Tuesday, August 30, 2011

Ku bermohon...

Ada masanya, kehilangan kata-kata untuk melafazkan...

"Ku bermohon maaf darimu"

Tidak tahu mana silapnya, kata-kata menjadi semakin 'mahal' untuk suaraku membelinya. Jadi, aku cuba bermohon kemaafan dari sekalian yang mengenaliku; rapat, hampir mahu pun jauh. Maafkan kekhilafan yang pernah aku lakukan dalam sedar mahupun tidak. Selamat Hari Raya AIDILFITRI. Maaf zahir dan batin.

Rendang Hari Raya

Menjelang hari raya, pastinya ramai yang sedang sibuk membuat persiapan terakhir. Tidak kisahlah, sama ada membeli belah atau pun memasak makanan wajib untuk menyambut hari raya seperti rendang, ketupat, lemang dan dodol. Kalau tentang bab melemang, aku memang tak pandai. Menganyam ketupat pun, GAGAL. Perkara yang paling mudah aku buat dan bolehlah diberikan pengiktirafan sebagai Master, memasak rendang. Rendang daging, ayam, paru... apa juga jenis rendang. Insya-allah, bisa aku selesaikan. Terpulang kepada lidah masing-masing merasa sama ada sedap atau pun tidak.

Menurut kata umi pula, sedap itu hanyalah bonus. Kalau memasak sudah cukup rasa, itu pun lebih dari memadai. Bak kata oranglah, lidah lain-lain. Citarasa pun, lain-lain. Aku suka pedas, ada yang suka kurang pedas. Ada yang suka masin dan yang suka masin, memang ada potensi dapat darah tinggi. Kurang-kurangkan garam dalam masakan ya! Hehehe.

Baiklah, raya Aidilfitri kali ini aku tidak ke mana-mana. Along dan keluarganya pulang ke kampung abang Zamri di Perak. Ayuz pula akan merayakan hari raya pertama sebagai isteri ke rumah mertuanya. Yang tinggal, hanyalah aku. Aku, umi dan abah. Wah, seronok tau! Jadi anak bongsu. Dimanja-manjakan dan memanja-manjakan! Hahaha.

Apa-apa pun, itu bukan alasan untuk aku meninggalkan dapur. Waktu inilah paling sesuai untuk aku menajamkan kemahiran memasak. Sedia untuk lihat masakan rendang ayam dari aku? Hehehe. Kalau nak cuba, pun boleh.

Maaflah ya, tak ingat pula nak ambil gambar bahan-bahannya. Maklumlah, chef lantik sendiri. Ini pun, umi dah pandang pelik. Kenapalah memasak pakai telefon bimbit di tangan? Maaf ya, umi. Dah jadi tabiat! Memasak dan ambil gambar...


Tumis bawang putih, bawang merah, halia, lengkuas dan serai


masukan serbuk ketumbar


masukan cili (kalau cili padi pun sedap!)


taburkan garam, kacau dan tunggulah sampai sebati


masukan santan


ayam


masukan daun limau dan kerisik


masukan daun kunyit


Siap! Hehehe. Apa lagi? Serang!!!

Sunday, August 28, 2011

Manisnya Ramadhan...

Sudah menjadi kebiasaan, tiba sahaja bulan Ramadhan maka banyaklah aktiviti ibadah dilakukan bersama-sama. Lebih indahnya Ramadhan, apabila bulan penuh rahmat ini dihayati.

Alhamdulillah, tahun ini lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Baik dari sudut kehidupan peribadi, mahupun kehidupan dan rumah kedua aku. Apa lagi kalau bukan pejabat. Ramadhan kali ini dirasakan lebih meriah walaupun di awalnya ada Tsunami kecil yang cuba melanda. Yang penting, semua masalah berjaya ditangani bersama-sama. Secara fizikal dan juga mental. Terima kasih kepada insan-insan yang sudi bersama mengharungi badai perjuangan ini.

