Monday, April 27, 2009

Hati dah beku, kosong dan kebas

Aku tak pernah terfikir tentang perkara yang satu ini sebelumnya. Hari-hari yang berlalu dah cukup indah buat aku. Tak perlu rasanya untuk dipersoalkan tentang si dia. Si dia? Ya, tentang si dia.

Beberapa bulan lepas, aku pernah juga terfikir tentang hati. Tentang diri. Tentang sepi.

Namun semua itu lenyap bersama angin-angin lalu. Benar. Hati aku dah kosong. Tahap beku, kebas dan tawar tentang erti kasih sayang dari teman yang dinamakan sehidup dan semati. Sehinggalah soalan itu menerjah aku hari ini. Dari mulut seseorang. Seseorang yang baru aku kenali. Bukan salah dia bertanya. Mungkin salah aku. Salah aku tidak ada perasaan lagi.

Sejak kebelakangan ini, aku rasakan soalan itu semakin kerap berkumandang dan menerjah corong telinga. Entahlah. Cukup aku katakan, aku langsung tak ada perasaan untuk itu sekarang. Hah jangan pula salah faham. Aku masih boleh berfikir dengan lurus ya! Kalau tidak, masakan aku berharap akan bersatu dengan Imaan. Ah, semua itu harapan dalam kabut saja. Dunia aku dan dunianya jauh berbeza. Biarkan ia terus kekal jadi harapan.

Sudah lama juga rasa itu mati, tapi tiada kuburnya. Aku tak salahkan lelaki. Tapi aku juga gagal untuk tidak salahkan lelaki. Mana taknya, kiri kanan aku jumpa lelaki di hujung jari dan dompet perempuan. Faham?

Aku tak mahu ulas panjang.
Mungkin ada yang katakan aku minta lebih.
Cermin diri sendiri dulu, baru tahu kenapa tak ada orang sudi hampir!
Kalau orang yang berani bercermin saja layak berteman dan berpasangan, mana pula nak letak mereka-mereka yang takut cermin?
Lubang kubur? Lubang najis? Lubang hantu!

Kepala aku tengah pusing.
Lelah kerja tadi masih berbaki.
Dalam hati juga berbaki soalan...
adakah lagi lelaki sesempurna abah di zaman ini?
Entahlah.
Aku malas nak berfikir dan berteka-teki lagi dengan takdir kehidupan.
Cuma aku harap, selepas ini tiada lagi yang bertanya...

"bila nak kahwin?"

Silap-silap haribulan, aku yang cari kadi nikahkan orang yang bertanya tu. Jadi, baik jangan ditanya soalan itu pada aku! Faham! Aku dah bosan dan rimas.

Sunday, April 26, 2009

Kerana TEGUH aku di sini...

Tempoh empat bulan, bukanlah satu tempoh yang lama. Kalau belajar pun, masih ada lompang sana dan sini. Begitu juga tempoh empat bulan, usia jodoh aku yang tak lama dengan Teguh. Keputusan yang aku ambil untuk meninggalkan Teguh bukanlah sesuatu yang boleh aku banggakan. Hati aku masih tertinggal di sana. Benar. Rasa-rasa ingin kembali ke waktu itu. Bangun pagi-pagi, bergaduh dengan diri sendiri dalam kereta. Lemas dalam kesesakkan jalan. Ada lima tempat yang selalu menyekat perjalanan lancar aku menuju ke Teguh. Terkadang kaki rasa longgar, kerana asyik menekan padel. Waktu itu, rasa marah sangat-sangat. Takut lambat masuk pejabat. Tetapi, keadaan itulah yang aku rindukan sekarang.

Sampai ke pejabat, memanglah rasa lega yang amat sangat. Sebab, kebiasaannya sempat sampai sebelum waktunya. Bertemu pula dengan rakan sejawat yang memang sempoi dan mesra. Tak boleh aku lupa. Sampailah hari ini. Tekanan dari bos, adakalanya membuat aku hilang waras. Ditambah pula dengan komputer-komputer yang suka buat hal. Bila sendiri, aku boleh ketawa mengenangkan rakan-rakan yang selalu berperang dengan komputer. Macam-macam ragam. Ada yang hentak meja, hentak tetikus tak kurang juga dengan bercakap sorang-sorang. Semuanya selamat tersimpan di dalam kotak ingatanku.

Adakalanya...,
kita terpaksa meninggalkan sesuatu untuk memiliki sesuatu yang lain.
Mungkin yang baru itu akan lebih buruk,
mungkin juga akan jadi lebih baik.
Semuanya bergantung kepada takdir di tangan-Nya.

Alhamdulillah. Keadaan berbeza kini. Jauh lebih selesa. Jarak yang lebih dekat dengan rumahku, diikuti suasananya yang lebih menenangkan. Majikan baruku pula memang sentiasa mengambil berat tentang kebajikan kami. Tekanan pun agak kurang. Jauh di sudut hati... aku bersyukur. Aku berada di keadaan selesa ini pun kerana pengalaman tak seberapa aku di Teguh. Jika tidak, aku pasti tidak akan dapat duduk di sini dalam keadaan yang amat memuaskan.

Aku lebih bersyukur kerana tidak tercampak jauh dari landasan jiwaku. Aku masih berdiri di tempat dan bumi yang sama. Memang ini yang telah ditakdirkan untukku.

Di sini, aku kira satu tempat paling sesuai untuk mengucap terima kasih kepada mereka yang pernah membantu aku sewaktu di Teguh dulu. En Rodly, kak Shida, kak Desi, abang Kamarul, Anjas, Wan, Jiha dan Ain. Terima kasih sekali lagi. Pengalaman di Teguh akan aku lanjutkan di tempat baruku. Kepada akak Siti yang sentiasa bertanya khabar dan memberikan kata-kata semangat. Insya-Allah, langkah ini tak akan berhenti.

Satu perjalanan baru akan bermula.
Aku harap jodoh aku di sini akan lebih panjang hayatnya.

Friday, April 24, 2009

Dah di depan mata

"Akak yang dah berulang-kali, ulang-alik ke RTM pun masih berdebar dik,"

Kata-kata kak Norizan Mansor, masih kedengaran jelas di telingaku sebelum aku melangkah masuk ke bangunan RTM bahagian Bekalan Filem semalam.

