Tuesday, February 23, 2010

Derita cik Medulla Oblongata!



Lebih sebulan aku tahan sakit. Sakit kepala yang kuat. Mulanya aku buat tak endah. Malas nak layan. Tambah pula, aku tak nak menyusahkan orang dan tak mahu belanjakan duit. Kau ingat, senang nak cari duit? Lepas tu, senang-senang nak belanja? Kalau setakat pening sikit-sikit, baik lupakan saja klinik. Telan panadol, Insya-Allah sihat. Masalahnya sekarang, telan panadol pun aku liat.

Nak dijadikan cerita, semalam sakit pening aku menyerang dengan terlalu kuat. Sampai aku rasakan medulla oblongata aku seperti dicabut keluar dari tempurung kepala, atas pangkal leher. Mata aku semakin kabur. Tiba-tiba saja kaki aku menggigil kelemahan. Aku pandang cawan hitam yang baru saja habis kuhirup air nescafe di dalamnya. Pening seakan dunia berpusing. Ya, sakitnya sama seperti yang kualami hari Selasa minggu lepas, sebaik saja minum 3 cawan kopi susu kaw bancuhan seorang akak yang kurang aku kenali.

Masa teguk air kopi susu, sedikit pun tak terfikir yang aku akan mengalami pening yang agak hebat. Umi kata yang aku ini PELAHAP. Macam tak pernah minum air kopi. Malukan muka saja. Tetapi, satu yang perlu aku tegaskan di sini. Memanglah aku selalu minum kopi, itupun bukan asli. Campuran 3 dalam 1. Rasanya tak sesedap yang akak ni bancuh dan buatkan aku lupa diri seketika.

Pening yang kutanggung semalam, lebih hebat 3 kali ganda sakitnya. Mungkin salah aku juga. Dek kerana nak menghilangkan rasa mengantuk. Aku bancuh dua nescafe dengan air secawan. PADAN MUKA! Minum separuh pun aku dah terasa denyutnya inikan pula habis licin satu cawan. Dah memang pantang aku, minum dan makan tak habis. MEMBAZIR!!! Semua itu datangnya dari duit. Penat bekerja takkanlah senang-senang nak buang duit macam itu saja. Betul tak?

Masa sakit menyerang medulla oblongata (satu-satunya aset yang paling aku sayang = otak aku!), aku di pejabat. Kebetulan rakan setugas sedang sibuk buat 'tugasannya' melayan 'klien'. Aku pun dalam masa yang sama pun turut melayan klienku juga. Ada juga dia bertanyakan sesuatu. Malangnya, aku memang tak dapat nak menyahut atau membalas. Aku sakit kepala yang amat sangat.

"Maaflah, saya pening sangat ni...," ujarku masih gagahkan diri untuk berkata-kata.

Dalam dengar dan tidak, aku sempat juga mencuri lafaz ayat yang terpantul dari mulutnya. Walau tak kuat, tapi jelas ke gegendang telingaku yang sedikit uzur ini.

"Saya pun pening juga, tapi ok ja," katanya sambil berlalu merehatkan diri ke bilik kecil.

Aku senyum sendiri. Tak tahu nak bereaksi atas kata-katanya itu. Satu saja aku pujuk diri, biarlah dia enggan nak faham. Siapa aku nak suruh dia faham atau hormati aku yang memang sedang cuba menanggung sakit? Jadi cara terbaik, aku diam saja. Lebih selesa disakiti di telinga. Di hati? Usah khuatir! Hatiku dah cukup kebal nak menangkis kata-kata yang sekeras itu. Biarlah. Mungkin memang salah aku.

Sampai saja di rumah, aku terus menghempas badan. Terbaring di sebelah Miqhail yang sedang enak menyusu.

"Pergilah mandi, lepas tu makan," ujar umi.

"Izan betul-betul tak tahan sangat, umi," kataku.

"Kenapa pula ni?" soal abah.

"Kepala Izan sakit betul, rasa macam nak terkeluar otak ni," ujarku.

"Mandi, kita pergi klinik," kata abah tegas.

Aku bergegas masuk ke bilik air. Percaya atau tidak? Sakit itu semakin mendesak ketahanan aku. Aduh! Adakah ini tanda-tandanya aku nak mati? Tak, bukan aku takut. Mati itu pasti dan abadi. Cuma, terfikir pula terlalu banyak benda yang belum sempat kuselesaikan. Tanggungjawabku pada umi dan abah masih belum langsai. Diriku? Ah!!!! Itu tak penting. Umi dan abah yang penting.

Nasib baik Along sampai rumah awal. Dapatlah kami pergi dan meninggalkan Miqhail bersama mereka (along dan abang Zamri).

AWAK SAJA YANG MAMPU SELAMATKAN DIRI SENDIRI

Masuk saja ke dalam bilik, si Doktor dah tersenyum panjang. Aku duduk seperti biasa tanpa perlu disuruh sambil ditemani umi.

"Sakit telinga lagi?" soal Doktor yang agak manis raut wajahnya.

"Kali ini, saya sakit kepala. Pening sangat, dah rasa macam nak tercabut saja kepala ni,"
kataku terus mengadu.

"Selain itu, ada sakit apa-apa lagi?" soalnya sambil mengukir senyum.

"Setiap kali sakit, mata saya jadi kabur. Tekak jadi loya macam nak muntah tapi tak.
Lepas itu, rasa dunia ni macam bergoyang dan kaki saya rasa lemah dan kebas,"
jelasku sehabis-habisnya.

"Kalau dengar dari penjelasan awak, tentu awak ni banyak sangat berfikir,"
teka si Doktor yang membalut alat pengesan darah tinggi.

"Awak ini stress," katanya lagi.

"Hish, tak ada lah. Mustahil, sebab saya tak ada masalah,"
kataku cuba mahu menyangkal.

"Awak mesti banyak berfikir, apa yang awak fikirkan?"

Hish, doktor ini. Takkan aku nak bagitau semua yang aku fikir. Takkanlah aku nak beritahu pada dia yang aku risau manuskrip novel aku masih tak berganjak dan berhenti di situ sejak beberapa bulan lalu? Perlukah aku beritahu yang aku baru siapkan 4 rangka saja, baki lagi 9 masih tertangguh? Haruskan aku kongsi segala masalah yang melanda pejabat aku padanya? Dan mahukah dia dengar yang aku dah bosan dengan orang yang asyik bertanyakan soalan sama setiap kali nampak muka aku?

"Memang doktor, anak saya ni tak pernah berhenti buat kerja. Di pejabat menghadap komputer, balik ke rumah dia tak berhenti dan tak berehat terus sambung buat kerja menulis pula sampai ke pagi. Itu yang difikirnya selalu. Puas saya larang tapi dia tak mendengar," bentak umi dari belakang.

