Friday, June 26, 2009

Give Thanks To Allah ...



Pagi tadi, seperti biasa... aku dan Along keluar awal, bertemankan dua DJ radio Hits.fm. Along teruja sangat sebab dengar Dj putarkan lagu Thriller - Micheal Jackson. Aku pun turut teruja tapi sempat aku seloroh pada Along.
"Pelik betul aku, tak pernah pun sebelum ni DJ main lagu MJ pagi-pagi macam ni. Dia dah meninggal duniake?"

Along marah aku. Padahal aku bergurau. Sebab sibuk sangat berborak, Along perlahankan bunyi radio. Habis borak 'bahagian penting', aku kuatkan kembali suara radio.

"Eh, MJ lagi. Ada apa-apa ke ni?"

"Betul tu, takkanlah sepanjang hari dorang nak putar lagu-lagu MJ" sampuk Along.

Habis lagu, aku dan Along diam. Beri peluang untuk dengar apa yang Dj katakan.

"The LA Times and UCLA have confirmed that King of Pop - Micheal Jackson passed away"

Along diam. Aku pun diam.

Betul atau gurauan?

Dj putarkan lagi lagu MJ. Kali ini, You are not alone. Dan Along cakap:

"Dia yang keseorangan sekarang...,"

Aku faham maksud Along.

Aku dan Along memang minat Micheal Jackson. Cintakan bakat yang ada padanya. Lagu-lagu ciptaannya bukan setakat kepada yang mengkhayalkan tetapi banyak menyentuh soal kemanusiaan. Tiada batasannya. Lagu We are The World, You Are Not Alone, Black and White antara lagu yang buatkan dia ada di satu tempat palin istimewa padaku. Begitu juga Along. Kami membesar dengan mendengar lagu-lagunya.

Aku masih ingat, ketika MJ buat konsert di Malaysia (tentulah along dan aku tak dapat pergi, MAHAL) tapi beberapa bulan atau tahun selepas tu tayang di Tv. Along ketika itu, masih menuntut di Uitm dan tinggal di asrama. Disebabkan ada ditayangkan di Tv, along sanggup tak balik kolej. Itulah satu-satunya insiden gila dari Along yang aku dapat lihat. Dia tak pernah minat orang lain macam tu.

Bila dengar berita tadi, memanglah satu kejutan. Aku sendiri tak tahu, atau adakah ia satu kebetulan. Tahun ini menyaksikan nama-nama besar pergi satu-persatu meninggalkan kita. Insan yang paling besar meninggalkan impak kepada aku tentu sekali arwah Zubir Ali dan sekarang, Micheal Jackson.

Apa-apa pun, aku bersyukur kerana dia sempat mengenal Islam. Malah, lagu tunggal nyanyiannya tentang Islam, buat aku dengar berulang-ulang kali. Ada orang kata itu nyanyian Zain Bikha, peminat-peminat pula kata Micheal Jackson. Entahlah. Tapi yang paling penting dia sudah pun bergelar Islam dengan nama Mikaeel. Wallahualam. Dia saja tahu ia benar atau tidak.




Thursday, June 25, 2009

Otak dan Hati Berbagi 2...

Aku mengaku dan semua pun sedia maklum. Aku bukanlah cucu yang baik. Mungkin benar dan mungkin juga tidak.

Sejak akhir-akhir ni, aku asyik terkenang arwah wan. Mungkin disebabkan aku bakal menghadapi satu lagi kematian yang pasti. Atuk. Zainal B Ahmad.

Aku kenal erti sayang dan aku tahu erti kehilangan sejak aku kecil lagi. Kematian pertama yang buat duniaku berhenti seketika, bila arwah tuk(sebelah umi) Osman b Hamid meninggal dunia. Sebelum arwah tuk, arwah wan pergi terlebih dulu, Halijah. Tapi, ketika itu aku masih kecil. Aku cuma tahu, wan tidak ada, dan tiada lagi orang yang ugut untuk sunat aku berkali-kali(maklumlah, masa tu aku nakal... bila wan cakap macam tu, jadi budak baik sekejap)

Impak besar bagiku bila arwah tuk meninggalkan aku dan tika itu aku baru darjah 2. Aku masih ingat, Hari Raya Aidiladha, aku sekeluarga balik kampung. Kami balik ke rumah Pak De, di mana arwah tuk tinggal. Malam sebelum balik ke Kuala Lumpur, tuk minta aku urutkan badan dia. Tak tahulah kenapa, aku menolak. Memang aku sombong dengan dia malam tu. Sengaja menjauhkan diri.

Tak sampai beberapa bulan lepas tu, tuk sakit. Umi dengan Ayuz balik ke sana dulu. Along dan aku tinggal di KL, bersama-sama abah. Waktu tu sekolah. Tak boleh nak kacau waktu sekolah.

