Saturday, October 31, 2009

Perlukah berubah?



Selama hari ini, aku amat selesa dengan cara aku membawa diri dalam erti kata lain, pergaulan sesama kawan-kawan. Tak kisahlah berkawan dengan perempuan mahupun lelaki. Tak pernah aku dengar cakap-cakap atau orang mengadu tak selesa dengan cara aku. Namun, hari ini seakan mencatatkan satu peristiwa baru. Bukan setakat mengejutkan aku, tapi ia juga mampu merobek hatiku. Amat amat amat sangat.

Setiap dalam pergaulan, aku ingat pesan abah. Tak kiralah kawan atau dengan kekasih (sekarang dah jadi kenangan, sedihnya!) sekalipun, jangan sesekali mengundang fitnah. Jangan beri ruang untuk orang buat fitnah. Abah juga pernah kata pada kami tiga beradik,

"Nak jaga lembu sekandang lebih senang dari jaga anak dara seorang, inikan pula bertiga,"

Tak payah kaji dalam-dalam. Aku faham benar ayat abah tu. Abah juga ada kata pada kami bertiga,

"dalam apa jua yang kau buat, ingat 4 perkara yang kau sentiasa ada pada diri kau. Allah, Nabi Muhammad S.a.w, umi dan abah,"

Ya. Aku tak pernah lupa yang itu. Dan perkara yang paling aku tak boleh lupa...

"kalau berkawan dengan lelaki, berdua-duaan jalan ke sana ke sini, orang tetap pandang buruk pada perempuan. Lelaki tak ada rugi apa-apa pun. Orang tak akan cakap buruk tentang lelaki tapi perempuan yang kena hentam teruk. Jadi, hati-hati dalam tingkah laku,"

Sejak dari kecil, seingat aku. Walaupun aku pernah berkasihan tapi tak pernah dalam seumur hidup aku bersendirian dengan mana-mana lelaki. Aku lebih selesa bila dalam kelompok yang ramai. Ya! Tak pernah sekalipun. Pergi tengok wayang pun mesti ada ramai yang menemani (walaupun dengan si dia yang bernama kenangan).

Pernah dulu, semasa di ASWARA. Aku selalu didatangi oleh seorang pelajar lelaki yang sudah kuanggap sebagai adik. Dia memilih aku untuk meluahkan segala masalah, dan segala-gala rahsia padaku. Pada dia, aku tak anggap apa-apa selain dia memerlukan sedikit perhatian yang mana aku andaikan dia tidak mendapatnya dari orang yang sepatutnya.

Di situ perkiraan aku salah. Hanya berjumpa di tempat terbuka dan dipenuhi ramai pelajar lain, masih ada juga mulut-mulut dan suara sumbang yang kata ada sesuatu antara kami. Ya Allah! Taubat betul aku lepas dituduh begitu. Bila aku adukan hal ini pada abah, abah kata itu memang salahku sendiri.

"Abah dah pesan. Yang buruk nama kau, lelaki tu tak ada apa-apa pun. Betul tak? Lagipun, kau sendiri yang buka peluang untuk orang sekeliling buat fitnah. Jangan lakukan sesuatu yang boleh dijadikan fitnah. Bukan saja datangkan dosa pada diri sendiri, pada orang yang buat fitnah itu lagi berlipat kali gandanya,"

Ya. Sejak dari hari itu dan peristiwa itu membuatkan aku lebih berhati-hati sehinggalah ke hari ini. Jadi, aku tak pernah terfikir pula tentang orang akan mempertikaikan cara pergaulanku yang telah diajar abah padaku.

Betapa kecewa dan sedihnya hatiku apabila orang tidak faham tujuan sebenar aku mengelak dari dilihat berdua-duaan dengan bukan muhrim. Sekarang, aku sendiri buntu. Kenapa sukar untuk orang membaca cara pergaulanku demi menjaga tatasusila seorang gadis muslim? Hanya ini yang mampu kulakukan. Dosa yang dapat dielakkan kerana banyak lagi dosa yang kulakukan (kita semua lakukan) tanpa sedar. Selagi boleh dosa itu dihindarkan, jadi apa salahnya kalau aku jauhkan diri?

Secara jujurnya aku tidak pernah membataskan pergaulan. Selagi aku mampu memberi komitmen terhadap sesuatu hubungan persahabatan, aku akan mempertahankannya dan tidak semestinya pergi ke sana ke mari, berdua-duaan adalah cara untuk membuktikan kita benar-benar ambil berat tentang kawan (yang berlainan jantina). Yang pentingnya, kawan itu sentiasa di hati. Apa guna kalau dekat di mata (selalu ke sana ke mari berdua) dekatlah di hati tapi bila tiada di mata maka tiadalah juga di hati! Itulah konsep yang aku pegang.

Sekarang terserahlah sama ada orang mahu menerima cara pergaulanku dan menghormati peganganku. Mungkin juga selepas ini orang akan kata yang aku kolot, sikit-sikit fikirkan maksiat, dosa dan seorang muslim yang ekstremis. Biarlah, itu pandangan kamu, yang penting aku tahu apa yang aku lakukan dan aku tahu, siapa aku di sisi Allah. Wallahualam. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui.


gambar dari blog mamat's blog

* Kalau nak diikutkan konsep ikhtilat, banyak juga yang aku tak patuhi. Namun, seperti yang aku nyatakan tadi, selagi apa yang boleh aku hindarkan, akan aku hindarkan.

Friday, October 30, 2009

Bisakah Hatimu Hatiku Bersatu?


Bisakah Hatimu Hatiku Bersatu?
(sambungan Hatimu Hatiku Jadi Satu...
sedang dalam proses)

Ijan terkocoh-kocoh mendapatkan Shamrin. Dia tak sangka akan kelewatan ke majlis Hari Lahir sahabatnya itu. Semuanya gara-gara pak Mat, jiran sebelah yang minta tolong baca surat anaknya yang belajar di luar negara.

"Shamrin!" laung Ijan setelah gagal mencari sahabatnya itu dalam kesesakkan orang ramai.

"Ijan, aku kat sinilah," balas Shamrin dari arah belakang Ijan.

"Cheh, bazir suara aku je menjerit tak pasal-pasal. Selamat hari lahir, aku tak bawa hadiah, maklumlah duit gaji tak masuk lagi," ujar Ijan diikuti ketawa kecil.

"Tapi, aku tunggu hadiah dari kau aje sepanjang hari ni. Tentu kau tahu, ke mana Adeeya, betul tak? Kalau kau datang dengan Adeeya pun dah cukup bermakna bagi aku," keluh Shamrin, dalam nada suara yang amat pedih.

"Apa? Adeeya tak datang lagi? Takkanlah awek sendiri tak datang? Jangan tipu akulah Shamrin. Tak baik tau!" bentak Shamrin.

"Bukan hari ini aje, dah seminggu aku tak jumpa dia," jelas Shamrin lagi dan dia tidak menipu.

Ijan terdiam. Dia melihat jam.

"Aku rasa, aku tau dia di mana. Kau jangan bimbang, aku akan pergi pujuk dia. Sementara tu, bergembiralah sikit, inikan majlis kau. Buruk betul tengok muka kau tu yang dah macam sedara ungka..., okay," pujuk Ijan lantas berjalan pantas meninggalkan Shamrin.


*************************************

Adeeya duduk sendirian, cuba menikmati bunyi unggas-unggas penghuni malam. Ingatannya tak lepas, terbang mencari Adif. Sesekali dia tersenyum sendiri dan beberapa minit kemudian, dia kembali muram.

"Macam mana aku boleh tau, yang kau bersembunyi di sini?" soal Ijan, mendominasi seluruh ruang pendengaran.

Adeeya menoleh ke arah Ijan, tetapi dia tidak membalas apa-apa. Adeeya kembali memandang ke lembah bukit.

Ijan datang menghampiri dan duduk di sebelah Adeeya. Kalau ikutkan hati yang panas, mahu saja ditarik tangan Adeeya. Buat apa tunggu di kaki bukit malam-malam macam ini seperti penunggu. Tiada guna pun.

"Jom, kita dah lambat ke majlis hari lahir Shamrin," kata Ijan.

"Hari ini, hari lahir dia...," ujar Adeeya.

"Yelah, sebab tu kita kena pergi sekarang. Dia dah buat majlis tapi kau tak datang. Tak elok tau, kesian aku tengok dia... muram saja," pujuk Ijan.

"Hari ini hari lahir Adif, tapi aku tak dapat nak ucap apa-apa pun pada dia," kata Adeeya, tanpa memandang ke arah Ijan.

"Adif? Kau gila! Buat apa kau ingatkan lagi lelaki sial tu? Adie, lebih lima tahun... kau tak lupakan lelaki bangsat tu lagi?" amuk Ijan. Dia tidak dapat mengawal kemarahan sebaik saja dengar nama Adif di bibir kawannya itu.

"Aku rindu sangat pada dia," kata Adeeya, kali ini diiringi tangisan.

"Kau tahu tak? beberapa bulan aje lagi Adif tu akan kahwin. Dia dah ada hidup sendiri. Dia dah lupakan kau. Baik kau hargai siapa yang benar-benar sayangkan kau... bukannya menunggu orang yang tak akan kembali," nasihat Ijan, cuba untuk mengawal kemarahannya.

"Selama hari ini, apa juga yang aku buat aku bayangkan Adif dan aku tak nampak pun Shamrin. Aku bersalah sebab menganggap Shamrin tu Adif tapi aku tak boleh tipu diri aku... aku terlalu sayangkan Adif, biar apa pun yang dia pernah buat," jelas Adeeya.

Ijan pening kepala. Dia tak tahu macam mana mahu selesaikan masalah hati Adeeya.

"Lagipun, Shamrin hadir dalam hidup aku selepas aku berubah menjadi aku! Aku? Aku yang ditemui dulu oleh Adif. Kalau dia jumpa aku sebelum aku yang begini, mahukah Shamrin menyayangi aku seperti Adif sayangkan aku?" soal Adeeya bertalu-talu.

"Kau berubah bukan sebab Adif! Kau berubah sebab diri kau sendiri. Tolonglah Adeeya, Adif tu bukan Tuhan!" tegas Ijan.

"Tak! Kau pun tahu, Adif yang temui aku. Bila semua orang bencikan aku, kutuk aku, dia datang dalam hidup aku. Bila semua orang kutuk dia, kawan-kawan dia mengasingkan diri dari dia sebab rapat dengan aku, dia tetap memilih untuk bersama aku. Mampukah Shamrin buat yang sama kalau dia temui aku yang dulu? Kasar, berlagak macam jantan. Bolehkah Shamrin terima sejarah hidup aku?" soal Adeeya lagi, masih mahu memenangkan Adif.

"Kalau dia boleh terima kisah Adif, dia pasti akan terima siapa juga kau dalam sejarah hidup kau Adeeya. Berapa lama lagi kau perlu seksa hidup kau sendiri? Sekarang, kau seksa pula Shamrin yang langsung tak bersalah tu!" kali ini Ijan hilang sabar semula.

