Monday, August 31, 2009

MERDEKAKAH KITA?

Merdeka tidak cukup hanya dengan laungan 3 kali… merdeka,merdeka,merdeka!

Kalau nak dibuat perbandingan, perjuangan nenek moyang sebelum 1957 lebih mudah kerana musuh nampak jelas. Kebencian dan keinginan menentang penjajah amat tinggi di setiap hati masyarakat Tanah Melayu. Semuanya disebabkan musuh yang datang dapat dilihat. Sama ada dari segi bilangan, senjata dan kekuatan mereka.

Baik pihak Inggeris mahupun Jepun. Perasaan cintakan bangsa, cintakan tanahair dan cintakan jati diri tidak terbeli. Nyawa sanggup digadaikan demi mempertahankan maruah bangsa, agama dan semestinya negara. Kalau adapun yang menyeleweng, hanya mereka yang mahukan jaminan hidup yang selesa dan nyawa tidak terancam, dan mereka ini pula digelar… pengkhianat bangsa.

Perjuangan untuk kemerdekaan bukan hanya disandarkan semata-mata pada bahu dan nyawa barisan hadapan negara iaitu tentera. Semua isi yang tinggal di bumi Malaya, bangun dan bangkit untuk mengusir penjajah. Tidak ada batas umur, jantina dan bangsa. Misi yang satu, hanyalah bebas merdeka dari taklukan anjing-anjing bergelar penjajah. Sehinggalah merdeka itu digapai kerana persepakatan 3 bangsa seperti disyaratkan penjajah bersama agenda yang tersembunyi.

Siapa kata kita merdeka?

Lihatlah bangsa 1 Malaysia hari ini. Kalau dulu, nenek moyang kita berjuang untuk membebaskan diri dari penjajah, bagaimana pula sekarang? Generasi kini, lebih rela dijajah. Dijajah dari setiap sudut dan segi. Apa yang tidak terjajah? Sesungguhnya penjajahan hari ini lebih berbahaya dan memakan sedikit demi sedikit jati diri dan jiwa anak-anak bangsa. Tidak mengira batasan umur dan taraf kehidupan.

Penaklukan yang dilancarkan penjajah lebih bijak tanpa perlukan sebarang senjata ataupun kekuatan. Hanya penaklukan menerusi minda. Minda yang terjajah lebih memudahkan sesuatu bangsa jatuh. Lupakah kita pada sejarah kerajaan Islam Andalusia yang mengungguli Sepanyol dan Eropah selama beratus tahun, digulingkan setelah generasi mudanya alpa dan taksub pada CINTA!

Generasi anak bangsa 1 Malaysia hari ini pun tidak kurang kisahnya dengan kisah kealpaan generasi muda Andalusia. Tak perlu diberikan contoh, cuma lihat kiri dan kanan. Penjajahan itu terlalu mudah dilihat tanpa perlu memakai kanta pembesar. Malaysia maju terus maju dan dalam masa yang sama, cacat dan pincang!

Bilakah generasi ini akan sedar tanggungjawab dan amanah yang bakal diwariskan? Jangan jadikan diri sebagai boneka untuk buat orang ketawa dengan mengibarkan Jalur Gemilang sambil terjerit, terlolong… merdeka, merdeka, merdeka dengan berkonvoi, merempit dan menyesakkan setiap jalan dengan lapisan kondom bersepahan dihiasi pula tin-tin dan botol-botol arak berselerakan! Dan hakikatnya mereka masih lagi hidup dengan nafas laungan… KAMI DIJAJAH, DIJAJAH, DIJAJAH! Bangsa penjajah pula terus ketawa melihat kebodohan bangsa yang masih terjajah.

Jadi, benarkah kita sudah merdeka?

Akhirnya Bebas…



Hari ini aku ingin berkongsi sebuah kisah. Kisah lelaki dengan seni menipu. Penipuan demi penipuan untuk melepaskan diri. Kisahnya paling mudah dan ringkas. Berkenalan dan kemudiannya berbalas-balas sms, diikuti pula dengan panggilan telefon yang tak putus-putus. Tanpa sedar, hubungan sudah pun mencecah 2 tahun. Ya! 2 tahun lepas juga di bulan Ramadhan, hubungan itu mula mekar. Kisah Ridz dan Sha. Tak perlu susah-susah guna nama panjang. Mungkin itu juga petandanya, hubungan Ridz-Sha tak panjang.

Tepat pukul 5 petang, sedang Sha sibuk mericih daun sup dan daun bawang sebagai perisa tambahan dalam masak ketam, telefon berbunyi. Ridz di talian. Ada getar dalam suaranya. Sha tenang, tak mahu melatah (sebab dia memang dia tak punya rasa apa-apapun dengan hubungan itu!) Tangan Sha semakin laju mericih daun-daun sup.

“Sha, anggap Ridz macam kawan biasa saja ya. Jangan letak sebarang harapan,”

Sha diam tak membalas, dia tekun mericih daun sup.

“Abang tau, Sha sayang abang… tapi kita memang tak ada jodoh,”

Sha terus diam. Di sepanjang ingatannya, dia tidak pernah pula melafazkan sayang. Malah, sayang itu terlalu jauh untuk dia rasakan setelah trauma ditipu seorang lelaki yang pernah amat disayanginya sebelum ini. Sha seakan ingin ketawa, tetapi dipendamnya sahaja. Gelihati mendengar satu lagi drama realiti.

“Lagipun, keluarga Sha tak akan terima abang,”

“Atau awak yang sengaja cari alasan!”

Tetiba Sha bersuara. Dia terhenti mericih kerana kukunya berhiris pisau. Ngilu dirasakannya. Tapi nyata, kuku tak akan berdarah. Dia sengaja ingin main tarik tali dengan lelaki itu padahal dihatinya kosong. Dia cuma memainkan peranan untuk membalas perbuatan lelaki yang sama spesies. PENIPU dan PENDUSTA!

“Kenapa pula Sha cakap macam tu,”

Sha diam. Terasa-rasa nak hisap kuku tapi puasa. Dia sambung mericih daun bawang pula. Entah kenapa, hidungnya gatal tiba-tiba dan mula berair. Matanya terasa panas. Matanya kabur sebab terlalu tekun mericih daun-daun untuk masakan.

“Dulu siapa yang beria-ia… Ridz, bukannya Sha. Sibuk nak hantar rombongan meminanglah, dah siapkan rumah 3 biliklah kat kampung. Nak jumpa mak bapak Sha lah. Sha tak cakap apa-apa pun, betul tak?” ujar Sha, kali ini menggaru-garu matanya.

“Semua ketentuan Allah, kita tak ditakdirkan bersama… lagipun Sha tentu dah jumpa teman yang sebaya. Hidup kita berbeza, Sha ramai peminat…,”

“Tak ada maknanya ramai peminat, siapa minat Sha? Siapa pula teman baru Sha? Mengarut! Ridz ada pasang pengintipke?”

Sha gelak sendiri dalam hati. Gelihati mendengar alasan yang diberi. Kesalahan diri sendiri, diletakkan pada salah Sha pula kali ini. Memang inilah taktik lelaki. Lelaki durjana. Gunakan nama Allah sebagai alasan. Taktik tradisi yang dah lapuk.

“Sha, ini bukan filem. Ini hidup sebenar… tak akan ada orang nak terima lelaki cacat macam abang,”

“Oh, mentang-mentang Sha buat skrip, tulis novel… awak main-mainkan pulak Sha ya!
Sukahatilah! Awak lelaki, memang pandai buat janji dan suka cari alasan,” bentak Sha, tapi masih tak memutuskan talian.

Sha sengaja mahu terus bermain tarik tali. Untung-untung, kredit Ridz akan terbazir begitu saja. Sha tak rugi apa-apa. Betul tak?

“Sha, ini untuk kebaikan Sha. Sha muda, comel… cantik mesti ramai lagi lelaki yang layak untuk Sha tapi bukan abang,”

“Atau Sha yang tak layak untuk sesiapa?”

“Kenapa Sha ni, abang nak selesaikan cara baik, abang masih nak berkawan dengan Sha,”

“Sukahati,” balas Sha pendek.

Daun-daun sudah siap diricih. Sha bermain-main pula dengan pisau itu dengan mencucuk-cucuk hujung pisau ke atas papan pemotong.

“Lainkali, telefonlah pukul 12 malam… sambil raikan kemerdekaan Malaysia ke 52, awak sambutlah hari hubungan ini putus… dan saya memang tak kisah dan tak rugi apa-apa pun,”

“Okaylah Sha, jaga diri baik-baik ya,”

Sha tidak menjawab. Talian putus. Sha terus bangun dan membawa bekas yang berisi daun-daun tadi ke sinki untuk dibasuh. Sambil membasuh, dia ketawa seorang diri.

“Alhamdulillah, Allah temukan juga jalan aku cari selama 2 tahun ni untuk melarikan diri dari lelaki ni. Memang aku nantikan saat-saat ini untuk dibebaskan dari lelaki pendusta macam Ridz,” ujarnya sambil menghela nafas panjang.

Sha lega kerana kembali bebas tanpa ikatan buta dari sesiapa. Yang pasti, dengan perbuatan Ridz itu, bencinya kepada lelaki bertambah satu tahap lagi dan bertambah lagi nama lelaki dalam senarai hidupnya sebagai lelaki durjana.

“Dasar lelaki memang tak boleh dipercaya! Lidah bercabang!” keluh Sha dan menghapuskan nama dan nombor telefon milik Ridz lalu tersenyum puas.