Doktor hanya senyum dan ketawa.

"Shahaini, kalau awak terus macam ni mana-mana doktor dan mana-mana ubat pun takkan dapat selamatkan awak! Otak perlu berehat, awak tu perlu berehat! Sekarang baru stress, lama-kelamaan awak boleh dapat hipertensi. Jadi mulai sekarang pandai-pandailah uruskan masa, ya," kata-katanya membuatkan aku terkedu.

Dalam hati membisik, kalau aku tak bekerja, aku tak akan dapat apa yang aku mahukan. Aku bukan jenis yang meminta-minta dari orang lain. Akan aku usahakan sendiri untuk mendapatkan apa yang aku mahu. Jadi, nak atau tak nak, sakit atau tidak aku perlu hadapi. Hanya aku sendiri tahu kepentingan aku berbuat demikian. Andai aku hidup sendiri kelak, aku tidak perlu bergantung hidup pada sesiapa. Jika aku ditakdirkan bertemu jodoh, bukan pula si dia aku jadikan sasaran untuk mendapatkan apa yang aku mahu atau idamkan. Abah sudah ajar dari kecil, kalau nak sesuatu usaha sendiri dan jangan harapkan orang.

Sehingga hari ini, aku masih berpegang teguh pada kata-kata abah. Ya, abah dan umi ajar aku untuk tidak mengharap harta orang lain. Bukan juga rezeki terpijak tetapi usaha, cari dan miliki sendiri. Itu yang lebih baik.

* Sedang cuba mengurangkan masa menghadap komputer. Aku tidak boleh berdegil kerana hidupku ini bukan hanya untukku sendiri. Sekurang-kurangnya, bukan untuk aku saja. Alhamdulillah, cik Medulla Oblongata sedikit sihat hari ini. Harap ia akan berkekalan. Insya-Allah.... Amin.


Thursday, February 18, 2010

Aduh... gempak!

Hari ini memang aku dah jangka yang aku keseorangan di pejabat. Awal-awal lagi, ketua editor kata dia tidak akan masuk sebab masih bercuti. Aku datang seperti biasa, dan melaksanakan tugas dengan bertemankan KRU di sisi. Maksud aku, lagu-lagu dendangan mereka dan bukan tiga beradik tu menemankan aku. Hahaha.

Taklah aku sangka, hari yang tenang aman dan damai berubah! Bencana... bencana!!!!Alamak, tolonglah jangan buat macam ni. Tiba-tiba aku dapat rasa ada dua ketumbuhan di kepala dan satu baru nak tumbuh dalam hati. Ya Allah, hanya Kau yang mampu mengawal keadaan.


Tuesday, February 16, 2010

Terang Gelap... Gelap Terang

Banyak perancangan terpaksa dibatalkan. Aku tak kisah pun semuanya dibatalkan, kerana apa yang lebih penting semuanya selamat. Kalau ikutkan jadual kami ke Kelantan cuti Tahun Baru Cina ini sepertimana percutian tahun lepas, di destinasi yang sama. Kelantan, rasanya dah banyak kali kami sekeluarga pergi ke sana.

Jujurnya, aku memang suka Kelantan. Ada satu ketenangan yang ada di sana yang sukar disamakan dengan negara-negara lain di Malaysia. Bukan kerana masakannya atau pun kain batik hasil keluarannya. Mungkin, aku terpesona melihat kegigihan kaum wanita di sana. Ya! Aku tak nak menyentuh soal itu kerana nanti ada yang mengatakan aku menjentik isu seksis pula. Cukuplah orang menuduh aku radikal dan terlalu ortodoks. Lantaklah, aku malas nak melayan.

Hari Isnin yang agak perlahan pergerakan masanya, abah mengajak umi melawat Wan Anjang di Pahang. Khabarnya dia tidak sihat. Sudah agak lama juga khabaran itu bertiup, cuma kerana kesibukan dan jadual kami (aku dan Ayuz) yang padat membuatkan ziarah kami ke sana selalu saja terbantut.

Kebetulan Isnin itu juga aku dapat suntikan VITAMIN R (Rajin). Pagi-pagi aku dah bangun dan mengemas kawasan rumah dan memandikan Romi. Cheh, busuk punya Romi! Tuan belum sempat makan dan mandi pun, dia yang dapat dulu. Tak mengapa, yang penting Romi sentiasa tampil kacak dan menawan.

Perjalanan dari Rawang ke Pahang agak lancar. Tak sedar yang kami sudah pun sampai ke destinasi. Setiap kali tiba di kawasan rumah Wan Anjang, pasti mataku sempat singgah di rumah sebelah. Rumah yang pernah didiami arwah wan dan atuk. Kini, rumah yang pernah tersergam indah dengan warna hijaunya tak ubah seperti papan berlumut. Ditambah pula bau busuk saki baki ayam. Al-maklumlah, rumah itu telah didiami oleh taukeh ayam. Ada sedih yang menyayat di hati.

Kalaulah arwah Wan dan Atuk masih hidup, rumah itu tentu cantik. Rumputnya tentu subur. Pokok rambutan tentunya rimbun dengan dedaunan. Sayangnya, ia semua hanya lukisan kenangan. Tak sanggup rasanya untuk terus lama singgah. Jodoh aku dengan arwah Wan amat singkat. Kalau tak silap, semasa dia meninggalkan kami usiaku baru sahaja lima tahun. Tapi, satu sahaja yang aku selalu ingat. Arwah Wan seorang yang pandai mengubati orang. Amat disayangi semua penduduk kampung. Begitu juga arwah atuk yang sentiasa murah dengan senyuman dan tidak pernah meninggikan suara.

Ketika arwah atuk meninggal, aku berada di Selayang bersama abah dan Along. Manakala umi dan Ayuz balik dulu. Aku benar-benar tak sangka arwah tuk meninggalkan aku. Ya, sepertimana yang pernah aku ceritakan dulu. Sehingga ke hari ini aku masih teringat-ingat kali terakhir pertemuan dengan dia. Hari raya Aidil adha. Kami singgah ke rumah De Dollah. Atuk minta aku urutkan kakinya, tapi entah apa yang menahan aku untuk mendekati atuk. Selalunya, tak perlu diajak. Aku akan terus menghampiri dia.

Aku juga ingat, selepas kematian arwah tuk. Aku mengambil seluar shell warna merahnya. Agak lama juga aku memakai seluar merah itu. Pengubat rasa sesalku. Mungkin.

