudah berikan isyarat untuk tukar lorong (khususnya ketika jalan sesak), berilah kerjasama dan hormati. Walau dah beri isyarat lebih awal, ada penunggang sengaja bunyikan hon. Lebih dari itu, ada yang siap tunjuk isyarat jari tengah.

    3) Memang penunggang motorsikal berhak menggunakan jalanraya dan berada di tengah-tengah jalan, tetapi berilah laluan kepada kenderaan lain untuk memintas sekiranya kelajuan motosikal ditunggang kurang 50km/j. Terutamanya apabila jalan bertentangan sedang sesak dan lorong digunakan pula lengang. Toleransi sesama kita.

    4) Jaga jarak antara motor dan kenderaan di hadapan supaya apabila tiba di lampu isyarat anda sempat berhenti dan mengelak dari berlakunya kemalangan sekiranya lampu bertukar merah. (Pengalaman sendiri; berhenti di lampu merah, seorang penunggang motosikal menghentam Lolly dari belakang dan terperosok masuk ke bawah. Bila ditanya, sama ada nampak lampu sudah bertukar merah, dia enggan menjawab!) Tolonglah utamakan keselamatan diri dan pengguna jalanraya yang lain.

    5) Jalanraya bukanlah tempat yang sesuai untuk menjalinkan silaturrahim antara anda dan penunggang yang lain. Berbual-bual sambil menunggang membuatkan kenderaan lain terpaksa memintas anda. 

    6) Jangan provok kenderaan lain untuk berlumba dengan anda. Memang dasarnya, anda kecil dan senang-senang boleh cilok, tetapi ia adalah tindakan kurang bijak. Kalau nak berlumba, carilah medan yang tepat. Bukan dijalanraya.

    Kemalangan tidak boleh diduga tetapi boleh dielak, bukan?
    Maaf kalau ada yang terasa tetapi andai terasa juga maknanya, anda adalah segolongan penunggang yang melakukan perkara sama. Kesimpulannya; sama-samalah menghormati pengguna jalanraya yang lain. Jangan suka-suka tuding jari.

    * Petang semalam, di simpang empat. Menunggu sehingga lampu merah bertukar hijau dan seorang penunggang motosikal melanggar cermin sisi. Tak sempat mengecam nombor plat, dia pecut dan melanggar lampu merah. Hmm. Jalanraya yang luas, waktu senja. Seorang penunggang melanggar cermin sisi tanpa rasa bersalah. Ia berkaitan dengan sikap. Cik abang oi, tolonglah hati-hati. Kalau bercalar, aku maafkan. Andai cermin sisi pecah, siapa mahu ganti? Penunggu senja?

    Friday, April 5, 2013

    Majlis Kesyukuran dan Cukur Jambul MyQasha; Mysarah & Firzudeen Aqasha

    Satu-satunya perkara yang paling aku suka, menganjurkan acara keluarga. Kenapa? Waktu inilah dapat menguji kemahiran masing-masing (kami tiga beradik), sama ada kesabaran, pemikiran, idea dan macam-macam lagi. Kali ini pula, satu lagi acara keluarga berjaya dijalankan dengan gemilang! 

    Yang Diraikan... Mysarah & Firzudeen Aqasha
    Abah selalu kata, bilangan tidak penting selagi masing-masing tahu tanggungjawab dan saling berkerjasama. Dua perkara inilah yang abah sering ingatkan kepada tiga puterinya. Kini, ianya disebarkan pula kepada pasangan masing-masing dan insya-allah, kepada generasi yang seterusnya.

    Disebabkan ia adalah acara untuk meraikan kedua ahli terbaru keluarga kami (Firzudeen Aqasha dan Mysarah) dan dalam masa yang sama, majlis kesyukuran, along telah menjadi pemikir dan perancang (seperti biasa) dan kami dua beradik yang lain, bertindak selaku penggerak. Persiapan telah pun dimulakan sejak berbulan-bulan. Rapi dan terperinci. Kali ini juga, kami lakukan tanpa perlu bertempik memanggil tenaga luar. Cukuplah dengan tenaga kerja sendiri. Biarpun ambil masa yang lama kerana yang penting; kerjasama! (Wah, macam pasukan Wonder Pet pulak)

    Along dan Ayuz bersama-sama merancang, merangka tema dan aku pula bertindak selaku promosi (jemputan) dan petugas (di hari majlis berlangsung), manakala yang lain-lain memikul tugas sebagai penggerak. Alhamdulillah, persiapan berbulan-bulan (walaupun bukan sebesar majlis kahwin!), akhirnya majlis kesyukuran dan cukur jambul ini berkesudahan dengan jayanya.

    Terima kasih kepada yang sudi hadir. Maaf kepada rakan-rakan kerana aku sengaja tidak menjemput ke majlis ini kerana khuatir tidak menang tangan. Ada satu perasaan kurang manis sekiranya kalian datang dan aku tidak dapat memberi layanan yang sepatutnya. Maaf sekali lagi, teman.

    Kami sekeluarga ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak yang terlibat terutama sekali kak Alis De' Alis Deco, untuk dekorasi buaian yang sungguh comel dengan tema "underwater fantasy", kak Wani D-Dreams Choco Fountain Delight untuk hidangan coklat, Kak Mah untuk hidangan yang sungguh lazat dan pastinya kumpulan Marhaban dengan nyanyian merdu juga menginsafkan. Insya-allah, di majlis akan datang kami akan menggunakan khidmat kalian. He he he.

    Di sini, aku kongsikan sedikit gambar-gambar yang sepanjang majlis berlangsung. Mungkin, ada yang akan berminat dengan perkhidmatan cemerlang nama-nama yang disebut tadi. Tekan sahaja link, dan berurusan terus dengan mereka. Insya-allah, anda akan berpuashati seperti kami!

    Lama tak asah skill..okey tak? Aku buat sendiri! Lalalala