Sunday, April 11, 2010

Hanya aku yang tahu...

Tentu kalian pernah menonton filem atau drama yang menyentuh tentang orang-orang berbadan sihat (gemuk). Percaya atau tidak, satu pun tak pernah mencuit perasaan aku. Baik karya tempatan mahupun luar negara. Kebanyakannya amat menjengkelkan dan langsung tidak meninggalkan impak pada emosi dan perasaan aku.

Klise. Tidak habis-habis menyelitkan orang gemuk ini sebagai watak untuk buat orang gelak dan buat orang benci. Tak senonoh, comot, manja dan menyusahkan. Malah sering saja dikaitkan mempunyai impian besar untuk bersama lelaki atau perempuan paling hebat! Apa mereka ini pernah merasa jadi gemuk atau sekadar nak menghina?

Kalau adapun yang mengangkat kisah si gemuk, sedikit sahaja dan bolehlah diumpamakan seperti telur yang tidak masak sepenuhnya. Sedap tapi tak berkhasiat. Sehinggalah aku berpeluang menonton satu filem yang diberi tajuk 200 pounds beauty!

Kisahnya jujur, amat hampir dengan jiwaku. Tanpa perlu memaksa, airmata dan emosi beriringan keluar. Aku percaya, tidak semua dapat merasai apa yang dialami oleh watak protagonis filem ini melainkan orang yang mengalami masalah yang serupa = GEMUK!

Bukan aku mahu orang gemuk seperti aku ini diagung-agungkan. Cukuplah dengan menerima kehadiran kami tanpa mengenakan syarat yang membebankan. Adakalanya bakat sebenar dalam diri tidak tercapai kerana saiz badan menjadi ukuran. Malah, perasaan paling halus juga diperlekehkan dek kerana saiz badan yang dilihat terlebih dahulu.

Tidakkah masyarakat manusia sedar, di sebalik manusia berbadan gempal dan besar turut terkandung sekeping hati yang amat lembut dan halus. Tidakkah ia berhak untuk dilindungi, dihormati dan disayangi?

* yang pasti, apa juga yang terjadi aku tidak akan menjalani pembedahan plastik untuk membuang segala lemak-lemak yang ada!


Saturday, April 10, 2010

Aku ingin rehat!!!

Kadang-kadang aku amat letih. Penat asyik ingin menjaga hati yang lain sedangkan hati sendiri senantiasa digoreng hingga hangus! Kalau boleh, mahu saja aku kembali ke zaman GILA, zaman remaja dulu. Buat sesuka hati tanpa mengira perasaan orang lain. Ya, aku mahu menjadi diri aku yang dulu. Lepas perangai, cakap pun lepas. Terpulanglah pada sesiapa, nak terasa atau tidak.

Namun begitu, aku ingat pesan Along dan akan sentiasa cuba mematuhi pesanan itu.

"Kau dah dewasa, bukan budak-budak lagi. Sepatutnya bila kau dah mencecah umur 25 tahun, darah panas kau berkurang dan kau perlu banyak gunakan otak... bukan baran semata-mata"

Benar kata-kata Along, tetapi kalau asyik sabar dan membiarkan diri dijeruk rasa... aku tak rasa mampu bertahan. Sesungguhnya, aku letih dan penat. Aku ingin rehat dari menjadi seseorang yang terlalu diplomatik!

Thursday, April 8, 2010

Sedekah yang terindah...

Kebelakangan ini, aku seakan kematian hati. Malas untuk mengusik apa-apa di ruangan blog mahupun laman sosial di jaringan. Aku lebih selesa begini, menyepi diri, lebih suka membaca dari bersuara. Dalam diam, hatiku masih mempunyai mulut. Cuma hatiku tiada tekak. Kotak suara masih lagi milik mulut dan bukan hati.

Aku mendiamkan diri, dan ramai juga sahabat mengipas berita ke telinga. Senyuman sahaja yang mampu aku ukirkan. Sahabatku si unggas dan angin yang menyapa mengatakan, si dia sedang galak menjaja cerita tentang aku. Entah baik, entah buruk... aku tak ambil pusing. Aku bahagia begini. Cuma, satu sahaja ingin aku ucapkan kepada kalian yang beria-ia menyedekahkan pahala kepadaku. Kalau boleh, binalah pahala untuk diri sendiri. Lagipun, aku ini bukannya artis terkenal atau manusia hebat seperti kalian. Kisahku adalah titipan yang paling membosankan. Jadi, tinggalkanlah aku.

Tak penatkah kalian bercerita tentang aku sedangkan kalian tahu, kisah antara aku dan kalian tidak akan kembali bermula dari awal kerana sudahpun sampai penyudahnya? Sampai mati, aku dan kalian tidak akan kembali seperti dulu....

Seseorang pernah bertanya, adakah aku bisa melupakan perkara yang terjadi. Satu sahaja yang aku sampaikan padanya...

"Akak berdoa agar tidak akan lagi akak terserempak dengan insan itu di mana-mana penjuru, ceruk atau sudut di dunia ini. Selagi boleh akak elak, akan akak elak sehabis-habisnya."