Keadaan dulu dan sekarang sudah jauh amat berbeza. Tiada lagi teriakan suara mamak Salleh, mengupas kelapa muda untuk diminum airnya. Tiada lagi suara gelak De Dollah yang suka menyakat anak-anak buah dan pastinya, sudah tiada lagi masakan laksa istimewa arwah Mak Ngah. Semuanya tenggelam di telan masa.

Agak lama juga kami singgah di rumah Wan Anjang. Sebelum benar-benar meninggalkan Pahang, kami singgah di tempat wajib iaitu Restoran Radha. Macam biasa, menu istimewa restoran ini tentunya ayam masak kari. Alhamdulillah, kenyang sampai ke malam. Kenangan yang datang merisik tadi segera menghilang dan tersimpan semula dalam kotak memori.

Monday, February 15, 2010

No Panties untuk V-DAY?



Aku rasa, orang pun naik jemu kalau aku tak habis-habis mengeluarkan hujah panjang lebar. Rata-ratanya mesti ada yang bosan membaca perkara baik berbanding perkara yang ada unsur fitnah. Fitnah? Ya! Fitnah yang lebih dikenali dengan bahasa halusnya, gosip! (kebetulan cicak berbunyi... betul lah tu!)

Kalau aku mula buat gosip, mungkin ramailah yang berpusu-pusu melekat di ruang sepi Fantasi Itu Duniaku ini. Biasalah, bak kata seseorang yang aku kenali. Benda yang baik, orang tak akan nak pandang. Benda yang buruk, orang sebut-sebut dan agungkan.

Begitu juga dengan tenggelamnya sejarah di sebalik kejadian Hari Kekasih atau lebih romantik dan terkesan di hati setiap pasangan kekasih yang kegersangan sebagai Valentine Day! Huih, agak panas penggunaan perkataan itu. Lantaklah, sebab itu memang kenyataannya.

Aku juga sudah naik jemu berkongsi sejarah di sebalik Valentine Day. Aku rasa, maklumat tentangnya pun penuh membanjiri setiap ruang laman web. Tak payah bersusah-susah cari buku untuk mengetahui kisahnya. Malah, dalam majalah sekarang pun heboh mengeluarkan kisah sebelum menjelang 14 Februari. Namun begitu, kalau dah memang masyarakat khususnya umat Islam lebih memuliakan Paderi Valentine, biarlah. Itu kan hak asasi manusia, siapa boleh halang?

Kejatuhan kerajaan Islam Andalusia kepada pemerintahan Ratu Isabell pada tarikh keramat 14 Februari dan menabalkan St Valentine, individu yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat dan 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan menganggap hari tersebut sebagai hari kasih sayang kerana menganggap Islam sebagai agama yang zalim.

Ortodoks? Kolot? Suka hatilah. Yang penting, seseorang individu itu perlu berfikir terlebih dahulu. Dan jika dia sememangnya seorang yang boleh berfikir, adakah relevan meraikan hari kekasih pada tarikh tertentu? Masalahnya, perlukah sambutan hari kekasih? Malah cara menyambutnya juga amat memesongkan. Salah satu cara yang semakin menjijikkan adalah kempen No-Panties!



Rasanya, semua orang faham dan tak perlulah diterangkan apa maksud NO dan apa pula maksudnya PANTIES! Kalau dulu, ringan-ringan saja (contoh - keluar tengok wayang, makan malam bermandikan cahaya lilin) sekarang dah boleh bawa masuk ke hotel. Yang murah jadilah asalkan terlaksana nafsu buas yang semakin membara!

Kalau bukan kerana meraikan kejatuhan Islam secara teorinya, tapi dengan perbuatan (tidur-bertiduran) tersebut secara tidak langsung menjatuhkan ISLAM dengan cara yang lebih halus tanpa perlu adanya perang secara fizikal tetapi cukup melumpuhkan kekuatan Islam dengan hanya melakukan serangan pada mental dan rohaninya. Kalau ini masih tidak mampu menyedarkan golongan remaja, muda-mudi (yang banyak kena cekup sepanjang 14.2.2010) maka, semakin tipislah Islam itu. Wallahualam.



Saturday, February 13, 2010

Salahkan mereka, bukan aku!

Hari ini bermulanya cuti. Cuti selama 4 hari. Ya! Kedengaran seperti agak lama, tapi aku percaya. Tempoh 4 hari ini akan berlalu dengan terlalu pantas.

Sepertimana biasa, Sabtu itu aku bangun awal. Kali ini, terlalu awal dari biasa. Pukul 4 pagi. Aku tak tahu nak buat apa-apa melainkan duduk menghadap notebook. Sedang cuba memujuk kepala otak untuk bekerja, aku cuba menyelongkar segala khazanah yang ada tersimpan di setiap fail. Aku berhenti seketika sebaik sahaja terjumpa dua keping gambar bertarikh 9/10/2009.

Gambar-gambar ini mengabadikan aku dan Miqhail. Kalau dilihat, tiada apa yang istimewa pun. Tetapi, bak kata abah dan umi... setiap gambar itu terselindung seribu satu kisah. Begitu juga dengan kedua gambar yang aku temui ini.





Kalau tengok pada kedua-dua gambar ini tentu tiada siapa dapat membaca emosi sebenarku. Betul tak? Yang sebenarnya, aku pun bukan suka sangat nak ambil gambar ini. Terutama sekali ketika itu, kepala otak dan emosi sedang berkecamuk. Ditambah pula masalah kerja. Aduh!

Aku ambil gambar ini sekadar nak melayan Miqhail yang sudah rimas, sebab lama menunggu. Perhatikan betul-betul, mata aku sedang membengkak. Memang tak dapat dilihat dengan jelas, al-maklumlah mata sepet dan kecil. Orang tak akan perasan. Aku masih ingat dengan jelas situasi sebenar gambar ini.

Aku terpaksa duduk menunggu di dalam kereta menjaga Miqhail. Ketika itu, abah dan umi sudah selamat memasuki hospital Tawakal, menziarah atuk. Aku tak dapat ikut sama. Kebetulan waktu itu sibuk dengan H1N1. Kanak-kanak tidak dibenarkan masuk ke hospital. Jadi, aku terpaksa menunggu di dalam kereta tak ubah seperti penunggu. Namun, menjelang petang aku tekad untuk berjumpa atuk dan membawa sama Miqhail (cara seludup!).

Alhamdulillah, siapa sangka aku dan Miqhail berjaya melepasi pemeriksaan. Atuk juga sempat berborak dengan aku dan bermain dengan Miqhail. Dan sungguh tak aku sangka, itulah kali terakhir aku bertemu dengan atuk. Ya, aku bertuah. Dapat menatapi atuk sehingga ke nafasnya yang terakhir.

