Wednesday, March 28, 2012

CARUT!



Satu perkara yang buat aku tidak faham sejak kecil lagi, kenapa manusia suka sangat mencarut? Aku tak faham, kenapa mereka perlu 'bogel' semata-mata untuk meluahkan kemarahan atau rasa tidak puas hati? Apa yang mereka dapat dengan mencarut?

Setiap perkataan yang lahir dari bibir merupakan satu doa. Bukankah pelik bunyinya, kalau doa itu terlafaz dengan kata-kata kesat? Tak silap aku, setiap perkataan kotor yang keluar dari mulut, mendatangkan dosa. Betul tak? Kalau dah tahu berdosa, kenapa mencarut? Marah sangat? Tak puas hati? Adakah carut satu ekspresi yang tepat? Benarkah ia tepat?

Sebenarnya, sejak dari kecil lagi aku dan adik-beradik yang lain telah diajar untuk tidak mengungkapkan kata-kata sebegini. Aku masih ingat lagi, umi sediakan cili api dan tenyeh di bibir kami setiap kali keluar perkataan yang tidak sepatutnya. Berkesan? Barangkali, ianya berkesan sebab sampai ke hari ini, sangat sukar untuk aku melafazkan perkataan kesat. Dalam hati pun tak kesampaian nak diniatkan. Bukan takutkan kepada cili api (hehehe, aku kuat makan pedas. Kalau tak makan pedas sehari, rasanya macam MATI) tapi, sebab sudah terasuh sejak kecil lagi. Jadi, aku berani katakan cara umi dan abah mengasuh kami amatlah berjaya. Cumanya, aku tak pasti dengan Along dan Ayuz. Sama ada mereka masih lagi seperti aku yang tak menggunakan perkataan ini, atau sudah berubah mengikut peredaran umur. Entahlah. Aku tak tahu tentang itu.

Pernah juga aku menggunakan perkataan yang dikategorikan sebagai perkataan CARUT; celaka, babi dan lahabau. Hmmm. Tapi, benarkah perkataan-perkataan ini tergolong dalam CARUT?

Perkataan pertama, celaka. Mengikut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka Edisi Keempat, Celaka bermaksud;
1. malang (bkn nasib seseorang), sial, tidak baik: nasibnya sungguh ~; 2. sesuatu yg menyebabkan penderitaan (kesusahan dll), kemalangan, kesialan: apabila sudah mendapat ~, seorang pun tidak datang menolong; 3. makian, keparat, jahanam, bedebah: anak sial, anak ~! 4. seruan utk menyatakan kemarahan (kekecewaan dll): Ah, ~, apalah nasib; ~ tiga belas malang sekali; mencelakakan menimbulkan (mendatangkan) celaka, menjahanamkan (merosakkan dll): lubang itu digali orang utk ~ kita; dia ~ setiap orang yg berkawan dengannya; kecelakaan bencana, kemalangan, kesusah­an, malapetaka: hidupnya terdesak dan mengalami ~ selalu; polis tidak ada di tempat ~ itu; perempuan itu mati kerana ~.

Jadi, adakah ia tergolong dalam perkataan CARUT? Aku fikir, tidak. Pernah aku ditegur seorang kenalan, katanya tidak baik gunakan perkataan Celaka. Jadi, aku hormati pendapat dan nasihatnya. Alhamdulillah, aku tak guna lagi perkataan ini.

Perkataan kedua, babi. Semua tahu apa maksud perkataan ini. Binatang yang haram untuk orang Islam. Kenapa kalau marah, aku sebut babi? Hmm. Sebab, dah habis tahap kesabaran. Babi, paling senang disebut dan puas apabila disebut. Orang yang dengar pun tahu, kalau keluar perkataan ini, tandanya aku memang sedang sangat marah! Tapi, semenjak umur dah nak meningkat, aku cuba tukar penggunaan perkataan babi ini kepada; HARAM! Hehehe. Habis marahlah tu gamaknya!

Perkataan ketiga, lahabau. Mengikut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka Edisi Keempat, Lahabau bermaksud;
bk kata makian yg bermaksud tidak berguna, tidak boleh diharap, haprak.

