Monday, September 5, 2011

Keluarga adalah segalanya!




Lazimnya, setiap kali muncul Hari Raya, aktiviti aku sekeluarga sejurus sahaja selesai solat dan bermaaf-maafan, akan bergeraklah kami ke kedai gambar untuk merakamkan gambar keluarga. Memandangkan tahun ini, bilangan ahli tidak mencukupi, maka kami menangguhkan sesi tersebut ke hari yang lain.

Apa yang seronoknya merakamkan gambar keluarga ini? Entahlah, tapi memang itulah yang dilakukan setiap kali tiba raya. Mungkin moodnya berbeza berbanding hari-hari lain. Tambahan pula, kali ini gambar keluarga ada penambahan ahli. Mierza dan Firdaus.

Jujurnya, bukan senang nak melayan kerenah 9 orang dalam satu-satu masa. Ada yang tak suka senyum, ada yang tak suka bergambar dan ada juga yang perengus. Hah, itu memang perangai budak-budak, Miqhail dan Mierza. Bila seorang dah senyum, seorang lagi bertempiaran lari. Bila seorang dah buat gaya, seorang merengek nak botol susu. Adeih!

Apa-apa pun, sesi yang hampir memakan masa selama 1 jam ini berjaya juga merakam saat-saat menarik. Bak kata orang, sekeping gambar, seribu cerita. Hehehe.


Bermulanya di sini...























Saturday, September 3, 2011

Aku, Bodyguard dan satu hambatan kenangan!

Setelah 4 hari bercuti (sakan), aku kembali ke meja editor bertugas. Memandangkan, mood hari raya masih bertapak, yang kelihatan di skrin komputer hanyalah ketupat, rendang dan juga lemang. Ya, memang aku tak makan lemang tapi tak bermaksud ia tidak dihidangkan di rumah. Hanya aku seorang yang tidak gemar makan lemang. Bukan kerana sombong, tapi setiap kali makan (walaupun sepotong) aku akan pening-pening. Lebih elok, jauhi dari membawa mudarat. Betul tak?

Bagaimana sambutan Aidilfitri kalian? Meriah? Banyak dapat duit raya? Hehehe. Soalan sensitif tu. Mana ada orang tua dapat duit raya? Lalalala...

Aidilfitri kali ini, sambut di rumah sahaja sebab aktiviti menziarah ahli keluarga dan saudara-mara terdekat akan dilakukan hari Sabtu dan Ahad ini sebab menunggu Along dan Ayuz pulang dari rumah mertua masing-masing. Dua hari pun belum tentu dapat habiskan sesi menziarah saudara-mara yang tinggal di sekitar Sentul, Gombak dan Selayang.

Jadi, hari raya pertama dihabiskan di rumah. Seronok juga, dapat melepak depan televisyen. Tetamu pun tak ada sebab semuanya pulang ke kampung. Yang tak seronoknya, rancangan di televisyen ni semuanya dah lapuk. Mana taknya, kata tayang istimewa Aidilfitri tetapi semuanya dah pernah aku tonton. Haish, sangat merugikan melanggan saluran kabel ni.

Menjelang raya ketiga (semalam), Along pun dah pulang ke sini bersama Miqhail dan Mierza. Tak sangka, walau hanya tak jumpa untuk beberapa hari, aku dah teramat rindu pada mereka. Hahaha.

Memandangkan rumah sudah ada serinya, aku ambil keputusan untuk beraya pula bersama kawan-kawan (yang ada di Kuala Lumpur!) Malangnya, semuanya tidak ada di rumah masing-masing (semua balik kampung). Mujurlah ada Harvindar. Jadi, aku pergilah beraya dengan sahabatku ini. Bukan di rumahnya, tetapi beraya di luar. Lebih tepat lagi, Capsquare, Kuala Lumpur.



Seperti biasalah, aktiviti aku di Capsquare ini tak lain hanyalah untuk menonton wayang. Filem yang aku tonton kali ini, Bodyguard. Hehehe. Aku sudah pernah tonton Bodyguard versi Hollywood, Bodyguard versi cina (Jet Li), Bodyguard versi Thailand dan Bodyguard versi Tamil (Vijay). Kali ini, Bodyguard versi Hindi (Salman Khan).

Kami menonton untuk tayangan kedua. Wah, memang padatlah dengan penonton. Sangat-sangat padat. Tak sangka juga, bukan aku seorang sahaja orang Melayu menonton filem Hindi di hari raya, ramai lagi yang datang. Ada yang datang berpasangan dan ada yang datang berkeluarga. Hehehe.

Bodyguard

Versi asal filem ini merupakan dari bahasa Malayalam (aku dah tonton). Versi keduanya, dalam bahasa Tamil (pun aku dah tonton) dan ini versi ketiga. Kenapa aku masih mahu tonton versi ketiga?(tengok kat wayang pulak tu). Satu, sebab pelakon dia Salman Khan dan kedua, ada kisah di sebaliknya.



