Saturday, June 23, 2012

Arah Lain Ke Syurga

 Pujian kepada Wan Sharmila! Terima kasih kerana menghidupkan QASEH
Sudah sebulan drama ini ditayangkan. Sengaja aku menunggu masa untuk berkongsi rasa. Rasa yang ada di dalam hati untuk dimuntahkan di sini. Ruang yang tidak mengundang sesiapa, sekadar rasa yang mungkin bisa dirasa oleh semua. 

Arah Lain Ke Syurga, sebuah karya tercetus terus dari hati. Alhamdulillah, ia ditayangkan juga. Lebih istimewa lagi, ianya ditayangkan bersempena Hari Ibu, 22 Mei, 2012. Sayangnya ia bukan ditayangkan pada 29 Mei, kalau tidak ia ibarat hadiah untuk umi sempena Hari Lahirnya. Apa-apapun, "Arah Lain Ke Syurga" dedikasi khas aku buat umi. Sayang umi!!!

 satu perasaan lain apabila membaca ini
Sepanjang proses penghasilan "Arah Lain Ke Syurga", terlalu banyak perkara yang datang menduga termasuklah, menulisnya dalam bentuk visual. Percaya atau tidak, apa yang tergambar di skrin itu merupakan rombakan secara total untuk kali keempat! Lebih menakjubkan, rombakan keempat merupakan material mentah yang bermain dalam otak sebelum ianya diterjemahkan menjadi skrip penuh. Pengajarannya, ikutlah kata hati! Selalunya, yang terdetik kali pertama itulah yang terbaik. Betulkah atau ia sekadar kebetulan? Hmmm. 

Sejurus habis ditayangkan, ada yang bertanya kepadaku, bagaimana boleh tercetusnya idea untuk menghasilkan skrip ini. Hmmm.

Soalan itu membuatkan aku mengimbau kembali kepada satu tajuk akhbar dan juga perbualan rambang masyarakat hari ini. "Bayi dibuang. Anak luar nikah. Binatang pun sayang anak. Remaja semakin alpa." 

Benarkah remaja hari ini bersikap binatang? Atau memang tidak ada perikemanusiaan? 

Di situlah aku mendapat idea "Arah Lain ke Syurga". Mencabar pemikiran normal kepada yang mustahil berlaku. Namun, mungkin tanpa kita sedari ianya ada berlaku. Cuma tidak diketahui. Kisah terpinggir.

Semua ok, cuma sedikit terkilan dengan Soraya. Hmmm.
Qaseh mewakili remaja hari ini. Gadis remaja tipikal yang hanya mahu keseronokan. Apa pula akan terjadi sekiranya, dia sedar tentang tanggungjawab? Tambahan pula, apabila ianya bersangkut paut dengan 'hutang budi'?

Menghasilkan skrip ini bukan sesuatu yang mudah. Aku terpaksa mendera diri. Masuk ke dalam diri Qaseh. Memberontak sendiri. Meletakkan diri, bagaimana sekiranya akulah si Qaseh. Remaja yang mengidamkan keseronokkan tetapi akhirnya terjerat dengan kesalahan sendiri yang akhirnya membuatkan dirinya terbeban. Beban budi. Kerana budi itu yang menyelamatkan nyawanya. 

Diberikan peluang, untuk mencari bahagia. Mencipta bahagia. Bahagia adalah syurga. Syurga yang pernah dia tinggalkan. Ibu. Di sini, Qaseh menjadi ibu. Dia tahu, betapa hebatnya seorang ibu. Kenapa syurga itu digambarkan berada di tapak kaki ibu? Kerana ibu, tidak membenarkan perkara buruk menimpa anaknya. Qaseh belajar dari kesalahannya. Melindungi Soraya, yang sudah dianggap sebagai anak kandungnya.

Scene ni aku tulis dari 12-5 pagi! Ambik kau! Hahaha...
"Arah Lain Ke Syurga" bukan satu arah. Dalam sedar atau tidak, ada tiga lagi kisah ibu yang lain didalamnya. Masing-masing terbeban dengan derita. Tiga kisah ini adalah ranting dan bercantum dengan pokoknya, kisah Qaseh dan Soraya. Hahaha. Semuanya tentang ibu.

Aku suka lakonan Kenchana Dewi!!!


Mei Ling, Arah Lain Ke Syurga
Aku percaya, setiap wanita. Tidak kiralah berapa juga umurnya, pasti memiliki nurani keibuan. Buktinya,  kalaulah mereka diberikan peluang menghabiskan masa bersama seseorang walau hanya untuk seminggu, amat sukar mereka melupakan tempoh seminggu itu. Tak percaya? Cubalah.