Sunday, August 30, 2009

Kuarantin

Pagi-pagi aku dah bangun. Sahur. Kebanyakkan orang sengaja tak bangun sahur. Namun, keluarga aku dah memang wajib bangun sahur setiap kali Ramadhan. Dan seperti biasa, abah akan bentangkan plan untuk hari ini. Mengikut plan, mereka keluar untuk melawat atuk. Malangnya aku tak dapat serta sebab dah tekad dalam 3 hari ini aku terpaksa kuarantinkan diri dari sebarang aktiviti luar. Bukan disebabkan terkena serangan H1N1 tetapi sebab misi peribadi aku untuk menyiapkan manuskrip Dwilogi Cinta.

Bagi aku, menyiapkan manuskrip kali ini memang cukup mencabar. Satu sebab paling utama yang jelas dan nyata ialah… aku sendiri susah nak mengerti cinta. Jadi, kekadang aku terpaksa melayanlah lagu-lagu yang tahap sentimental. Entah kenapa, kalau aku nak dapat mood sangat, aku kena dengar lagu-lagu macam ni. Tak pun aku cuba bayang-bayangkan lelaki idaman aku yang ala-ala Imaan.


Sesuai ke Mamat ni jadi Imaan idamanku? Macho or casual?
Hmmm.... I go for macho... becus casual is so boring! Hahaha... perasan!


Keduanya pula, aku perlu banyak mengkaji tentang isu yang aku nak sentuh dan aku berani katakan kali ini… watak utama aku adalah sesuatu yang aku sendiri tak pernah rasa. Lain dari watak-watak yang pernah kumunculkan dalam karya-karya aku sebelum ini. Aku terpaksa mendewasakan diri sendiri dan perlu menelaah tatacara hidup dan kebudayaan satu kaum yang sedikit terpinggir di Malaysia. Cabaran tu... aku cuba laksanakan yang terbaik demi janjiku kepada seorang sahabat sehatiku.

Setelah menatap skrin notebook dari pukul 6.30 pagi sampailah pukul 3 petang, lepas kepala aku dah mula menunjukkan simptom-simptom kebiolan dan mata pun dah mula keluar unggas-unggas kuning di setiap urat-uratnya, aku ambil keputusan untuk rehat sebentar… tapi bukan dengan Kit-Kat (kalau bukan puasa memang ini yang aku jamah! Kembalikan tenaga…) Aku pun tutup notebook (tak nak berulang skrin meletup dan terbakar macam notebook yang lepas sebab buat PeTA!). Turunlah aku ke ruang tamu dan sayup-sayup pula mencelahkan diri ke sudut tv.

Kebetulan semua makhluk tidur (Along, abang Zamri dan Miqhail), jadi rajalah sekejap. Kebiasaannya, sukar benar aku nak menonton tv. Sesal pun ada, sebab semua rancangan di tv langsung tak menarik. Nak tengok cerita Hindi… hish, takut lain pula jadinya. Kurus pulak pahala puasa aku nanti, nak-nak lagi kalau ada HERO kegemaran aku… ahakz. Aku pun, main picit-picit saja butang remote tu, entah macam mana terberhentilah sejenak di saluran MTV. Layanlah sekejap, sebab ada Michael Jackson. Dari seminit dua jadi lama pula aku tengok rancangan itu.


Baru aku teringat kenapa MTV tunjuk MJ dan mereka-mereka yang terpengaruh dengan muzik MJ, hari inikan, hari ulangtahun dia. Kalau dia masih hidup, umur dia genaplah 51 tahun. Bila bercakap tentang tentang tarikh hari ini, ada lagi seorang yang juga hebat turut berkongsi tarikh hari lahir dengan ikon dunia ini. Bertuah, bukan? Dapat raikan ulangtahun dengan orang yang terkenal. Namun, kalau difikirkan balik, betulke bertuah? Apa-apalah.

Kepada sesiapa juga yang meraikan ulangtahun pada tarikh ini, selamat ulangtahun dan moga dimurahkan rezeki juga dipanjangkan umur. Terutama sekali buat rakan sekerjaku (yang baru kukenal tiga bulan) Rizman@Man. Aku tahu dia adalah seorang insan yang baik dan semestinya sesiapa juga yang bertuah mengenalinya akan selesa bersamanya sepertimana aku rasai.

* Gambar ini aku cilok kat blog dia... hahahaha! Aku tau dia mesti marah. Lantaklah, aku tak kisah sebab aku memang selalu jadi mangsa pelepas kemarahan orang!

Friday, August 28, 2009

Ada Aku Tak Lebih.... Tiada Aku Tak Kurang!

Malas nak cakap panjang.
Tapi inilah yang aku rasa,
sejak masuk dalam dunia dikuasai
LELAKI!

BOSAN...!!!
Berontak pun tak guna...
Bila-bila masa saja aku boleh ditendang keluar...
sebabnya, aku ini tak berharga!


Thursday, August 27, 2009

Selamat Berangkat Jojo…


Sebenarnya aku bodoh. Bodoh sangat. Bukannya aku percaya tanda-tanda kepercayaan nenek moyang dulu. Terkadang aku hanyut juga, mengiyakan semua. Kali ini juga begitu. Hampir seminggu juga aku tanggung sakit mata yang asyik berdenyut. Tak berhenti. Aku tahu, kadang-kadang gelagat aku ini terlalu ‘menjengkelkan'. Sibuk tanya orang tak tentu pasal. Baik ikut saja pendirian sendiri lebih bagus dari asyik mengemis pandangan orang lain. Betul tak? Apa nak buat? Dah terbiasa sejak kecil. Umi pun pernah cakap,

“Ijan, kau boleh tak jangan pandir sangat? Benci orang tau kalau asyik tanya itu, tanya ini…,”

Dah nasib aku. Aku memang suka sangat bertanya. Jadi, sejak kebelakangan ini aku mengemislah dengan pertanyaan ini…

“Agak-agaknya kenapa mata aku ini asyik berdenyut?”

Bukan seorang dua aku tanyakan soalan itu. Hampir setiap orang yang aku jumpa, aku akan tanyakan soalan yang sama. Bukan apa? Aku cuma khuatir kalau benar bagai dikata mengikut kepercayaan turun temurun kononnya, ada petanda tak baik. Kemungkinan aku akan menangis.

Mulanya aku tak berapa ambil pusing. Yalah, ada orang kata itu kepercayaan karut marut lagi melalut (tapi bukan sampai tahap mencarut!) Hanya ada seorang sahaja yang terlintas di fikiran. Atuk. Atuk masih lagi berjuang. Perjuangan antara hidup dan mati. Jadi, aku andaikan mungkin denyutan di mata kiriku ini kerana atuk.

Semalam secara tiba-tiba denyutan itu berhenti. Aku mula kaget. Aku fikirkan atuk, pantas aku menghubungi nenek. Alhamdulillah, atuk tak apa-apa dan masih lagi dalam keadaan sama seperti mana yang aku jumpa dia kali terakhir Ahad lepas. Kemudian aku terbaca pula berita yang Salman (yang tak ada kena mengena dengan kehidupan seharianku melainkan aku memang minat dia… hehehe) baru sahaja kematian neneknya. Hish, mustahil denyutan mataku ini petanda kematian nenek Salman (walaupun ada yang kaitkan ianya sebagai benar tapi aku tahu, aku bukan bodoh untuk percaya benda itu dan aku bukannya perasan dan tak sedar diri!)

Jadi, aku biarkan ianya berlalu. Mungkin benar kata umi yang sebenarnya mata aku keletihan. Tak rehat. Apa taknya? Masuk pejabat dari pukul 9 pagi ke 6.30 petang (adakalanya sampai pukul 10 malam cuma sekarang ini saja ada pelepasan balik awal, pukul 5.30 petang), lepas tu sampai pula di rumah, masuk pejabat milikku sendiri dari pukul 10/11 malam sampailah ke pagi. Jelas sangat yang mata aku ini keletihan dan perlukan rehat. Aku anggap itulah sebabnya.

Bila aku pulang hari ini, seperti biasa aku melawat Jojo dan Jaanu dalam sangkar mereka. Aku sudah pun memiliki mereka lebih kurang hampir 3 tahun. Hampir 3 tahun juga usia Jojo dan Jaanu. Hati aku terasa berat. Bila saja aku memegang Jojo, kepalanya terkulai. Begitulah terkulainya perasaanku. Jojo sudah tidak bernyawa lagi.

Selama ini, Jojo dan Jaanulah peneman kesunyianku. Mereka yang mendengar segala rahsia aku yang tak pernah terluahkan pada sesiapa. Mereka jugalah yang menyaksikan tangisan aku. Bila aku gembira, bila aku sedih, bila aku naik gila dan bila-bila masa aku jadi sawan babi… mereka jadi saksinya. Aku tak ada teman istimewa (my other half or my so-called soulmate!) yang boleh dibawa bicara tentang semua itu. Kepada merekalah aku luahkan segala-galanya kerana aku tahu, mereka tak akan dapat beritahu semua itu kepada sesiapa pun.

Aku teringat kata-kata yang pernah Fatimah lafazkan padaku satu ketika dulu, yang aku selalu cuba untuk menjadi SUPERWOMAN. Selalu saja memendam rasa jauh di dalam tanpa berkongsi sama dengan orang lain. Ya, aku tidak akan sesekali menangis di hadapan orang. Bila aku menangis, aku akan buat orang lain pun menangis. Aku tak mahu dilabelkan sebagai lemah. Aku mahu mereka lihat aku sentiasa kuat. Supaya mereka juga akan kuat. Tapi bak kata Timah….