Mula dengar perkataan ini dari seorang nenek angkat di Melaka. Aku guna, sebab dah terdengar. Jadi, aku fikirkan ia satu perkataan yang biasa-biasa saja. Tapi bila ditegur, Alhamdulillah... perkataan ini dijatuhkan hukuman mandatori, TIDAK BOLEH DISEBUT!

Itu tiga perkataan yang pernah seringkali aku gunakan untuk meluahkan kemarahan. Tapi, alhamdulillah, sekarang dah kurang. Cuma, aku sangat pelik apabila mendengar, melihat dan membaca perkataan CARUT ini secara tidak segan silu diletakan di ruang laman soSIAL... oppps, laman sosial. Tidak kiralah, di blog, Twitter mahupun Facebook. Penggunaannya sangat berleluasa. Budak kecil yang masih bersekolah rendah pun sudah pandai menggunakan perkataan-perkataan ini. Hmmm. Tidak ada pantauan dari ibu bapa atau guru-guru? Atau mereka belajar perkataan-perkataan ini dari ibu bapa mahupun guru-guru sendiri? Bukan menuduh, sebaliknya memikirkan kemungkinan.

Tidak kurang juga di IPT mahupun di tempat kerja. Perkataan-perkataan yang seakan mengaibkan keluar dengan mudah dari mulut-mulut manusia ini. Hmmm. Adakah ia perkataan keramat yang boleh dibanggakan semasa melafazkannya? Nampak sahaja berpelajaran, tapi bila marah, seakan jamban terlekat di bibir. Semua perkataan kesat meluncur laju keluar tanpa rasa segan dan silu?



Jujurnya, aku tidak berapa hairan kalau mendengar kaum Hawa mencarut. Sekurang-kurangnya, perkataan yang dicarutkan adalah kepunyaan mereka tetapi yang menjadi isu kepada aku, apabila kaum Adam yang bangga menggunakan perkataan-perkataan yang seumpama menelangjangkan kaum Hawa di depan mereka. Bukankah ia seakan gangguan seksual? Gangguan seksual boleh disabitkan kesalahan, betul tak? Inilah yang aku rasa setiap kali berdepan dengan kaum Adam yang sangat bangga melafazkan perkataan mencarut ini yang membabitkan kemaluan wanita. Kenapa tidak guna perkataan lain? Kenapa oh kenapa?



Apa kata, lainkali guna anggota badan yang semua orang boleh nampak.

"Hidung betul kau, Senah! Suka-suka hati tuduh aku kacak!"

"Telinga betul budak-budak ni, aku suruh 'photostat' bukan faks!"

"Kaki busuklah kau, tak boleh buat cakap ajelah. Tak payahlah aku susah-susah tunggu."

"Lutut! Aku bukan cakap dengan kau, tapi dengan si Leha ni!"

"Siku... ambik ni! Jangan tunjuk muka seposen kau lagi!"

Senang bukan? Dalam masa yang sama, tak payahlah kumpul dosa banyak-banyak. Memang bukan senang nak mengawal diri dari melakukan dosa. Tapi, selagi termampu apa salahnya kita mencuba perlahan-lahan. Wallahualam.

* Sebaik-baiknya, cubalah istighfar banyak-banyak. Itu adalah lebih baik, mendekatkan kita kepada Allah dan menghindar terus mulut kita dari melakukan dosa. Cuma, kalau dah habis sabar dan nak juga tunjuk serta luahkan kemarahan itu kepada orang yang sepatutnya, cubalah gunakan perkataan-perkataan ini. Boleh?

Monday, March 26, 2012

Kemanusiaan = Kesatuan

Pernah tak kalian bertemu dengan satu soalan pelik sebegini...

"Agaknya apa yang ada dalam kepala otak kau? Aku teringin sangat nak tengok!"

Takkanlah kau tak seram dengar soalan macam tu? Aku pandang juga muka orang yang tanya soalan ini, dua tiga kali. Katanya lagi, apa yang aku fikirkan tak tergambar pun pada raut wajah aku. Boleh terima? Entahlah. Suka-suka hati nak tengok otak orang. Ish ish ish. Buat pengetahuan anda (tahu dia sedang membaca ini), kalau dibedah, dibelah, dikeluarkan otak saya sekalipun, tidak akan ada apa-apa untuk dibaca melainkan urat-urat merah, berdaging putih, merah jambu lembut yang sangat menggelikan akan kelihatan. Berani?