Adeeya terdiam. Dia kembali memandang bukit.

"Aku tetap sayangkan Adif... tapi hanya ada satu cara untuk aku lihat, sama ada Shamrin akan terima sejarah hidup aku," kata Adeeya, mengesat air mata yang menjamah pipinya.

"Apa caranya?" soal Ijan pula, tidak faham.

"Cara ini bukan setakat buktikan kata-kata kau terhadap Shamrin benar, tapi dalam masa yang sama, aku akan heret Adif kembali pada aku," tegas Adeeya.

"Gila!"

"Memang gila, tapi aku mesti lakukan. Demi aku, Adif dan juga Shamrin," balas Adeeya bersungguh-sungguh.

"Ijan tolong aku kejap, nyanyikan lagu kesukaan aku," pinta Adeeya.

"Lagu apa? Kau ingat aku ni DJ ke apa?" bentak Ijan, tapi tetap melayan Adeeya.

"I Still, nyanyian Backstreet Boys tu...," suara Adeeya makin perlahan.

"Yelah, yelah...," kata Ijan seraya duduk di sebelah Adeeya.


Who are you now? Are you still the same or did you change somehow?
What do you do?At this very moment
When I think of you
And when I'm looking back
How we were young and stupid
Do you remember that?


No matter how I fight it, can't deny it
Just can't let you go


I still need you
I still care about you
Though everything's been said and done
I still feel you like
I'm right beside you
But still no word from you


Now look at me
Instead of moving on
I refuse to see
That I keep coming back
Yeah, I'm stuck in a moment
That wasn't meant to last (to last)


I've tried to fight it, can't deny it
You don't even know that


I still need you
I still care about you
Though everything's been said and done
I still feel you like
I'm right beside you
But still no word from you
No, no

I wish I could find you
Just like you found me, then I
Would never let you go


I still need you
Though everything's been said and done
I still feel you
I still feel you
Like I'm right beside you
like I'm right there beside you
But still no word from you


"Terima kasih, Ijan... kau tahu tak kenapa aku suka sangat lagu tu," soal Adeeya, masih lagi termenung jauh seakan memandang sesuatu yang tak kesampaian.

"Kenapa pulak? Cakaplah," kata Ijan, setia mendengar.

"Itulah lagu aku untuk Adif," ujar Adeeya, menunduk memandang bumi.

"Ya Allah... menyesal aku menyanyi sungguh-sungguh!" bentak Ijan sambil mengetuk kepalanya berulang kali.


**************************

Selamat Hari Lahir Adif,
Di mana jua kau berada, aku doakan agar kau bahagia
dan aku di sini amat merinduimu...
sampai bila-bila kerana
kaulah cinta hati pertamaku! - Adeeya

Thursday, October 29, 2009

Al-Kisahnya...

Pagi-pagi, macam biasa aku tak akan keluar rumah selagi tak jumpa umi, abah dan Miqhail. Tak pula aku sangka hari ini Along dan abang Zamri cuti, jadi agak susahlah aku nak jumpa Miqhail sebab tentunya dia nyenyak tidur di bilik mamanya. Disebabkan malas dan dah terlambat ke tempat kerja (masa tu dah pukul 7.30 pagi!), aku bergegaslah memberikan Jaanu dan Jiji makan. Maaflah anak-anak ya, mama tak sempat nak mandikan kamu berdua. Balik dari pejabat nanti, mama akan mandikan.

Dalam sibuk menguruskan Jaanu dan Jiji, habis 5 minit di situ saja. Apa lagi? Cepat-cepat aku berlari (dengan diiringi lagu Perang wayang kulit dalam hati... aa hip!) menuruni tangga. Aku nampak Along dan Umi, masing-masing sedang santai. Dalam hati aku, cemburu betul tengok mereka melepak. Senang hati saja.

"Eh, abah mana?" soalku pada umi sebaik saja tak nampak bayang abah. Pagi tadi masa aku masuk ke bilik umi, aku nampak abah sedang bersiap. Nak ke Bangsar, ada hal katanya.

"Abah dah pergi, tadi lagi," jawab umi.

"Lah... kenapa tak tunggu Izan," keluhku, rasa kesal tak sempat salam tangan abah sebelum pergi ke pejabat.

"Along, kau pergilah bawa Miqhail ke bawah sekejap. Aku nak pergi kerja dah ni. Selagi aku tak cium dia, aku tak senang hati nak pergi pejabat," pintaku pada Along.

"Yelah, ada aja kau ni!" bentaknya tapi tetap bergegas naik ke bilik.

Tak sampai beberapa minit kemudian, Along turun sambil mendukung pari kecilku itu. Nakal betul muka Miqhail kulihat. Penuh dengan celoreng-celoreng dan kerak air liur basinya.

Ah, aku tak kira itu semua. Budak kecil, bukan ada bau apa-apa pun. Bau bacin pun tak. Jadi aku pun mendukunglah dia. Nyata dan jelas sekali, dia memang tunggu untuk aku dukung.

"Ala sayang buchuk Angah ni," kataku sambil kukucup kedua-dua belah pipinya lembut, gebu dan berkerak air liur basi tadi. Hehehehe. Bau Miqhail tetap wangi tau!

"Aku tak sabar nak tengok kad yang Man buat, bila siap? Kau dah tengok ke belum? Macam mana, sok boleh aku tengok? Esok dah nak print tau," soal Along bertalu-talu.

Tak sempat rasanya nak jawab yang mana satu.

"Dia tengah buat kot, sebab semalam dia cari gambar-gambar kartun Disney. Insya-Allah siaplah esok. Tapi, kalau tak sempat siap pun tak apakan Along, sebab dia banyak kerja kat pejabat tu, tak pun kita suruh Ayuz buat nanti bila dia balik, ok tak?" balasku balik pada Along.

"Okaylah, tapi aku tetap nak tunggu yang Man buat," kata Along.

Alamak. Susah hati betul aku dibuatnya. Takkanlah aku nak paksa juga member tu buat. Dahlah kerja kat pejabat tu melambak. Aduh, pening kepala aku.

"Okaylah, aku pergi dulu ya," kataku lagi dan terus memecut dengan Romi kesayanganku. Sepanjang perjalanan, ingatanku tak lepas tentang kad hari lahir Miqhail tu. Inilah satu-satunya perangai buruk aku. Abah pun selalu cakap,

"kau ni, suka sangat fikir masalah kecil tu sampai jadi besar. Lepas tu pening kepala sendiri!"

Betul tu. Dah perangai aku macam tu, nak buat macam mana lagi. Aku selalu pesan pada diri, apa-apa pun jadi pastikan ada pelan sampingan. Jadi, awal-awal aku kena fikir. Fikir yang terburuk sebelum harapkan yang terbaik. Itulah yang selalu aku ingatkan pada diri sendiri.

Jadi, sampai di pejabat dengan otak yang berserabut, aku pun tanyalah Man. Aduh, dia cakap tak sempat. Tak apa, aku faham. Lagipun aku terasa pula yang aku ni macam sedang memaksa dia, padahal dia nak buat pun dah cukup baik. Jadi, sebelum dia sempat buat aku dah fikirkan pelan sampingan. Aku sms Along dan beritahu umi yang kad hari lahir tu mungkin tak dapat siap. Jadi, aku akan suruh Ayuz yang buat. Sepanjang-panjang duduk di pejabat pagi tadi, ingatan aku tak lepas fikirkan masalah ini. Entahlah, mungkin aku rasa aku dah berikan harapan pada Along itu yang buat aku bertambah-tambah risau. Tak ada penumpuan langsung dalam kerja hinggalah Man suruh aku buka folder dalam komputer aku.

"Mak aih!" cakap dalam hati je.

Rupanya dia dah siapkan. Kaki kelentong punya budak! Dia tak tahu kot yang aku ini memang jenis biol sikit. Lurus. Orang cakap satu, aku percaya satu. Sudah tu pulak, kad yang dia buat bukan satu tapi 3. Bukan dalam satu jenis, ada dua jenis pula tu... 3 dalam CMYK dan 3 dalam RGB. Hah, padan muka aku. Sikit lagi nak keluar air mata. Terharu yang amat amat amat sangat tau. Tambah pula kad-kad tu memang cantik.

Aku sempat cakap lagi pada dia...

"Lainkali jangan buat macam ni lagi, sakit jiwa tau. Nasib baik awak ni lelaki, kalau perempuan siaplah...,"kataku lagi.

Dia dengan muka tenang dan selambanya, senyum saja. Hish, aku rasa dah banyak kali terkena dengan mamat seorang ni. Aduh, apalah nasib aku ni? Tak apalah.

Apa-apa pun Rizman (Man), terima kasihlah banyak-banyak. Sanggup berjaga malam untuk tunaikan janji dia. Terharu betul. Maaflah kalau tadi terasa, al maklumlah... saya ni memang jenis kelam kabut sikit. Tak berniat pun nak buat orang lain terasa. Hehehehe.

* Lainkali bolehlah buat kad hari lahir aku pulak... hahahahaha....

Di bawah ini adalah hasil dedikasi kawanku, Man. Sesiapa yang rasa nak tempah, bolehlah tanya aku. Aku akan 'forward' tempahan semua pada dia.


Wednesday, October 28, 2009

Nujum Pak Belalang?


Otak oh otak..., kau okay?


Hari ini aku terseksa jiwa dan kepala otak. Sehinggakan tak boleh berfikir dengan tenang walau untuk seminit gara-gara aku ditemukan dengan sesuatu yang kuanggap mencabar ketahanan.... bukan minda, tapi mencabar iman aku. Ikut hati, mahu aku jadi anaconda. Sejam aku pandang, tapi idea masih tak kunjung tiba. Cuba baca sesuatu, tapi kepala aku dah agak-agak banir. Member sebelah pun tengah bengang, nak luahkan rasa yang membengkak dalam hatiku pun tak guna. Tak baik bebankan orang lain dengan masalah kita sendiri. Betul tak?

Agak lama juga aku tak berbuat apa-apa. Aku dapat rasakan kepala aku seakan langsung tidak berfungsi kerana tidak dapat memikirkan ayat yang sesuai. Tambahan pula maklumat yang aku dapat untuk buat artikel penuh hanyalah sekeping kad bisnes. Puas aku belek-belek maklumat yang terhad atas kad, termasuklah alamat laman maya yang tercatat. Malangnya, laman maya itu tak wujud. Aduh, takkanlah aku perlu jadi Tok Nujum, takpun nujum Pak Belalang? Kalau main bantai saja, mengamuk pula tuan punya kad bisnes itu. Kalau buat panggilan tak guna juga, sebab aku 100% pasti... pihak di sana kurang fasih berbahasa Melayu mahupun Inggeris. Aku dah pernah buat panggilan (dululah dengan tuan kad bisnes yang lain), punyalah berjiwa 1Malaysia, tak faham apa yang aku tanya. Aduh, bengkak hati aku dibuatnya! Lebih elok buat dengan cari maklumat sendiri.

