Friday, May 29, 2009

Mencuri dan menderhaka demi satu nyawa....

Apalah sangat itu dosa?
Ketidakjujuran terhadap kerja berbanding...
meluangkan masa bersama insan yang paling aku sayang, paling aku cintai dan paling aku kasihi.

Apalah sangat tuduhan derhaka?
Menduakan akal dan fikiran meloncat untuk seminit dua
Semata-mata ingin mengisi ruangan blog pada hari ini untuk si dia.

Aku rela berdosa dan aku rela dituduh penderhaka...
tapi aku tak bisa membiarkan ruang hari ini kosong,
aku tak mampu memandangnya lagi untuk masa-masa yang akan datang...
biar orang kiri kanan aku berkata...

'Pergh... emo betul minah sorang ni'
'Ala... itupun nak kecohke?'


Kau... kau... dan tentunya engkau ... tak akan sesekali faham...
Kalau kau, kau dan kau kenal aku...
kau tak akan berkata sedemikian.
Bukan setakat kerja sanggup aku tinggalkan...
malah nyawa sekalipun aku rela korbankan...
kerana dia lebih dari itu...
lebih dari nyawa...
tinggi dari jiwa...
mulia rohaninya...


Hari ini...
tidak akan sama seperti 364/365 hari yang lain....
Hari ini adalah satu...
Satu itu adalah umi...
Shaharum Bariah Osman....
Tanpa dia lahir ke bumi...
Tanpa dia jejakkan kaki ke dunia...
Tanpa dia menerima aku...
Tanpa dia sanggup berkongsi nafas denganku...
Tanpa dia rela membesarkan aku...
Tidak akan ada aku...


Jadi...
bagai aku katakan di awal tadi...
Apalah dosa? Apalah sangat durhaka jika dibandingkan kasihku terhadap umi....
Kalau ini dikatakan dosa... aku sanggup mengulanginya seribu kali....
Kalau ini dituduh durhaka... aku akan lakukannya lagi untuk sejuta kali...
kerana semua itu tidak akan sama dengan nyawa seorang umi...


Umi...
Izan akui, Izan tak seperti anak-anak lain...
mudah melafazkan sayang... rindu...
dan...,
Ya, mungkin benar katamu pagi tadi...


'kau ni yang paling banyak dan kuat melawan!'


Tapi percayalah...
Umi sentiasa di hati...
Biar Izan tak 'temui' Allah sehari...
tapi,
tanpa melihat, bercakap, mengusik umi sehari...
Izan hilang dalam diri....


Dalam serendah-rendah...
dan dalam setinggi-tinggi rasa...
Izan ucapkan...



Selamat Hari Lahir...
Doa Izan agar umi dipanjangkan umur...,
dilimpahkan rezeki
dan
sentiasa sihat menempuhi hari-hari mendatang...
Izan sayang .... umi ...





Tuesday, May 26, 2009

Sesuatu yang tercicir...

Sedang aku sibuk-sibuk mencari sesuatu, membelek itu dan ini di dalam bilik, sebuah kaset jatuh di hujung kaki. Aku mengutipnya. Kenangan lalu terus merembat ingatan. Kaset rakaman suara kami tiga beradik. Perlahan-lahan aku membawa kaset itu ke bilik umi dan abah. Lantas memainkan kaset rakaman itu, sambil diperhatikan oleh abah, umi, ayuz dan si kecil Miqhail. Aku ketawa sendiri bila melihat reaksi mereka terutama sekali Miqhail, yang turut khusyuk mendengar seperti faham butiran yang keluar dari muncung radio.

Alangkah indahnya kenangan ketika itu, mendengar keletah masing-masing yang berebut hendak bersuara. Ada yang terpekik, terlolong semata-mata hendak menguasai ruang. Dalam hati tercuit, kiranya bisa waktu itu berulang kembali. Tidak ada satu masalah pun yang membebani fikiran. Berkata-kata tanpa berfikir betul dan salah. Putih! Masing-masing masih putih. Semua yang terbuku di hati diluahkan tanpa mengira ada hati yang akan terluka atau bisa mengundang bencana. Tiada istilah dimarahi mahupun dibenci. Itulah kelebihan anak-anak kecil.

Bila masa berubah, manusia semakin dewasa dan semakin banyak perkara yang tersimpan dan tak terluahkan. Khuatir kalau diluahkan akan mengundang salah faham... marah dan akhirnya kebencian merasuk fikiran. Kalau tak diluahkan pula, ia membusuk di dalam dan melahirkan konflik diri yang tak berkesudahan.

Aku terus asyik mendengar suara-suara jujur itu, yang seakan tercicir kebelakang bersama waktu.
Aku ingin mengutip dan menghidupkan semula suara itu dalam diri aku. Tetapi, adakah ia masih relevan untuk dunia hari ini?

Monday, May 25, 2009

Terima Kasih Kak Umaira


Kebelakangan ini, aku terlalu sibuk sehingga tak ada masa nak menjenguk seminit dua ke blog aku sendiri. Harap kepada sesiapa yang datang bertandang juga yang sudi bertanyakan khabar tidak serik berkunjungan. Bukan tak sudi, cuma masa yang ada rasanya seperti tak terbeli.

Kali ini aku datang pun untuk menunaikan hutang yang tak tertunaikan sejak beberapa hari yang lepas. Aku terima satu lagi anugerah dan kali ini datangnya dari kakak cantik manis, kak Umaira. Tak tahulah sama ada blog aku yang tak seberapa rupanya layak menerima anugerah kurniaan kak Umaira. Terima kasih kak, kerana ingat kepada saya.

Anugerah kali ini aku kira, agak istimewa kerana disertakan beberapa arahan. Terasa-rasa seperti sedang cuba meyakinkan yang diri ini sememangnya layak menerima anugerah. Dah macam orang berkempen nak menang kerusi pula.

Apa-apapun, saya tetap akan cuba menjawab dan mengikut arahan yang diberikan sekaligus membuktikan, saya memang layak menerima anugerah ini. (Alamak, dah macam wakil rakyat pulak... hehehe).

1. Copy award dan letak di blog anda.
Dah buat pun, cantik tak? Menambahkan lagi seri blog ini!

2. Nyatakan 5 fakta tentang pemberi award ini.
- antara orang yang paling bertuah pernah saya kenali
- tak lokek, menghiburkan orang lain (terutama sayalah... masih merangkak dalam bidang ini)
- antara wanita yang ideal (isteri + ibu + penulis = berjaya)
- memiliki senyuman yang paling manis
- inspirasi diriku (dalam diam-diam)

3. Setiap blogger mesti menyatakan 10 fakta atau hobi diri sendiri sebelum memilih penerima anugerah seterusnya :

1 - Luaran nampak kasar, keras dan degil tapi sebenarnya, kalau seorang diri pantang dengar lagu yang syahdu atau baca cerita yang menyayat... airmata boleh berlinangan tanpa henti. Kononnya terlalu menjiwai, tetapi hakikatnya, terlalu sensitif. Aku teringat satu dialog filem yang tepat menjelaskan keadaan aku yang sebenar ....
"aku ini umpama kelapa... luarannya keras tapi isi dalamnya lembut dan mudah cair"

2 - Selalu memandang satu-satu perkara dari sudut positif. Perkara negatif adalah perkara terakhir yang akan datang dalam fikiran. Kadang-kadang, kalau selalu berfikiran positif pun tak elok, kerana gagal menilai keburukan yang nyata terjadi di depan mata. Aku teringat kata-kata seorang adikku...
"ada masanya akak, kita perlu juga fikirkan negatif... tak semuanya positif di muka bumi ini"

3 - Kedekut. Kalau sesiapa yang benar-benar mengenali aku akan tahu tentang perkara yang satu ini. Memang susah untuk aku belanjakan duit. Kadang-kadang aku rasa membazir belanjakan duit sesuka hati. Tapi, ada perkara yang memang tak boleh aku nak kawal. Aku ni memang penggila dan pengumpul vcd, dvd filem-filem Bollywood (Salman Khan saja...) Sanggup ikat perut semata-mata nak beli yang original.