Kali pertama aku tonton filem ini dalam versi Malayalam. Aku tak berapa nak faham, sebab tertengok di Youtube. Sarikata tidak ada. Bila ada versi kedua dalam bahasa Tamil ada ditayangkan di Astro. Di situlah aku ambil kesempatan menonton Bodyguard lakonan Vijay dan Asin ini. Bolehlah. Plotnya masih longgar. Tetapi, unsur komedi dan romantiknya memang menonjol. Eh, tapi bukan itu yang buatkan aku suka filem ini. Ada kisah di sebaliknya.

Versi ketiga ini, buatkan aku yakin ianya dibikin dengan lebih cantik, khususnya dari plot dan aksi-aksinya. Itu semua dapat dilihat dalam promo yang telah aku tonton sepanjang bulan lepas. Malah, satu lagu yang menghiasi filem ini sangat rapat dengan aku. Teri Meri. Aku datang ke pawagam ini dengan harapan yang agak besar. Supaya duit yang aku belanjakan itu, berbaloi. Ada sesuatu dalam filem ini yang membuatkan aku jatuh cinta dan mahu menonton berkali-kali kerana, ada kisah di sebaliknya.

Alhamdulillah, duit yang aku keluarkan memang berbaloi. Terhibur juga dalam masa 2 jam 20 minit. Dalam 3 versi yang aku tonton, ini yang terbaik. Hadiah dari Siddique, si pengarah filem (dia juga mengarahkan kedua-dua versi sebelum ini).



Bodyguard, Hambatan Kenanganku?

Ada persamaan filem ini dengan satu kisah terpinggir dalam hidup aku. Kalau dalam filem ini, Lovely Singh (Salman Khan) tidak tahu siapa Chaya (Kareena Kapoor), gadis yang mencintainya dan dicintainya menerusi panggilan telefon. Aku pula, pernah ada kisah yang hampir serupa. Yang membezakannya, aku tidak tahu siapakah insan yang berhubung dengan aku. Apa yang aku tahu, dia adalah seorang Bodyguard kepada seorang eksekutif dan orang ternama. Dia adalah Ridz.

Jujurnya, aku sendiri tidak pasti untuk meletakan kisah ini sebagai cinta atau persahabatan. Berkenalan hanya di hujung telefon sejak Ramadhan 2007 dan berakhir sekitar 2009. Sepanjang tempoh itu, dia tahu segala-galanya tentang aku tetapi aku sedikit pun tidak tahu tentang dia. Di awalnya, aku hanya anggap dia sebagai teman bercerita. Satunya sebab dia sering memberi nasihat dan tidak pernah menghukum aku.

Ridz suka membaca. Buku tulisan aku pun pernah dibacanya. Malah, setiap isi kandungan blog ini turut dibacanya. Dia lucu. Sangat lucu. Tahu apa yang aku suka dan apa yang tidak. Kadang-kadang, aku merasakan dia hampir. Begitu hampir dan ada di sekitar aku sahaja. Satunya sebab, dia tahu apa yang aku alami di kuliah, apa pakaian aku, apa yang aku makan dan dengan siapa aku bergaul. Dia juga tahu siapa yang menyusahkan aku dan apa mood aku. Itu yang membuatkan aku bertambah pelik. Pernah aku bertanya kepada dia, bagaimana dia tahu semua itu. Jawabnya, naluri hati. Aku balas, "mustahil"!

Pernah juga aku merisik pada rakan-rakan sekuliah. Mungkin, ada yang sengaja mahu kenakan aku. Maklumlah, di ASK dulu aku ini agak dingin. Belajar buat cara belajar. Tambah pula, hati aku sudah ada pemiliknya (pemilik hati sejak zaman remaja!). Tidak ada alasan untuk aku bergaul sesuka hati dengan pelajar lelaki. Dia pun pernah berpesan pada aku sebelum aku belajar di ASK, pandai-pandai jaga diri dan hati (sangat comel pesanan dia itu). Ya, itulah yang aku buat. Kawal diri dan jaga hati. Cuba tidak buat orang lain salah faham tetapi ada juga yang tersalah faham. Baiklah, itu satu cerita yang lain. Tak perlu diungkit.

Bila aku tanya kepada Ridz, dia hanya ketawa. Aku sangat pasti, dia ada di sekitar aku. Dulu, tidak ada ruangan sosial seperti MukaBuku. Yang ada (dan aku guna) hanyalah Myspace dan Friendster. Tapi, ruangan itu tidak aktif. Cuma ada beberapa informasi ringkas tentang aku dan aku tidak pernah mencatatkan status terkini.

Ridz sangat rajin menghubungi aku, sebaik sahaja selesai dia melaksanakan tugasnya sebagai Bodyguard. Kadang-kadang perbualan antara kami berlarutan sampai 3-4 pagi. Sudah terbiasa sebab aku memang susah nak tidur. Waktu itulah aku isi dengan berkarya dan menyelesaikan tugasan yang diberikan semasa di kuliah. Adanya panggilan dari Ridz, buatkan aku tidaklah berjaga keseorangan. Lama-kelamaan, aku dapat rasakan yang hubungan itu semakin akrab. Sehinggakan satu ketika, dia mahu berjumpa dengan aku. Aku pun setuju. Yalah, apa gunanya bercakap dalam telefon tetapi tidak tahu siapa orangnya?