Aku masih ingat, hari itu... tengah hari umi buat panggilan. Kata tuk sihat, jangan risau. Aku dan Along pun, macam biasa laksanakan rutin harian dan siap sedia hendak ke kelas mengaji Al-Quran. Sedang bersiap-siap, abah kata tak payah pergi. Kita balik kampung. Aku tak faham sangat maksud abah dan diam saja. Lepas itu baru abah cakap yang tuk dah meninggal dunia.

Sedih sangat. Hinggakan aku fobia nak menangis. Sebelum umi pergi ke sana, aku dah menangis awal-awal. Jadi, lama juga aku tidak menangis kerana ketika itu aku rasakan kalau kita menangis tentu ada orang akan meninggal. Ya! Itulah aku, pemikiran bodoh dan naifku sewaktu berusia 8 tahun. Aku menyesal sebab tak tunaikan permintaan arwah tuk. Aku sering termimpi-mimpikan dia. Lama juga. Sampaikan aku sengaja mengambil seluar pendek shell warna merah kepunyaan arwah tuk. Aku pakai dan buat teman tidurku malam-malam. Aku masih simpan seluar pendek tu hari ini. Bezanya, aku dah tak boleh pakai. Saiz seluar itu mengecil dan punggungku pula semakin membesar.

Beberapa tahun berlalu, dan tentunya aku sudah meningkat dewasa. Kematian kedua yang aku hadapi ialah arwah wan. Aku tak sanggup bercerita panjang. Semuanya sudahku luahkan dalam cerpen Kasih Di Hujung Nafas. Itulah satu peristiwa benar dan pahit dalam hidupku. Tapi, tiada apa yang aku sesalkan kerana aku sempat menjaga arwah wan. Kenangan sebulan menjaga arwah wan tak akan aku lupakan kerana ketika itulah aku rasa yang aku juga mempunyai seorang nenek. Namun, satu perkara yang masih tak bisa aku singkir dari ingatan, mimpi yang bertandang ketika arwah wan terlantar sakit.

Aku mimpi, bertemu seorang tua (berserban putih dan bertasbih). Pandangan ku amat jelas tika itu. Dia menunjukkan kepadaku sejenis tumbuhan hijau, untuk ubati sakit arwah wan. Bila aku sedar, aku cerita kepada umi. Umi dan abah tanya, sama ada aku tahu nama tumbuhan itu. Aku hanya mampu gelengkan kepala. Sumpah, memang aku tak tahu. Lebih pilu hati bila arwah wan sendiri bertanya kepadaku, apakah tumbuhan hijau itu? Kenapalah aku diberikan mimpi tetapi aku bodoh untuk tafsirkan apakah mimpi itu dan apa pula nama daun itu?

Sekarang, aku sekeluarga bakal menempuhi satu lagi kematian. Memang terlalu awal untuk aku berkata begitu. Cuma, aku ingin katakan yang aku belum bersedia untuk kehilangan seorang lagi atuk.

Aku tahu, orang sekeliling fikir aku seakan tidak peduli. Tidak ambil berat. Gembira bagai tak fikirkan langsung tentang hakikat yang atuk sedang bertarung untuk hidup. Apatah lagi, aku jarang menunjuk muka, melawat atuk. Bila aku datang pula, aku duduk di satu sudut dan tidur. Tidur?

Pernah kau dengar, orang tidur mudah dikejutkan, orang yang pura-pura tidur, sukar untuk dikejutkan?
Itulah tidurku semalam. Sekadar merehatkan mata yang bekerja 2 hari tanpa henti. Itu bukan tidur kerana telinga masih dengar dengan jelas. Setiap patah perkataan. Tak ada yang tertinggal di tangkap oleh deria pendengaranku.

Sebelum bertolak balik, aku dapat tahu yang hari ini, atuk akan menjalani satu pembedahan kecil. Membuang selaput di matanya. Aku bertanya sendiri, adakah ia perlu? Memandangkan keadaan atuk yang uzur ketika ini dan menunggu masa saja.

Along kata, itu permintaan dan kehendak atuk. Kita perlu hormat. Aku perlu hormat. Ya, aku hormat keputusan atuk. Aku cuma jijik dengan diri sendiri.

Tatkala atuk berjuang di sana, aku perlu bergegas ke tempat kerja. Bukan itu saja, aku juga perlu persiapkan diri untuk memperjuangkan karyaku. Kedua-duanya pada hari ini.

Memang aku akui, aku nantikan saat ini begitu lama dan Alhamdulillah, ia bakal jadi kenyataan. Aku juga perlu terima, ini adalah musim ujian dan dugaan untukku.

Di satu tangan kejayaan dan di satu tangan lagi sesuatu yang bakal meranapkan. Kedua-duanya perlu ku hadapi. Inilah perjanjian yang telah ku persetujui dengan Dia. Allah Maha Kuasa.

Apa yang pasti, otak dan hatiku ini berbagi dua dan aku lebih memberatkan soal atuk dan alpa pada tanggungjawabku pada karya dan kerjaya ku. Sungguh aku sedang berbagi....