4 - Paling dibenci adalah membeli-belah. Aku akan keluar cuci-cuci mata di pusat membeli-belah hanya kalau aku ada barang yang nak dibeli. Bila dah beli, balik terus. Tak suka menyimpang ke mana-mana. Bila ikut umi dan adik aku pergi shopping, setengah jam pertama, aku akan ikutlah tapi bila dah melebihi setengah jam, aku mula rimas. Aku pun tak tahulah dengan perangai aku yang satu ni. Kadang-kadang boleh jadi krisis dalaman sebab tak sanggup menunggu mereka yang memang penggila window shopping. Nasib baik tempat yang mereka selalu pergi window shopping dekat dengan kedai buku takpun kedai vcd/cd/dvd. Aku akan lepak kat tempat-tempat ni dengan aman sambil tunggu mereka berdua ini habiskan hobi mereka... bershopping.

5 - Sukar untuk menunjukan rasa marah. Selagi boleh disimpan.... rasa itu akan terus disimpan. Tapi kalau dah mula marah, selama-lamanya kemarahan itu akan kekal. Perangai aku yang satu ni kadang-kadang mengundang benci orang pada aku. Percayalah, aku dah cuba berubah untuk perangai aku yang satu ini, tapi rasanya seperti tak boleh. Aku pun rimas dengan perangai ku ini.

6 - Mudah tersentuh dan kerana itulah, ada ketikanya orang ambil kesempatan atas sikap aku ini. Puas aku cuba bina benteng diri untuk tidak mudah kasihankan orang. Tak kiralah macam mana cara aku cuba, mesti hati ini terperangkap. Bila hati dah terperangkap, susah pula aku untuk membebaskan diri dari dibelenggu rantaian orang-orang berkenaan. Sampai abah kata...
"izan, kasihankan diri sendiri baru kasihankan orang lain..."

7 - Lebih mengutamakan kepentingan keluarga. Aku sanggup melepaskan segala-galanya. Aku tidak boleh membayangkan dunia aku tanpa mereka. Bagi aku, keluarga aku itu dunia dan nyawaku. Apa juga yang terjadi, keluargaku nombor satu dan aku sendiri jatuh di tempat yang kedua. Dah terbiasa, itulah yang dididik sejak dari kecil dan itu yang akan aku praktikan. Insya-Allah, tidak akan berubah.

8 - Pelupa, dari zaman sekolah sehinggalah sekarang... pasti ada sahaja barang yang tertinggal dan adakalanya, kunci pun tertinggal. Bukan setakat itu saja, adakalanya, sedang sibuk buat sesuatu kerja dan sekiranya ada orang menyampuk, aku akan terlupa kerja apa yang aku buat sebelum itu. Letih juga dibuatnya, sebab aku akan ulangi semula perkara itu dari awal untuk mengingati kembali sesuatu perkara. Nak buat macam mana?

9 - Berkongsi rasa dan pengalaman dengan mereka yang selalu meletakan diri di tempat yang gelap. Kadang-kadang hati teringin untuk berkenalan dan bergaul dengan kumpulan 'kupu-kupu malam'. Kerana mereka juga adalah manusia, punyai hati dan perasaan. Kalaulah aku ada peluang itu, akan aku laksanakan sehabis-habisnya!

10 - Suka dengar muzik tak kira apa juga genre muzik. Selagi lagu yang didendangkan tak memberi impak pada telinga aku. Itu pun sudah bagus. Dua instrumen muzik yang paling aku suka adalah piano dan gitar. Tak boleh kawal diri kalau dengar lagu-lagu yang punya 2 instrumen ini. Lagu 'speak softly love' dan 'Hotel California' boleh buat aku terbang seketika. Petikan gitarnya terlalu asyik!

4 - Anda perlu memilih 10 penerima seterusnya dan terangkan tentang diri mereka

Yang ini aku tak rasa, aku mampu senaraikan nama-nama yang bakal menerima anugerah ini. Ada antara mereka yang telah aku tag sebelum ini, tapi macam biasa tak dilayan. Yang selalu melayan pun sudah disenaraikan. Jadi dengan berbesar hatinya, aku nak adik aku terima anugerah ini. Sebab aku tahu, dia tak akan mengelak dan blog dia memang layak terima anugerah ini. Ada kelas yang tersendiri dan menarik juga.

Sampai di sini dulu. Mata pun dah berat.



Sunday, May 17, 2009

Terima Kasih Cikgu...

Aku masih ingat lagi, ketika masih bersekolah dulu, hari inilah yang selalu aku tunggu-tunggu. Tak, bukan kerana aku berebut nak beri hadiah... (sebab aku ini antara orang yang paling berat nak beri hadiah pada orang lain) tapi sebab suka tengok muka cikgu-cikgu yang garang berubah jadi manis dan dipenuhi dengan senyuman.

Jelas lagi dalam ingatan, aku ini adalah antara budak yang paling nakal. Sejak di sekolah rendah sehinggalah tamat pengajian di peringkat universiti. Terlalu banyak pengalaman aku dengan cikgu-cikgu yang tak bisa aku lupakan.

Masa di sekolah rendah, aku antara pelajar yang boleh tahan juga glamer. Apa taknya? Suka sangat jadi tempelan. Apa jua pertandingan, aku pasti turut serta. Pernah juga dilabelkan oleh cikgu-cikgu, Shahaini budak nakal! Aku tak kisah.

Antara cikgu yang aku paling tak boleh lupa, cikgu Norlida, cikgu Noriah, cikgu Kassim, Mrs Selva dan cikgu Pn Nik Azniah. Kenapa? Ada sebabnya yang tersendiri. Cikgu Norlida... paling garang. Masa itu aku darjah satu. Macam biasa, masih mentah, selekeh dan nakal tahap Gaban. Aku takut dengan cikgu yang seorang ni sebab dia garang. Jarang tersenyum. Dia juga suka beri nasihat-nasihat percuma. Ada satu nasihat dia yang aku tak boleh lupa. Ketika itu, aku dipanggil berdiri di tengah-tengah kelas. Apalagi kalau bukan sebab aku memekak belakang kelas...(ironinya aku penolong ketua kelas waktu itu...). Tiba-tiba ada seorang pelajar darjah lima melintas di luar bilik darjah. Pelajar itu memang cantik, jalan bersopan macam itik dan semua mata pelajar tertumpu ke arahnya.

"Shahaini, cuba awak tengok kakak di luar tu. Jadi macam dia... cantik, kemas, sopan santun. Awak tu budak perempuan, bukan budak lelaki," ujar cikgu ku itu.

Dalam hati, aku ketawa sendiri. Aku tak akan dapat pernah jadi macam kakak itu. Sampailah hari ini, aku masih tak boleh jadi seperti kakak itu, walaupun dia itu kakak aku sendiri. Ya! Cikgu itu memuji Along tanpa tahu, itulah kakak kandung aku.

Kes di sekolah rendah yang aku tak boleh lupa pula, bila cikgu kelas, cikgu Noriah, lari meninggalkan kelas. Sebab? Tak tahan dengan perangai kami, pelajarnya. Dia mengajar di depan. Aku dan beberapa pelajar lain 'mengajar' sama di belakang kelas. Mulanya keadaan sikit terkawal. Aku masih ingat, cikgu Noriah panggil aku dan Faizal ke depan. Ketika itu, aku dan Faizal memang kawan baik. Aku sikap macho ala-ala tomboi dan dia pula sedikit lembut. Tapi, kenakalan kami dan mulut yang bising memang tak dapat siapa mampu kawal. Kami berdua disuruh berdiri di depan kelas. Cikgu Noriah sempat perli, suruh kami berdua tukar identiti. Aku tak kisah. Ketawa saja. Faizal terasa hati. Jadi bila disuruh balik ke tempat masing-masing...(duduk sebelah menyebelah aje masa tu) Faizal tunjuk protes. Seorang dah mula, semua pun tersampuk. Memang bingitlah keadaan kelas masa tu. Cikgu dah tak dapat kawal, jadi dia terus keluar dan balik. Takut juga satu kelas dibuatnya. Dua hari cikgu tak datang. Aduh, berdosa betul rasa hati. Tapi, Alhamdulillah, bila dia datang semula mengajar, keadaan kembali seperti biasa dan kami satu kelas minta maaf. Cikgu Noriah tak cakap banyak. Dia hanya senyum.

