Saturday, September 4, 2010

Luahan Tanpa Suara?

Ada kalanya, manusia ingin didengari,
Biarpun suara itu tidak menjadi miliknya.
Ada kalanya, manusia ingin mendengar,
Biarpun telinga itu tiada fungsinya.

Amat bangsat diri dirasakan pabila pertuturan dibisukan. Tambahan pula ketika ketinggian rasa itu berada di kemuncak, berkobar-kobar ingin dikongsikan segala-galanya. Tiada rasa lain yang tinggal melainkan kekecewaan yang membukam. Keterujaan itu lenyap kerana tidak endah yang dipamerkan. Akur. Daripada terus menunggu untuk menantikan peluang bersuara, lebih baik kaki diangkat dan berlalu pergi.

Serba salah. Keterujaan tadi tetap mahu dikongsikan. Jadi terwujudnya pilihan untuk meluahkan rasa pada yang lain. Namun diri rasa khianat kerana mendahulukan yang lain. Khuatir dilabelkan sebagai manusia paling sombong. Namun, apa pilihan yang manusia ada? Pada siapa mampu rasa dan kegusaran hati ditumpahkan kalau semuanya serba tak kena? Celaka sungguh rasa!

Bukan wang ringgit atau harta yang dimahukan. Cukuplah sekadar sedikit masa untuk mendengar. Jikalau mendengar itu pun tidak mampu dilakukan, kenapa perlu disalahkan manusia itu untuk meluahkan rasa nan gusar pada yang lain?

Luahan tanpa suara, mendorong manusia mengambil keputusan tanpa bicara. Jadi, janganlah dipersalahkan jika keputusan itu mungkin tidak berpihak kepada sesiapa.