Persiapan yang hanya dua hari, membuatkan aku rasa cemas. Sedangkan ketika di ASWARA pun, berbulan-bulan kami diberi tempoh untuk mendalami idea sebelum sesi pitching. Ini kan pula, dua hari. Cerita yang memang terlalu asing bagi aku, terpaksa aku selami hanya dalam masa dua hari. Ya, dalam masa dua hari itu juga aku tak tidur... tapi masih ada selera untuk makan.

Al-kisahnya, seperti yang aku telah ceritakan beberapa hari sudah, encik Shaharudin Thamby (abang Shaharudin) menelefon dan meminta aku untuk mewakilkan seorang penulis skrip untuk sesi pitching di RTM. Awalnya, aku was-was. Masakan aku mampu hadirkan diri sedangkan aku tak tahu hujung pangkal cerita itu.

Nak mampus? Kena hentam dek panel penilai baru tahu!

Bisik aku sendiri. Tapi, memandangkan aku pun di satu hari nanti bakal menghadapi situasi itu, lalu aku bersetuju. Jadi, bermulalah episod aku menjejak penulis asal yang kini berada jauh nun di Sarawak(dengan panggilan telefon aje). Tak cukup dengan itu, ada juga sesi pertemuan dengan abang Shaharudin. Di kawasan perumahan aku.

Aku masih ingat pertemuan pertama aku dengan abang Shaharudin dulu di Coffee Bean Ampang. Waktu itu ada sedikit perasaan janggal. Tak aku nafi, aku juga rasa sedikit kecil, mana taknya orang yang di depan aku ketika itu dah berpengalaman berpuluh-puluh tahun. Kata-katanya ketika itu aku rasakan bagai duri. Rasa rendah sangat diri ini. Ketika itu, semua nampak hitam dan pahit. Jadi, aku persiapkan diri untuk pertemuan kali ini. Setiap kemungkinan yang bakal disoal olehnya, aku sudah ada jawapannya.

Kali ini nyata berbeza. Selesa sangat. Kalau dulu di Coffee Bean, kali ini hanya di kedai makan biasa (Yelah, Bandar Tasik Puteri, mana ada cafe canggih dan eksklusif...) Abang Shaharudin pilih untuk duduk di luar sambil menghadap jalan dan bertentangan dengan bangunan Sekolah Menengah. Setiap orang yang lalu lalang pasti akan menegurnya. Ya, aku tergamam seketika. Dia bukan sahaja senyum, malah bergurau sakan dengan mereka. Amat berbeza dengan keadaan di Coffee Bean.

Di situ kami berbincang. Macam-macam. Sebagai orang lama, aku kagum dengan dia kerana tidak menolak dan mematahkan kata-kata aku mentah-mentah. Dia lebih banyak membuatkan aku berfikir, sama-sama berbincang adakah pendapat aku relevan. Ya, aku temu seorang lagi guru. Dia mungkin tak tahu dan aku pasti dia tak akan pernah tahu. Entah apa yang merasuk kepala otak aku, tiba-tiba sebelum melangkah pergi pulang ke rumah. Mulut ini laju meminta dia menandatangan proposal(salinan aku) yang dibawanya sendiri untuk sesi pitching esok.

"Apalah kau ni, lepas ni hari-hari kau tengok muka abang"

Aku tetap berdegil. Kalaulah dia tahu, seumur hidup aku. Tak pernah seorang pun artis, selebriti mahupun penulis yang aku temu, ku pohon tandatangan mereka. Aku pernah minat tahap meroyan pada Azhar Sulaiman dan Norman Halim(KRU). Aku pernah bertentang mata dengan mereka. Bertegur sapa. Tapi, tak pernah pun ku unjukkan kertas untuk ditandatangani. Memang. Aku sendiri pelik. Entahlah. Mungkin, bak kata Imaan. First impulse!

Kembali ke hari semalam. Hari sebenar aku diuji. Ya! Aku sudah bersiap sedia. Aku gagahkan langkah menuju ke balai kawalan. Ambil pas. Tak tahu sial apa, kad pengenalan aku hilang. Pengawal pandang aku semacam. Mungkin mereka fikir aku ni, mualaf kelahiran Jepun atau Tibet.

"Malaysia?"

Eh, tentulah aku Malaysia. Apa sangatlah mata aku yang sepet ni? Muka aku masih muka Melayulah. Ikutkan hati, hendak sahaja aku hentak meja tapi aku sabar. Aku perlu hormati tugas dia. Sekurang-kurangnya aku tahu, dia buat kerja. Bukan sekadar duduk di pondok kawalan, letak kaki atas kerusi, goyang laju-laju sampai pegawai atas datang pun tak sedar.

Aku korek-korek dompet. Memang tak ada. Dalam hati menangis. Hilang tak apalah, tapi janganlah sampai orang fikir aku ni pendatang. Tiada pilihan lain, aku serahkan padanya pas media (tak pernah aku gunakan pun sebelum ni).

Dia senyum. Sumpah. Aku tak faham apa maksud senyuman itu.

Sebelum masuk, aku terima pesanan ringkas dari kak Norizan.

Good Luck all the best!

Sekarang, dalam otak dan mindaku tertanam satu kata-kata. Berkali-kali aku ingatkan pada diri. Aku pandang abang Shaharudin dan tuan pengarah di hujung mata. Aku ingat kata-kata abang Shaharudin sebelumnya.

"Ini peluang awak. Kalau awak gagal kali ni, akan datang orang-orang dalam tu tak akan percayakan awak bila nampak nama awak naik sekali lagi."

"Awak bukan hanya datang untuk diri awak. Tapi beratus-ratus orang lain lagi. Kalau cerita ini mereka terima, barulah ada kerja untuk mereka yang beratus-ratus di luar tu."

Berat. Tanggungjawab yang memang berat. Aku tak boleh perlekehkan begitu saja. Mungkin, kalau soal aku, aku tak berapa peduli. Tapi, bila aku terfikirkan mereka yang beratus-ratus itu. Aku terus teringat kata-kata Imaan. Jadi aku perlu pastikan cerita ini dipilih. Dipilih terus.

Nama kami dipanggil. Nama aku dah ada di sana. RTM. Aku melangkah masuk. Barisan panel penilai. Lima orang semuanya. Aku cuba mencari titik jatuh pandang aku. Gali keyakinan dalam diri.

20 minit masa diberikan. Lebih panjang dari PeTA dulu. Tapi, seperti biasa, aku selesaikan semua sebelum mencecah 15 minit. Laju sangat! Ya! Macam machine-gun. Apa nak buat? Itulah aku. Kemudian abang Shaharudin menyambung. Ditambah dengan gaya. Tiada pada aku. Aku perlu tahu itu. Aku hanya penulis. Aku hanya tahu menerangkan.