Meniti ke zaman sekolah menengah pula, perangai aku sudah sedikit berubah. Tak lagi mengacau atau buat kacau dalam kelas. Tapi, pantang ada waktu terluang... aku pasti akan duduk pot pet kat belakang kelas. Disebabkan perangai aku yang suka pot pet itulah, cikgu kelas aku Pn Nor telah memindahkan aku dan duduk di sebelah seorang pelajar genius akaun tapi amat minima ketika bercakap. Hanya Allah saja yang tahu, betapa bosannya dunia ketika itu.

Bila belajar di sekolah CBN pula, lain ceritanya. Al-kisahnya, aku dah tak mampu tahan mata dari tertidur semuanya kerana subjek bisnes. Beberapa kali juga aku menguap. Tapi, Harvinder ada cara penyelesaiannya. Ketika itu kami duduk sebelah menyebelah. Senjata yang kami gunakan hanyalah pensil dan kertas. Mungkin kami tak dapat bercakap tapi kami berborak dengan kertas tu. Macam-macam juga yang kami borak termasuklah mengumpat. Betul. Tak tahu macam mana, cikgu Zakiah dapat menghidu aktiviti kami itu dan... nyaris dibawa berjumpa pengetua. Kalau ingatkan balik peristiwa tu, mahu pecah perut dibuatnya. Masing-masing panik dan siap merayu pada cikgu Zakiah.

Ketika di ASWARA pula, aku semakin matang. Dah tak macam dulu-dulu. Suka buat kacau dan buat bising. Tapi memang satu saja tabiat aku yang tak boleh dibuang. Pot pet pot pet. Teman pot pet aku di ASWARA pula, Fatimah. Tapi tak sampai tahap kritikal. Masing-masing pandai kawal diri.

Aku tidak akan lupakan mereka. Cikgu-cikgu yang tak pernah berputus harap mengajar aku dan mendidik anak-anak bangsa. Mereka tak pernah lokek mengajar. Ilmu dan didikan mereka itu yang membentuk para pelajar sehingga mencapai tahap yang paling tinggi. Tetapi, mereka tetap di situ, di tempat yang sama. Adakah lagi perkara yang lebih mulia dari itu? Sesungguhnya, cikgu bukan sahaja mengajar dan mendidik tetapi membekalkan pengetahuan dari dalam diri untuk pelajarnya menempuh segala perhitungan di dunia. Di sini, aku ingin mengucapkan selamat hari guru... kepada semua guru yang telah mengajar aku, dari sekolah rendah sehinggalah aku di peringat universiti. Terima kasih, cikgu!

Puteri-puteri St Mary dan Puan Nor

Muka-muka pelajar nakal CBN

Puan Zakiah dan Puan Norhayati bergambar kenangan dengan 3 pelajar paling nakal...
Harvinder, Nalini dan aku.

Yang Selalu Terlewat...

Kadang-kadang...
manusia terlalu ego.
Sukar untuk melafazkan kata-kata...
sayang, rindu, kasih dan cinta.

Namun...
Ada juga perkataan yang selalu
meluncur laju di hujung bibir...
tanpa mengira luka dan duka...
benci, menyampah dan mampuslah kau!
Memang sangat senang untuk diluahkan.

Kenapa?

Soalan itu bukan ditujukan pada sesiapa...
tetapi soalan itu khas untuk aku!

Kadang-kadang...
perasaan tidak yakin membuatkan kita membenam saja
kata-kata itu dari terus bersuara.
Takut ungkapan kasih rindu dan sayang...
dibalas benci, tak malu dan pergi berambuslah kau!

Aku sedang berbicara tentang seseorang...
seseorang yang sentiasa aku lupa tika hidupnya...
dan jarang aku ingat tika matinya...

Ketika aku baca satu entri di blog adikku.
Si dia kembali mengambil ruang dalam hati dan fikiranku.
Aku memang lupa tarikh itu...
Tapi aku tak pernah lupa insan itu...
seseorang yang aku gelar Wan (nenek)

Cukup aku katakan...
tika hidupnya... hatiku penuh dendam...
tika perginya... hatiku terselit rindu...
dan kini... rasa yang ada hanya satu...
dan biarkan rasa itu kekal bersamaku...

Aku pernah katakan pada Along...
dia hidup atau mati...
sama saja, tiada beza...
dia tak pernah peduli...
aku tak akan pernah meratapi...
itulah egonya seorang aku.
Allah saja tahu kata-kata itu hanya satu dusta...
sekadar ayat untuk menutup dendam yang bernama rindu!

Yang pastinya...
aku selalu terlewat...
Terlewat dalam mengenal rindu
lewat dalam merasa sayang...
biarkan kelewatan itu...
kerna kalau aku tahu dari awal...
ratapan ini akan pasti jadi lebih panjang...

Pesanku...
Kepada sesiapa juga yang selalu bertamu...
Sayangilah sementara ada...
Jangan sesekali pernah jadi aku...
hanya tinggal kenangan untuk jadi ratapan...
Dan kepada sesiapa juga yang terlintas di ruangan ini...
ku pohon
sama-samalah sedekahkan Al-Fatihah...
untuk insan yang melahirkan abahku...

Halimah binti Raja Muda Zakaria...
Semoga rohnya dicucuri rahmat...
Amin...

Saturday, May 16, 2009

Rindu yang sedikit terubat...

Azwa Kassim... sahabatku!

Kata orang...
patah 'kan tumbuh,
hilang 'kan berganti...

Patah hati...
Biasalah, nama pun manusia. Hati kita dijadikan terlalu lemah. Mungkin tidak bagi orang lain, tapi ya bagi aku. Ramai kata aku ni hati kecil. Cepat terasa dan sensitif.

Aku nak buat macam mana kalau Maha Pencipta yang jadikan aku berjiwa begitu. Sepertimana kamu semua tak mampu ubah jiwa Bush, begitu juga dengan aku. Bukan aku nak salahkan seratus peratus kerana dah ditakdirkan begitu. Aku benar-benar ingin berubah. Tapi, aku masih tak mampu nak berubah. Mungkin ada yang bangang dengan kesensitifan aku ni(ada perkataan ini ke?) Kalau terima aku, jadi hormatilah perasaan aku yang satu ini. Bukan semua boleh berubah ikut kehendak orang lain. Hati kita dijadikan bukan berdasarkan undi sms!

Setelah beberapa minggu dilanda patah hati terhadap seseorang, semalam aku dipertemukan semula dengan salah seorang sahabat karib aku. (Sahabat karib...?) Dia memang sahabat aku yang telah lama menghilang. Sahabatku yang seangkatan Ayshah, Harvinder dan Fatimah. Inilah dia, sahabat aku yang dulunya hilang. Alhamdulillah, jodoh persahabatan kami dilanjutkan lagi.

Kali terakhir aku berjumpa dia, empat tahun lepas. Ketika kami masing-masing belajar di universiti yang sama. Itulah kali pertama dan terakhir kami berjumpa setelah berpisah selepas tamat SPM di St Mary.

Rindu? Allah sahaja yang tahu. Setiap kali berborak dengan Harvinder... adakalanya terpacul juga nama dia. Masing-masing tak tahu tentang khabar beritanya.

