Sunday, June 26, 2011

Sesedap mulut berbicara...

Langit Tinggi Rendah

"Kenapa akak buat macam tu?" aku bertanya kepada seorang teman, di satu ketika.
"Padan muka, baru dia tahu langit tinggi rendah," balas teman dan juga kakak senior itu.
Hati aku bertanya, apa yang tinggi dan rendahnya?

Bertemu buku dengan ruas

"Saya tak akan diam. Biar hari ini, bertemu buku dengan ruas," berkata seseorang kepada aku sambil diperhatikan pihak yang lain.
Hati aku bicara, apa yang mamat ni cuba maksudkan?

Sebelum bercerita tentang dua kejadian di atas, aku mahu berkongsi sesuatu dengan sesiapa yang sudi menziarah dan mengisi masa dengan membaca entri-entri dalam blog ini.

Pernah tidak kalian mendengar atau terbaca ayat ini...

"Pekerjaan adalah pakaian seharian manusia"

Mungkin, ada yang pernah terdengar atau terbaca ayat ini (atau ayat yang berlainan tetapi tetap membawa erti sama). Ayat ringkas ini menerangkan tabiat manusia yang dipengaruhi dengan tanggungjawab terhadap kerja. Sebagai contoh, seorang pelakon adakalanya tidak melepaskan 'kulit' dipakainya di hadapan kamera atau di pentas dalam kehidupan seharian. Jika akauntan pula, sentiasa berkira-kira tentang setiap perkara termasuklah duit dibelanjakan untuk mendapatkan perkhidmatan tandas awam. Masih tidak faham dengan contoh-contoh tadi?

Baiklah, kalau kurang jelas dan gagal memahami apa yang ingin disampaikan, aku guna pula pengalaman hidup sendiri. Tidaklah aku perlu susah-susah nak menjawab itu dan ini.

Sejak memakai 'topi' sebagai editor, aku cenderung untuk membetulkan kesalahan. Aku masih ingat lagi semasa mee segera buatan Indonesia pertama kali di bawa masuk ke Malaysia. Kalau tak silap, ketika itu abah sedang memandu kereta dan membawa kami ke Tanjung Malim. Ada sebuah papan iklan yang berdiri megah dengan perkataan Sedaap.

"Tak ada sesiapa nak mengadu tentang kesalahan ejaan tu?" soal aku.

Ketika itu, aku masih lagi seorang pelajar. Kesalahan penggunaan ayat dan ejaan pernah menjadi isu yang agak serius di satu masa dahulu. Disebabkan itulah, aku mengajukan soalan itu secara terbuka tetapi tidak bertemu sebarang jawapan. Penyakit aku yang sangat cenderung menegur kesalahan ini semakin menjadi-jadi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Adakah salah aku begitu atau pekerjaan aku yang harus dipersalahkan?

Di satu kejadian lain, ketika itu satu mesyuarat 'mini' diadakan di pejabat. Sedang sibuk orang lain berbincang, aku ternampak sehelai kertas catatan. Kertas catatan yang diatasnya ada beberapa contengan. Gagal mengekalkan perhatian terhadap perbincangan, aku mencapai pen dan membetulkan beberapa ayat dan juga ejaan. Harus diingatkan, ia hanyalah sekeping kertas catatan kasar. Kesalahan ejaan adalah perkara sangat biasa kerana ia digunakan untuk kefahaman orang itu sendiri dan bukan informasi untuk dikongsi bersama orang lain. Mujurlah, tidak ada sesiapa yang sedar akan perbuatan aku itu.

Tabiat aku yang satu ini turut mengganggu perbualan seharian bersama teman-teman. Aku tahu, ramai yang tidak gemar bila aku mula menegur. Maaflah, bukan aku sengaja nak menegur tetapi disebabkan kebiasaan dan mungkin juga seperti yang aku nyatakan di awal tadi, terbawa-bawa dengan tanggungjawab kerja.

Kadang-kadang telinga jadi gatal bila ada manusia yang sesedap mulut berbicara. Mungkin tanpa sedar, ramai yang gemar menggunakan peribahasa dalam perbualan seharian. Tidak. Aku tidak ada masalah dengan penggunaan peribahasa. Ianya sesuatu perbuatan yang bagus. Sekurang-kurangnya, tidaklah mati peribahasa Melayu. Cuma yang menjadi masalah apabila mereka menggunakan peribahasa tanpa tahu erti.