Otak siapakah? Pastinya bukan milik aku!

Hei saudara, jangan kecil hati ya! Hahaha.

Hari ini, aku mahu bercerita tentang satu kisah benar. Benar-benar berlaku kepada aku dan teman sekerja. Kisah yang sangat indah kalau dilihat lapisan demi lapisan. Tengah hari itu, kali pertama kami berdua nak menjamu selera di kedai mamak. Bukan sebab ketagih bau haruman mamak, tetapi nak melarikan diri dari suasana pejabat untuk sementara. Biasalah, berhari-hari di pejabat, ada masanya nak mencuci mata juga. Hehehe.

Nak dijadikan cerita, semasa menuruni anak tangga sebelum melintasi jalan, kami terdengar bunyi suara kucing. Aku mencari-cari juga dari mana datangnya bunyi itu. Teman sekerja aku menunjukkan kucing yang sudah pun ada dalam longkang besar. Katanya lagi, pagi tadi kucing itu dilihatnya berada di tebing longkang. Mungkin kucing putih itu terjatuh. Aku dan dia cuba mencari jalan untuk membawa kucing itu naik. Malangnya, jarak antara longkang dan tebing sangatlah dalam.


sekadar gambar hiasan (tapi lebih kurang beginilah longkangnya!)

Kami mencari sesuatu yang boleh mengaut kucing malang itu. Kayu yang ditemui di kiri kanan jalan, tidak cukup panjang. Aku dan dia berjalan sedikit ke hadapan dan ternampak palong yang melintang di antara tebing longkang di sebelah sana dan juga di sebelah tempat kami berdiri. Palong itu boleh digunakan untuk terjun ke dalam longkang yang dalam tetapi kering itu dan dipenuhi dedaunan.

Aku cuba melihat jarak kedalaman longkang itu. Hmm. Memang aku tak mampu. Aku mampu untuk turun tapi pasti tidak mampu untuk naik kembali. Sedang kami sibuk berkira-kira untuk menyelamatkan kucing putih yang masih merintih dalam longkang, datanglah pengawal keselamatan yang kebetulan memang ramah dengan aku. Jadi, aku ambil kesempatan ini dan meminta dia selamatkan kucing itu. Mulanya dia menolak dengan mengatakan, dia pasti tidak boleh naik ke atas semula.

Dalam masa yang sama, seorang pemuda datang. Tanpa berfikir panjang dan menolak perasaan segan jauh-jauh, aku minta dia berhenti dan selamatkan kucing itu. Tidak seperti pengawal tadi, pemuda ini hanya menjenguk sedikit dan terus berlalu. Hmm. Hampa? Sangat kecewa aku dibuatnya. Melihatkan itu, pengawal tadi tekad untuk turun dan meminta aku pegang topinya. Belum sempat melangkah ke palong, datang seorang budak dan seorang pakcik tua. Budak itu bertanya, apa yang terjadi dan aku katakan padanya, seekor kucing bunting terjatuh ke dalam longkang dan tak dapat naik.


sekadar gambar hiasan (beginilah rupa kucing putih bunting itu)

Mendengar kata-kataku itu, budak lelaki tadi terus meluru menghampiri dan berjalan ke palong lalu melompat terus ke dalam longkang. Aku perlu katakan di sini, budak itu sangat pantas. Dia berlari mendapatkan kucing bunting yang ketakutan dan menyerahkannya kepada pakcik tua yang sedia menunggu di tebing. Kucing berjaya diselamatkan tetapi budak lelaki tadi tidak dapat naik memandangkan longkang yang sangat dalam dan dia tidaklah begitu tinggi. Maklumlah, dia masih budak. Pakcik tua menghulurkan tangan supaya dia dapat berpaut. Memandangkan kekuatan pakcik tua itu pun tidak membantu, aku mencapai tangannya. Dia berpaut kuat pada tanganku dan akhirnya, berjaya keluar dari longkang tersebut.

