Friday, July 29, 2011

Kisah Kau dan Aku, mustahil!

Beberapa hari ini, aku dilanda virus. Dihinggap satu virus yang tidak boleh dihilangkan dengan mudah. Virus itu sudah pun merebak dan meresap terus ke dalam hati dan berselirat ke seluruh jantung.

Angau! Hahaha.

Virus ini memang seringkali melanda aku. Angau bukan kepada manusia ya, sebab peringkat angau kepada manusia tidak lagi sesuai untuk orang seusia aku dan aku lebih senang angau kepada perkara yang boleh aku miliki tanpa memiliki tetapi menikmati!

Sebuah lagu membuatkan aku angau. Boleh dikatakan, kisah yang ditulis pada lagu itu amat tepat dengan kisah aku. Kisah kau dan aku. Kisah yang mustahil. Bertemankan lagu ini, aku dapat menghasilkan sebuah karya lengkap. Emosi yang terlukis di dalam lagu ini menjerut segala emosi sehingga aku berjaya melengkapkan satu kisah.

Sepanjang malam, aku ditemankan dengan lagu ini yang memandu aku ke satu destinasi yang tidak pernah terbayangkan. Lembah emosi yang paling dalam. Terima kasih, Rahat. Terima kasih, Shreya. Alunan suara kalian, buat hati aku menangis, Menangis untuk lebih mendalami emosi yang ingin aku lukiskan kepada watak-watak yang dihidupkan aku.

Lagu apa yang aku maksudkan? Hehehe. Bukan sekarang. Insya-allah, bila masanya sesuai akan aku kongsikan di sini.

Tuesday, July 19, 2011

AWAS! Ingatlah Orang Tersayang!

Mulanya, aku memang tidak ada apa-apa yang menarik untuk dikongsikan bersama di sini hari ini. Tetapi, ada sesuatu yang aku rasakan agak penting untuk aku ceritakan. Aku tak pasti, mahu klasifikasikan kisah ini sebagai, lucu atau sedih. Apa yang pasti, aku cuma mahu menasihati. Nasihat yang bukan hanya untuk orang lain, tetapi peringatan untuk diri aku sendiri.

Seharian di pejabat, memang amat meletihkan. Ada yang kata, kerja di pejabat ini taklah seletih orang yang bekerja di luar dan aku bukannya nak berdebat, siapa paling letih atau siapa goyang kaki di sini. Dari zaman belajar lagi, aku dah pernah dilemparkan dengan benda-benda begini. Budak-budak penulisan, tak susah. Duduk dalam kuliah, dengar pensyarah membebel. Tugasan pun diselesaikan dengan duduk depan PC atau komputer riba. Tak pun, sumbat telinga dengan MP3, baring atas katil sambil buat tugasan. Memang betul. Aku tak nafikan pun, sebab sekarang ini pun aku tengah meniarap atas katil sambil ketuk papan komputer.

Mungkin di mata orang yang melihat, pekerjaan atau tugas seorang penulis atau yang berkaitan dengan berfikir ini sesuatu yang amat mudah. Seumpama, mengunyah gula-gula getah. Buka pembalut, tarik keluar dan kunyah sehingga habis rasa gulanya. Kemudian, keluarkan dan lekatkan kembali kepada kertas pembalut tadi dan buang. Senang, bukan?

Namun, tak ramai yang tahu. Dalam membuka pembalut gula-gula getah tadi memerlukan usaha dan daya pemikiran. Ya. Nampak remeh tapi sebenarnya banyak proses berlaku sepanjang makan gula-gula getah tadi. Samalah juga dengan tuduhan orang, yang mengatakan kerja penulis ini mudah. Siapa kata mudah? Siapa kata tidak letih?

Memang mudah untuk mengatakan, buruh memang bekerja kuat. Itu dari sudut tenaganya. Penulis?

Otaknya. Di ruang fikirnya. Berdepan dengan komputer bukan sesuatu yang mudah. Terpulang kepada aktiviti yang dilakukan. Kalau bersembang, memanglah tidak perlukan otak dan urat-uratnya pun tidaklah letih. Bersembang dan mengumpat di ruang sosial... memang sangat sial. Hahaha. Bukan niat nak menghina, tapi sangat kena iramanya. Sosial dan sial. Menarik permainannya di situ, tak begitu?

Okey. Aku dah melalut jauh. Apa yang mahu aku katakan di sini, tidak kisahlah apa juga pekerjaan yang dilakukan seseorang itu, kalau sudah namanya kerja maka, memanglah ada kudrat yang diperlukan. Apabila kudrat digunakan, zahirnya akan mengundang keletihan. Pada fizikal mahupun mental dan bagi seorang penulis, keletihan berlaku di medan otaknya.