Beberapa tahun dahulu, aku ada seorang kenalan yang agak senior usianya. Selepas dia berkahwin dan aku sambung belajar, hubungan kami terputus. Pernah juga aku mencuba menghubungi nombor terakhir miliknya yang ada dalam simpanan. Malangnya, nombor yang aku hubungi itu tidak ada dalam perkhidmatan. Lagipun, kenalan aku ini (yang aku panggil akak) memang gemar bertukar nombor. Boleh dikatakan setiap talian yang ada di Malaysia ini pernah dicubanya. Digi, Celcom dan Maxis. Satu perkara yang membuatkan aku masih mengingati akak ini, dia gemar menggunakan ayat langit tinggi rendah. Dalam satu hari, ayat ini pasti muncul. PASTI!

"Kenapa akak buat macam tu?" aku bertanya kepada seorang teman, di satu ketika.

"Padan muka, baru dia tahu langit tinggi rendah," balas teman dan juga kakak senior itu.

Hati aku bertanya, apa yang tinggi dan rendahnya?

"Biar dia tahu, akak bukan orang yang boleh dibuat main," jelasnya sebelum aku sempat menyoal.

Sumpah. Akak ini sentiasa buat aku keliru. Keliru dengan penggunaan ayat yang digunakan dengan konteks situasi yang diceritakan kepada aku.

Baru-baru ini (taklah baru dan tidaklah terlalu lama) aku dihadapkan dalam satu perbincangan. Perbincangan yang aku kira, tidak harus mengheret dan meleret. Perbincangan yang membentuk kepada 3 hala walhal yang terlibat hanya 2 pihak. Apa-apapun, perkara sudah pun terjadi. Apa keputusan dan kesan perbincangan itu, biarlah aku simpan sendiri dalam poket atau memori otak yang masih berbaki. Harap tidak berdebu.

"Saya tak akan diam. Biar hari ini, bertemu buku dengan ruas," berkata seseorang kepada aku sambil diperhatikan pihak yang lain.

Hati aku bicara, apa yang mamat ni cuba maksudkan?

"Mungkin orang lain boleh berdiam, tapi bukan saya. Kalau tak puashati, saya akan terus tanya," sambung mamat itu lagi.

Sumpah. Aku tak faham dengan penggunaan 'bertemu buku dengan ruas' dalam ayatnya.

Adakah dia tahu, maksud peribahasa itu atau pun sesedap mulut berbicara? Aku ketawa kecil. Secara zahirnya. Tapi, kalaulah dapat dilihat terus ke dalam hati, pasti mamat itu nampak yang aku ketawa berguling-guling.

Jujurnya, tidak sedikit pun aku gentar ketika dipanggil ke muka 'pengadilan' yang dia wujudkan. Meja bulat menjadi medan untuk aku melihat sandiwara dan bergelak sakan dalam hati. Hiburan di pagi hari. Tidak. Aku tidak akan menegur kesalahannya itu. Lagipun, dia sendiri pernah berkata, "kau hingusan lagi, tak ada pengalaman!"

Oh ya, 'bertemu buku dengan ruas' itu bermaksud seimbang dan sama. Jelas sekali, aku dan dia tidak sama. Kalau dia sama 'bodoh' seperti aku, mungkin aku boleh terima. Kalau dia sama 'bijak' seperti aku, mungkin bergoyang juga aku dibuatnya. Masalahnya di sini, dia tak tahu apa yang aku tahu. Aku tak tahu apa yang dia tahu. Dia mahir dalam hal lain, aku mahir dalam hal lain.

Kalau dia keras kepala, aku keras hati. Keras kepala, kalau 'dihentak' dengan kata-kata boleh lembut. Kalau keras hati, macam mana kau berlagu sekalipun tidak akan lembut. Bak kata abah, keras hati lawannya ayat suci. Di situ, kesalahan dia paling besar dan tindakan yang diambilnya hari itu, sia-sia. Terima kasih kerana mencuba tetapi anda tetap di tempat yang layak untuk anda berada.