Sesi soal jawab. Kami, jawab dengan tenang dan bersungguh. Cukup 20 minit. Tamat. Tiada kata apa-apa. Aku pelik. Aku pandang muka tuan pengarah dan abang Shaharudin. Nampaknya, aku dah menghampakan mereka.

"Apa maksud tadi tu, abang? Terima ke tak? Macam tak aje,"

Mereka hanya ketawa dan katakan.

"Petanda baiklah tu. Ada respon dari mereka, maknanya mereka suka," jelas abang Shaharudin.
"Kalau tak suka, dia biarkan kau bercakap sorang-sorang," kata tuan pengarah pula.

Aku mengangguk.

"Sekarang kena tunggu panggilan kedua, nak tunggu dapat hours," kata tuan pengarah lagi.

Aku diam. Entah kenapa aku rasa, aku tak buat yang terbaik. Aku boleh buat lebih baik.

"Kata kau gugup. Abang tengok elok aje, semua kau buat. Tapi laju sangat," ujar abang Shaharudin.

Aku hanya senyum. Kata-kata dia membuatkan aku kembali yakin pada diri. Kata-katanya sudah cukup membuatkan aku lega.

"Lainkali, kau tak payah nak takut. Sebab kau dah ada pengalaman,"

Ya. Insya-Allah. Pengalaman ini sudah semestinya tidak akan berlaku kiranya abang Shaharudin tidak memberikan peluang kepada aku. Alhamdulillah..., kerana Dia yang menggerakan abang Shaharudin untuk memilih aku. Kiranya projek ini terjadi dan RTM memberikan ruang dengan memberikan hour... secara tidak langsung aku akan kekal menjadi panel skrip. Alhamdulillah.

Sebelum balik, aku sempat menoleh bangunan itu. RTM yang sudah di depan mata. Telah ku jejaki. Telefon berdering. Aku baca... TAHNIAH! Ucapan dari umi, abah, along dan ayuz. Tahniah itu untuk kamu juga kerana sentiasa yakin dan percayakan aku.



Wednesday, April 22, 2009

Minta sedikit kekuatan...

Esok bakal menentukan segala. Tak tahu kenapa? Tiba-tiba aku rasa luluh. Ruang empat persegi terlalu menghimpit. Aku jadi takut. Hilang diri. Masihkah aku mampu bertentang mata dengan mereka-mereka? Juri yang sentiasa benar dan muktamad.

Ah, aku cuba persetankan semua dengan secangkir air putih. Tekak masih berduri. Lantai konkrit bagai retak dengan setiap langkahku yang tak terjejak. Sekali lagi aku ajukan... mampukah aku bertentang mata, meluahkan idea dan rasa di depan mereka?

Entahlah. Rasa ini mengembalikan jiwaku ke zaman ASWARA dulu. Bezanya, mereka bukan guru yang boleh bergurau senda. Mereka bukannya tahu gejolak di hati. Mereka tidak akan faham, pentingnya medan itu untuk aku. Dan aku juga.

Berilah aku sedikit kekuatan agar aku mampu melepasi hari esok.
Aku perlukan secebis ketenangan.
Aku ingin bernafas dan bebas.

Tuesday, April 21, 2009

Percubaan melangkah ke dunia itu... duniaku!

Tepat pukul 5.54 petang. Aku terima panggilan dari seseorang. Waktu itu, aku kekenyangan. Kekenyangan tidur. Tertidur di depan laptop yang masih bernyawa. Letih mungkin. Memuntahkan segala idea yang ada. Ya! Memang aku letih. Jauh lebih letih dari waktu aku giat bertugas beberapa ketika yang lalu.

Sebenarnya, aku tidak pernah menjangkakan, seseorang itu akan membuat panggilan. Aku nampak namanya di skrin telefon bimbit. Jelas. Memang itu namanya. Tapi, aku buat acuh tak acuh. Ada harapan yang pernah bersinar dan sinarnya itu kian memudar. Entahlah. Tapi, aku tak pernah menyimpan dendam. Benar. Tiada dendam di hati. Terus ku sapa seseorang itu, agar tidak mati panggilan sebelum mula perbualan.

Katanya... dia meletak harapan tinggi padaku.
Katanya... dia yakin dengan aku.
Katanya... dia tidak mahu aku tunduk dan kalah.
Katanya... dia mahu aku berjuang.

Kataku pula dalam hati... Insya-Allah.
Aku cuba lakukan yang terbaik.
Ini langkah awalku ke dunia itu.
Ini satu-satunya peluang yang ku tunggu-tunggu.
Ini sahaja cara untuk aku masuk ke duniaku.

Tag dari Shana Zahar

Rasanya dua kali berturut-turut aku ditag. Dan kali ini, aku pasti sangat kalau tak jawab... alamatnya tak senang duduklah aku di rumah ni. Mana taknya? Yang rajin sangat bagi TAG percuma kali ini adik aku sendiri. Terpaksalah menjawab kalau tidak asyik tuntut hutang 24 jam. Bingit... bingit telinga.

1) 3 name in your inbox cellphone
- Umie
- Dhiya (Harvinder)
- Ayshah

2) Your main ringtone
- ciptaan aku sendiri... tak bertajuk!

3) What u did at 12 last night?
- dah terjun ke alam mimpi... peliknya tak ingat satu apa pun bila dah bangun tadi.

4) Who was the last person you went out with? Where?
- Shana Zahar (adik akulah tu). Ke pesta buku PWTC. Kesian dia, sampai pening-pening.

5) The color of the t-shirt you're wearing? Now?
Hitam, biru, dan putih...

6) The last thing u did?
- mengarang idea yang baru kunjung tiba

7) 3 of your everyday favorite items
- telefon bimbit
- laptop
- buku

8) the color of your bedroom
- putih

9) How much money in your wallet now?
- untuk pengetahuan aku sendiri!

10) How's life?
- Alhamdulillah

11) Your favorite song
- terlalu banyak... tapi kegemaran sepanjang masa lagu Bagaikan Puteri nyanyian Farra. Kenapa? Entahlah, cari lirik... hayatilah sendiri. Barulah faham!

12) What will you do next weekend?
- Hanya Allah saja yang tahu. Aku tak tahu.

13) When was the last time you saw your mom?
- Baru kejap tadi. Dia sedang nyenyak tidur...