Seperti tahun-tahun yang sudah, agenda utama sepanjang bulan Ramadhan adalah berbuka puasa. Tak dinafikan, banyak jemputan berbuka puasa dari sahabat-sahabat dan rakan-rakan diterima tetapi terpaksa ditolak. Bukan sebab aku menyombong, tetapi kerana jarak dan masa yang memisahkan aku untuk berbuka puasa bersama mereka. Aku tahu, mereka sedia maklum dengan situasi aku. Tambah pula, bilangan jenayah yang semakin bertambah di Bandar Tasik Puteri ini. Mahu tak mahu, aku terpaksa akur kepada keadaan. Demi keselamatan.

Majlis Berbuka Puasa dengan Rakan Pejabat, Sg Buloh.

Namun begitu, majlis berbuka puasa yang dianjurkan pejabat memang tidak dapat aku elak. Kalau tak salah, tahun lepas aku sengaja mencadangkan supaya tidak diadakan majlis berbuka puasa bersama-sama atas sebab yang tertentu. Kali ini, tidak ada alasan untuk aku mencadangkan yang sama. Jadi, satu majlis berbuka puasa bersama rakan-rakan sepejabat telah diadakan dengan anggaran kehadiran beberapa muka penting, termasuklah kawan grafik aku, Taufik dan juga beberapa orang lagi wartawan luar.



Bagaikan dimandikan kenangan, lokasi berbuka puasa adalah tempat yang sama pernah kami kunjungi dua tahun lepas. Bezanya kali ini, ahli keluarganya sudah bertukar wajah dan nama. Sepatutnya, meja yang ditempah khas ini penuh dengan bilangan kakitangan pejabat aku berkerja tetapi disebabkan yang lainnya ada masalah, membuatkan aku dan seorang lagi rakan sejawat berjaya menghadirkan diri. Wartawan luar yang aku katakan tadi, terpaksa pulang ke kampung untuk bersama si isteri, Taufik pula ada masalah dengan kereta dan si gadis termuda dalam pejabat, bahagian pemasaran terpaksa melayan kerenah klien yang menahannya sehingga lewat senja. Mustahil untuk dia ke restoran ini pada waktu yang ditetapkan.



Apa-apa pun, majlis berbuka puasa ini tetap meriah. Alhamdulillah. Kenyang.


rakan sekerja terbaru, Rose.

Berbuka Puasa dengan keluarga, Restoran Nelayan Titiwangsa

Saban tahun, inilah destinasi yang paling digemari keluarga aku untuk sekian kalinya. Satu, kerana ia mudah bagi kami semua berkumpul. Dua, sebab masing-masing bebas mengambil juadah. Tiga, suasana di dalam restoran ini sendiri yang agak damai. Damai? Hehehe.



Memang mendamaikan, khususnya apabila restoran ini tidak dipenuhi manusia. Berbeza dengan kali ini, ramai betul orang datang berbuka puasa. Sehinggakan tempat letak kereta penuh. Aku fikirkan, kereta-kereta yang memenuhi tempat parkir adalah kepunyaan pengunjung yang datang untuk melihat permainan lumba kereta mainan. Sangkaan aku meleset kerana bilangan pengunjung semakin bertambah terutama sekali apabila senja mula menghampiri.



Seronok juga lihat telatah orang di tempat yang sesak dan cara mereka apabila hampir masuk waktu berbuka. Aku senyum sahaja melihat telatah mereka yang berjalan dari satu stesen ke stesen yang lain. Kanak-kanak pun pandai membawa diri dan memilih makanan kegemaran masing-masing. Lebih indah lagi melihat reaksi mereka sebaik sahaja azan dialunkan. Di mana juga mereka berada ketika itu, masing-masing pulang ke tempat duduk. Sejuk mata memandang.





Kalau dulu keluarga kami hanya bertujuh, kali ini kami datang bersembilan. Ya, penambahan ahli keluarga kami. Mierza dan Firdaus. Sangat meriah dapat berbuka puasa bersama-sama. Miqhail pula, agak nakal tetapi masih mampu dikawal. Biasalah, budak-budak yang sihat memang nakal. Kalau tak, susah juga. Yang penting, orang dewasa bersamanya harus sentiasa peka dan berwaspada. Sabar dalam melayan kerenah anak-anak. Bukankah kita pun pernah menjadi kanak-kanak dulu? Mungkin, lebih nakal dari anak-anak ini. Jadi, berilah peluang untuk mereka bernakal-nakal. Hehehe.