Misi menyelamatkan kucing putih bunting selesai. Kami berlima bertukar-tukar ucapan terima kasih kerana kesanggupan masing-masing membantu misi ini. Aku tepuk bahu budak lelaki itu dan berterima kasih. Dia tertunduk malu. Kucing putih bunting yang diselamatkan tadi menggesel ke kakiku. Tiba-tiba rasa geli pula. Bukan sebab apa, aku ni tak berapa 'rapat' dengan kucing. Jangan salah faham. Aku memang suka kucing tapi tak pernah bermanja atau nak main pegang-pegang. Takut. Takut kena cakar! Hahaha.


Sekadar gambar hiasan (mata kucing yang sebenar, matanya lebih cantik)

Kucing putih yang bunting itu terus menggesel kakiku dari kanan ke kiri, aku pandang ke dalam matanya. Seperti berkata sesuatu dan dia terus menggesel lagi. Baiklah. Aku faham. Mungkin, itu caranya untuk dia ucapkan terima kasih kepada kami. Kalau ikutkan hati, mahu saja aku pegang dan dukung kucing itu, tetapi memandangkan aku masih tidak berkeyakinan untuk memegang kucing, aku meminta pengawal keselamatan itu untuk mendukung dan membawanya ke tempat yang lebih selamat. Alhamdulillah. Bukan satu nyawa diselamatkan, malah beberapa nyawa lagi.


Harap dia sentiasa selamat

* Pengajaran yang dapat diperolehi dari kejadian ini, kemanusiaan yang menyatukan manusia, bukanlah kefahaman politik mahupun konsep 1Malaysia! Selagi ada sifat kemanusiaan, di situ akan ada kesatuan. Kalau sifat kemanusiaan dihinjak dan kepentingan manusia diutamakan, maka perkara tadi tidak akan terjadi, tak begitu? Dan mereka yang terlibat tadi, terdiri dari pelbagai kaum; Melayu (aku dan teman sekerja), Cina (pengawal keselamatan dan pakcik tua) dan India (budak lelaki). Tahniah!

Friday, March 23, 2012

Sesuatu Untuk Dikongsi

Kadang-kadang dalam kehidupan yang kejar-mengejar ini, ada masanya kita perlu berhenti, berehat dan menikmati apa yang ada di sekeliling. Betul bukan? Jadi, entri kali ini aku sengaja ingin kongsikan beberapa perkara yang bukanlah berat, tidak juga ringan tetapi sesuatu untuk kita fikirkan. Dalam keadaan yang santai dan tenang. Hehehe. Jangan terlalu serius dalam kehidupan dan usah bunuh kanak-kanak dalam diri. Biarkan ia hidup dan bebas untuk seketika. Tak salah, bukan?



"Karya seni adalah satu daripada kerja Tuhan.
Oleh itu, buatlah sungguh-sungguh dengan penuh kejujuran."

* petikan kata-kata Teuku Zakaria Bin Teuku Nyak Puteh @ P.Ramlee (22 Mac 1929-29 Mei 1973)


Sangat benar! Macam aku, susah nak percayakan orang!


sedang mencari, dan bukan senang nak jumpa!


ayat mudah, jangan suka lempar FITNAH!


renung-renungkan...


biarlah kita diketawakan manusia,
jangan kita diketawakan syaitan!



Hahaha... pemainnya patut dibawa ke sini!


apa yang kau nampak?


Bukan itu aja...


yang ni, khas untuk aku! Hahaha...

Wednesday, March 21, 2012

Bunohan - Ini Bukan Ulasan!

Pasti ramai orang naik jemu dengan rangkaian tweet dan status Mukabuku aku yang tidak henti-henti bercerita tentang Bunohan. Soalannya, pernah kalian lihat aku bersemangat melobi filem-filem Malaysia sebelum ini? Tak! Kenapa? Mudah. Aku sendiri tak mahu tonton, kenapa perlu aku melobi pula? HIPOKRIT! Aku bukan hipokrit.




Kenapa pula aku lobi Bunohan? Oh, salah! Bukan sebab aku pelajar kelahiran ASK/ASWARA tetapi, aku suka dengan Bunohan. Sejak kali pertama menonton trailer Bunohan, aku dah tangkap cinta dan tak mahu lepaskan waktu filem ini ditayangkan. Kali terakhir aku begini beria-ia tentang filem Malaysia, Wayang. Memang benar, aku tak berkesempatan menonton Wayang di pawagam tetapi kali ini, aku pastikan tidak ada apa yang menghalang untuk aku menikmati Bunohan.