Aku tak mahu melayan sangat emosi aku yang sudahpun terganggu. Jadi, aku cuba mengisi waktu yang ada dengan secukupnya. Maka, dengan segala upaya aku membasuh dan memandikan Romi. Insya-Allah. Lepas ini, Romi akan bertukar imej kepada lebih nampak feminin. Tak mahu lagi dilihat sebagai pembakar semangat untuk berlumba. Opss...

SALAHKAN MEREKA, BUKAN AKU!!!

Semenjak kebelakangan ini, aku tahu ramai yang tak puas hati dengan aku. Dan sesungguhnya, aku tak ingin tahu kerana jikalau tahu pun aku tak layan. Namun itu tak beerti tiada yang mengambil berat. Betul tak?

Kalau sesiapa yang membaca blog aku pasti tahu ada beberapa perubahan selain pemilihan lagu untuk menghiburkan pengunjung. Ya! Aku sengaja tarik keluar ruang sembang-sembang dan juga tidak menyertakan ruang untuk pengunjung memberi komen.

Kenapa tiba-tiba berubah?

Jujurnya, aku pun tak tahu. Mungkin disebabkan, aku tak suka melayan bangsa hipokrit. Jadi, beberapa hari ini, ada antara pengunjung blogku pelik kerana blogku tidak lagi seperti dulu. Mereka siap bertanya khabar melalui emel dan tak kurang juga menerusi YM.

Satu saja aku jawab padanya,

"Salahkan mereka, bukan aku! Aku tak mahu menipu diri sendiri"

Ternyata, tiada siapa mengerti. Kalau faham, baguslah. Kalau tak faham, pun bagus juga. Jadi, kepada sesiapa yang rasa-rasa sudi nak berinteraksi, pergi saja ke mukabuku. Di sana aku lebih bebas untuk menjadi diri sebenar. Jumpa ada di sana!

Terlalu Sayang... Hanya Kamu!

Hari Jumaat, hari terakhir sebelum cuti panjang. Sebenarnya dah dua hari, mood aku tak berapa baik. Kasihan juga aku lihat rakan sekerja yang terpaksa jadi mangsa. Maaflah ya Man, bukan sengaja. Kompilasi masalah yang datang dari segala sudut membuatkan aku begini dingin. Tak, bukan salah kau pun. Salah aku, 150%. Jadi, aku minta maaf secara terbuka dan eksklusif.

Ruang mukabuku pun tak berapa aku nak layan. Kalau jenguk pun, sekali-sekala. Sekadar menjenguk. Hati sudah tawar. Renjiskan perencah dan rendamkan dengan banjiran kicap pun masih tak terasa masinnya. Pahit dan tawar. Aduh! Dengan segala kekusutan, sengaja aku meletakkan status di mukabuku sebagai...

'Sedang mematikan diri dari segala...'.

Aku teruskan dengan tugasan. Memandangkan hari ini terakhir sebelum cuti 4 hari, banyaklah perkara yang perlu disiapkan. Masa solat Jumaat sahaja aku berkesempatan menjenguk kembali ke ruang mukabuku. Tak aku sangka ada respon dari kawan-kawan di sana. Memanglah biasa dapat respon, tapi respon kali ini buatkan mataku sedikit tersembul. Aku dapat balasan dari seorang teman nun jauh di India, Mahua.

Ini balasannya pada status aku....

"Mengapa, apa yang telah terjadi,
anda nampaknya tidak memasuki angin baik ........
Memaafkan kemahiran-kemahiran Melayu miskin walaupun....."

Aku tahu, mesti ramai yang salah faham tapi bukan aku. Aku faham benar apa yang dia mahu sampaikan cuma dia tersalah memilih penggunaan ayat dan susunannya berterabur. Biasalah, orang nak cuba bergaul dengan bahasa kita. Mesti ada sedikit tersasar. Kadang-kadang orang Melayu sendiri pun tak faham guna bahasa Melayu, inikan pula orang yang bukan hidup dengan bahasa Melayu.

Sebenarnya, ini yang dia mahu sampaikan....

"Why... what happened? You seemed not in good mood ........
Forgive, poor Malay skills though ....."

"Mengapa, apa yang telah terjadi? Nampaknya angin awak tak baik.
Maafkan skill bahasa Melayu lemah..."

Itu yang buat aku agak terkejut macam beruk hilang pisang dan tertelan cili api. Aku dengan perasaan yang agak teruja, terus membalas dan bertanyakan dia bagaimana dia boleh tahu dan faham apa yang aku tulis. Dan ini yang dia jawab....

"@Romi: Its a hugely used language among the Asian region after of course Mandarin.So, I better get a hang of it. I have a long way to go before I even understand the language better though. Anyway cheers and have fun..."

Setelah membaca balasannya, aku pun menawarkan diri untuk mengajarnya bahasa Melayu. Alhamdulillah, dia bersetuju. Apa yang lebih baik dari berita ini? Aku bangga sangat. Dalam anak muda-mudi Melayu sibuk meraja dan bertuhankan bahasa Inggeris, orang-orang di luar pula sedang cuba mempelajari bahasa indah ini. Nak salahkan siapa? Hahaha... tak payah susah-susah nak salahkan sesiapa... salahkan diri sendiri, itu pun dah cukup!

Selepas itu, mood aku kembali seperti biasa. Bila mood dah kembali normal, aku mulalah menyanyi lagu tak tentu pasal. Orang di pejabat pula yang hilang mood... hahaha. Sekali lagi, maaf ya teman-teman. Bukan sengaja mengganggu kalian buat kerja. Aku terlalu gembira sebaik sahaja mengetahui berita yang satu ini.

BERITA YANG MENGGEMPARKAN DI RUMAH

Hari ini, majikanku dengan berbesar hati melepaskan kami awal. Luarbiasa tu! Bukan senang dapat balik awal! Teman sekerja aku pula, keluar lebih awal dari aku. Agaknya tak sabar sangat tak nak tengok muka aku sehinggalah empat hari yang seterusnya...hahaha. Ya, aku faham. Tak siapa dapat tahan dengan aku. Inikan pula dia yang terpaksa duduk dengan aku sehari suntuk. Mesti membengkak jiwanya tiap kali hampir dengan aku. Maaflah ya, aku tak boleh nak buat apa-apa.

Sampai di rumah, pukul 6.30 petang. Kebetulan masa itu Miqhail tidur. Tenang betul wajahnya. Aku pun meluru masuk dan seperti biasa menghadiahkan kucupan di pipi gebunya.

"Ijan, Miqhail ada jatuh tak semalam atau terhantuk kat mana-mana kepala dia?" soal umi pada aku.