Tidak kurang juga ada antara mereka yang mengatakan kekaguman terhadap sikapku yang satu ini.

"Pertama kali aku tahu, yang atas kepala kau tu ada terukir huruf D =DEGIL!"

Bukan kerana diri ini terlalu malaikat, tetapi perasaan ini terlalu bangsat! Maaf di mulut tidak akan pernah seiringan dengan bicara dalam hati. Apa-apa pun, aku cukup berterima kasih kepada kalian kerana sudi menyedekahkan sesuatu yang terindah dan tak mungkin terbeli dengan wang ringgit....pesanku kepada kalian, fitnahlah banyak-banyak lagi, senang aku dapat pahala percuma.


Saturday, April 3, 2010

Kamu yang tersayang...



Satu lagi tarikh yang mustahil akan hilang dalam kalendar penantian. 2 haribulan April. Ya, hari lahir Along. Tak perlulah aku bercerita panjang tentang siapa Along dalam hidupku. Hadirnya dalam hidupku lebih dari seorang kakak. Pembakar semangat yang tidak pernah padam dan aku mengharapkan ianya akan kekal sehinggalah aku menutup mata. Biarpun masa telah menuntut perubahan, tetapi hubungan hati tidak pernah tercalar. Ya, itulah yang aku sentiasa inginkan dan mahu ianya berkekalan.

Hari lahirnya tahun ini disambut agak sederhana. Along tak pernah mengharap lebih, malah senantiasa memberikan yang terbaik untuk kami sekeluarga sejak kecil lagi. Alhamdulillah, sekarang dia telah pun menjadi seorang wanita yang cukup sempurna, seorang anak yang terpuji akhlaknya dan seorang kakak yang terus memacu kegemilangan untuk adik-adiknya.


Along, kau mungkin dah dengar ini berulang kali tapi tetap ingin kukatakan di sini... kau yang terbaik antara kami. Kau selalu menjadi kakak dan mentorku tersayang. Harap kau kekal begini. Terima kasih kerana selalu ada untukku. Semoga kau bahagia disamping keluarga comelmu dan bergembira ditemani kasih sayang kami, suami dan anak-anak. Amin....


Kekosongan yang tidak akan terisi...




Aku sendiri terlupa, tarikh sebenar aku mula-mula mendengar celotehnya. Tetapi, apa yang aku ingat, aku selalu mendengar suara nakal dan celotehnya yang mencuit hati di stesen THR dahulu. Antara lawaknya yang aku ingat sehingga ke hari ini ialah resepi bangun pagi dan juga album KLIA. Ingat semua itu, pasti aku gelak tanpa aku sedari, tuan punya suara sudahpun selamat berangkat. Berangkat selamanya, meninggalkan kita menyahut seruan Illahi.

Jujurnya, aku masih lagi terkejut. Sejak kali pertama mendengar allahyarham dikejarkan ke hospital ada satu suara yang mengatakan mungkin sudah tiba pula masanya. Aku cuba juga berlawan dengan suara itu. Aku masih ingat lagi, aku terus masuk ke bilik umi memberitahu tentang keadaan Din Beramboi. Wajah umi terus berubah. Siapa sangka? Tak ada siapa. Tambahan pula di rumah ini, rancangan Raja Lawak selalu sangat ditonton semula. Malah, iklan rancangan Mandi dan Wuhai Beramboi kerap muncul. Inilah ketentuan Allah. Semuanya sudah tertulis.

Bukan setakat umi, malah seluruh Malaysia bimbang akan kesihatan Din Beramboi. Biar apa juga orang kata tentang dia, aku punyai anggapan aku sendiri. Din Beramboi adalah pembunuh! Ya! Kehadirannya pasti membunuh watak-watak di sampingnya. Setiap kali aku menonton rancangan Spontan, memang aku berharap supaya Din yang dipilih. Dia akan membunuh watak lain. Terus terang aku katakan, aku bukan pendengar setia Era. Tetapi, aku akan dengar rakaman rancangan Drama Sebabak di youtube.

Pemergiannya amat terasa. Tambahan pula, aku membesar dengan menonton setiap lawak dan mendengar celotehnya. Wataknya dalam Ah Long Bukit Beruntung antara yang paling aku suka. Aku juga amat suka lawak yang disampaikannya melalui kumpulan Mamu. Lawak Mamu pada malam itu diselitkan emosi dan aku suka bahagian ayat yang merentap jiwa. Memang benar, tugas pelawak untuk menghiburkan orang. Tapi orang selalu sangat mentertawakan seorang pelawak.

Keberangkatan allahyarham Meor Ahmad Fuad atau Din Beramboi meninggalkan satu lagi kekosongan. Kekosongan yang tidak akan terisi kerana kehilangannya tiada galang ganti. Namun begitu, pelawak lain akan muncul untuk menggalas tugas yang pernah dibawa allahyarham... menghiburkan masyarakat. Aku doakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam golongan orang yang beriman. Al-Fatihah....