Selesai berbuka puasa bersama-sama, tiba masa untuk pulang. Alhamdulillah, makanan yang dihidangkan memang sedap-sedap. Tambah pula ada lagu iringan dari Maher Zain, sejuk perut dan telinga mendengarnya. Dek kerana terlalu kenyang, sudahnya aku terlupa di mana tempat aku meletak kereta. Hahaha. Dalam Titiwangsa pun boleh sesat? Lalalala...





* sempat bermesej dengan Sahir menerusi Mukabuku. Katanya, dia pernah datang ke Restoran Nelayan dan berhajat mahu ke sini lagi bila ada rezeki. Mudah-mudahan, ada rezeki si Sahir ke Malaysia lagi!

Friday, August 26, 2011

Tangan dan Mata



Ini lakaran terbaru aku. Dapatkah kalian baca, apa yang ada dalam lakaran ini? Hehehe. Fikir-fikirkan.

Kalaulah mata itu tangan, ia tidak akan hanya memandang dan akan membantu.
Kalau tangan itu mata?
Kalau mata itu hanya sekadar memandang?
Mulut, bagaimana pula?


Wednesday, August 24, 2011

Kabul...



Kadang-kadang, kita mudah memperlekehkan orang tanpa tahu apa yang ada dalam isi hatinya.
Kadang-kadang, apa yang kita lihat dan dengar tidak boleh digunakan untuk menilai orang.
Kata orang,
kalau mahu menilai penulis, lihatlah dari hasil karyanya,
kalau mahu menilai orang seni, lihat dari hasil seninya.

Hari ini,
di tanganku tidak ada kuasa untuk menilai.
aku terpegun dengan satu lagi hasil seninya.
Lukisan yang cukup ringkas tapi memberi makna yang kuat.
Kabul.

"Arranged Romance...
Its all in the eyes...
That all I need you to see...Kabul!"

Romantika yang diaturkan...
Segala-galanya di mata...
Itu yang aku mahu kau lihat... Kabul!

* Lukisan ini dari Salman Khan. Phew, sangat terkesan!

Monday, August 22, 2011

Ayam Tikka Jalfrezi

Hari ini, aku berhajat untuk mencuba masakan dan resepi baru. Makanan yang baru aku tahu dan resepi yang baru aku belajar. Ayam Tikka Jalfrezi. Aku dapat tahu ini pun sebab teman Twitter, Sahir beritahu yang dia berbuka puasa dengan juadah ini. Katanya, masakan ini sedap, pedas dan sedikit bahang. Masakan Pakistan!

Aku pun beria-ia mencari resepi ini di laman sesawang. Alhamdulillah, jumpa. Aku juga rujuk video di Youtube. Sudah cukup bagus, siap tunjuk langkah lengkap, satu per satu! Jadi, aku kongsikan di blog ini. Sesiapa yang rasa ingin mencuba, dipersilakan. Hehehe.

Aku tak boleh nak embed dari youtube, tapi ini capaiannya kalau sesiapa yang nak belajar dengan lebih jelas dan terperinci. Tekan saja di sini ya.


Ayam (kemudiannya di potong)


Bawang Besar, Cili Padi, Halia dan Bawang Putih


Kapsikum


Serbuk kari


serbuk perasa tambahan (ketumbah dikisar halus)


Tomato puri


Bahan-bahan yang telah dipotong-potong


Tumis bawang besar, bawang putih, halia dan cili padi


Masukan serbuk kari, perasa, tomato puri dan garam
(gaulkan sekali kalau nak senang)
Kemudian air dan masukkan ayam.
Tunggu sampai ayam betul-betul masak.



Masukan kapsikum.
Biar rangup jangan sampai lembik!



Inilah dia, juadah berbuka puasa hari ini.
Masakan Pakistan, Ayam Tikka Jalfrezi.


Abah kata, rasanya memang sangat pedas dan bahang. Umi pula kata, ada rasa masam manis. Sahir pula beritahu aku (dia tengok dalam gambar di MukaBuku), rupanya memang ada dan dia pasti, rasanya pun ada persamaan. Apa yang penting, memang licinlah pinggan ni lepas dihidang masa berbuka tadi. Tak sempat membawa ke sahur. Alhamdulillah.

