Saturday, August 28, 2010

Virus Oh Virus... lenyaplah!!!



Diam, ada dua tahap. Satu, boleh memaafkan dan dua, boleh membunuh. Jadi, aku dah melepasi zon boleh memaafkan. Sekarang aku rasa tak guna kalau asyik menyedekahkan kemaafan pada orang yang sengaja membunuh rasa kemanusiaan dalam hati aku. Dengan hati yang memberat aku perlu memuntahkan segala rasa yang menggunung. Kalau disimpan lama-lama, membarah. Sia-sia mati sebab orang yang . . . . . . Lantaklah. Aku tak suka diplomatik dan aku benci hipokrasi.

Satu, aku tak suka menuduh. Perkara yang paling aku benci pula mengaibkan orang. Apa juga yang jadi depan, belakang, tepi, kiri, kanan, akan aku biarkan sahaja. Sebabnya mudah, Allah ada. Wujud. Dia melihat. Aku? Aku melihat, tapi mata aku butakan. Aku mendengar, tapi telinga aku pekakkan. Aku boleh saja bersuara, tapi sengaja suara kubisukan. Sebab? Tak guna jadi orang yang ingin ambil tahu dan sibuk nak tahu!

Aku menyerahkan segala-galanya pada kuasa Allah. Di satu hari nanti, pasti Allah ada cara menelanjangkan segala pendustaan untuk orang atasan mengetahuinya. Persoalannya, adakah mereka 'mampu' mengambil tindakan jika kebenaran itu telah terbukti di depan mata? Hahahaha. Itu aku tak pasti. Harus tunggu saat itu tiba. Keyakinan aku pada Allah, dan Allah juga ada cara membongkarnya. Bukan aku.

Sejak kebelakangan ini, komputer yang dibekalkan majikan untuk aku sebagai editor majalah selalu dikunjungi masalah. Mungkin sudah terlalu banyak virus? Entah. Apa yang pasti banyak juga fail aku hilang. Yang lebih pelik, fail-fail yang disimpan dalam folder pejabat. Fail sama tetapi sengaja aku simpan dalam folder peribadi, tidak pula terusik. Hmmm. Kenapa virus tu hanya 'pandai' makan fail-fail pada folder pejabat tapi tak reti merayap ke folder peribadi aku? Mahu aku tunjuk bukti, siapa akan percaya? Aku diam. Fikirkan, memaafkan perbuatan virus itu lebih bagus dari berperang dengan diri sendiri. Tapi kawan-kawan, sanggupkah kalian memaafkan virus ini kalau setiap fail yang disimpan, dipunahkan macam itu saja?

Terbaru, aku mengalihkan satu folder berisi gambar. Sebaik saja terima arahan, aku terus melakukannya. DI HADAPAN MAJIKAN. Nasib baik, aku buat dua salinan (macam biasa!) Satu aku simpan dalam folder peribadi dan satu dalam folder kakitangan yang berkenaan. Menjelang petang, aku terdengar arahan terbaru majikanku. Pelik sebab folder yang aku alihkan pagi tadi lenyap? Aku periksa semula. Ya. Memang lenyap. Pergi ke mana? Majikan aku diam. Baiklah, aku faham. Tentu fail itu telah dibaham virus. Buat apa nak bising-bising kalau folder pendua ada. Jadi, untuk kali kedua aku mengalihkan semula fail tersebut. Kejadian ini buat aku berfikir yang virus ini tidak adil terhadap usahaku. Nampak semacam senang, Tekan 'copy' dan 'paste'. Tapi, kalau buat kerja yang sama dua kali, agak menjengkelkan!