Entri ini pula, bukanlah ulasan. Sebab, kalau ulas panjang-panjang dan kata bagus dengan mengemukan teori itu dan ini, bagi yang buta seni tetap cakap, BUNOHAN MEMBOSANKAN. Lagi sakit hati bila ada yang cakap, "orang menonton wayang untuk suka-suka, hiburan, bukan untuk berfikir!" Ambik kau! Jadi, sekali lagi aku katakan, "APA GUNA BERTEKAK DENGAN ORANG MACAM INI. Bagi mereka, filem yang bagus untuk diangkat, yang sealiran dan sedarah dengan filem-filem gangster, apa-apa pun boleh celop dan hantu yang berkeliaran di pawagam sekarang ini.

Namun apa yang boleh aku katakan di sini, terima kasih 'famili Bunohan' kerana menghidangkan santapan yang enak dan cukup rencah. Sekurang-kurangnya dengan kehadiran Bunohan, taklah aku malu nak perkenalkan filem Malaysia kepada teman-teman maya dari Montana, Jerman, India, Indonesia, Iran dan sebagainya. Malah dengan menonton trailer yang sesingkat itu pun mereka dah suka dan ada banyak benda yang boleh dibincangkan bersama aku. Hakikatnya, biarlah kita berkongsi dengan orang yang langsung tak faham daripada orang yang berlagak faham dan meletakan karya ini jauh ke dalam.


Bunohan kepada Filem Malaysia - Ambik kau!
(nah, kau lapar mesej sangat, kan?)


Di sini, aku ingin memetik dari kata-kata pengkritik filem yang otai. Aku malas nak baca kata-kata pengkritik yang dirinya sendiri buta dalam suluhan cahaya!

BUNOHAN bukan filem yang boleh dirujuk di segi sosiologi, komunikasi atau pun antropologi. Di sinilah kesilapan para sarjana kerana mereka tidak ada pengajian filem yang sebenar dan tidak pula tahu aspek-aspek 'film hermeneutics'. Fahaman sebenar tentang filem bukan datangnya dari buku-buku yang bertimbun di perpustakaan. Jangan dijadikan buku sebagai sandaran tetapi hanya sebagai rujukan. Ilmu sebenar berada di mulut guru. Seperti seni warisan bangsa turun temurun, falsafah dan pemikiran waras adalah harta pusaka yang tidak ternilai dan diturunkan dari guru kepada murid. Manakah guru-guru dan murid-murid sebegini di zaman manusia mengejar ‘kemajuan’ dan ‘pembangunan’? Apabila manusia asyik mengejar pangkat, darjat, pembangunan dan kemewahan, segala elemen kebatinan yang terdapat pada orang-orang Melayu (seperti satu masa dahulu) akan musnah dan hilang dari bumi Melayu.

Pada saya, inilah hikmah di sebalik kata-kata: ‘”Takkan Melayu hilang dari dunia.” Pada saya, inilah nawaitu (dan harapan) Dain Said dengan naskahnya, BUNOHAN. Nabi, s.a.w., pernah bersabda: “Seseorang itu lebih daripada orang lain hanya kerana ilmunya.” Jika tidak memahami sesebuah filem, masalahnya bukan berada pada naskah tetapi kepada yang menontonnya.


Apa kan daya, sudah terang tetapi perlu disuluh lagi. Semakin maju dan semakin berpelajaran kita, semakin jauh dari sasaran. Inilah nasib bangsa yang sudah kehilangan segala-galanya yang diperkatakan dalam BUNOHAN. Diharap sang penilai di festival filem nanti tidak juga akan sama tersesat jalan. - Encik Hassan Abd Muthalib.

* Apa yang aku sangat suka dalam filem Bunohan, tidak ada pelakon yang lebih diutamakan. Maksudnya, semua watak adalah sama penting. Dari sebesar-besar watak sehinggalah yang sekecil-kecilnya membawa peranan yang amat berat dan adil.