Tuesday, June 23, 2009

Terima Kasih Hafirda Afiela

Rasanya dah agak lama kegiatan Tag-menge'Tag' berhenti. Sunyi dan rindu seketika. Tiba-tiba, semalam si Hafirda dah ketuk pintu. Jadi, sebelum akak menjelaskan hutang, nak ucap terima kasihlah ya cik adik Hafirda. Ada juga orang yang sudi ketuk pintu rumah akak ni.

Tag dan arahan yang perlu dipatuhi...




1 >
Poskan gambar di blog.
- Sudah tentu itu perkara pertama.
Cantik sungguh ... terima kasih.

2 >
Sebutkan siapa pemberi anugerah ini dan sertakan pautan pemberi anugerah ini
Hafirda Afiela (budak comei)
http://hafirdaafiela.blogspot.com/

3 >
Berikan anugerah ini kepada 5 orang sahabat
Roydy Anuar
Rizman
Hanny Esandra
Salwa
kak Umaira

4 >
Kunjungi blognya dan beritahu ada anugerah untuknya (kalau rajin)
macam tau-tau aja akak memang malas merayap... hehehe, tapi akak cuba rajin-rajinkan diri.

5 >
Lakukan perkara yang sama (penerima anugerah)
Dah terlaksana... harap cik adik Hafirda puas hati...

Friday, June 19, 2009

Sahabat, teman, ayah dan juga lelaki paling ideal... ABAH!

Abahku... Md Zahar Zainal


Sebenarnya, aku sedikit keliru pagi tadi. Seperti hari-hari lain, pagi ini aku mendengar stesen radio Hitz.fm. Dua-dua DJ umumkan (Jay Jay & Ean), Ahad ini Hari Ibu. Eh, biar betul. Kalau tak silap aku, aku dah ada entri tentang hari ibu. Setahu aku, bulan Jun ada sambutan Hari Bapa.

Jadi, seperti biasa untuk menjawab segala kekeliruan, pagi-pagi lagi aku dah menatap depan pc. Godek-godek sana sini... nak pastikan DJ yang berdua tu salah atau sengaja mengelirukan pendengar.

Betul, 21 Jun, adalah Hari Bapa. Mungkin... salah satu teknik mereka berdua. Biarlah. Mungkin, hari-hari begini tak berapa penting. Tak sebesar manapun. Ada yang anggap, ini semua hari yang diagung-agungkan oleh orang-orang Barat. Kalau nak kenang jasa bapa atau ibu, bila-bila pun boleh. Benar. Aku tak nafikan pendapat itu.

Namun aku tak juga kata..., tak salah kalau kiranya, kita hendak mengenang bapa pada hari ini.

Jadi, aku pun ingin sama mendedikasikan entri ini kepada satu-satunya lelaki di dalam hidup aku (aku tahu tak sempat nak buat hari Ahad ni sebab.... biarlah rahsia!).

Dialah sahabat...
satu-satunya lelaki yang aku luahkan segala isi hati, masalah dan apa juga kemusykilan yang menerpa dalam hidupku.

Dialah guru...
sentiasa mengajarku erti kehidupan. Kenapa begitu? Perlukah begini? Adakah sebab itu? Mungkinkah kerana ini? Tak pernah lokek dalam soal kehidupan.

Dialah pelindung...
biar teruk manapun keadaan yang menimpa, dia selalu melindungi kami sekeluarga. Tidak pernah lepas dari menjalankan tanggungjawabnya.

Dialah kasih sayang...
sekeras-keras dia, dialah insan yang paling lembut hatinya... paling penyayang tanpa perlu berkata-kata... tindakannya sudah cukup menunjukkan betapa agungnya rasa kasih sayang itu.


Dia abahku...
Aku bersyukur kerana telah dilahirkan dengan namamu...
Abah yang mengajar apa juga yang Izan ada hari ini...
Abah penguat semangat... tunjang keyakinan dan segala-galanya.

Di kesempatan ini,
Izan ucapkan Selamat Hari Bapa....


Biarpun umur Izan dah mencecah 30... 50.. 60 tahun...
Izan tetap perlukan abah selalu...

Abah, Izan tahu abah risau... memikirkan masa depan Izan...
satu sahaja yang Izan boleh katakan...
selagi Izan tak jumpa lelaki seperti abah...
selagi itulah Izan tak akan yakin untuk menamatkan status Izan ni...
soalnya...
adakah lagi lelaki seperti abah masih... wujud?
Wallahualam....




Thursday, June 18, 2009

Musim dugaan…


Aku, antara orang yang sengaja memilih untuk menjadi buta, pekak dan bisu.

Kebelakangan ini emosi bergolak. Perasaan baru bersulam-sulam dengan perasaan lama hingga ada satu-satu masa aku bertanya sendiri, benarkah perasaan yang sedang aku alami ketika ini?

Atau adakah ianya satu lagi hasutan iblis dan syaitan?

Bukan aku menidakkan rasa itu. Aku tak nafikan rasa yang sedang aku nikmati tika ini sungguh indah. Adakalanya aku terfikir untuk benamkan diri seketika dalam rasa itu. Aku mahu masa yang lebih panjang. Tetapi, akal sedarku masih dapat menghidu gerak-geri syaitan yang terselindung di sebalik rasa itu.