* Bila ada orang berkata bahasa Melayu mudah berbanding bahasa-bahasa lain, aku akan imbas atas bawah manusia itu. Mungkin 'A' mudah dicetak cantik di atas kertas. tetapi ia bukanlah semudah yang disangkakan. Jangan kerana kamu berbangsa Melayu, bahasanya dikatakan mudah. Ilmu bahasa atau apa juga ilmu di dunia, tidak akan pernah habis. Satu sahaja nasihat yang akan aku berikan secara percuma, "Jangan sesedap mulut berbicara!"

Tuesday, June 21, 2011

Majlis Bertandang... akhirnya, selesai sudah!

Minggu lepas, majlis persandingan FirSha di sebelah pihak pengantin perempuan. Minggu ini, bagi melengkapkan acara, majlis bertandang diadakan pula di sebelah pihak pengantin lelaki yang bertempat di Semenyih.

Kalau tak silap aku kali terakhir berkonvoi ramai-ramai, bertandang ke majlis kahwin Along di Perak. Seronok berkonvoi. Waktu inilah dapat dilihat kesatuan pemandu-pemandu, sama ada berhemah atau tidak. Hahaha.

Kali ini juga, terlaksana juga sesuatu perkara yang memang tidak mahu aku lakukan. Ya. Jadi pengapit. Sebelum ini, banyak kali juga rakan-rakan lain minta aku jadi pengapit tapi ada sahaja alasan yang aku beri. Bukan aku bersikap ortodoks tetapi, aku tak rasa diri ini layak menempel sebelah pasangan Raja dan Ratu Sehari. Jadi, buat apa nak rosakkan gambar, betul tak?

Sebelum ini, sahabat aku, Ayshah pernah ajak aku jadi pengapit. Memang aku bersetuju mahu jadi pengapit dia. Dialah sahabat aku, dan tidak ada alasan untuk aku katakan, tidak. Tetapi, apakan daya, ada aral yang melintang. Sewaktu majlis persandingan dia, Along sedang berpantang dan umi pula baru sembuh. Jadi, sangat tidak praktikal kalau aku melepaskan tanggungjawab terhadap keluarga. Mujur Ayshah faham, dan sememangnya dia sentiasa memahami aku. Terima kasih, ya sahabatku Ayshah.

Disebabkan ini adalah kali pertama menjadi pengapit (dan aku pasti ini juga kali terakhir!) aku tidaklah gementar tapi dalam hati berkata, "bila nak selesai ni?"

Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Baju yang aku pakai hari itu pun dibeli secara terdesak sebab baju yang aku tempah khas masih belum siap. Nasib baik ada baju dengan tema sama dapat aku temui sebelum majlis berlangsung. Kalau tak, memang nampak janggal juga... pengantin pakai warna tema Unggu, pengapit pula pakai baju warna pelangi? Hahaha.

Aku selitkan beberapa keping gambar kenangan saat aku menjadi pengapit... tengok muka pun tahulah, apa perasaan yang membungkam di dalam... hahaha. (Sikit saja gambar yang aku mahu kongsi di sini, selanjutnya... ada dalam muka buku). Akhirnya, selesai sudah majlis dan upacara besar dalam keluarga Zahar. Insya-allah, tak lama lagi akan disusuli dengan majlis besar yang lain pula, "Cukur Jambul!" Hahaha. Bertunang dan pernikahan yang ketiga, lambat lagi ya. Bakal pengantin belum sedia. Hehehe.












Teruja sekejap lihat orang bersilat...










memang susah dikawal


camera-ready!






3 dara pinggitan!












aku dan 'favorite cousin'ku... Syazwan!






erk... ni apa hal pulak? Aduyai!

Tuesday, June 14, 2011

Selamat Pengantin Baru... FirSha

Tak sia-sia aku ambil cuti dua hari. Semua urusan dapat diselesaikan tepat pada waktunya, termasuklah urusan di saat-saat akhir. Tidak perlukan bilangan pembantu yang ramai, yang penting, bilangan yang sedikit tetapi tenaganya boleh menandingi tenaga sekampung. Terima kasih, (aku dahulukan) kepada barisan jiran-jiran (kak Sue dan kak Hariah berserta suami) yang tidak pernah lelah membantu dari awal sehingga akhir urusan perkahwinan adikku, Ayuz yang selamat dilangsungkan pada 11 Jun lalu.