14) Where is she now?
- kamar tidur

15) When was the last time you talked to your parents?
- beberapa jam yang lepas

16) Who is the last person that texted you?
- Dhiya (Harvinder... sahabatku)

17) Where did you have dinner last night?
- Rumah aku... di No 93.

18) The last surprise you got?
- Hidup inilah satu kejutan... setiap masa.

19) Last thing you borrowed from your friend
- vcd CJ7 dan beberapa buah novel. Semuanya dari Jiha.

20) Who is your BF/GF or Husband/wife?
- Masih sendiri... tapi kalau boleh memilih... Imaan.

21) What do you feel now?
- Pening! Banyak sangat pula tag kali ni.

22) Wanna share with who?
- Imaan...

23) Who knows your secret?
- Aku sendiri

24) They keep your secret?
- Nama pun diri sendiri. Sendiri sajalah yang tahu. Tentulah tak dihebohkan pada orang lain. Adus... peningla kepala macam ni.

25) Are you angry with someone?
- Beberapa minggu yang lepas...Ya! Sekarang tak lagi.

26) What do you order at McD?
- Kali terakhir makan pun bulan Januari lepas. Prosperity. Sekarang? BOIKOT LAGI!

27) The last time you felt so sad?
- Susah nak jawab tu... ringkasnya.... aku mudah sedih.

28) Mahu tag?
- Hanny Esandra (balas dendam... huahuahua)
- Rehal Nuharis
- Hafirda Afiela
- Bikash Nur Idris
- Umaira Dzulwidad





Monday, April 20, 2009

Tag... dari si adik manis, Hanny Esandra

1) Nama Timangan + Family
Dalam famili sendiri pun dah banyak nama timangan sebenarnya. Abah, Umi dengan Along selalu panggil Ijan. Masa budak-budak dulu, nama timangan ada dua, Shafiq dan Boboy (pelik tak?). Ayuz pula sampai hari ini melekat panggil aku anyah! Apa-apalah. Tapi nama Ijan tu memang terlalu peribadi. Cuma famili dan beberapa orang terdekat saja yang berhak panggil dengan nama tu. Kalau orang lain panggil... tak layan!

2) Anda seorang yang...
Sukar dijangka! Betul. Tak tipu. Kadang-kadang, aku sendiri tak tahu apa yang buat aku buat itu dan ini.

3) Insan istimewa dan kenapa dia teramat istimewa...
Semestinya famili aku -
abah, umi, along, ayuz dan terbaru dua ahli baru...abang Zamri dan Miqhail.
Sahabat-sahabat -
Ayshah, Harvindar, Fatimah dan juga Viva Il Divo
Imaan -
paling istimewa dalam perasaan yang terlalu sukar dimengertikan. Kalau dia di depan mata... anggap sajalah aku sudah dimiliki. Malangnya... dia jauh! Jauh yang amat amat jauh!

4) Lagu kesukaan sekarang...
Banyak sangat. Tapi buat masa ini dan saat ini satu lagu Hindi lama nyanyian Kumar Sanu bertajuk Jab Koi Baat Bigad Jayee (Bila Sesuatu Buruk Berlaku). Lagu tentang persahabatan.

5) Warna Kegemaran...
Hitam, Biru dan Putih.

6) Benda wajib dalam handbag?
Dompet, telefon bimbit, pen dan buku nota kecil.

7) Kali terakhir nangis...
Aku suka menangis...mudah menangis...bila-bila pun boleh menangis. Dengar lagu, tonton filem, tengok perangai orang... juga bila terfikir masa depan dan terkenangkan seseorang.

8) Tag ramai-ramai rakan anda...
1- Shana Zahar (adik aku yang busyuk mashem)
2- kak Qaseh Qaisara
3- kak Dinaz Salsabila
4- Amoh
5- Nouri Salwa

Debu di lautan Pasir...


Semalam. Kali pertama dalam hidup, ku jejak kaki ke Pesta Buku sebagai penulis. Bukan seperti tahun-tahun dulu. Datang sebagai penggemar buku. Keghairahan yang sama tapi situasi yang berbeza.

Sebelum semalam, aku banyak berfikir. Itu dan ini. Begitu dan juga begini. Soalan yang paling utama...

Layakkah aku duduk dan berdiri di situ bersama barisan penulis yang lain?

Berat. Segan. Yakin diri yang hilang. Tak tahu ke mana yakin itu menghilang. Gerun dan takut bercampur-baur. Mampukah aku bersama-sama penulis yang sudah gah namanya seperti Qaseh Qaisara, Eny Ryhanna, Puteri Imaneisya, Dinaz Salsabila dan juga Ellise Gee?

Seribu perasaan yang berperang dalam jiwa dan gejolak emosi yang semakin menghimpit, setia mengiringi setiap langkahku ke 'booth' Fajar Pakeer - 3026. Kedatanganku yang bagaikan semut berkira-kira untuk berjalan, disambut mesra barisan penulis FP yang sudah lama menunggu.

Mesra benar barisan penulis ini, buatkan aku terlupa sekejap yang aku ini orang baru. Baru bertatih setapak dua. Mereka baik-baik belaka. Perasaan tadi segera menghilang. Bagaikan aku dah kenal lama pula dengan mereka. Tapi, perasaan yang satu itu masih ada. Kerdil dan kecilnya aku. Amat-amat kerdil. Kuperhatikan bilangan karya yang sudah mereka hasilkan. Kujeling pula ke arah karyaku yang satu. Kerdil lagi. Seakan jadi halimunan pula diri ini.

Mujurlah barisan penulisan ini tidak lokek berkongsi rasa. Malah ada yang tidak keberatan bercerita langkah-langkah awal mereka sebagai seorang penulis. Juga memberi nasihat, supaya jangan terus berpatah semangat.

Adikku yang setia di sisi juga tak putus-putus memberi kata keramat. Membantu aku bernafas. Sebenarnya aku lemas. Kerana aku cuma debu dalam lautan pasir. Tetapi dia tetap yakin padaku. Ayuz..., terima kasih kerana sanggup jadi penemanku semalam. Kalau tak, aku pun tak tahu apa yang jadi padaku. Mungkin duduk bagai patung bernyawa.

Umi, abah dan along. Masing-masing mahu datang sama tetapi memandangkan ada komitmen lain di rumah, mereka hanya menemani aku menerusi telefon bimbit. Kerap juga telefon bimbitku berbunyi. Terima kasih kerana selalu ada untukku.