Benar! Aku sedang keliru. Keliru dengan rasa yang satu itu. Hampir dua tahun rasa itu terkubur dan tiba-tiba ada sesuatu rasa yang mula mengintai, cuba membolos masuk melalui rongga-rongga kecil yang masih terbuka.

Malangnya, rasa lalu begitu kebal dan kuat menghukum… menjatuhkan penjurian tanpa pembelaan.

Aku bertanya, masih adakah rasa itu dalam hati?
Aku akui, rasa ini adalah kurniaan Mu, tapi aku sudah tidak sanggup untuk terluka sendiri.

Bak kata sahabatku….Ayshah.

“Shahaini, bukan aku kata perasaan kau salah, tapi kalau boleh jangan layan dulu… sebab akhirnya hati kau juga yang akan terluka, baik kau buat bodoh je,”

Aku memilih untuk akur nasihatnya, kerana hanya aku seorang sahaja tahu sakit dilukai rasa itu yang tidak kesampaian. Akibatnya, rasa yang aku pendam itu semakin hari semakin memakan diri sendiri. Kedua-duanya sama bagiku. Menyerah pada rasa itu… kalau rasa itu palsu, aku akan luka dikemudian hari. Aku sudah tidak mampu hidup dipengaruhi rasa itu. Kalau benar ditakdirkan dalam hidup aku untuk merasa rasa itu sekali lagi, aku pasti kali ini adalah cinta mati. Yang terakhir, tiada lagi ruang untuk hatiku ditoreh berkali-kali. Ketahuilah darah kesan luka yang dulu masih mengalir. Deras sekali.

Sekiranya dalam takdir hidupku bertemu dengan orang yang mencetuskan rasa itu semula dalam hati, maka tiada hajat lain, aku ingin terus kekal dengan dia… selamanya.

Jadi, aku terkunci antara kedua-dua jalan ini. Aku menyerahkan segala-galanya pada Allah. Hanya Dia tahu, apa yang baik dan sesuai untuk diri aku ini.

Saat-saat beginilah, fikiranku merangkak, teringatkan Imaan. Hanya dia yang aku ada untuk bertanyakan pendapat tetapi, awal-awal lagi dia pesan yang dia sudah mula sibuk dengan tugasan sosialnya. Imaan, kalaulah kau tahu, aku amat perlukan pandanganmu kali ini. Otak dan mindaku seakan bekerja bila-bila masa saja kita berbincang tentang sesuatu. Dalam erti kata lain, kau mencabar pemikiranku yang seringkali tidur. Aku tetap berharap, kau akan berjaya dengan apa juga niat dan tujuan murnimu demi bangsamu di sana, aku tahu perjuanganmu murni. Cuma ada masanya, aku juga perlukan kau. Aku kepingin tahu kata-kata dan nasihatmu tentang masalahku yang sebesar kuman ini. Mungkin, di lainkali. Di pertemuan yang lain, dan aku pasti terus menunggu hari itu.

Pada seseorang itu, dan jika dia tahu… inilah perasaanku setiapkali ku tatap wajahnya….

“Tujh Mein Dikhta Hai, Allah Ki Yaad Aaati Hai…,”

Dan rasa itu seakan merasuk di sudut hati yang paling dalam… membuatkan aku hilang di dalam aku.

Wednesday, June 17, 2009

Pemandu-pemandu Dajal!

Kalau dihimpunkan semua entri yang ada dalam blog ini, tentu kisah tentang sikap pemandu di Malaysia ini yang paling kerap aku sentuh. Bilangannya akan bertambah lagi, dari masa ke masa.

Terus terang aku katakan, aku terlalu kecewa dengan sikap pemandu (yang mempunyai sedikit kelebihan duit, dan tentu sekali sempurna..., bukannya buta atau pun lumpuh!). Namun aku tak teragak-agak mengatakan yang kebanyakkan pemandu cacat akal dan fikiran.

Pagi tadi, seperti biasa dalam sebulan ini aku keluar lebih awal. Awal dari biasa atau dalam ayat yang lebih mudah, kembali sementara waktu ke rutin harian yang pernah aku lalui lebih kurang sepuluh bulan lepas. Ya, aku menghantar Along ke pejabatnya di Petaling Jaya (dekat benar dengan rumah Fatimah), hanya untuk sebulan ini kerana abang Zamri berkursus selama sebulan.

Seawal 6.15 pagi, aku dan Along, sudah keluar dari rumah kami di Bandar Tasik Puteri, (perkampungan BUNIAN bak kata Along, sebab terperosok jauh ke dalam... tanpa ada lampu jalan dan tiba-tiba ada syurga!!!! Pemaju Penipu! Pemaju makan duit, patut pun perut buncit!). Selalunya kalau keluar awal, jalan pun tenang. Tetapi aku lupa. Lupa pada kenyataan yang aku terpaksa pula berkongsi jalan dengan bas-bas kuning yang sarat dengan penumpang-penumpang kecil.