Sebelum Majlis (9 - 10 Jun)

Tahun ini merupakan upacara kedua yang seumpamanya berlangsung dalam famili kecil Md Zahar-Shaharum Bariah. Upacara yang dimaksudkan, perkahwinan. Perkahwinan pertama yang berlangsung dalam famili ini berlaku 3 tahun lepas. Perkahwinan kakakku, Shahaizah Azlin bersama pasangannya. Bezanya kali ini, masing-masing sudah ada pengalaman. Pengalaman itu juga menjadi panduan setiap dari kami (ahli famili) lebih bersedia dari segala segi. Masing-masing pegang peranan sendiri. Sepertimana yang abah selalu katakan, kerja akan menjadi bagus kalau bilangan yang kecil melakukan tugas dengan bersungguh-sungguh. Benar kata-kata abah.

Sehari sebelum majlis nikah dan resepsi berlangsung, sempat lagi keluar membeli barang-barang yang diperlukan. Menjelang petang, aku menghantar Ayuz ke pusat kecantikan untuk dipakaikan inai hiasan pengantin. Inai yang sudah dipakai Ayuz semenjak seminggu lalu (dipakai dan ditambah setiap malam sehingga merah gelap, hitam pekat) perlu dihiasi sepertimana yang biasa dilakukan kebanyakan pengantin zaman sekarang. Semasa Along kahwin dulu, kami tak tahu pula ada perkhidmatan inai disediakan. Jadi, aku yang ditugaskan untuk menghias inai di tangan Along. Walaupun tidaklah secantik mana, tapi aku rasa berbaloi. Bukan apa, inai yang dipakai Ayuz, coraknya taklah sehebat duit yang Ayuz keluarkan. Hmm. Pandai betul orang cari duit sekarang.

Malam itu juga, teman Ayuz turun dari Johor untuk turut bersama-sama meraikan hari istimewa adikku itu. Sihin. Aku ditugaskan menjemput Sihin di stesen keretapi. Bukannya aku tak ingat muka Sihin, cuma... ingat-ingat lupa. Alhamdulillah, dapat juga aku bertemu si Sihin. Terima kasih telefon bimbitku, kerana berfungsi dengan baik dan dapat berhubung dengan Sihin dan Ayuz secara serentak. Tugas yang diamanahkan Ayuz kepadaku membawa pengapitnya dengan selamat, selesai dengan jayanya. Itupun kerana ada bantuan abah. Apa taknya? Dalam sibuk-sibuk begini, tukang perompak pun giat melaksanakan tugas mereka memecah masuk rumah orang. Abah terpaksa temankan aku menjemput Sihin untuk mengelak dari berlakunya sebarang kejadian rompak ditengah-tengah jalan masuk ke kawasan rumahku. Maklumlah, perumahan kami ini masih lagi seperti perkampungan bunian. Tiang elektrik terpacak, tetapi lampunya tidak berfungsi. Mungkin kerana, kesedaran dan keinsafan pihak pemaju yang tidak mahu kami (penduduk Bandar Tasik Puteri) 'mencuri' khazanah yang dipinjamkan oleh generasi masa depan. Benarkah begitu?



Ayuz dan pengapitnya... Sihin

Mujurlah sehari sebelum (Khamis) aku dan Along sempat bergotong-royong memasak telur rebus pengantin. 500 jumlah kesemua telur. Disebabkan tidak mahu kesilapan sama berulang (sewaktu majlis Along, ada telur tak direbus dibungkus dan diberikan kepada tetamu), aku pastikan kesemuanya masak mengikut masa yang ditetapkan. Aku mula merebus telur seawal 8 malam dan hanya berakhir pukul 4 pagi. Tak cukup dengan itu, kerja-kerja disambung lagi, membungkus 'goodies'. Tepat pukul 6. Barulah kami berpeluang tidur dan pengantin (Ayuz) tidur pukul 7 pagi. Pelik. Kenapa setiap pengantin tak dapat tidur masa sebelum majlis. Macam Along dulu pun sama. Agak-agaknya, kalau zaman aku kahwin nanti... sempat tak aku tidur? Hmmm.