Aku percaya setiap orang membuat tugasan yang diamanahkan dengan sehabis baik. Aku pun begitu. Setiap kali arahan diterima, akan aku belek habis-habisan. Tambahan pula ianya berkaitan dengan produk yang semestinya mengisi ruangan iklan. Tiada alasan untuk membuat sambil lewa. Malah, mustahil untuk aku mengatakan tidak. Itu tugas aku dan perlu aku laksanakan. Kadang-kadang ada produk yang terlalu berat. Senget jugalah badan dibuatnya. Pernah tangan aku terkehel dan terseliuh. Aku diamkan saja. Buat apa nak bising-bising? Balik rumah, urut. Biar bengkak manapun, itu salah aku. Lembik sangat! Setiap kotak aku belek. Bercinta betul aku dibuatnya. Kadang-kadang berulang lebih 5 kali bagi memastikan apa yang akan dicatatkan tepat. Apa salah aku kalau di kotak tercatat lain, atas badan produk lain. Tak cukup dengan itu, aku rujuk maklumat menerusi laman web. PENGESAHAN BERGANDA! Kalau salah juga, aku tak boleh nak buat apa-apa.

Paling menarik, pejabat aku baru sahaja melantik seorang editor pakar. Pakar bahasa. Ya, aku kagum dengan kepakaran yang ada dalam bahasanya. Sehingga kewujudan aku sebagai editor tak ada nilai. “Ayat apa ni?" itu ayatnya. Tapi kalau ditafsirkan secara halus dan lapisan demi lapisan, ini yang mahu editor baru itu sampaikan. "Kau tak buat kerja? Ayat apa yang kau pakai ini?” Bagi aku, ayat tidak perlu mati atau kaku. Ayat harus ada variasi. Selagi tidak mencederakan fungsi dan disampaikan dengan tepat, pasif mahupun aktif, ianya cara untuk mempelbagaikan ayat. Menghidupkan ayat. Mungkin ilmu aku tak cukup tinggi, pengalaman aku masih cetek. Tetapi kecintaan bahasa Melayu aku tebal.

Ya. Pasti ada yang mempersoalkannya kerana aku seringkali didengar menyanyikan lagu bahasa lain. Bukan kerana merendahkan keaslian lagu-lagu berbahasa Melayu, tetapi sebagai seorang yang mencintai bahasa, aku lebih suka mengamati lenggok ayat. Ayat? Ya. Maaf. Ayat dalam lirik lagu melayu hari ini tidak dapat mengembalikan kegemilangan indahnya lagu melayu seperti yang pernah dijulang oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramli. Tiada bait-bait indah seperti malam bulan dipagari bintang, sebaliknya mama papa jahat, ada aku kisah dan macam-macam contoh lagi. Kemandulan berbahasa? Bukan salah. Cuma kurang penghayatan.

Bak kata Tuan Haji Ghazali, jangan membezakan seni kerana bahasa. Hindi, Arab, Korea dan Tamil antara bahasa yang mengekalkan penggunaan keindahan bahasanya. Malah, penulisan dialog dalam filem-filem (dalam bahasa) ini juga lebih menarik dari filem melayu sendiri. Tapi tidak bermakna aku tidak menyayangi bahasaku. Disebabkan terlalu sayang, aku takut untuk mencederakan penggunaannya. Nampak macam mudah, tapi setiap artikel yang diberi, mencari kelainan pada lenggok bahasa dengan menjaga kualitinya sudah menjadi tanggungjawabku. Bukan sesuatu yang senang. JUSTERU ITU, TEKS SEBEGINI MUSTAHIL untuk aku buat dengan sambil lewa.

Bila kita lebih banyak mencari ruang untuk membuktikan kelemahan orang lain, kelemahan sendiri akan terbuka. Fikir-fikirkanlah. Hidup ini bukan medan perang, sebaliknya mencari kedamaian untuk menenangkan hati daripada terbeli hasad dengki, benci dan sebagainya. Aku? Kalau dulu aku tiada apa-apa rasa, tetapi setelah insiden yang sama berulang berkali-kali dan tak ubah bagaikan anjing menyalak, lama-kelamaan ia membantu aku menanamkan rasa benci.