Prinsip aku, selagi aku boleh simpan... aku akan simpan. Bila kapasiti dalam otak dah tak mampu menampung segala input busuk, dia akan meledak sendiri. Dan, bahananya, aku berkejar depan pc lalu meluahkan segala nanah yang bisa di otak, hati dan perasaan aku.

Setiap kali aku melihat bas... aku terfikir, apalah sangat yang dikejarkan pemandu bas tu? Pandu bas macam pelesit.

Tak terfikirkah dia tanggungjawab yang dipikulnya?
Adakah mereka sedar nyawa yang ada di setiap tubuh badan yang sedia bertafakur dan menyerahkan segala kepercayaan pada mereka, si pemandu bas?
Tak sedarkah mereka tentang harapan orang-orang diluar sana, yang menanti setiap isi manusia yang mereka bawa setiap kali, sampai ke destinasi dengan selamat?
Tambah pula isi bas sekolah itu dipenuhi dengan berpuluh anak-anak yang sedang menunaikan ibadat untuk memenuhkan ilmu di dada, dan membawa segunung harapan keluarga.
Bukankah amanat yang ada pada mereka setiap kali memegang stereng adalah teramat-amat besar?
Cuba bayangkan pula, kalau anak-anak anda dalam bas pemandu lain dan bersikap seperti anda.

Aku bukan bercakap soal mementingkan diri takut kehilangan masa depan yang akan dipikul pula oleh anak-anak kecil itu. Tetapi aku percaya, setiap mereka yang diberi tanggungjawab memandu anak-anak ini untuk sampai ke destinasi ilmu, tentu berkeluarga... dan akan berkeluarga juga di satu hari nanti.

Kalau situasi yang sama menimpa anak-anak anda, mati terdampar di atas jalanraya, kepala dan badan terputus dua atau lebih sadis jika mayat anak anda langsung tidak dapat dicam, apa agaknya perasaan anda di ketika itu?

Siapa yang perlu anda salahkan?
Anak anda?
Pemandu bas?
atau Allah, dengan alasan paling klise... sudah takdir Illahi!

Langgar lampu merah?
- Lecehlah... dah lambat!

Cucuk angin kenderaan di depan?
- Suka... dah jadi habit!

Memotong kenderaan lain sesuka hati... tanpa memberi sebarang isyarat?
- Buang masa!

Memecut lebih dari 110km/j?
- Suka hatilah, bukannya sampai 240km/j pun!

Jadi, aku tak hairan kenapa ramai ibu bapa sanggup menghantar anak-anak dengan kenderaan mereka sendiri.

Aku pun dah terima hakikat, jalan sesak setiap kali musim persekolahan dan lengang dan tenang setiap kali musim cuti sekolah.

Semuanya kerana hilang percaya kepada pemandu-pemandu bas hantu!

Soalan yang aku mahu setiap pemandu bas hantu jawab... adakah duit tambang bulanan RM70 sudah mampu menjamin nyawa anak-anak tidak berdosa ini selamat sampai?

Percayalah, jika ada kemalangan bas sekolah atau kecuaian pemandu (seingat aku, ada kes pemandu bas melanggar budak sekolah yang diturunkannya, tapi... kes tutup, nyawa yang hilang tiada ganti dan yang bersalah bebas....kenyataan itulah yang paling aku benci)

Setelah selesai baca entri aku ini, pasti ada yang cakap... belum jadi lagi... itu pun nak bising....

Adakah kita mahu perkara ini terjadi lebih dulu kemudian meratap dan mula menuding jari?
Fikir-fikirkanlah....
Selagi boleh dielakkan, elakkanlah...
jangan selalu menyalahkan takdir!

Buat Seseorang... Selamat Hari Lahir


Dia yang aku kenal...

Gadis bertubuh kecil berjiwa besar
Satu-satunya harta yang paling berharga yang ada padanya...
KEYAKINAN DIRI YANG TINGGI...
Orang lain tak mampu curi atau ambil darinya...
Gadis yang akan ku ingat
kerana kecekalannya...

Jadi, dari seorang aku yang tak punya apa...
aku ingin ucapkan
SELAMAT HARI LAHIR
NURJIHADAH BAHARUDIN


Friday, June 12, 2009

Aku dan Paranormal...paranormal dan aku?

Tiga hari berturut-turut kami sekeluarga menghadiri majlis bacaan tahlil untuk arwah Pakngah.
Tiga hari itu juga ada macam-macam peristiwa yang berlaku, sama ada pada aku, mahupun ahli keluarga yang lain.
Aku tidak mahu menyentuh tentang perkara yang dialami mereka yang lain, tapi aku berani berkongsi apa yang terjadi pada diri aku!

Hari pertama!
Selasa malam Rabu. Hari sebelumnya aku tak tidur. Gara-gara nak siapkan novel DC. Masuk pejabat sedikit lewat, pukul 12.30 tengah hari. Sepanjang hari di tempat kerja, menghadap komputer. Kepala pusing. Tak cukup tidur, kerja berlambak.