* Dah jenguk-jenguk resepi masakan Barat, ayam parmigiani, ayam parmesan dan ayam paprikash. Hmm. Mana satu nak cuba dulu ya?

Sunday, August 21, 2011

Bermulanya... satu kegilaan!

Aku masih ingat lagi, setelah selesai sesi persekolahan di St Mary, aku sambung belajar ke peringkat STPM dan bersekolah di CBN. Sebelum bermulanya sesi persekolahan, macam biasalah ada sesi suai kenal dan beramah mesra. Bak kata orang, sesi pemecahan ais (breaking the ICE).

Satu tugasan diberikan, pelajar harus memilih pelajar yang masih belum dikenali dan bertanyakan soalan tentang dirinya. Satu sebab yang buatkan aku suka sangat sesi ini, dapat bercakap! Aku memang suka bercakap. Bila aku nak bercakap, aku bercakap tanpa henti. Bila aku berhenti bercakap, aku tak bercakap sampai satu saat yang membuatkan orang merayu suruh aku bercakap. Yang penting, aku bercakap bukan untuk suka-suka tetapi ada perkara yang mahu dibicarakan. Bukan omongan kosong!

Masih aku ingat lagi, apabila aku dan pasangan pelajar yang melaksanakan tugasan ini dipanggil ke hadapan untuk bercerita tentang kisah masing-masing. Kisah yang diceritakan tadi. Aku pun bercerita sampai membuatkan satu kelas tak berhenti ketawa. Pelik, aku bukan buat lawak. Hmmm. Bila aku pandang ke arah cikgu, dia kata...

"Good Shai, you enlightened up the atmosphere!"

Wah, agak tersipu-sipu malu juga bila dengar cikgu berkata begitu. Bila tiba giliran pelajar (yang berpasangan dengan aku menyelesaikan tugasan) tadi bercerita tentang aku, aku pun tak sangka itulah aku! Dalam teks yang dibacanya untuk dikongsi bersama seisi kelas...

"Shai is very active girl as she does everything and anything in her free time including, sketching, writing, singing, dancing, collecting articles and pictures, collecting lyrics, watching movies, listening to the music and cooking...

"...and not to forget, sleep as well," aku menyampuk dan sekali lagi membuatkan kelas ketawa sakan.

Mengenangkan kembali apa yang dikatakan pelajar tadi, rasanya seperti banyak yang sudah tidak mampu aku buat sejak bergelar dewasa ini. Mana tidaknya, waktu lapang pun seakan berkurangan kerana tanggungjawab bertambah. Tidak seperti dulu, tanggungjawab hanya pada diri dan pelajaran. Itupun, aku tidak laksanakan dengan sebaik mungkin.

Alhamdulillah, kini apabila sudah meningkat dewasa aku lebih menghargai kehidupan dan setiap kali kelapangan masa yang ada akan aku isikan dengan kerja. Hehehe.

Bukan semuanya aku lupakan terus. Ada yang masih aku buat, seperti menulis dan melukis. Kalau bab menyanyi, masa buat kerja dan pandu kereta pun aku masih mampu menyanyi. Tak begitu?

Yang sudah lama aku tak buat, memasak. Maklumlah, setiap hari keluar awal pagi dan sampai ke rumah pula sudah lewat senja. Mujur aku tinggal di rumah umi dan abah, setiap kali pulang sudah ada makanan. Terima kasih, umi dan abah. Tidaklah aku kelaparan dan keseorangan. Hehehe.

Jadi, aku sudah ambil keputusan. Keputusan itu juga aku beritahu kepada umi. Mulai sekarang, setiap hari hujung minggu dan setiap kali aku bercuti, biarkan aku yang sediakan makanan dan memasak. Aku juga tekad untuk mencari resepi-resepi baru, supaya dapat merasakan masakan-masakan lain.

Bagi memastikan keputusan yang aku ambil tidak bertemu titik noktah, aku memburu resepi-resepi baru dan yang menjadi mangsa, 2 kenalan baru di Twitter. Rose Sandlin (Montana, US) dan Sahir Danyal (Manchester).