Orang kata benci boleh berubah jadi sayang. Mungkin untuk orang lain, tapi bukan aku! Sesiapa yang mengenali aku tahu akan satu kebenaran ini. Bila aku sudah sayangkan orang, walau sesetan mana dia pernah lakukan, benci itu tidak akan hadir. Tetapi, kalau aku mula benci pada orang, biarpun semalaikat mana dia pernah lakukan, suka itu tidak akan ada. Ya. Itulah Shahaini yang sebenarnya. Aku pernah beri peluang untuk diri jangan membenci, dan sekarang peluang itu sudah mati. Ya. Memang salah kerana aku masih cuba menghormati.

* Kau mungkin bagus untuk hasil kerja kau, tapi tak bermakna kau bagus segala-galanya. Cerminlah diri sendiri. Adakah kau cukup bagus?

Wednesday, August 25, 2010

Apa Yang Kau Lihat?

Aku selalu percaya, diri sendiri adalah teman yang paling baik. Kenapa? Bila kita bersendiri pasti ada sesuatu yang mahu dan mampu dihasilkan. Tidak perlu takut diketawakan, dan tidak perlu malu untuk membuat apa yang disukai hati.

Beberapa hari ini, meja di pejabatku agak lengang. Segala tugasan telah kusiapkan minggu lepas. Hanya ada beberapa tugasan kecil. Itu pun, sudah selesai aku kerjakan. Di waktu yang senggang ini, jari-jariku laju menconteng dan melakar sesuatu.

Setiap kali tiba saat-saat begini, aku lebih suka melepaskan 'jari-jemariku' menari mengikut rentak yang dipandu hati. Malah, di setiap kali aku mula melakar tidak akan pernah terjangka apa pula hasilnya. Aku suka melukis sepertimana aku suka menulis. Cuma lukisan dan contengan aku tak secantik mana. Sekadar mengisi kekosongan masa dan minda. Bila aku melukis, rasa aku bebas. Telinga jadi tuli. Seakan tertutup segala deria semata-mata fokus terhadap kertas dan pensil yang asyik menari.

Jadi, inilah dua lakaran atau contengan yang terhasil sepanjang tempoh pelayaran hatiku. Apa yang dapat kalian lihat?


Muslimah



Tangan-tangan

Seperti biasa aku suka berkongsi lukisan atau lakaran ini dengan umi dan abah. Masing-masing punya pendapat sendiri. Begitu juga aku. Pendapat dan pemikiran orang yang melihat sebuah lakaran tidak akan pernah sama. Termasuklah tangan di sebalik lakaran ini.

Monday, August 23, 2010

RANN... permainan Politik dan Media?

Sejak beberapa bulan ini, sukar aku menemukan masa lapang untuk diri sendiri. Lebih banyak tugasan dan amanah yang perlu aku selesaikan. Disebabkan itu juga, sukar aku menemukan masa untuk mengatur dan menyusun ayat yang sempurna, seterusnya diisi ke ruangan blog ini. Alasan yang baik? Mungkin.

Masa untuk aku menonton filem atau drama pun agak terhad. Bukan sahaja kerana tugasan, tetapi juga terpaksa akur dengan kehendak anak buahku, si Raja Muda Miqhail! 24 jam dengan saluran Disney. Sehinggakan seisi rumah terpaksa mengalah. Termasuklah abah. Kalau dulu, abah yang 'berkuasa' memegang alat kawalan jauh. Sekarang, alat sekecil itu sudah beralih tangan. Ya! Si genit ini pandai menyembunyikan alat kawalan jauh, memastikan tiada siapa menukar saluran kegemarannya. Aduh!

Nak dijadikan cerita, kebetulan beberapa hari lepas, anak buahku ini seakan 'merajuk' hati dan tidak mempedulikan tv plasma yang selama hari ini menjadi teman karibnya. Dia memilih untuk bermain dengan koleksi patung-patung Disney. Di kesempatan inilah, aku dapat menonton saluran Tayangan Hebat yang sememangnya aku langgan setiap bulan. 3 saluran, termasuklah ABO Movies Thangathirai. Terkejut? Ramai juga yang pelik, kenapa aku sanggup bayar saluran ini sedangkan filem-filem yang ditayangkan semuanya berbahasa Tamil? Lupa pada kempen 1 Malaysia? Hahaha. Itu sekadar alasan sinikal.