Tuesday, March 20, 2012

Cinta Hati...

Satu ketika dulu, aku pernah berjanji tidak mahu 'bercinta' lagi.
Sakitnya hati apabila ditinggalkan cinta hati amatlah pedih tidak terperi.
Namun sebagai manusia,
siapa yang mampu menolak sekiranya ia datang mengetuk kembali?

Setelah pemergian beberapa cinta hati membuatkan aku berpatah arang untuk memulakan semuanya dari awal. Silky, CJ dan Kokoi. Pergi dengan keadaan penuh tragik, malah aku sempat berbengkak mata menangisi pemergian mereka. Kura-kura dan ikan koi kesayanganku.

Dulu aku pernah bercerita betapa hati ini kepingin untuk memiliki seekor kura-kura bintang sebagai haiwan peliharaan. Bila orang bertanya, kenapa kura-kura? Kenapa bukan kucing, arnab dan hamster? Aku cuma jawab, "kura-kura sangat comel!"



Jawapan aku itu sering dibalas dengan ketawa. Eleh, kalian yang tidak faham keunikan kura-kura, sebab itulah ketawa! Kura-kura sangat comel, terutama sekali bila menyembunyikan diri dalam cengkerangnya. Bila makan, congok! Tak sempat aku hulurkan kepingan makanan, dia dah menerpa keluar. Comel, bukan? Bila nak bermanja, dia suka dicium di atas kepalanya yang licin. Hahaha. Ada yang geli baca bahagian ini?

Baiklah, sudah cukup sesi mengenang cinta hati yang sudah pun berkubur. Kali ini, aku mahu menceritakan tentang cinta hati yang datang tanpa disengajakan. Ya. Kehadiran satu lagi cinta hati ini tidak pernah aku sangka atau rancang tetapi ia datang dalam rupa bentuk pemberian. Seekor ikan patin hasil tangkapan jiran aku yang mulanya diberikan kepada abah sebagai hidangan. Aku masih ingat lagi, ikan patin ini datang dalam bungkusan, waktu itu sudah agak lewat malam. Abah tidak terus masuk ke dalam rumah, sebaliknya berbual mesra terlebih dulu.

Aku leka melayan Miqhail dengan I-Pad nya. Umi pula sudah merencana, masakan apa yang bakal dibuat dengan ikan patin itu nanti. Apabila abah masuk, abah serahkan ikan patin dalam bungkusan plastik putih kepada aku dan kata,

"Buatlah apa yang kau nak."

Aku terkejut.

"Kita bela?"

"Pergilah isi air dalam akuarium tu," kata abah, tidak menolak permintaan aku.


Hari pertama TinTin ... matanya merah, cedera barangkali!

Tanpa berkata apa-apa, aku terus meluru ke luar rumah dan mula mengisi air dalam akuarium yang baru sahaja aku alih dan bersihkan beberapa hari sebelum itu. Dalam aku sibuk mengisi air, abah sempat juga kata yang ikan patin itu tak mungkin hidup sebab dah lemah sangat. Tambah pula, dah lama ditangkap dan terperuk dalam beg plastik tadi.

"Kalau tak boleh, tak apalah Izan," pujuk abah.

Seperti biasa, aku ini manusia degil dan tak hatinya tak kurang keras dari batu! Jadi, aku terus menggosok badan ikan patin. Sekejap dia mula bergerak dan beberapa minit kemudian, dia menyendeng. Tidak bergerak. Aku masukan tangan ke dalam akuarium dan terus mengusap badannya tanpa henti. Dia bergerak dan berhenti. Bergerak dan berhenti.

"Dahlah Izan. Tengah malam dah pun, pergilah masuk tidur. Bawa si Miqhail. Abah nak berjaga malam ni," kata abah yang bertugas berkawal kawasan rumah malam itu. Kebetulan, abah dengan beberapa penduduk lain bertugas menjaga KESELAMATAN Park Avenue malam itu!

"Izan tak rasa dia akan mati, abah," kataku lagi, mengharap.

"Kita biarkan dia dulu dalam akuarium tu, nanti bila abah balik, abah tengoklah. Kalau dia dah tak bergerak, abah buang aje. Kalau dia bergerak, baguslah." Pujuk umi.