“Kak Shai, kau pun manusia. Kalau kau nak cuba jadi superwoman sekalipun, kau tetap ada perasaan. Lagipun sedih itu perlu dikongsi bersama… jangan asyik taksub berlagak kuat,”

Mungkin kata-katanya agak kasar tapi benar. Terkadang aku juga letih, cuba berlagak kuat tetapi aku terpaksa. Kalau aku lemah, orang yang percayakan aku juga akan lemah.

Jadi, pemergian Jojo … benar-benar meragut satu nyawa yang ada di dalam diriku. Terlalu banyak kenangan yang aku lalui bersama-sama Jojo. Akhirnya, Jojo mengikut jejak langkah CJ, Silky dan Sweety. Yang tinggal kini hanyalah Jaanu. Walau ada Jaanu dan mungkin akan ada pengganti yang lain, tetap tidak akan sama dengan Jojo begitu juga CJ, Silky dan Sweety.

Jojo, selamat berangkat dan aku akan sentiasa merinduimu sepertimana aku merindui CJ, Silky dan Sweety.

Wednesday, August 26, 2009

Kegembiraan Berganda!



Sejak beberapa bulan kebelakangan ini aku asyik teringatkan kawan-kawan yang dah lama aku tak dengar khabar berita. Tak tahu ke mana mereka menghilang. Rindu betul aku pada mereka. Walaupun ada antara mereka yang aku tak pernah bersua muka tetapi hubungan aku dan mereka amat istimewa. Ya, benar. Aku tak bohong.


KAWAN UNTUK SELAMANYA



Selain dari kawan-kawan yang aku dapat bertemu muka, aku juga punya kenalan dengan beberapa insan luar dari Malaysia. Aku berkenalan dengan mereka tentu sekali melalui internet. Ramai orang kata, tak boleh percaya sangat dengan orang-orang di internet. Kadang-kadang, mereka menipu. Entahlah. Bohonglah kalau aku kata aku tak pernah 'terserempak' dengan golongan penipu seperti yang dimaksudkan. Tetapi, aku tak pula bodoh untuk mengulangi kesilapan yang sama dengan mempercayai golongan sebegini dan Alhamdulillah, baki yang tertinggal kini adalah mereka yang benar-benar aku sayang.


Dalam kesibukkan tugas seharian, aku sempat juga mencuri-curi masa cuba untuk menjejak semula mereka semua. Habis semua cara yang aku tahu, aku usahakan. Bukan setakat aku menjejaki mereka yang aku kenal melalui laman maya ini, aku turut cuba menjejak kembali kawan-kawan lama yang sekarang aku percaya sudahpun berjaya dengan haluan yang dipilih mereka. Aku pasti, sebab aku tahu kawan-kawan aku semuanya bersikap positif dan tidak mudah mengalah.


Jadi, dalam minggu pertama usaha aku bagaikan tidak berjaya. Ada yang aku hantar mesej di halaman friendster dan pelbagai lagi ruang khas yang serupa. Satu pun tak berbalas. Jadi, tak apalah. Mungkin mereka terlalu sibuk dan aku enggan berfikir negatif. Tapi, ada suara kecil dalam diri yang mengatakan, mereka semua dah tak kenal aku. Benarkah? Begitu mudah ya seseorang yang pernah rapat tiba-tiba menjadi asing hanya kerana jurang yang dikenali sebagai 'masa'?


Namun, beberapa hari lepas aku dikejutkan dengan beberapa emel yang tak ku sangka-sangka. Ruang inbox aku penuh dengan nama-nama mereka yang aku cari. Ya Allah, mereka masih ingat padaku rupa-rupanya (cuma adalah segelintir yang masih diam membisu walaupun pada hakikatnya.... mereka-mereka inilah yang aku tunggu selama ini). Ternyata harapan aku benar. Kesemua mereka sudah berjaya dengan kerjaya masing-masing dan tak ketinggalan yang sudah pun berumahtangga dan akan berkahwin. Tahniah, kawan-kawanku.


Kepada semua kawan-kawan, agar hubungan kita akan kekal selamanya. Harap status yang sudah dan bakal kamu perolehi tidak akan menjadi penghalang hubungan persahabatan kita, sama ada di alam nyata mahupun di alam maya. Terima kasih kerana sudi dan masih mengingati aku.... terima kasih, Neelima, Dayana, Rizwan dan terutama sekali Faizal. Kawan satu kepala yang selalu buat cikgu pening dan sakit jiwa. Aku gembira dan bangga dengan diri kau sekarang.


KHABAR DARI IMAAN


Semalam aku dapat panggilan dari Imaan, nun jauh dari Abu Dhabi. Bersesuaian dengan bulan puasa, Imaan dan aku berbual hampir semua yang berkaitan tentang puasa. Kadang-kadang, aku sengaja menyampuk tentang sambutan raya. Dia hanya ketawa sebab puasa masih lagi awal. Masih jauh untuk sampai ke hari raya.


Panggilan kami terganggu seketika. Nada Imaan berubah. Aku tak tahu nak tafsirkan dalam kata-kata getar yang ada dalam suaranya. Mungkin ada sesuatu yang mengganggu perasaannya. Aku cuba korek (seperti biasalah!). Rupa-rupanya dia mahu khabarkan berita gembira yang tak lama lagi dia akan dijodohkan.


Alhamdulillah. Memang sudah sampai masanya pun untuk dia berteman. Tak perlulah aku yang jauh beribu batu ini asyik risau terkenangkan dia. Lebih istimewa lagi, bakal isterinya yang kebetulan sebaya aku, sudah kenal benar dengan aku. Kata Imaan, dia telah ceritakan semua perihalku pada bakal isterinya. Adakalanya, si dia cemburu pada aku. Cemburu? Kelakar pula aku mendengarnya. Apa yang perlu dicemburukan sedangkan aku dan Imaan tak pernah bersua muka.


Ya benar. Aku kenal Imaan pun melalui laman maya tetapi seperti yang aku nyatakan di awal tadi, hubungan ini terlalu istimewa. Dia (dan seperti kawan dan kenalan laman maya lain) sentiasa ada memberi kata-kata semangat. Kalau nak dibandingkan dengan yang lain, tentu Imaan jauh lebih istimewa. Dia mentor aku. Abang aku. Bila semangat aku jatuh, dia selalu segera mengangkat aku kembali. Bertuah aku mengenalinya walau tanpa mengenali wajah, aku percaya hubungan inilah yang paling suci dan murni berbanding hubungan-hubungan lain yang pernah melibatkan perasaan aku.


Kalaulah aku berpeluang bertemu muka dengan bakal isterinya, aku mahu sahaja katakan padanya yang perasaan cemburunya pada aku itu hanya sia-sia. Bagaikan irihati pada bayang-bayang sendiri. Nak pukul tak boleh, tapi sentiasa ada. Jadi, terima saja Imaan seadanya. Aku harap si dia memahami dan tidak akan menghalang atau hentikan hubungan persahabatn aku dengan Imaan. Aku akan sentiasa doakan kebahagiaan kamu dan agar kali ini Imaan tidak akan lagi kecewa sepertimana dia pernah kecewa berkali-kali dulu. Insya-Allah.

Tuesday, August 25, 2009

Kisah ANAK itik gebu EMAS... dan keluarga itik hitam gelap

Rasanya dah lama aku tak cerita tentang anak itik gebu. Ala, cerita anak itik gebu yang kena kutuk dengan geng-geng ayam. Kali ini, aku nak ceritakan satu lagi kisah anak itik gebu ini yang dah pun berhijrah ke tempat lain dan dahpun berjumpa dengan keluarga itik juga.

Nak kata kasihan atau pun padan muka? Aku pun tak berapa pasti. Selalunya hijrah itu dapat membentuk dan memberikan satu makna baru dalam hidup. Begitu jugalah yang diharapkan oleh anak itik ini bila berpeluang berhijrah dan bermastautin empat bulan di tempat dan keluarga itik yang baru.

Seperti biasa, satu saja niat anak itik gebu ini. Ke mana juga dia membawa diri, dia akan buat yang terbaik semata-mata untuk menaikkan prestasi keluarganya. Tak kisahlah kalau dia masuk ke dalam keluarga itik, siput, ayam, kucing, anjing atau babi sekalipun. Yang penting, dia betul-betul berusaha untuk memajukan nama keluarga (walau dasarnya dia tidak ber'bin' atau ber'binti'kan itik, siput, ayam, kucing, anjing atau babi tadi!) di samping menimba ilmu. Bak kata pepatah manusia (yang kekadang macam keluarga binatang jugak!) Di mana bumi dipijak, Di situ langit dijunjung!

MALANG... SEJUTA KALI MALANG!

Anak itik gebu ini sekali lagi diperlekehkan, diperlecehkan dan paling bagus... diperkaki-kakikan oleh keluarga barunya. Si anak itik gebu ini masih lagi tak bisa melarikan diri. Terperangkap dengan tanggungjawab dan juga pengalaman pahit 2 minggu (duduk goyang punggung, bermandi-manda di kolam najis... yang memalitkan segala kesan dusta pada setiap helaian bulu-bulu kuningnya). Anak itik gebu itu mahu sahaja melarikan diri. Hatinya sudah tidak menetap dalam keluarga itik-itik HITAM. Cuma ada seekor itik saja yang terkadang memahami dan membuatkan anak itik gebu tenang dalam keluarga itik-itik pendusta itu.