Aku masih ingat pesan pensyarahku (guru sepanjang hayat), Tuan Haji Mohd Ghazali. Katanya, jangan sesekali membahagikan seni kerana budaya mahupun bangsa. Seni adalah seni. Lagipun, filem-filem Tamil tampil lebih berani, benar dan bersahaja! Ada sahaja perkara baru yang aku belajar, terutama sekali dari penyusunan dialog dan juga ekspresi pelakon. Dari emosi dan susunan plot, hinggalah pertembungan watak-watak semuanya disusun cantik! Sesuatu yang amat penting dalam proses memajukan penulisan skrip, terutamanya seseorang seperti aku. Masih belajar dan akan terus belajar memperkasakan teknik penulisan skrip. Insya-allah.

Melihatkan Miqhail yang rela melepaskan kuasanya, aku pun merebut peluang ini untuk menonton. Kebetulan waktu itu ada tayangan filem Hindi, Rann. Aku pernah melihat promo di youtube dan ianya didukung oleh Amitabh Bhachan dan Ritesh Deshmukh. Arahan Ram Gopal Varma. Hmmm. Satu ketika dahulu, aku pernah meminati sentuhan klasik pengarah ini. Namun, sejak dia taksub mengarahkan filem 'hantu' dan dirasuk pula membuat 'pembikinan semula' filem-filem terdahulu, aku jadi jemu. Filem terakhir arahannya yang sempat ku tonton pun Bhoot. Kecewa! Kemudian, muncul pula filem Sarkar (saduran The Godfather) dan Ram Gopal Varma Ki Aag (salinan semula Sholay). Hilang bisa? Entah.


Ram Gopal Varma

Saat awal aku menonton Rann, mataku terus terikat. Tidak pasti sama ada kerana dialog atau pesona peran filem ini. Aku tidak melihat dari awal, tetapi yang aku pasti masih awal kerana filem ini baru bertemu titik perubahan (turning point). Menarik. Interaksi mata, ekspresi dan juga dialog. Cukup untuk buat aku lupa pada yang lain. Bermula pada scene debat di jamuan itu, aku terus tenggelam dan hanyut bersama arus Rann. Sehingga ke detik akhir, aku mampu mengatakan. Ya, Ram Gopal Varma dah kembali.


Rann... kejujuran, pangkat atau duit?

Antara filem yang amat aku suka. Tolak tepi lagu atau apa sahaja yang ada untuk menyerikan perjalanan cerita ini. Yang penting, filem ini dihasilkan tepat pada waktunya. Cantiknya filem ini terletak pada kebenaran yang dibawanya. Oh, bukan kebenaran seperti Mat Rempit yang mahu menegakkan kebenaran mahupun hidup jalang seorang bohsia. Tetapi medium yang paling dipercayai oleh masyarakat umum. Televisyen. Lebih tepat lagi. Media. Khasnya elektronik! Kisah seorang wartawan yang patuh kepada etika (Ritesh) dan organisasi yang tamak gelaran (India 24/7) ! Kemenangan selalu berpihak kepada DUIT. Duit yang dibekalkan oleh ahli politik!

Secara tidak langsung Rann memperlihatkan kebenaran yang berlaku sebalik tabir terhasilnya sesuatu 'berita'. Salah satu medium yang paling mudah untuk menjulang atau menjatuhkan sesuatu. Tidak kiralah dari dunia politik, hiburan mahupun sukan. Media berkuasa mengawal pemikiran dan pemilihan rakyat. Rann menunjukkan betapa 'hebatnya' medium ini mencipta sesuatu yang palsu dan menjadikan ia sesuatu yang 'benar'. Bagaimana seorang yang mulia dicelakakan, manakala yang celaka dimuliakan.