Hari Pernikahan & Majlis Persandingan

Disebabkan semua kerja sudah selesai pada hari Khamis, jadi kami satu famili agak santai malam Sabtu. Sempat jugalah kami menonton Maharaja Lawak. Cuma tertinggal setengah jam episod Imam Muda Musim Kedua, sebab menjemput Ayuz yang selesai berinai dan Sihin yang baru sampai dari Johor. Sambil-sambil menonton, sempat juga kerja-kerja remeh aku dan yang lain selesaikan termasuklah mericih bunga rampai. Sehalus-halus yang mungkin. Barulah nampak cantik dan wangiannya lebih harum.

Benar. Selepas Maharaja Lawak, kami dapat menikmati tidur. Walaupun bukan untuk masa yang panjang tapi, cukup untuk menjana semula tenaga. Masing-masing bersedia untuk bertolak ke UIA, di mana majlis Ayuz berlangsung. Semua sudah sedia. Aku dan juga anak-anak buahku, Miqhail dan Mierza. Kemas dan segak berpakaian baju melayu. Malangnya, mak andam, tidak kelihatan. Agaknya, mak andam memang harus datang lambat macam 'superstar' Bollywood ya?


dah siap...


Along dan Mierza... tak sabar


salah satu bunting, sengaja dipasang di rumah!

Disebabkan sudah terlanggar masa yang ditetapkan, kami pun mula bertolak. Aku kira, kalau ditahan, tentu Polis keluarkan saman. ketiga-tiga kereta (yang dipandu aku, Sihin dan Zamri) melayang laju. Hahaha. Semua gara-gara mak andam datang lewat. Mujur, ketika sampai di masjid, Tok Kadi masih belum sampai. Aku pula, terpaksa berkejar ke dewan untuk mengambil bantal nikah.

Setibanya aku di dewan yang terletak di tingkat dua, amat takjubnya aku melihat, pintu dewan masih berkunci rapi. Kebetulan, abang Zamri pun tiba. Mungkin, dia juga ada barang yang perlu diambil. Sepantas kilat aku hubungi umi, bertanya kenapa pintu dewan yang sepatutnya dibuka pukul 7 pagi, masih lagi berkunci? Di manakah manusia yang telah kami amanahkan untuk membuka dan menjaga dewan ini pergi? Tak datang lagi? Apa pula keadaan dewan? Hish. Rosak. Tanpa melengah masa, aku tinggalkan dewan dan pergi menuju ke Masjid yang berada di seberang jalan saja. Aku tetap menggunakan kereta ke sana kerana ada membawa barang hantaran.

Alhamdulillah, aku sempat sampai. Sempat juga aku menjeling ke atas meja yang terhidang sarapan pagi. Tapi, aku sekadar menjeling sebab ada urusan yang lebih penting. Ya, apalagi kalau bukan menjadi jurukamera. Tok kadi dah sampai, pengantin lelaki, pengantin perempuan dan keluarga masing-masing sudah pun sedia. Aku pun 'terpaksa' bersedia. Yang tak ada ketika ini, bantal nikah alas pengantin dan jurugambar! Mana mereka pergi? Apa mereka tak tahu acara akad nikah ini diadakan pukul 9 pagi dan bukannya 12 tengah hari? Rosak.

Selepas beberapa minit acara akad nikah berlangsung, barulah aku nampak kelibat jurukamera dan juga bantal alas pengantin. CEPAT betul bantal itu tiba. Kenapa tak sampai lepas habis majlis bersanding?



saat-saat mendebarkan...


Debaran Firdaus...


Ayuz... berdebar


selamat sudah...

Apa-apalah, yang penting majlis berjalan lancar. Bagus juga ada plan B. Kalau tidak, pasti tidak terakamlah saat-saat bersejarah Ayuz menjatuhkan status bujangnya kepada seorang isteri yang sah kepada Firdaus. Hahaha. Tak sangka, dah jadi isteri orang adik bongsu aku.




Suami isteri yang sah...


Ayuz bersama rakan-rakan...

Selesai majlis nikah, aku, umi dan beberapa yang lain bergegas ke dewan. Majlis seterusnya harus dipastikan berjalan dengan lancar.