Aku pula hanya mampu kata, "hai anak itik gebu, kau terpaksa terima kerana inilah lumrah dunia. Selagi kau bergelar anak itik gebu, kau akan selalu dikaki-kakikan. Tapi, tak perlulah pula kau jadi hitam semata-mata nak bersama itik-itik, mahupun ayam-ayam, kucing-kucing, anjing-anjing dan babi-babi yang sememangnya bangsa penabik dada dan umat pengamal diskriminasi. Wallahualam.

Monday, August 24, 2009

Comelnya....

Comel tak bayi ni?
Tengoklah mata dia... besar, bulat, hidungnya mancung.
Anak siapalah ni agak-agaknya....?
Kalaulah aku jumpa...
Aku cubit-cubit pipi dia sampai merah...
Peluk kuat-kuat sampai dia menangis...

* Tengah rindu si Pari Kecilku, Miqhail yang balik ke kampung sambut Ramadhan... nasib baiklah terjumpa gambar bayi comel ni yang ada iras-iras Miqhail. Cubalah teka, siapa agak-agaknya bayi comel ni?

Friday, August 21, 2009

Hatimu Hatiku Jadi Satu

Sinopsis Hatimu Hatiku Jadi Satu

Adeeya, si gadis inferior kompleks. Tubuh badan yang besar membunuh keyakinan dirinya. Bakatnya dibiarkan terkubur. Luka ditinggalkan kekasih terus terjeruk dalam hati. Dia menghukum diri, tidak mahu bercinta lagi, khuatir terus disakiti.


“Kalau aku terima kau hari ini, esok lusa kau akan campak aku jauh-jauh. Biarlah aku campak diri aku dulu, sebelum kau campak aku,” bisik Adeeya sendirian dan terus melangkah pergi, meninggalkan Shamrin.


“Kau tak tahu betapa pedih hati ini. Kau tak layak tahu sebab kau senang dapat apa juga yang kau nak,” ungkap Adeeya perlahan.


Shamrin, si jejaka tampan. Mengikat hati gadis-gadis dengan ungkapan manis serta senyuman membunuh. Hatinya hanya ada satu, Adeeya. Dia tidak pernah serik walau ditolak berkali-kali. Padanya, Adeeyalah gadis idaman dan matahari hidupnya.


“Aku pernah beritahu kau, aku tak pandang kecantikan. Bagi aku, kau dah terlalu cantik, hati dan budi kau buatkan aku gila… siang malam,” jelas Shamrin, tidak dapat menahan lagi rasa yang sudah lama terpendam.

“Adie, aku tak tahu macam mana nak yakinkan kau. Tapi percayalah, aku bukan Adif. Aku tak akan lafazkan sayang untuk tarik balik perkataan itu. Percayalah,” rayu Shamrin.



* * * * *


Antara keengganan sekeping hati yang terluka dan

kedegilan hati yang kemaruk cinta,

mampukah keikhlasan dan kejujuran mengatasi segala-galanya?

Adakah cinta Adeeya terus mati?

Bisakah Shamrin membuktikan cinta itu ada?


Menjejaki Ramadhan...

Alhamdulillah, akhirnya berpeluang aku sekali lagi untuk mengecapi bulan Ramadhan yang akan menjelang esok hari. Insya-Allah. Bulan yang paling indah antara bulan-bulan yang lain. Bulan penuh kerahmatan.

Gambar yang diterima melalui e-mel berantai.

Namun, ada satu perkara yang aku kesalkan. Setiap kali bulan Ramadhan kunjung tiba, aku selalu saja dapat jemputan ke negara Jepun. Aduh! Kemeriahan dan keseronokkan Ramadhan acapkali lewat aku rasai. Tetapi tidak mengapa, tentu ada hikmah di sebaliknya. Jadi, aku akur dengan jemputan ke negara matahari terbit itu. Insya-Allah, aku pergi tak lama.


Kepada semua saudaraku, selamat menjalani ibadah puasa. Bersama-samalah kita merebut peluang yang ada sepanjang bulan mulia ini. Agar Ramadhan kali ini dapat mengajar kita umat Islam erti sebenar kesabaran, kesederhanaan dan ketakwaan.

Wednesday, August 19, 2009

Langit Gelap


Kulihat langit gelap
Dadanya berombak
Galur cahaya menikam-nikam
Ya Allah
Hanya pada-Mu aku berserah


* Kawan-kawan, doakan kesejahteraan atukku Zainal Ahmad yang sedang berjuang antara hidup dan mati.

Bila Ogos Datang Lagi...


Semenjak kebelakangan ini, di radio selalu sangat berkumandang lagu-lagu patriotik. Maklumlah, dah bulan Ogos. Semua berebutlah ambil peluang, konon nak ikut musim. Terkadangnya aku rasa muak dan jemu. Yalah, bukankah lagu-lagu ini masih relevan dimainkan pada bila-bila masa saja? Tak usah tunggu bulan kemerdekaan pun. Rasa macam semak pula. Tambah pula dengan pertandingan lagu untuk tema Hari Kebangsaan tahun ini.

1Malaysia, yang sudah terwujud sejak lama dulu!!!

Bila dengar lagu-lagu yang dimainkan, seakan menggamit pula kenangan aku ketika di sekolah dulu. Bulan inilah bulan paling sibuk untuk orang penyibuk macam aku. Yalah, aku kan suka sangat menyibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti macam ini. Siapa kenal aku, tahu aku. Hahaha. Kenangan paling manis bila dapat sertai Simfoni 1000 Pergendangan di Putrajaya, kalau tak silap aku tahun 2005. Masa itu, Pak Lah masih lagi memegang teraju kepimpinan Malaysia, PMlah tu.

Tugu peringatan Viva IL Divo!

Seronok sangat sebab terasa semangat sayangkan negara itu ada. Dentuman gendang (jido) yang aku ketuk macam bunyi meriam. Masa itu aku dan Jiha berkongsi pentas yang sama. Yang lain tak dapat serta. Salwa tak sihat. Fatimah pula ada masalah. Yang ada cuma aku, Jiha, Airul, Roy dan N. Tapi N terlibat dalam perbarisan. Uih, lagi letih dia kalau nak dibandingkan dengan kami yang lain ni. Sekurang-kurangnya kami dapat duduk bila acara mula. Yang penting semangat itu ada. Di situlah tidak ada perbezaan kaum atau apa juga yang ada nak dibezakan.

Antara kenangan yang tak terbeli!

Hari ini, aku teringat kembali kawan-kawan yang dah lama menghilang tanpa khabar berita. Aku harap mereka semua berada dalam keadaan yang sihat sejahtera dan berjaya dengan apa juga bidang yang mereka pilih.


Monday, August 17, 2009

Otalgia atau Earache... sekilas pandang

Macam nilah keadaannya bila-bila sakit telinga menyerang.
Tak Tahan!

Pagi tadi, di pejabat... dia dah mula mengorek-ngorek. Ngilu betul aku rasakan. Aku telan baki ubat tahan sakit yang sengaja aku simpan dulu. Aku tahu, bila-bila masa saja sakit akan menyerang kembali. Tak kiralah sama ada aku sedia ataupun tidak.

Kalau ikutkan hati, aku memang nak jumpa doktor sebaik sampai rumah tadi. Namun, fikiran aku kusut dan kecamuk. Sengaja menghasut hati supaya batalkan saja niat aku tu. Yalah! Aku malas nak jumpa doktor. Kalau sekadar habiskan duit dan dengar dia membebel tentang "dosa telinga."

Aku ambil inisiatif sendiri, mencari maklumat tentang sakit telinga ini sebab aku rasakan, doktor-doktor semua hanya bazirkan masa aku. Adalah lebih baik, aku kaji sendiri sakit yang kutanggung ini.

Dari hasil penyelidikan aku sendiri, aku dapat sedikit jawapan. Penyakit yang aku selalu alami ini lebih dikenali sebagai Otalgia atau earache (jadi doktor sendirilah). Sedikit petikan dari wikipedia.

Otalgia is ear pain or an earache. Primary otalgia is from pain that originates inside the ear. Referred otalgia is from pain that originates from outside the ear.

Otalgia is not always associated with ear disease. It may be caused by several other conditions, such as impacted teeth, sinus disease, inflamed tonsils and infections in the nose and pharynx.

Earache is very common medical problem for both children and adults. The 2 most common conditions that cause earache are infection of the outer ear (otitis externa) and infection of the middle ear (otitis media).
  • Otitis externa
    • Skin infection of the outer ear or ear canal
    • Often occurs after swimming (commonly called swimmer's ears)
  • Otitis media
    • Infection of the middle ear and eardrum
    • Very common in infants and children aged 6 months to 2 years
    • Can also affect older children and adults


Aku pun tak tahulah sama ada sakit yang kutanggung selama ini dikategorikan dalam otalgia atau sekadar radang telinga biasa. Tapi yang pastinya, aku memang tengah sakit sangat sekarang ni.

Emosi Terganggu...!



Aku tengah cuba kawal marah...
Takut-takut tak dapat dikawal...
Boleh jugak jadi hijau...
Bila dah jadi hijau, adalah yang nak kena penumbuk...
Tak apa, aku masih sabar...
Insya-Allah...
Tapi kesabaran aku ada had.
Jangan sampai mencabar had kesabaran aku!!!!


Saturday, August 15, 2009

Kisah Aku, Ciku dan H1N1

KISAH AKU

Awal-awal lagi aku dah cerita, aku tak suka merancang. Aku tak suka jadi hamba kepada apa yang aku rancang. Bila apa yang aku rancang tak jadi, aku mengamuk. Aku marah-marah. Bila aku marah-marah, jantung mengepam lebih laju. Darah mengalir tak tentu arah. Impuls sampai ke otak pun terkadangnya ceramuk. Jadi, memang aku tak suka merancang.