Semalam, Allah pertemukan kembali kami berdua. Walau hanya melepaskan rindu diruangan chat, aku bersyukur kerana tahu dia berada dalam keadaan selamat. Sekurang-kurangnya, terubat sedikit rindu aku padanya. Namun kali ini, amat mustahil untuk bertemu dengan dia, sebab dia nun jauh belajar di Sabah. Belajar? Betapa bertuahnya dia dapat melanjutkan pelajaran.

Dia adalah insan pertama yang menyambut kedatangan aku ketika menjejakkan kaki di St Mary. Memang keadaan terlalu asing bagiku. Mana taknya, semua pelajar perempuan dan aku sudah terbiasa bergaul dengan pelajar lelaki.

Azwa Kassim... dialah insan pertama yang menyuntik minat dan menyerlahkan bakat aku dalam penulisan. Sebelum aku mengenali Azwa, aku menulis untuk suka-suka. Dia pun suka baca puisi yang aku hasilkan. Namun, ada satu peristiwa yang membuatkan aku gila dan terus ketagih untuk menulis.

Aku masih ingat lagi. Waktu itu hujung tahun 1999. Sekolah ada mengadakan lawatan sambil belajar ke Petrosains Petronas KLCC. Seperti biasa, aku tak dibenarkan pergi. Aku pun tak kisah. Dah biasa. Harvinder dan yang lain-lain pergi. Aku tahu mereka seronok kerana dapat belajar sesuatu.

Aku dan Azwa beserta dua pelajar yang lain, ambil keputusan untuk tak mahu serta. Azwa tak pergi, sebab temankan aku. Terharu aku dibuatnya.

Bayangkan, apa yang boleh kau buat sepanjang ketiadaan semua pelajar yang memakan masa sehari. Kelas kosong... macam sekolah mati. Aku mengadu pada Azwa, yang aku bosan tahap maksima. Azwa senyum saja. Dia mengeluarkan sebuah buku latihan kosong. Aku pandang dia, dan dia terus menulis sesuatu di atasnya.

"Kau sambung cerita ni... jadikan cerita yang menarik," katanya dan senyum.

Aku terus membaca dan menyambung cerita itu. Tanpa henti. Tak sedar, habis satu buku. Selesai saja, dia ambil dan baca hasil cerita itu.

"Kau bosan lagi?" soalnya.

"Tak, seronok pulak," kataku.

Bermula dari saat itulah, pantang ada waktu terluang... bertemankan kertas atau buku kosong dan sebatang pen. Aku akan menulis cerita. Apa sahaja yang aku nak tulis, aku akan tulis. Dan Azwalah orang pertama yang akan baca hasilku.

Sekarang, aku dah dipertemukan kembali dengan Azwa. Aku mahu dia tahu, betapa aku berterima kasih kepadanya. Dia tidak pernah mentertawakan hasil tulisanku. Dia tak pernah mengutuk tetapi selalu memberi nasihat. Peliknya, dia lebih muda beberapa bulan dari aku, tapi setiap kali bersama dia... aku bagaikan seorang adik.

Azwa... kalau kau terbaca ruangan blog aku ini, aku cuma mahu kau tahu... aku terlalu rindu saat-saat kita bersama dulu. Duduk dalam kelas di ruangan paling belakang. Pantang ada masa terluang, kita akan bersembang tentang hampir apa saja. Aku terharu, kau masih lagi ingat tentang apa dan siapa yang aku suka. Kau buatkan aku tergelak besar bila kau menyoal aku....

"Kau simpan lagi gambar si ****** dalam dompet kau, ya?"

Itulah aku, Azwa. Kalau dah sekali aku suka... sepuluh tahun, atau 10 keturunan (hidup lagike?) aku akan terus suka. Kau pun tahu, bukan?

Aku harap, selepas dari detik ini... tidak ada lagi perkataan berpisah untuk kita. Kau perlu tahu, kau ada aku... dan aku ada kau. Insya-Allah.

Bagi mereka yang sentiasa mengingati....

Entri kali ini aku dedikasikan khas untuk empat insan yang tak pernah jemu bertanyakan tentang aku. Kepada mereka yang selalu menelefon tapi, panggilan mereka itu aku tak jawab. Maaf, bukan kerana sibuk atau tak sudi tapi kerana diri ini masih belum mampu.

Ayshah dan Harvinder. Harap kamu berdua dapat memahami keadaan diri ini yang tiba-tiba serba tak berkemampuan. 2 minggu ini, perbualan kita tak pernah lama di hujung talian, gara-gara telinga aku yang kuat berdenyut. Tak mampu menahan desingan suara yang datang dari muncung telefon. Maafkan aku, perbualan kita selalu tak berkesudahan.

Fatimah..., kejadian hari itu langsung tak merubah apa-apa pada hati akak. Cuma akak agak terkilan tidak dapat bermalam di rumah awak seperti biasa sambil berbual panjang berceritakan kisah kita. Ingat dik, mungkin akak jarang menelefon awak... tapi awak sentiasa akak ingat. Biarlah ada insan yang sudah tawar hati dengan akak, sebab akak pun dah lama patah hati.

Salwa..., memang akak nak sangat berbual panjang dengan awak. Setiap kali awak menelefon akak, akak dah ada di pejabat. Tak sopan pula rasanya jawab panggilan waktu kerja. Ditambah pula dengan masalah pendengaran. Akak tak mahu ganggu konsentrasi pekerja lain. Percayalah, sekarang ini akak bercakap dengan suara yang lebih kuat dari biasa. Kadang-kadang, suara sendiri pun akak tak dengar.

Harap kamu semua sihat... dan aku berdoa kamu tidak akan pernah merasai sakit yang sedang aku alami. Sakitnya memang amat menyeksa diri.

Anugerah Bertuah...


Sebenarnya aku masih tak berapa nak faham, apa tujuan anugerah ini? Memandangkan nama anugerah ini pun 'Bertuah' jadi aku anggap amat sesuailah dengan aku. Terima kasihlah cik Hafirda kerana memberi saya peluang merasa anugerah ini.

Senaraikan 10 orang untuk terima anugerah bertuah ini...

Malangnya, aku terpaksa padam 0 di belakang 1. Jadi aku pilih Shana Zahar, adik aku sebab bila aku senarai nama dia, tak pernah dia tolak. Hati aku juga yang senang, ada jugak yang nak melayan.

Maaflah, mungkin terkasar sikit. Masih belum sihat.


Monday, May 11, 2009

Bertambah teruk!

Sudah dua doktor, dua klinik... aku dah pergi. Gara-gara nak sembuhkan telinga yang semakin hari semakin parah.

Doktor pertama aku jumpa, tenang saja raut wajahnya. Tak periksa banyak. Cucuk telinga aku dengan alatan khasnya.

"Telinga awak ada infeksi," katanya.

Itu aku pun tahu. Semua orang pun tahu. Yang aku nak tahu, kenapa aku seorang saja asyik alami masalah ini. Aku datang berjumpa mereka sudah tentunya sebab hendak kurangkan kesakitan yang aku kira sudah tidak mampu aku tanggung.

Dia beri aku ubat tahan sakit (ponstan) antibiotik dan ubat titik. Sebelum mengangkat punggung, minta diri. Doktor sempat berpesan pada aku.

"Lainkali jangan biar air masuk dalam telinga, sebab itulah telinga mudah kena infeksi," jelasnya bersungguh.

"Yang doktor bagi ubat ni, ubat air untuk titik ke dalam telinga, betul tak? Kalau tak kering, tak melarat ke telinga saya nanti?" soal aku. berhak untuk tahu. Yang nak pakai ubat ni pun, di telinga aku.

"Air dengan ubat lain...," ujarnya ringkas. Kalau boleh lebih ringkas dari itu pun dia mahu.