Kenapalah otakku tiba-tiba jadi tumpul? Selalunya aku boleh lagi bertenang. Tarik nafas panjang-panjang, dan ber'istighfar' aku akan kembali normal. Ini tak, aku tarik nafas panjang dan mengucap berulang kali, semakin sakit hati aku tengok kad-kad yang tersusun cantik atas meja. Hish, kuat betul setan yang merasuk jiwa aku ini. Jeneral Setan ke apa ni? Bertambah berbulu mata (rasa macam semua bulu nak tumbuh, bulu hidung, bulu mata, bulu ketiak!!!!) sebab menyampah pula aku tengok kad-kad itu. Kalau tak ada, buatlah cara tak ada. Janganlah menayang alamat laman maya dan menipu orang. Bahlol betul orang macam ni! Tipu orang, menyusahkan orang!

Lantas aku buat panggilan kepada abah, tapi tak berjawab. Kemudian umi, pun sama. Tak berjawab. Aku perlukan mereka untuk tenangkan kembali degupan jantung aku yang kelam kabut ni. Untung-untung otak aku kembali cergas dan dapat laksanakan tugas. Dah hampir-hampir hentak meja pun ada. Tak beberapa lama lepas tu, aku dapat panggilan dari abah. Seperti biasa abah tanya, kenapa aku telefon tadi. Aku katalah yang kepala otak aku dah kebas. Abah serahkan telefon bimbitnya ke muncung Miqhail. Tergelak aku dibuatnya.

"Ngah, kap...kap, otei," kata Miqhail.

Terhibur aku dibuatnya. Kemudian abah bercakap semula dengan aku. Dia tanya siapa yang buat aku kekebasan otak.

"Bos kau atau member kerja?"

"Bukan sesiapa, Izan aje. Jadi bangang sekejap... abah cakaplah apa-apa, biar kepala Izan ini boleh bertindak balas balik. Otak Izan dah kebas ni," pintaku pada abah.

Mendengarkan itu abah mulalah berkata-kata. Macam- macam sehingga membuat aku tergelak berdekah-dekah, tak ingat kehadiran bos dan member yang tengah tekun buat kerja.

"Macam mana, dah okay?" soal abah.

"Dah, sikit-sikit. Baru Izan dapat idea nak buat artikel ini. Terima kasih ya abah," kataku.

"Okay, pergi buat kerja," balas abah pula.

Aku menurut dan mematikan talian. Alhamdulillah, aku dapat langsaikan tugasan aku sebaik sahaja selesai bercakap dengan abah. Benar, itulah aku. Aku perlukan umi, abah, along, ayuz dan Miqhail untuk tenangkan balik fikiran yang kusut dan otak yang kebas. Habis saja dua tugasan itu, aku gelak besar pandang kad bisnes yang masih ada di tangan sambil dalam hati berkata-kata....

"Hah, nujum Pak Belalang menjadi!"

* Aku tak kisah dapat tugasan macam mana sekalipun, janji tak ada orang yang menyibuk dengan cara aku laksanakan tugas aku. Macam mana aku buat kerja, kenapa aku buat macam itu dan macam ini mereka tak payahlah kacau atau ganggu sebab aku tahu kerja aku. Kalau ada orang yang mula menyampuk... memang nahaslah jawabnya!




Tuesday, October 27, 2009

Tenang Yang Dicari

Akhirnya resah yang merasuk,
menjadi tenang.
Pada wajah mereka,
buat aku rasa bertuah dan bersyukur.
Pada senyuman dia,
aku dapat baca kesedihan.
Namun pada semangat dia,
buat aku ingin ia menyerap ke dalam jiwaku.
Pada dia aku rasa cemburu,
kerana aku tak setabah dan secekalnya.
Pada-Nya aku pohon,
agar aku dapat sedikit kekuatan Umaidah.

* Umaidah, akak berdoa agar engkau berjaya menjawab peperiksaan SPM kelak. Insya-Allah jika kau berjaya kelak, jangan lupa anak bangsa dan berbaktilah demi agamamu.

Yang Terlepas Pandang...

Rayuan Derma Rumah Anak Yatim Baitul Fitrah, Rawang


Kepada sesiapa yang sudi, Rumah Anak Yatim Baitul Fitrah di Bandar Country Home, Rawang ,Selangor perlukan bantuan.

Senarai barangan :

Perkakas Elektrik

6 Seterika
1 Mesin Basuh
2 Komputer
1 Televisyen
14 Lampu Kalimatang
5 Kipas Tinggi
3 Jam Loceng

Keperluan Dapur

6 Mesin Pengisar
3 Periuk Nasi Elekrik
1 Mikro-wave
3 Cerek
2 Meja Makan
2 Dapur Gas
1 Tempat Letak Dapur
1 Rak Dapur Besar
Kuali
Toaster
Sudu/garpu
2 water container

Perabot

2 Double decker bed set
3 Almari baju (boleh gantung)
Tempat sidai kain
10 kerusi tusyen
10 Tilam
30 Bantal
Cadar
2 Kabinet/rak buku
3 Rocking chair for babies

Lain-lain

2 papan putih besar
5 Baldi/dayung/bakul
6 Penyapu/penyodok/mop
Sabun fab
Dettol
Poster doa/ukiran
Cermin
Barang Mainan/Patung
Tikar
Botol Susu
Lampin bayi
Sejadah
Kamus

Makanan

Beras
Biskut
Sayuran
Ikan/Ayam

Hubungi :
Masliza Abu Bakar (Ummu Liza)
Pengasas Baitul Fitrah
+6012-266 3649

Blog: http://rumahanakyatimbaitulfitrah.blogspot.com/


* Dalam kita asyik bersuka-ria, apa salahnya kita berkongsi sedikit rezeki dari Allah dan hiburkanlah hati anak-anak yatim yang memerlukan bantuan kita. Insya-Allah, walau hanya dengan sedikit bantuan, mereka juga dapat menikmati kehidupan seperti anak-anak yang lain.

Monday, October 26, 2009

Idea Baru...



Hari ini, sepanjang di pejabat mood tak kunjung tiba. Tak tahulah mana silapnya. Entahlah. Sejak kebelakangan ini, tenang tak menetap dalam hati. Panas. Resah. Ahad lepas, aku cuba membuang rasa itu.

Kebetulan tika itu, Ayuz tak sihat. Jadi, tugas memandu kereta bertukar tangan. Aku ambil alih (kekok sikit sebab tak biasa pandu kereta auto! Hahahaha!) Dah alang-alang aku yang pandu, aku tekan minyak sampailah ke Tapah.

Mata langsung tak mengantuk walaupun sesekali digoda melihat mereka yang lain nyenyak tidur. Terdetik dalam hati nak terus ke Cameron Highland. Sebelum terus ke Cameron, aku minta izin dari abah.

"Kalau pergi pagi tak apa, ini dah tengah hari. Nak balik rumah pukul berapa?" kata abah.

"Kita pergi minggu depan pula ya abah," pintaku. Teringin benar mahu ke sana.

Aku merindukan lambaian bunga-bunga ros pelbagai warna. Setiap kali ke Cameron, pasti aku akan borong bunga-bungaan, pokok kaktus dan tidak ketinggalan juga, strawberi. Sedap.

Hari Ahad itu, hatiku tergerak untuk menghabiskan duit. 2-3 kali juga aku berulang ke mesin ATM. Kira-kira beratus juga duit keluar. Tapi aku puas. Puas. Sekarang baru aku terkena simptom Ayuz.

Singgah di Bidor, aku beli buah-buahan. Aku beli buah pulasan, abah pula beli buah-buah kegemarannya lain termasuklah jambu batu. Ikutkan hati, mahu saja aku beli buah ciku. Tapi aku batalkan niatku. Ciku membuatkan aku teringat pada arwah atuk.

Sampai Tanjung Malim, aku seakan dirasuk nafsu syaitan. Semuanya mahu kubeli. Mungkin kalau mampu, dengan tuan-tuan kedai aku beli. Dari barang-barang kereta sehinggalah ke beg tangan, kasut tinggi. Betul! Aku sendiri tak percaya, yang aku senang sangat menghabiskan duit. Bukan itu saja, mana saja mata yang berkenan aku nak, aku beli saja. Walaupun hakikatnya aku tak pakai. Termasuklah baju ala-ala Salman. Baju yang dia pakai dalam cerita London Dreams.


Aku suka sangat baju ini...(yang Salman pakai!)

Bila aku fikir-fikir balik, memang aku ini selalu meniru atau menjadikan Salman sebagai ikon berfesyen. Sejak sepuluh tahun yang lepas(sejak mula aku suka dialah tu!), aku suka sangat tiru gaya dia. Aku sanggup habiskan duit belanja ke sekolah yang umi dan abah beri untuk beli kemeja checkers, bandana, snow-cap, t-shirt lengan panjang dari India(kat Kamdar banyak jual beb!), seluar pendek dan juga gelang silver yang dia pakai. Aku ingat lagi pernah beli gelang silver harga RM50, semata-mata nak jadi 'cool' macam Salman. Masalahnya, stail aku ikut tu hanya untuk lelaki. Jadi, aku berubah bila satu hari, aku terima sekeping surat (masa di sekolah St Mary dan CBN dulu selalu dapat surat macam ni).

Gelihati juga aku baca surat itu. Bunyinya begini...

"Akak, saya dah lama perhatikan akak. Setiap hari akak balik. Suka tengok gaya macho dan cool akak. Kalau boleh nak berkenalan dengan akak,"

Tak gerun aku dibuatnya? Menyesal pun ada juga. Tujuan aku berpakaian tiru gaya Salman hanya untuk suka-suka. Tak pula aku sangka ada mata yang memandang dan terpikat pula. Setelah dapat beberapa keping surat yang serupa, aku pun nekad berubah.

Jadi bila aku tergerak nak beli baju yang Salman pakai dalam London Dreams, umi tegur. Aku tahu, dia mesti tak nak aku kembali ke zaman setanku dulu. Tapi, aku betul-betul teringin nak beli. Tambah pula baju yang kulihat itu berwarna biru. Bergoyanglah kepala aku! Nak juga beli.

"Jangan bazir duit Izan. Buat apa beli tapi tak pakai. Kat dalam almari kau pun penuh dengan baju-baju yang kau beli tapi tak pernah berpakai," kata umi.

"Eh, ini Izan beli untuk kawan. Hadiah hari lahir dialah umi," kataku pula buat alasan.

Yang aku tahu, aku nak baju tu. Tak kiralah aku pakai atau tak. Aku nak juga.

"Mahal baju tu," sampuk Ayuz.

"Standard la. Baju lelaki memang mahal," balasku geram.

"Suka hatilah Izan, duit kau," kata umi, tak mampu menghalang kehendakku.