Tak lupa pada sahabatku Fatimah (selalu di sisi) dan adiknya yang juga seorang penulis, H.S Anas (Hamidah). Celoteh kamu telah menyapu bersih resah yang menapak. Fatimah, Insya-Allah... seperti kata-katamu hari itu, kita tidak akan pernah berubah!

Kepada Bikash Nur Idris, Hafirda Afiela, Hanny Esandra, Rehal Nuharis dan juga Panum ... terima kasih. Yakin yang hilang tiba-tiba menjelma kembali.

Juga teristimewa kepada kak Qaseh Qaisara, kak Eny Ryhanna, kak Dinaz Salsabila, kak Puteri Imaneisya dan juga kak Ellise Gee. Terima kasih tak terhingga kerana membantu diri ini mengharungi semalam dengan jayanya.

Pada Norhayati Berahim dan juga Sarnia Yahya. Maafkan jika semalam diri ini sedikit kekok dan berat mulut. Banyak benda yang ingin dibicarakan. Tetapi satu patah kata tak mampu terluahkan. Mungkin terkejut dan tidak percaya. Sekali lagi, maaf.

Akhir dan tentu sekali kepada 'uncle' Pakeer. Terima kasih sangat-sangat. Semalam banyak memberi erti. Semalam juga banyak yang telah aku pelajari. Berusaha dan membangunkan diri.

* Pembaca yang turut membeli Rindu Pada Matahari sebelum-sebelumnya, semalam dan juga akan datang... terima kasih.

Satu perasaan yang lain bila memandang ini...

Sesi autograf... kekok lagi

sempat culik Rehal Nuharis yang sedang bertugas

Ayuz atau Shana... adikku

Aku, Dinaz Salsabila, Eny Ryhanna, Puteri Imaneisya dan Qaseh Qaisara

Saturday, April 18, 2009

Terperuk... terjeruk ke dalam!

Bingit. Pusing-pusing, pinar-pinar mata aku hari ini. Bangun-bangun dari tempat tidur (entah apa celaka yang melanda agaknya, aku pun tak tahu) aku terlanggar pintu. Bengkak biru kepala aku dibuatnya. Kelopak mata berat. Tak terbuka-buka dari tadi. Mungkin gara-gara berita yang aku terima semalam.

Imaan!

Simpati aku padanya bertambah lagi. Berselang-seli dengan rasa kasihan. Tak terjangka pula, sampai begini jadinya tahap kerisauan aku tentang keselamatannya. Dia tak berapa sihat, sedang berehat sementara waktu di rumah sakit. Gara-gara dibelasah sekumpulan budak-budak hingusan. Dibaling batu katanya.

Hairan. Pelik. Apa salah si Imaan kali ini? Kenapa direjam dengan batu?

Ringkas dia membalas.

Ikut perarakan politik.

Bila masa pula dia berpolitik? Kenapa tidak aku tahu sebelum ini?

Dia beranikan diri. Sudah puas dia mendiam, membisu tanpa berkata-kata. Kali ini, suaranya tak tertahan lagi. Dia bersuara untuk membantu calon yang dikenalinya. Bukan kerana parti atau darjat calon itu. Tetapi dia kenal dan yakin, calon itu bukan sekadar turun mana-mana kampung untuk menang undi. Bukan sekadar omongan kosong. Katanya.

Katanya lagi, politik di tempatnya tidak 'sesuci' tempat-tempat lain. Malah... AMAT-AMAT BERSIH! Rasuah jadi makanan harian. Mana-mana sahaja, bila-bila masa. Kerana itulah, tempatnya... mundur ekonomi.

Ekonomi ... hanya untuk yang senang-senang.
Pemimpin dan juga ahli politik .... kaya-raya.
Masyarakat... ditindas... melarat.

Alhamdulillah...
Malaysia masih bukan di peringkat paling atas.
Insya-Allah...
Malaysia tidak juga akan pernah berada di peringkat paling bawah.

Imaan bertanya pula padaku...
Stabilkah Malaysia?
Politik...Ekonomi...juga budayanya.

Aku hanya bisu.
Tiada sebarang komen yang mampu ku suarakan bagi masyarakat Malaysiaku.
Aku biarkan saja ia terperuk dan terjeruk di dalam.

Dan tanpa kata-kata...
Imaan mengerti.

Inginku katakan padanya...
Mungkin kerana aku tak berani.
Tak seberani kau Imaan. Tak sekuat dan tak juga selantang kau.
Sudah 26 usiaku. Tidak sekalipun aku memangkah barisan yang aku yakini.

Ya...
aku juga punya calon yang aku rasakan mampu berdiri di situ.
Ya...
aku tahu, aku mampu suarakannya.

Tapi, inilah aku. Terus duduk di ruang persegi ini sambil membaca akhbar 'panas' di tangan. Ada rasa gembira. Ada juga rasa hiba. Dalam hati bertanya... bila pula giliran aku untuk mara seperti Imaan di sana?

Friday, April 17, 2009

10 minit terakhir...

Hampir dua minggu aku kebisuan. Tak terjejak diri ke ruangan aku sendiri, gara-gara sibuk dengan tugas dan tanggungjawab.

Alhamdulillah, manuskrip pertama dah siap. Yang kedua, Insya-Allah bakal menyusul. Sudah beberapa hari juga, aku lalai dengan diri sendiri. Asyik sangat menghambakan diri depan pc. Kadang-kadang berenang adakalanya juga, lemas. Lupa alam nyata, khayal dalam fantasi. Itulah aku. Mujurlah ada Miqhail. Adanya dia, aku kembali jejak ke bumi. Nyata dan hakiki. Kejam atau suci, terserah pada diri sendiri untuk menilainya.

Semalam, aku mendongak. Bernafas seketika, mencari ruang untuk melepaskan segala sesak yang menghimpit. Ada bebanan yang mengongkong fikiran. Seperti biasa, aku mula berlari turun naik tangga. Bagi aku, badan cergas... otak aku akan mula bekerja semula. Tetapi larian aku terhenti. Bukan sebab letih tapi disebabkan mata terpaku melihat skrin tv.

Abah pula seakan raja bersandar di kerusinya, menghadap peti televisyen. Bukan senang nak tengok abah kusyuk melayan apa-apa cerita di tv. Melihatkan itu, aku terpanggil untuk menonton sama.

"Cerita apa ni, abah?"