Al-kisahnya, nak dijadikan cerita. Aku memang nak ambil satu hari cuti sebelum puasa. Aku nak lawat atuk yang dah jadi penghuni tetap di hospital Tawakal sejak seminggu lepas. Percaya tak? Dah seminggu atuk masuk hospital, sekalipun aku tak jenguk. Sibuk! Mungkin di tempat kerja, aku nampak normal. Tak ketara kerisauan dan kebimbangan yang merasuk di jiwa. Cuba jadi macho. Namun hati di dalam, siapa tahu?

Siapa yang boleh berdepan dengan situasi, melihat orang tersayang menderita hari demi hari? Namun, ramai antara kawan-kawan yang berkata, aku beruntung. Beruntung? Ya! Itulah kata Harvinder pada aku. Begitu juga kata Man. Aku beruntung. Malah, petang tadi pun semasa dalam pemburuan buah ciku, abah beritahu yang kami bertuah. Sekurang-kurangnya dapat bersedia lebih awal.

Entahlah. Aku tak dapat mengiyakan kata-kata mereka. Ini bukan kalli pertama aku mengadapi situasi yang serupa. Ini adalah kali kedua. Kali pertama dulu dengan arwah wan. Lebih kurang 5 tahun yang lepas. Kali ini, perkara yang sama berulang kembali. Aku tak mampu dan sudah letih. Lebih seksa bila melihat orang yang kita sayang, menderita. Setiap saat.

Semalam, lepas balik dari kerja aku ajak umi dan abah lawat atuk di hospital. Mulanya umi pujuk, supaya kami pergi esok (hari ini) saja memandangkan sampai ke sana tentu lewat. Aku berdegil. Rasanya dah tak boleh kawal, perasaan tak sabar untuk menatap wajah atuk. Ya. Atuk yang aku sayang. Abah angguk setuju, asalkan aku yang memandu.

Sampai saja di hospital, aku dapat lihat nenek yang setia menjaga atuk. Mak Andak dan Pak Andak pun ada sama. Aku nampak atuk terbaring, dia senyum pandang aku. Aku berjalan pantas menuju ke arah atuk. Tangannya lemah, menyuruh aku duduk di sisi. Aku pegang tangan atuk yang sudahpun dimakan usia. Ada lebam kebiru-biruan di kedua-dua belah tangannya. Tentu sekali kesan jarum. Atuk menepuk-nepuk tanganku yang gebu, berisi. Aku pandang jauh ke dalam matanya.

"Ijan, sihat?"

Entah kenapa, soalan yang selalu atuk tanya pada aku itu mencuit rasa pilu. Aku angguk dan cuba mengukir senyum. Atuk pun senyum. Aku membelek-belek pula tangannya. Makin lemah. Tangan itu dulu selalunya memimpin aku, mendukung aku. Tangan itu, sudah tidak kuat lagi. Atuk tak bercakap banyak. Dia cepat semput. Aku pujuk dia, suruh dia kurangkan bercakap, tapi manakan dia mahu menurut.

Dia mengadu tentang sakitnya. Macam-macam yang dia cakap. Dan aku teringat pada ayat yang sama pernah aku beritahu pada arwah wan dulu.

"Sekejap aje ini tuk, lepas ni atuk sihatlah terus,"

Dia senyum. Aku pun senyum. Dia senyum, untuk menyembunyikan kesakitan yang ditanggungnya. Aku senyum, menyembunyikan beban sedih yang aku kandungkan dalam hati. Aku terasa-rasa tidak mahu meninggalkan atuk. Aku picit-picit tangannya sepertimana aku lakukan pada arwah wan dulu. Semakin kuat sebak menendang hati dan kerongkong bertambah sakit. Tak tertahan airmata hendak menunjul diri tapi aku lawan. Aku tak boleh lemah di depan atuk. Kalau aku lemah, atuk pun akan lemah. Aku mahu atuk berjuang. Berjuang sepertimana darah panglima yang mengalir dalam diri kami. Darah keturunan panglima, tidak menyerah sebelum ajal dan berjuang sehingga ke nafas terakhir. Semangat itu yang mahu aku serapkan kepada atuk. Sesekali aku terdengar perbualan nenek dan umi di sofa.

"Dah lama abah nak buah ciku, puas jugak budak-budak ni mencari... tak jumpa,"

Buah ciku. Buah kegemaran aku. Buah kegemaran atuk. Aku suka makan buah ciku, sejak pertama kali atuk perkenalkan aku buah itu semasa aku kecil lagi.

"Ya? Nanti Ijan carikan...," sahutku sambil mengurut atuk yang sudah lama diam membisu memandang peti televisyen.

"Kami dah cari, kat pasar selayang, Tesco, Mydin, pasar Gombak... semua tak ada," jelas Mak Andak.

"Kalau macam tu, kita pergi Tapah tak pun kat perhentian Serdang ajelah esok ya umi, mesti ada," kataku terus teringat tempat kegemaran aku singgah untuk membeli buah-buahan.

Umi angguk. Aku pandang atuk. Dia senyum. Sebelum aku balik, dia sempat berseloroh padaku.

PEMBURUAN CIKU


Pagi-pagi lagi aku dah bangun, aku hantar sms pada majikanku. Aku katakan padanya yang aku tidak dapat datang ke pejabat hari ini. Kalau aku katakan pada dia yang aku nak keluar memburu ciku, pasti dia gelak. Jadi, aku katakan pada dia, yang aku ingin menemankan atuk aku yang sudah dalam keadaan kritikal.

Sebelum pergi ke Serdang, aku meronda-ronda satu Rawang. Malangnya tak jumpa. Aku buat panggilan kepada beberapa teman, tanya mereka sama ada di tempat mereka ada jual ciku supaya tak perlu aku pergi ke Serdang. Malangnya, mereka pun tak pasti. Jadi, aku dan abah balik semula ke rumah. Dapat panggilan dari Ayuz, dia tak sihat. Demam. Dia suruh jemput dan hantar ke klinik.

Lepas solat Jumaat, kami berempat (termasuk umi dan Miqhail) bertolak dan pergi ke UIA. Jemput Ayuz. Memang dia nampak lemah dan Alhamdulillah, dia demam biasa. Tetapi, UIA juga sudah ada kes tentang pelajar yang menghidap penyakit H1N1.

Hantar Ayuz ke klinik dan dari klinik, bergerak pula ke Bangsar. Malangnya, masih tiada buah ciku. Aku tekad, dan pandu kereta menuju ke Serdang. Jalan sesak (tak bergerak pun!) tak terasa. Aku lebih tenang dan mengingatkan diri, hajat atuk perlu dipenuhi. Badan yang sememangnya letih dah takku hiraukan. Bila tiba di Serdang, terus meloncat ke gerai. Alhamdulillah, ada. Aku beli dan terus berpatah balik ke Kuala Lumpur dan jumpa atuk. Tak lama. Sekejap saja, semata-mata nak hantar ciku. Sebaik sampai, nenek terus ambil dan menyuap ke dalam mulut atuk. Atuk senyum. Dia berselera makan ciku itu. Manis-manis buah katanya. Kemudian, aku bergegas pulang pula.

H1N1


Kawalan ketat di hospital Tawakal, sekurang-kurangnya dapat menghalang wabak dari terus merebak. Ada satu kisah menarik tentang H1N1, pada mata seorang amoi yang juga keluarga kepada salah seorang pesakit. Macam biasa, kalau dah terserempak dalam satu lif, pasti ada perbualan. Jadi, si dia ini mula bising-bising. Dia mengamuk dan tak bersetuju dengan tindakan kerajaan merobohkan kandang babi.

Katanya,

"itu kandang babi sudah dirobohkan, sebab itulah babi-babi sumpah semua orang."

Memang tak sedar diri. Buat apa salahkan orang lain. Kalau diikutkan hati, mahu saja aku membalas....

"Amoi, dulu masa demam selesema burung, berapa banyak ayam dibunuh macam tu aje, tak ada orang cakap apa-apa pun."

Sepatutnya kerajaan bukan setakat robohkan kandang, tapi musnahkan babi. Kalau benar babi punca segala masalah, ulang saja cara pemusnahan babi sepertimana pemusnahan ayam kerana selsema burung dulu. Hapuskan babi, mungkin tidak ada lagi kes kematian akibat penyakit BABI ini.


Secara peribadi, terlalu banyak hikmah yang terjadi hari ini. Cuti aku tak sia-sia. Ada banyak benda yang aku lakukan dalam satu hari.

Thursday, August 13, 2009

Al-Fatihah ...



Asri Rabbani jatuh dan meninggal dunia

Vokalis utama kumpulan Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim (Ustaz Asri) meninggal dunia sebaik sahaja jatuh ketika membuat persembahan di RTM kira-kira jam 11.15 pagi ini.

Menurut saksi, Asri jatuh di hadapannya ketika membuat persembahan itu dan ketika diperiksa dia sudah meninggal dunia.

Berita lanjut klik di sini


> Al-fatihah. Semoga roh dicucuri rahmat.<

Tuesday, August 11, 2009

Setahun Sudah ...


Orang selalu kata, anak sulung itulah anak emas. Aku tak faham. Kenapa anak sulung yang perlu diangkat? Tak terfikirkah perasaan anak-anak yang lain?