Yeah! Akhirnya berjaya juga aku beli. Persoalannya, siapa yang boleh aku beri baju ini.

Bodoh betul! Tapi takpe, asalkan hati aku rasa bahagia. Mulanya aku nak simpan juga. Manalah tau, satu hari nanti aku boleh pakai. Tapi, rasa bersalah pula tadi cakap macam itu pada umi. Tiba-tiba aku teringatkan seorang member ini. Betul juga, dia orang yang sesuai. Sebelum ini dia asyik sangat belek-belek fesyen. Jadi, dia orang yang paling tepat untuk aku berikan baju ini. Alhamdulillah. Aku harap dia suka. Kalau dia tak suka dan nak beri pada orang lain pun aku tak kisah.

Kembali kepada kisah hari ini, aku memang tidak dikunjungi mood. Mood aku pun sikit spoil hari ini. Malas nak cerita di sini sebab terlalu peribadi. Aku cuma harap, tidak ada salah faham. Itu saja.

Petang itu biasa sahaja. Tiada yang menarik. Aku mahu balik awal. Malas nak layan mood yang tak kunjung-kunjung. Jadi, setelah dipermainkan oleh member satu pejabat, aku terlewat beberapa saat.

Aku teruskan jua perjalanan. Hari ini jalan tak sesak. Sedang aku khusyuk memandu, tiba-tiba idea datang menerpa. Rasanya macam tak sempat-sempat nak sampai ke rumah.

Ya, idea baru untuk novel baru. Alhamdulillah. Tak kusangka, jalan sesak pulang ke rumah, berikan aku sumber ilham baru. Lebih tepat lagi aku nak buat sambungan kisah Adeeya dan Shamrin dalam mini novella Hatimu Hatiku Jadi Satu. Dalam kisah sambungan ini membawa persoalan lain pula. hish, tak sabar pula rasanya nak habiskan.

Seronok betul dapat idea baru lepas berjaya habiskan mss DC. tapi, kalau selalu dapat idea begini, mahu accident dibuatnya. Hehehehehe.....

Si Pari Kecilku... Miqhail Zamri

Masih jelas diingatan. Tarikh keramat 26, Oktober 2008. Pagi itu, tenang seperti biasa. Aku pun sedang enak dibuai mimpi kerana waktu malamnya asyik sibuk melayan rancangan di tv. Maklumlah, hampir Deepavali. Banyak cerita menarik dan aku pula masih di awang-awangan. Masih berbulan madu, dan tekun berkebun menanam 'anggur'. Semuanya disebabkan abah yang berdegil suruh aku berehat dulu sebelum ambil keputusan untuk bekerja. Untung ada juga yang memahami. Kalau ada ibu bapa yang lain, nampak anak melepak sikit di rumah dah habis kena maki hamun. Alhamdulillah, aku tak pula lupa daratan. Masih ingat pada tanggungjawab dan tak ambil kesempatan atas sikap mereka itu.

Sedang aku melayan mimpi (bertemu dengan si pengarang jantung hati, ewah!), aku dengar bunyi riuh di depan pintu kamar tidur. Seperti biasa, aku bangun dan meninjau perkara yang terjadi. Rupa-rupanya Along dah mula terasa sakit, dan sudah keluar darah. Pasti itu tanda-tanda untuk melahirkan anak dalam kandungannya... (yang selama ini kami panggil Miqhail). Abang Zamri bawa Along pergi terlebih dulu, dan aku dan yang lain menyusul kemudian. Along telah dibawa ke hospital pilihannya iaitu Gombak Medical Centre.

Di rumah, masing-masing tak senang duduk. Sekejap-sekejap kami menghubungi abang Zamri dan Along sendiri untuk mengetahui berita terbaru. Along ada kata yang kedudukan bayi masih jauh lagi. Menjelang petang, aku dan lain berangkat. Ingin sama-sama berada di sisi Along. Inilah kali pertama aku dapat turut serta dalam penantian. Sampai sahaja di hospital, Along nampak tenang. Tenang sangat. Sibuk buat lawak lagi. Terkadang nampak juga raut wajahnya yang cuba menyelindungi rasa sakit.

Lebih kurang dalam pukul 6, Along dibawa ke bilik pembedahan. Bersiap sedia untuk melahirkan anak sulungnya dan abang Zamri, anak buah pertama aku dan Ayuz, cucu pertama abah dan umi, dan cicit sulung Zainal. Lepas saja waktu Maghrib, abang Zamri beritahu, belum tiba masa untuk melahirkan. Dia sempat bersolat Maghrib sebelum pergi semula menemani Along. Bertarung nyawa, untuk melahirkan zuriatnya. Banyak kali juga abang Zamri keluar masuk ke dalam wad. Mungkin kerana dia pun panik.

Dia datang dan beritahu yang bayi akan lahir bila-bila masa. Jadi, umi, Ayuz dan aku bergegas pergi ke bilik pembedahan manakala abah hanya tunggu di bilik wad. Sehingga ke saat ini, aku masih belum dapat melupakan peristiwa malam itu. Aku, umi dan Ayuz, duduk menunggu, betul-betul di depan bilik pembedahan. Semua dapat didengar dengan jelas. Paling menggerunkan apabila mendengar azan dilaungkan. Ya Allah, gemanya sungguh kuat. Bergoncang jiwaku dibuatnya.

Aku berlari, melarikan diri. Tidak mahu memberi peluang umi dan Ayuz membaca emosiku ketika itu. Sengaja aku menyembunyikan wajah di sebalik langsir. Hanya untuk menyembunyikan perasaan takut dan segalanya yang bercampur menjadi satu. Azan yang dialunkan barisan jururawat, doktor dan abang Zamri membuatkan aku berfikir yang bukan-bukan dan sempat juga aku berdoa.

"Ya Allah, kau permudahkanlah Along untuk melahirkan anaknya. Kau lindungilah dia dan anaknya. Kau selamatkanlah mereka Ya Allah," ucapku yang ketika itu sudahpun kembali duduk bersama-sama umi dan Ayuz sambil jari-jemariku mencubit diri sendiri.

Tak tertahan, air mata jatuh dan tumpas. Keadaan jadi sunyi seketika. Semakin deras air mata merembes dan tidak sampai beberapa saat kedengaran jelas suara tangis bayi, anak Along.

Aku menangis. Syukur. Bayi dah selamat dilahirkan. Tapi, Along macam mana? Aku tidak terus merasa lega dan menanti sabar berita khabar Along dan tentu sekali anaknya. Kemudian, abang Zamri keluar. Dia kelihatan tenang dan beritahu.

"Bayi lelaki, sempurna sifatnya. Alin pun selamat," katanya kepada umi.

Mendengarkan itu, barulah aku lega dan terus mengucapkan Alhamdulillah. Aku terus berlari ke bilik wad, ingin beritahu abah yang dia sudahpun bergelar datuk. Sebaik saja aku sampai, aku dapat lihat abah yang sedang berdoa dan bertafakur.

"Abah, along selamat lahirkan anak lelaki," kataku dengan penuh keriangan.

Kelahiran bayi ini penuh dengan kuasa kebesaran Allah dan membawa beribu rahmat. Secara automatik juga, nama Miqhail menjadi nama pengenalan kepada bayi yang memang dinanti-nantikan setiap keluarganya. Miqhail lahir dengan berat 4.25 paun dengan kaedah normal.

Aku menanti sabar untuk melihat pewaris keturunan Zahar itu. Tatkala dia dimasukkan ke bilik bayi, air mata menitis lagi. Miqhail antara bayi yang paling besar berbanding bayi-bayi yang baru lahir. Aku menatap wajah Miqhail menerusi cermin. Tapi aku dapat melihat dengan jelas. Kerana terlalu asyik melihat Miqhail, aku tidak sedar kehadiran saudara lain yang hadir. Malah, semasa Mak Ndak dan Pak Ndak datang, aku masih tekun memerhatikan Miqhail. Along keluar dari dalam bilik pembedahan dengan senyum yang melebar. Sempat juga dia berbual mesra dengan jururawat, bertanyakan tentang cuti Deepavali.

Kini, dah setahun. Alhamdulillah, kenangan itu tak akan terlupus. Miqhail Zamri.... Selamat Hari Lahir pertama.

* Makcikku sempat membisik kepadaku yang Miqhail nampak sebiji seperti wajahku. Walaupun ketika dalam kandungan, aku tak berpeluang hampir dengannya. Agak terkejut juga bila lihat wajahnya sebiji wajahku. Yang berbeza cuma, dia lelaki dan aku perempuan. Hehehehe....

Apa-apa pun, hari ini aku dedikasi entri ini untuk anak buah kesayanganku... Miqhail Zamri.

Selamat Ulang Tahun yang pertama sayang...
Angah sayang Miqhail....
muah,muah,muah!!!


Miqhail Zamri... pari kecilku




Kali pertama aku mendukung Miqhail...



Syok tidur... Miqhail 2 bulan 7 hari


baru bangun tidur... Miqhail 2 bulan 11 hari


Tengah tunggu abah bayar saman!
Miqhail 3 bulan 27 hari



4 bulan 2 hari




Di PD, 5 bulan


Di Sungai Besar, 6 bulan


Nakal betul, 7 bulan


Dengan Patrick, patung maskotku... 7 bulan


Comot, kan? Dia memang suka makan coklat....8 bulan


Cuba menggodala tu konon! 9 bulan


Raya lepas... bukan selalu dapat tengok dia
pakai baju melayu...9 bulan



Dengan cinta hatinya, tak boleh lepas kalau tak mesti ngamuk!
10 bulan


Paling suka cakap dengan handphone...
padahal takde orang pun di talian...
11 bulan!


Nakal sesangat! Kelebihan dia, menjerit, menangis, makan, minum, main dan lain-lainlagi. Tapi yang penting, dialah permata di hati... walaupun ada ketikanya dia boleh mengancam 'anak-anakku' yang lain iaitu Jaanu dan Jiji....
12 bulan....

Semoga membesar dengan sihat dan menjadi budak dengan akal dan budi yang terpuji....
Insya-Allah!!!!

Thursday, October 22, 2009

... Kosong ...


Rabu merangkak layu
Hitungan detik semakin perlahan
Berlalu dan tinggalkan ruang kosong
Menakluk segala keasaan diri
Mencuba untuk tegak tapi terkulai
Hilang bersembunyi terbenam ke dalam

Teka teki terus menghantui
Menghuni seluruh pelusuk jiwa
Bagaikan saka yang tak mahu lepas
Selagi tak terjejak hari itu
Berterusanlah terputusnya segala nikmat
dalam diri, peribadi dan juga hati...

Ya Allah.....