Alhamdulillah, kedua-dua mereka tidak pernah lokek dalam berkongsi resepi. Aku juga merujuk kepada carian di google dan video di laman Youtube. Menambah lagi keseronokan memasak ini, rancangan kegemaran di televisyen juga sudah berubah. Aku pasti tidak akan terlepas rancangan Hell's Kitchen, Masterchef, Top Chef dan saluran televisyen pun sudah berubah, Asian Food Channel (AFC).

Jangan tak tahu, sedang aku sibuk-sibuk memasak pun aku boleh tiru gaya Ramsay dari Hell's Kitchen.

"Oh, give me a break!" Hahaha.

* Bermulanya satu kegilaan yang dulunya terpadam seketika. Aku memang suka memasak. Lebih suka bila apa yang aku masak, habis dimakan. Itu maknanya,... sedap! Lalalala.

Tuesday, August 16, 2011

Kabhi Kushi Kabhi Ghum?

Wah, tajuk filem Hindi. Apa kena mengena pula dengan kisah aku hari ini?

Cukuplah aku katakan, sedang dilanda ribut taufan untuk sekian kalinya. Bukan. Tidak ada kena mengena dengan ribut dalam hati. Bila hal ini berlaku, hati aku tak terganggu pun. Mungkin disebabkan sudah terbiasa. Ribut ini pernah menyerang Aman Puri dan kini ributnya semakin tidak dipeduli. Tidak dipeduli sebab dah faham kesudahan ribut ini.

Setelah hampir setahun lebih usia kesengsaraan yang berpusat di benak, dan hari ini aku temui katarsis. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah. Akhirnya segalanya selesai dan aku bicara kepada pegasas terbinanya ruang 4 segi yang menjadi punca rezeki.

"Nampaknya, tinggal kita seperti mula-mula dahulu dan harap ini satu permulaan yang amat baik."

Aku tahu, semua pihak sudah cuba yang terbaik untuk memastikan kapal ini terus berlayar. Walau sekecil zarah, sumbang setiap ahli sangatlah penting. Jadi, aku tahu bagaimana sedikit goyah perjalanan kapal ini kerana aku telah menjadi saksi hampir 3 tahun. 3 tahun bukanlah masa yang singkat. Malah, aku sendiri pernah terfikir untuk beralih kapal kerana tidak tahan dengan karenah anak-anak kapal dan bencana yang melanda. Sebagai anak kapal, objektif yang dipegang aku tidak terusik. Aku meneruskan kemudi yang terletak di bahu. Yang pergi, biarkan pergi sepertimana yang pernah aku kata,

"Tak guna simpan benda yang membusuk!"

Membaca dan mendengarnya pun perit tapi, itulah hakikat kehidupan. Adakalanya bergembira dan adakalanya bersedih. Setiap perhubungan akan diiringi rencah ini. Waima kenalan di laman sesawang sekalipun. Dan sepertimana yang pernah aku katakan di dalam Rindu Pada Matahari...

"Bila kita lihat bulan, pasti ada cahaya."

* Dapat SMS dari umi, dia suruh aku tengok kasut yang aku pakai. Alamak, dah sebiji macam adegan filem Kabhi Kushi Kabhi Ghum. Tersalah pakai kasut. Lain-lain sebelah. Hehehe. Mungkin itu petanda dan nasib baik, aku berseorangan hari ini!

Monday, August 15, 2011

Shahaini itu jujur...?

Sejak beberapa minggu lalu, aku berkenalan dengan seseorang menerusi ruangan laman sosial, Twitter. Sepertimana yang aku selalu katakan, aku lebih ramai kenalan dari luar berbanding orang Malaysia sendiri. Kenapa?