Jujurnya, antara "Yang Terindah" dan "Arah Lain Ke Syurga", hatiku lebih dekat dengan drama kedua ini. Bagaimana aku didera dan terdera. Hahaha. Terima kasih kepada mereka yang sudi menonton (walau hakikatnya, waktu tayangan bertembung dengan Debat PTPTN), khususnya sahabat-sahabatku Ayshah dan Azwa. Penyokong dunia akhiratku, Umi, Abah, Along dan Ayuz. Sayang kamu.

Sesungguhnya, insan kerdil ini amat bersyukur kepada Allah (untuk 'kebolehan' yang dipinjamkan), terhutang budi dengan penerbit, Shaharudin Thamby (tak jemu-jemu beri tunjuk ajar dan mencabar kemampuan mindaku), komputer riba (bekerja dengan sangat baik), lagu-lagu mp3 (terutamanya Teri Meri nyanyian Rahat dan Shreya; koyak jiwa dan emosiku sepanjang penulisan skrip yang berlangsung sehingga ke pukul 5 pagi...setiap hari). 

Terima kasih dan tahniah kepada barisan produksi Arah Lain Ke Syurga, terutamanya pengarah Ismail Yaacub. Barisan pelakon khususnya saudara Norman Hakim. Kepada sesiapa yang tidak sempat menonton, dan berminat menyaksikan "Arah Lain Ke Syurga", klik sahaja di sini.

Satu-satunya watak yang menjangkaui imaginasi aku. SUPERB!
* sedang berusaha menghasilkan sesuatu yang boleh mengatasi "Arah Lain Ke Syurga". Mungkin ia akan ambil masa, tetapi aku tetap memburunya. Sangat terharu dengan kata-kata abah---"kau buat abah bangga!"

Ni kerja sahabatku, Azwa... hahaha. Terima kasih sahabat! - sanggup snap dari kamera! Wah wah wah

Wednesday, June 20, 2012

Khas untuk kalian yang bergelar...

Sahabat...

Adakalanya, gambar sudah cukup menjelaskan segala-galanya.
Ada masanya, aku tak pandai menghargai kalian.

Setiap kali terserempak dengan gambar-gambar comel ini di muka buku, kalianlah yang pertama aku fikirkan. Terima kasih kerana sentiasa ada untukku. Melindungiku. Menjadi pendengar paling setia dan penasihat paling tegas.

Sahabat-sahabatku, yang seringkali menjadi mangsa luahan hati; Ayshah, Harvinder, Azwa, Fatimah serta Viva dan adakalanya Il Divo. Sayang kalian. 




Tuesday, June 5, 2012

Sesuatu yang tersembunyi...

Sedang aku membelek isi-isi dan data dalam Romi Jr (komputer ribaku), aku terserempak dengan gambar yang sudah lama berada dalam simpanan. Kebetulan ketika itu, aku berada di bilik umi dan abah. Umi terpandang gambar itu. Aku cepat-cepat menekan butang seterusnya pada dada Romi Jr. Malangnya, tak sempat. 

"Gambar apa tu?" soal umi.

"Izan buat dulu, saja-saja" ujarku.

"Buka, umi nak tengok," pinta umi.

Tak ada pilihan lain buatku. Aku membukanya. Tiba-tiba rasa malu. Seakan tertangkap selepas membuat kesalahan, menyimpan gambar Salman Khan! Wah, hahaha!

"Bila kau buat?" soal umi.

"Dah lama, lepas abah keluar dari wad dulu," jawabku.

"Kenapa tak tunjuk kat umi dan abah?" tak henti menyoal.

"Malu...," ujarku ringkas.

"Amboi, yang ini kau malu. Kalau gambar mamat Hindi tu tak pulak ya?" perli umi.

Tak pasal-pasal kena. Aduhai, nasib.

"Apa yang kau tulis dalam gambar tu. Baca sikit, umi tak nampak," sambung umi.

Alamak. Semakin berat permintaan umi. Nak tak nak, aku kena baca. 

"Umi dan abah...
Tiada kata tanpa bahasa...
Tiada irama tanpa lagu...
Tanpa kamu...
Tiadalah aku...

Kamulah kata dalam bahasaku...
Kamulah irama dalam laguku...
Hanya kamu...
Nyawa dan duniaku."

Aku terdiam. Umi juga begitu. Abah yang duduk di atas katil turut terdiam.

"Print gambar tu, umi suka...," kata umi. 

Aku pandang umi dan abah. Sesungguhnya, itu bukan sekadar ayat. Itu rasa yang ada. Dan kalaulah rasa itu boleh digambarkan dalam kata-kata. Yang terluah, masih belum bisa menggambarkan rasa ini. 