Wednesday, October 21, 2009

Dalam Kematian Hati

Pejam 2 malam sudah berlalu
Masih ada rasa berbaki
Dihimpit, terhimpit segala segi
empat, tiga dan ada juga bulat dan membujur

Mata enggan beralih pandang
Mahu terus dipaku dan kekal
Hidup dalam kematian hati
kebuntuan akal dan daya yang tiada

lalu hati terus dibuai
malam mahu membuai rasa
lemas dalam semput
hilang dalam kabut
tetap juga ia membuai

Ya Allah, Ya Rabbi, Ya Azim, Ya Fatah...
Tenangkanlah taufan ini
Amin.

Monday, October 19, 2009

Surga-Mu

Hari ini, aku menjalani pemeriksaan ultra sound. Keputusan kasar aku dah tahu, cuma tunggu keputusan yang disahkan pihak hospital, 11.11.2009 nanti. Jadi, aku ingin hiburkan hati dengan lagu yang sedang dan akan sentiasa menetap di hati. Lagu Surga-Mu nyanyian kumpulan Ungu.


Surga-Mu

Segala yang ada dalam hidupku
Kusadari semua milik-Mu
Kuhanya hamba-Mu yang berlumur dosa

Tunjukan aku jalan lurusku
Tuk menggapai surga-Mu
Terangiku dalam setiap langkah hidupku
Karena kutahu Hanya Kau Tuhanku

Reff:
Allahu Akbar Allah Maha Besar
Kumemuja-Mu di setiap waktu
Hanyalah pada-Mu tempatku beteduh
Memohon ridho dan ampunan-Mu

Sunday, October 18, 2009

Di Bawah Pengaruh...



Semalam, genap seminggu atuk meninggalkan alam ini. Tepat pukul 8 malam semalam (aku masih tak sihat), aku cuit Ayuz dan katakan padanya, waktu inilah atuk menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dalam pejam celik, seminggu dah berlalu. Rasanya baru semalam, aku bermain-main dengan atuk. Aku pernah adukan pada member satu pejabat. Kataku padanya, yang aku masih terbayang-bayang wajah atuk. Dia kata, biasalah tu. Mungkin. Entahlah.

Selepas seminggu, seperti biasa keluarga Zainal (waris-waris allahyarham) berkumpul bagi membincangkan perkara-perkara yang ditinggalkan di belakang oleh atuk. Peluang begini tak selalu ada. Jadi, bila dah berkumpul ramai-ramai, rasa seronok pula. Aku kira, lebih seronok jika arwah wan dan arwah tuk masih ada. Keceriaan dan kemeriahannya lebih berlipat kali ganda. Wan dengan masakannya dan atuk, yang tak henti-henti melarang barisan cucu-cucunya.

Dalam keseronokan berkumpul semalam, aku rasa sedikit pincang. Manakan tidak? Setelah seharian duduk di hospital, dan makan bekalan ubatan yang diberikan. Aku rasa bagai jejak tak tertanam di bumi. Terapung-apung di awangan. Sehinggakan, mana tempat aku duduk, di situlah aku tidur. Ya Allah, malu juga dibuatnya. Orang lain sibuk menyembang, aku tekun melayan tidur.

Aku ingat lagi, masa orang lain asyik makan. Aku tenung ayam berbeku dan burger di depan mata. Hanya mata yang menjamah. Bila ditanya sanak saudaraku jawapanku ringkas....

"Takut muntah,"

Benar. Aku tak tipu. Sejak balik dari hospital, apa juga yang aku telan pasti akan keluar ke dalam mangkuk tandas. Dahlah aku benci muntah. Sekarang ini, sejak makan ubat yang diberi, aku asyik muntah, muntah, muntah dan muntah. Aduh! Seksa dibuatnya. Sebab itulah, aku naik fobia nak makan. Memandangkan bila dah berkumpul ramai-ramai, pasti ada saja cerita yang mahu dikongsi. Aku pun, lebih suka ambil langkah selamat. Duduk bersama-sama Along yang duduk di satu sudut lain. Setibanya aku di mejanya....

"Kau kenapa, pucat semacam aje ni?"

"Aku pandang bukit belakang tu bergoyang, aku pun bergoyanglah Along," jelasku padanya.

"Hish, kenapa?"

"Mungkin, ubat ini kot yang buat aku macam orang sasau," kataku pula.

Memang ya. Ubat itu yang buat aku hampir sasau. Aku lebih suka duduk sendiri dan membawa diri ke kaki tangga. Tapi, aku tak dibiarkan bersendirian. Sepupu-sepupu kecilku mula mengerumuni. Diana dan Syazwan. Budak-budak kecil yang bijak dan berpotensi. Pandangan mereka lebih matang dari remaja yang berusia belasan tahun. Terkadang soalan mereka mencabar pemikiran aku. Aku terpikat dengan cara Diana berfikir. Pandangannya tentang Islam. Begitu juga Syazwan. Pendapatnya tentang politik yang dibanjiri korupsi. Inilah generasi pelapis, warisan Zainal.

Tak sedar, duduk dan bersembang dengan mereka berdua membuatkan aku terhindar sedikit dari pengaruh dadah (ubat) yang aku telan. Namun, bila hari sudah malam. Masing-masing mula ingin mengambil langkah, meminta diri dan pulang ke tempat asal.

Sepulangnya aku ke tempat asal, kembalilah aku semula di bawah pengaruh dadah yang mengkhayalkan. Aduh, aku harap ianya tak akan lama.

Saturday, October 17, 2009

04:45 161009...

Hari ini sengaja aku tidur di bilik umi dan abah. Niat di hati tidak mahu terlepas sahur. Tepat pukul 4.30 pagi, umi kejutkan aku dari tidur. Kebetulan, aku tidur-tidur ayam. Tak susahlah untuk aku berjaga. Aku makan baki mee goreng yang abah beli dari gerai semalam. Takut jumlahnya tak mencukupi, aku tambah pula dengan roti. Sebelum meneruskan kembali perjalanan lenaku, aku sempat makan ubat yang dibekalkan semalam.

Tak sampai 15 minit, aku dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena dengan perutku. Mulanya aku andaikan serangan gastrik biasa. Jadi, aku pergilah ke bilik air, cuba untuk muntah. Malangnya, perutku terus meragam. Semakin lama semakin sakit, lalu membuatkan aku terguling-guling sendirian. Entah macam mana, kepala otak aku mengajak aku cuba memperbodohkan sakitku itu dengan cuba bawa tidur. Tidak berhasil dan sakitku itu semakin lama semakin parah. Aku pandang jam, sudah pukul 5.30 pagi.

Along masuk ke bilik, bersama-sama Miqhail yang nyenyak tidur. Aku senyum saja. Buat-buat sihat. Padahal sakit di dalam semakin membinasa. Aku bawa pula mandi. Harap sakit itu akan reda. Harapan cuma tinggal harapan. Sakitku itu semakin menggulung tubuhku. Aku berlari mendapatkan abah di rumah bawah. Dia sedang mandi.

"Abah, kita pergi hospital ya," ujarku, perlahan-lahan cuba menahan sakit.

"Kenapa?" jawab abah dari dalam bilik air.

"Tak tahan, sakit sangat," kataku, dan kali ini, benar-benar sakit.

"Tunggu kejap, abah mandi dulu ya," kata abah.

Aku tak menjawab, dan terus kembali semula ke bilik umi.

Aku gerakkan umi perlahan.

"Kenapa Izan?" soal umi sebaik sahaja kelopak matanya dibuka.

"Izan nak ke hospital, tak tahan sangat," kataku.

Kemudian aku menghampiri Miqhail yang masih lena dalam tidur. Kukucup pipinya lembut. Umi bangun dan mengiringi aku turun ke bawah. Aku tahu, dia tidak akan turut serta bersamaku ke hospital kerana harus menjaga Miqhail. Ya, lagipun, aku tak mahu menyusahkan ramai sangat orang kerana aku.

Sementara menunggu abah bersiap-siap, umi menemankan aku dan menunggu di ruang tamu. Miqhail pula masih nyenyak tidur di tilam khasnya, yang sengaja diletakkan di tengah-tengah rumah. Umi kata yang aku ini malas nak berubat. Sepatutnya sakit yang aku alami ketika ini boleh dihalang sekiranya aku patuh makan ubat dan amalkan minum air bali dan air suam yang banyak. Ya! Benar cakap umi. Aku bukan malas, cuma terleka. Lupa sekejap kerana sakit itu hilang sekejap dan menyangkakan ia tak akan kembali. Abah pun mengatakan perkara yang sama di sepanjang perjalanan.

Aku terpaksa dengar kata-kata amarah abah dan umi kerana aku tahu, aku bersalah. Kali ini perasaan bersalah aku semakin tebal apabila mengenangkan waktu di ketika itu sudahpun melewati pukul 8.30 pagi. Kebiasaannya, aku sudahpun sampai di pejabat. Sama ada membersihkan kawasan pejabat, atau tak pun membelek ruangan e-melku sebelum memulakan tugas. Bila dah sakit begini, aku yakin yang aku pasti tidak dapat menghadirkan diri ke pejabat. Itu yang membuatkan aku kesal. Terpaksa cuti sakit untuk sehari lagi. Padahal di pejabat kerjaku sudahpun menimbun. Aku sempat SMS pada ketua editor. Aku harap dia faham situasiku.

Sampai hospital, aku menuju ke bahagian kecemasan. Di ketika itu, hospital masih lengang dan nombor giliranku 2006, dan terpaksa menunggu selama hampir 2 jam untuk mendapatkan rawatan. Sedangkan aku tak boleh duduk diam menahan sakit dalam keadaan ini, inikan pula terpaksa menunggu giliran yang entahkan bila akan tiba. Jadi, untuk tidak menyusahkan orang lain dan diri sendiri, aku pergi ke ruang solat. Di situlah aku menunggu giliran sambil terguling-guling tanpa disaksikan orang lain. Abah yang datang kemudian kerana ada masalah meletak kereta (parkir penuh!) gagal bertemuku dan bertanyakan di mana aku melalui SMS.

Aku tsk terus balas dan pergi mendapatkannya.

"Izan baring kat dalam sana, sakit tak tahan sangat," aduku pada abah.

Abah angguk, dan dia suruh aku kembali ke tempat itu dan berbaring semula. Namun belum sempat berbuat demikian, giliran aku tiba. Bila masuk saja berjumpa doktor, mulalah dia memeriksa (apa yang patut diperiksa!). Termasuklah mengambil darah untuk ujian. Habislah puasaku, terbatal! Sakit juga ketika dia mencucukkan jarum ke lenganku kerana darah tak keluar-keluar. Apalah nasib? Dahlah sakit, darah pun enggan keluar!

Selesai sudah, aku di suruh tunggu di luar untuk menunggu keputusan dari lab. Menunggu keputusan itu saja aku boleh tidur untuk satu jam. Aku kembali pada abah, dan abah menyuruhku berbaring dulu di ruang solat. Kebetulan semasa aku masuk ke ruang solat itu, ada seorang kakak yang juga baring dan tertidur. Aku cuba masuk tanpa mengejutkannya. Malangnya gagal dan dia terbangun juga. Akhirnya berceritalah dia tentang kisahnya pula. Dia datang ke hospital sejak 4 pagi, kerana menemankan suaminya yang terkena serangan batu karang. Datang ke hospital tapi hanya di rawat pukul 8 pagi sebab doktor baru sampai.