Orang luar tak menilai satu-satu hubungan menerusi ketrampilan. Orang di Malaysia ini, mungkin sebahagiannya, YA! Yang menjuihkan bibir, atau mendedahkan segala gunung dan bukit lebih menarik perhatian. Tapi, adakah itu hubungan yang diasaskan kerana kejujuran atau semata-mata pencuci mata. Dan, adakah penting jumlah bilangan kawan yang melebihi ribuan kalau hubungan perkenalan itu bermula dari situ. Hahaha. Bak kata seseorang, seluar dalam itu letaknya 'dalam' seluar, bukannya di atas kepala! Apa pula maksud kata-kata itu? Ada otak, fikir sendiri ya!

Kenalan di Twitter ini, berasal dari Afghanistan dan sekarang menetap di Manchester. Menurut katanya, dia ingin bermastautin ke Malaysia. Entah benar atau pun tidak, aku pun tak tahu. Tapi, sepanjang aku berbual dengannya, dia seringkali berkata yang benar. Macam yang dia sering kata kepadaku...

"I am a Pathan. Pathan never lies!"

Aku dan dia berkongsi usia. Namun, kalau mahu diukur pengalaman, tentulah kalah pengalaman yang aku ada berbanding dia. Kadang-kadang, kerana pengalaman yang diceritakannya membuatkan aku sangsi, sama ada dia berkata yang betul atau sebaliknya. Hahaha. Sehinggalah satu ketika, dia tangkap gambar passport miliknya dan terus dihantar kepada aku, untuk membuktikan usianya yang sebenar.

Mungkin juga, soalan-soalan yang aku ajukan kepada dia menjengkelkan. Yalah, siapa yang mahu percaya kata-kata orang yang dikenali di laman sosial dengan begitu mudah? Sedangkan yang di depan mata pun boleh menipu, inikan pula orang yang tidak pernah bersua muka? Betul tak?

Berkongsi cerita dengan dia, membuatkan malam-malam aku ceria. Ceria kerana kisah yang diceritakannya tidak pernah aku tahu... wujud! Dalam masa yang sama, membuatkan aku terfikir tentang rapuhnya kehidupan. Nyawa di hujung pistol setiap ketika dan juga, lenyapnya sebuah penempatan di Afghanistan. Alhamdulillah, dia masih selamat.

Kehidupannya di Manchester, jauh lebih baik berbanding di Afghanistan. Dia pernah bekerja pelbagai pekerjaan semata-mata untuk menyara diri. Antara pekerjaan yang pernah dia lakukan termasuklah, tukang masak. Hehehe. Banyak juga resepi yang dia kongsi bersama aku. Tunggu masa untuk aku mencuba sahaja.

Banyak perkara yang kami bualkan, tidak kira masa dan ketika. Aku dan dia terus berhubung. Memang sangat seronok berbual dengan dia. Dia tidak pernah lokek dalam berkongsi pengalamannya dan juga, dia sangat menghiburkan. Pandai melawak dan juga seorang guru yang baik. Guru yang baik?

Selain mengajar resepi masakan, dia turut mengajar aku Bahasa Pashto. Sebagai ganti, Bahasa Melayu aku ajarkan tetapi, dia sering berkata...

"Malay is very hard Shani..."

Oh ya. Dia panggil aku sebagai Shani. Mulanya aku menolak, sebab Shani itu tidak sesuai dengan aku. Lagipun, di Malaysia ini sudah pun ada seorang artis terkenal bernama Shani. Jadi, aku tidak mahu menggunakan nama itu (walaupun masa sekolah dulu, pelajar-pelajar lelaki gelarkan aku Shani...!)

Dia berdegil sebab, katanya Shani itu comel. Dan comel itu.... oh, itu tak payahlah aku ceritakan di sini.

Aku berkeras untuk dia gunakan sahaja nama sebenar aku, Shahaini. Katanya, terlalu panjang dan susah dia mahu mengeja. Disebabkan itulah, aku biarkan saja kalau dia mahu panggil aku Shani. Hehehe.

Satu soalan dari dia yang buatkan aku sedikit terpana, bila dia bertanya sama ada, aku tahu maksud Shahaini. Jujurnya, aku memang tak tahu maksud nama aku sendiri. Aku pernah mencari maksudnya di dalam bahasa Arab tetapi tidak ada. Yang boleh aku katakan, Shah dan Aini. Shah itu raja, dan Aini itu mataku. Digabungkan, jadilah Raja Mata.

Dia tergelak dan terus membalas....