Friday, June 1, 2012

Andai mampu...


29 Mei, terlalu istimewa. Setiap kali apabila tarikh ini menghampiri, aku mencari alasan untuk keluar. Bukan keluar untuk berjoli, tetapi cuba untuk pulang dengan sesuatu. Sesuatu yang bisa membuat insan paling istimewa dalam hidup aku tersenyum. Ya, si dia yang teristimewa adalah ratu hatiku. UMI.

 Bersama wanita paling indah... umi
Kira-kira, ini kali kedua aku cuba membuat kejutan. Kali pertama dahulu, umi siap merajuk hati denganku. Ikutkan, memang aku tak sanggup membuat umi berkecil hati, apatah lagi bermuram disebabkan aku. Namun, disebabkan satu niat suci ini, aku biarkan dahulu umi terjeruk rasa.

Hari itu, aku membuat alasan untuk berjumpa dengan salah seorang teman sehatiku (yang sudah amat lama tidak ketemu) Azwa. Terlalu banyak juga yang dibincangkan. Aku juga masih ingat, bagaimana seorang pemandu melanggar kereta Azwa tatkala sedang berbual dengan aku menerusi talian telefon. Hmmm. Kalau ia merupakan kesalahan aku, mohon maaf ya sahabat!

Petang itu, aku kembali. Sebenarnya, dari awal lagi aku dah berpakat dengan Ayuz. Dia membawa umi dan abah bersiar-siar, sementara aku memburu hadiah yang perlu aku beri kepada umi. Ya, sudah lama aku perhatikan. Bodohlah aku, kalau tidak tahu apa yang umi mahukan. Sebuah telefon bimbit, BlackBerry. 

Alhamdulillah, pencarian aku berbaloi. Sebuah Blackberry untuk umi. Senyuman aku ketika itu boleh diumpamakan matahari yang timbul di waktu malam. Ha? Ya. 

Pulang ke rumah, umi mula bersikap anak-anak. (Umi comel sangat buat muka masam macam tu!) Aku terburu-buru masuk ke bilik. Kononnya tak mahu bertembung muka dengan umi. Walhal dalam bilik, aku memaki diri sendiri. Apa tidaknya? Aku lupa membeli kad ucapan hari lahir. Kebetulan, ada kertas-kertas warna dan beberapa pen serta hiasan bintang-bintang kecil yang pernah aku beli dahulu. Sepantas kilat, tangan aku membuat kad ucapan yang tak seberapa. Yang pastinya, ia datang terus dari hati. Entah kenapa, hati rasa sayu. Haish... beremosi benar aku!


Tepat 12 malam, 29 Mei, seperti biasa, aku mengetuk pintu bilik umi. Kad ucapan tadi sempat aku minta along untuk turunkan tandatangannya. Sayang, tak sempat minta dari Ayuz. Maaf Ayuz, tapi kau dah buat terlalu banyak untuk hari ini. Hari istimewa umi!

Tatkala aku datang dengan kad ucapan dan bungkusan hadiah di tangan, umi dah mula sebak. Miqhail pula terdiam (hakikatnya, budak ni memang tak pernah berenggang dengan Wannya). Hahaha. Comel sungguh.

"Izan sanggup kalau umi menyumpah sekalipun, sebab niat Izan benar," ucapku pada umi.

Kad ucapan aku taklah sempurna, juga tidaklah cantik. Tetapi umi tetap tersenyum menerimanya. Setelah habis dibaca, Umi letak di rak. Dipampangkan dengan sengaja, supaya dapat dilihat orang. Kemudian, Umi membuka bungkusan hadiah. 

Jujurnya, tiada apa yang lebih bermakna buatku apabila melihat senyuman yang terukir di bibir umi. Seolah-olah aku mengecap bahagia yang paling kemuncak. Senyuman umi.

"Umi tak harapkan apa-apa," ujar umi. 

"Izan tahu, umi nak Blackberry, sama macam Izan, kan?" kataku.

Andai mampu, bukan sekadar Blackberry untuk umi. Lebih dari itu. Lebih dari segalanya untuk abah dan umi!

Umi senyum lagi. Malam itu, sungguh indah. Sangat indah. Berada di sisi umi dan abah, aku tak perlu berfikir tentang dunia kerana merekalah syurgaku. Selamanya. Insya-allah.

Kad ucapan dari aku, buat saat-saat akhir...
Tak seberapa, sebab aku tak pandai nak buat cantik-cantik ya!

Taadaaa!!! Blackberry!
Miqhail... mula nak mengacau.
Ini untuk umi...
Gandingan lama dan baru...