Belum sempat bercerita panjang, namaku dipanggil. Aku masuk tanpa ditemani abah. Sebaik masuk, aku disambut mesra doktor itu.

"Ujian dah mengesahkan yang awak sakit ..........................," kata doktor itu.

"Jadi, tolong datang untuk ultra sound Isnin ini," jelas doktor itu lagi.

Maknanya, Isnin ini sekali lagi aku terpaksa cuti sakit dan tidak dapat melaporkan diri ke tempat kerja. Dugaan!



Wednesday, October 14, 2009

Bercerita tentang hari ini dan telefon bimbit


Buat mereka-mereka yang sombong dan berlagak dengan
kecanggihan telefon bimbit masing-masing

Hari ini sepanjang hari di hospital Sungai Buloh. Buat pemeriksaan. Aku dah sms bos awal-awal. Dia tak balas. Meluat betul rasa hati, bila-bila saja aku sms tapi tak pernah dijawab. Silap haribulan, kalau dah merasuk rasa marah, mahu juga aku campak telefon bimbit aku. Tapi tak apa, aku tenangkan jiwa. Tak mahu marah-marah untuk hal kecil.

Mulanya aku nak pergi sendirian, tapi abah berdegil untuk bawa aku ke sana. Katanya, biarlah dia yang pandu. Lagipun, susah kalau aku memandu dan terpaksa mencari tempat letak kereta. Betul juga kata abah, seawal pukul 9 pagi, tempat letak kereta sudah penuh. Jadi, aku akur ikut kata-kata abah untuk pergi mendaftarkan diri terlebih dulu.

Oleh kerana sudah sedia maklum dengan prosedur hospital, aku tak mengharap pun untuk selesai pemeriksaan sebelum tengah hari. Niat hati, selepas selesai semua aku ingin kembali bertugas. Namun, memandangkan pemeriksaan selesai pukul 3.30 petang (angkara tunggu giliran untuk setiap sesi), aku pun bertolaklah ke rumah. Tak berbaloi pun kalau masuk pejabat pukul 3 petang. Tapi hatiku berat mengatakan, pasti ada bisik-bisik tentang ketidakhadiran aku di pejabat hari ini. LANTAKLAH! Kau orang yang mengumpat, kau orang yang dapat dosa!

Hari ini aku rasa lega sebab dapat tengok sendiri x-ray yang dilakukan ke atas diriku hampir 3 minggu lepas. Terima kasihlah kepada bakal para doktor(lima orang kesemuanya), dari UITM dan doktor Ghassan yang menerangkan satu persatu keputusan ujian itu kepada aku. Antara ramai-ramai itu, aku sempat menjeling dua nama saja. Yusof dan Safwan. Pertemuan yang sesingkat itu masih mampu memahat memori yang tak terbeli dari mana-mana pun. Terima kasih kerana tadi tidak berkesempatan terutama sekali kepada mereka berdua ini yang tak henti-henti membuat penerangan sehingga aku jelas dengan penyakit aku ini. Akak doakan agar kalian berlima akan menjadi doktor-doktor yang hebat (insya-Allah) dan dalam masa yang sama tidak pernah mendongak ke langit. Ingat-ingat bumi yang dipijak juga ya adik-adik. Kepada Yusof, dah terlanjur minta tandatangan janganlah lupa jenguk hasil karya Romibaiduri Zahar ya.

Menjelang petang, aku pulanglah ke rumah. Disebabkan kepala puyeng, hati runsing aku bawa bergurau senda dengan Miqhail. Miqhail pula dah terlalu lasak. Tak faham-faham yang Mak Ngahnya tak mampu melayan. Tapi, aku tak sampai hati lihat dia bermain seorang diri. Terpaksalah aku melayan si kecil ini sehingga dia terlelap dalam dakapanku.

Tak sedar masa berlalu rupa-rupanya sudah malam. Sepanjang hari tak menjenguk telefon bimbit (yang sengaja aku tak layan sebab aku pasti tak ada sesiapa yang sanggup buang duit hubungi aku). Kira-kira pukul 8 malam, aku membeleklah telefon bimbitku ini. Ada sms masuk. Banyak juga, tapi mataku lebih tertarik pada sms seorang sipolan ni. Aku hantuk kepala sendiri sebab tak sedar ada sms dari dia. Jadi, tanpa berlengah aku pun smslah sipolan ni. Salah perkiraan sebab sipolan ini kedekut ya Rabbi nak keluarkan walau hanya 5 sen dari kreditnya.

Betul jugak tindakan dia tu, aku faham sesangat. Lainlah kalau aku ini orang teristimewa, sah-sah dia sanggup tabur 5 juta sekalipun, betul tak? Aku masih tak puashati sebab aku dapat rasa macam ada yang tak kena dengan sms yang dia hantar. Dalam perasaan ingin tahu yang memuncak, aku mendaillah nombor dia (segan ada juga sebab siapa aku nak buat panggilan malam-malam, betul tak?). Aku sabar tunggu di talian. Perkara pertama sebaik saja (kalaulah dia jawab!) yang aku mahu katakan, ada apa-apa tak kena ke? Malangnya, panggilanku itu tak berjawab. Semakin memuncaklah rasa ingin tahu, dan dalam masa yang sama membengkaklah hati menahan marah!


Kalaulah boleh....ini yang aku nak buat....

Ah, malas aku nak fikir, nak layan atau nak apa-apa sekalipun. Bukan sekali dua aku menghadapi situasi sebegini. Sudah tak terbilang rasanya. Bukan dia sahaja, malah ramai lagi 'kengkawan' yang tak suka jawab panggilan aku. Apa dosa aku pun aku tak tahu? Ikutkan hati nak saja aku padam nama sorang-sorang dalam contact list aku ni untuk mengelak jari-jariku membuat panggilan lepas tu menyesal sendiri. Kalau dulu aku kata aku tak pernah menyesal, kali ini aku berani cakap. Aku menyesal betul buat panggilan pada semua manusia yang malas nak menjawab panggilan aku. Sesombong-sombong 'si dia' pun, dia masih menjawab panggilan aku. Tak kiralah dia sedang buat apa ketika itu, pasti dia akan menjawab....

"Maaf ya, saya dah nak memandu ni....," tak pun...

"Saya ada atas motor ni, nanti call balik ya,"
dan terkadang hantar sms pendek....
"Maaf ya, tadi sibuk sangat,"
Itulah 'si dia', yang tak pernah menyimpan dendam padaku.



* Kalau ikutkan perasaan mahu sahaja aku beli penukul dan hancurkan semua telefon bimbit kat dunia ni termasuklah aku punya!

Monday, October 12, 2009

Yang Tertinggal...

Pagi itu... Jumaat, 9.10.2009

Pagi-pagi lagi aku rasa berat untuk pergi ke pejabat. Bagaikan ada sesuatu yang tak kena. Namun begitu, kerana tugas, amanah dan tanggungjawab, aku gagahkan kaki dan keraskan hati untuk melaporkan diri ke pejabat bersana hati yang sudah tidak lagi menetap dalam diri.

Seperti biasa, seawal 9.00 pagi aku tak bisa memulakan tugas dan terpaksa mencari momentum sendiri. Aku selak setiap laman maya, satu persatu cuba mencari rentak untuk mula bertugas. Sayangnya, akal fikiran dan ingatan berkecamuk, jauh mengingatkan atuk. Entah kenapa hati ini memberat mengenangkan atuk.

Tepat pukul 9.45 pagi, umi buat panggilan. Sebaik mendengar nada dering cup cake (yang ku letakkan khas untuk panggilan masuk daripada umi), hati mula bergetar. Nafas celaru, tapi sempatku sebut Allahu, di setiap hujung nafas. Perlahan-lahan ku ambil telefon bimbit yang tersimpan di dalam laci.

"Ya umi, ada apa-apa jadi dengan atuk?" soalku spontan.

"Kau boleh balik tengahari ni? Tadi mak andak telefon, doktor kata kemungkinan atuk sembuh tipis. Oksigen yang dia guna pun jatuh berkali-kali sampai 65% saja," jelas umi.

Aku terdiam. Kebetulan ketua editor aku masuk pejabat, tapi aku tak endahkan kewujudan dia atau sesiapapun lagi di dalam pejabat. Tumpuanku seratus peratus kepada suara umi.

"Kau balik ya Izan, doktor pun dah suruh nenek kumpulkan semua anak-anak atuk," kata umi lagi.

Umi matikan panggilan. Berat mulut untuk aku suarakan hajatku kepada ketua editor. Apataknya, dalam minggu ini sahaja aku sudah tidak datang sekali, Isnin lepas sebab menghantar abah dan Miqhail ke hospital dan juga atuk ke klinik.

Aku mengorak langkah menuju ke kamar kecil. Sengaja aku memasang air paip. Tidak mahu suara sendu kedengaran dan di situlah saksi air mataku jatuh berkali-kali. Serba salah sama ada untuk tinggal di pejabat, ataupun balik saja dan jemput umi abah. Lama juga aku berfikir lalu aku nekad.

Aku keluar dari kamar kecil. Merangka kata-kata yang perlu kututurkan pada ketua editorku.

"Mr.Lee, saya nak balik, atuk saya dah tenat," kataku laju.

Ketua editorku tidak terus menjawab. Dia seperti berkira-kira sesuatu.

"Hari ini kira cuti ya, dah berapa hari you ambil cuti," soal ketua editorku.

Sumpah aku katakan, pada ketika ini aku tak ingat tentang cuti, duit atau KWSP apa pun. Otak aku sudah lama sampai di sisi atuk. Tiba-tiba, dia boleh bertanya tentang CUTI!

"Dah lebih lima hari," ucapku.

"Balik nanti kita kira sama-samalah ya," ujarnya.

Tak susah aku mentafsir ayat dan riak wajahnya ketika itu. Tak susah juga hatiku menzikirkan sumpah. Kalau ikutkan hati, mahu saja aku cakap...

"Potonglah gaji saya, sebab saya cuti bukan pergi berjoli. Selama ini saya cuti pun sebab atuk saya!"

Malas berfikir panjang, aku terus angkat kaki jalan. Biarlah mereka-mereka nak mengutuk, mengata atau mengumpat aku. Dalam hati aku sudah sempat mewasiatkan, kelak di satu hari nanti kamu semua juga akan merasakan yang sama sepertimana yang aku rasa dan lalui ketika ini. Allah itu ada, Dia Maha Adil dan Dia juga yang mampu membalasnya kepada kalian semua.

Petang itu... 7.55 petang
Aku masih teringat wajah umi dan abah ketika aku sampai di rumah tadi. Mungkin mereka tidak percaya yang aku balik juga ke rumah. Balik lebih awal kerana umi menjangkakan aku hanya akan sampai ke rumah tengahari.