Aku terkejut. Sepanjang pengetahuan aku, tak pernah pula aku biarkan Miqa terhantuk kepala atau menghantukkan kepalanya.

"Tak umi, kenapa?" soalku hairan.

"Kepala dia ni ada lendiran... lembik aja," jawab Ayuz pula yang baring di sebelah Miqa sambil menggentel bucu kepala anak buah kesayangan kami itu.

Aku mula kaget. Terus terimbau kejadian yang pernah menimpa kakak kepada kawanku. Kepalanya pernah terhantuk dan akibatnya sekarang, kakak itu ada ketumbuhan. Walaupun sudah berjaya dikeluarkan, kakak itu terganggu dari segi emosi dan fikiran. Tidak stabil.

"Habis tu, nak buat macam mana?" soalku, dalam hati bergoncang seribu ketakutan.

"Tunggu Along, suruh dia bawa Miqhail ke klinik," kata abah yang nampak muram dan suram.

Aku cuba pujuk hati, dan pergi ke dapur untuk makan. Tak banyak, sedikit sahaja sekadar mengisi perut yang sudah pun bergema dengan muzik Metalica dan Nirvana.

Beberapa minit kemudian, Along balik. Dan seperti mana-mana ibu yang lain, Along terus bawa Miqhail ke klinik bersama Abang Zamri. Kami yang tertinggal di rumah cuba menjalani hidup seperti biasa. Dan aku, pergi ke bilik mandi dan membersihkan badan.

Tabiat aku di bilik mandi, aku akan pasang lagu. Tak senonoh betul! Bukan apa, sekadar penghibur. Dan kerana nak berhibur sambil disimbah air pancuran yang sejuk, aku leka. Mungkin setengah jam juga aku di bilik mandi. Aku keluar saja, tengok semua dah hilang. Aku jenguk ke luar. Semua sedang melambai kereta Waja yang dinaiki Along dan Miqhail.

"Umi, Along pergi mana tu?" soalku kehairanan.

"Miqhail kena hantar ke hospital..., tengkorak Miqhail retak," ujar umi.

"Apa? Kenapa tak tunggu Izan dulu?" kataku, emosiku pantas berubah.

Tak semena-mena, mataku yang pedih dengan air mandian tadi mengalirkan air mata kesedihan. Terasa-rasa mahu sahaja aku memasuki Romi dan pecut mengekori Along dari belakang.

"Lain kali, mandilah lama-lama lagi. Orang tu nak cepat!" bentak umi pula.

Kebisuan terus melanda diri. Aku hanya nampak Miqhail di setiap sudut dan ceruk. Anak sekecil itu, yang selalu riang, lincah selama ini mengalami sakit yang sebegitu besar. Kenapa dia tak menangis pun? Kenapa dia tak tergaru-garu bahagian kepala yang membengkak itu?

Aku hilang seribu daya untuk bergerak, malah terlupa bagaimana hendak bernafas dengan betul. Belum apa-apa, aku sudah merasa separuh jiwa diragut. Sudahnya, semua yang tinggal di rumah, berkampung di ruang tamu. Enggan bergerak selagi tidak menerima panggilan dari Along dan juga melihat Miqhail pulang semula ke rumah.

Alhamdulillah, dalam beberapa jam kemudian... Along buat panggilan dan kata Miqhail okay. Cuma perlukan rawatan dan ambil beberapa ubat. Dek kerana dia masih lagi budak kecil, tiada apa-apa yang mampu dilakukan. Tengkorak yang retak itu akan bercantum sendiri. Tapi, itu saja tak cukup menjamin apa-apa selagi tidak bertemu dengan Miqhail . Kami sekeluarga terus menunggu.

Sebaik saja melihat Miqhail yang masih lincah berjalan laju masuk ke ruang tamu, buatkan hati yang mati tadi hidup semula. Ya Allah, sesungguhnya aku terlalu sayang Miqhail. Aku berdoa dan berharap agar si pari kecilku ini selamat sentiasa dan selalu berada dalam lindunganMu! Amin...

Friday, February 12, 2010

Di Rasuk...

Sepanjang hari, aku dikuasai oleh mantera. Bukan mantera sakti. Bukan juga mantera yang dihembus oleh mana-mana bapak-bapak segala bomoh. Puas aku cuba untuk menidakkannya. Tak. Aku tetap tak boleh.

Di tempat kerja, aku mula dikuasai. Mula-mula aku tak endahkan sangat. Bila aku masuk ke bilik air, mantera itu menguasai aku. Emosinya terlalu kuat dan meruntuhkan segala kekebalan jiwa. Aku terkhayal dengan bait-bait mantera itu.

Aku hanya diam tatkala bertemu dengan Dia yang satu. Keluar dari surau, mulutku mula mengalunkan bait-bait mantera itu. Aduh! Pusing... pusing. Kenapa hebat benar penangan mantera ini sampai tak terkawal aku dibuatnya.

Keadaan aku bertambah-tambah parah bila sampai di rumah. Sebaik saja beri salam, dan menerima ciuman sayang dari Miqhail, aku sambung mengalunkan mantera itu. Umi dan abah pelik. Mereka menegur tapi aku tetap terus mengalunkannya tanpa rasa segan dan silu. Malah aku tersenyum bangga dan mengalunkan dengan suara yang paling nyaring. Seolah melepaskan segala kecederaan yang tersimpan dalam jiwa.

Keadaan aku itu berlarutan. Hampir setiap saat aku asyik menzikirkan mantera itu. Aku benar-benar dirasuk. Selepas Maghrib, kami sekeluarga keluar makan (seperti biasa) di Restoran Bidayah. Aku dan Ayuz hanya duduk dalam kereta menjaga Miqhail. Sempat juga buat pesanan tosai bawang, dan air teh.

Sepanjang dalam kereta, mulut aku terus bising dengan mantera itu. Mujur Ayuz yang tamak menjaga Miqhail dan bermain SMS tak marah atau mengamuk. Aku terus asyik dengan mantera yang satu itu.

Kemudian, sesudah umi dan abah selesai makan, kami pulang. Penyakit aku tak juga kebah malah semakin menjadi-jadi. Masa makan tosai bawang saja aku tak bising. Selesai makan, cuci mulut, tangan dan pinggan aku sambung semula. Botol susu Miqhail tertinggal dalam kereta. Aku ambil dan mulutku tetap dengan mantera itu. Hujan, aku tak kisah. Aku capai payung dan meredah hujan sambil dimulutku setia dengan mantera itu. Kali ini siap aksi dan alunan suara paling nyaring.