Rann membuka mata. Apa yang dilihat dan ditonton dalam berita bukan selalunya benar. Hanya kerana satu reaksi (para politik, artis, ahli sukan dan sesiapa sahaja) atau jawapan yang diberikan akan dimanipulasi! Diputarbelitkan dengan pertanyaan yang tidak wujud semasa sesi interviu dan disunting sebelum ditayangkan untuk tontonan umum. Seminit interviu yang sebenar akan dijadikan kepada satu laporan penuh (1 jam) dan dimainkan berulang kali. Hebat! Media adalah sahabat karib kepada politik yang korup!



Baru-baru ini, aku ditemukan pula dengan satu laporan yang hampir serupa. Apa yang dikatakan oleh individu ini telah dimanipulasi. Lebih hebat lagi, kata-katanya dijadikan satu laporan penuh. Padahal ianya sekadar potongan dan cebisan interviu yang disunting. Sekali lagi, memang hebat media di India. Hal ini membuatkan aku menerima bahawa Rann memang cerminan media di India. Betapa mudahnya menjatuhkan seseorang hanya dengan mengubah sana dan sini. Sunting itu dan ini, laporkan di televisyen. Tayang berulang kali untuk mengaburi pandangan umum dan akhirnya, penonton terbeli. Apabila penonton mengiyakan kepalsuan ini, maka terciptalah kebenaran! Wah, memang media India hebat!

Rann membuat aku sedar, yang kejujuran dalam setiap tugasan dan amanah yang sepatutnya dipikul sudah tidak WUJUD! Sepatutnya, berita adalah sesuatu yang dilaporkan setelah terbukti kesahihan. Bukannya fiksi yang diarahkan oleh seseorang, duduk di kerusi penyunting dan menayangkannya ke umum. Aduh! Di mana kejujuran? Tiada. Semuanya mengejar gelaran NOMBOR 1! Saluran televisyen NO 1! Mengarut! Masing-masing mencederakan tanggungjawab yang diamanahkan!

Mujurlah, apa yang ditayangkan dalam Rann hanya berlaku sekitar India dan bukan di Malaysia. Mujur! Jika realiti Rann akan atau telah pun mula membiak di Malaysia...?

*Menunggu peluang untuk menonton Peepli LIVE terbitan Aamir Khan, tulisan Anushka Rizvi (seorang wartawan) yang membongkar kebenaran media! Pastinya menarik apabila wartawan sendiri yang menulisnya. Betul tak?

Saturday, August 21, 2010

Rasa Itu Aku Yang Punya...

Kurniaan tertinggi dan percuma dikurniakan dalam setiap kehidupan manusia ialah kasih sayang. Aku percaya semua manusia dalam sedar atau tidak, rasa itu pasti ada. Lebih bertuah lagi, apabila kasih sayang itu datang daripada orang selain keluarga kita sendiri. Dan sepertimana yang pernah dirasakan orang lain, aku pun begitu juga.

Mungkin kalian pernah mendengar ungkapan 'cinta pertama'. Ramai yang mengatakan 'cinta pertama' adalah sesuatu yang amat sukar untuk dilupakan. Benarkah begitu? Secara jujurnya, aku akui, ya! Perkara yang paling sukar dilupakan. Tidak kiralah apa juga cara yang dicuba, tapi rasa itu tetap ada. Malah, cinta seterusnya yang datang sentiasa menjadi mangsa perbandingan.

Bagaimana bisa ianya dilupakan?
Kenapa sukar untuk dilenyapkan?

Aduh! Sakit apabila memikirkan. Disebabkan itu juga, setiap kali bertemu dengan 'hati' yang baru, aku akan berterus terang. Tidak mahu rasa bersalah mengekori setiap kali bersama 'si dia' yang datang kemudian. Setiap masa juga, 'si dia' yang terkemudian ini tidak akan pernah faham. Malah mempunyai anggapan yang bukan-bukan. Kasihan. Terlalu singkat pemikiran mereka. Apa? Adakah semua cinta itu akan disusuli dengan noda? Itu mungkin kisah cinta dalam hidup kamu, tetapi bukan aku.