Tatkala, aku memikirkan semuanya berjalan dengan lancar, ada saja perkara yang timbul dan membuatkan hati panas. Salah satu perkara yang buat aku panas mata, bila gagal melihat bunting perkahwinan Ayuz yang dikatakan telah siap dipasang. Siap dipasang di mana? Di rumah? Satu lagi, hal 'goodies'. Kebanyakan kotak goodies rosak kerana terkena air. Alasannya, kotak-kotak itu terkena air hujan semasa proses penghantaran ke dewan. Hmm. Apa? Lori takda penutup ke? Apa boleh buat? Abah dah bayar penuh semuanya. Nak bising-bising pun macam tak guna. Sebab kalau belum bayar, takut juga mamat dengan minah ni nak buat kerja sambil lewa. Ini, duit sudah diterima. Buat apa teruk-teruk. Bukan itu saja, macam-macam benda yang dijanjikan tetapi tak tertunai. Apa yang aku pasti, semua itu termasuk dalam bil. Dibayar. Dibayar tetapi tidak kelihatan di majlis hari itu. Kalau nak saman, boleh saja ni. Boleh disabitkan dalam kes tipu. Penipuan dalam urusan. Kesalahan yang berat. Hmmm.








Senyuman si isteri...

Inilah masalahnya bila kita nak membantu perniagaan orang. Niat kita baik, tapi dengan niat kita yang baik itu pula kita diinjak-injak. Tak apalah. Allah itu ada. Sebanyak mana yang mereka buat tak betul, sebanyak itu jugalah perniagaan mereka tidak akan berjaya. Ini bukan sumpahan, tetapi doa. Pastinya Allah membalas setiap perbuatan yang dilakukan oleh manusia di muka bumi ini. Kau menipu, balasannya ada. Tunggu sajalah. Allah itu adil. Allah itu ada. Sabar saja ya. Balasannya, lambat atau cepat saja. Insya-allah. Janji Allah itu, pasti!

Baiklah, aku tinggalkan masalah itu ke belakang.

Apa-apa pun, kesemua kekurangan yang diciptakan pihak itu, tidak sedikitpun melumpuhkan keberlangsungan majlis pernikahan Ayuz-Firdaus. Aku amat terharu dengan kehadiran teman-teman lama dari ASK dan juga sahabat baikku, Norayshah Tahar. Lebih menggembirakan aku, dapat bertemu dengan kak Afna yang datang bersama suami dan putera, puteri tersayang. Zahra dan Raif. Aku juga berkesempatan bertemu Jiha yang nampak ceria bersama perutnya yang membesar. Juga Nurul Mardhiah dan Salwa. Kehadiran mereka membuat aku lupa keletihan dan juga.... kelaparan. Hahaha. Sehingga majlis berakhir dan sampailah menjelang waktu Maghrib, seulas nasi pun tak singgah ke mulutku. Tetapi, aku tetap kuat bertenaga demi menjalankan tugas sebagai seorang anak, adik dan juga kakak.


si ibu-ibu berjaya...


manis senyuman...


tak ketinggalan...


sahabatku... Norayshah

Secara keseluruhannya, aku boleh katakan dengan bangganya... satu lagi majlis terbesar famili kecil Md Zahar-Shaharum Bariah berlangsung dengan jayanya. Perkara yang paling aku suka, tema yang telah Ayuz pilih, Arabian, berjaya dihidupkan. Bacaan selawat yang mengiringi pengantin bagi menggantikan pukulan kompang juga buat aku rasa amat teruja. Apatah lagi, pengacara yang bertugas, saudara Ahadan berjaya menghidupkan suasana. Dihiasi dengan lagu-lagu Maher Zain, lupa sejenak kelemahan pihak pengurusan.

Kepada yang terlibat secara langsung atau secara tidak langsung, terima kasih diucapkan. Kepada yang tidak memegang amanah dengan sebaik-baiknya, menjawablah di sana nanti. Sekian, wassalam.


Selamat Pengantin Baru... FirSha

* Selamat datang kepada ahli famili terbaru kami, Firdaus. Semoga dengan sesi 'breaking the ice' yang telah dilaksanakan membawa hubungan yang lebih rapat antara kita. Terima kasih dan bimbinglah isterimu (adikku) sebaik-baiknya, insya-allah. Amin.


Friday, June 10, 2011

2 Hari Bercuti Demi Ayuz, bukan untuk pergi...

"Hari ini kau datang riang tersenyum, buatku senang...
Kau hias dirimu, membuat hati bertambah sayang..."