"Abah boleh pergi sendiri naik motor," kata abah sebaik aku sampai di depan rumah.

Aku senyum saja. Di ketika itu, aku membayangkan jika aku di tempat abah. Tentunya aku tak sabar untuk bertemu abah, yang sedang sakit. Jadi, seboleh-bolehnya, aku tak mahu abah merasai atau melalui perasaan itu. Perasaan tidak berdaya.

Selepas selesai solat Jumaat, barulah kami bertolak menuju ke hospital Tawakal. Mulanya, aku menunggu di tempat letak kereta saja. Beri peluang untuk abah dan umi. Manakala aku menjaga Miqhail di dalam kereta.

"Izan, naiklah ke atas. Atuk dah teruk. Bawa Miqhail sekali," kata umi di hujung talian.

"Bukan budak tak boleh masuk?" soalku.

"Boleh, cuba-cubalah bawak ya," kata umi lagi.

Tanpa berlengah-lengah, aku dukung Miqhail dan mengendong beg kelengkapannya. Setibanya aku di muka pintu lobi hospital, aku dapat lihat pengawal yang sedang leka berbual di laluan masuk menuju ke lif. Jadi, aku berjalan pantas menggunakan tangga. Alhamdulillah, terlepas. Tangan yang melenguh kerana mendukung Miqhail terasa kebas. Tapi, langkah ku tidak berhenti di sini dan aku terus melangkah lagi.

Sampai ke tingkat 3, aku terus meluru masuk ke wad. Di situ sudah ramai yang menemani atuk. Atuk menoleh ke arahku dan tersenyum. Aku membawa Miqhail masuk dan duduk bersila di sebelah umi dan Mak Andak. Tak berkesempatan menghampiri atuk kerana ada Pak Cu dan nenek di sisinya. Tak apalah, berilah mereka peluang, detik hatiku.

Sepanjang-panjang aku di situ, beberapa kali juga aku mendengar atuk menyebut waktu Maghrib. Selesai solat Asar, pun dia kata nak tunggu waktu Maghrib. Tak tahu kenapa tetapi hatiku kuat mengatakan ada sesuatu yang akan berlaku Maghrib ini.

Bila nenek ingin menyuapkan dia makanan, dia kata mahu makan selepas Maghrib. Mahu disuapkan makan dan minum, semuanya selepas Maghrib.

"Umi, atuk dah banyak kali betul cakap tentang Maghrib," aduku pada umi.

Umi diam tidak membalas.

Pelawat semakin ramai. Hari pun semakin petang. Mak Andak pula terpaksa pulang, jemput anaknya. Mak Nde dan Mak Ngah datang sekitar asar dan Maghrib.

Miqhail pula tidak seperti hari biasa. Jadi semakin lasak. Ingin menarik itu dan ini. Aku terpaksa mendukungnya kerana dia enggan bersama dengan orang lain. Bila aku dukung, dia kurang lasak. Jadi, berdukunganlah dia. Masuk waktu Maghrib, semua pergi mencari surau. Atuk pula sudah sedia solat di katilnya.

Aku terpaksa menunggu giliran. Hati aku berat untuk keluar dari wad, jadi aku solat Maghrib di bilik wad sahaja bersama-sama yang lain-lainnya. Kebetulan, aku memakai seluar jeans. Aku minta nenek kain batik. Malangnya kain batik yang dia bawa sudah lusuh dan koyak. Dia khuatir untuk memberikannya padaku.

"Kain pelekat atuk ada ni, izan nak?" soal nenek.

"Boleh aje," kataku sambil menghampirinya.

Bau haruman atuk kuat melekat di kain pelekat itu. Aku tinggalkan atuk sekejap dan menunaikan solat. Selesai solat, abah berikan Miqhail kembali padaku. Aku mendukung Miqhail. Disebabkan tadi aku tak berkesempatan duduk hampir dengan atuk, aku ambil peluang itu untuk bersamanya.

Aku membawa Miqhail bersama. Miqhail tenang. Kebiasaannya, dia resah dan menangis bila hampir dengan atuk. Berlainan pada malam itu. Melihatkan Miqhail tidak bising-bising, aku semakin merapati atuk. Aku capai tangan atuk yang panas. Lantas aku meramas-ramasnya. Niat di hati, ingin aku mengucup tangan itu tetapi niatku dihalang kerana Miqhail tiba-tiba mencapai tangan atuk.

Sungguh indah pemandangan ketika itu. Terharu aku rasakan. Miqhail salam tangan atuk berkali-kali. Kalau sebelum ini, si kecil itu takut untuk memegang Tok Nyangnya, kali ini tanpa disuruh dan dipaksa, dia salam tangan atuk.

Atuk pandang aku dan senyum. Ya! Itulah senyuman atuk yang terakhir untukku dan cicitnya Miqhail. Aku berundur beberapa tapak sebab beri peluang pada nenek menyuap atuk. Tak sampai beberapa minit, suasana tenang berubah.

Atuk enggan memakai topeng oksigen. Puas kami memujuk. Dia menggeleng. Tangannya kuat mencabut wayar-wayar di tanganya dan mencampakkan topeng oksigen. Mata kami semua melihat peti oksigen, peratusan kian menjatuh, laju dan laju. Laju dan terus laju sehingga 45%.


"Abah, pakai sekejap saja...," pujuk anak-anaknya dan umi.

"Atuk, pakailah tuk,"

Atuk tak mahu, dia berdegil. Aku betul-betul panik tapi sempat berlari menuju ke bilik air. Aku hentak pintu.

"Abah, cepat keluar abah. Atuk...!" jeritku.

Abah meluru keluar, merapati atuk. Dengusan suara atuk makin kuat. Aku mendakap Miqhail kuat. Si kecil itu membalas dakapanku. Aku dapat lihat semua jururawat bergegas masuk ke bilik wad dengan membawa semua perkakas. Aku pandang meter degup jantung. Lurus dan dengung kuat.


"Allah!" laung atuk.....

Tepat 7.55 petang. Atuk sudah terkulai layu. Wajahnya tenang, senyuman masih terukir di bibir. Tangisan berlagu-lagu dan bergema di dalam bilik itu, mengiringi pemergiannya.

Pagi esoknya...

Kehilangan. Aku tak pernah rasa kehilangan sebegini waktu menatap arwah wan untuk kali terakhir. Kata-kata atuk terus menggamit memori.

"Izan, atuk tunggu drama kau keluar tv ni. RTM kan?" soalnya dulu.

"Atuk tengok tv tadi, atuk ingatkan kau yang baca sajak," ujarnya lagi dengan senyuman.

Dan paling aku tak lupakan...

senyuman atuk untuk kali terakhir, sebelum dia menghembuskan nafas.

Aku dikira bertuah kerana dapat meluangkan masa sehari suntuk bersama atuk dan menemani dia sehinggalah hembusan nafas terakhir. Selain dari kenangan itu, aku juga minta izin dari nenek, untuk menyimpan kain pelekat atuk yang kupakai ketika solat Maghrib. Maghrib terakhir atukku.

* Ajaibnya hidup ini, semalam aku berciuman pipi dengan atuk. Hangat pipinya terasa. Hari ini, saat kucium pipinya kali akhir, sejuk hingga meruntunkan jiwaku.

Semoga roh atuk sejahtera di sana dan dicucuri rahmat. Al-Fatihah...

Haji Zainal Bin Ahmad.... akan selalu kukenang....

Thursday, October 8, 2009

Cuci Jiwa, Minda, Hati dan Mata...

Sebenarnya, kalau ada sesiapa yang mampu meresap masuk ke dalam hati ini pasti terasa lelah dan lemas. Tak mampu menanggung Tsunami yang melanda. Gejolak panjang. Minda tak tenteram tapi di bibir, sedaya upaya mengukir senyuman. Kerana senyuman itulah tanda syukur. Biarpun beribu dugaan sedang melanda, aku harap bibirku masih mampu menggerakan otot-otot sekelilingnya untuk mengukir senyum. Insya-Allah. Peliharalah peribadiku Ya Allah.

Masalah bertimpa-timpa. Semalam atuk dikejarkan semula masuk ke hospital. Kali ini, dia sudah tidak mampu bernafas tanpa bantuan tong oksigen. Jadi, menghunilah dia semula di hospital Tawakal. Bermula juga jadual lamaku, berulang menziarah atuk di sana. Dalam masa yang sama Miqhail, sekecil kesayanganku sakit. Badannya yang sedikit berisi kini susut hari demi hari. Tak mahu makan dan enggan minum, mahupun meneguk susu.

Kalau orang tanya, Miqhail satu-satunya penyejuk mata. Bila dalam ramai, dan kebetulan Miqhail ada di depan mata maka jawabnya aku tak akan melayan orang lain. Entahlah. Aku terlalu sayangkan Miqhail. Amat-amat sayang. Jika ada saja sesuatu yang terjadi padanya, aku pasti tak senang duduk. Alhamdulillah, pagi tadi sebelum pergi kerja Miqhail sudah lincah seperti biasa.

Tiba ke pejabat, aku terbaca satu komen dari seseorang yang juga aku sayang. Ya Allah, kenapalah banyak sangat kekalutan? Aku tak rasa entri yang kutulis tempoh hari ada sangkut paut dengan si dia. Rupa-rupanya, dia tersalah faham dan terasa. Kepada adikku, kau pun tahu akak sayang kau, takkanlah hal sekecil itu pun akak nak marah. Harap kau faham dik. Jangan biarkan salah sangka dan syak-wasangka memenuhi jiwa... lama-lama membarah hati padahal hal yang sebenarnya lain.

Jadi, untuk melarikan minda, jiwa dan hati yang diancam segala seksaan dan dugaaan dari pelbagai sudut aku ingin kongsi bersama fesyen pakaian yang amat aku suka. Kalaulah ada peluang dan rezeki pasti aku akan miliki juga di satu hari nanti. Insya-Allah.


Aku paling suka warna ni...

Merah... menawan sesuai dengan aku... kot!

Warna kegemaran abah... untuk aku pakai

* Kalau pun aku dapat berpakaian begini, tentu aku perlu ubah ikut kesesuaian. Seluarnya perlu dibesarkan, selendang itu perlu... sudah semestinya dan inner paling pasti.


Wednesday, October 7, 2009

Wanita...



Seorang anak lelaki kecil bertanya kepada ibunya,
"Mengapa ibu menangis?"
"Kerana aku seorang wanita," kata sang ibu kepadanya.
"Aku tidak mengerti," kata anak itu.
Ibunya hanya memeluknya dan berkata,
"Dan kau tak akan pernah mengerti"


Kemudian anak lelaki itu bertanya kepada ayahnya,
"Mengapa ibu suka menangis tanpa alasan?"
"Semua wanita menangis tanpa alasan,"
hanya itu yang dapat dikatakan oleh ayahnya.