Tiada jawapan. Sah. Abah dah masuk sama dalam cerita itu. Itulah abah. Perangainya itu, terpalit juga pada aku. Terkadang, mata tak bisa terkelip walau sesaat kerana terlalu asyik dengan cerita yang ditonton. Lalu, aku duduk bersila di sebelahnya.

"Wah..., Raja Ikan berlakon rupanya,"

"Rajnikanth," kata abah membetulkan aku.

Sekurang-kurangnya aku tahu, abah masih sedar.

Kuselan. Nama cerita yang abah dan aku tonton hari itu. Aku tengok tak lama. Sepuluh minit terakhir saja. Dalam sepuluh minit terakhir itu... pelbagai emosi yang menyapa perasaanku. Ada tawa, senyum dan pilu.

Berkesan sungguh skrip yang ditulis penulis. Bernyawa betul watak yang dimainkan Rajnikanth. Aku pernah dengar seseorang bercerita tentang filem ini dahulu. Aku tak sangka, ianya lebih indah dari apa yang aku telah dengar.

Aku tak tahu pokok pangkal cerita Kuselan. Namun, apa yang memerangkap emosi aku adalah pada sepuluh minit yang terakhir. Betapa besarnya erti sebuah persahabatan. Persahabatan yang tidak mengira darjat atau pangkat seseorang. Terus hidup... tidak kiralah apa juga keburukan atau kelemahan yang ada. Persahabatan tidak pernah diukur dengan semua itu. Dan tidak menunggu untuk dibalas.

Sahabat baik adalah kurniaan Allah.

Dan sekarang aku tertanya-tanya... wujudkah sahabat yang benar-benar menyayangi kita di kehidupan sebenar? Lantas mengheret aku semula dari fantasi. Di mata dan mindaku, setia menanti sahabat-sahabat yang selalu ada dalam perit, suka, duka dan menghormati aku sebagai aku. Bukannya cuba untuk menguasai aku. Kepada sahabat-sahabatku... terima kasih. Kamulah antara kurniaan Allah yang terindah untukku. Kamu tahu... siapa kamu.

Tuesday, April 7, 2009

Muktamad... dan aku TEKAD!


Pertama kali aku terjumpa gambar ini (dari vampire-zombie.deviantart.com) terdetik dalam hati membuat andaian sendiri... satu perjalanan yang pahit, tapi perlu diteruskan. Ya, seakan sama dengan keadaan aku ketika ini. Namun ini adalah keputusanku. Puas aku berfikir dan memujuk hati, dan seperti kebiasaannya... luka yang ada dalam hati terlalu parah. Sembilu yang melekat tertusuk jauh di dasar, semakin hari semakin memakan diri. Aku tak bisa terus memendam rasa, menambah lagi keperitan luka. Ya, aku tak bisa.

Majikanku, orang pertama aku khabarkan keputusanku. Kadang-kadang, kita sebagai manusia terlalu mendewakan diri dan lupa kebaikan orang lain. Itu yang terjadi pada diriku. Banyak sangat perkara negatif sehingga aku buta untuk menilai sudut positif yang terselindung dari seseorang yang bernama MAJIKAN. Tenang dia mendengar keputusanku.

Ada sedikit timbul perasaan terkilan aku padanya, tapi itu lumrah. Semua dalam dunia ini, ada sahaja persengketaan dan ketidakpuasan hati pekerja pada majikannya. Namun, aku tak ambil endah sangat. Aku tahu, dia cuba lakukan yang terbaik. Bukan hanya untuk anak-anaknya, tetapi juga kami... anak-anak buah di bawah jagaannya.

Kalau awak dah buat keputusan, saya tak berhak halang.

Itu katanya di hujung talian. Dia memberikan aku peluang untuk berfikir semula tentang keputusanku dan memberi pelepasan untuk aku berehat di rumah... sehari dua. Dia juga cuba menyingkap kisah luka yang membuatkan aku mengambil keputusan muktamad ini. Cukup aku katakan,

Saya tak biasa termakan budi orang,
jadi saya tak mahu terus di sini sebab secara jujurnya...
saya tak layak

Hampa. Keliru. Kecewa. Itu kebenarannya. Aku tak bisa mengulas lanjut. Memang itulah aku. Aku telah diasuh dan dididik oleh abah dan umi untuk tidak terus menerima budi. Kalau termakan budi orang, parah diri sendiri. Ya, itu yang aku rasakan. Budi itulah duri. Membekam perasaan... hari ke hari. Jadi, duri itu ingin aku cabut. Aku tidak mahu terus berdiri dalam ketidakjujuran pada perasaanku sendiri.

Dua hari sudah berlalu. Keputusan aku tetap sama. Muktamad dan aku tekad. Tidak akan aku berganjak dari keputusanku ini.

Secara jujurnya, aku akur dengan kata-kata Fatimah dan Ayshah. Mereka pernah menegur aku beberapa ketika dulu. Ayat dan pendekatan yang berbeza tetapi makna yang sama.

Kau ni baik membuta tuli sampai sanggup jadi lembu dicucuk hidung!

Abah juga seringkali mengingatkan aku, menasihati... aku berlagak acuh tak acuh. Aku akan buat sesuatu selagi aku fikirkan aku mampu. Aku tak kisah apa yang terjadi di kemudian hari. Sehinggalah, di satu hari... aku sedar, tak guna aku terus menjaga hati orang lain dan memendam rasa yang berkulat di dalam.

Masalahnya, airmata tak tertumpahkan. Bukan sedih yang menguasai diri, tetapi terkilan.

Kenapa aku terlalu menyayangi dan akhirnya memakan diri?
Kenapa aku terlalu percaya sudahnya aku yang merana?
Kenapa aku perlu berfikir positif dan semua baik-baik sahaja padahal jelas depan mata, sayang dan percaya aku didusta?

Bodoh! Betul-betul bodoh. Aku betul-betul bodoh. Tak semua orang baik seperti yang aku fikirkan. Tak semua orang itu adalah AKU!

Benar. Kalau itu aku... aku tak akan tergamak berbuat demikian. Kalau itu aku, tak sampai hati aku biarkan saja ia terjadi. Malangnya, SHAHAINI AIZAN BINTI MD ZAHAR... ianya sudah terjadi.

'kau jangan terlalu baik... dunia ni bukan lurus. Kau tu terlalu lurus. Cepat percayakan orang. Mudah sangat kasihankan orang. Sudahnya, ada orang kasihankan kau?'