Aku keluar dari klinik. Perasaan tidak puas hati memuncak. Aku pendam. Siapalah aku nak dibandingkan dengan tuan doktor. Ini bidang dia, dia lebih arif dan tahu. Tapi, ini telinga aku. Aku yang nak memakainya. Aku yang menanggung sakitnya.

Seminggu, aku patuhi aturan waktu mengambil ubat. Sehari 3 kali, 2 titik setiap kali. Bayangkan air yang dah bertakung. Aku rimas. Sumpah. Setengah minit kemudian, aku sengaja keluarkan air. Sebab dah pekak telinga dibuatnya.

Seminggu, telinga aku makin bertambah teruk. Kemuncaknya semalam. Tak dengar satu hal, berdenyut satu hal dan paling menyakitkan aku, air dah keluar dari telinga. Meleleh, berbau pulak tu. Bukan setakat air, (aku kira air sisa ubat yang tertinggal, sebab tidak berwarna. Warnanya jernih dan mencair) di tambah pula, darah pun sudah mula keluar.

Aku jadi tidak selesa. Rasa mahu saja aku pergi jumpa doktor hari itu dan campak ke mukanya ubat yang diberikan. Aduh! Sakit! Berdenyut, menangkap setiap urat-urat otak. Berdenyut... Allah saja yang tahu.

Abah tak puas hati, diusung pula aku ke klinik lain. Klinik yang pernah ku kunjungi dulu. Doktor kali ini, lebih mesra alam. Macam biasa, dia juga mencucuk lubang telinga aku yang kecil ini.

"Ada infeksi, bengkak besar dan juga dinding telinga yang telah luka," jelasnya.
"Awak ada cucuk telinga dengan besi ya?" soal doktor itu.

"Eh, gila nak cucuk telinga sendiri dengan besi, mestilah pakai pengorek telinga kapas tu," bentak aku.

Doktor hanya senyum. Mungkin sengaja nak menyakat. Al-maklumlah, muka pesakit mencuka.

"Jangan masukkan air dalam telinga ya lain kali,"

"Saya terpaksa masukan air dalam telinga, sebab ada seorang doktor bagi saya ubat titis... saya dah tanya, tak memudaratkan ke? Dia jawab, air dan ubat lain," aku memprotes, meluahkan rasa marah. Biar si doktor tahu, aku bukannya bodoh suka-suka isi air dalam telinga. Apa? Ingat lubang telinga ni, lubang tangki air ke?

Doktor menggeleng. Dia kata, sepatutnya doktor tak beri pesakit ubat titis...

"Itulah saya beritahu dia, tapi siapalah saya ni? Dia kan doktor, dia lebih arif," luahkan amarah yang ada. Kesian doktor tu, tak semena-mena dia terkena tempias kemarahan aku.

Hari ini aku tak larat dan tak mampu memandu ke pejabat. Aku tak tidur sepanjang malam. Sampailah sekarang ini. Macam manalah aku nak tidur? Setiap saat berdenyut. Tak cukup berdenyut, air tak henti mengalir keluar. Bau ubat pulak tu! Aduh... dia berdenyut lagi! Macam tahu aje aku tengah mengumpat tentang dia dalam blog ni.

Satu sebab utama yang buatkan aku menyampah jumpa doktor. Sebab inilah, aku selalu sangat jadi bahan ujikaji. Dulu, pernah sekali aku datang sebab sakit gastrik, ubat pecah lemak yang dia beri. Kapsul merah kelabu, harga boleh mencapai seratus satu kotak.

Aku tak faham, apa kena mengena aku yang gastrik dengan ubat pecah lemak. Bukan setakat ubat pecah lemak yang dia mahu beri pada aku, dia turut mengesyorkan aku beli ubat penahan nafsu makan. Mak aih...! Ingat aku ni cop duit. Pergi klinik sekali sampai habis beratus!

Sakit telinga aku ni semakin menyeksa. Rasanya nak saja tukar dengan telinga lain. Kalaulah ada, betul tak? Buat masa ni, aku harus bersabar dan bertahan. Aduh... pedihnya! Telinga aku kembali berdenyut mengikut alunan lagu rancak ini. Okey, tandanya aku perlu berhenti.

Sunday, May 10, 2009

Kau ratuku...


Dia... seseorang yang selalu ada.
Kata-kata tiada makna bila bersamanya.
Sayang aku padanya menandingi kasihku pada diri sendiri kerana tanpanya, tiadalah aku di muka bumi ini.

Sejak menjengah ke usia dewasa ini, gerak-geri dan kata-kata seakan kaku dan membeku. Antara malu dan berat mulut untuk mengaku, aku sentiasa rindu dan masih memerlukanmu dalam hari-hari yang ingin dan akan aku lalui. Sejak bergelar dewasa juga, aku cuba membataskan diri dari terus bergantung. Kononnya ingin cuba hidup berdikari tanpa menyusahkan orang lain. Terutama sekali dia. Namun hakikat yang satu ini perlu aku akui, biarpun sejuta tahun akan datang... aku tetap kecil di matanya kerana dia seorang ibu, mentor yang paling ideal dan abadi untuk diriku.

Sejak dari kecil, mulut ini telah terbiasa memanggil dia sebagai emak. Bila beransur remaja, emak bertukar jadi umi. Apa pun juga gelaran... mama, mummy, emak dan umi, tidak pernah mengubah kedudukan dan tanggungjawabnya sebagai ibu. Pada umi, masalah yang membelit jiwa seakan terpadam dengan hanya meluahkan saja rasa itu. Sudah 26 tahun, aku masih tetap memerlukan umi di sisi. Bagi menempuh hari-hari yang dipenuhi dengan segala onak berduri. Tangis yang hadir dan dusta kehidupan selalu mengerdilkan diri. Semua itu seakan debu halus yang tidak akan bisa menandingi kehebatan kasih sayang umi, kepada kami anak-anaknya juga kepada abah, suaminya.

Bagiku, umi adalah ratu hidupku. Tanpa umi hidup terasa pincang. Sesungguhnya, akulah insan yang paling bertuah... kerana ditempatkan di dalam rahim umi. Seorang insan yang cekal, tabah dan paling penyayang. Tiada insan lain setanding umi. Umi ratu dan segala-galanya bagiku. Pendek kata, umi... Izan terlalu sayang... sayang umi. Maaf kerana ada masanya, aku ini menyakitkan dan mengguris perasaanmu.

Selamat hari ibu... untuk umiku Shaharum Bariah Osman.
Ungkapan kata-kata ini terlalu kecil kalau hendak dibandingkan rasa yang ada di dalam.
Izan sayang umi. Dulu, hari ini, esok dan selama-lamanya.

Friday, May 8, 2009

Buat Kak Umaira...

Entri kali ini, khas untuk kak Umaira yang sudi memilih nama saya untuk diTAG. Orang dah jual, takkanlah kita tak nak beli, betul tak? Saya setuju kata kak Umaira, melalui TAG inilah kita dapat kenal dan lebih mesra. Mudah-mudahanlah ya! Jadi, tak nak buang masa lagi, saya dengan rela hati dan berbesar hati menjawab TAG dari kak Umaira, yang pada pandangan saya tak pernah lokek. Sayang akak...!

1 - Apakah perkataan pertama sekali anda ucapkan kepada si dia dan kemudian menjadi suami anda?
Rasanya tak sesuai untuk saya jawab, sebab saya ini masih bujang. Lagipun tak ada lagi yang istimewa. Jadi, doa-doakanlah ya...