Sampai kampung (Kampung Puah), pukul 8.00 malam. Aku ambil tugasan di bahagian dapur. Memasak. Masak bihun, 4 kali. Seronok sangat. Aku memang suka memasak. Paling suka bila tengok makanan yang aku masak habis dimakan. Hilang rasa letih.

Pukul 11.30 malam, kami pun meninggalkan Kampung Puah, menuju ke Tasik Puteri. Awalnya, kami beriringan. Namun, disebabkan mataku yang terlalu berat gara-gara tak tidur, kereta Satriaku tertinggal jauh ke belakang. Ayuz pula, memecut laju dengan Perdana V6. Makan asap aku dan along dibuatnya.

Pukul 1 pagi, akhirnya kereta Satriaku berjaya bertemu jalan pulang. Tempuh kawasan gelap yang di kiri kanannya padang golf Tasik Puteri. Aku dan along berborak, hilangkan mengantuk. Dalam kebisingan suara aku dan along, tiba-tiba sunyi sepi.

Aku tak mahu cakap apa-apa pada along. Begitu juga along, tak nak beritahu apa-apa pada aku. Masing-masing tahu. Along dapat rasa sesuatu dan aku pula nampak sesuatu. Keadaan sunyi sepi sampailah ke rumah.

Hari Kedua!
Rabu malam Khamis. Rutin terbaru, tapi tak kekal lama. Aku jemput along dan menuju ke Kampung Puah. Kali ini, aku memasak lagi. Mee goreng. Tak cukup, beli bekalan dan aku masak sampai 5 kali. Alhamdulillah, habis dijamah. Perut sakit gastrik, tak makan satu apa pun dari pagi. Aku tak kisah, yang penting majlis berjalan lancar.

Malam ini, bertolak sedikit awal. Kali ini, juga seperti semalam. Ayuz pecut laju. Tak apalah, mana mampu Satria 1.3 kejar V6 2.0. Aku biarkan saja. Melayan mata mengantuk, kepala pusing. Sebenarnya aku dalam keadaan separuh sedar. Kereta yang aku pandu pun sedikit masuk dan keluar garisan. Suara dari mulut along membuatkan aku terus memandu.

Kali ini, di tempat yang sama. Aku dan along berdegil, terus berborak. Macam biasa, masuk kawasan yang sama. Mulut masing-masing terkunci. Aku suluh lampu besar, Alhamdulillah, tak nampak apa-apa. Mataku pandang cermin pandang belakang.

Ada! Entah kenapa, makhluk itu ada di tempat duduk belakang. Aku buat tak endah. Dalam hati, terus berwirid dan berzikir. Allah Maha Besar. Ketakutanku ini, hanya pada-Mu, bukan makhluk ciptaan-Mu.

Lembaga itu hilang.

Hari Ketiga!
Khamis malam Jumaat. Aku tak memandu hari ini. Hari ini, aku kerja separuh hari, sebab jemput along dari tempat kerja dia dan hantar Miqhail ke klinik. Miqhail demam. Pergi ke majlis tahlil hanya dengan satu kereta, Perdana V6, dipandu Ayuz. Aku rehat.

Malam ini pun aku tak memasak. Datang, tolong serba sedikit dan banyak habiskan masa duduk di rumah belakang. Masing-masing keletihan. Temankan along jaga Miqhail dan disertai sepupu-sepupu yang lain. Macam-macam topik yang kami bincangkan.

Kali pertama semenjak beberapa tahun menempuh alam dewasa, hari ini, Shafiq duduk berbual dan berbincang dengan aku dan along. Seronok rasanya, terimbas kembali kenangan yang pernah tercipta, sewaktu kecil-kecil dulu. Memang situasi sebegini yang aku rindu. Berkumpul sanak saudara, cuma yang tiada suara riuh arwah wan.

Entah macam mana, kisah dua malam lepas terbongkar hari ini. Along beritahu dia rasa dan bau sesuatu. Aku pula katakan pada along dan mereka, aku nampak! Tapi, aku dah terbiasa. Malah, malam pertama aku susah lelapkan mata kerana aku dengar bunyi jeritan keras dari belakang rumah.

Itu pun bukan kali pertama. Sudah banyak kali dan aku pun tak berapa nak endah. Masa mula-mula pindah dulu, aku pernah nampak disergah bayang lembaga berkepala singa dengan mata merah. Bukan itu sahaja, aku juga sering dengar bunyi ketukan di tingkap. Bukan aku seorang. Along pun pernah dengar. Buat tak tahu aje, hormati yang itu memang kawasan mereka. Kami datang kemudian. Terpaksa beralah dan mengadaptasi keadaan.

Aku juga teringat kembali beberapa peristiwa paranormal yang pernah aku alami. Terlalu banyak. Mungkin, itu kelebihan aku, dapat merasa dan melihat... samar-samar. Ketika di ASK dulu, aku pernah disergah semangat Seri Rama. Semuanya salah aku, aku yang cabar dia. Mulanya, aku memang sentiasa diganggu, tapi aku tak melawan... biarkan saja benda-benda sebegitu berlaku dan menutup mata, tidur. Tapi, satu malam, aku rasa pelik sebab tiada apa-apa gangguan.