Abah tanya,

"Gembira sangat kau hari ini, ada apa-apa jadi kat tempat kerja ke?"

Aku tak jawab sebab aku terus asyik.

"Izan, hari ni malam Jumaatlah... dari kau asyik melalak macam ni, lebih baik kau baca Yassin,"

Aku diam. Betul jugak cakap umi tu.

Kalau nak tahu, apa yang merasuk aku..... lagu Bunga Larangan nyanyian UG14. Aku pun tak tahu kenapa aku asyik nyanyi lagu ni. Musykil... musykil.

Bunga Larangan -UG14



Sekuntum bunga larangan
Tidak tercapai tangan
Haruman bunga semalam
Terlerai sudah

Inginku memilikimu
Duri yang bisa menghalangnya
Inginku menyayangimu
Sayangku insan tak punya apa

Aku musafir hina
Kini terluka di taman cinta
Engkau yang aku sayang
Bunga larangan
Sudah suratan takdir Tuhan
Mekarmu sayang di jambangan orang

Terpaksa kau kutinggalkan
Dalam sejarah cinta
Tinggallah bunga tersayang
Dalam kenangan
Engkaulah bunga larangan

Tuesday, February 9, 2010

Saat Jiwa Luluh... Dia Datang Menyuluh...

Pagi-pagi lagi aku dah dapat petanda kurang baik. Bukan nak berlagak macam Nujum Pak Belalang, tapi aku dapat rasa ada sesuatu yang tak kena. Puas aku berzikir, tidak mahu terpengaruh dengan provokasi. Puas juga aku cuba mengawal amarah, tetapi seperti biasa provokasi itu lebih kebal dan menelan zikir-zikir yang kubaca.

"Aku dah cakap, jangan cabar... rasakan kau!" ujarku dalam Romi yang sedia mengaum punggung Waja yang agak kurang ajar.

Sampai di pejabat, Alhamdulillah. Tak ada apa-apa yang serius. Semuanya berjalan dengan agak lancar. Kerja pun aku dapat siapkan. Dua artikel kesemuanya. Kalau hari-hari sebelumnya, waktu pagi sampai tengah hari, belum tentu 1 artikel dapat disiapkan. Mungkin 'bateri' otak telah tercas dua hari ini.

Tengah hari aku bersiap pergi ke bank. Ada urusan. Hah! Di sinilah mulanya segala kebangsatan yang menimpa diri. Aduh! Panas pipi aku dibuatnya. Panas lagi kulit punggung yang duduk di sofa.

Tiba-tiba aku rasa tak guna. Selama ini dah banyak aku menulis. Salah aku, atau salah orang-orang yang sengaja menggantung hasil aku tak bertali. Aku melangkah keluar tapi masih bisa melemparkan senyum. Biarpun tidak semanis madu, asalkan aku sudah membuat kewajipanku. Senyum itu menunjukkan sopan dan budi bahasa. Kalau aku tidak mengamalkan sikap ini, apa guna aku pertahankan ia setiap kali berdepan dengan orang-orang kerajaan yang hatinya keras, bibirnya seberat emas dan senyum dibibirnya mengalahkan permata kohinoor! Lagipun pegawai bank itu hanya melakukan tugas. Dia tak bersalah.

Aku masuk pejabat. Kebetulan ketua editor dan rakan setugas masih setia di hadapan monitor masing-masing. Bekerja keras melaksanakan tugas walaupun hakikatnya itu waktu rehat tengah hari. Rajin betul. Mana mungkin aku jumpa keadaan begini di tempat lain. Kalau tempat lain, baru jarum saat sentuh 12:59... ramai yang dah sapu punggung, cabut! Itu belum lagi orang yang kerja - - - - - - - -, pukul 12.30 dah tak nampak bayang. Hahaha...

Memandangkan jam baru pukul 01:55, aku terus menggodek laman web. Cari ruang untuk cari kerja sambilan. Menulislah, apalagi. Yang sebenar-benarnya, aku rasa malas nak menulis lagi. Tambah pula kebanyakan hasil yang aku hantar tak dapat terima sebarang tindakbalas. Nak menangis? Taklah menangis. Sebab aku selalu mengingati nasihat pensyarah-pensyarah aku dulu. Semua benda ini lumrah dalam dunia penulisan. Lainlah kalau penulis itu memang ada kabel yang kuat. Skrip ke laut pun, orang nak terbitkan. Cerita melalut pun orang tetap keluarkan. Orang berduit, semua boleh buat!

Aku rasa, semua benda ini memang tidak dapat membantu aku. Sepertimana biasa, aku pergi bertemu dengan Dia, sahabat dan segala-galanya untuk aku. Dan seperti biasa juga, aku memohon dan bercerita pada-Nya. Kalau cerita pada orang lain pun tak guna. Habis-habis pun, mereka akan kata SABAR! Sebaik sahaja selesai menghadapNya, aku kembali ke tempat dudukku. Hatiku diselimuti sedikit ketenangan. Tak sampai beberapa minit, aku terima panggilan kak Ellis.

"Romi, sihat? Apa cerita terbaru?"

Entah tak tahu kenapa, tapi panggilan dari Kak Ellis seakan menghembus kembali semangat yang hilang. Macam-macam yang kami bualkan termasuklah cerita tentang novel DC gabungan kami berdua. Khabarnya akan dikeluarkan lepas pesta buku. Hairan juga aku dibuatnya sebab aku tak dapat sebarang makluman. Aku terus mendengar. Dalam masa yang sama aku turut mengadu. Kak Ellis ketawa bila aku kata yang aku sendiri tak tahu bila tarikh sebenar pesta buku.

Bukan aku tak mahu ambil kisah, cuma banyak aku perlu fikir. Lagipun duduk di pejabat, aku fokus hanya pada ruang lingkup kerja aku di pejabat. Ada ketikanya untuk melepaskan sedikit ketegangan otak, aku merayau ke laman web. Sekadar merisik khabar teman-teman di ruang mukabuku. Selain itu, aku telah gamkan diri dengan tugas pejabat.

Aku tak kisah kalau orang nak kutuk atau nak hina, sama ada aku ini penulis yang peka atau pun pekak. Nak ketawakan aku, silakan. Kalau itu lucu bagi mereka, aku seribu kali rela diketawakan. Kalau dikutuk, aku berjuta kali sanggup. Aku selalu kata, aku ini bertuhan. Tuhan aku Allah. Aku tak akan dapat tepis setiap gelak, ketawa, hinaan, kutukan atau kejian. Itu semua kerja Allah. Nak kutuk belakang, depan, tepi, tengah.. suka hati. Jawablah sendiri dengan Allah. Aku? Tak kuasa nak melayan!