2 - Sila berikan dua contoh alat-alat atau sumber yang anda gunakan atau lakukan untuk memudahkan kerja anda. Tak kisahlah apa alat atau sumber sekalipun asal boleh diaplikasikan.

a) membuka pintu rumah atau kereta
- kunci
- screwdriver... (pernah terkunci dan lupa bawa kunci. Nasib baik ada screwdriver atas para. Apa lagi, jadi tukang pecah rumah sekejap)

b) mencucuk socket plug
- lidi (batang satay)
- capai apa-apa yang panjang dan muncung tajam...

c) simpan air minuman
- dalam botol air yang memang dibeli khas (isi dalam peti ais...)
- dalam thermos untuk air panas

d) ketika black-out
- tidur... masa inilah alasan kukuh untuk tidur. Kalau ada bekalan elektrik, pagi bertembung pagi tak akan tidur, sibuk melayar internet. Hancur...hancus!
- teringat sebuah lagu Hindi... Chandni Raat Hai, Tu Mera Saat Hai... (sebab dalam filem, lagu tu keluar masa tak ada lampu, hero kacau heroin bertemankan sinaran bulan yang samar-samar. Adus, romantiknya!)

e) meluahkan rasa hati
- rasanya, akulah orang yang paling susah nak luahkan rasa hati setiap kali ditimpa masalah. Kalau setakat marah, nak luah tak puas hati... muntahkan dalam blog saja. Tapi kalau masalah yang berat-berat selalunya simpan dan pendam dalam hati. Bila dah membusuk barulah terluah sendiri.
- bila dah tak tertanggung sangat.... keluargalah tempat utama kuluahkan rasa, lepas tu ada tiga orang lain yang selalu jadi mangsa aku. Maaf ya... kamu tahu siapa kamu. Hehehe

f) Siang ikan
- aku! Paling gemar siang ikan tongkol. Darah ikan tu pekat macam darah manusia. Suka juga main-main dengan darah ikan tongkol. Calit sikit kat tangan, pergi tunjuk kat Ayuz... boleh lari lintang pukang budak tu. Ayuz takut darah... kelakar betul. Memang aku suka sakat orang. Kadang-kadang buat benda sama kat umi... tapi abah yang selalu sampuk...'izan, bila kau nak dewasa ni?'
- Abah! Masa kecik-kecik dulu masa abah siang ikan, aku suka tengok. Kadang-kadang lepas habis abah menyiang ikan, aku pulak yang konon-konon siang isi perut ikan. Sekarang dah jarang siang ikan, sebab dah lama aku tak ke pasar. Semuanya sebab sibuk sangat dengan tugasan. Rindu pulak nak ke pasar, bau ikan-ikan. Syok!

g) Susah buang air besar
- makan buah betik banyak-banyak.
- minum air suam pagi-pagi. Gerenti, 5 minit lepas tu selalulah buang air besar.

h) di mana anda simpankan dokumen penting
- semua abah dan umi yang simpan.
- yang ada pada aku, kad pengenalan. Dalam dompet, bawah....... tut...tut...tut!

i) Katakan ribut melanda dan pakaian anda melayang sama, apa yang patut anda tutup bagi mengelak rasa malu....
- aset penting setiap wanita... semestinya!
- bahagian bumper! Umi kata, lokasi paling bahaya... saiz bumper Toyota Harrier.

j) apa yang anda guna untuk potong kuku?
- pisau! Kadang-kadang, suka potong guna pisau. Entah, suka sangat tengok pisau potong kuku. Laju aje.
- Kecik-kecik dulu suka sangat gigit kuku. Sebenarnya, bawa ke tua. Sampai sekarang pun suka gigit kuku.

k) melihat waktu
- jam tangan
- pandang langit je. Gelap sikit, tandanya nak malamlah.

l) kalau badan terasa panas?
- mandi terus. Berkubang lama-lama dalam bilik air.
- dalam bilik sendiri. Kunci pintu, bukak aje baju. Seronok!

m) kalau ternampak pencuri
- lapor polis ... teringat satu kes di KL, aku ternampak mat-mat Indon seluk saku depan mata. Aku nak pergi aje terjah, tak pun bagi satu penumbuk... tapi, mujur ada budak tahan. Kalau tak... entah-entah aku pun akan mati kena letuk.
- telefon polis.... tapi sempat ke polis datang?

n) Kalau terjumpa dengan duit RM50.00 dalam longkang yang dalam, bagaimana anda ingin mengambilnya
- Setakat ni memang tak pernah lagi.
- buat tak tahu ajelah. Dah dalam longkang.

0) Soalan akhir, masa tidur apa yang anda suka peluk
- bantal busuk, bantal peluk dan peluk diri sendiri.
- Patrick! Patung tapak sulaiman yang seksi memakai boxer. Sedap... lena tidur!

Terima kasih kerana anda seorang yang penyabar dalam memberi keterangan anda. Sila tag soalan ini kepada rakan-rakan anda dan apa kata mereka.

Tak boleh nak balas balik pada Hafirda, kak Bikash, Hanny dan Rehal Nuharis. sebab nama dmereka-mereka pun ada dalam list kak Umaira. Lagipun, mereka ni layan tag, walaupun suka simpan hutang lama-lama, dorang tetap jawab. Hehehehe.

Jadi, saya dengan senang hati nak hantar tag pada yang akan melayan ruangan tag saya.

Shana Zahar
Nouri Salwa
kak Qaseh Qaisara
kak Dinaz Salsabila
kak Eny Ryhanna

Thursday, May 7, 2009

10 Fakta Mengenai Diri Seorang AKU!

Hari ini dapat peluang berehat. Jadi aku ambil peluang untuk menjawab serangan-serangan TAG dari kedua-dua adik yang memang nakal tahap GABAN! Tag pertama dari Hafirda dan kedua si Nuharis, tapi TAG yang sama. Layan! Si Nuharis memang sengaja aniaya orang! Lama menyepi... tup tup.... menyerang orang dengan TAG. Tak apalah... lagipun, untuk suka-suka. Tenangkan sikit ruang blog aku ni. Selalu sangat serius... kita santai sikit.

~**...10 Facts about Me!...**~

~1~
Sayang Budak...
Kadang-kadang, suka hati aku aja mintak pinjam anak orang.
Nak dukunglah, nak timang-timanglah.
Pendek kata, memang pantang nampak budak.
Budak-budak pulak takut dengan aku.
Macam mana tu?


~2~
Mudah Sayang Orang...
Kadang-kadang rimas dengan perasaan yang satu ni.
Selalunya, aku mudah sangat percaya dan sayangkan orang.
Aku selalu percaya, Allah dah berikan aku terlalu banyak.
Keluarga yang bahagia, tubuh badan yang sihat.
Alhamdulillah, aku jarang bersedih dan sentiasa dikelilingi rasa sayang.
Rasa sayang yang banyak dari umi, abah, along dan ayuz.
Sahabat-sahabat, Miqhail, abang iparku(merasa juga ada abang weh!) dan Imaan
Mungkin sebab itulah, aku selalu ingin berkongsi rasa sayang itu dengan semua.
Terkadangnya, sedih yang aku alami tak pernah kekal kerana ada mereka.
Adakalanya pula, kasih sayang aku didusta...
Entahlah...

~3~
Suka Lemas Dalam Lamunan Sendiri...
Pantang ada masa terluang.
Ada saja perkara yang aku fikirkan.
Kadang-kadang, aku mengembara terlalu jauh dalam fantasi.
Lupa dan terleka untuk kembali ke alam nyata.
Sungguh... alam itu terlalu indah.
Memang... fantasi itulah duniaku!

~4~
Marah Tahap Tsunami...
Dulu, masa ketika aku masih lagi belum matang, aku mudah marah.
Along kata sebab darah panas.
Sekarang, ada kurangnya... sebab boleh dipendam.
Tapi bila dapat sekali marah... Hitler pun kalah!
Tak percaya? Tanyalah mereka yang pernah kena...
Mesti mereka ada jawapannya...

~5~
Taj Mahal dan Tanah Arab
Kalau boleh, sekali dalam hidup pun jadilah.
Aku teringin benar nak pergi melancong ke India dan Tanah Arab.
Mengutip kisah cinta agung dan kehebatan Tamadun Islam.
Amat mendambakan hari itu akan menjelma.
Insya-Allah...