"Eh, tak ada pulak kau nak ganggu aku malam ni?" detik aku dalam hati dan ketawa kecil.

Sepantas kilat suara itu membalas. Sukar untuk aku gambarkan betapa kuatnya suara itu bagaikan mengaum. Aku toleh ke arah dinding, aku dapat lihat, samar-samar Seri Rama. Aku cuba pejamkan mata, terasa-rasa badan aku sejuk dan panas. Sejuk sampai aku rasakan tidak ada seurat benang pun menutup badan. Panas, sampaikan aku berpeluh-peluh. Aku pandang ke katil sebelah, aku cuba panggil Eyna dan Atul. Masing-masing tidur mati. Aku cuba jerit. Suara tak keluar. Aku cuba tendang katil atas, bangunkan Timah. Tapi tak ada apa-apa.

Entah macam mana, aku mampu bergerak. Aku cabut dan berkurung dalam bilik air. Tempat setan! Entah, aku selesa di situ dan duduk sampailah pukul 6 pagi, bertemankan along di talian (sempat telefon Along).

Kejadian seterusnya, adalah kejadian yang paling aku tak boleh lupakan. Masa Makyung. Aku bertugas di bahagian kostum. Aku jaga Atul. Terpaksa siap sedia di belakang tirai. Kalau jadi apa-apa, aku boleh betulkan. Sedang aku tekun menatap Atul dari corong kecil yang ada di tirai, aku toleh ke kanan. Aku nampak Pak Nasir, siap berpakaian lengkap sepasang berwarna kuning dengan setanjak.

"Eh, Pak Nasir kat sini? Tak pergi sedia kat tempat pemuzik?" soalku.

Pak Nasir tak menjawab. Selalunya dia akan membalas dan adakalanya dia akan berseloroh dengan aku. Aku faham, mungkin dia letih. Jadi, aku pusing kembali, melihat Atul dari corong tadi. Tiba-tiba aku nampak Pak Nasir memang dah duduk di tempat pemuzik dan sedang asyik menyanyi!

Persoalannya, siapa yang aku tegur tadi?


Macam biasa, aku tak dapat bergerak. Aku telefon along. Dia suruh aku baca ayat kursi. Aku menurut. Tapi tetap teringat-ingat kejadian itu.

Banyak betul pengalaman aku dengan paranormal. Malah, di tempat kerja baru ini pun ada. Masa aku tengah solat Maghrib. Gerun satu macam aku rasakan. Tengkuk ni macam sengaja diramas-ramas. Selesai solat, aku terus keluar dan kemas-kemas barang. Tak sanggup tunggu lama, walaupun pada awalnya aku nak tinggal lebih lama nak siapkan kerja.

Ada orang kata, itu cuma khayalan dan imaginasiku. Mungkin. Tapi, secara peribadi, aku tak menolak kewujudan paranormal. Cuma, orang yang bertuah dapat melihat makhluk alam ghaib ini. Jadi, aku menganggap, aku ini antara orang yang bertuah! Wallahualam.

Wednesday, June 10, 2009

Selamat Hari Lahir Salwa...!!!!



Hari ini amat istimewa untuk seseorang itu,
Yang aku kenal lebih kurang 4 tahun lalu.
Lama tak berjumpa tak bererti akak lupa dik...
Akak sengaja tak nak jawab semua panggilan...
Akak memang berniat tak nak hantar sebarang ucapan...
Sebab akak tak tahu cara lain nak buat kejutan...
Jadi,
kepada Nourisalwa Ahmad Nadzri...
Selamat Hari Lahir ke 25...
makin bertambah usia...
mudah-mudahan,
makin bertambahlah kematangan keputusan dan fikiran...
Akak doakan Wa bahagia...
dan sihat sejahtera...
Amin!!!!


Tuesday, June 9, 2009

Hati... kau terlalu kejam!

Satu kematian,
tentunya menuntut sebuah kesedihan...
ratapan keluarga dan orang yang tersayang...
tangisan hanya sebagai refleksi kemurungan yang mampu diluahkan...
Biarkan air mata itu mengalir, tidak perlu disekat-sekat perjalanannya...

Biar apa juga sejarah yang pernah tercipta di belakang allahyarham...
Perginya tetap diiringi berjuta doa yang tersayang...
Mati dan hidupnya jadikan sebagai satu kisah tauladan...
Yang lain-lain, hanya Allah berhak tentukan.
Aku tidak tahu kenapa hati aku ini terlalu kebal?
Kejam dan hina rasa diri, bagaikan tiada perasaan yang berbaki
Daging lembut dan merah ini seakan tiada lagi membawa sebarang erti...

Air mata sudah tentu tak tertumpah...
Mungkin juga, rasa terkejut mengatasi rasa sedih...
Melihat kujur tubuh itu, aku kelu...
Insan yang pernah membawa hadiah untukku dulu...
Ketika itu aku tidak mengenal lagi hitam dan putih...
semuanya nampak suci..