Bila menjejak dewasa, perlahan-lahan aku memahami apa yang dimaksudkan dengan ayat tersebut. Semua gara-gara novel sulungku, Rindu Pada Matahari. Salah satu novelku yang akan sentiasa mengungguli tempat paling atas dalam hatiku. Ya! Aku pantas membuat persamaan antara kedudukan anak sulung dan juga karya pertamaku ini. Benar. Yang pertama akan sentiasa nombor satu di hati. Itu hakikat kehidupan.

Hari ini, genaplah setahun Rindu Pada Matahari menjengah di pasaran. Hari ini, genap juga setahun aku bergelar penulis (novel). Rindu Pada Matahari yang telah membuka jalan dan memudahkan kerja-kerja aku pada hari ini. Tanpa Rindu Pada Matahari, Romibaiduri Zahar tidak akan muncul di persada penulisan.

Kelahiran Rindu Pada Matahari juga mengundang pelbagai cerita dan pengalamanku secara peribadi. Siapa sangka, untuk novel sebegitu (yang dianggap mudah oleh sesetengah golongan), aku habiskan masa hampir lima tahun. Ya! Aku sudah mula menulis kisah Rindu Pada Matahari ini sejak aku tamat sekolah menengah di CBN dulu.

Bermula sebagai suka-suka, akhirnya menjadi salah satu punca rezeki aku pada hari ini.

Semuanya bermula dari adikku, Ayuz. Dia menceritakan idea tentang satu kisah. Seorang budak perempuan sekolah dan seorang lelaki tua. Dia suruh aku garap, kerana dia tahu aku memang suka menulis. Sebelum itu, dia pernah membaca cerpen yang pernah kutulis, Sekaliku Lafaz Cinta Untuk Selamanya, dan Balasan Cintamu (malangnya dua cerpen yang boleh diibaratkan novel pendek masih tersimpan dalam kotak dan tak berani untuk aku hantar ke mana-mana penerbit). Aku memberikan tajuk kepada idea yang diberikan padaku sebagai Kasih Dia.

Malangnya, penulisan aku terbantut, gara-gara aku masuk belajar. Sibuk dengan pelajaran dan membuatkan aku mengabaikan penulisanku. Namun sebenarnya, ada perkara yang membuatkan aku mengalah terus. Aku pernah menghantar sinopsis cerita ini di salah sebuah syarikat penerbitan gergasi (masih lagi gergasi hingga ke hari ini!). Sinopsis aku ditolak dengan alasan cerita tak cukup kuat. Jadi, terperaplah Kasih Dia di dalam komputer aku.




Ayuz, adikku selalu mempersendakan aku. Tapi, aku faham tindakannya itu. Malah, dia akan bertanyakan aku perkembangan cerita itu. Boleh dikatakan, Ayuz terlibat secara langsung dalam pembikinan Rindu Pada Matahari. Ayuz... terima kasih, aku sayang kau.

Along pula, selalu banyak beri kata semangat. Adakalanya aku tak rasa aku mampu menulis. Tambahan pula ada orang mengatakan karya aku ini karya syok sorang. Tapi Along yang mengembalikan keyakinan pada aku. Along, terima kasih sebab bantu aku jadi aku. Aku sayang kau.

Umi dan abah. Tulang belakang aku. Kasih sayang dan kepercayaan mereka membuatkan aku lebih yakin. Merekalah sumber inspirasi. Kata-kata mereka membuatkan aku tak pernah lelah. Abah dan umi, Izan tak rasa ada ibu dan ayah lain yang mampu bertahan dengan sikap anak seperti Izan. Umi dan abah sentiasa sabar dan memaafkan kesalahan kami. Terutama sekali Izan. Budak nakal dan keras kepala. Alhamdulillah, Izan sudah nampak jalan yang umi dan abah restui untuk Izan. Insya-Allah Izan akan terus mengorak dan tentunya dengan keberkatan kasih sayang dan restu umi abah. Tanpa Umi dan Abah, tak adalah Izan. Tak adalah Romibaiduri Zahar dan tiada juga Rindu Pada Matahari.

Aku ada katakan di awal tadi, terlalu banyak halangan yang aku lalui sepanjang penghasilan Rindu Pada Matahari. Antaranya, aku pernah ditemukan dengan peristiwa yang mana aku kehilangan USB dan segala CD salinan untuk manuskrip Kasih Dia. Naik gila juga aku dibuatnya. Siap aku tampal nota pemberitahuan di setiap papan notis. Aku masih ingat lagi kata-kata Puan Normadiah masa aku beritahu yang aku kehilangan beg CD dan USB yang dah bagaikan nyawa ku itu.

"Awak redha ajelah ya Shahaini kalau karya awak tu jadi karya orang lain,"

Masa tu, aku tak tahu nak buat apa. Satu-satunya perkara yang aku dapat buat, ialah berserah. Ya. Aku berserah. Ketika itu kami (pelajar-pelajar Aswara tengah sibuk dengan pementasan randai ASWARA). Jadi, aku cuba sibuk-sibukkan diri, tak mahu ingat tentang himpunan karya ku itu. Biarlah, kalau rezeki aku... aku akan jumpa balik. Kalau bukan, aku redha. Akan aku cuba lain kali.

Hampir seminggu juga aku merana kehilangan 'nyawa'ku itu. Bayangkanlah, aku dah pegang salinan CD karya aku tu sejak aku habis STPM. Terlalu banyak rahsia dan kenangan di dalam CD dan juga USB itu. Seminggu itu juga membuatkan aku terima hakikat dan aku telah menggantikan semua CD dan USB baru, tapi isinya pasti tak sama.

Sedang aku sibuk melakukan tugas menjaga wardrobe aku didatangi salah seorang kenalan dari fakulti Filem. Dia ni antara orang yang popular juga di ASWARA kerana dua sebab. Satu sebab dia memang berbakat bak kata orang 'multi-talented'. Semua pun boleh. Kedua, 'playboy' paling panas ASWARA. Jadi, bila orang sepopular itu menyapa, aku rasa macam ada yang tak betul. Siapalah aku ini kalau nak dibandingkan dengan dia, betul tak?

Dia kata dia ada tugasan untuk buat video program dokumentari tentang psikologi manusia. Aku pun cuba berikan peluang pada dia terangkan tugasannya (satu yang aku kagum dengan sikap dia adalah insan ini memang rajin). Soalan yang dia ajukan memang menyentuh perasaan aku, apa taknya, dia tanya....

"Masa awak di UIA dulu, awak belajar apa?"

Aku keliru sebab setahu aku, tak ada sesiapa pun yang tahu aku pernah belajar di UIA.

"Undang-undang,"

Banyak juga soalan lagi yang diajukan sampailah ke satu soalan yang buatkan kening aku naik sebelah.

"Apa harapan awak kalau karya simpanan awak diterbitkan?"

Masa tu Fatimah ada di sebelah, aku pandang dia. Fatimah faham maksud pandangan aku tu. Aku sedih sangat. Sampai tak dapat berkata-kata.

Dia senyum dan mengeluarkan beg CD berwarna biru. Aku pun menjerit sakan dan hampir-hampir peluk dia (kelakar kalau diingatkan). Semenjak hari itu jugaklah aku berkawan dengan dia. Kalaulah bukan dia, tentu tak akan terlahir karya Romibaiduri Zahar. Kepada dia Sallu (nama sebenarnya Ahamad Tarmizi)... terima kasih banyak-banyak. Kau pun banyak bagi sokongan pada aku sepanjang PeTA tempoh hari. Oh ya, agaknya apa jadi dengan lirik lagu yang aku bagi hari itu untuk PeTA kau ya? Harap-harapnya aku tak dipinggirkan. Dengar cerita, dia sekarang dah melanjutkan pelajaran ke UPSI. Aku doakan kau berjaya dan akan keluar mengajar anak bangsa dan bukan mengajar benda yang nakal-nakal tau!


Aku juga perlu mengucapkan berbanyak terima kasih pada barisan tenaga pengajar aku di ASWARA. Terutama sekali Tuan Haji Ghazali. Dia banyak meluangkan masa mendengar idea dan keluhan aku. Malah, dia jugalah insan yang membantu aku membentuk watak Isabell. Pada dia juga aku mengetahui tentang perjalanan seorang mualaf.

Pada rakan-rakan yang tak pernah lepas memberi sokongan. Aku sayang kalian. Ayshah... kau selalu ada dengan aku. Kau pun tahu bagaimana sakitnya jiwa aku pernah dilukai dan kau juga yang menjadi perisai hati ini. Aku sayang kau sangat sangat. Insya-Allah hubungan kita tak akan terputus. Kau pun tahu itu.

Pada Viva IL Divo, yang teristimewa Airul dan Fatimah yang banyak membunuh dan menghidupkan semua watak dalam karya sulung akak ini. Terima kasih dan kalian tahu... akak sangat sayang kalian.


Kepada Imaan (semestinya), kau tahu kau paling istimewa. Dunia kita berbeza tapi masih sama. Kau adalah salah seorang yang membentuk kejayaan aku pada hari ini. Terima kasih kerana semangat juangmu, terima kasih atas kata-katamu dan terima kasih kerana sentiasa ada untuk buat aku tersenyum.

Juga terakhir kepada si Dia. Pernah menapak dan bertakhta di hati. Aku tak akan sesekali lupa kata-kata semangat yang pernah dia ungkapkan. Walau cerita kita dah berakhir, tapi kata-kata itu masih ku pegang kerana ia membakar semangat ini untuk menjadi lebih baik. Lebih baik dari kau dan dia.