Kembali kepada kisah yang mahu aku kongsikan. Sepulangnya aku dari pejabat dan sepertimana biasa, aku gunakan lebuhraya. Tidak seperti hari-hari yang lepas, jalan tidaklah sesak. Jadi, ada ruanglah untuk aku memandu kereta pada kelajuan biasa. Perlahan. Adakalanya, kelajuan yang sederhana perlahan ini, aku akan didatangi pelbagai idea. Jadi, perlu hati-hati kerana kalau ada peluang, aku akan rakam dalam telefon bimbit.

Malangnya, bukan idea yang aku dapat sebaliknya, perlakuan janggal seorang pembawa motosikal. Dia perlahankan kelajuan. Kemudian, dia memecut sambil berpusing memandang ke arah aku dan tersenyum. Aku cuma memerhatikan gerak-gerinya. Dia perlahankan kelajuan motornya semula dan membiarkan kereta yang aku pandu, sedikit ke depan. Tidak berapa lama kemudian, dia pecut dan memintas pintas aku semula. Sekali lagi dia senyum. Kali ini senyumannya meleret, membuatkan hati aku berkata,

"Apa motif?"

Aku tahu, orang itu tidak akan aku temui. Satunya, aku tidak kenal orang itu. Keduanya, adakah penting untuk aku tahu siapa orang itu?

Kalau aku berkesempatan atau berpeluang bertemu muka dengan dia, ada nasihat yang ingin aku sampaikan.

"Lebuhraya bukan tempat bergurau senda. Nasib baik tak banyak kenderaan. Kalau asyik senyum sampai tak nampak kenderaan lain, bukankah BERBAHAYA? Ingatlah orang tersayang!
"

Sebagaimana yang aku katakan di awal-awal tadi. Ini peringatan, bukan sahaja untuk orang lain tetapi untuk diri aku juga. Kadang-kadang, dek kerana terlalu asyik memandu sampai hilang fokus dan jika ini berlaku, peluang untuk terlibat dalam kemalangan sangatlah tinggi. Jadi, berhati-hatilah semua. Jangan jadi punca kepada kemalangan, dan jangan menebeng di setiap kemalangan. Ingatlah orang tersayang.


Anda bermakna untuk seseorang...jangan biarkan seseorang itu menangis!

Friday, July 15, 2011

Dikehendaki Aku...

Hari ini, aku tanamkan sesuatu dalam otak. Yang terbaik! Hanya yang terbaik. Aku tidak akan terima apa-apa selain itu. Aku hanya ada diri sendiri untuk dipersalahkan kerana semuanya berada di dalam kepala, minda dan jiwa. Menanti saat untuk ditumpahkan.

Semoga hati tidak akan lumpuh dipertengahan. Ini bukan lagi masa untuk bermain-main. Takdir di dalam tangan, sedia untuk dipilih dan pilihan hanya ada pada aku. Bukan pada orang lain. Sekarang bukan masa untuk memperlekehkan anugerah yang dipinjamkan. Sebaliknya, menggunakannya sebaik mungkin. Bukan ke jalan yang penuh kealpaan tetapi membina kesedaran. Insya-allah. Niat aku tiada lain dan niat itu hanya Dia tahu.

Aku tidak ada sesiapa untuk dipersalahkan, dan bahu ini kian membeban. Bebanan yang amat aku syukuri. Syukur kerana aku tahu, Allah telah membentangkan jalan seluas-luasnya. Hanya perlukan kecekalan. Keterbukaan minda kepada setiap zarah buah fikiran yang bakal menerjah. Ya! Semua itu mencetuskan rangsangan untuk berfikir. Terima dengan positif, nescaya apa yang dihasilkan, membawa kebaikan. Insya-allah. Amin.

* Ada sesiapa pernah nampak adik ni? Aku gelarkan dia sebagai Soraya! Dia adalah Soraya di mataku. Hanya dia Soraya di mataku sekarang. Alangkah bertuahnya kalaulah ini Soraya.





Monday, July 11, 2011

Masalah untuk disuarakan atau masalah untuk bersuara?

Seharusnya, semalam aku sudah berpakat mahu menziarah seseorang yang baru sahaja selamat melahirkan cahaya mata sulungnya. Famili aku yang lain pula harus hadir ke sebuah majlis kenduri. Malangnya, semua aktiviti terpaksa dibatalkan dan sepanjang hari aku berteman kotak tv. Tidak! Bukan aku budak-budak yang mahu menghiburkan hati dengan menatap rancangan Oso, Handy Manny atau Timmy. Aku duduk di depan tv untuk mengetahui berita terkini, laporan paling sensasi. Sensasi?