Aku mula mengenal rasa cinta itu di zaman persekolahan. Ramai yang mengatakan kepadaku, itu sekadar 'cinta monyet' tetapi bagi aku yang merasakannya sendiri mengatakan sebaliknya. Sebab kalian perlu tahu, rasa itu aku yang punya. Akulah yang lebih tahu! Ada juga yang mengatakan, rasa yang aku ada itu bukannya 'cinta' tapi sekadar suka. Malah, ianya tidak sehebat mana kerana tiada ucapan sehidup semati. Hah?

Kalau cinta perlukah ucapan sebegitu? Saya sayang awak, awak sayang saya? Saya cinta awak, awak cinta saya?

Atau perlukah perlakuan intim? Berkepit, tak boleh berenggang? Pegang tangan? Peluk-peluk?

Adakah itu sahaja perkara yang boleh mensahihkan CINTA?

Cukuplah aku katakan, rasa cinta yang aku ada itu terlalu indah...

3 bulan pertama... ragu-ragu,
3 bulan seterusnya... paling indah dan aku pasti inilah dinamakan cinta!
Sebulan... penuh penyeksaan,
Setahun...rasa yang bercampur hinggakan aku terpaksa berundur.
Lima tahun... sendiri, membawa diri sebelum ditemukan peluang kedua.
Dua tahun... kembali tersenyum.
Setahun... penuh dugaan yang mana akhirnya memilih haluan masing-masing.

Kini aku ditemukan pelbagai pilihan, namun tiada satupun sepertinya. Terus terang aku katakan, dia satu dalam seribu. Malangnya, manusia diberikan peluang hanya 2 kali. Aku pasti tidak akan ada lagi peluang untuk kali ketiga.

Ketahuilah kalian, dia telah aku letakkan di mata dan di hati... dia masih ada. Tak banyak yang dilakukannya cuma pernah membuat aku rasa terlalu istimewa. Istimewa. Bukan seperti puteri atau permaisuri tetapi seperti seorang gadis. Gadis yang perlu dilindungi, disayangi dan dihormati. Ya, itu yang pernah dilakukannya.

Dia melindungi aku daripada segala umpat keji...,
Sentiasa bersamaku bila ada kata-kata busuk menghina menghampiri
Walaupun ia dari teman sendiri dan turut menghitamkan namanya untuk melindungiku.

Dia membuatkan aku rasa disayangi...,
Bertanya tentang diri dan keluargaku. Menasihati dan mengajar. Mendahulukan aku dari segala segi. Buat aku tersenyum ketika aku bermuram dan buat aku ketawa setiap kali marah. Sentiasa cuba buat aku gembira. Ya, bersamanya aku gembira!

Dia menghormati aku...,
sebagai seorang gadis dan bukannya perempuan.
Seorang gadis akan lebih menyayangi lelaki apabila dirinya dihormati dan bukan dijadikan sebagai bahan untuk suka-suka.

Itulah dia di mata dan di hatiku. Adakah kau mampu menandingi dia?

Aku tahu. Soalan itu tidak patut aku ajukan. Lain individu, lain sikapnya dan lain juga kelebihannya.

Seseorang pernah mengatakan cinta pertama yang bermula di zaman sekolah hanyalah mainan perasaan dan sesuatu yang bodoh. Bagi aku pula cinta yang dirasakan pada waktu inilah yang paling jujur. Tiada perasaan lain untuk mencemar kesuciannya melainkan kasih dan sayang. Mengisi kekosongan yang ada dalam hati dua insan. Itu sahaja. Dan seperti yang aku katakan, rasa itu aku yang punya. Aku sahaja yang tahu. Dan padaku, dia tetap yang terbaik.


Masih sayang?