Kata-kata abah padaku. Berulangkali. Abah siap katakan padaku, yang aku ni lembut hati. Tak boleh tengok orang menangis atau susah hati. Kerana itulah aku mudah ditipu, diperdaya. Sesuka hati mereka.

Ya.
Aku dah sedar.
Aku dah belajar.
Aku dah buat keputusan.
Aku tak akan makan balik kata-kataku ni.

Aku tak akan lagi percaya...

Maafkan aku...
Aku tak bisa mendengar suara atau berbicara dengan sesiapa pun buat masa ini...

Untuk kau... kau dan engkau juga.
Maafkan aku jika diri ini sudah tidak boleh berbicara seperti dulu, mendengar seperti dulu atau memandang seperti dulu.

Aku mahu kau tahu...
aku terlalu sakit.
Bukan sikit.
Sangat...sangat...sangat sakit.

Monday, April 6, 2009

Dua hari yang mendamaikan...

Hari Sabtu datang lagi, dan seperti kebiasaannya... abah ada rancangan untuk kami satu famili. Pagi-pagi lagi umi dan aku sudah bangun, masak untuk sarapan sebelum bertolak. Masak nasi lemak.

Kali ini, destinasi kami sefamili ke Melaka pula. Tanjung Bidara. Dan seperti biasa juga, abah tak akan buat tempahan bilik atau rumah terlebih awal. Kata abah, tak 'adventure'. Jadi, kami semua ikutkan saja, terkadang dalam hati risau. Takut-takut kami tidur tepi jalan saja. Al-maklumlah, hujung minggu setiap tempat peranginan... penuh dengan pengunjung.

Satu saja sikap abah yang tidak ada pada aku. KEYAKINAN! Dia yakin, ada tempat penginapan yang selesa untuk kami. Sebaik sahaja sampai ke Tanjung Bidara, abah dengan tenang sekali berjalan masuk ke lobi Tanjung Bidara Beach Resort. Ada rumah yang kosong. Jauh lebih selesa dan semestinya tenang. Paling penting, pemandangan laut di puncak bukit. Seronok betul, tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Indah betul ciptaan Allah. Subhanallah.

Segala kekusutan yang membelenggu hati dan ruang fikiranku seakan hilang. Tenang menyelimuti. Anggun benar laut yang masih lagi biru. Benar-benar mensucikan fikiranku yang sejak kebelakangan ini asyik memaki hamun dan menyumpah seranah orang. Alhamdulillah. Sejuk akal fikiranku. Sekurang-kurangnya, tidak ada si hipokrit di sini. Tidak ada juga perfectionis yang cuba mengganggu akalku. Dan yang paling pasti, tidak ada lambakkan tekanan tugasan yang menyesakkan fikiran.

Pagi Ahad, di persisiran pantai... aku ludahkan segala duka yang seakan barah dalam hati. Pada kolam renang aku luahkan ketidakjujuran yang terkunci dalam perasaanku.

Terima kasih pada alam kerana membenarkan aku memperoleh ketenangan...
Syukur pada Allah... aku sudah mendapat jalan.


Kunjungan ke makam (makam sekadar untuk peringatan) pahlawan yang tidak pasti wujud dan matinya... Hang Tuah.
Semangat diri yang runtuh seakan terbina semula. Sebagaimana kata-katamu...

Tak Melayu Hilang di dunia....
Begitu juga dengan semangatku...

Takkan mati di hujung kaki...

Aku juga mula akur pada kata-kata abah... (yang mana selama ini aku kurang percaya)

'jangan terlalu kasihankan orang lain kelak memakan diri'

Terima kasih abah...
Izan sudah belajar sekarang
Izan sudah tahu bagaimana hidup ini berputaran...
dan Izan tahu apa yang perlu dilakukan sekarang.

Friday, April 3, 2009

Bisakah Terhapus Jejakmu?

Hari ini, bila aku sendiri di kamar ini. Terimbau kembali pada sebuah memori. Entah sampai bila akan terus menetap dalam ruang fikirku.

Hari ini, aku teringat kembali. Ketika kali terakhir damai itu aku rasakan antara aku dan dia. Bisakah senyumannya hilang dan lenyap seperti air hujan membasuh sisa dunia?

Hari ini, pesan Imaan terngiang-ngiang. Jangan padamkan kenangan itu, kerana kenangan itu satu anugerah yang tak terbeli.

Hari ini, bisakah aku mengerti... mengapa jejaknya masih tidak mampu terhapuskan?

Aku tak bisa melenyapkan jejakmu, juga tak bisa memadam kenangan bersamamu. Mungkin... tidak akan terjadi.

Aku tinggalkan hari ini dengan lagu yang sentiasa bertamu di ruang fikir setiap kali kenanganku datang bertandang.


Menghapus Jejakmu - Peter Pan

Terus melangkah melupakanmu
lelah hati perhatikan sikapmu
jalan pikiranmu buatku ragu
tak mungkin ini tetap bertahan

Perlahan mimpi terasa mengganggu
kucoba untuk terus menjauh
perlahan hatiku terbelenggu
kucoba untuk lanjutkan hidup

Engkau bukanlah segalaku
bukan tempat tuk hentikan langkahku
usai sudah semua berlalu
biar hujan menghapus jejakmu

Terus melangkah melupakanmu
lelah hati perhatikan sikapmu
jalan pikiranmu buatku ragu
tak mungkin ini tetap bertahan

Perlahan mimpi terasa mengganggu
kucoba untuk terus menjauh
perlahan hatiku terbelenggu
kucoba untuk lanjutkan hidup

lepaskanlah segalanya
lepaskanlah segalanya

Alahai Si Perfectionist...

Terus terang aku katakan...
Aku jemu dengan golongan ini. Bukan aku irihati atau benci dengan cara mereka... percayalah. Aku amat menghormati prinsip yang mereka pegang. Namun, aku naik menyampah bila si perfectionist mula nak kelibutkan rutin dan gaya hidupku.

Kalau aku boleh menghormati prinsip kau, tolonglah hormati diri aku pula. Memang, aku tidak peduli apa juga kata-kata yang ingin dilemparkan padaku. Benar, aku senang dengan gaya aku sekarang yang lebih santai. Aku selesa dengan hidupku.

Jadi, tolong jangan sesuka hati 'bentuk' diri aku seperti diri kau. Sebab... aku ni bukan kau dan kau bukan aku. Jika kau senang dengan cara hidup kau... begitu juga aku. Selesa dan tenang dengan gaya hidupku. Cubalah sesekali mengerti.