Aku tak cepat mengalah dengan pujukan umi. Aku terus menggosok badan TinTin. Hahaha. Ya, belum apa-apa lagi aku dah beri nama dia TinTin. Sambil badannya aku gosok, aku katakan ini kepadanya... (maaflah, terguna bahasa penjajah pula masa bercakap dengan TinTin)

"You're strong TinTin, fight for your life and breathe!"

Selepas itu sahaja, barulah aku tinggalkan TinTin dengan harapan, aku akan jumpa lagi dengan TinTin esok. Bukan jumpa untuk dibuang ke dalam sungai atau longkang tetapi, jumpa untuk beri makan dan bermain-main dengannya.


TinTin... fight for your life!

Keesokan paginya, sebaik bangun dari tidur seawal pukul 5 pagi (tanpa sedar waktu itu masih gelap), aku berlari ke rumah bawah dan menyelak langsir untuk melihat akuarium. Tak puas hati, aku keluar... TinTin, bergerak. Alhamdulillah. Panjang umur si TinTin. Tak sia-sia aku memberi sentuhan dengan mengusap-ngusapnya. Sangat gembira tidak terhingga sehinggakan aku tweet kisah TinTin di Twitter. Ada yang ketawa, ada yang turut gembira!

Apa-apa pun, aku bersyukur kerana dapat seekor lagi teman baru dan cinta hatiku. TinTin. Sekarang, TinTin dah garang. Aku tak boleh nak belai macam mula-mula dia datang ke rumah ini. Silap haribulan, boleh disengatnya. Nak lihat, macam mana rupa TinTin? Ikan Patin paling kacak pernah aku lihat. Kenapa pula? Sebab, ikan patin lain aku nampak masa dah mati dan bersedia untuk dimasak! Lalalaaa...


Miqhail kata... " Angah, cat-fish!"

Saturday, March 17, 2012

Tidur Si Malam


Tidur Si Malam

Titik-titik putih,
Urat-urat merah,
Jingga dan kelabu,
Kaku,
Beku.

Titik kekacauan,
Titik kekeliruan,
Titik halus,
Titik hapus,
Timbus,
MAMPUS.

Tidur si malam,
Berdengkur alam,
Tarik aku ke dalam,
Bersama kelam,
Diam,
Pendam!

* Sesungguhnya tidak ada yang adil melainkan Allah! Allah Maha Adil. Diberikan segala tapi ditinggalkan satu kelompangan. Kelompangan yang maha dahsyat! Syukurlah dengan apa yang engkau dan aku ada. Kelompangan bukan menempatkan kita di tempat hina sebaliknya menghamba dan mendekatkan diri pada-Nya. Insya-allah.

Wednesday, March 14, 2012

Kekal atau mati?

Manusia dihinjak.
Kuat, bertahan.
Lemah, ditindan.

Manusia diuji.
Tiada kalah, tiada menang,
Cuma kekal atau mati.

Manusia,
Hati pengkalan nyawa,
Kekal hatinya, iman,
Mati hatinya, kufur.

[5:38 pagi, Rabu. 14 Mac 2012]


Sangat terkesan dengan pembunuhan kejam adik Nurul Nadirah dan saudara-saudara seIslam yang terus dianiaya dan teraniaya di Syria, Palestine dan seluruhnya. Takziah kepada saudara seIslam sedunia. Pemergian insan tersayang, iringilah doa dan janganlah diratap. Kepada yang mati hatinya, bermohonlah semoga Allah menunjuk jalan. Kepada yang telah pergi jasadnya, Al-Fatihah disedekahkan. Sesungguhnya kematian memisahkan jasad dan bukannya kasih sayang.



[1] Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[2] Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
[3] Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[4] Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
[5] Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
[6] Tunjukilah kami jalan yang lurus.
[7] Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Cinta

Sebagaimana, titis air hujan menjadi perlambangan kepada penyucian,
begitulah juga titisan air mata, mensucikan jiwa yang kekotoran.

Ada masanya, perkataan tidak mampu meluahkan selautan rasa yang memenuhi jiwa. Aku bersyukur. Alhamdulillah. Terima kasih, cinta!



* Dan akan aku genggam kemas cinta ini...