~6~
Suka Binatang
Aku masih ingat lagi... ketika di ASK dulu, aku suka bermain dengan ulat gonggok!
Dek Dang (Ejam) pernah cakap aku ni bersikap kebinatangan...
terbeliak biji mata aku bila dengar dia cakap macam tu.
Kemudian dia betulkan balik ayatnya...
"Akak ni suka binatang jugak ya"
Mungkinlah... kat rumah aku ni pun aku ada pelihara
2 ekor kura-kura, 9 ekor ikan puyu... 4 dah mati, ikan kap, ikan koi, ikan bandaraya,
ikan jelawat, sebelum ni ikan laga, pernah jaga ulat gonggok....umi marah, terpaksa lepaskan
ada rancangan nak pelihara kucing tapi... tak biasa... tak berani!
Selalu tumpang bermanja dengan kucing-kucing Fatimah aje.

~7~
Mudah Tersentuh, Cepat Menangis
Nampaknya kasar... yalah bekas tomboi kan?
Tapi tak boleh tengok benda-benda yang menyayat hati
kadang-kadang boleh menangis, susah pulak nak berhenti.
Kadang-kadang, benda kecil pun boleh menggamit sayu hati.
Orang kiri kanan...
entahlah...

~8~
Sentiasa Ingat
Kepala aku dah macam mesin perakam.
Apa juga yang orang lain cakap, aku akan ingat.
Kadang-kadang bila aku cerita balik pada mereka....
ini ayat yang selalu mereka kata...
"Pernahke aku cakap macam tu?"
Kalau tak pernah macam mana aku ingat...
Jawablah... jangan tak jawab pulak!

~9~
Tak Suka Menunggu dan Ditunggu
Ini ada kaitan dengan janjilah.
Kalau janji pukul sekian-sekian, aku tahu orang itu perlu ada seperti yang dijanjikan.
Aku tak suka buat orang tertunggu-tunggu dan aku tak suka aku tertunggu-tunggu.

~10~
Sayang sangat sangat sangat SAYANG!
Aku pernah sentuh tentang perkara ini dalam entri yang lepas-lepas.
Aku teramat menyayangi keluargaku...
Tak mahu sesekalipun ditinggalkan atau jauh dari mereka.
Merekalah nyawa, dunia dan akhirat aku.

Nak Tag Siapa?
Tiada sesiapalah. Tak boleh nak fikir sekarang ni.

Fuh! Panjang betul, itu pun sebahagian kecil aje.
Harap Hafirda dan Nuharis (pasangan ideal!) larat membaca jawapan TAGnya.


Wednesday, May 6, 2009

Beliau bukan Dia... dan Kisah Seorang Teman!

Beliau bukan Dia

Sejak kebelakangan ini, aku rasa sedikit terbeban dengan tugasan. Tak terkejar. Siang dengan timbunan kerja di pejabat. Malam, tuntutan 'hutang-hutang' manuskrip novel FP, kanak-kanak dan lakonlayar yang masih tak terjengah. Aduh, bertambah perit dengan kesihatan yang masih lagi belum pulih sepenuhnya. Alahai telinga, agak-agaknya bilalah kau nak sembuh ya?

Tak baik merungut, rezeki sedang datang mencurah, patutnya aku lebih bersyukur. Benar. Alhamdulillah, tapi terkadang rasa macam tak dapat tunaikan tanggungjawab dengan sewajarnya. Mujur masih ada yang memahami dan memberi waktu untuk aku lanjutkan usaha menyiapkan tuntutan hutang-hutang. Insya-Allah, aku akan siapkan juga.

Tugasan aku di pejabat baru, tidaklah begitu mencabar. Kalau dulu aku sibuk keluar cari berita, kali ini aku hanya duduk berjam-jam, bercinta depan komputer. Kalau dulu aku sering berkelakuan nakal, selalu menjenguk ruang blog ketika kerja... sekarang tidak lagi. Kebiasaannya waktu terluang pun hanya ketika waktu rehat. Tengah hari. Aku sengaja tak nak keluar makan. Jimat! Ekonomi meleset sekarang ni! Ingat tu!

Tugas baru aku banyak melibatkan penggunaan kamus. Jadi, semalam ketika aku sedang layan siapkan tugasan yang seakan tak akan sudah, bos datang di muka komputer. Katanya, dia nak pastikan tiada kesalahan. Maklumlah, dia tu merangkap ketua editor. Sedang sedap melayan lamunan sendiri, bos pandang tepat ke muka aku yang sedia ada bulat.

"Awak dah rujuk kamus dewan?"

Aku sekadar mengangguk. Sakit di telinga membebankan mulut untuk bersuara.

Dia pantas menekan butang papan kekunci komputer. Dia melayari laman web karyanet. Tempat rujukan maya yang aku kira tepat dan mudah.

Dia menaip perkataan 'beliau'.

Maksud bagi perkataan 'beliau' yang tertera di atas skrin buatkan aku jadi beruk seketika. Terpampang sejelas-jelasnya di laman Karyanet.

Beliau

kata ganti diri ketiga (untuk orang yang lebih tua atau orang yang dihormati) :
mentuaku seorang pendiam, ~ tidak suka anak-anaknya terlampau banyak bercakap.


Disebabkan maksud yang tertera itu membuatkan aku terpaksa mengubah segala-gala kata ganti diri ketiga 'dia' dengan 'beliau'. Masalahnya, aku tak boleh terima penggunaan 'beliau' merujuk kepada orang biasa. Rasa terbunuh pengetahuan selama aku belajar sebelum ini. Puas cikgu di sekolah rendah, menengah menegur aku dan rakan-rakan tentang penyalahgunaan perkataan beliau. Aku sudah terbiasa menggunakan perkataan 'beliau' itu untuk seseorang yang dihormati. Ah! Aku betul-betul keliru. Aku yang salah atau memang benarlah penggunaan 'beliau' dalam buku konvo ASWARA tempoh hari. Yalah, masing-masing dalam buku itu menggunakan perkataan 'beliau'. Rosak pemahaman aku. Hanya kerana satu perkataan itu, aku rasa bodoh sangat.... juga tertipu.

Aku menurut. Dalam hati, Allah saja yang tahu.


Kisah seorang teman

Beberapa hari lepas, sedang aku sibuk bermesyuarat dengan bos, aku dapat satu panggilan dari seorang teman. Bos beri peluang untuk aku menjawab. Aku pun, berbisik dan beritahu yang aku sedang dalam bilik mesyuarat. Lantas, aku matikan suara telefon. Tak mahu terus diganggu.

Tak sampai setengah minit, telefon aku bergetar di dalam kocek seluar. Geli-geleman aku menahan getarannya. Bukan sekali, tetapi berkali-kali. Sehinggalah tamat mesyuarat yang mengambil masa selama 15 minit.

Sepanjang di bilik mesyuarat otak aku hanya memikirkan siapalah yang menelefon aku. Pantas, aku mengeluarkan telefon bimbit. 15 panggilan tak berjawab (semuanya dari orang yang sama) dan satu pesanan ringkas.

Aku belek pesanan itu. Aduh! Sakit tak terkira dibuatnya. Kenapalah sesuka hati teman aku ini menuduh aku yang bukan-bukan? Katanya aku sudah sombong dan tak mahu lagi mempedulikannya. Makin hari makin bertambah susah untuk bercakap dengan aku. Mengalahkan menteri!

Kalaulah ikutkan hati, mahu sahaja aku buat panggilan terus padanya untuk menerangkan keadaan yang sebenar. Tapi, aku rasa hanya sia-sia. Bagi aku, kalau dia seorang teman, yang dah lama mengenali aku, sepatutnya dia faham tindakan dan kelakuan aku. Masakan aku boleh berubah dalam sekelip mata. Aku bukan jenis mudah lupa orang. Kawan atau lawan. Kedua-duanya aku akan ingat sampai bila-bila.