TAG kali kedua

Kali ini, aku telah diTAG oleh dua orang. Shana dan Hanny. Oleh kerana kedua-duanya tag yang sama, aku jawab untuk kedua-dua mereka. Harap puashati.

1) Apakah nama blog anda sekarang dan kenapakah anda memilih nama blog itu?

Fantasi itu duniaku.
Fantasi berkait dengan imaginasi yang tak perlu minta izin atau kebenaran dari sesiapa. Bak kata orang Sky is the limit! Tapi, dalam dunia fantasi miliku, tak ada hadnya. Mengerti?

2) Apakah link blog anda sekarang dan bagaimana timbul idea untuk menamakannya seperti itu?

http://romibaidurizahar.blogspot.com/
Romibaiduri Zahar... ada signifikasi tersendiri di sebalik nama itu. Sangat rapat dan tentunya terlalu berharga buat diriku. Ianya terlalu peribadi untuk dikongsi bersama. Mungkin, di kemudian hari, sekarang masih terlalu awal untuk mendedahkan rahsia di sebalik nama itu. Jeng...jeng...jeng!

3) Apakah method dalam penulisan blog anda?

Perkara pertama yang terlintas di fikiran dan sesuatu yang boleh memberi kesedaran dan dikongsi bersama. Salah satu cara yang bagus untuk meluahkan pendapat dan menegur secara terus tanpa perlu borang dan kebenaran dari mana-mana pihak sekalipun.

4) Pernah terasa nak hapuskan blog anda? Kenapa?
Tidak sama sekali. Inilah satu-satunya tempat yang paling sesuai untuk AKU!

5) Apakah pendapat anda mengenai blog kepada pemilik yang tag anda ini?

Shana >
Blog yang menarik dan terserlah pemberontakkan jiwanya juga kecintaanya yang tidak terluahkan. Ehem... semoga berjaya untuk exam yang bakal kau duduki kelak.

Hanny >
Blog yang santai dan juga penuh dengan warna-warni. Secara tak langsung dapat membaca emosi pada hari-hari yang dilaluinya. Terkadang airmata mengundang... adakalanya tertawa membaca kisah lucunya. Psst.... tahniah dah siap novel kedua!

6) Senaraikan calon yang akan di tag:
(itupun kalau mereka sudi)
Asy (Tinta Chenta)
Salwa Nadzri
Lady Of Sorrow
Jiha Bahar

Buat Yang Tersayang

Alongku yang kiut...

Along dan aku...

Along, Ayuz dan Aku... 22 tahun dahulu

Ayuz, Along dan aku... KINI

Along... orang yang paling serius



Hari ini 2 April
didedikasikan khas untuk seorang insan yang sentiasa ada untukku...

selalu meminjamkan telinga... setiap kali aku bermasalah
selalu menegur... jika aku bersalah
selalu menenangkan... bila aku resah
sentiasa menyokong... segala keputusan yang aku ambil

Hari ini
genaplah seorang insan yang diberikan nama
Shahaizah Azlin
mencecah usia 30 tahun...

Aku kenali dia dari kecil...
sehinggalah saat ini...
bergelar seorang isteri dan ibu...

Selamat Hari Lahir... Along
Agar kau mengecap bahagia dan dilimpahi rezeki
moga kau sentiasa begini dan selalu menjadi kakakku yang satu....


KAMI...

Along, abang Zamri dan Miqhail... semoga bahagia selalu

Wednesday, April 1, 2009

Si Hipokrit

Hari ini, pertama kali dalam hidup aku berborak panjang dengan seseorang menerusi telefon. Sebelum ini, terasa rimas kalau bercakap lima minit pun. Tetapi, berbeza dengan insan ini yang sudahku anggap seperti diri aku sendiri. Biarpun dua jam, masih tidak puas bercakap dengannya. Rindu? Memang amat rindu. Padanya juga, aku teringat aku yang dulu. Pada dia juga, hilang beban di hati kerana tanpa perlu bercerita dia sudah bisa meneka aku dalam gejolak perasaan.

Sudah agak lama juga aku tidak berhubung dengan dia. Semuanya kerana tugas. Ah, alasan yang terlalu klise... kenapa tugas yang perlu disalahkan sedangkan bila-bila masa sahaja boleh berbicara? Jadi, aku hubungi dia. Seperti biasa, belum sempat aku membuka ayat, dia sudah dapat membaca.

"Aku kenal kau bukan sehari dua..."

Ayat yang selalu diucapnya bila-bila masa aku terkedu. Ya! Namun, usia perkenalan kami juga taklah lama. Belumpun mencecah usia sedekad. Tak aku nafikan, antara rakan-rakan lain, dia yang paling kenal aku... yang sebenarnya aku.

Cuma aku sedikit terkilan. Bukan. Bukan dengan dia, tetapi dengan seorang insan lain. Seorang insan yang aku fikirkan jujur dan ikhlas tapi rupa-rupanya seperti orang-orang lain yang selalu memakai topeng. Kawan makan kawan, main-main tikam belakang.

Aku tidak tahu... sama ada ini hanya perasaan aku yang perasan atau memang benar sipolan ini sudah berubah. Atau mungkin juga, inilah perangai dia yang gagal aku tafsirkan dahulu.

Aku cukup pedih. Runtuh segala kepercayaan padanya. Mengapa dia sanggup buat begini pada aku? Selama ini aku cuba bertahan dengan sikapnya yang memang nyata berubah. Dulu, masih ada hormat... sekarang, seakan aku dan dia tiada beza. Bukan. Bukan dari segi ilmu.

Entahlah. Berat rasa nak diluahkan. Umpama berjalan di atas kepingan kaca. Aku pujuk hati. Fikir positif. Tapi aku gagal memujuk diri lagi. Sayang aku seakan hilang. Aku mula meluat. Menyampah dan....

aku benar-benar kecewa kerana dia HIPOKRIT!

Aku bukan barang mainan...
Aku juga bukanlah untuk dipunya-punya...

Aku celik, dapat membaca...
aku cuba membutakan mata,
tak mahu layan perasaan yang luka...

Dalam hati, aku sentiasa berkira-kira...
Tiba masa...
Tsunami dan Katrina pasti melanda!

Kepala dan Hati... berbagi 2

Satu...
kecintaanku...

Dua
tugasku...

Kepala
berat kepada tugas...

Hati
menjurus kecintaanku...

Dua-dua sama penting
Tapi...alangkah bagusnya kecintaan bisa mengatasi tugasan!

*Aku dah semakin parah...