Akhir kata sebelum aku meraikan setahun usia Romibaiduri Zahar dan Rindu Pada Matahari, terima kasih kepada semua yang sudi membaca dan memberi respon. Kepada kak Afna yang tak lepas-lepas memberi kata-kata semangat dan nasihat, terima kasih, dan kepada Rizman yang beri komen jujur tentang watak-watak RPM. Alhamdulillah dan Insya-Allah, Romi ini akan menghasilkan karya yang lebih baik di masa hadapan. Terima kasih sekali lagi.

Terima kasih kerana menjiwai watak Isabell, Salman, Taufiq, Hisham dan Aleeya.

Monday, August 10, 2009

Dia + Tipu = Padan Muka Aku!


Dua hari dah berlalu. Aku sengaja tak singgah di blog untuk titipkan sesuatu. Hati masih lagi terasa-rasa baki kemarahan. Entah, sama ada aku yang bersalah kerana membesarkan hal kecil atau dia yang terlalu bijak membuat angkara.

Demi Allah, aku tidak pernah memilih kawan. Aku berkawan dengan sesiapa saja. Apa juga latarbelakangnya… aku tidak pernah ambil pusing, kerana aku masih ingat pesan ustazah yang mengajarku ketika aku di sekolah menengah. Dia antara insan yang berhati mulia kerana tidak membezakan para pelajarnya. Sama ada dari kelas yang bagus atau yang terakhir, dari keluarga berada atau miskin, berbudi bahasa mahupun punyai masalah disiplin. Semuanya dilayan sama rata. Pesanannya pada aku, masih aku ingat sampai ke saat ini.

“Shahaini, kalau ada orang kata… pilih kawan yang baik, supaya kita tak akan tersesat. Pesan saya pula, awak berkawanlah dengan sesiapa pun. Tapi hati-hati dan jangan biarkan kawan ubah diri awak menjadi teruk, tapi awak yang harus berani berkawan dengan mereka untuk ubah diri mereka. Jangan pinggirkan mereka. Jangan sesekali bersikap sombong”

Alhamdulillah, semenjak itu aku telah berjanji untuk tidak memilih kawan. Aku tidak pedulikan latarbelakang. Sama ada dia pernah melakukan kesalahan atau memang dipinggirkan orang. Bagi aku, kata-kata ustazah ada betulnya. Mereka ini memerlukan seseorang untuk membantu, kalau mereka terus diabaikan, sampai bila-bila pun mereka akan kekal dan terus berada dalam kesesatan. Ya. Itu yang aku pegang. Itu yang aku percaya. Dalam masa yang sama, aku juga boleh menginsafi diri dan mengubah diri dengan menjadikan mereka sebagai panduan.

Malangnya, ada satu perkara yang aku tak boleh terima. PENIPUAN!

Abah dan Umi selalu pesan, dalam apa juga jenis hubungan sama ada kawan, sahabat, kekasih, keluarga mahu pun apa juga jenis hubungan, tidak seharusnya penipuan mengambil tempat. Bila penipuan muncul, maknanya kepercayaan, keyakinan dan semestinya rasa hormat hancur sekaligus. Sebagai manusia yang diajar dan masih belajar tentang menghormati sesuatu perhubungan, aku tidak pernah berbohong. Aku tidak akan membohong sebaliknya lebih selesa berahsia. Bila berahsia, tidak ada hati yang akan terluka dan orang akan hormati rahsia itu. Aku lebih rela berahsia dari membohong. Apa juga yang aku katakan, adalah benar. Jadi, sepertimana aku tidak membohong, itulah juga anggapan aku kepada setiap perkara yang orang sampaikan pada aku. Disebabkan itu jugalah, orang selalu sangat mengatakan aku mudah tertipu. Mungkin, aku bersalah.

Cuma aku tak faham, kenapa perlu manusia menipu? Apa yang mereka dapat dengan menipu? Apa yang mereka rugi dengan bercakap benar? Ya! Aku memang keliru. Kemuncak keliru aku adalah hari itu. Aku rasakan diri seperti tertipu. Aku tak tahu kenapa? Apa yang ditipu? Adakah benar aku ditipu?

Namun, perasaan dalam hati amat kuat mengatakan….

“Hei Izan, sedarlah kau tu dah kena tipu!”

Aku tak senang duduk. Dalam dua hari ini aku berfikir panjang. Biarlah dia terus dengan penipuan, kerana aku dah hilang rasa percaya pun. Hanya masa yang akan tentukan sama ada kepercayaan itu boleh bertapak semula dalam hati.

Pada dia, aku mahu kau tahu… aku sakit! Sakit dan amat amat amat sakit.

Friday, August 7, 2009

Akhirnya... dia dengar kata!



Tengah aku sibuk menatap karyaku sendiri... (yang tergendala beberapa ketika sebab otak semakin malas berkerja), dapat panggilan jauh beribu batu terpisah dari tujuh lautan. Siapa lagi kalau bukan Imaan. Terkejut? Taklah terkejut. Memang dah biasa Imaan buat panggilan selewat atau lebih tepat lagi, seawal 1 pagi. Panggilan itu pasti aku jawab. Al-maklumlah, nama pemilik kepada suara itu memang selalu jadi sebutan bibirku.

Dia batuk. Aku andaikan batuk biasa. Kebetulan, aku pun sedang alami masalah yang sama. Batuk juga tapi alhamdulillah, itu bukan batuk disebabkan wabak Influenza H1N1. Sempat juga Imaan berlawak berselang-seli dengan batuk yang agak keras. Aku tanyakan lagi, sama ada di sana musim hujan. Tidak. Pelik juga. Bila aku tanyakan dia (soalan wajib) sama ada dia dah makan ubat, dengan selamba dia membalas, ubat tak perlu untuk orang seperti dia. Kebal. Perasan betul!

Dalam perbualan yang agak panjang itu, batuknya semakin keras dan aku makin bertambah risau. Yelah, kalau dia ada depan mata boleh juga aku bantu apa yang patut. Sediakan air asam jawa ataupun bancuhkan madu bagi melegakan batuknya. Risau aku sampai tahap maksima. Perbualan kami terbantut. Lebih banyak masa dihabiskan di talian telefon hanya dengan mendengar batuknya.

Setelah aku mendesak barulah dia beritahu padaku, yang dia sudahpun berhenti merokok. Baru sahaja dua minggu lepas. Aku terus memanjat rasa syukurku pada Illahi. Akhirnya Imaan mendengar nasihatku. Dia sudah berhenti merokok untuk selama-lamanya. Katanya, dia mahu simpan duit untuk perkara yang lebih berfaedah. Aku tahu sangat, dia mahu simpan duit untuk bantu mengisi tabung-tabung kemanusiaan. Inilah yang membuatkan aku bertambah mengkagumi Imaan. Imaan teruskan usaha murnimu serta usahamu untuk membunuh nafsu kau untuk merokok.

Jadi, kepada sesiapa yang masih merokok. Fikir-fikirkanlah tentang masa depan. Kesihatan adalah perkara pertama. Tanpa badan yang sihat, otak pun akan berfikiran lembap. Berita yang dia khabarkan padaku, ku sambut dengan rasa yang amat bangga dan dalam masa yang sama, syukur yang amat sangat. Bukan senang untuk seorang perokok tegar melepaskan kotak rokok kesayangan. Namun, Imaan membuktikan, ada kemahuan, situ ada jalan.

Harap-harapnya dia akan kekal sebagai lelaki yang sihat dan bebas rokok.

Thursday, August 6, 2009

Pada Hati Yang Hampir Mati


Cinta Hakiki
Lirik Lagu Nasyid | Raihan

Telah lama cinta terbiar
Dari cinta yang suci
Telah lama cinta tersasar
Dari cinta hakiki

Kerna sekian lamanya
Manusia dibuai cinta nafsu
Kita sering menyangka
Cinta manusia itu yang sejati

Namun lupakah kita
Cinta nafsu selalu mengecewakan
Sering berubah tidak menentu
Seperti pantai dipukul ombak

Cintakan Allah cinta sebenarnya
Itulah cinta yang sejati
Kasihlah sesama manusia
Kerna cinta yang hakiki
Hanya untuk Tuhan Yang Esa

Cintakan Allah tiada kecewa
Engkaukan tenang di waktu susah
Kembalilah kepada Tuhan
Dia kan tetap menanti

Kehadiran hambaNya
Yang sebenar pasrah



Wednesday, August 5, 2009

Rakyat Didahulukan?

SATU MALAYSIA. RAKYAT DIDAHULUKAN. PENCAPAIAN DIUTAMAKAN.


Sesiapa yang bertamu di blog aku yang satu ini pasti ada yang datang dan merisik padaku.

"Kau ni penyokong parti perikatan ya, berhaluan kiri?"

Lebih tragik lagi aku pernah dibebankan dengan soalan ini.

"Eh, kau ni benci betul dengan kerajaan ya?"

Terus terang aku katakan di sini (bagi menjelaskan kedudukan aku yang sebenarnya) aku tidak membenci kerajaan dan aku juga bukan menyebelahkan pembangkang. Aku adalah aku. Pemikiran dan pandangan aku tidak ada sangkut menyangkut atau berkaitan dengan mana-mana badan ini. Kedua-duanya ada baik dan kedua-duanya pasti ada yang buruk seperti manusia ciptaan Allah. Tidak ada yang sempurna melainkan Baginda Rasulullah Nabi Muhammad s.aw. Jadi, kedua-dua pihak ini perlu juga terima kenyataan itu. Mereka tak sempurna. Kerajaan tidak sempurna, pembangkang pun tidak sempurna tetapi hakikatnya masing-masing perlu dalam mentadbir sebuah negara.