Kadang-kadang aku terfikir, salahkah aku bertanya? Bila semua pertanyaan aku itu dipulangkan paku begitu untuk aku hunuskan tepat dalam hati. Menyesal? Tak. Buat apa nak menyesal dengan sikap manusia yang sebegitu. Dah itu lumrah kejadian manusia. Biarlah.

"Terima kasih ya kak Ellis, sebenarnya saya ni macam akak juga. Lebih banyak tak tahu dari tahu," kataku.

Satu saja yang aku tak patut buat. Aku tak patut ajukan pertanyaan. Aku tanya untuk kepastian. Maklumlah, waktu itu kerja. Kalau aku merewang-rewang cari maklumat tentang pesta buku, bukankah menempah maut namanya? Jadi, secara sorok-sorok aku mula ym. Hah! Padan muka aku. Kena sebijik dari dia (orang yang aku tanya tulah!) Bagus sangat. Terima kasih ya dik, kau buat akak sedar. Sedar yang aku ini bukan PENULIS! Terima kasih, banyak-banyak!

Aku terus buat kerja dalam kecederaan jiwa. Tak sampai beberapa minit kemudian, aku terima pula panggilan dari abang Din (Shaharudin Thamby). Panggilannya, buatkan aku lupa tentang kecederaan yang dihadiahkan si adik tadi.

"Shahaini, telemovie awak insya-Allah akan ditayangkan dalam tempoh terdekat ni. Mungkin juga Hari Kekasih, sebab cerita tu romantik komedi..." katanya yang membuatkan aku kembali berbunga.

"Abang tahu tarikh yang tepat, saya takut terlepas aja," ujarku pula.

"Entahlah, RTM pun tak dapat nak beri tarikh yang sebenar. Awak tengok aja di suratkhabar ok, tapi kalau terlepas pun ada salinannya. Cuma tak berapa seronoklah... tengok terus di tayangan lagi bagus,"

Benar kata abang Din. Dia juga ada kata padaku, hebohkan tentang drama itu pada kawan-kawan. Sudah tentu, aku akan buat demikian. Bukan untuk berlagak tapi aku mahukan reaksi mereka yang benar-benar jujur. Tunggu sajalah saat dan ketikanya.

Malah, abang Din juga ada beritahu bahawa dua proposal untuk drama bersiri dah hantar kat RTM. Tunggu kena panggil saja. Dan yang paling buat aku kembali segar dan yakin diri bila abang Din suruh aku jangan berhenti menulis. Sekurang-kurangnya, ada juga orang yang tak meragui aku dan memberi sokongan.

Terima kasih abang Din dan kak Ellis. Saat-saat jiwa sedang keluluhan, Dia menyuluhkan sinar harapan menerusi mereka berdua. Alhamdulillah.....

Sunday, February 7, 2010

Kembali ke asal... mula mengasah!!!

Sejak Khamis lalu, separuh jiwaku telah dirompak! Bukan jiwa itulah, tapi sesuatu yang merupakan separuh jiwaku. Ya, Romi. Aku pun tak tahu, berapa kali Romi nak mendaftarkan diri ke klinik dalam sebulan. Bukan aku nak mengungkit, cuma tak berapa nak faham. Kebetulan hujung minggu, bertambah-tambah lagi rindu aku pada si Romi. Apa taknya, masa Romi ditahan dalam wadlah banyak 'sedara-mara' Romi melintas depan mataku. Aduh!!! Romi, tak tahukah kamu bahwasanya si Baiduri ini merindu?

Oleh kerana tak mahu melayan perasaan, aku pun cuba menyibukan diri. Korek sana, selongkar sini sehinggalah aku terjumpa novel-novel yang pernah menjadi teman sehati zaman sekolah dulu. Aku juga terserempak dengan koleksi Vcd yang agak lama kesepian di dalam peti simpananku. Dengan tak membuang banyak masa, aku pun rakus menarik keluar 2 novel dan satu Vcd yang agak lama tidak kubelek. Alhamdulillah, semuanya masih dalam keadaan yang amat baik.

Novel-novel yang aku maksudkan adalah Season of Passion karya Danielle Steel, Forget Me Not karya Mandasue Heller beserta Vcd filem Hindi Baaghi hasil tulisan Salman Khan. Untuk memberi keseimbangan, aku turut menonton Dvd Papadom. Pelik? Macam mana aku nak habiskan kesemuanya dalam masa dua hari ini. Boleh saja, kalau nak. Kalau tak nak, memanglah tak boleh.


aku suka gila novel ni,
sekali baca tak sampai 2 jam...



beli dah agak lama, bacanya agak susah nak habis...
sibuk sangat....


Aku masih ingat lagi, Encik Hassan pernah cakap. Tidak kira berapa banyak filem yang seseorang itu pernah hasilkan sepanjang hidupnya, dia yang sebenarnya menghasilkan satu filem sahaja. Kenapa? Kerana setiap filem yang dihasilkan akan bercakap mengenai satu isu. Itu juga yang aku dapat lihat dalam filem-filem yang ditulis oleh Salman Khan. Sudah dua filem yang ditulisnya (Baaghi -1990 dan Veer-2010) dan kedua-duanya menyentuh tentang satu isu yang sama tetapi dengan pendekatan yang berlainan. Aku harap dia tidak akan berhenti menulis. Sepertimana aku suka filem Baaghi, begitu juga aku suka menonton filem Veer.


inspirasi terbesar cerpenku
'Peristiwa Malam'


Manakala filem Papadom pula, meninggalkan kesan yang amat mendalam. Mungkin bagi orang lain, mereka tidak dapat mengaitkan diri mereka melalui mata Afdlin. Namun bagi aku, aku bukan sahaja dapat melihat malah dapat merasakan emosi dan jiwa Miasara dan dalam masa yang sama Saadom. Senang cerita, kisah ini terlalu dekat dengan kami tiga beradik (Along, aku dan Ayuz) juga abah. Tidak hairanlah bila menonton filem ini, abah cepat faham. Malah, kalau sampai ke scene yang berkaitan dia akan kata pada kami bertiga...

"Kau faham tak, macam mana sayangnya seorang ayah pada anaknya?"

Ya abah, Izan faham. Dan Izan juga nak abah faham, bukan setakat ayah saja yang menyayangi anaknya. Izan pun sayang sayang sayang sangat pada abah. Kalau boleh Izan nak tunjuk sayang itu sebesar mana, tapi tak mampu. Izan memang sayang umi dan abah, melebihi sayang Izan pada diri sendiri. (Maaf, beremosilah pulak ya!)


akan datang versi kedua dan lebih dikenali sebagai
kisah Md Zahar, isteri dan anak-anak perempuannya...