Siapa lambat dan yang melambatkan...?


Ikutkan hati yang tak beriman
mahu jadi macam ni dibuatnya!


Hari ini, aku bangun awal. Lepas selesai kemas rumah, bersiap sedia ke tempat kerja. Disebabkan dah hampir seminggu aku menggunakan khidmat Romi, hari ini kulantik semula Lolly untuk bertugas. Rasa tak puas menekan pedal minyak Romi. Tiap-tiap hari tekan sampai 150km/j. Lepas rindulah katakan....

Setiap kali pergi kerja dengan Lolly, aku terpaksa mengurangkan sedikit kelajuan. Maklumlah, Lolly ini ala-ala feminin sikit. Paling tinggi Lolly pernah 'lari' pun 120km/j. Semput aku dibuatnya. Kena keluar rumah lebih awal dari biasa sebab tak boleh nak pecut!

Jadi, seawal 7.25 pagi, aku mulakan perjalanan dari rumahku Bandar Tasik Puteri menuju Kepong. Memandangkan kereta pun tak banyak, aku yakin hari ini boleh sampai sekitar pukul 8.10-8.15 pagi (ambil kira kemampuan Lolly, kalau Romi... 8 tepat dah sampai!)

Malangnya, perkiraan aku salah. Sebaik sahaja masuk lebuhraya, aku dikejutkan dengan jalan yang dibanjiri kereta. Lebuhraya SESAK!!! Mak aih! Baru pukul 7.45 pagi. Aku boleh bertenang. Doa dan pintaku dalam hati, sampai pukul 8.45 pun tak apalah. Asalkan jangan sampai pukul 9. Naya jawabnya!

Dahsyat! Kesesakan yang benar-benar dahsyat. Sudah pukul 8 pagi, aku masih di lebuhraya. Itu pun di persimpangan susur keluar ke Shah Alam! Aku tengok kiri dan kanan. Mula kaget. Memandangkan aku sentiasa memegang rekod menepati waktu pejabat dan selalu datang awal, aku tak mahu hari ini akan tercatatnya rekod lain. Aku berdoa lagi.

Bila jam menunjukkan pukul 8.15 pagi, aku memang dah tak tahan. CD yang aku dengar terpaksa kutukar ke siaran radio. Kebetulan, ada laporan lalulintas. Ada kemalangan sebelum masuk persimpangan hospital Sungai Buloh. Aduh! Patutlah! Aku kembali tenang, sekurang-kurangnya dah dekat. Sebaik saja melepasi kawasan kemalangan, bolehlah aku memecut. Mudah-mudahan sempat sampai pejabat sebelum pukul 9.

Apabila Lolly menghampiri kawasan kemalangan, aku nak ketuk kepala sendiri pun ada. Apa taknya, kenderaan (lori-lori) yang terlibat dalam kemalangan dah pun diletak ke lorong kecemasan, tapi jalan masih sesak. Inilah rahsia kejayaan terbesar kesesakan di Malaysia. Orang suka benar meminjam mata. Tengok kemalangan sampai nak berpusing kepala. Adei!!!

Jam di tangan dah tepat pukul 8.30 pagi. Aku pun bersiap sedia untuk memecut sebaik sahaja melepasi kawasan kemalangan. Malangnya, 'cik abang' kereta depan masih khusyuk memandang kejadian. Aduh.

"Abang, kalau nak tengok baik berhenti terus! Jangan susahkan orang lain!"

Tak pasal-pasal, aku terpaksa memintas kereta cik abang ni menggunakan lorong kedua (sebab tadi aku kat lorong pertama). Sampai pula di simpang tol, misi ke pejabat sebelum pukul 9 seakan kabur. Seorang lagi 'cik abang' dengan berpoya-poyanya memandu kereta. Lebih sopan lagi, dia memandu dengan menggunakan sebelah tangan. Sebelah tangan lagi digunakan untuk memegang telefon bimbit.