Anak lelaki kecil itupun lalu membesar menjadi
seorang lelaki dewasa, tetap ingin tahu
mengapa wanita menangis.
Akhirnya ia menghubungi Tuhan, dan ia bertanya,
"Tuhan, mengapa wanita begitu mudah menangis?"


Allah berfirman:
"Ketika Aku menciptakan seorang wanita, ia diharuskan untuk menjadi seorang yang istimewa. Aku membuat bahunya cukup kuat untuk menopang dunia; namun, harus cukup lembut untuk memberikan kenyamanan "

"Aku memberikannya kekuatan dari dalam untuk mampu melahirkan anak dan menerima penolakan yang seringkali datang dari anak-anaknya "

"Aku memberinya kekerasan untuk membuatnya tetap tegar ketika orang-orang lain menyerah, dan mengasuh keluarganya dengan penderitaan dan kelelahan tanpa mengeluh"

"Aku memberinya kepekaan untuk mencintai anak-anaknya dalam setiap keadaan, bahkan ketika anaknya bersikap sangat menyakiti hatinya"

"Aku memberinya kekuatan untuk mendukung suaminya dalam kegagalannya dan melengkapi dengan tulang rusuk suaminya untuk melindungi hatinya"

"Aku memberinya kebijaksanaan untuk mengetahui bahwa seorang suami yang baik takkan pernah menyakiti isterinya, tetapi kadang menguji kekuatannya dan ketetapan hatinya untuk berada disisi suaminya tanpa ragu"

"Dan akhirnya, Aku memberinya air mata untuk dititiskan dan ini adalah khusus miliknya untuk digunakan bilapun ia perlukan."

"Kau tahu, kecantikan seorang wanita bukanlah dari pakaian yang dikenakannya, susuk yang ia tampilkan, atau bagaimana ia menyisir rambutnya."

"Kecantikan seorang wanita harus dilihat dari matanya, kerana itulah pintu hatinya.. Tempat dimana cinta itu ada."

Sedari wahai kaum lelaki dan ingatlah, kecantikan wanita yang azali bukan pada kecantikan luaran semata-mata. Selamilah hati wanita dan ingatlah "Setiap Wanita itu Cantik."

Tuesday, October 6, 2009

Aku tak tipu....

Sumpah, aku tak tipu. Aku tak memandang rupa, harta atau cinta. Yang penting, si dia (sesiapa juga orang itu) mampu menjawab 3 soalanku.

Dulu, seorang sahabatku pernah kata yang aku ini memilih sangat. Padahal, aku tak memilih pun. Sahabatku siap menawarkan diri untuk menjadi telangkai dan minta aku kemukakan kriteria lelaki idamanku yang boleh dijadikan suami. Pada masa itu aku cuma beri,

"yang penting dia lelaki, lain aku tak kisah sebab aku tak berhak minta lebih. Tengok diri pun dah cukup... nanti orang kata tak padan dengan badan, nak minta lebih pula,"

"sekurang-kurangnya berilah kriterianya, tinggi, cerah, kurus atau apa-apa aje," katanya masih tak puas hati.

"kalau susah-susah sangat, macam Salman Khan kau kenal," jawabku, sengaja mengusik.

Namun, bila difikir-fikirkan balik memang benar aku tak memandang itu semua. Aku tidak melihat ...

Rupa -
wajah yang kacak, sempurna itu akan luntur juga.

Kekayaannya -
aku sendiri mampu mencari rezeki, tak perlu harap kekayaan orang lain terutama sekali lelaki.
Cinta -
tiada cinta yang kekal melainkan cinta Allah dan juga cinta Rasulullah.


Jadi, ketika selesai solat zohor tadi, hati terdetik 3 soalan. Ya, 3 soalan itulah yang bakal membawaku kepada dia. Jika dia mampu memberikan jawapan yang tepat, maka tiada siapa mampu menghalang aku untuk menjadi miliknya. Namun, masih adakah insan yang mampu menjawab 3 persoalanku itu? Insya-Allah, moga Allah ketemukan dengan si dia yang mampu menjawab dan seterusnya membimbingku dari terus terpesong dan hanyut dalam arus duniawi.


Monday, October 5, 2009

Isnin Yang Gelap...MISTIK, ALAHAN DAN PALSU!

Bangun pagi tadi, badan rasa berat sangat. Semuanya angkara 'jiran belakang rumah' yang tak habis-habis mengganggu. Aku tak boleh nak salahkan 'dia' sebab kawasan ini, miliknya dan kaum kerabatnya. Maksud aku, sebelum kedatangan kami... dia dah ada terlebih dulu. Jadi, mahu tak mahu, kami sekeluarga perlu menghormati kehadirannya.

MISTIK
Berbalik kepada kisah yang terjadi malam semalam. Disebabkan masih lagi keletihan (sebab mengemas), jadi semuanya berpakat cuti memasak. Bila dah cuti memasak, masing-masing keluarlah ke kedai mencari makanan untuk mengisi perut. Macam biasa, Ayuz, Umi dan Abah keluar bersama-sama. Aku tinggal di rumah saja sebab kepala dah pening. Abang Zamri pula, pergi memenuhkan rutin 'bujang'nya, menonton tayangan perlawanan bola sepak.

Tinggallah aku, Along dan Miqhail. Kebetulan, Miqhail baru elok demam. Aku mengambil alih tugas Along menjaga Miqhail sebab Along nak mandi dan ambil wuduk. Aku bawa Miqhail ke bilik (yang baru), dan melayan lagu Tala al Badru nyanyian Yusuf Islam dan Hasbi Rabbi nyanyian Sami Yusuf. Tika sedang sedap melayan lagu Tala al Badru, aku dapat dengar sikit kelainan pada muziknya. Bila ku amati, ternyata itu bukan susunan muzik yang ada dalam lagu, melainkan itu adalah suara nyaring nyanyian 'jiran belakang rumah'.

Pantas aku menutup komputer riba dan melarikan Miqhail ke bilik umi. Along pelik lihat keadaan aku dan Miqhail ketika itu. Percaya atau tidak? Suhu badan Miqhail terus melonjak menyebabkan dia panas dan semakin panas. Dia menangis tak henti-henti. Ada ketikanya, dia menepis-nepis bahu kirinya seperti ada sesuatu. Aku pandang Along, Along pandang aku.

"Aku tak pernah ajar pun Miqhail buat macam tu," kataku pada Along.

Sejurus saja abah balik, dia baca sesuatu dan Alhamdulillah keadaan Miqhail kembali seperti biasa dan suhu badannya pun menurun.

Sejak masuk bulan Syawal, 'jiran' ini seringkali mengganggu kami. Malam raya, anak kepada jiranku yang duduk hanya selang 3 pintu dari rumahku telah diganggu dan mengalami histeria. Kelmarin, semasa aku sedang sibuk mengemas meja-meja dan kerusi-kerusi, 'jiran' ku mengajuk setiap perbuatanku membuatkan aku lari tak cukup tanah masuk ke dalam rumah. Malam semalam pula, Miqhail jadi mangsa.

Hari ini, abah cuba ikhtiarkan sesuatu agar 'jiran di belakang rumah' tidak terus mengganggu. Insya-Allah.

ALAHAN
Pagi tadi, sepatutnya aku bersiap-siap ke pejabat. Namun, aku tidak dapat menunaikan tanggungjawabku itu kerana aku perlu melaksanakan tugasku sebagai anak. Abah perlu menjalani pemeriksaan di hospital, jadi awal-awal lagi aku sms ketua editor mengatakan aku tak masuk ke pejabat hari ini. Aku harap dia memahami.

Mulanya, aku merancang untuk menghantar abah terlebih dulu. Sekiranya abah siap awal, aku akan masuk ke pejabat selepas waktu tengah hari. Sementara nak menunggu abah, aku membawa umi dan Miqhail ke rumah nenek di Keramat, sambil melawat atuk. Setibanya kami di sana, perasaan mula bergoyang bila melihat Mak Ngah, Pak Cu dan Shazwan sudah sedia di sana. Ada apa-apa yang terjadi pada atuk ke?

Bila masuk ke dalam rumah, nenek beritahu atuk perlu di hantar ke klinik. Atuk dah serik di hantar ke hospital Tawakal tapi tak juga sembuh. Jadi, kesemua anak-anaknya menghormati keputusan atuk.

Sedang sibuk menunggu atuk masuk ke klinik, aku dan umi menunggu di dalam kereta. Utamakan anak-beranak kandung atuk. Miqhail pula naik rimas dan mula melasak. Peliknya keliling leher dia sudah nak merah seperti gatal-gatal. Umi dan aku naik kaget. Terus umi menelefon Along suruh siap sedia ke klinik untuk merawat Miqhail pula. Bayangkanlah keadaan di ketika itu. Di ribaku Miqhail yang sedang lemah, manakala di dalam klinik pula datuk sedang menunggu rawatan dengan sabar.

Aku berada di persimpangan dilema. Miqhail yang melasak, tiba-tiba muntah padaku. Segala isi susu yang baru diminumnya sebelum itu terkeluar dari mulutnya dan membasahi baju dan tudungku. Sebaik sahaja melihat bajuku yang basah, Miqhail mula menangis. Aku kata padanya yang aku tak marah. Barulah dia senyum sedikit.

Sudahnya, setelah selesai atuk keluar dari klinik, aku membawa Miqhail ke pejabat along sekaligus menjemput Along untuk menghantar anaknya ke klinik. Bila diperiksa doktor, Miqhail sihat dan kulitnya kemerahan mungkin disebabkan alahan. Doktor sempat kongsi pengalaman mengatakan, anaknya dahulu pun pernah alami alahan sebegitu sebaik saja makan mee kuning. Mee kuning? Ya, aku yang suapkan mee goreng masakan kak Bad semuanya sebab Miqhail yang tak lepas pandang melihat aku makan.

Oleh kerana tak sampai hati, aku kunyah sampai lumat mee goreng itu lalu menyuap ke mulut Miqhail. Sekarang aku dah belajar, biarlah kita biarkan si kecil terkebil-kebil dan terkulat-kulat tengok makanan kita asalkan mereka sihat dan selamat. Wallahualam.

PALSU
Aku tak tahu nak salahkan siapa? Mungkin ada pemalsuan antara satu doktor dengan doktor yang lain. Apa juga keadaannya, aku tidak mahu tahu yang satu hari nanti ada doktor mempolitikkan kepakaran mereka dalam perubatan dan seterusnya memperjudikan nyawa manusia lainnya sepertimana yang berlaku pada atukku.

Satu pihak mengatakan A dan satu lagi mengatakan B. Jadi sebagai pesakit, kita sedang dihimpit antara kedua-dua ini dan diakhirnya nanti, nyawa pesakit melayang dan mereka ini terus berbalah antara satu dengan yang lain.

Walau apa juga keputusan tentang kesihatan Atuk, aku tidak mahu mengulangi kesalahan yang pernah berlaku pada arwah wan aku. Insya-Allah.