'AbahAan'

Bukan setakat itu saja, aku juga turut kembali mengasah minat yang dah lama aku diamkan. Salah! Bukan menulis tetapi melukis. Dulu masa sekolah, selain menulis, membaca dan menghabiskan masa dengan perbuatan yang bukan-bukan, aku juga banyak menghabiskan masa dengan menconteng. Betul! Aku bukan pelukis yang bagus, tapi apa juga yang aku lukis segalanya datang dari hati dan luahan perasaan aku.

Kalau dulu, kawan-kawan selalu ada untuk berkongsi segala rasa. Aku kira, tiba masanya untuk aku meluahkan rasa dan segala musibah yang terkandung dalam hati melalui lukisan. Lantaklah orang nak faham atau tidak, yang penting separuh rasa dan emosi itu telah kutolak keluar.


Ini 'signature' aku masa kat CBN dulu...
aku pun tak tahu kenapa aku pilih hati dan awan...


Aku rasa dah cukup lama aku membebel, jadi lebih baik aku berhenti dulu. Aku nak sambung membaca dan melukis. Salam...

*Aku terjumpa ayat ini dalam novel simpananku, di helaian terakhir Forget Me Not... tulisan aku sendiri.

"Hold the one you love with all your heart,
who knows what tomorrow might bring!"


Mungkin aku tulis kerana teringatkan seseorang.
Entahlah, wallahualam.

Friday, February 5, 2010

Urat-urat otak yang semakin sempit


Luahan melalui lukisan tanganku...
(cuba tafsirkan andai kau mengerti)

Sejak kebelakangan ini, terlalu banyak benda yang berlaku. Terkadangnya tidak memberi peluang untuk otakku berehat dari berhenti berfikir untuk seketika. Sesak dan menyesakkan. Emosi pula terlalu cenderung mengawal perasaan yang kebiasaannya mengurung pertimbangan lantas memenjarakan rasional dalam diri. Aduh, aku terlalu letih kerana terus diburu emosi sendiri. Bertambah lemas dibantai ledakan urat-urat fikir yang semakin mengecilkan diri, membuatkan ia semakin sempit dan sempit.

Bebanan emosi tak tertanggung. Dibibir senyuman cuba memperlihatkan manisnya. Mahu membutakan mata-mata yang memandang. Adakalanya, senyum itu berjaya membutakan. Adakalanya, senyum itu mati dalam kepalsuan. Mati? Ya, senyum itu sudah lamanya mati. Sejak hari aku mendengar perkhabaran itu. Semua serba tak kena. Mungkin berita itu dikirimkan secara santai ke gegendang telinga. Namun, inputnya memberi impak yang paling binasa untuk otak dan emosiku.

Tidak, aku enggan menerima. Walaupun aku tahu, berita itu sekadar mimpi. Namun mimpi sebegitu, punyai tafsiran yang menggerunkan. Bukankah mimpi itu mainan tidur? Ya, tetapi bukan semua. Aku cuba mendustakan diri dengan mengatakan...


"Ah, itu mimpi semata! Pasti tidak akan terjadi!"

Akan tetapi, sampai bila aku mampu menipu diri?


Perisai diri terkulai lagi. Setelah satu demi satu terjadi, Romi pula mencelakakan diri. Rosak, terbinasa... dan sekaligus membinasakan kocek yang semestinya terlopong terlalu luas. Kosong? Mustahil kosong, tetapi bakal kosong kerana Romi menuntut haknya sebagai temanku yang paling setia.

Masalah itu tidak sebesar khabaran berita yang aku terima. Cuma satu sahaja yang aku pinta.

Aku lebih rela Dia memilih aku bukan sesiapa yang aku sayangi. Tidak! Bukan kerana aku mementingkan diri, tetapi berbanding nyawaku... nyawanya lebih berharga. Bukan juga kerana aku mahu melepaskan tanggungjawab sewenang-wenangnya tetapi aku tahu, tidak terbawa dek badanku untuk memikulnya.

Andai pintaku ini keterlaluan, maafkan aku. Namun, aku masih tetap dengan pendirianku. Ambillah aku dan bukan dia.


Kecelaruan yang tak terbendung lagi
(setelah menerima sentuhan klasik - Photoshop!)

Monday, February 1, 2010

Sambutan Hari Lahir kali kedua dengan Teman-teman dan VEER!

Biarlah apa orang nak kata, aku ini melampau atau pelampau. Aku tak ambil pusing itu semua. Apa yang penting, aku ingin meraikan hari ini dengan teman-teman yang sudah lama tidak bertemu muka. Pada awalnya, aku telah merancang untuk keluar beramai-ramai. Malangnya, yang lain tidak dapat hadir kerana punya rancangan tersendiri. Aku mengerti dan hormati. Namun ada juga yang sengaja mengelak. Lantak kaulah, apa aku nak kisah...! Dalam setahun ini, secara tak langsung aku dapat lihat siapa yang benar-benar ada untuk aku. 365, 2 jam pun tak terluang... macam melampau sangat. Betul tak? Jadi,

"so long, good bye...!"

Aku telah merancang jadual hari ini sejak dua bulan yang lalu. Dalam otak tahu, bukan semua yang kita rancang akan menjadi. Jadi aku kuatkan juga semangat dan usaha. Alhamdulillah, Fatimah dan Salwa muncul. Tiada apa yang lebih bermakna buat aku selain menghabiskan dan meluangkan masa bersama seperti dulu-dulu. Aku tak tengok pada hadiah atau apa juga. Jika diberi, aku hargai tetapi jauh sekali aku mengharap atau meminta. Kerana perasaan aku tak pernah terbeli pun dengan semua itu. Itu juga yang aku katakan pada Fatimah.




Aku juga mendapat kejutan lain. Kejutan dari seorang kakak yang telah kukenali sejak zaman sekolah lagi. Kak Janet, seorang pekerja di kedai video berhampiran dengan pawagam TGV di Capsquare. Dulu, aku kenal dia di bangunan Semua House (tempat lepak-lepak zaman CBN). Tak sangka, dia sudi beri hadiah yang cukup istimewa buatku. Ya, aku terharu sangat kerana rasa dihargai.



Sesungguhnya aku rasa terlalu gembira, bukan hanya kerana dapat menonton filem kegemaran aku untuk dua kali (dalam 1 hari) tapi dapat meluangkan masa dengan teman-teman yang lama tidak aku temui. Insya-Allah, ada rezeki dan panjang umur, aku dan mereka akan selalu bertemu. Amin...


Koleksi hadiah yang aku terima...
terima kasih banyak-banyak....