Malangnya, dia tidak datang seperti yang dijanjikan. Dia mungkir janji. Bukan setakat mungkir janji tetapi terus menghilangkan diri. Dek kerana terbiasa bercakap dengan Ridz, aku rasa agak janggal bila dia tidak lagi menghubungi aku. Hampir 3 bulan juga dia senyap menghilangkan diri sehinggalah di satu hari aku dapat panggilan dari dia. Dia mohon maaf dan mengatakan dia berada di Perak untuk berubat.

Agak terkejut dengan kata-katanya itu. Bila ditanya, di hari yang sepatutnya dia berjumpa dengan aku, berlakunya satu kemalangan. Kemalangan itu membuatkan dia patah kaki. Disebabkan tidak dapat sembuh dalam tempoh 3 bulan, Ridz pulang ke kampung dan terpaksa diberhentikan kerja. Dia khuatir dan segan untuk menghubungi aku. Katanya, dia tak sedia nak berjumpa dengan aku dalam keadaanya yang sebegitu.

Sebenarnya, aku tidak kisah pun apa juga keadaan dia. Persahabatan tidak mengira cacat cela atau apa-apa pun. Jadi, aku faham dengan perasaan yang dia alami itu. Kebetulan ketika itu, aku pula sudah pun habis belajar dan bertugas sebagai wartawan junior. Sekaligus membataskan aku untuk berhubung dengan dia. Tidak, aku tak melarikan diri tetapi aku memang benar-benar sibuk dengan tugasan yang kadang-kadang selesai sampai pukul 1 pagi. Balik ke rumah, letih, mengantuk dan tidur.

Dan di satu hari, aku terima panggilan dia. Katanya, dia minta maaf kerana menganggu aku selama hari ini. Dia juga tidak mahu menyusahkan dengan asyik menelefon dan mengganggu tugasan aku. Aku sempat membalas dan mengatakan, aku cuma sibuk tapi tak bermaksud aku tidak mahu bercakap terus dengan dia. Tetapi dia tekad. Tekad untuk berhenti menghubungi aku. Tekad untuk terus hilang. Dan memang itu dilakukannya.

Sehingga hari ini, aku tidak tahu bagaimana wajahnya. Aku hanya tahu namanya. Berulang kali aku minta dia tunjukkan gambar, tetapi ada saja alasan yang dia beri. Takut aku tak boleh terima dan berhenti menjawab panggilannya sebaik lihat mukanya. Hmmm. Kenapa pula aku harus lari? Kawan tak mengenal rupa. Itu yang aku katakan padanya. Bukankah itu tidak adil? Dia tahu segala-galanya tentang aku. Aku langsung tidak tahu, bagaimana rupa Ridz. Ya, mungkin dia ada di sekitar dan aku tidak dapat mengecam wajahnya.

Jadi, itulah hambatan kenangan yang terpinggir. Satu sahaja yang aku harapkan, melihat wajahnya. Biarpun hanya sekali.

Bodyguard, memang hebat!

Aku tak mahu bercakap banyak. Macam-macam orang kritik filem ini. Satu sahaja yang boleh aku katakan, filem ini harus dilihat dengan dibuka lapisannya satu per satu. Filem ini sangat indah. Bukan senang nak tonton filem aksi yang didukungi dengan emosi dan dalam masa yang sama, percintaan yang sangat rumit tetapi indah. Bagaimana indahnya?





Pasangan bercinta tidak perlu menzahirkan rasa itu dengan melangkaui batas. Rasa itu ada dalam hati, bukan pada mata. Bukan juga pada fizikal. Bak dialog Lovely Singh bila ditanya...

"Kau sangat mencintainya?" Divya (Kareena Kapoor).

"Ya, puan." Lovely Singh (Salman Khan).

"Dia tahu tak? Kau ada gambarnya, tunjukkanlah," Divya.

"Saya tak pernah tengok dia, puan," Lovely Singh.

"Apa? Dan kau sangat mencintai dia?" Divya.

"Ya." Lovely Singh

"Kalau bertemu dia dan kau tak suka?" Divya.

"Suka itu datang dari hati puan, cinta pun datang dari hati, bukan?" Lovely Singh.

Kata-kata yang menusuk. Indah bila dituturkan, hakikatnya... adakah ia wujud di zaman sekarang ini? Hahaha.

Banyak adegan yang aku suka dalam filem ini. Terutama sekali, adegan aksi. Sangat terkesan dengan adegan di dalam disko. Mengingatkan aku adegan Bodyguard from Beijing.






Adegan ini juga. Hmmm. Ada yang dapat merasa peritnya derita Divya? Lovely mencintai Chaya (gadis yang menelefonnya dan gadis itu sebenarnya Divya). Divya mencintai Lovely. Itulah, lainkali jangan pandai-pandai bermain cinta, sudahnya siapa yang terkena jerat? Diri sendiri,bukan?