Ya, ketika itu...
Rasa di dalam tidak dicemari...
Ketika itu aku hanya tahu...
Dialah antara lelaki yang pemurah...
kerana tidak pernah gagal membawa cenderamata untuk Along dan aku...

Ketika itu, dia antara orang yang aku tahu aku rindu..
Tapi, bila usia semakin dewasa...
Jarak memisahkan rasa rindu dan sayang
Sehingga tidak ada lagi rasa yang tertinggal...
Dan perginya tadi membuatkan aku tertanya-tanya...
Adakah dia orang yang sama pernah aku rindu?

Tiada gunanya lagi...
Kerana dia sudah pun pergi menghadap Illahi...
Sekurang-kurangnya aku tahu, dia damai di sana...
Satu-satunya insan yang kukenal dalam masa yang terlalu singkat...
Namanya pasti akan selalu kukenang hingga akhirnya...

Kepada sesiapa sahaja yang membaca ruang ini...
Bersama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah
kepada Yaacub bin Ismail...
Pakngah ku....
Semoga rohnya dicucuri rahmat....
Al-Fatihah....

Thursday, June 4, 2009

Kisah Aku, Itik dan Ayam

Hari-hari kerja, kerja hari-hari.
Bila tak kerja bising, bila kerja lagi bising.
Itulah nama manusia... tak tahu bersyukur. Bukannya tak tahu perkataan bersyukur, cuma tak tahu menghayati maknanya. Termasuklah aku. 2x5... 5x2.

Tengah duduk depan pc waktu tengah hari macam ni, ingatan terembat kepada sebuah kisah. Beberapa hari lalu... lepas atau sudah. Sama juga maksudnya... bukan berlaku hari inilah maksudnya tu.

Kisah yang aku kumpul dari pemerhatian aku. Dari negara A hingga ke negara B. Besar makna negara tu. Mulanya aku singgah sekejap. Dalam dua tiga minit. Aku terpaksa bergaul dengan semua hidupan di negara ini. Sama ada yang hidup, atau pun yang mati (tak bernyawa, bukannya bermaksud mayat ya!)

Aku duduk betul-betul di tepi kali. Seekor ayam melintas. Beberapa saat kemudian, diikuti seekor ayam lagi. Aku pun tak tahu kenapa, tapi aku faham makna di sebalik bahasa yang bising terkeluar dari muncung ayam-ayam itu. Ketawa sendiri aku dengar. Ada hati mengumpat aku, mentang-mentanglah aku manusia, tak faham bahasa ayam. Tak mengapa, aku tak nak cari gaduh dengan ayam-ayam katik. Kalau aku buat hal juga, nampak sangat aku ni dah sama taraf dengan ayam-ayam tu yang memang tak belajar. Tak berakal dan sudah semestinya tak berilmu.

Kemudian muncul pula seekor anak itik gebu datang mencelah. Ayam-ayam diam tapi jelas mereka memang tak selesa dengan itik tu. Si anak itik gebu berlalu perlahan-lahan. Kakinya terkuis-kuis, mencari makan di atas tanah.

Ayam-ayam dua ekor, terkedek-kedek tinggalkan anak itik gebu, datang semakin dekat dengan tempat aku duduk. Bising lagi. Kali ini, anak itik gebu jadi mangsa umpatan ayam-ayam ini. Aduhai... aku fikirkan manusia saja pandai mengumpat... binatang pun dah pandai buat dosa sekarang ni. Tak apalah. Aku tak nak masuk campur. Si anak itik gebu selesai mengisi perut dan menghampiri ayam-ayam tadi. Mungkin mahu berkawan. Ayam-ayam ini pula, pantas meninggalkan kawasan itu.

Aku hanya mampu geleng kepala. Si anak itik gebu berhenti betul-betul depan aku. Bagai nak sampaikan sesuatu. Matanya nampak redup. Bahasa matanya terlalu mudah aku faham.

"Mereka fikir aku tak tahu apa yang mereka bualkan... mereka salah. Aku tahu semuanya," ujar anak itik gebu itu dan berlalu pergi.

Terkejut juga aku dibuatnya. Pandai betul anak itik gebu bertutur bahasa manusia. Aku renung kata-katanya dan mungkin ada benarnya.

Kadang-kadang, mimik muka, bahasa tubuh sudah jelas menunjukkan erti perbualan seseorang. Jadi, aku bandingkan pula dengan kehidupan aku sendiri. Ya! Mungkin kedengaran sedikit membangga diri, tapi inilah kebenarannya. Kalau kamu fikir bahasa yang kamu gunakan tak dapat difahami..., fikirlah berulang kali. Ini nasihat percuma... harap kalian sanak saudara ayam mahupun kenalan kucing ataupun anjing, hati-hati dengan kata-kata kalian. Semua bahasa senang sangat untuk difahami (terutama sekali kalau dalam spesifikasi mengumpat dan memburukkan orang lain).