"Abang, lainkali bawak telefon awam tu. Biar orang lain nampak yang awak tengah sibuk berborak!"

Kali ini, aku terpaksa pula memintas menggunakan lorong ketiga (sebab aku di lorong kedua dan lorong pertama dah sesak!) Aku fikirkan, mungkin selepas melepasi 'cik abang Mat telefon bimbit tu' perjalanan aku akan jadi licin. Salah lagi perkiraan aku. Kali ini, kereta di depan aku sedang sibuk memakan asap. Berselera betul dia memakan kepulan asap-asap rokoknya.




Aku tak kisah kalau dia nak makan asap tu selori sekalipun, tapi apa logiknya dia pandu kereta tu tak sampai 50km/j? Aduh! Menggigil juga badan aku, menahan marah. Nasib baik aku MC, kalau tak.... dah lama kurus puasa aku! Kali ini, aku tak dapat nak memintas guna mana-mana jalan. Sebab, hanya ada satu jalan saja, masuk simpang.

Sebaik sahaja melepasi simpang, aku ucapkan "selamat menjamu asap ya, bang" dan memecut Lolly. Belum sempat aku menjerit MERDEKA, ada sebuah bas menghalang kelicinan perjalananku. Tak apa, kali ini aku sabar. Sabar sebab dah nak sampai. Lagipun, bas itu awal-awal bagi isyarat nak masuk simpang kiri.




Kali ini aku benar-benar tak tahu, salah siapa sebenarnya? Salah pemandu bas atau bas yang dipandu! Apa taknya, isyarat diberi awal, tapi tak juga masuk-masuk ke simpang kiri. Sampai akhir aku terpaksa mengekori belakang bas. Aduhai!!!

Namun begitu, aku sempat juga sampai pejabat dalam pukul 8.45 pagi. Pejabat pula masih kosong. Tiada orang. Alhamdulillah. Aku tarik kerusi, hidupkan komputer dan terus mulakan kerja hari ini.

*Kesimpulannya, kepada sesiapa yang selalu menyumpah pemandu perempuan lambat, 'slow', siput dan juga 'bawa meja solek', fikirlah baik-baik. Pemandu lelaki pun dah lebih kurang 'cik-cik' juga sekarang ini! Akhir kata... jangan ingat diri sendiri, fikir untuk kebaikan bersama. Jalanraya pun kongsi sama-sama, jadi... pandai-pandailah guna.

Friday, August 20, 2010



Hari kedua di 'negara Jepun'. Insya-allah, mungkin Ahad atau Isnin ini akan kembali. Kepada rakan-rakan yang lain, jangan lupa lakukan ibadah puasa ya? Jangan cuti tanpa sebab. Assalamualaikum, jumpa lagi Encik Ramadhan.

Wednesday, August 18, 2010

Kenapa manusia terlalu pentingkan diri sendiri?

Satu soalan saja yang aku nak tanya....

Kalau kalian sedang berjalan-jalan dalam KLCC, secara tiba-tiba sejuk (penghawa dingin) merasuk badan, adakah kalian akan pergi bilik kawalan untuk memadamkan penghawa dingin dan membiarkan pengunjung lain kepanasan? Mana satu lebih sopan? Rendahkan suhunya atau pun tembak saja, hancur. Habis cerita!

Soalan seterusnya, kalau kalian sedang berjalan-jalan ambil angin, tiba-tiba terasa panas menggigit, adakah kalian akan siram matahari di atas tu, semata-mata nak sejuk?

Fikir-fikirkan, renung-renungkan. Sebagai manusia yang hidup dalam komuniti (dan bukannya duduk dalam ceruk hutan!), hormatilah orang lain. Tambah pula kalau ada orang yang sedang sakit, takkanlah nak ikut diri sendiri.

Satu saja aku boleh katakan... "As-Sabr Minal Imaan"


Waktu-waktu macam ni, si gadis ini perlukan keadaan yang sejuk...bukannya panas. Apa nak buat? Lelaki lebih berkuasa....