Bagi aku secara peribadinya, aku akan menyokong apa yang baik untuk rakyat. Apa yang memberikan faedah dan dalam masa yang sama dapat membangunkan rakyat Malaysia dan tentunya Malaysia sendiri. Bukannya yang menjahanamkan umat Malaysia dan membangsatkan bangsa sendiri. Noktah! Jadi, aku harap aku dah jelaskan sejelas-jelasnya kepada mereka-mereka yang sesuka hati melabelkan aku dan menempatkan aku di tempat yang aku sendiri fikir itu bukan aku. Maaf kawan, kau salah orang.

Terlanjur bercerita tentang hal ini, aku terpanggil untuk menyentuh konsep yang dipegang oleh kerajaan penggal baru ini (sekali lagi konsep...?). 1 Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan. Kalau aku cerita, mesti ada yang cakap

"Jangan asyik soal, apa yang kerajaan buat untuk rakyat?"
"Tapi soal apa rakyat buat untuk Malaysia?"

Memang benar dan memang bisa sungguh ayat itu. Namun, aku cuma sentuh perkara yang kecil dan terlalu remeh bagi sesetengah pihak. Kecil yang amat-amat kecil sampai debu pun lebih besar saiznya. Sudah hampir 4 tahun aku tinggal di sebuah kawasan perumahan baru. Tak perlulah nak disebut sebab kebanyakan orang dah pun tahu dan maklum. Di sepanjang tinggal di kawasan itu, ada sedikit (bahasa aku masih lagi terkawal ni!) kekurangan yang aku rasa sudah sepatutnya dipertimbangkan dan diselesaikan oleh pemaju.

Sebelum teruskan, aku tahu pemaju itu swasta tapi yang berkaitan dengan perkara-perkara keperluan kami (penduduk di situ).

"Apakah tidak berhak menerima kelengkapan seperti rakyat Malaysia yang lainnya?"
"Apakah kami ini semua sudah terputus hak sebagai rakyat Malaysia dan terpaksa menunggu pemaju yang tak pernah peka terhadap permintaan penduduk?"

Siapa nak jawab tu?

Aku terdengar masalah dari penduduk kawasan ini. Tengah malam. Ada insan yang diserang penyakit. Lalu, menghubungi ambulan (takkan nak panggil teksi pulak dah tengah malam!). Ambulan pun bergegas datang untuk mengambil pesakit. Malangnya ambulan yang sepatutnya boleh sampai dalam tempoh yang singkat menghadapi kesukaran MENCARI ALAMAT PESAKIT SEBAB TIDAK ADA PAPAN TANDA TAMAN DAN JUGA BEKALAN LAMPU PADA TIANG LAMPU GAGAL BERFUNGSI (tak pernah berfungsi pun sebelum ini.... percayalah!)

Aku percaya kalaulah itu bomba, pasti boleh sampai tepat sebab nampak api marak (itupun kalau sempat sampai masa api marak, kalau dah hangus? Macam mana?)

Sekarang, jawablah siapa yang perlu dipersalahkan? Ataupun kami penduduk perlu bertukar tugas dengan pemaju? Biar kami saja yang naikkan elektrik dapatkan surat kebenaran dari TNB atau sebagainya. Kalau tugas itu yang kami perlu buat, apa pula fungsi pemaju? Oh ya, tugas pemaju untuk menabur janji dan memperdaya lagi ramai orang seperti kami.

Baru-baru ini pula, di tempat kerja. Perkara yang paling kelakar dan lucu pernah terjadi (dalam sejarah aku bekerja di mana-mana tempat pun!) Al-kisahnya, wayar kabel telefon telah dipotong dan dicuri. Pemaju buat alasan, untuk tunggu laporan dari pihak polis. Sudah genap 2 minggu (dan insya-allah akan bertambah ke 3 minggu dan mungkin juga sebulan!) aku terpaksa bekerja tanpa talian telefon. Majikan aku terpaksa mengisi tambah nilai telefon bimbit semata-mata nak berurusan dan yang paling bangsat... aku terpaksa membawa broadband (yang taliannya semput-semput!) ke pejabat. Kejap-kejap terputus.

Sekarang, katakanlah pada aku, bukankah kami di pejabat ini juga rakyat Malaysia yang sedang berkhidmat untuk negara selain mengisi perut kami sendiri? Apakah kami tidak perlu diutamakan? Apakah pencapaian kami akan cemerlang kalau terus menghadapi masalah ini?

Jadi, aku masih lagi terfikir... benarkah konsep ini telah bergerak atau aku (sebagai rakyat Malaysia yang sah) perlu tunggu sehingga hujung-hujung penggal barulah konsep RAKYAT DIDAHULUKAN benar-benar diusahakan. Kalau kami (penduduk BTP dan pekerja) berhak didahulukan, bila agaknya boleh kami merasai keistimewaan itu?Wallahualam!

Monday, August 3, 2009

L' Audition


Aku dah lama tonton filem arahan dan skrip dari Luc Picard ini. Kalau tak silap, setahun yang lepas, ketika baru-baru saja meninggalkan Aswara. Lazimnya, setiap kali aku tonton filem baru, aku pasti kongsi rasa bersama adik-adik Viva IL Divo yang lain. Tak ketinggalan juga, aku berkongsi pula pandangan dengan pensyarah aku yang selalu menghuraikan apa yang terselindung di sebalik apa yang dapat dilihat dek mata kasar.

Malangnya, tiada kesempatan itu lagi. Dan itu yang paling aku rindu. Membincang dan membedah segala isi dalam sesebuah filem. Bertukar-tukar pandangan dan pendapat. Sudah tidak ada lagi. Itu semua tidak harus aku jadikan alasan untuk aku berhenti terus untuk mengulas sesebuah filem dari perspektif aku sendiri. Pandangan orang lain-lain. Tidak ada yang betul dan tidak ada yang salah.

Sebenarnya filem ini memberi impak yang sangat besar kepadaku sebagai seorang penonton dan juga sebagai seorang penulis serta yang paling utama, sebagai seorang insan. Filem yang amat mudah padaku tapi digarap dengan cukup baik. Kisah seorang tukang pukul (ala-ala pengikut ah long lah ni) yang memendamkan cita-citanya sebagai seorang pelakon (lakonan Luc Picard.

Cerita yang terbentuk dalam banyak jalinan tapi berpaksi pada watak Louis Tremblay(lakonan Luc Picard sendiri). Satu hari, hasratnya itu telah dipanjangkan oleh sepupunya dan telah memberikan dia peluang untuk mengikuti sesi ujibakat. Dia merahsiakan hasratnya itu daripada pengetahuan teman wanitanya Suzie (lakonan Suzanne Clement). Manakala Suzie pula pada masa yang sama merahsiakan pada Louis yang dia sedang mengandungkan anaknya.

Masing-masing hidup dalam rahsia. Suzie merahsiakan dari pengetahuan Louis kerana dia khuatir anak yang dikandungnya lahir dalam suasana yang tidak selamat terutama sekali melihatkan pekerjaan Louis yang selalu terbabit dengan keganasan. Louis terus berlatih bagi memastikan dia boleh menghayati watak yang diberikan kepadanya iaitu, seorang ayah. Lihat, kebetulan bukan? Tapi, kebetulan yang indah.


Louis bertungkus-lumus dan membabitkan diri sepenuhnya dengan rutin terbarunya. Oleh kerana dia memang mempunyai bakat, dia tidak punya masalah yang besar untuk menghayati watak. Malah, terkadangnya dia masuk dan hidup dalam watak yang dimainkannya.

Sehinggalah dia berjaya menyudahkan sesi ujibakatnya. Bagi aku, penting untuk aku nyatakan di sini, sebagai penonton aku dapat merasakan emosi yang disampaikan melalui dialog yang terlontar dari bibir Louis. Ya! Lakonan yang ikhlas dan bijak. Tidak perlu dipaksa atau tak perlu berlakon. Boleh dikatakan, perayaan berganda untuk Louis kerana, Suzie turut menyampaikan berita yang dia mengandungkan anak Louis. Sekarang, Louis hampir memiliki segala yang dihajatinya.

Namun, tidak semuanya akan selalu indah. Peristiwa hitam kembali mengetuk kehidupan Louis yang bakal dilaluinya. Anak kepada mangsa kekejamannya satu ketika dulu datang menuntut bela atas kematian ayahnya. Di situlah, di dalam bilik air, Louis menemui ajalnya tanpa sempat hidup sebagai orang baru yang bergelar seorang pelakon dan seorang ayah.

Penutup cerita ini memang indah. Si anak yang dilahirkan tidak berbapa itu, terjumpa dengan DVD sesi ujibakat ayahnya. Dia memainkan Dvd itu, secara tidak langsung dialog yang dihidupkan oleh Louis sewaktu ujibakat itu seolah-olah pesanan Louis kepada anak yang tidak sempat dilihatnya lahir ke muka bumi. Indah bukan kisahnya?

Secara peribadinya, aku memang suka menonton filem ini. Terlalu banyak perkara yang boleh diaplikasikan dalam hidup kita yang sebenar. Kisah ini juga membuatkan aku berfikir, cita-cita yang telah tersemat di dalam diri kita pasti akan kita kecapi sama ada dalam masa yang segera atau pun sebaliknya. Yang penting percaya diri, bakat dan juga rajin berusaha. Aku ingin sekali untuk menonton filem ini sekali lagi. Mungkin, di satu hari nanti aku akan berjumpa juga dengan Dvd filem ini. Bagi aku, tidak rugi untuk memiliki Dvd sebegini.