"Shahaini, honesty!"

Mulanya, aku fikir dia mahu kata yang aku ini jujur dan lurus bendul. Tapi, bila aku bertanya kepada dia, apa maksud nama aku...

"Shahaini is honesty. Your name in Pashto is honest..."

Oh, begitukah? Makna Shahaini itu jujur. Hmmm. Jadi, memang benarlah yang dikatakan orang. Nama itu seharusnya mempunyai maksud yang baik supaya, orang yang memakainya mampu menjadi kepada maksud yang diberikan.

Insya-allah, aku akan terus jujur sepertimana aku sebelum ini, hari ini dan selepas ini.

* Terima kasih abah dan umi, kerana memberikan nama aku sebagai Shahaini.

Friday, August 12, 2011

Pakej dari Allah

Seringkali dipertemukan dengan soalan, apa yang amat dikesali dalam diri dan kalau diberikan peluang untuk aku ubah? Setiap kali bertemu dengan soalan ini, aku tidak menjawab terus atau menghakimi orang yang bertanya. Soalan adalah soalan. Soalan memerlukan jawapan. Apa jawapan kalian kalau diberikan soalan ini?

Aku tahu kenapa soalan itu diajukan kepada aku. Zahirnya, sudah jelas kelihatan. Tubuh badan yang besar dan hidung aku yang bulat. Mungkin, itu yang mahu mereka dengar. Gantikan tubuh badan yang comel ini dan juga hidung yang mempunyai bukaan besar. Tak begitu?

Aku juga tahu, itulah soalan-soalan dari jurujaul yang mahu menjual produk mereka. Tidak kisahlah, ia produk kesihatan atau kecantikan, tetapi ayat yang digunakan tetap sama. Apa yang mahu anda ubah pada diri anda?

Malangnya, tidak ada apa-apa yang ingin aku ubah. Jika ia berubah, biarlah ia berubah dengan sendiri. Buat apa menggantikannya? Bukankah berdosa? Tak salah untuk bercantik, tetapi mengubah kejadian Allah, apa pula hukumnya? Suntik di dagu supaya tajam? Suntik di pipi supaya gebu? Apa hukumnya?

Bukan aku mahu menghukum, cuma aku hanya mahu menjaga diri yang sudah berjaya aku jaga sejak 28 tahun dulu. Menjaga diri dari melakukan kesalahan yang amat hakiki seperti, mengubah kejadian Allah. Dan bila aku berkata itu dan ini, semua orang menuduh aku ISLAM ORTODOK! Tanpa mereka sedar, kata-kata itu telah menjatuhkan diri mereka sendiri dengan mengutuk ISLAM.

Baiklah, menjawab kepada soalan tadi (dan aku tahu, ramai yang sering bertanya soalan ini ... bukan setakat jurujual sahaja!) aku selesa begini. Biarpun pernah sekali, seseorang bermata empat pernah menghina tubuh badanku dengan memandang jijik. Aku tak kisah kerana ini pakej yang diberikan Allah. Aku bersyukur kerana ada tubuh ini dan diberikan kudrat untuk berusaha. Mencari rezeki dengan cara yang halal. Insya-allah.

Begitu juga satu soalan yang pernah diajukan kepada aku,

"Kau percaya kepada takdir?"

Aku percaya kepada takdir. Aku juga percaya setiap langkah, setiap tindakan telah ditetapkan jalan ceritanya oleh Allah. Setiap keputusan hidup umpama satu pakej. Ada faedah dan kesan sampingan. Bezanya, sama ada pakej ini dapat dicapai atau tidak! Tak ada sesiapa tahu. Itulah rahsia kehidupan yang bukan aku, atau kalian tahu. Rahsia kehidupan yang bukan juga Tukang Tilik atau Bomoh tahu. Tak ada sesiapa boleh meramal masa depan ya! Hahaha. Jangan mudah terpedaya.

* Jangan pula ambil kesempatan menyalahkan takdir. "Aku jadi perogol kerana dah takdir." Itu bangang namanya, bukan takdir. Bukankah manusia diberikan pilihan dan kuasa untuk memilih? Fikir-fikirkan sendiri.