Jangan salah faham. Lagu ini tak ada kena mengena dengan isi yang mahu disampaikan hari ini. Esok dan hari ini, atau hari ini dan esok. Kedua-duanya tetap membawa maksud yang sama. Apa dia? Dua hari. .

Sebenarnya, aku bercuti hari ini dan juga esok. Mulanya, tak terniat pun nak bercuti. Memandangkan kakitangan untuk persiapan majlis pernikahan dan persandingan adik aku tidak mencukupi, aku pun menawar diri untuk bercuti. Aku minta cuti pun, seminggu lebih awal. Di kedai makan Restoran Anuja, Kepong. Sewaktu bersantai bersama majikan dan kenalan tempat kerja. Di situ, dengan muka selamba aku mohon cuti. Bukan sehari, tetapi dua. Sebelum aku tinggalkan pejabat, majikanku sempat memberitahu khabar gembira. Khabar yang aku tunggu lebih setahun lamanya. Harap jadi kenyataan. Kalau David Teoh kata, "bukan janji tapi pasti, tapi dalam kes ini, bukan pasti tapi janji." Lalalala..

Oh ya, buat yang suka jadi tukang adu atau lebih tepat lagi aku gelarkan sebagai MAMINAH REPOT, aku cuti bukan pergi interviu kerja tetapi, aku cuti untuk tolong adik aku. Eh, kenapa pula aku tiba-tiba jadi emo? Biasalah. Ada masanya kita boleh teringatkan perkara yang lepas-lepas. Aku teringatkan manusia yang dipenuhi hasrat dengki dalam hatinya dan tak pernah lelah menjadi kaki repot, mengadu itu dan ini. Sebelum dia repot lagi pada majikan, biar aku bagitahu di sini. Di BLOG aku. Ruang persendirian yang tidak memerlukan duit bayaran dan tidak memaksa sesiapa untuk singgah baca. Tak nak baca, tekan saja butang Google, dan bacalah benda-benda berfaedah lain yang menjana sumber dosa dan macam-macam lagi. Permainan dalam FACEBOOK, mengumpat, keji dan hina juga dalam FACEBOOK. Lalalala... sumber pendapatan yang menjanjikan pulangan LUMAYAN!

Hmm. Aku pun sudah dilanda keletihan. Perlukan rehat untuk menjana tenaga semula untuk hari Sabtu ini. Semoga tidak ada apa-apa akan terjadi dan segala-galanya berjalan dengan lancar. Insya-allah.








Oh ya, inilah kad jemputan Majlis Persandingan adikku, Shahyuzana Akmam dan pasangannya, Firdaus. Kualiti pengimbas (scanner) amat tidak memuaskan, jadi gambar asalnya bukanlah seperti yang tertera pada blog ini. Namun, kesalahan dan kesilapan yang amat jelas menjengkelkan mata memandang adalah informasi yang kurang tepat. Aku rasa, dah banyak kali adik aku bertegang urat dengan perancang perkahwinan yang diupahnya ini.

Mana agaknya tanggungjawabnya sebagai perancang perkahwinan 'berpengalaman' (malas aku sebut namanya tapi, cukuplah TREZ bukan nama sebenar). Bukanlah aku mahu mengagungkan pekerjaan aku. Namun, sebagai editor mata aku gagal untuk tidak mengesan kesalahan yang tidak sepatutnya terwujud dalam kad ini.

Lihatlah saja pada baris ayat ini...

"serta keluarga ke Majlis Perkahwinan putera kami;

Shahyuzana Akmam Binti Md Zahar"

Takkanlah adik aku PUTERA? Bukankah sepatutnya PUTERI? Tak pasal-pasal nanti orang kata kahwin GAY! Sungguh kurang cermat dan amatlah cuainya Trez dalam melakukan tugasan. Diikuti pula dengan kesalahan pada tempat majlis berlangsung. Sepatutnya di Tingkat 3. Pandai-pandai pula diubah jadi Tingkat 2. Kalau tersesat tetamu hari itu nanti, memang siaplah.

* Tak cukup menjanjikan perkhidmatan dengan bercakap indah-indah sampai bergegar meja, sebaliknya buktikanlah dengan perbuatan. Sedangkan kad jemputan semudah itu pun kesalahan yang jelas boleh dilakukan, apatah lagi di hari majlis berlangsung? Tunggu dan lihat!