Bersih. Apa itu bersih? Aku tonton satu stesen tv yang penuh sensasi. Menarik! Aku paling 'suka' ekpresi dan emosi wartawan di lokasi. Katanya, dia malu dengan tindakan golongan yang tidak bertanggungjawab. Malu? Hmmm.

Beberapa minit kemudian, ada lagi berita susulan. Ayat lebih kurang sama dan dia masih, terus malu dan kecewa dengan perhimpunan Bersih. Jujurnya, aku semakin keliru. Aku dapat SMS, bercerita tentang BERSIH.

"Cari informasi di internet!"

Aku pun bawa komputer riba ke ruang tamu, sambil menonton tv aku menaip BERSIH di ruang carian Google. Pandangan mata aku terus tertumpu pada satu nama. Satu tokoh dalam dunia kesusasteraan di Malaysia turut terlibat. Aku terus membaca setiap perincian yang tertera. Telinga aku masih lagi mendengar celoteh dari stesen tv yang terus 'malu' dan kecewa dengan Bersih.

Sesuatu berita yang disampaikan secara visual, tidak menarik jika tiada unsur sensasi. Betul tak? Jadi, stesen tv yang penuh sensasi ini tidak lupa melibatkan orang ramai. Menjadi penunggu di setiap jalan yang sesak. Sesak? Ehem, memanglah sesak kalau jalan ditutup. Kalau jalan dibuka, macam mana boleh sesak? Hmmm.

Macam-macam reaksi dipaparkan. Ya. Aku melihat. Melihat sebagai saksi. Aku bukan berpihak atau berdiri di mana-mana, melainkan duduk di depan tv sambil mencari informasi di internet. Terus mencari dan mendengar.

"Sudah 3 jam tersekat, nak pergi kenduri kahwin ni. Tak sempatlah nampak gayanya! Semua BERSIH punya pasal!"

"Mereka menyusahkan orang! Tak payahlah nak berhimpun. Jangan fikir diri sendiri saja!"

"BERSIH menyusahkan!"

Jujurnya, kalau aku di tempat mereka, tentu itu yang akan aku katakan tetapi aku tidak ada di tempat mereka, mahupun berdiri bersama-sama yang lain dalam perhimpunan BERSIH. Aku duduk di depan tv. Menikmati. Menjadi saksi. Saksi?

Mujurlah, awal-awal lagi aku dengar pengumuman yang mengatakan jalan-jalan di Kuala Lumpur akan ditutup. Aku juga tahu, bila sudah ditutup pasti akan sesak. Sesak di jalanraya, sesak juga untuk bernafas.

Aku masih teringat lagi, ketika belajar di Akademi Seni dahulu. Setiap kali menghampiri bulan kemerdekaan, seakan satu azab untuk sampai tepat pada waktunya untuk kuliah di bangunan yang terletak berhampiran Padang Merbok gara-gara jalan ditutup sempena latihan perbarisan Hari Kebangsaan. Semakin bertambah sesak, bila-bila ada upacara diadakan di Dataran Merdeka yang adakalanya menyebabkan banyak jalan ditutup. Oh, aku lupa. Itu perhimpunan yang dihalalkan. Kesesakan pun turut dihalalkan. Tidak sama dengan perhimpunan yang tidak diluluskan seperti BERSIH ini.

Mata aku masih lagi memandang skrin komputer riba sehinggalah aku terdengar laungan Allahu Akhbar. Aku terhenti. Aku memandang ke skrin tv pula. Lokasi yang berbeza. Masjid dan stesen KTM. Ramai benar saudara Islam di situ. Mereka duduk. Ada yang tua. Ada yang muda. Ada pelajar perempuan. Bertudung labuh. Duduk. Tidak berbuat apa-apa selain melaungkan Allahu Akhbar. Sekarang, aku cuba cantumkan dialog wartawan bertugas tadi dan visual yang ada di skrin.

Entahlah. Aku yang menonton jadi malu bila melihat golongan ini dihalau dan ditolak. Mungkin ini cara bijak untuk menyelesaikan masalah? Masalah dan suara, suara dan masalah. Masalah untuk disuarakan atau masalah untuk bersuara?

* Semua jari menuding ke satu arah. Perkara ini tidak akan terjadi sekiranya pihak pemimpin bijak mengatur strategi dan berdepan dengan golongan ini; rakyat. Bukan lari dan menyerahkan 100% tanggungjawab kepada pihak Polis. Bukankah itu polisi yang dipegang kepimpinan Malaysia; 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'? Atau adakah ini dikatakan sebagai, penakut takut ditakutkan dan menakutkan orang yang ditakuti?