Pesanku kepada teman yang selalu dekat di hati, aku tak pernah menjauhkan diri atau cuba mengasingkan diri dari hubungan persahabatan kita. Tiada istilah tidak sama taraf atau lupa diri dalam kamus hidup aku (bukan kamus dewan, ya!) Kita tetap sama seperti dulu. Sewaktu kau dan aku tak punya apa-apa dan cuma ada keinginan untuk berjaya dalam hidup.

Berikan ruang untuk aku bernafas. Bukan aku lemas tetapi tugasan kerja yang menuntut sepenuh perhatianku. Dulu dan kini jauh bezanya. Siang dan malam terpaksa ku abdikan diri demi tugasan. Lagipun, bak kata orang... masa mudalah kita perlu kerja lebih keras. Aku harap kau pun begitu juga.

Maafkan aku kiranya aku mengasari emosimu wahai teman. Aku janji, bila-bila ada masa terluang, akan aku hubungi kau di mana jua kau berada.

Friday, May 1, 2009

Virus datang lagi...

Sana sini sibuk dan fobia angkara haiwan merah jambu yang tidak berbulu. Hidungnya bulat, mendongak sedikit ke atas. Ada yang anggap haiwan ni comel, ada pulak yang anggap... mintalah dijauhkan. Ya... babi!

Tidak! Entri kali ini memang tak ada kena mengena dengan serangan selsema babi. Bukan aku tak berminat nak bercerita atau berkongsi maklumat tentang penyakit ini tapi, aku tak cukup arif. Mungkin bukan aku. Biarlah orang yang tahu saja tampil.

Virus yang aku nak ceritakan hari ini... virus yang kerapkali menyerang aku. Kadang-kadang enam bulan sekali. Adakalanya... dua bulan sekali dan kalau bernasib baik... setahun pun tak tentu lagi bila ia menyerang aku.

Kalau aku nyatakan di sini, pasti ada yang ketawa tak pun tak percaya. Tapi, percayalah... aku dah tak tahan menanggung serangan virus ini. Adakalanya boleh jadi kebas seluruh badan. Terkadangnya badan jadi hilang punca seimbang. Seksa... sengsara. Nak makan pun tak mampu kunyah kuat-kuat. Rasa bergegar gegendang telinga. Hah! Itulah virusnya. Virus sakit telinga. Pelik?

Aku pun pelik. Kali pertama aku diserang virus ni pun masa aku di sekolah menengah. Beberapa minggu sebelum PMR. Aku masih ingat, semasa kelas Kemahiran Hidup Bersepadu, sedang aku sibuk bertukang... cikgu panggil namaku. Sumpah, aku tak dengar dan asyik melayan sakit yang tak tertanggung. Sehinggakan, cikgu itu datang dan mengetuk meja.

"Pekak ke? Saya panggil sampai nak tercabut anak tekak... awak buat tak tahu aje? Mengelamun ya?"

"Maaf cikgu, saya tak dengar," jawabku, jujur.

"Memang pekaklah tu!"

"Sumpah cikgu, saya tak dengar. Telinga saya sakit,"

"Yelah..., kalau awak terus macam ni. PMR nanti mesti awak gagal,"

Aku diam. Tak mampu melawan kerna tak sanggup dilabel pelajar durhaka. Lagipun, aku takut sumpahan cikgu.

Namun, sahabat aku dari belakang membantu.

"Dia memang tak dengar cikgu... dah seminggu,"

Cikgu diam. Tiada sebarang kata. Entah. Mungkin rasa bersalah, atau egonya tinggi untuk bertanyakan keadaan aku. Aku pun tak kisah. Sumpah, aku tak kisah!

Serangan kali pertama, hampir sebulan aku tak bisa mendengar. Makan pun tak lalu. Masa tu, tak pula aku berhajat nak berjumpa doktor. Maklumlah, aku ni memang anti dengan doktor dan ubat-ubatan. Aku juga pernah terfikir, mungkin aku ditakdirkan akan hilang deria pendengaran. Redha saja. Namun, umi tak biarkan aku hanya berserah. Dia ikhtiar. Macam-macam. Termasuklah bakar halia dan sumbat ke dalam telinga. Aku ulang hari-hari. Terutama sekali bila sakit semakin menjadi-jadi. Alhamdulillah, baik juga.

Bermula dari saat itu, aku sentiasa diserang. Aku ulang cara yang sama. Kadang-kadang, virus tu kekal seminggu saja. Kemudian kembali pulih.

Aku juga pernah diserang sebelum aku masuk ke ASK. Sakitnya... Allah sahaja yang tahu. Kali ini, umi berdegil bawa aku jumpa doktor. Aku tak mahu. Habiskan duit saja. Tapi, aku akur kehendak umi. Ya. Dalam masa seminggu. Aku jumpa dua doktor. Satu berbangsa Punjabi. Satu lagi berbangsa India.

Doktor Punjabi... orang pertama yang aku rujuk. Bila disuluhnya lubang telinga aku. Dia geleng. Aku dah kecut perut. Umi pun aku kira begitu. Teruk sangatke? Dah tak boleh nak ubat? Berapa masa yang tinggal untuk aku hidup? Ha'ah. Aku dah berfikir sampai tahap itu.

"Ada ketumbuhan putih dalam telinga berhampiran gegendang. Saya takut, lebih lama akan merosakan telinga dan boleh pekak... kekal pekak,"

Aku diam. Tak tahu nak cakap apa. Umi... dia pun diam. Mungkin terkejut. Tak percaya. Umi beritahu abah. Entah. Aku rasa bersalah sangat. Semuanya berpunca dari aku. Salah aku sebab degil. Aku suka sangat sumbat lubang telinga dengan 'earphone', dan doktor kata... itulah punca virus mudah hinggap pada gegendang. Sejak hari itu, aku tak benarkan sesiapa pinjam earphone yang aku pakai. Takut-takut boleh berjangkit.

Sakit makin menjadi-jadi. Aku hampir rebah sebab tak dapat seimbangkan badan. Kali ini, abah dan umi bawa aku jumpa doktor seorang lagi. Sama juga dengan apa yang dikatakan doktor sebelum ini. Namun, dia tetap berusaha pulihkan aku dan minta kebenaran untuk beri suntikan. Ya! Aku disuntik. Tak sampai sepuluh minit. Sakit itu hilang. Doktor itu pesan....

"Jangan sumbat itu telinga lagi... lagipun, lubang telinga awak sangat kecil saiznya. Tak macam saiz lubang telinga yang normal,"

Aku pandang umi, dia angguk. Aku tak tahu pula, selama hari ini lubang telinga aku kecil. Macam-macam andaian doktor. Itu yang buat aku menyampah jumpa doktor.

Sampailah ke hari ini, tak kira bila dan di mana... virus itu akan datang menyerang. Kadang-kadang aku tak mampu nak buat sebarang kerja. Nak menangis pun tak boleh. Sebab menambahkan lagi sakit. Aduh.... seksa betul!

Sekarang... hari ini, saat ini. Hari Pekerja. Nasib baik hari cuti. Kalau tak, tentu parah dibuatnya. Sebab, kalau aku beritahu pada bos, malah sesiapa saja... tak ada yang percaya derita yang aku tanggung. Cuma keluarga aku sahaja yang tahu dan beberapa insan lain yang memang sedia memahami.

Aku cuba mengalihkan rasa sakit dan melayan ruangan blog hari ini. Bertambah sakit. Aduh! Salah perkiraan rupanya. Nampaknya aku perlu berhenti. Berehat dan tidur saja di bilik hotel ini sementara ahli keluarga aku yang lain, bersuka-suka cuci mata di Johor ini.

Aku harap sakit ini akan segera berlalu... aku dah tak sanggup. Sakitnya semakin mencucuk.... aku bagai dibunuh!